Anda di halaman 1dari 8

NURSYAFIQAH AMIRA BINTI ISMAIL

SOALAN BAB 7 :

1. Berikan definisi ilmu

Ilmu merupakan salah satu perkara yang penting bagi setiap manusia dan juga telah
ditekankan oleh Rasulullah SAW sendiri bahawa ilmu itu dapat memajukan diri, agama dan
umat Islam ke peringkat yang lebih tinggi. Antara dalil yang disebut oleh Rasulullah SAW
yang bermaksud “menuntut ilmu menjadi kewajipan ke atas setiap umat Islam”.

Istilah ilmu ini boleh kita bahagikan kepada dua pandangan iaitu menurut barat dan menurut
Islam. Menurut golongan Barat, ilmu disebut science di dalam bahasa Inggeris, di mana
perkataan tesebut diambil dari bahasa latin iaitu scientia yang bermaksud mengetahui dan
belajar. Menurut Suhartono, ilmu pengetahuan juga boleh didefinisikan sebagai keadaan
menyedari akan sesuatu, keadaan mengetahui sesuatu yang diperoleh dari pengalaman dan
keadaan maklumat yang diperoleh daripada pelajaran. Secara ringkas, ilmu pengetahuan
merupakan fakta yang benar atau pengetahuan yang diperoleh oleh setiap individu melalui
pengalaman mereka sendiri yang telah dikaji kesahihannya.

Menurut Islam pula, ilmu bererti mengetahui hakikat sesuatu dengan yakin dan ma’rifah
(idraku al-syai’ bi haqiqatihi al-yakin wa al-ma’rifah). Terdapat pelbagai pandangan tentang
definisi dari beberapa ilmuan, salah satunya ialah, ilmu dalam Islam adalah hadirnya jiwa
yang aktif dan kreatif pada makna sesuatu yang bersumber dari Allah sehingga
menghasilkan kebenaran dan realiti melalui pancaindera, akal mahupun aktiviti ilmiah.

Selain itu, pengertian ilmu ini boleh diistilahkan sebagai segala pengetahuan atau kebenaran
tentang sesuatu yang datang dari Allah SWT yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan
alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahir dan batin. Ilmu juga boleh
didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun
secara bersistem menurut kaedah dan mengikut cara-cara tertentu yang dapat digunakan
untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut.
2. Bagaimana ilmu dapat mendidik manusia mencapai tujuan hidup yang cemerlang?

Islam amat menitik beratkan ilmu dan sumbernya. Kepentingan ilmu ini mampu membawa
kemajuan dan ketinggian adab dalam tamadun. Pendidikan dalam Islam ini meliputi proses
pembentukan akhlak, disiplin, tingkah laku, sahsiah dan seluruh adab sopan seseorang
insan. Tujuannya adalah untuk membentuk dan mengembangkan insan supaya menjadi
Muslim yang berilmu, beramal soleh dan berperibadi mulia ke arah melengkapkan diri
sebagai hamba Allah yang bertakwa.

Dengan adanya ilmu pengetahuan dalam diri setiap individu itu, mereka dapat berfikir dengan
baik dan rasional tentang tujuan kehidupan mereka. Secara umumnya, tujuan kehidupan
manusia di dunia ini adalah untuk beribadah kepada Allah, iaitu sebagai hamba dan khalifah
yang mentadbir muka bumi. Walaubagaimanapun, ini tidak bermaksud manusia perlu
meletakkan tujuan hidup hanya untuk melakukan ibadah seperti solat dan sebagainya.

Segala perbuatan yang dilakukan termasuklah beribadah, memerlukan ilmu pengetahuan


untuk melaksanakannya. Islam juga membimbing umatnya untuk mengimbangi kehidupan
dunia dan akhirat. Di samping menganjurkan umatnya supaya beramal sebagai bekalan
akhirat, Islam tidak pernah melarang mereka berusaha untuk kesejahteraan hidup di dunia.
Ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu bagi mendidik manusia untuk mencapai tujuan
hidup yang cemerlang.
ATHIFA RUFAIDA BINTI AZMI

SOALAN BAB 7 :

3. Apakah hukum belajar ilmu hitam? Dan Apakah kesannya jika diamalkan?

Hukum dalam mempelajari ilmu hitam ini terdapat beberapa pandangan dari kalangan
ulama, yang pertama hukum mempelajari ilmu hitam iaitu ilmu sihir dengan niat yang jahat
untuk mencelakai dan membahayakan nyawa orang lain adalah haram dalam agama Islam.
Namun, jika seseorang itu mempelajari ilmu sihir dengan bertujuan untuk mengubati atau
membebaskan orang yang terkena sihir dan mencegah penyakit darinya hukumnya boleh
tetapi mestilah mengikut cara dan ilmu dalam ajaran islam.

Seterusnya, kesan jika seseorang itu mengamalkan ilmu hitam dengan cara yang tidak
betui iaitu bercanggah dan melangkaui ajaran islam ialah ia akan mendatangkan
kemudaratan yang amat besar iaitu syirik kepada Allah SWT, dia akan dilaknat oleh Allah
SWT kerana telah melakukan penyembahan kepada syaitan dan juga telah menduakan Allah
SWT. Bukan itu sahaja, malah ilmu sihir juga boleh memudaratkan dan memakan diri
pengamal itu sendiri jika dia telah melakukan sebarang kesalahan dalam perjanjian ilmu
hitam. Hal ini sangat bahaya kerana ia bukan mendatangkan keburukan kepada si pengamal
sahaja malah ia akan membabitkan ahli keluarga si pengamal itu.Jadi,kesan yang amat
besar jika seseorang itu mempelajari ilmu hitam yang bercanggah dari ajaran islam.

4. Bagaimanakah situasi orang yang berilmu tetapi tidak beradab.

Pada pendapat saya, antara situasi orang yang berilmu tetapi tidak beradab ialah sebagai
contoh seseorang itu mempunyai tahap ilmu pendidikan yang tinggi, jadi dia sering
memperlekehkan golongan-golongan yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah malah
tidak mahu mendekati dan berkawan dengan golongan-golongan seperti itu. Hal ini dapat kita
lihat bahawa telah timbulnya sifat kesombongan dan bongkak dalam dirinya. Seperti yang
kita ketahui tahap pendidikan seseorang itu tidak akan dilihat jika tidak mempunyai adab
yang baik.

Selain itu, antara contoh lain adalah seseorang itu yang mempunyai ilmu pengetahuan
yang banyak tentang sesuatu perkara tersebut, tiba-tiba dia mendapati bahawa gurunya telah
menyampaikan atau melakukan sesuatu yang salah dalam pelajarannya, jadi dia telah
menegur gurunya dengan cara yang tidak baik dan seakan telah tidak menghormati kepada
gurunya. Bukan itu sahaja malah jika gurunya mempunyai pendapat tentang sesuatu
perkara, dia selalu tidak bersepakat dan bersefahaman dengan pendapat gurunya kerana dia
merasakan pendapatnya adalah lebih baik dan telah menolak pendapat gurunya dengan cara
yang kasar sehingga telah menyakiti perasaan gurunya. Jadi kita mesti mengingati bahawa
setinggi manapun tahap pendidikan dan ilmu pengetahuan kita tentang sesuatu perkara,
jangan kita sesekali hilang rasa hormat kepada guru kita kerana segala ilmu yang kita
perolehi adalah disampaikan dari seorang guru, jadi pentingnya kita sebagai seorang anak
didik untuk menjaga keberkatan ilmu yang kita perolehi dan menjaga adab terhadap guru
kita.
IMAN BINTI TAWFEK

SOALAN BAB 7 :
5. Apakah adab belajar secara maya?. Adakah belajar secara online dapat
menyampaikan ilmu dan Pendidikan dengan berkesan?

Antara adab-adab belajar secara maya antaranya adalah berpakaian sopan dan menutup
aurat sekalipun tidak kelihatan secara fizikal, membuat persediaan sebelum kelas dimulakan,
menghadirkan diri tepat pada waktu yang ditetapkan, memberi respon kepada guru apabila
ditujukan soalan, mematikan mikrofon semasa guru berhujah dan juga berterima kasih
kepada guru setelah sesi kelas tamat. Adab-adab yang disenaraikan boleh menunjukkan
bahawa kita menghormati guru dan juga ilmu yang disampaikan. Selain itu, sekiranya adab-
adab tersebut diamalkan, gangguan semasa kelas dapat dielakkan, dan sesi kelas juga
dapat berjalan dengan efisien.

Seterusnya, belajar secara online juga dapat menyampaikan ilmu dan pendidikan dengan
berkesan. Terdapat pelbagai cara untuk menyampaikan ilmu, dan pada zaman ini, belajar
secara online merupakan suatu cara pembelajaran yang semakin banyak digunakan. Media
seperti eBook, Google Classroom, dan Youtube boleh dijadikan sebagai medium
pembelajaran. Kepelbagaian kaedah penyampaian ilmu menunjukkan bahawa manusia
masih mengambil berat dengan ilmu, dan ini juga menunjukkan perkembangan dalam
tamadun. Dengan pelbagai cara ilmu disampaikan, pelajar dan guru juga boleh melihat
kaedah mana yang sesuai dengan diri mereka. Oleh itu, mereka dapat menguasai lagi
sesuatu topik yang disampaikan.

SOALAN BAB 8 :
1. Jelaskan kefahaman anda tentang ta’dib dalam pendidikan menurut pandangan Ibn
Maskawayh dan Al-Ghazali

Menurut Ibn Maskawayh, ta’dib digunakan untuk menunjukkan pendidikan intelektual,


spiritual dan sosial, tidak kira bagi anak-anak mahupun dewasa. Menurut Imam Al-Ghazali
pula, ta’dib bermaksud membawa tenaga dalaman yang terpendam dan secara semula
jadinya cenderung kepada hakikat kebenaran supaya dibentuk menjadi tingkah laku.
Daripada dua pandangan yang dikemukakan, saya dapat memahami bahawa ta’dib
merupakan suatu proses dimana jiwa seseorang itu dididik agar dapat membentuk budi
pekerti yang mulia, dan melahirkan seorang individu yang berakhlak. Selain itu, saya juga
memahami bahawa ta’dib merupakan suatu cara untuk menghasilkan suatu keadaan atau
kedudukan secara tepat dan benar.
NUR AQILAH AIDA BINTI NORDIN

Soalan BAB 8

2. Untuk mencapai tahap insan kamil adakah seseorang itu tidak boleh melakukan
kesalahan yang tidak dianggap dosa dalam Islam?. Apakah beza antara buat salah
dengan buat dosa.?

Kesalahan merupakan perkara yang umum dan sering dilakukan oleh manusia. Oleh
itu, bagi mencapai tahap insan kamil tersebut, seseorang itu boleh melakukan kesalahan
yang tidak dianggap dosa dalam Islam. Hal ini kerana, kesalahan ini merupakan perkara
yang umum dan berbeza bagi setiap tempat. Ianya bergantung kepada pandangan
seseorang itu. Kesalahan ini berlaku jika sesuatu perkara yang dilakukan itu diluar
kebiasaan. Perkara ini akan dianggap sebagai salah walaupun sebenarnya ia tidak dosa
sama sekali.

Kesalahan adalah sesuatu pelanggaran yang yang dilakukan oleh manusia secara
fitrah. Ini kerana manusia itu tidak pernah sunyi dari melakukan kesalahan samada kecil atau
besar. Dosa pula adalah sesuatu pelanggaran terhadap Allah SWT dan ada juga kaitan
dengan hubungan sesame manusia dan makhluk lain. Untuk menyelesaikan kesalahan yang
pernah dibuat, manusia boleh memaafkan kesalahan orang lain tetapi jika berkaitan dosa,
hanya Allah yang dapat mengampuninya. Selain itu, kesalahan ini juga tidak dapat ditetapkan
berbanding dengan dosa yang telah terkandung di dalam al-quran dan al-sunnah. Sebagai
contoh, jika di Barat, mereka akan memakai kasut walaupun di dalam rumah, hal ini perkara
biasa bagi mereka. Namun begitu, jika perkara ini dilakukan di negara kita, tindakan ini akan
dikatakan sebagai kesalahan. Contoh tersebut dapat menunjukkan bahawa kesalahan ini
bergantung pada keadaan dan tempat ia berlaku.

3. Klasifikasikan ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seseorang pelajar untuk mencapai
kepada tahap insan kamil.

Antara ciri yang perlu ada dalam diri seseorang pelajar untuk mencapai tahap insan
kamil ialah pelajar itu perlu ada keimanan dalam diri. Sebagai contoh, seseorang pelajar itu
perlu ada akhlak mahupun akidah yang benar tanpa ada sebarang kesesatan. Selain itu, ciri
yang seterusnya adalah persaudaraan. Apabila pelajar itu menjaga hubungannya dengan
rakan yang lain, ini akan mengelakkan daripada terjadinya masalah tentang permusuhan
sesama rakan. Seterusnya, seseorang pelajar itu juga perlu ada kegigihan dalam kebaikan
dan kebenaran. Contohnya, jika pelajar itu mengetahui bahawa rakannya ada melakukan
kesalahan, maka perlu untuk dirinya berusaha menegur dengan sebaik mungkin.
Selain itu, ciri seterusnya ialah pelajar perlu ada ketertiban dengan mengikut aturan
yang ada. Ciri seterusnya ialah pelajar perlu ada ilmu. Ilmu ini penting untuk membezakan
perkara yang sepatutnya dilakukan dan juga perkara yang perlu dielakkan. Kemudian,
keadaban juga perlu ada dalam diri pelajar. Hal ini kerana, pelajar itu perlu ada sikap yang
baik dan segala aspek yang berkaitannya. Akhir sekali, ciri yang perlu ada ialah ketaqwaan.
Taqwa ini merupakan ketaatan bagi pelajar itu dalam mengerjakan perintah Allah SWT. Ciri-
ciri ini adalah jaminan bahawa seseorang itu mahupun sebagai pelajar untuk menjadi
sempurna dan mencapai hasanah dalam dunia dan akhirat.

Anda mungkin juga menyukai