Anda di halaman 1dari 17

CADANGAN KERTAS KAJIAN:

TAHAP KEBERKESANAN PENDIDIKAN AKHLAK


DALAM KALANGAN
PELAJAR TINGKATAN TIGA: SATU KAJIAN DI
SEBUAH SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN DI
NEGERI KEDAH DARULAMAN

LATIFAH BINTI YAAKOB

OPEN UNIVERSITY MALAYSIA

2021
TAHAP KEBERKESANAN PENDIDIKAN AKHLAK DALAM KALANGAN
PELAJAR TINGKATAN TIGA: SATU KAJIAN DI
SEBUAH SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN DI NEGERI
KEDAH DARULAMAN

LATIFAH BINTI YAAKOB

Cadangan Kertas Projek yang dikemukakan sebagai

memenuhi sebahagian keperluan untuk Ijazah Sarjana

Muda dalam Bidang Pengajian Islam

Kluster Pendidikan dan Sains Sosial

Open University Malaysia

2021

2
DAFTAR ISI

KANDUNGAN Halaman

1.0 Pengenalan 1
2.0 Cadangan Kajian 2
3.0 Masalah Kajian 2
4.0 Persoalan Kajian 4
5.0 Objektif Kajian 5
6.0 Tinjauan Literatur 5
7.0 Metodologi Kajian 7
8.0 Kesimpulan 9

9.0 Rujukan 10
1.0 Pengenalan

Islam adalah agama yang lengkap dalam berbagai aspek kehidupan seharian sama ada dari segi
ibadah, akidah mahupun akhlak. Kesempurnaan ini jelas menunjukkan bahawa Islam merupakan
agama yang bukan hanya menekankan kepada spiritual semata-mata bahkan meliputi segenap
kehidupan. Namun, kesempurnaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dimiliki,
sebaliknya ia memerlukan kepada sesuatu proses yang berterusan iaitu pembelajaran serta
pengkajian.

Agama Islam sebagai ad-Deen amat menekankan kepada pendidikan akhlak. Sesuai dengan
hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Agama itu adalah nasihat” (Sahih Muslim), nasihat
tentang yang betul dan yang salah. Tujuan utama perutusan Nabi Muhammad s.a.w kepada
manusia juga memperlihatkan kepentingan nilai akhlak dalam Islam, sebagaimana sabda Baginda
Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak
yang mulia” (Al-Baihaqi).

Menurut Ab. Halim dan Zarin (2009) pendidikan akhlak merupakan wadah penting untuk
merungkai permasalahan akhlak dan melahirkan individu yang berakhlak mulia. Penekanan
pendidikan akhlak dalam pendidikan Islam adalah jelas. Pendidikan Islam bertujuan membangun
dan melahirkan insan secara bersepadu dan seimbang demi merealisasikan fungsi manusia sebagai
hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Oleh itu, menurut kaca mata Islam nilai akhlak adalah
sebahagian daripada agama Islam itu sendiri. Dalam Islam manusia yang paling tinggi statusnya
adalah manusia yang paling mulia akhlaknya dan tinggi sifat taqwanya.

Oleh yang demikian, aspek akhlak sangat ditekankan dalam Islam malah ia merupakan
sebahagian daripada agama Islam itu sendiri (Abd. Rahim, 2006). Untuk memelihara kehidupan
yang harmoni maka penekanan kepada sudut keagamaan dan kerohaniaan amatlah penting
terutama dalam penekanan iman yang berlandaskan tauhid kepada Allah s.w.t. Ini kerana kuat atau
lemahnya iman seseorang dapat diukur dan diketahui daripada perilaku akhlaknya. Iman yang kuat
akan mewujudkan akhlak yang baik dan mulia, sedangkan iman yang lemah melahirkan akhlak

1
yang buruk dan keji. Maka jelas di sini, peranan agama dan aspek rohani perlu ditekankan dalam
apa jua bentuk pendidikan akhlak dan moral.

2.0 Cadangan Kajian

Seluruh rakyat sedia maklum bahawa Malaysia sedang menghadapi wabak Corona Virus,
Covid 19 sejak bulan Mac tahun 2020. Justeru, pengkaji memilih pelajar Maktab Mahmud Baling
iaitu sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan yang terletak di Utara negeri Kedah sebagai
cadangan kajian. Sekolah ini dipilih kerana ia terletak berhampiran rumah pengkaji dimana ini akan
lebih memudahkan lagi proses pengkaji untuk memungut data.
Semua sampel kajian terdiri dari pelajar Tingkatan Tiga Aliran Khas dan Tingkatan Tiga
Aliran Perdana. Pelajar yg terlibat adalah seramai 20 orang iaitu 10 lelaki dan 10 perempuan yang
dipilih secara rawak melalui 2 kelas daripada 4 kelas yang terdapat di sekolah ini. Sampel yang
dipilih adalah melalui latar belakang yang berbeza dari segi pencapaian di dalam kelas dan latar
belakang kehidupan keluarga. Sampel juga meliputi pelajar lemah, sederhana dan cemerlang,

3.0 Masalah Kajian

Menurut Zakaria, Ahmad Munawar & Noranizah (2012), keruntuhan akhlak di kalangan remaja
pada masa kini merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Saban hari di
dalam media masa memaparkan masalah keruntuhan akhlak ini semakin menjadi-jadi di kalangan
remaja. Masalah ini bukanlah suatu fenomena baharu bahkan sudah berlaku sejak zaman dahulu
lagi. Menurut Wan Norina at.al (2013) masyarakat pada hari ini mengalami keruntuhan akhlak di
tahap yang bahaya kerana dicemari pelbagai bentuk kerosakan akhlak. Oleh yang demikian, usaha
untuk meningkatkan potensi diri dan memulihkan akhlak mereka perlulah ditangani dengan segera
bersesuaian dengan kaedah yang digunakan di sekolah-sekolah agama yang bertujuan
mengelakkan keruntuhan akhlak di kalangan remaja.

Disebabkan pengkaji merupakan seorang pendidik dalam bidang Agama, menjadi


kewajipan pengkaji untuk memerhati, menilai dan merumus tahap sahsiah atau akhlak pelajar yang

2
pengkaji hadapi sehari-hari. Ini membuatkan timbul minat pengkaji untuk mengkaji Tahap
Keberkesanan Pendidikan Akhlak di sekolah Maktab Mahmud Baling ini.

Dalam pemerhatian pengkaji, masalah yang terdapat dalam kalangan pelajar ini ialah adab
ketika guru berada di dalam kelas, bersembang ketika sedang belajar, tidur, tidak membuat tugasan
yang diberikan, tidak memberi salam ketika bertembung dengan guru diperjalanan, suka berjalan
saat sesi pembelajaran dijalankan dan lain-lain lagi.

Sehubungan itu, timbul persoalan sejauhmanakah pula kefahaman dan pengetahuan serta
tahap amalan pelajar tingkatan tiga di sekolah Maktab Mahmud Baling ini. Justeru, satu kajian
perlu dijalankan untuk mengenalpasti situasi semasa tahap amalan akhlak dalam kalangan pelajar
sekolah ini.

Ekoran daripada faktor tersebut, ianya boleh membawa kepada masalah moral yang lebih
besar seperti melawan guru dan ibu bapa, hubungan pergaulan bebas lelaki perempuan, mencuri,
merokok, lari dari rumah dan lain-lain lagi. Berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja
Malaysia (PDRM), sebanyak 7,816 kes dicatatkan pada 2013 berbanding hanya 3,700 kes pada
2012 iaitu membabitkan peningkatan sebanyak 4,116 kes. Malah angka kegiatan jenayah berat
golongan remaja yang tamat persekolahan pula mencacatkan peningkatan ketara sehingga 137
peratus kepada 2,011 kes berbanding hanya 849 kes dicacatkan pada 2012.
Kategori jenayah yang berat ini turut dikaitkan dengan remaja bawah umur berusia antara
12 hingga 17 tahun. Angka direkodkan turut meningkat kira-kira 47 peratus di seluruh negara dan
ada daripada mereka terlibat dengan kes bunuh dan juga rogol.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan statistik pada 2010 yang menunjukkan kes
remaja lari dari rumah meningkat sebanyak 4,097 remaja terbabit dengan kegiatan ini seawall usia
13 hingga 17 tahun. Difahamkan ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan kes ini
membabitkan remaja. Selain itu, remaja berumur 14 hingga 17 tahun adalah golongan yang paling
banyak dilaporkan hilang di negara ini.

3
Remaja perempuan kaum melayu pula mencatatkan statistik tertinggi hilang berbanding
kaum lain, tetapi kelompok itu juga tersenarai dalam kadar tertinggi mangsa yang mudah dijumpai
semula. Berdasarkan statistik Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Ibu Pejabat Polis Diraja
Malaysia, Bukit Aman, secara kiraan rawak, dua daripada tiga laporan kes orang hilang
membabitkan wanita.

Isu keruntuhan akhlak mempunyai kaitan dengan pengaruh seperti diri sendiri, keluarga,
rakan sebaya, pengaruh barat, masyarakat sekeliling, media massa dan sebagainya. Dalam kajian
(Absha Atiah&Mohd. Isa, 2019) mendapati faktor diri sendiri berada pada tahap sederhana tinggi.
Dapatan ini selari dengan kajian yang dijalankan oleh Tengku Elmi Azlina et al. (2015) yang
mendapati bahawa penglibatan remaja dalam pelbagai gejala sosial adalah berpunca daripada
faktor dalaman diri remaja itu sendiri meliputi aspek perkembangan personaliti yang akan
mengakibatkan berlakunya ketegangan dan tekanan emosi dalam diri remaja sekiranya mereka
tidak mendapat bimbingan yang sepenuhnya dalam menghadapi cabaran alam keremajaan. Hal ini
menyebabkan remaja akan cenderung ke arah melakukan kegiatan yang meruntuhkan akhlak dan
menyalahi undang-undang.

Menyedari hakikat betapa beratnya tanggungjawab untuk membentuk generasi pelajar


yang berakhlak, maka wujudnya keperluan penyelidik untuk mengkaji keberkesanan pendidikan
akhlak terhadap para pelajar Tingkatan Tiga di Maktab Mahmud Baling bagi membendung krisis
para pelajar terlibat dengan masalah sosial. Hal ini kerana akhlak remaja boleh terbentuk melalui
diri mereka sendiri, iaitu dari sudut pendidikan dan juga penghayatan agama yang ada dalam diri.
Sekiranya jati diri mereka utuh, maka mereka akan terdorong untuk melakukan perkara yang
positif. Sebaliknya, jika sifat keperibadian mereka kurang baik, maka timbul penyimpangan akhlak
dan perbuatan negatif yang melanggar norma dalam masyarakat termasuklah permasalahan sosial.

4.0 Persoalan Kajian

Bagi menjalankan kajian ini, pengkaji memfokuskan kepada beberapa persoalan penting iaitu
untuk mengkaji tentang tahap keberkesanan pendidikan akhlak dalam kalangan pelajar Tingkatan

4
Tiga Maktab Mahmud Baling. Sehubungan itu, beberapa persoalan yang perlu diteliti adalah
seperti berikut:

1. Apakah tahap pengetahuan pelajar Tingkatan Tiga di Maktab Mahmud Baling terhadap
Pendidikan akhlak?
2 Apakah tahap amalan Pendidikan akhlak dalam kalangan pelajar Tingkatan Tiga di Maktab
Mahmud Baling?

5.0 Objektif Kajian

Pengkaji ingin melihat dengan lebih dekat lagi perjalanan pengajaran dan pembelajaran pendidikan
akhlak dalam pendidikan Islam di sekolah Maktab Mahmud Baling. Seterusnya penulis juga akan
melihat keberkesanan pengajaran ini terhadap pelajar-pelajar ini. Objektif-objektif pemilihan
penyelidikan ini iaitu :

1. Mengenalpasti tahap pengetahuan pelajar Tingkatan Tiga di Maktab Mahmud Baling


terhadap Pendidikan akhlak.
2 Menganalisis amalan pendidikan akhlak dalam kalangan pelajar Tingkatan Tiga di Maktab
Mahmud Baling.

6.0 Tinjauan Literatur

Menurut Zakaria, Noranizah & Abd. Fatah. (2012) proses pengajaran dan pembelajaran dalam
sistem Pendidikan Islam yang dilaksanakan di sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian
tinggi kini perlu diperkembangkan dan diperingkatkan lagi supaya dapat melahirkan pelajarpelajar
yang dapat menguaasai ilmu yang bersifat keduniaan dan dapat menerapkan nilai Islam dalam
kehidupan seharian. Pendidikan akhlak adalah penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana
melaluinya seseorang dapat mengetahui tentang ajaran dan hokum akhlak Islam. Kesedaran
mengenai kepentingan Pendidikan Akhlak dalam Pendidikan Islam sahaja tidak memadai
sekiranya tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk menghayati dan mengamalkan.

5
Pendidikan akhlak yang berkesan adalah penting untuk melahirkan kefahaman yang betul
tentang akhlak serta dapat mengamalkannya dengan baik (Samsu Hazlam, 2010). Untuk
memahaminya, seseorang itu mesti mempelajari dan memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap
apa yang dipelajari. Akhlak seseorang individu boleh berubah sekiranya dididuk secara berterusan,
proses pembentukan akhlak Islam dapat dicapai melalui pendidikan dalam mata pelajaran
Pendidikan Islam. Keberkesanan Pendidikan Akhlak yang dipelajari secara teori perlu diserlahkan
melalui amali atau praktikal pelajar. Untuk memastikan keberkesanan Pendidikan Akhlak tersebut,
suatu pendekatan yang sejati perlu dilaksanakan dengan harapan agar seluruh anggota masyarakat
terselamat dari kejahilan akhlak dalam kehidupan seharian.

Akhlak dalam Islam merangkumi semua aspek kehidupan. Akhlak juga menjamin
berlakunya suatu perhubungan dan suatu ikatan yang menyeluruh serta saling menyempurnakan
antara manusia dengan Allah s.w.t dan manusia dengan makhluk yang lain di dunia ini. Akhlak
dalam Islam adalah untuk menyempurnakan dan membentuk akal dalam pembentukan akhlak yang
murni. Secara umumnya, dapatan kajian keberkesanan Pendidikan Akhlak dalam Pendidikan Islam
ini mendapati Pendidikan Akhlak dalam Pendidikan Islam di sekolah-sekolah menengah aliran
agama dan sekolah-sekolah menengah bukan aliran agama adalah baik. Ini merujuk kepada min
yang diperolehi adalah tinggi iaitu 4.57. Justeru itu, inti pati Pendidikan Islam iaitu ketinggian
akhlak seperti mana yang dinyatakan oleh Rohana Tan & Norhasni (2014) katanya Pendidikan
Islam inti patinya ialah usaha untuk mencari ketinggian spiritual, moral, sosial dan intelek dari
dapatan kajian ini seperti bertentangan dengan fenomena keruntuhan akhlak yang sedang berlaku.
Justeru pengajaran akhlak adalah berkesan di sekolah-sekolah sementara penyebab fenomena
keruntuhan akhlak yang menjadi isu dalam kajian ini adalah disebabkan oleh sesuatu yang lain
yang perlu dikaji semula.

Jika dihalusi, dapatan kajian yang lepas berkaitan pencapaian pelajar di dalam peperiksaan
menunjukkan bahawa peratusan pelajar yang gagal lebih ramai daripada yang berjaya. Ini
menunjukkan bahawa proses pendidikan akhlak atau Pendidikan Islam itu sendiri mempunyai
kelemahan yang perlu dibaiki semula agar pencapaiannya menjadi lebih baik. Ini selaras dengan
anjuran beberapa pengkaji dan tokoh pendidikan seperti Zakaria (2012) yang menyatakan bahawa

6
pendidikan Islam perlu mengkaji semula sistem penyampaiannya. Justeru kajian lanjutan perlu
dilakukan untuk memastikan aspirasi negara untuk maju dan mempunyai warga yang berminda
kelas dunia. Menurut Karami Buseri (2003) dalam Islam yang disebut kemajuan itu adalah
mencakupi kemajuan fizikal, material dan kemajuan mental spiritual yang kedua-duanya ditujukan
untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Menurut Nur Zatil & Zulkifli (2017) guru-guru Pendidikan Islam khususnya mestilah
mengajar dengan penuh ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t sebagaimana yang dituntut oleh
agama Islam. Keikhlasan mengajar tanpa mengira pangkat, pujian atau wang ringgit akan
menjadikan para pelajar mudah menerima pembelajaran.

7.0 Metodologi Kajian

Perkataan metodologi adalah berasal dari perkataan Yunani iaitu “methodos” dan “logos”.
“Methodos” membawa erti cara dan “logos” membawa erti ilmu. Dengan kata lain, metodologi
memberi erti ilmu tentang cara (Noornajihan &Ab. Halim, 2013). Metodologi dianggap sebagai
satu falsafah dalam proses penyelidikan yang meliputi andaian-andaian dan nilai-nilai yang
menjadi dasar alasan penyelidikan serta ukuran ataupun kriteria yang digunakan oleh penyelidik
untuk mentafsir data dan membuat kesimpulan. Bab ini membincangkan tentang aspek-aspek yang
penting berhubung dengan metodologi kajian dengan memberi penekanan kepada rekabentuk
kajian, proses pengumpulan data dan proses menganalisis data yang digunakan dalam kajian ini.

Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah kajian deskriptif iaitu menggunakan kaedah
tinjauan ke atas populasi pelajar Tingkatan Tiga sekolah Maktab Mahmud Baling melalui
pengedaran borang soal selidik untuk mengetahui tahap keberkesanan pendidikan akhlak dalam
pendidikan Islam di sekolah. Kajian deskriptif bertujuan untuk memerihalkan sesuatu fenomena
atau situasi yang berlaku semasa kajian dijalankan. Menurut Kamarul Azmi & Ab. Halim (2007)
(2007) rekabentuk deskriptif selaluinya dijalankan bagi memberikan penerangan yang sistematik
mengenai fakta dan tepat. Dalam kajian ini pengkaji akan menerangkan mengenai keberkesanan
pendidikan akhlak dalam Pendidikan Islam di sekolah yang merangkumi pengetahuan, sikap dan

7
amalan pelajar terhadap akhlak di kalangan pelajar tingkatan tiga di sekolah Maktab Mahmud
Baling.

Pengkaji juga akan menggunakan kaedah menemubual tiga orang pelajar yang timggi
sahsiah dan budi pekerti yang telah dicalonkan oleh pihak sekolah pada tahun lepas

Kajian ini juga menggunakan reka bentuk kuantitatif yang menggunakan kaedah tinjauan
sebagai kaedah utamanya. Menurut Kamarul Azmi & Ab. Halim (2007) telah menjelaskan kaedah
tinjauan merupakan satu kajian untuk mengumpul data daripada sejumlah unit atau individu dalam
sesuatu masa. Dengan ini data yang diperoleh memberikan satu keputusan yang logik dan pengkaji
dapat memperolehi lebih banyak maklumat dan data manakala sampel kajian yang diperoleh akan
menunjukkan gambaran keseluruhan populisi.

Bagi menjalankan kajian terhadap tema, penyelidik bermula dengan kaedah utama iaitu
membuat banyak rujukan ke atas buku-buku rujukan dan jurnal yang relevan dengan tema. Dengan
ini, memang terdapat banyak jurnal dan buku rujukan berkaitan dengan latar belakang pendidikan.
Kaedah kajian ini diasingkan kepada tiga proses, iaitu proses pengumpulan, pemilihan dan
pemeriksaan. Bagi proses pertama, rujukan bacaan atau jurnal yang relevan dengan tema kajian
telah dikumpulkan. Proses seterusnya ialah memilih bahan rujukan yang paling sesuai dan
bersekitar dengan tema. Akhir sekali, pemeriksaan dijalankan untuk menjamin penggunaan bahan
rujukan adalah betul dan sesuai. Oleh itu, kaedah ini banyak membantu dalam mendapat informasi
yang baru dan mendalam.

Selain daripada kajian bahan rujukan dan kaedah soal jawab, penyelidik juga menjalankan
kajian dan mengumpulkan maklumat melalui kaedah perpustakaan. Penyelidik melayari internet
untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam dan pelbagai tentang masalah kajian. Sebagai
contoh, penyelidik boleh mendapatkan maklumat tentang gejala sosial yang telah terlibat oleh
muda-mudi zaman kini dengan melayari laman web rasmi kerajaan dan pihak-pihak media seperti
Berita Harian dan sebagainya.

8
Selain itu, penyelidik juga boleh mendapat bahan rujukan jurnal yang telah dimuatnaikkan
oleh penyelidik lain. Oleh itu, penyelidik bolehlah lebih memahami masalah-masalah kajian yang
akan dibincang lalu dapat menganalisasikan hasil kajian dengan baik dan sistematik berdasarkan
maklumat yang lebih tepat dan mendalam.

Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengetahui perkara-perkara yang berikut :

1. Pengetahuan para pelajar yang berkaitan dengan akhlak sebagai salah satu mata pelajaran
dalam Pendidikan Islam yang diajar di sekolah.
2. Sikap para pelajar terhadap pelajaran akhlak yang telah dipelajari.
3. Amalan akhlak pelajar dalam membentuk peribadi mulia.

Kajian ini dijalankan di dua buah kelas Tingkatan Tiga di Maktab Mahmud Baling. Jumlah
bilangan responden kajian ini ialah seramai 20 orang terdiri daripada 10 orang pelajar lelaki dan
10 orang pelajar perempuan. Instrumen utama kajian menggunakan soal selidik di samping kaedah
temu bual dan pemerhatian. Instrumen soal selidik mengandungi dua bahagian, Bahagian A:
Demografi, Bahagian B: Mengandungi 10 soalan tentang konstruk pengetahuan tentang
akhlak,dan amalan akhlak pelajar.

8.0 Kesimpulan

Agama memainkan peranan penting sebagai panduan kehidupan manusia termasuklah golongan
remaja yang sering berhadapan dengan dilema dalam pencarian identiti diri. Bagi merealisasikan
generasi muda yang memiliki keperibadian yang cemerlang dari segi sahsiah dan akhlak mereka,
pelbagai pihak perlu berganding bahu bersatu memastikan remaja berada pada landasan yang betul
untuk menuju laluan kehidupan yang boleh dibanggakan. Tahap pengetahuan agama yang
sederhana sepertimana penemuan dapatan kajian ini masih belum cukup untuk memastikan remaja
dapat mengharungi zaman keremajaan mereka dengan sempurna dan berjaya.

Oleh itu, ibu bapa dan guru sebagai individu paling rapat dengan anak remaja harus
berkewajipan melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk memperkukuh pendidikan agama

9
para remaja dan seterusnya memastikan mereka mempraktikkan ajaran agama yang diajari dalam
kehidupan seharian. Penekanan dalam mempraktikkan ajaran agama mampu menjadi perisai
kepada anak-anak remaja untuk tidak terlibat dengan gejala sosial negatif yang boleh
menghancurkan masa depan mereka. Pengetahuan dan amalan agama yang sempurna juga mampu
menjadikan remaja lebih rasional dalam dalam menangani cabaran hidup dan seterusnya
memaksimumkan segala potensi yang ada pada mereka untuk kemajuan diri, pembangunan agama,
bangsa dan negara.

RUJUKAN

Ab. Halim Tamuri Dan Zarin Ismail. (2009). Hubungan Antara Pegangan Nilai Moral Dengan
Media Massa: Tinjauan Ke Atas Remaja Melayu Luar Bandar. SARI: Jurnal Alam Dan
Tamadun Melayu. 27: 199-212.

Abd. Rahim Abd. Rashid (2006). Menangani Perkembangan Dan Masalah Tingkah Laku Remaja
Dalam Keluarga. Universiti Malaya: Pusat Pembangunan Keluarga.

Abdul Muhsien Bin Sulaiman. (2014). Peranan Guru Pendidikan Islam Dalam Pembentukan
Akhlak Murid Dari Aspek Hubungan Guru-Murid Berasaskan Abu Talib Al-Makki
(W.386h/996m).Tesis Doktor Falsafah. Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya
Kuala Lumpur.

Absha Atiah Abu Bakar&Mohd. Isa Hamzah. (2019). Faktor Keterlibatan Remaja Dengan
Masalah Sosial. Jurnal Hadhari. 1 (1):1-17.

Berita Harian. 2017. Senarai Sekolah Hotspot Bukan Menghukum. Diakses pada 19 Mei 2021 dari
laman web

10
https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/08/314407/senaraisekolah-
hotspotbukan-menghukum-kamalanathan

Fauziah Ibrahim, Norulhuda Sarnon, Khadijah Alavi, Mohd Suhaimi Mohamad, Noremy Md
Akhir & Salina Nen. (2012). Memperkasakan Pengetahuan Agama Dalam Kalangan
Remaja Bermasalah Tingkah Laku: Ke Arah Pembentukan Akhlak Remaja Sejahtera.
Journal of Social Sciences and Humanities: 84-93.

Hazirah Abdul Hadi, Mohammad Mujaheed Hassan, Wan Nur Nazihah Wan Hamzah, Wan
Munira Wan Jaafar, Wan Arnidawati Wan Abdullah. (2021). Kehamilan Luar Nikah Dalam
Kalangan Remaja. Malaysian Journal of Youth Studies. 2: 16-36.

Ismaweb. (2020). 150 Kes Sehari! Isu Ibu Hamil Luar Nikah Semakin Barah. Diakses pada 24
Mei 2021 dari laman web https://ismaweb.net/2020/12/27/150-kes-sehari-isu-
ibuhamilluar-nikah-semakin-barah/

Kamarul Azmi Jasmi & Ab Halim Tamuri. (2007). Pendidikan Islam: Kaedah Pengajaran Dan
Pembelajaran. Johor Bahru: Penerbit UTM.

Kamarul Azmi Jasmi. (2016). Pendidikan Sebagai Medium Penerapan Islam Dalam Sains Dan
Teknologi. Persidangan Islam Dalam Sains Dan Teknologi 2016 (PIST’16) Pada 13-15
Oktober 2016. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Mardzelah Makhsin. (2012). Hisbah Dan Penghayatan Akhlak Murid-Murid Sekolah Menengah.
Tesis Ph.D Fakulti Pendidikan :Universiti Kebangsaan Malaysia.Vol. 17. No.9 (2020),
7589. ISSN: 1823-884x88

Md Noor Saper. (2012). Pembinaan Modul Bimbingan Tazkiyah An-Nafs’ Dan Kesannya Ke Atas
Religiositi Dan Resiliensi Remaja. Tesis Doktor Falsafah. Universiti Utara Malaysia.

11
Mohamad Khairi Othman dan Asmawati Suhid. (2010). Peranan Sekolah Dan Guru Dalam
Pembanguan Nilai Pelajar Menerusi Penerapan Nilai Murni: Satu Sorotan. MALIM-SEA.
Journal of General Studies. 11:117-130.

Noornajihan Jaafar & Ab. Halim Tamuri. (2013). Hubungan Antara Efikasi Kendiri Dengan
Kualiti Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Malaysia. JIAE: Journal
of Islamic and Arabic Education. 5 (1): 41-60.

Nur Zatil Ismah & Zulkifli. (2017). Kepentingan Unsur Al-Qalb Dalam Membentuk Jati Diri
Remaja: Analisis Terhadap Ikon Remaja Di Dalam Al-Quran. Jurnal Pengajian Islam. 10
(1): 1-16.

Rohana Tan dan Norhasni Zainal Abidin. (2014). Akidah, akhlak dan hubungannya dengan tingkah
laku belia di institusi pengajian tinggi. Jurnal Ilmu Pendidikan dan Pengajaran.
64-79. Vol 1. No.1.

Ruzieha Binti Abd Halim. (2017). Penghayatan Agama Islam Sebagai Mediator Dalam Hubungan
Antara Persekitaran Sosial Dengan Salah Laku Seksual Pelajar Islam. Tesis Doktor
Falsafah. Fakulti Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia.

Sahih Muslim, (2003). Terjemahan Oleh Ma’mur Daud. Singapura: Darel Fajr Publishing House.

Samsu Hazlam Hamid. (2010). Pendidikan Akhlak Dan Nilai Murni Dalam Pembangunan Negara:
Satu Analisis Tentang Proses Penerapan Menerusi Program J-Qaf. Tesis Doktor Falsafah.
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sohana Abdul Hamid. (2016). Pengaruh Media Massa Terhadap Perubahan Sosial Masyarakat.
Journal of Social Science and Humanities. 13(4): 214-226.

Shuhada Mansor. 2015. Statistik Moral Remaja Kita. Harian Metro. Diakses pada 19 Mei 2021
dari laman web https://api.hmetro.com.my/node/36116

12
Utusan Malaysia. (2020). Trend Jenayah Remaja Dan Kanak-Kanak Membimbangkan. Diakses
pada 24 Mei 2021 dari laman web
https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/trendjenayah-remaja-dan-kanak-
kanakmembimbangkan/

Wan Norina Wan Hamat, Zaharah Hussin, Ahmad Fakrudin Mohamed Yusoff & Ahmad Arifin
Sapar. (2013). Pengaruh Media Massa Terhadap Penampilan Akhlak Pelajar Islam
Politeknik Malysia. The Online Journal of Islamic Education. 1: 17-27.

Zainudin Sharif & Norazmah Mohamad Roslan. (2011). Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi
Remaja Terlibat Dalam Masalah Sosial Di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka.
Journal of Education Psychology & Counseling.1: 115-140.

Zakaria Stapa, Ahmad Munawar Ismail & Noranizah Yusuf. (2012). Faktor Persekitaran Sosial
Dan Hubungannya Dengan Pembentukan Jati Diri. Jurnal Hadhari Special Edition. 155
172.

Zakaria Stapa, Noranizah Yusuf, & Abd. Fatah Shaharudin. (2012). Pendidikan Menurut Al-Quran
Dan Sunnah Serta Peranannya Dalam Memperkasakan Tamadun Ummah. Jurnal
Hadhari Special Edition. 7-22.

13

Anda mungkin juga menyukai