Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri Pendahuluan Dasawarsa ini,

sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin
gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai masalah kesihatan dan
penyakit berjangkit yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat domestik dan antarabangsa.
Polemik ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan dua perkara asas iaitu menjaga kesihatan dan
kebersihan diri. Amalan ini mungkin dipandang remeh oleh sesetengah orang tetapi ia merupakan kunci
utama dalam memastikan kelansungan hidup seseorang pada ketika ini. Kita sering kali digalakkan untuk
bersenam, bersukan, membasuh tangan dan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar. Oleh
itu, wajar untuk kita mengetahui apakah kepentingan mengamalkan aktiviti tersebut demi menjaga
kesihatan dan kebersihan diri. Isi 1 Salah satu kepentingan memastikan kesihatan dan kebersihan diri
berada pada tahap yang tinggi kerana ia dapat meningkatkan produktiviti kehidupan seseorang. Apabila
kita dikurniakan kesihatan yang baik, kita mampu melakukan kerja-kerja yang secara langsung dan tidak
langsung membantu setiap makhluk dimuka bumi ini. Pelajar sekolah dapat memberikan fokus pada
pelajaran mereka dan pekerja professional boleh menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan
tugas masing-masing. Setiap pekerjaan berfungsi dengan baik seperti mana kitaran ekologi yang berlaku
dengan semula jadi. Justeru, kesihatan dan kebersihan diri yang baik dapat menjamin kemajuan dalam
setiap perkara untuk dikecapi. Isi 2 Di samping itu, menghindari penyakit berjangkit dan masalah
kesihatan juga merupakan kepentingan dalam menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Tamsilnya,
apabila seseorang itu aktif bersukan, kekuatan sistem kardiovaskular individu tersebut akan bertambah
kuat dan dapat menghindar daripada serangan jantung. Selain itu, amalan membasuh tangan
menggunakan sabun selama 20 saat juga adalah penting agar kita tidak membawa bakteria atau virus
yang mungkin dibawa oleh kita tanpa disedari. Amalan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar
juga dapat membantu mencegah pembiakan nyamuk aedes dan sisa lain yang mampu menjadi punca
kepada penyakit-penyakit berjangkit. Kesannya, masyarakat dapat hidup dengan sejahtera tanpa
merisaukan maslah kesihatan atau penyakit berjangkit. Isi 3 Pada waktu yang sama, amalan menjaga
kesihatan dan kebersihan diri adalah penting bagi memupuk sikap disiplin dalam setiap individu. Hal ini
demikian kerana, apabila individu tersebut ingin melaksanakan aktiviti seperti bersukan, mereka perlu
mematuhi peraturan dan etika dalam aktiviti tersebut. Sebagai contoh, sukan olahraga dimana atlet
perlu mengikuti jadual latihan dan konsisten untuk menjaga kekuatan fizikal dan mental sebelum
menyertai kejohanan tertentu. Selain itu, dari sudut kebersihan, amalan memberus gigi di waktu pagi
telah pun menjadi rutin harian semua manusia. Secara tidak langsung, perkara di atas telah
membuatkan kita untuk lebih berdisiplin berbanding dahulu hasil daripada usaha untuk menjaga
kesihatan dan kebersihan diri. Isi 4 Seterusnya, penjagaan kesihatan dan kebersihan diri penting kerana
ia dapat menonjolkan imej dan perwatakan yang menarik seseorang individu. Jika anda perlu
menemuduga calon pekerja anda, apakah kriteria yang anda utamakan terlebih dahulu? Sudah
semestinya calon yang mempunyai perwatakan menarik beserta pakaian yang rapi dan imej yang kemas.
Mutakhir ini, pelbagai produk kesihatan yang boleh membantu kita untuk mendapatkan imej yang
menarik di samping baik untuk kesihatan. Contohnya, penggunaan gel rambut dapat membantu
golongan lelaki merapikan rambut mereka dengan kemas agar ia kelihatan elok di mata setiap orang
yang memerhati. Natijahnya, apabila imej dan perwatakan yang menarik hasill daripada penjagaan
kesihatan dan kebersihan diri, ia akan memudahkan kita untuk bergaul dengan orang ramai serta
diterima oleh masyarakat. Penutup Intihannya, menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting
seperti yang telah dihuraikan di atas. Setiap pihak mempunyai peranan dalam memastikan kesihatan
dan kebersihan diri, keluarga dan masyarakat berada pada tahap yang baik. Hasil usaha ini dapat
menjadikan masyarakat kita sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Oleh itu, amalan menjaga
kesihatan dan kebersihan perlu disemai dan dipupuk kepada setiap generasi agar ia menjadi budaya
contoh manusia sejagat. Sejajar dengan kata-kata hikmat, ” Negara bersih, rakyat sihat; Badan sihat,
otak cergas”.

Ⓒ Artikel Asal Di : https://www.ipendidikan.my/kepentingan-menjaga-kesihatan-diri.html

Anda mungkin juga menyukai