Anda di halaman 1dari 4

Apabila berbicara mengenai mahasiswa, sudah pasti kita terbayang susuk tubuh muda

yang sedang berada di menara gading dan mempunyai daya intelektual yang tinggi.
Mahasiswa memiliki karakter positif lain seperti idealis dan energik. Apa yang
dimaksudkan dengan idealis ialah mahasiswa masih belum dipengaruhi oleh
kepentingan peribadi, juga belum terbebani oleh beban sejarah atau beban
tanggungjawab dan jawatan. Ertinya mahasiswa masih bebas menempatkan diri pada
posisi yang dia anggap terbaik, tanpa adanya percampuran dan bebanan yang terlalu
besar. Manakala energik pula bermaksud mahasiswa biasanya siap sedia melakukan
kerja-kerja yang dibebankan oleh suatu ideologi yang dia telah yakini kebenarannya.
Sebagai contoh adalah para sahabat yang segera meninggalkan malam pertamanya
manakala mendengar perintah jihad.
Dalam sejarah Islam, banyak contoh dan kisah yang boleh kita kiaskan kepada dunia
mahasiswa dan dunia pemuda. Kisah Nabi Ibrahim, Umar al-Khattab, zaid bin Harithah,
Abu Ubaidah al-Jarrah, Ashabul Kahfi dan ramai lagi yang boleh diambil iktibar.
Berdasarkan pemerhatian yang boleh kita lihat dari latarbelakang sejarah Islam, kita
dapat meringkaskan peranan mahasiswa Islam yang besar ialah

a) Menjadi generasi pewaris : Iaitu generasi yang meneruskan nilai-nilai murni yang ada
pada sesuatu kaum sebagaimana yang dinyatakan pada ayat 21 surah at-Thur.

b) Menjadi generasi pengganti : Iaitu generasi yang menggantikan kaum yang telah
rosak dengan nilai yang lebih baik seperti mencintai Allah, lemah lembut kepada orang
Islam, tegas terhadap orang bukan Islam dan tidak takut kepada celaan orang-orang
yang mencela sebagaimana yang dinyatakan pada ayat 54 surah al-Maidah.

c) Menjadi generasi perubah : Iaitu generasi yang memperbaiki dan memperbaharui


kecacatan yang ada pada sesuatu kaum sebagaimana yang dinyatakan pada ayat 42
surah Maryam.

Menyedari kekuatan yang ada pada mahasiswa, sudah pastilah di sana ada
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang mahasiswa berdasarkan peranan-
perana tertentu lebih-lebih lagi seseorang itu digelar Mahasiswa Islam.
Masyarakat Amerika Latin amat berbangga dengan insan yang bernama Che Guevara.
Che Guevara juga menjadi ikon kepada penganut fahaman sosialis-komunis marxisme
kerana amat berjasa kepada mereka. Guevara telah turun dan berkhidmat kepada
masyarakat bukan sahaja di negara asalnya Argentina, bahkan seluruh negara Amerika
Latin ketika dia masih digelar mahasiswa. Bakti yang dia lakukan telah manjadikannya
hero bagi kebanyakan orang Amerika Latin. Kita tidak perlu berbicara mengenai ideologi
yang dianut oleh Guevara tetapi apa yang hendak disingkapkan ialah beliau merupakan
ikon mahasiswa atau ikon orang muda kepada orang Amerika Latin dan juga negara-
negara yang berfahaman sosialis termasuklah Syria.
Itu kisah di Amerika Latin dan Che Guevara yang berfahaman sosialis-komunis
marxisme. Di Malaysia, jarang sekali kita mendengar di mana mahasiswa Islam menjadi
ikon dan idola kepada masyarakat. Penghujung dekad 60-an dan awal 70-an mungkin
menjadi tempoh masa yang boleh dibanggakan oleh mahasiswa. Berdasarkan dimensi
baru selepas akta Darurat (1948-1960), mahasiswa memberikan harapan kepada
masyarakat berdasarkan keintelektualan yang ada pada mereka dengan memberi
keutamaan kepada isu-isu kebajikan. Demonstrasi Baling 1974 merupakan antara
pahatan sejarah yang sukar dilupai kerana mahasiswa telah berjaya mengumpul
penduduk-penduduk Baling untuk bangkit menunjuk perasaan kepada kerajaan
terhadap nasib mereka. Tidak cukup dengan itu, mahasiswa turun sekali lagi di Masjid
Negara selepas itu bagi tujuan yang sama. Namun begitu, satu perkara yang mesti
diketahui ialah gerakan dan fahaman sosialis banyak melatari potret perjuangan
mahasiswa pada waktu itu, bukannya daripada golongan Islamis.
Kita menyedari bahawa untuk mencari ikon mahasiswa Islam sebanyak bilangan di jari
kita amat payah lantaran lemah dan lesunya mahasiswa Islam. Justeru itu, beberapa
tanggungjawab segera yang perlu dilakukan oleh kita semua sebagai mahasiswa Islam
ialah :
Memperkemaskan Ilmu Dan Penyampaiannya
Mahasiswa Islam sekalipun masih belum layak untuk digelar ulama, namun mereka perlu
sedar bahawa tugasan sebagai ulama yang bakal disandang bukanlah satu tugas untuk
menjadikan pencarian sesuap rezeki sebagai tujuan utama. Bidang ini bukan bidang
untuk menjadi terkenal, disanjung dan dipuja. Bahkan bidang menggalas nubuwwah
peninggalan para rasul terdahulu ini adalah untuk memastikan Islam dijadikan sebagai
raja yang memutuskan segala perkara dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar
urusan. Perkara ini amat berhajat kepada kefahaman kepada apa yang dipelajari, bukan
setakat ‘hafalan buta’ ketika menghadapi imtihan.
Tugasan juga kita bukan sekadar berpencak di gelanggang pidato dan syarahan sehala
semata-mata, bahkan tugasan kita adalah untuk turun ke medan dan menerangkan
kepada masyarakat dengan kaedah yang berkesan tentang ilmu yang kita ada. Sekarang
ini, menguasai cara penyampaian sama pentingnya dengan apa yang kita hendak
sampaikan kepada mad’u.
Menghidupkan Budaya Membaca
Berdasarkan laporan kajian tabiat membaca yang dibuat oleh UNESCO pada tahun 2008
menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membaca 12 buah buku setahun, berbanding
hanya 5 muka surat setahun pada tahun 2004. Satu tinjauan rambang juga telah dibuat
terhadap sebahagian ahli PPMS pada tahun 2008 menjelaskan bahawa secara puratanya
hanya membaca 2 buah buku setahun. Ini membuktikan bahawa amalan membaca di
kalangan mahasiswa Islam masih jauh ketinggalan berbanding rakyat di Malaysia
sementelah lagi negara-negara maju seperti Jepun.
Kita tertunggu-tunggu pimpinan kelahiran mahasiswa Malaysia Syria yang berupaya
mencetuskan wawasan besar, berfikiran matang dan menjangkau jauh kehadapan.
Kegagalan kita melahirkan pemimpin pemikir (qiyadah-mufakkirah) telah
mengakibatkan kelesuan kebangkitan Islam lantaran amalan asas untuk mendapatkan
ilmu masih tidak sebati dalam jiwa kita. Walaupun masih bertatih, saya mencadangkan
supaya ahli-ahli PPMS hari ini memulakannya dengan budaya cinta membaca sehingga
boleh mewujudkan kelompok pembaca yang boleh membantu meningkatkan
keupayaan proses pembelajaran dan pemahaman kita dalam kehidupan. Bersetuju
dengan kata-kata Napoleon Benoparte : “Read, you will conquer the world ” yang
bermaksud “Bacalah, nescaya kamu akan menakluk dunia!” Kita akan cuba sedaya upaya
untuk merealisasikan takrifan masyhur bagi istilah ulama’ :
العالم هو أن يعلم الشيء في كل شيء ويعلم
كل شيء في الشيء
“Ulama ialah orang yang mengetahui sebahagian perkara dalam semua bidang, dan
mengetahui semua perkara dalam satu bidang yang dikhususkan”
Menumpu Kepada Proses Pembinaan Karakter Daie
Menyedari institusi tarbiah merupakan tunjang kepada kekuatan proses pembinaan,
seharusnya kita serius dan bersungguh-sungguh mengambil berat tentang pelaksanaan
dan keberkesanan program tarbiah. Kita sepatutnya menyedari tanggungjawab
menjayakan misi tarbiah ini bersama-sama dengan tidak hanya melepaskan peranan
menjayakan perjalanan tarbiah hanya kepada biro atau lajnah tarbiah semata-mata.
Oleh sebab itu, perjalanan tarbiah yang direncanakan perlu menjadi agenda bersama di
semua peringkat dan lapangan yang ada.
Era kebangkitan Islam pada masa akan datang adalah lebih mencabar dan berhajatkan
seorang pemimpin Islam yang berjiwa daie, mampu berdepan secara bersemuka
dengan mana-mana pihak, membina jambatan antara mereka yang tidak sealiran dan
mengkaji pelbagai jenis aliran pemikiran semasa. Mahasiswa Islam mesti mula membina
pemikiran mereka dengan pemikiran daie yang berjiwa besar dan menghindari daripada
pemikiran agamawan-bangkangan semata-mata. Asas Islam yang menjadikan kita
sebagai fundamentalis tidak seharusnya menyebabkan kita menjadi tertutup, syadid dan
bersikap keras dalam semua perkara. Karakter daie inilah yang menjadikan kita
mengurangkan perkataan ‘itu haram’, ‘jangan’ dan ‘ini tak boleh’ sebaliknya lebih
menumpukan kepada penyediaan alternatif yang bersifat ‘ini yang halal’, ‘silakan yang
ini’ dan ‘buatlah yang macam ni’ kerana amanah ilmu yang ada dipundak mahasiswa
Islam untuk menjadikan mereka sepertimana kata-kata masyhur ; (Ù†ØÙ†
الدعاة لا قضاة)
MENGOPTIMUMKAN PENGGUNAAN MASA
Mahasiswa Islam sering mendengar cerita berkatnya masa ulama-ulama yang menjadi
tauladan kepada umat. Tetapi kebanyakan mereka tidak langsung mengambil
pengajaran daripada betapa berdisiplinnya ulama dalam menyayangi dan mengatur
masa mereka. Ambillah pengajaran riwayat hidup Imam an-Nawawi yang walaupun
hidupnya hanya lebih 40 tahun tetapi mutu umurnya seolah-olah lebih seratus tahun.
Seterusnya bandingkan realiti pengurusan masa mahasiswa Islam sekarang yang banyak
dihabiskan dengan tidur dan hiburan.
KESIMPULAN
Mahasiswa Islam memegang tanggunjawab yang besar dalam menyiapkan diri
menghadapi cabaran mendatang. Lantas, tidaklah tepat sekiranya mahasiswa Islam
hanya berpeluk tubuh dan membuang masa tanpa melakukan tanggungjawab. Binalah
diri anda, pahatkanlah sejarah dan ciptalah zaman. Moga dengan tanggungjawab yang
dilaksanakan akan dapat mendaulatkan Islam suatu hari nanti.

http://ilmuanmuda.wordpress.com

Anda mungkin juga menyukai