Anda di halaman 1dari 2

Cikgu Roslan Daud

AMALAN MEMBACA BERMULA DARI RUMAH

Standard Pembelajaran
2.1.1 Membaca teks syarahan dan pidato dengan sebutan dan intonasi yang betul, nada yang sesuai serta kepantasan yang
wajar.

Apakah yang dimaksudkan dengan pidato? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pidato didefinisikan sebagai ucapan yang
disampaikan kepada khayak ramai. Ringkasnya, pidato bersinonim dengan syarahan, ceramah dan ucapan. Pidato sama dengan
syarahan, iaitu dipertandingkan. Namun begitu, ceramah disampaikan bertujuan untuk memberikan maklumat dan kesedaran
kepada pendengar manakala ucapan disampaikan pada majlis tertentu sebagai tanda penghargaan misalnya.

Apakah petua untuk menyampaikan pidato dengan berkesan?


 Mulakan pidato dengan senyuman.
 Sapa para penonton seperti mengucapkan salam.
 Fahami tajuk pidato dan hujah.
 Sampaikan pidato dengan tenang.
 Suara hendaklah jelas dan lantang.
 Jangan terburu-buru dan gugup.
 Gunakan bahasa yang betul.
 Berikan ekspresi yang tepat.
 Jangan terlebih masa yang diperuntukkan.
 Tambah dengan humor jika sesuai.
 Posisi tubuh mestilah tegak.

Letak pegaga di atas para,


Sebelah tomato dan juga ikan;
Salam sejahtera pembuka bicara,
Gelanggang pidato saya mulakan,

Salam sejahtera saya ucapkan buat pengerusi majlis, para hakim


yang bijaksana, Tuan Pengetua, guru-guru dan rakan sekalian. Bertemu
kita di arena pidato dengan tajuk “Amalan Membaca Bermula dari
Rumah” yang akan saya kupas pada pagi ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,


Sebelum meneruskan pidato ini, saya terlebih dahulu akan
menjelaskan maksud perkataan yang menjadi mauduk pidato saya.
“Amalan membaca” bermakna kebiasaan memerhatikan isi sesuatu
yang tertulis dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya.
Perkataan “bermula” pula bermaksud berpunca manakala rumah pula
bermaksud binaan untuk tempat tinggal. Ringkasnya, tabiat membaca
perlu disemai oleh ibu bapa. Sebenarnya, terdapat beberapa peranan

ibu bapa untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

Hujah pertama saya berkisar kepada menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini
dikatakan demikian kerana ibu bapa ialah contoh atau model utama kepada anak-anak melalui
perbuatan dan tindakan mereka, sebaliknya jangan pula menjadi ketam mengajar anaknya
berjalan lurus. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membaca surat khabar, novel mahupun buku
di rumah bersama anak-anak pada waktu senggang. Kesannya, anak-anak akan mengikut
jejak langkah ibu bapa dengan menjadikan bahan bacaan sebagai sahabat kerana peribahasa
ada mengungkapkan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

1
Cikgu Roslan Daud

Sidang dewan yang saya hormati,


Hujah saya yang kedua berlandaskan pembawaan anak-anak ke pesta buku atau perpustakaan. Umum mengetahui bahawa
pesta buku dan perpustakaan menghimpunkan pelbagai jenis bahan bacaan yang boleh dipilih oleh anak-anak kerana rambut
sama hitam, hati lain-lain. Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang
saban tahun diadakan mahupun Perpustakaan Negara untuk membolehkan anak-anak membeli mahupun meminjam buku yang
diminati. Impaknya, pilihan yang pelbagai mengelakkan anak-anak daripada bosan dan jemu membaca bahan bacaan yang sama
jenis sekali gus menambahkan ilmu mereka dalam pelbagai kerana membaca jambatan ilmu.

Dua hujah telah saya kupas, menyusul pula hujah saya yang terakhir, iaitu mewujudkan sudut bacaan atau perpustakaan
mini di rumah. Seperti yang kita sedia maklum, usaha merealisasikannya memerlukan pengeluaran kos namun hendak seribu
daya, tak hendak seribu dalih kerana ibu bapa boleh membeli bahan bacaan secara berdikit-dikit. Misalnya, ruang tamu atau
bilik khas boleh diletakkan pelbagai jenis bahan bacaan seperti buku cerita, novel, surat khabar, kamus mahupun komik untuk
dibaca oleh anak-anak pada masa lapang. Implikasinya, masa anak-anak akan terisi dengan berfaedah kerana masa itu emas.

Para hadirin yang budiman,


Kesimpulannya, amalan membaca perlu disemai sejak anak-anak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Hakikatnya, kajian yang dibuat oleh Perpustakaan Negara pada tahun 2014 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia hanya
membaca 15 naskhah buku setahun jauh berbanding dengan rakyat di negara maju yang membaca 40 buah buku. Kesannya,
sekiranya amalan murni ini tidak dipupuk sejak awal lagi, negara kita akan menjadi mundur seperti negara dunia ketiga dari segi
pembangunan dan ekonomi. Sesungguhnya, untuk menyuburkan budaya membaca di negara ini, kerjasama semua pihak amatlah
dituntut kerana bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Ingatlah, bangsa membaca bangsa berjaya!

Sekian, terima kasih.

LATIHAN
Secara berpasangan, dengar rakan anda membaca teks pidato di atas. Kemudian, berikan tandakan pada skala yang diberikan
di bawah mengikut cara bacaan yang kamu dengari.

Tidak Kurang
Kriteria yang perlu dinilai memuaskan memuaskan Memuaskan Baik Cemerlang
[1] [2] [3] [4] [5]
(a) Intonasi
Turun naik atau tinggi rendah suara
(b) Sebutan
Cara menyebut perkataan
(c) Nada
Bunyi tertentu seperti marah, gembira
(d) Kejelasan
Suara dan sebutan perkataan jelas
(e) Kelancaran
Tidak tergagap-gagap

Jumlah markah / 25

Maksud markah
21 – 25 markah Penyampaian pidato amat berkesan dan mampu menarik audiens.
Boleh dijadikan contoh dan berpotensi untuk menyertai pertandingan.
16 – 20 markah Penyampaian pidato berkesan dan mampu menarik audiens.
Berpotensi untuk menyertai pertandingan jika diberikan tunjuk ajar dan latihan yang berterusan.
11 – 15 markah Penyampaian pidato memuaskan dan adakalanya audiens tidak tertarik.
Beberapa aspek perlu diperbetul jika mahu menyertai pertandingan.
06 – 10 markah Penyampaian pidato kurang berkesan dan kurang mampu menarik audiens.
Beberapa aspek perlu diperbetul dan ditunjuk ajar untuk mencapai tahap memuaskan.
01 – 05 markah Penyampaian pidato tidak berkesan dan tidak mampu menarik audiens.
Semua aspek perlu diperbetul dan ditunjuk ajar.

Anda mungkin juga menyukai