Anda di halaman 1dari 10

Seni merupakan manifestasi kehidupan yang abstrak yang terbentuk dari nilai-nilai hidup,

amalan, kepercayaan, serta budaya dan tatacara manusia menurut zaman dan tempatnya. Seni

bercambah kepada pelbagai jenis seperti seni hiburan, seni tulisan, tarian, bahkan hinggalah

kepada seni mempertahankan diri. Hamka (1960), menyebutkan jika dalam diri anda ada

bakat seni, pandanglah tuhan dari jendela keindahan. Dalam tradisi masyarakat melayu,

kelazimannya seni tarian, muzik serta nyanyian digabungkan dalam membentuk sebuah

identiti kesenian. Misalnya dikir barat yang mempunyai unsur nyanyian, seni tari, serta alat

muzik dan irama yang tersendiri.

Seni nyanyian dan muzik

Seni muzik dan seni nyanyian telah lama wujud di dalam masyarakat Melayu dan ia menjadi

salah satu hiburan yang amat diminati dari dahulu sehingga kini. Ini kerana menurut ahli

falsafah, muzik merupakan tarikan semulajadi terhadap manusia kerana ia bukan sahaja boleh

dinikmati oleh pancaindera malah turut dirasai dan memberi kesan terhadap hati dan

perasaan. Terdapat pelbagai jenis seni muzik di dalam masyarakat kita. Kebiasaannya jenis-

jenis seni muzik ini dibezakan melalui faktor setempat seperti negeri. Antara seni muzik yang

terdapat di negara ini yang disenaraikan oleh lawan sesawang rasmi Jabatan Kesenian Dan

Kebudayaan Negara (2021) adalah seperti,

1) Dikir Barat

Dikir Barat berasal dari negeri Kelantan. Seni ini disampaikan secara berkumpulan yang

diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara. Tukang Karut dan Tok Juara akan

mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara

latar dengan suara yang kuat dan lantang. Alat muzik yang biasa digunakan dalam Dikir

Barat ialah rebana ibu dan anak dan tetawak.


2) Boria

Boria adalah persembahan teater muzikal yang amat popular di negeri Pulau Pinang.Menurut

artikel Jabatan Kebudayaan Dan Keseniaan Negara (JKKN), Seni Boria mempunyai sejarah

yang dikaitkan dengan peristiwa Karbala, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein r.a .

Persembahan boria ini mempunyai dua bahagian iaitu lakonan (lawak jenaka) dan nyanyian.

Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan boria tidaklah begitu khusus. Perkara

yang menjadi keutamaan ialah keupayaan para pemuzik untuk membawa irama yang dapat

mengiringi nyanyian tukang karang.

3) Dikir Rebana

Dikir Rebana sudah wujud sejak dahulu dan sehingga ke hari ini belum ada improvisasi

terhadap seni ini dalam kalangan pengamalnya. Bahkan generasi muda hari ini kurang

mendapat pendedahan tentang seni ini. Seni ini melibatkan alat-alat yang khusus seperti,

rebana yang diperbuat daripada kulit kambing serta kayu tualang dan biasanya bersaiz 24 inci

atau 2 kaki. Pemain akan duduk bersila dan rebana diletakkan di atas telapak kaki. Pada masa

dahulu, Dikir Rebana dimainkan ketika sultan hendak tidur atau ketika hendak mengerjakan

solat. Hari ini Dikir Rebana hanya dimainkan dalam majlis perkahwinan, namun tidak begitu

popular dalam kalangan masyarakat sekarang.

4) Gendang Pahang

Gendang Pahang merupakan seni tradisi yang mempunyai pengaruh Islam yang agak

mendalam. Menurut Jabatan Kesenian Dan Kebudayaan (2021), seni ini direkodkan dibawa

oleh Dato’ Purba Jelai dan penyebarannya dilakukan oleh tiga generasi. Gendang Pahang
mempunyai iramanya yang tersendiri. Irama ini dikenali sebagai Bujang Hilir. Muzik ini

dimulakan dengan rentak pembukaan dan di akhiri dengan rentak membunuh atau rentak mati

di samping rentak-rentak yang lain. Walau bagaimapun seni ini semakin luput ditelan zaman.

5) Ghazal

Irama ghazal pada asalnya wujud dan berkembang di istana-istana Riau-Lingga. Irama ini

pada peringkat permulaannya dikenali sebagai "gamat" yang membawa maksud riuh-rendah.

Hari ini ghazal Melayu lebih dikenali sebagai ghazal Johor. Antara alat muzik yang

digunakan di dalam Ghazal adalah seperti sebuah peti harmonika, satu set tabla, gambus,

violin, gitar, markas dan tamborin. Hal ini menunjukkan intergrasi antara alat muzik

tradisional dan alat muzik moden. Pemuzik ghazal Johor biasanya terdiri seramai tujuh

hingga sembilan orang pemuzik lelaki yang memakai pakaian baju melayu lengkap

bersongkok dan samping.

6) Muzik Gamelan

Gamelan diperkenalkan di Pahang ketika zaman pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam

Shah. Seterusnya seni ini telah ditambah baik oleh Tengku Ampuan iaitu Wan Fatimah.

Baginda telah meningkatkan muzik gamelan dan diikuti oleh isteri kedua Sultan iaitu Che

Bedah. Gamelan telah dikembangkan ke Terengganu oleh Sultan Sulaiman hasil dari

perkahwinan baginda dengan Puteri negeri Pahang iaitu Tengku Meriam.

7) Muzik kaum Semelai

Semelai merupakan suku kaum asli Melayu Proto yang terdapat di pendalaman negeri

Sembilan dan Pahang. Muzik kaum Semelai merupakan seni muzik yang hampir tidak

dibicarakan oleh generasi hari ini. Seni ini diwarisi daripada generasi terdahulu namun telah
mengalami perubahan dari sudut muzik dan lagunya mengikut kesesuaian zaman. Walau

bagaimanapun perubahan ini hampir membunuh keaslian seni ini hingga kita tidak

mengetahui apakah yang disebut sebagai muzik kaum semelai dan siapakah kaum semelai.

Terdapat dua instrumen bagi muzik ini iaitu rebana dan gong (gong jantan dan gong betina).

Untuk tujuan berhibur muzik ini dimainkan di balai ketika kenduri-kendara, majlis

perkahwinan, berkhatan dan keramaian. Muzik akan dimainkan dan diiringi lagu-lagu yang

dinyanyikan dalam bahasa Semelai. Seni ini turut melibatkan tarian dan ada sebahagian tarian

mempunyai tujuan dan maksud tertentu untuk perubatan seperti pulih semangat, benteng diri,

ilmu kebatinan dan sebagainya.

Seni tarian

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, tari bermaksud “tarian gerakan badan serta tangan dan

kaki berirama mengikut rentak muzik”. Seni tarian merupakan seni yang menggunakan

pergerakan anggota badan mengikut rentak muzik yang dimainkan. Seni ini boleh dilakukan

secara individu mahupun berkumpulan. Walau bagaimanapun seni ini mempunyai pergerakan

yang berbeza mengikut adat, kefahaman, irama dan alatnya yang tersendiri. Sebagai sebuah

negara berbilang kaum, Malaysia amat bertuah kerana memiliki kepelbagaian jenis seni tari

mengikut pecahan etnik di Malaysia seperti tarian kegembiraan, tarian bunga yang diamalkan

oleh masyarakat cina. Masyarakat Melayu khususnya mempunyai pelbagai seni tarian untuk

menggambarkan atau meraikan sesuatu peristiwa atau upacara. Walau bagaimanapun

sebahagiannya masih dipersembahkan sehingga ke hari ini dan juga sebahagiannya sudah

semakin dilupakan. Antara jenis seni tarian yang terdapat di Malaysia yang disenaraikan oleh

Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (2021) seperti,

1) Tarian Asyik
Di negeri Kelantan terdapat satu tarian yang dinamakan Tarian Asyik yang merupakan satu

jenis tarian klasik. Tarian tersebut dipersembahkan di istana Raja-Raja Kelantan oleh penari-

penari yang terdiri daripada dayang-dayang istana. Kebiasaannya Tarian Asyik akan ditarikan

pada hari perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di istana. Justeru, pada

hari ini Tarian Asyik dipersembahkan juga pada hari-hari temasya negeri dan negara.

Menurut segi sejarah, Raja Kuning iaitu Raja Perempuan yang memerintah Patani dalam

tahun 1644 ada menyimpan dua belas orang penari istana yang menyanyi dan menari dan

mereka dipanggil Asyik.

2) Tarian Menyambut Tahun Baru

Menyambut Tahun Baru adalah antara saat yang paling manis dan gembira dan amat

dinantikan bagi tahun berkenaan. Kegembiraan ini diluahkan melalui bentuk tarian oleh

gadis-gadis yang menghiasi diri mereka untuk menyambut perayaan ini.

3) Tarian Payung

Semsa pemerintahan Dinasti Han, Tarian Payung merupakan tarian rakyat yang sangat

menjadi perhatian di Negeri China. Tarian ini berasal dari sebuah daerah di Negeri China

yang terkenal dalam pembuatan payung. Seni tarian ini terdapat unsur-unsur tempatan di

dalamnya. Keistimewaan tarian ini di Malaysia adalah ianya tidak diubah dan menyerupai

tarian asalnya seperti di negeri China.

4) Tarian Musim Bunga

Tidak lain dan tidak bukan tarian ini mendapat nama yang tersendiri kerana ianya

dipersembahkan pada musim bunga pada setiap tahun. Semasa menuai, para wanita akan

bergembira sehingga menampakkan wajah mereka yang berseri-seri menandakan kasih


sayang dan kegembiraan kerana menyambut perayaan ini. Demikianlah tarian ini

menggambarkan suasana yang amat gembira dan riang di musim bunga.

5) Tarian Hadrah

Asal usul tarian ini datangnya dari negeri Parsi. Hadrah juga berasal dari perkataan Arab iaitu

dikir yang disertai oleh Kompang atau Rebana Kecil. Di Malaysia, Tarian hadrah terdapat di

negeri sebelah utara iaitu Perlis dan Kedah. Konsep memperagakan tarian ini adalah ianya

dibahagikan kepada dua kumpulan penari. Bilangan satu kumpulan penari boleh mencapai

lima belas hingga tiga puluh orang. Mereka ini akan muncul dahulu sambil menyanyi dan

menari serta menggunakan alat muzik iaitu kompang.

Bagi satu kumpulan lagi, ianya terdiri daripada dua orang penari lelaki dewasa tetapi sedikit

aneh kerana mereka berpakaian wanita dan akan keluar menyanyi dan menari di pertengahan

persembahan hadrah ini.

6) Tarian Hala

Tarian Hala popular di Negeri Kelantan dan tarian ini akan ditarikan selepas musim menuai.

Tarian ini dikaitkan dengan semangat sawah padi sebagai satu bentuk ucapan terima kasih di

atas hasil yang diperolehi oleh mereka. Keunikan seni tari ini dipersembahkan di sawah padi

dan diawasi oleh seorang pawang dan dikepalai oleh seorang penari utama dan enam orang

inang yang akan menari sebagai mewakili penduduk kampung setempat.

7) Tarian Asli

Suatu jenis seni tari yang dicipta berasaskan lagu-lagu asli Melayu, maka wujudlah satu

tarian yang dinamakan Tarian Asli yang dipersembahkan di dalam satu bentuk kumpulan.
Wujudnya seni tari ini daripada rentak dan irama lagu Dondang Sayang tetapi Tarian Asli

berbeza dengan Dondang Sayang kerana tidak diiringi dengan adegan berbalas pantun.

Bermula daripada situlah, maka Tarian Asli perlahan-lahan berkembang sehingga munculnya

kemunculan tarian-tarian asli yang dicipta daripada lagu-lagu seperti lagu Makan Sireh,

Gunung Banang, Asli Sapu Tangan, Asli Selendang, Bentan Telani, Asli Abadi dan lain-lain

lagi. Tarian Asli amat mendapat tempat di hati masyarakat sehingga boleh didapati di seluruh

Malaysia amnya dan Semenanjung Malaysia khususnya.

8) Tarian Ayam Didik

Tarian ini datangnya dari satu kumpulan penari di Kangar, Perlis. Seterusnya Ayam Didik

menjadi masyhur di kalangan masyarakat Melayu terutamanya di negeri Perlis, Kedah, Pulau

Pinang dan bahagian utara Perak. Tarian Ayam Didik ini berasal daripada gerakan

perlawanan melaga ayam iaitu satu permainan tradisional orang-orang Melayu dahulu yang

diiringi oleh lagu Ayam Didik. Bahkan sehingga kini, sebahagian masyarakat melayu masih

terlibat di dalam perlawanan melaga ayam dan menjadikannya satu aspek taruhan untuk

memperoleh habuan berbentuk wang dan sebagainya. Bezanya ialah Tarian Ayam Didik

tidak lagi diamalkan di dalam permainan tradisional ini.

9) Tarian Barongan

Seni tari ini asalnya dari Jawa. Tarian ini menggambarkan kisah-kisah di zaman Nabi Allah

Sulaiman dengan binatang-binatang yang boleh bercakap. Kononnya, terdapat seekor

harimau telah terlihat seekor burung merak yang sedang mengembangkan ekornya. Apabila

merak itu terpandang harimau, merak pun terus melompat di atas kepala harimau dan kedua-
dua binatang tersebut terus menari. Tiba-tiba seorang Juru Iring bernama Garong yang

mengiringi Puteri Raja yang sedang menunggang kuda lalu di kawasan itu. Melihatkan kedua

haiwan itu menari, Pamong lalu turun dari kudanya dan menari bersama-sama binatang tadi.

Tarian ini terus diamalkan dan boleh dilihat di daerah Batu Pahat, Johor dan di negeri

Selangor. Di antara alat-alat muzik yang digunakan bagi mengiringi tarian Barongan

ialah gong, gendang, dan angklung.

10) Wayang Kulit

Wayang kulit atau nama yang lain turut dikenali dengan nama wayang gedek, wayang

melayu dan wayang purwo. Teater ini masih berpengaruh di Kelantan, Kedah, Johor dan

Terengganu. Seni tari ini amat popular di dalam masyarakat melayu sehingga ke hari ini.

Maka tidak hairanlanlah ianya boleh dilihat di dalam bentuk filem atau drama dan

sebagainya. Alat muzik yang mendominasi persembahan seni tari ini ialah rebab, canang,

gong, gendang dan kesi. Cerita-cerita yang dipersembahkan dalam wayang kulit merupakan

adaptasi cerita-cerita epik Mahabrata dan Ramayana. Walau bagaimanapun perubahan jalan

cerita yang dipersembahkan oleh dalang wayang kulit turut berubah melalui dialog dan

pergerakan patungnya kerana mengikut perubahan zaman.

Kelestarian sebahagian seni nyanyian, seni muzik dan seni tari ini masih wujud sehingga ke

hari ini dan sebahagiannya hanya menjadi bahan bacaan sejarah sahaja. Akan tetapi, usaha

meneruskan kewujudan seni masyarkat tradisional Melayu diteruskan dengan wujudnya

persatuan-persatuan seni dan akademi budaya yang memperjuangkan kelestarian ini.

Terdapat beberapa persatuan kesenian di dalam Malaysia sebagai contoh Jabatan Kebudayaan

dan Keseniaan Negara (2021), menyenaraikan beberapa persatuan kebudayaan yang berdaftar

dan aktif di dalam Malaysia. Bahkan wujudnya persatuan lain yang lebih besar yang amat

cemerlang dalam menggerakkan budaya tradisional masyarakat melayu seperti Akademi Seni
Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Istana Budaya dan sebagainya. Melalui

persatuan dan akademi inilah maka wujudnya program-program dan persembahan yang dapat

disaksikan sehingga ke hari ini melalui kaca televisyen, radio, teater, media sosial dan lain-

lain lagi. Mereka juga terlibat dalam menganjurkan persembahan di pentas-pentas yang lebih

besar contohnya semasa menyambut Hari kemerdekaan, Hari Malaysia dan sebagainya.

Selain wujudnya persatuan-persatuan dan akademi budaya di Malaysia, seni tradisional

masyarakat melayu yang unik ini diteruskan melalui usaha pelbagai kementerian terutamanya

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kementerian ini berganding bahu dengan

kementerian yang lain dalam usaha meneruskan dan mengangkat seni masyarakat Melayu di

zaman moden yang serba canggih ini. Melalui kementerian inilah maka generasi hari ini tidak

dapat tidak dapat menyaksikan bahkan dapat merasai sendiri keunikan seni muzik, seni tarian

dan seni nyanyian tradisional masyarakat Melayu. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

sudah memadu tenaga dan membuat perancangan selaras dengan Dasar Pendidikan

Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan berkaitan memperkayakan kebudayaan,

kesenian dan warisan ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang lengkap, unggul dan

prihatin terhadap seni.

Pelbagai program yang meliputi bimbingan, asuhan dan latihan sudah dilaksanakan di

sekolah sejajar dengan perkembangan dalam pembangunan pendidikan berorientasikan

kepelbagaian kemahiran dan kecerdasan. Ini dapat dibuktikan lagi melalui silibus pelajaran

yang terdapat di dalam Dokumen Standard Kurikulum Pelajaran (DSKP) yang mana

wujudnya pembelajaran yang mendidik dan mengasuh pelajar supaya dapat mengenali seni

budaya tradisional masyarakat Melayu ini di dalam buku teks dan sebagainya. Bukan sahaja

di dalam kelas generasi hari ini boleh mengenali seni ini, bahkan juga di luar bilik darjah
terdapat aktiviti kokurikulum dan persatuan yang mendekatkan dan mendedahkan pelajar

dengan seni budaya ini.

Itulah antara perkara yang dilakukan terutamanya kerajaan dalam usaha memastikan

kelangsungan budaya dan seni ini dapat diwariskan. Walaupun terdapat pelbagai jenis seni

tari moden yang masuk bagai arus yang deras dan mempengaruhi generasi hari ini, ia tidak

dapat menghakis seni tradisional melayu yang sudah terbenam di dalam hati masyarakat

melayu hari ini. Akhir kata, hayatilah kata-kata Fazurawati Che Lah (2017), “Teater, seni tari,

muzik, seni halus dan sinematografi umpamanya adalah prinsip asas yang diamalkan dalam

seni dan pelengkap kepada kehidupan berkualiti”.

Anda mungkin juga menyukai