Anda di halaman 1dari 2

Refleksi Program Kejurulatihan (Syazwani bt Md Shahdin)

Setelah mengikuti Program Kejurulatihan Olahraga, saya mendapati terdapat beberapa aspek yang dapat saya simpulkan sebagai refleksi kepada diri saya. Antara aspek tersebut ialah dari segi kekuatan dan kelemahan sepanjang berlangsungnya program ini. Antara kekuatannya ialah, sepanjang berlangsungnya program ini, saya mendapat pelbagai ilmu baru terutamanya tentang larian jarak sederhana. Bukan mudah untuk merancang satu program kejurulatihan untuk dibentangkan kepada semua. Merancang program ini memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi. Selain itu, program kejurulatihan ini juga banyak membina tahap keyakinan diri saya. Keyakinan dalam diri wujud apabila saya dikehendaki bercakap dan menerangkan serba sedikit tentang larian jarak sederhana ini. Tambahan pula, setiap penerangan perlu disertakan dengan pelakuan bagi memantapkan lagi kefahaman peserta yang menyertai latihan program ini. Kekuatan seterusnya ialah dari segi komitmen dari peserta program latihan ini. Semua peserta memberi komitmen yang sangat memuaskan dan tidak malu untuk mencuba setiap aktiviti yang disediakan oleh jurulatih. Terdapat segelintir peserta yang pada mulanya agak malu untuk melibatkan diri atas faktor-faktor tertentu tetapi pada akhirnya mereka cuba secara perlahan-lahan melakukan aktiviti yang diminta oleh jurulatih. Dalam hal ini, bukan kesempurnaan pelakuan yang saya dan rakan-rakan tekankan, cukuplah sekadar mereka melakukan dengan menggunakan teknik yang betul. Dari aspek kelemahan pula, dapat saya ringkaskan di sini bahawa terdapat banyak kelemahan yang saya dan rakan-rakan lakukan sepanjang menjalani program kejurulatihan ini. Antara kelemahan yang sangat ketara ialah kurang persediaan dalam merancang program ini. Hal ini kerana kekangan masa yang dihadapi. Kami dikekang oleh masalah cuti perayaan Tahun Baru Cina. Disebabkan program ini perlu dirancang mengikut kumpulan masing-masing, masalah timbul kerana masing-masing pulang ke kampung halaman. Hal ini menjadikan kami sukar untuk berkolaborasi sesama sendiri.

Selain itu, semasa program ini berlansung, saya ditugaskan untuk menerangkan teknik untuk melakukan striding, skip dan lari skip. Semasa saya memberi penerangan, saya telah ditegur oleh pensyarah kerana telah memberi penerangan dengan membelakangkan peserta. Pensyarah menegaskan bahawa apabila saya bercakap dalam keadaan sebegitu, sebagai seorang jurulatih, saya sukar untuk melihat kesalahan yang dilakukan oleh peserta. Teguran yang bermakna itu akan saya ingat dan akan saya gunakan ketika menjadi seorang jurulatih kelak. Di samping itu, terdapat juga beberapa pelakuan yang telah dibetulkan oleh pensyarah pemerhati kerana menggunakan teknik dan konsep yang salah. Hal seperti ini akan saya betulkan dari semasa ke semasa. Kesalahan seperti ini tidak seharusnya dipandang dari sudut negatif, seharusnya perlu dipandang dari segi positifnya. Kelemahan yang terdapat sepanjang berlangsungnnya program ini banyak membantu saya dalam menimba ilmu dengan lebih mendalam dan tidak akan saya ulangi lagi selepas ini. Bak kata pujangga, kesilapan itu adalah guru yang terbaik. Kesimpulannya, program kejurulatihan ini banyak melatih diri saya dalam mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam keguruan seterusnya memberi banyak ilmu pengetahuan baru kepada saya. Program kejurulatihan ini perlu diteruskan pada masa akan datang supaya ilmu kejurulatihan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Anda mungkin juga menyukai