Anda di halaman 1dari 1

TEKS UCAPAN PENGETUA SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUP KEM KEPIMPINAN UNIT

KOKURIKULUM

Terima kasih kepada saudari Pengerusi Majlis.

Salam sejahtera kepada

Penolong Kanan Kokurikulum;

Guru-guru unit Kokurikulum dan para pelajar yang dikasihi sekalian.

Saya berasa sangat bersyukur tahun ini dapat kita bersama-sama secara bersemuka
menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kem Kepimpinan Unit Beruniform, Kelab/Persatuan
dan Permainan pada hari ini.

Para pelajar yang disayangi sekalian,

Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada semua pelajar kerana telah diberi peluang dan
kepercayaan oleh guru-guru penasihat kelab persatuan masing-masing untuk mengikuti kem
kepimpinan pada hari ini. Sesungguhnya anda adalah golongan yang terpilih dan amat berbakat
dalam bidang kepimpinan.

Saya percaya ilmu yang telah anda peroleh daripada guru-guru sepanjang hari ini akan dapat
dijadikan panduan bukan sahaja untuk menguruskan kelab persatuan masing-masing, malah dapat
digunakan juga dalam kehidupan seharian yang serba mencabar ini. Seperti yang anda semua sedia
maklum, kem kepimpinan yang dianjurkan oleh organisasi luar amat mahal harganya berbanding
dengan kem kepimpinan anjuran pihak sekolah yang telah anda ikuti sebentar tadi. Oleh itu, saya
berharap para pelajar dapat menggunakan ilmu yang diperoleh dengan sebaik-baiknya dan sedia
berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang lain.Para pelajar sekalian,

Anda adalah pewaris pemimpin akan datang. Sikap kepimpinan perlu dipupuk dalam diri kerana
setiap orang akan berpeluang untuk menjadi seorang pemimpin sama ada sebagai pemimpin
keluarga, pemimpin sesebuah organisasi mahupun pemimpin negara. Mulakanlah bakat kepimpinan
anda dari sekarang dengan membantu guru-guru penasihat masing-masing menguruskan kelab
persatuan. Andalah yang akan bertindak sebagai tangan kanan kepada guru penasihat dan tulang
belakang kepada kejayaan kelab persatuan masing-masing.

Saya amat berharap agar perjalanan aktiviti kokurikulum sepanjang tahun ini akan berjalan lancar
dengan menggunakan bakat kepimpinan yang ada pada pelajar-pelajar yang disayangi sekalian.
Teruskanlah melibatkan diri dalam semua aktiviti untuk memastikan kecemerlangan SMJK Katholik
dalam bidang kokurikulum khasnya.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru
yang sanggup mengorbankan cuti hujung minggu untuk bersama-sama para pelajar mengikuti kem
ini sejak pagi tadi lagi. Saya sedar guru-guru telah banyak berkorban masa dan tenaga untuk
memastikan kelancaran program pada hari ini. Ucapan terima kasih juga khas ditujukan kepada
guru-guru yang bertindak sebagai kem komandan, penceramah-penceramah, fasilitator-fasilitator,
ahli-ahli jawatankuasa dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Hanya tuhan sahaja yang mampu membalas segala jasa kalian.

Akhir kata, saya dengan bangganya merasmikan Majlis Penutup Kem Kepimpinan Unit Kokurikulum

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai