Anda di halaman 1dari 94

Weltanschauung Melayu dalam Era Teknologi Maklumat: Komputer Menjadi Teras Pemikiran Atau Punca Tewasnya Pemikiran Melayu?

Oleh: Hairudin Bin Harun 1.1. Pendahuluan Kesan kemasyarakatan - baik atau buruknya - akibat penganutan sesuatu amalan sains atau penggunaan sesuatu teknologi itu sukar untuk diramalkan dengan tepat. Acap kali kesan tersebut melampaui batasan jangkaan dan mempengaruhi individu dan masyarakat dari sudut yang tidak diduga sama sekali oleh pelupurnya. Kerap kali juga teknologi dan sesuatu sains itu digunakan dalam ruang dan tujuan yang lain sama sekali dari objektif asalnya. Inilah sebenarnya yang kerap berlaku. Hal-hal yang bersangkutan dengan unsur teknikal adalah mudah untuk di kawal dan diramal natijahnya dan konsekwennya. Hal-hal seperti itu biasanya adalah dalam bentuk kuantitatif yang boleh dihitung atau unsur objektif yang boleh dicerap secara empiris. Tetapi bagaimana satu artifak teknologi atau idea saintifik mendatangkan kesan kepada seorang individu atau sebuah masyarakat adalah satu perkara yang sukar dihitung dan dicerap. Lebih-lebih lagi sekiranya kesan tersebut berada dalam ruang alam fikir atau Weltanschauung sesuatu masyarakat. Mungkin sebab itulah kesan atau impak teknologi dan sains keatas alam fikir sesuatu masyarakat merupakan hal yang jarang diperkatakan atau diteliti secara ilmiah. Dewasa ini setiap masyarakat, tidak kira sama ada moden atau tradisional, akan sentiasa terdedah kepada idea-idea yang datang dari luar atau yang dicetuskan oleh innovasi teknologi terkini. Tidak ada masyarakat yang boleh memencilkan dirinya dari arus idea luaran atau gelombang teknologi. Oleh itu adalah penting bagi sesuatu masyarakat itu cuba memahami bagaimana sesuatu idea luaran atau teknologi itu mendatangkan kesan kepada ahli dan dirinya. Umumnya umat Melayu dewasa ini sedar tentang perubahan radikal dalam keadaan kehidupan material akibat dari penggunaan ilmu sains dan teknologi. Mungkin apa yang kurang disedari ialah takat kesan atau sejauh mana teoriteori sains dan teknologi mempengaruhi kerangka mental atau Weltanschauung Melayu yang menjadi teras pandangan alam atau kosmologi Melayu. Bermula pada awal abad ini konsep sains dan falsafah moden telah semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu. Pembudayaan sains dalam kerangka budaya fikir Melayu pada mulanya berlaku dalam program kolonial (bagi mengisi tujuan penjajah) dan berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Pembudayaan tersebut berterusan dengan lebih giat lagi dibawah program pendidikan pasca-Merdeka. Programprogram pendidikan yang menekankan pembelajaran sains secara intensif kepada anakanak Melayu - terutamanya pada akhir 60an dan awal tujuh puluhan - telah berjaya melahirkan - pada akhir tahun 70an dan awal 80an - satu masyarakat saintis Melayu dan komuniti cendekiawan Melayu yang mempunyai scientific literacy atau scientific

consciousness yang tinggi. Hal ini dianggap sebagai suatu lagi pencapaian sosial dan psiko-intelektual yang agak unggul dalam sejarah umat Melayu. Setakat yang diketahui (oleh penulis), belum ada lagi satu kajian terperinci dan menyeluruh tentang hal tersebut. Namun begitu kita boleh menjangkakan bahawa dikalangan kelompok mereka itulah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang istemewa. Dikalangan mereka juga mungkin wujud keadaan dimana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional yang mengandungi nilai-nilai asas, astetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu (lama?). Pebincangan disini pada asasnya bertujuan untuk membuat penelitian awal tentang dua perkara: 1. Bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi moden mungkin boleh merubah kepercayaan, alam fikir dan budaya fikir Melayu iaitu teras kosmologi Melayu; 2. Bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi mungkin diserap (sama ada secara sedar atau tidak) dan menjadi teras baru kepada kerangka pemikiran Melayu. Pendekatan perbincangan di sini adalah lebih cenderung kepada corak perbincangan yang bersifat teoritis, konsepsual dan spekulatif daripada kuantitatif, empiris dan deskriptif. Disebabkan batasan yang ada, kertas ini juga bercadang untuk menghadkan perbincangan tersebut pada kesan sosio-intelektual yang lahir daripada salah satu dari aspek utama fenomena sains dan teknologi terkini iaitu Teknologi Maklumat (TM), yang berteraskan epistemologi dan teknologi perkomputeran. Sama ada perubahan atau kesan tersebut akan menghasilkan natijah yang menguntungkan umat Melayu secara mutlak atau sebaliknya, adalah suatu persoalan menarik yang mungkin memerlukan jawapan yang kompleks. Namun, kertas ini tidak akan cuba menyelesaikan persoalan seperti itu. Rasanya perlu ditegaskan disini bahawa pendekatan kertas ini tidak bertujuan untuk mengambil sikap menghukum atau memihak kepada mana-mana kelompok atau trend pemikiran. Ia juga tidak bertujuan untuk memihak atau mengkritik mana-mana ideologi atau program politik semasa. Kertas ini hanya bercadang - sekurang-kurangnya pada kesempatan ini - untuk mengketengahkan satu isu atau agenda intelektual yang perlu diteliti dengan cermat dan dikaji dengan lebih lanjut lagi. Sebarang kesimpulan yang dibuat adalah akademik dan untuk tujuan perbincangan ilmiah semata-mata. Sekiranya kesimpulan tersebut mempunyai implikasi yang lebih dari itu maka ia adalah soal lain yang harus dibincang dalam forum yang berlainan. 1.2. Weltanschauung Melayu Tradisonal Salah satu syarat keperluan peradaban yang subur ialah kewujudan kerangka pemikiran atau sistem kepercayaan tertentu. Kerangka atau sistem yang dipegang dan dikongsi bersama dikalangan setiap warga peradaban. Kerangka atau sistem pemikiran yang menjelaskan dan mengatur makna asas terutamanya tentang Tuhan, alam dan manusia dan juga tentang hakikat hubungan manusia dengan alam, hubungan manusia dengan manusia, dan hubungan manusia dengan Tuhan. Kerangka pemikiran atau sistem kepercayaan itu, difahami dalam konteks bidang falsafah sebagai Weltanschauung,

menentukan asas-asas penting dalam sesuatu peradaban itu. Kerangka tersebut mengggariskan asas dari nilai dan aestetika individu hinggalah kepada asas masyarakat dan kemajuan sosial. Walaupun akan ada dikalangan ahli dalam satu kompleks masyarakat itu yang mungkin tidak akan berpegang kepada Weltanschauung utama yang wujud. Bahkan tidak semua unsur dalam sesuatu Weltanschauung itu akan diterima dengan seragam oleh warga sesuatu peradaban itu. Namun demikian hakikatnya ialah dalam setiap masyarkat wujud kerangka atau sistem pemikiran tertentu yang seragam, dominan dan berketrampilan dari yang lain. Satu kerangka atau sistem pemikiran tersebut menjadi dominan atau berketrampilan mungkin disebabkan ia dianuti oleh warga majoriti atau mungkin pula ia dianuti oleh segelintir elitis yang berkuasa dan oleh itu berkemampuan untuk mencorakkan masyarkat atau menentukan arus utama sesuatu agenda intelektual. Suatu hal yang pasti ialah kerangka atau sistem pemikiran yang berstatus seperti itu memainkan peranan yang utama dalam mengerakkan serta menentukan corak kosmologi sesuatu masyarakat itu dari pelbagai segi. Dilihat dari segi sejarah, adalah jelas Weltanschauung dan kosmologi Melayu telah mengalami beberapa perubahan yang besar. Perubahan tersebut berkait rapat dengan pengaruh sistem pemikiran tertentu yang dominan dalam detik-detik sejarah intelektual Melayu dirantau ini. Bagaimana sesuatu sistem pemikiran itu menjadi dominan dirantau ini tidak begitu penting bagi perbincangan kita disini. Apa yang penting bagi kita ialah untuk menyedari bahawa terdapat tiga sistem pemikiran utama yang mempengaruhi atau meninggalkan kesan kepada pemikiran Melayu dalam beberapa fasa utama. Ketiga-tiga sistem pemikiran tersebut dominan dalam tiga fasa yang agak jelas. 1.3. Fasa Awal Fasa pertama ialah fasa paganisme atau animisme. Dalam fasa ini pandangan alam Melayu dipenuhi dengan semangat dan dewa dewi yang mengerakkan kosmos mitos animistik. Budaya fikir dan teras kosmologi ketika ini cenderung untuk mengekalkan keseimbangan antara kehendak atau syarat semangat dan dewa dengan keperluan kehidupan individu dan bermasyarakat. Keseimbangan tersebut and kaedah mengekal dan mencapainya merupakan paksi rasionaliti dan Weltanschauung umat Melayu fasa paganisme. 1.4. Fasa Hindi Fasa kedua ialah pengaruh dari kosmologi hindi yang berteraskan hinduisme dan buddhisme. Pada umumnya kosmologi hindi dicirikan oleh kosmos mistikal dan metafizikal. Fasa kedua ini dianggap penting dari beberapa segi terutamanya dari segi doktrin kosmogoni dan kosmologi. Pengaruh hindi keatas sejarah intelektual dan sains dalam alam Melayu kurang diteliti berbanding dengan pengaruh hindi dari segi sosiopolitik dan ekonomi. Namun begitu, kita mempunyai bukti yang cukup untuk membuat beberapa pengamatan umum. Antaranya ialah pengaruh intelek hindi dalam kerangka simbolisme yang mendasari sains dan doktrin kosmologi Melayu kuno. Asas simbolisme tersebut, misalnya, wujud dalam bahasa Sanskrit yang bukan sahaja merupakan bahasa komunikasi sosial bahkan juga bahasa ilmu khususnya bahasa sains hindi. Dari segi

sejarah dan falsafah sains terdapat sekurang-kurang tiga doktrin kosmologi hindi yang penting. Doktrin yang sama kemungkinan besar juga memainkan peranan dalam pembentukan kosmologi Melayu lama. Doktrin tersebut difahamkan sebagai (1) falsafah alam (2) monistik-mistikal dan (3) theistik. Kita tidak mungkin dapat mengupas doktrindoktrin tersebut disini. Apa yang penting bagi tujuan perbincangan ini ialah untuk menyedari bahawa doktrin tersebut adalah hasil dari beberapa perkembangan intelektual yang membentuk Weltanschauung yang mendasari budaya ilmu hindi; terutamanya dalam perkembangan falsafah tabii yang menjadi asas kepada kosmologi tabii hindi. Misalnya, dalam perkembangan doktrin hindi seperti Vaisesika, Nyaya, dan falsafah Jainisme (termasuk Abhidhrama bagi Buddhisme) terdapat penekanan kepada garis-garis pandangan alam, epistemologi, "logik" dan kaedah pemikiran sistematis yang tertentu. Misalnya, fenomena tabii dalam alam ini difahamkan sebagai bergantung kepada beberapa faktor asas metafizikal. Struktur alam atau kosmos dijelaskan dalam konteks faktor asas tersebut dan beberapa prinsip asas yang dipercayai mengawal interaksi faktor tersebut. Perkembangan ini menghasilkan satu sistem formalisasi bahasa yang membolehkan sintesis, antara lain, konsep alam dan analisis falsafah dalam konteks kategori hakikat, wajib dan perlu (misalnya dalam doktrin Vaisesika). Formalisasi bahasa, terutamanya, membolehkan pembentukan satu sistem logik dan sistem simbolisme matematico-kualitatif yang dijelaskan dalam konteks doktrin kosmologi tertentu. Dalam doktrin Nyaya, misalnya, terdapat sistem formal "logik" yang dikaitkan dengan falsafah alam yang terdapat dalam doktrin Vaisesika. Kita tidak tahu dengan pasti mana antara doktrin-doktrin tersebut yang mempengaruhi dan memainkan peranan utama dalam pembentukan Weltanschauung Melayu era hindi. Apa yang pasti dan dapat disepakati ialah elemen falsafah hindi dan sains hindi memainkan peranan yang penting dalam pembentukan kosmogoni dan kosmologi Melayu tradisonal. Apa yang turut pasti ialah elemen tersebut menjadikan kosmologi Melayu menekankan pandangan alam maya yang menganggap fenomena fizik tabii hanya sebagai maya (illusi/relatif) dan alam tersebut pada hakikatnya adalah manifestasi dari pergolakkan fenomena dalam alam mitos atau alam metafizik. 1.5. Fasa Islam Fasa ini kemudiannya diikuti dengan fasa Islam. Dalam fasa Islam, budaya fikir Islam mengemukakan doktrin metafizik dan kosmologi yangamat berbeza sekali dengan hindi. Falsafah Islam menekankan kosmologi "metafizikal rasional" yang berteraskan doktrin Tauhid. Pemikiran Islam menekankan konsep serta pendekatan pemikiran yang mengimbangkan fakulti rasio dan intellectus. Fakulti rasio diangggap sebagai sumber ilmu maqulat, empiris dan rasional. Ilmu maqulat dilihat sebagai mempunyai sifat relatif dan sekunder. Padanagan ini berdasar anggapan bahawa ilmu maqulat berpunca daripada salah satu komponen atau fakulti akal yang terbatas. Manakala fakulti intellect, atau ayn al-qalb ialah pusat penumpuan ilmu naql. Fakulti yang mengenal ilmu mutlak serta ilmu transenden. Oleh sebab itu, dari segi martabat, intellect dianggap sebagai lebih unggul daripada rasio.

Dalam epistemologi Islam, ulum atau ilmu sekurang-kurangnya boleh dilihat sebagai terdiri daripada dua kategori umum - ilmu relatif dan ilmu yakin atau mutlak. Ilmu relatif dan mutlak itu sebenarnya mempunyai banyak cabang, tetapi untuk tujuan perbincangan disini kita tidak perlu meneliti kesemuanya itu. Memadai dengan menyedari bahawa ilmu relatif merujuk kepada ilmu yang boleh didapati oleh manusia dalam alam fana ini melalui usaha akalnya sendiri dan ilmu mutlak pula merujuk ilmu metafizik ( dari sisi Al-Ilm) yang diwahyukan atau ditanzilkan oleh Tuhan yang Maha Mengetahui. Kedudukan dan martabat kedua-dua ilmu tersebut adalah jelas berlainan. Kerana itulah dalam epistemolgi islam terdapat konsep martabat ilmu dan juga metodologi ilmu. Sehubungan dengan konsep ilmu ialah konsep konsep kausal sekunder dan primer (yang menjadi objek ilmu relatif manusia) dan Penyebab Mutlak (yang menjadi objek ilmu mutlak) merupakan penyebab dan pengerak fenomena fizik tabii dan fenomena metafizik, kesemuanya dirangkumkan dalam model kosmologi Tauhid. Kosmologi yang melihat manusia sebagai khalifah Allah yang memikul amanah Tuhan dengan bantuan para Malaikat disamping terpaksa berhadapan dengan syaitan dan jin. Kosmogoni Islam menganggap alam ghaib sentiasa berinteraksi dengan alam zahir. Bahkan tiada fenomena fizik yang terputus dari ikatan fenomena alam metafizik. Oleh itu fenomena tabii adalah ayat atau simbol yang mewakili hakikat metafizik yang lebih tinggi. Jelas, elemen-elemen sistem pemikiran yang digariskan tadi wujud - walaupun dalam takat dan kadar yang tidak seragam - dalam pemikiran Melayu tradisional. 1.6. Rumusan Tegasnya, Weltanschauung Melayu tradisonal terbentuk daripada rumusan gagasan pemikiran animisme, hindi dan Islam. Namun, sudah tentu terdapat unsur dari gagasan tersebut yang lebih menyerlah dari yang lain. Lazimnya, unsur Islam dianggap sebagai unsur dominan didalam metamorfosis atau "mutasi" akhir yang membentuk pemikiran Melayu tradisonal. Dalam konteks perbincangan kita disini sebenarnya, unsur mana yang paling dominan merupakan persoalan kedua. Apa yang penting ialah kesemua unsur pemikiran tersebut bergabung dalam satu kompleks kerangka fikir dan pandangan alam yang memberatkan penekanan kepada kosmologi metafizikal dan pemikiran yang megutamakan tafsiran simbolisme dan sintesis holistik. Tegasnya, sistem kosmologi dan pandangan alam yang pada asasnya menekankan interaksi dinamis antara alam metafizik dengan material. Interaksi ini dapat difahami melalui sistem simbolisme yang komplek yang dipelihara dan dipupuk oleh kerangka budaya dan semiotik tradisional. Simbol-simbol kosmologi tradisional Melayu adalah jelas merupakan simbol semantis dan kualitatif yang mempunyai makna transenden yang tinggi dan makna budaya yang seni. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus holistik dan sintesis berbanding dengan rasio analitik dan reduksionis. Fakulti intellect melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantis berbanding dengan rasio yang lebih menekankan simbol sintaksis reduksionis. Pemikiran rasio, kita akan perhatikan dalam perbincangan selanjutnya, merupakan teras pemikiran sains moden dan juga Weltanschauung komputer. Pemikiran rasio amat ditekankan dalam budaya fikir Eropah terutama budaya fikir sekular pasca-Nasrani. Setakat mana budaya fikir ini (yang mula dibawa ke alam fikir Melayu secara sistematis oleh penjajah Inggeris) mendatangkan

kesan kepada pemikiran Melayu maseh merupakan persoalan yang belum terjawab dengan memuaskan. Apa yang jelas ialah budaya fikir tersebut tidak dianggap sebagai memainkan peranan yang besar dalam membentuk ciri-ciri utama Weltanschauung Melayu tradisional (lama?). I. Pengenalan Orang Melayu tradisional menghayati satu cara hidup yang dianggap unggul dari segi kaca mata pandangan moden semasa. Antara manifestasi keunggulan tersebut ialah apa yang terkandung dalam pandangan alam (Weltanschauung) dan budaya alam bangsa Melayu. Bagi orang Melayu tradisional, mereka melihat alam tabii ini sebagai penuh dengan makna, simbolisme, gurindam dan syair. Pandangan mereka sekali-kali tidak terhad kepada manifestasi material alam, bahkan bagi mereka dimensi fizikal yang amat penting bagi sains dan teknologi moden hanyalah satu manifestasi kecil fenomena alam ini yang kewujudannya sebenarnya bergantung kepada dimensi hakikat dan ruh yang maha seni. Penghayatan pandangan ini, misalnya, dapat diperhatikan secara praktis dalam kehidupan seharian dan kemasyarakatan mereka. Ciri keunggulan lain ialah orang Melayu tradisional juga boleh dikatakan sebagai hidup berteraskan prinsip harmoni dengan alam. Keharmonian ini dihayati melalui ritual dan manisfestasi kebudayaan. Ritual dan manifestasi kebudayaan tersebut biasanya digariskan oleh semiotik tabii dan kosmologi kebudayaan yang diwarisi dan dimantapkan generasi demi generasi. Perkembangan semiotik tabii dan kosmologi kebudayaan generasi-generasi tersebut menyerap pelbagai unsur yang datang dari luar ruang budaya Melayu asli. Unsur-unsur luar tersebut datang daripada timur dan barat. Hindu, Buddhis, Islam dan Barat merupakan pengaruh yang memberi kesan kepada pembentukan semiotik dan kosmologi Melayu. Namun demikian, intipati semiotik dan kosmologi Melayu masih terpelihara. Pada asasnya intipati semiotik Melayu ada hubungannya dengan pelbagai dimensi pandangan alam Melayu. Intipati ini, antara lain, ialah mengenai kepercayaan bahawa alam fizikal ini hanyalah manifestasi kecil atau hijab bagi alam metafizik. Dalam kosmologi Melayu, alam tabii dianggap penuh dengan unsur-unsur ghaib dan mistik. Haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan bahkan batu-batan dilihat lebih daripada sudut simbolisme transendentalnya berbanding daripada sudut manifestasi fizik dan duniawinya. Oleh itu dalam "alam Melayu," haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan mampu bercakap, bahkan bermadah secara bernas setanding dengan sebarang pujangga manusia. Alam Melayu juga dimana manusia (khasnya syaman, pawang, bomor, sufi dan wali Allah) berinteraksi dengan haiwan, tumbuhan dan batu-batan pada tingkatan yang sukar diterima dan untuk dibayangkan oleh manusia sekular. Kemampuan bertinterkasi tersebut juga merupakan landasan yang membuka jalan bagi manusia Melayu mampu hidup berharmoni dengan alam tabii. Bagi kebanyakan manusia moden, khususnya dari barat, bercakap dengan mahluk lain selain sesama manusia hanyalah dalam cerita dogeng. Dalam dunia Melayu, hal tersebut tidak dianggap dongeng atau fiksyen. Hampir tidak ada langsung manusia Melayu tradisional yang akan menidakkan kosmologi mereka. Walaupun kepercayaan dan pandangan alam mereka dianggap bertentangan dengan kenyataan moden atau pandangan sains.

II. Orang Melayu dan Dunia Melayu Semiotik Melayu tidak dapat dipisahkan daripada doktrin kosmologi Melayu. Hubungan semiotik dan kosmologi boleh diibaratkan sebagai hubungan antara pasak dengan bangunan atau semiotik ialah intipati kosmologi. Sifat kosmologi adalah pada asasnya seni dan ghaib, begitu juga sifat semiotik. Kedua-duanya pula bukanlah statik dan juga bukan sejenis. Pelbagai suku kaum Melayu telah memupuk semiotik dan kosmologi yang pelbagai sesuai dengan ragam puak itu. Hal ini kerana sumber semiotik dan kosmologi sebenarnya datang daripada senubari manusia Melayu dan masyarakatnya. Oleh demikian sekiranya kita ingin menyingkap doktrin semiotik dan kosmologi Melayu kita harus menoleh seketika kepada profil manusia Melayu dan asal usul kaumnya. Para pengkaji barat mempercayai orang Melayu tergolong dalam gagasan puak MalayoPolinesia. Gagasan ini termasuk mereka yang menghuni kawasan geografis yang dikenali kini sebagai Burma, Kambodia, Indonesia, Fillipina dan kepulauan polinesia sehingga ke pulauan Hawaii. Orang Melayu yang pertama menghuni kawasan nusantara Melayu ini dipercayai kira-kira 50 000 s.m. Menjelang abad ke sebelas sebelum masehi "Melayu baru" atau "Melayu" yang bertutur "bahasa Melayu kuno" mula menduduki semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Borneo, Fillipina, dan Indonesia. "Bahasa Melayu" tersebut tergolong dalam rumpun bahasa-bahasa Malayo-Polinesia. Gagasan bahasa itu merupakan bahasa ibuda rantau Asia Tenggara dan kepulauan Pasifik. Disebelah timur cabang bahasa tersebut ialah manifestasi bahasa-bahasa yang kini dikenali sebagai bahasa Samoa, Tahiti dan Tongan. Dicabang sebelah barat pula yang juga dikenali sebagai "cabang Malaysia" ialah bahasa Melayu, bahasa-bahasa Indonesia (misalnya Java, Minang dan sebagainya) Patani, dan Tagalog. Ditengah-tengah pula ialah bahasa orang-orang asli semenanjung dan juga kepulauan Borneo. Di semenanjung, kaum orang asli merupakan yang paling rapat dengan orang Melayu. Tetapi mengapa pula orang asli tersebut dianggap rapat dengan orang Melayu? Antara sebabnya ialah dipercayai bahawa orang asli ialah kaum asal Melayu atau salah satu puak primitif bangsa Melayu yang tertinggal daripada menjalani proses evolusi sosial seperti saudara maju mereka yang lain. Pandangan tersebut sebenarnya adalah popular dikalangan para anthropologis kolonial dan barat. Sebab itulah mereka telah memberi nama kepada kaum-kaum asli dengan gelaran seperti Melayu-proto, Melayu-deutero, Senoi dan pelbagai lagi, terlalu banyak untuk disenaraikan kesemuanya. Semasa pemerintahan kolonial, termasuk British, kaum-kaum orang asli tersebut hidup di pendalaman dengan cara hidup yang mereka warisi turun-menurun. Kebanyakan mereka bercucuk tanam sementara waktu didalam kawasan hutan dan berpindah selepas kawasan tersebut dianggap tidak lagi subur atau kurang binatang buruan. Kebanyakan mereka masih mengamal cara hidup lama mereka sehingga tahun-tahun 1970an, apabila program-program pembangunan kerajaan membawa pembaharuan kepada kebanyakan daripada mereka. Perkahwinan mereka dnegan orang Melayu bandar dan penglibatan anak-anak mereka dalam pendidikan formal juga telah sedikit sebanyak merubah kehidupan orang-orang asli. Bahkan, dijangkakan menjelang tahun 1998 kaum Senoi dianggap sebagai yang paling tradisional berbanding dengan kaun-kaun asli yang lain

akan mempunyai seorang graduan Ph.D dalam bidang sosiologi dan anthropologi dari kalangan anak watan mereka. Namun demikian, masih ada lagi kalangan orang asli yang menjalankan cara hidup lama mereka. Bahkan setakat ini pun hampir sukar untuk mendapati orang-rang asli yang tingal di kawasan perbandaran. Kebanyakan mereka yang hidup secara moden tinggal dipersekitaran perkampungan khas yang masih lagi jauh daripada kota-kota raya yang besar. Walaupun begitu kebanyakan perkampungan moden ini mempunyai kemudahan moden asas seperti air paip, sekolah, klinik dan juga tenaga elektrik. Tetapi dalam banyak hal, cara hidup baru tersebut tidak merubah pandangan alam dan kosmologi asli mereka. Oleh itu, mengkategorikan orang-orang Melayu berdasarkan kosmologi mereka adalah lebih bermakna berbanding dengan kriteria yang lain. Berdasarkan premis tersebut kita akan dapati dua kumpulan besar iaitu: (I) Melayu Tradisional, dan (ii) Melayu Moden. Melayu tradisional, termasuk kaum orang asli, orang Melayu (yang patuh kepada cara hidup) adat, orang "Melayu sufi atau mistik. Mereka ini ialah orang menghayati semiotik dan kosmologi tradisional sepereti yang telah dijelaskan. Melayu moden pula tergolong daripada kalangan mereka yang menghayati semiotik dan kosmologi yang dipengaruhi oleh pemikiran sekular dan sains barat. Mereka ini juga kalang kala digelar sebagai "Melayu rasional" atau "Melayu sekular." Hal ini kerana mereka biasanya banyak dipengaruhi oleh falsafah rasiona atau sekular barat. III. Pengaruh Luar Seperti yang kita katakan tadi, kepelbagaian semiotik kosmologi Melayu adalah disebabkan oleh pertembungan dengan unsur dan budaya fikir asing. Antara pengaruh yang meninggalkan kesan yang mendalam dan menyeluruh ialah agama. Pada asalnya orang Melayu kuno dipercayai rata-rata bepegang kepada kepercayaan animisme, atau syamanisme. Menjelang tahun 100 sebelum masehi dan 200 masehi, agama hindu dan buddha bertapak dikalangan orang Melayu. Mulai tahun 1100 pula, Islam menggantikan agama benua India sebagai agama dan kepercayaan unggul kalangan orang Melayu, terutamanya mereka yang berada di semenanjung, dan kepulauan besar Indonesia (Sumatra, Java dan Kalimantan). Walau bagaimana pun orang asli semenanjung masih teguh berpegang kepada agama kuno mereka, sebahagian daripada mereka, terutamanya di Borneo, memeluk agama nasrani dan sebahagian kecil pula memilih Islam. Namun, orang Bali masih teguh hingga ke hari ini dengan agama hindu yang mereka warisi dari pertembungan kuno dengan elemen hindi. Agama-agama tersebut merupakan unsur aktif yang mempengaruhi sepanjang pembentukan Weltanschauung Melayu. Oleh itu, pada satu-satu masa, semiotik agama tertentu mungkin meninggalkan acuan tertentu yang menyerlah sebagai ciri utama kosmologi berbanding dengan yang lain. Di lain masa acuan agama lain pula yang terserlah. Namun ciri utama tersebut hanyalah satu lapisan semasa yang menutup lapisan-lapisan pengaruh sebelumnya. Bahkan biasanya unsur-unsur sebelumnya timbul untuk mewarnai bentuk semiotik semasa. Hal tersebut mungkin dapat diperhatikan sebagai ciri sekunder yang wujud samping ciri utama semiotik semasa, namun ciri sekunder tersebut masih dapat dikesan dengan jelas.

Oleh itu boleh dikatakan pada awal sejarah Melayu bahawa semiotik tabii dan bentuk kosmologi Melayu adalah pada asasnya syamanistik, atau animistik. Dalam perkembangan selanjutnya, pengaruh hindu dan buddha pula mewarnai semiotik dan kosmologi Melayu. Islam kemudiannya menggantikan hindu dan budhha sebagai pengaruh dominan. Doktrin sufi, misalnya, masih meninggalkan kesan yang mendalam hatta di kalangan Melayu moden. Pada zaman moden, sebahagiannya akibat pertembungan dengan para pendatang kolonial barat, kosmologi saintifik barat juga memainkan peranan dengan menambah lapisan kompleks kosmologi dan semiotik Melayu. Mahu tidak mahu, peredaran masa telah menjadikan pengaruh-pengaruh tersebut menjurus ke dalam satu ruang kewujudan spatial dan temporal. Manifestasi kewujudan ini ialah dalam semiotik dan kosmologi semasa yang dapat diperhatikan dalam budaya Melayu kini. IV. Kesimpulan Syamanisme, hinduisme, buddhisme dan Islam merupakan antara punca semiotik tabii dan sumber doktrin-doktrin kosmologi tradisional. Manakala, sains moden dan falsafah sekular, pendatang terkemudian, menjadi sumber antitesis kepada semiotik dan doktrin kosmologi tradisional. Bahkan terdapat doktrin kosmologi Melayu semasa yang cuba mengabungkan unsur tradisional dan saintifik. Versi sekular melampau yang diasaskan pada falsafah sekular neo-darwinisme dan sains juga wujud. Walau bagaimanapun versi tersebut lebih merupakan suatu yang dianggap luar biasa; amat sedikit sekali orang Melayu yang tertarik dengan doktrin seumpama itu. Pada umumnya orang Melayu masih terikat dengan Weltanschauung tradisional dan gagasan budaya fikir Melayu. Gagasan ini boleh disimpulkan sebagai melihat alam tabii ini penuh dengan simbolisme semantik, gurindam dan syair. Penghayatan pandangan ini, misalnya, dapat diperhatikan secara praktis dalam penghayatan ritual dan manisfestasi kebudayaan. Ritual dan manifestasi kebudayaan tersebut biasanya digariskan oleh semiotik tabii dan kosmologi kebudayaan yang diwarisi dan dimantapkan generasi demi generasi. 1. Pendahuluan Meninjau sesuatu yang lampau, yang berlaku dalam rangka waktu yang sudah berlalu dengan begitu lama, membawa banyak risiko historiografi. Resiko tersebut semakin bertambah apabila melibatkan penelitian interaksi dua atau lebih alam fikir serta ditambah pula dari dua kawasan geografi yang berbeza. Resiko pertama digelar anakronisme. Hal ini berlaku apabila kita meletakkan nilai dan kriteria ilmiah semasa dalam memahami sesuatu fenomena intelektual sejarah yang sebenarnya bersifat temporal atau setempat. Resiko kedua ialah tentang hal data. Ketandusan data melalui kemusnahan bahan atau sumber bahan asal (seperti manuskrip atau dokumen) akibat faktor masa atau sejarah, merupakan hal yang sering terjadi. Namun, bagi data yang sedia terbentang, soal kesahihan pula harus diperhatikan. Hal ini kerana martabat kesahihan sesuautu data itu

boleh menentukan serta mempengaruhi interpretasi atau darjah ketepatan periwayatan sejarah. Soal darjah ketepatan interpretasi terutamanya timbul apabila kita membuat analogi antara dua fenomena intelektual dalam dua dimensi geo-politik yang berbeza. Interpretasi yang kurang tepat mungkin juga lahir akibat penggunaan acuan budaya fikir asing dalam menginterpretasi sesuatu kejadian atau pengalaman yang sememangnya terpencil atau setempat. Ketiga-tiga risiko tersebut wujud dalam apa juga bentuk historiografi terutamanya dalam meninjau sejarah intelektual atau perkembangan budaya fikir sesuatu tamadun. Oleh itu kuliah ini turut terikat dengan batasan historiografi yang disebutkan tadi. Namun, demi untuk menambah pembendaharaan pengetahuan tentang perkembangan budaya fikir Melayu, risiko tersebut harus harungi. Kita melakukan dalam dua siri kuliah yang awal dan dalam kuliah ini kita akan meneruskan perbincangan kita. 2. Fasa-Fasa Utama Pertembungan budaya fikir dan kosmologi Melayu dengan Eropah boleh dikatakan berlaku dalam tiga fasa utama. Fasa pertama antara akhir abad ke-16 dan awal abad ke17. Fasa kedua pada akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18. Fasa ketiga ialah pada akhir abad ke-18 hingga awal abad ke-20. Fasa pertama melibatkan pertembungan dengan bangsa Eropah selatan, terutamanya Portugis. Fasa kedua pula ialah pertembungan dengan bangsa Eropah utara, iaitu Belanda. Manakala fasa ketiga ialah pertembungan dengan bangsa kepulauan British, khususnya orang-orang Inggeris. Fasa pertama juga dikenali sebagai fasa Eropah Latin atau fasa Portugis. Fasa kedua pula dikenali sebagai fasa Eropah benua atau kontinental. Manakala fasa ketiga ialah fasa Inggeris atau Eropah kepulauan British. Fasa-fasa utama tersebut dikaitkan bukan sahaja dengan bangsa dan tempat asal orang Eropah yang datang menjelajah ke Tanah Melayu, malah yang lebih penting sekali ia juga berkaitan dengan budaya fikir dan latar belakang kosmologi yang wujud pada zamanzaman tersebut. Misalnya, fasa Portugis bertepatan dengan penghujung zaman kebangkitan ilmiah yang dipengaruhi oleh neo-Thomisme dan skolasticisme. Fasa Eropah kontinental berlatar belakangkan iklim ilmiah yang dipengaruhi oleh humanisme yang kemudian melahirkan zaman cahaya (Enlightenment). Fasa Inggeris dikaitkan dengan zaman gelombang rasionalisme dan sekularisme. Gelombang ini dikaitkan dengan faham Kartesianisme dan saintifik yang berpunca daripada fikiran Rene Descartes dan Francis Bacon. Descartes tokoh ilmuwan benua Eropah dan Bacon pula tokoh dari kepulauan British. Corak kosmologi zaman ini banyak ditentukan oleh tokoh sains berbanding daripada golongon cendekiawan seperti paderi atau ahli teologi. Fasa Inggeris juga bersamaan dengan gelombang ilmiah empiricisme. Budaya fikir ini mendapat tempat yang istemewa dikalangan masyarakat ilmuwan Inggeris atau AngloSaxon. Budaya fikir tersebut banyak dikaitkan dengan tulisan-tulisan yang diasaskan oleh para ahli fikir seperti Thomas Hobbes (1588-1679), John Locke (1632-1704) dan para ahli sains seperti Boyle (1627-1691) dan Newton (1642-1727). Epistemologi empiricisme bercirikan penekanan kepada asas ilmu empiris dan mengetepikan asas-asas selain itu,

10

terutamanya metafizik. Konsep-konsep kausaliti, alam tabii dan minda hanya dijelaskan dalam kerangka doktrin empricisme. Abad ke-19 dan awak abad ke-20 juga melahirkan gelombang ilmiah yang dipanggil positifisme. Bagi positifisme segala wacana ilmiah dan sains harus bertunjangkan bukti emprisis. Oleh demikian bagi positifisme tidak ada peranan bagi kuasa ghaib, dewa-dewi, semangat atau keTuhanan. Kosmologi yang timbul daripada faham ini telah digelar kosmologi saintifik dan masih berpengaruh sampai ke zaman ini. 3. Pertembungan Awal Pertembungan awal budaya fikir dan kosmologi Melayu dengan budaya fikir Eropah bermula dengan kedatangan Eropah ke dunia Melayu. Orang Eropah telah merantau dan melawat dunia Melayu semenjak awal abad ke-16. Lawatan awal dibuat oleh orang-orang Portugis dan kemudiannya diikuti oleh orang-orang Sepanyol. Kedua-dua bangsa Eropah ini berasal daripada pembinaan semula bangsa Eropah selatan diatas runtuhan jajahan Andalusia. Kedatangan mereka ke dunia Melayu didorong oleh perdagangan, khususnya rempah-ratus dan juga cerita-cerita mitos tentang wujudnya wilayah berhampar emas kuning yang digelar Golden Chersonese di alam Melayu. Kedatangan mereka ke alam Melayu adalah juga disebabkan perubahan yang berlaku dalam Weltanschauung dan alam fikir bangsa Eropah, khususnya mereka yang tinggal disekitar lautan Mediterranean. Eropah selatan telah menjadi punca telusan cahaya perubahan yang merobah suasana kegelapan ilmiah dan kekontangan budaya fikir Eropah. Perubahan tersebut yang dicirikan oleh kebangkitan budaya fikir dan ilmiah dikenali sebagai Renaissance. Kebangkitan tersebut sedikit sebanyak terhutang budi kepada peradaban Islam Andalusia yang telah menjadikan jajahan Sepanyol dan Portugal sebagai pusat ilmu dan kebudayaan tinggi yang terulung. Fenomena sosio-intelektual yang mula berlaku di kawasan Mediterranean dan Eropah Selatan kemudiannya merebak ke serata benua Eropah. Alam Melayu sememeng tidak asing kepada para nakhoda dan para ilmuwan Andalusia. Mereka banyak menulis mengenai perihal kesuburan dan kekayaan sumber tani dan alam yang wujud di alam Melayu. Cerita-cerita mengenai hamparan emas di Nusantara yang kemudiannya menjadi lagenda Golden Chersonese dikalangan para pelayar dan pengembara Eropah adalah dipercayai juga timbul daripada tulisan-tulisan tersebut. Selepas jatuhnya kerajaan Andalusia tulisan-tulisan tersebut telah berpindah ke tangan orang Portugis dan Sepanyol. Pelayaran dan ekspedisi laut yang berlaku secara besarbesaran oleh orang Portugis dan Sepanyol pada abad ke-16 tidak syak lagi didorong oleh pengetahuan baru mengenai alam emas dan rempah ratus yang telah berpindah kepada ke tangan mereka. Pelayaran dan ekspedisi orang Portugis berlatarkan suasana ilmiah tertentu. Budaya fikir dan kosmologi Eropah Selatan masih berteraskan kosmologi neo-platonik. Ciri-ciri alam Timeus Plato mewarnai wacana kosmologi ketika itu. Kosmologi tersebut dicirikan oleh kewujudan alam ghaib yang dapat difahami oleh akal manusia. Tulisan-tulisan kosmologi para cendekiawan agung Yunani seperti Aristotle tersebar luas. Kebanyakan tulisan tersebut diperkenalkan melalui komentari para cendekiawan Islam seperti ibn Sina, ibn

11

Rushd dan al Maimum. Namun diwaktu ini juga timbul semangat dan keyakinan diri membara dikalangan orang Eropah baru. Perubahan ini yang bermula di medan pertempuran ketenteraan telah melimpah ke medan ilmu. Seperti yang telah dijelaskan suasana ilmiah jajahan Portugal banyak dipengaruhi oleh gereja terutamanya yang dikaitkan dengan ajaran Aquinas atau juga dikenali dengan Thomasisme. Apa yang menarik ialah suasana ilmiah di Nusantera juga mempunyai pertalian dengan Andalusia. Tulisan-tulisan atau sekurang-kurang ajaran tokoh-tokoh Andalusia seperti ibn Rushd telah pun mendapat tempat dikalangan para ulama dan tokoh ilmuwan Melayu lama. Boleh dikatakan sejenis skolasticisme Islam telah pun meresap didalam budaya fikir Melayu melalui pengaruh Islam yang telah tiba berabad-abad lebih awal. Thomasisme dan skolasticisme Islam mempunyai punca yang sama iaitu daripada komentari cendekiawan Islam seperti ibn Rushd tentang ajaran Plato dan Aristotle. (Kupasan lanjut mengenai pengaruh Andalusia dalam alam Melayu boleh didapati dalam tulisan saya yang berjudul: " Pengaruh Andalusia dalam Doktrin Perubatan Melayu," dlm. Cendekia, Akademi Pengajian Melayu, Bil.3, (1993), hlm.7-22). Oleh itu sekiranya seorang cendekiawan atau paderi Portugis cuba berdialog dengan ulama Melayu, mereka mungkin terperanjat kerana mendapati hujah-hujah mantik, doktrin kausaliti dan kosmologi antara mereka mempunyai lebih banyak persamaan daripada perbezaan. Namun dialog seperti itu tidak berlaku akibat sikap permusuhan dan prejudis keagamaan tebal pendatang Portugis terhadap orang Melayu. Sebaliknya Portugis mendapati bahawa orang Melayu Melaka, misalnya, lebih banyak mengingatkan mereka kepada musuh sejarah mereka iaitu Moors Andalusia di semenanjung Iberia. Maka tidak hairanlah Portugis datang dengan membawa prejudis peperangan salib yang dimanifestasikan dengan penaklukan kota Melaka oleh Alfonso d Albuquerque pada tahun 1511. Usaha pengkristenan orang Melaka secara paksa dilakukan sebaik sahaja Portugis menaluki kota Melaka. Namun dilaporkan lebih ramai orang Melaka yang lebih sanggup disembelih daripada sanggup bertukar agama. Kekerasan Portugis dan kebencian orang Melayu terhadap penjajah bangsa Eropah telah menyebabkan interaksi budaya dan ilmiah hampir mustahil berlaku diwaktu itu. Hal ini berterusan walaupun pada tahun 1548 Portugis telah membuka sekolah pertama Eropah untuk mengajar bahasa Portugis dan Latin. Pengaruh budaya fikir dan ilmiah Portugis boleh dikatakan hampir tiada. 4. Pertembungan Kedua Belanda merupakan bangsa Eropah kedua yang datang selepas Portugis dan menjajah alam Melayu. Pada tahun 1641 Portugis dihalau keluar dari Melaka oleh musuh pedagangan mereka iaitu Belanda. Kedatangan Belanda ke alam Melayu lebih didorong oleh perdagangan Mercantil berbanding dengan semangat keagamaan. Politik dan perhubungan diplomatik yang dijalin oleh Belanda dengan pemerintah Melayu tempatan adalah lebih sofisikated berbanding Portugis. Hal ini terbukti, misalnya, apabila Belanda mampu mendapat pertolongan orang Melayu Johor ketika menyerang Melaka. Suasana ilmiah di benua Eropah ketika Belanda bertapak di semenanjung Melayu adalah amat berbeza daripada zaman Portugis. Perubahan ini dicirikan oleh kurangnya peranan gereja dalam arus perkembangan ilmiah. Hal tersebut amat jelas kelihatan dalam penggantian

12

kosmogoni keagamaan yang berpaksikan bumi dengan kosmologi heliosentrik Copernican. Geosentrisme yang dipopularkan oleh gereja mendapat pukulan paling teruk terutamanya dari tulisan Galileo. Namun pergolakan ilmiah di benua Eropah tidak sedikitpun menampakan kesannya kepada jajahan Belanda di Nusantera. Belanda sememangnya lebih berminat kepada mempraktikan doktrin mercantilisme mereka lebih dari segala-gala. Di jajahan mereka, orang Belanda lebih cenderung untuk memencilkan diri mereka dibelakang temboktembok pertahanan daripada berinteraksi dengan masyarakat setempat. Umumnya Belanda mengambil sikap bahawa orang tempatan tidak mempunyai sesuatu yang berharga selain dari rempah ratus, emas dan bijeh. Orang asing, seperti orang Melayu dan tempatan dianggap sebagai terlalu primitif untuk diajak berwacana ilmiah. Tegasnya, Belanda tidak meninggalkan sebarang kesan penting kepada perkembangan budaya fikir setempat, khususnya di kalangan orang-orang Melayu. 5. Pertembungan Ketiga Bangsa Eropah yang ketiga memain peranan utama di Nusantara ialah Inggeris. Berbanding dengan bangsa eropah sebelumnya, Inggeris mungkin terulung dari segi pengaruh dan peranan mereka di alam Melayu. Inggeris mula bertapak di semenanjung melalui Pulau Pinang pada tahun 1786. Namun begitu Inggeris telah pun menjalinkan perdagangan dengan negeri-negeri Melayu seperti Kedah semenjak tahun 1623 lagi. Kehadiran pesaing seperti Belanda telah menjadikan kedatangan mereka semenanjung sukar sedikit. Namun peperangan Napoleonik di Eropah telah membuka ruang bagi Inggeris mengukuhkan kedudukan mereka di Tanah Melayu. Hal ini jelas berlaku apabila Inggeris berjaya mengambil alih pemerintah Melaka daripada Belanda pada tahun 1795 hanya melalui helah politik dan diplomasi. Dari situ pengaruh Inggeris terus berkembang hingga menjelang abad ke-20 keseluruhan semenanjung Tanah Melayu menjadi jajahan British. Apa yang menjadi perbezaan antara penjajahan British dengan Portugis dan Belanda sebelumnya ialah darjah pengaruh British keatas perkembangan sistem pemerintahan, bahkan juga idealisme sosial dan intelektual masyarakat Melayu dan bukan-Melayu. Hal ini dapat dilihat di segenap cabang kemasyarakatan; dari bidang perubatan hingga ke bidang pendidikan. Apa yang menarik ialah kedatangan British ke alam Melayu bertepatan dengan waktu perkembangan revolusi intelektual di Eropah yang di kenali sebagai revolusi sains. Para pemikir British merupakan antara penyumbang besar kepada revolusi mental tersebut, terutamanya berbanding dengan bangsa Eropah lain seperti Portugis atau Belanda, dan revolusi tersebut telah merobah budaya fikir dan mewarnai kosmologi Eropah buat selama-lamanya. Pemantapan pengaruh British di Tanah Melayu terus berlaku sepanjang abad ke-19 sehingga pertengahan abad ke-20. Pemantapan ini yang juga bererti pengukuhan yang disulami dengan perluasan kawasan penjajahan dibuat dibawah panji "memikul beban orang putih." Abad ke-19 terutamanya pernah diungkapkan oleh para sejarawan sebagai "abad Eropah dalam sejarah dunia," iaitu satu detik dimana Eropah berupaya memaksa keatas umat dunia pemikiran dan politiknya tanpa sebarang sekatan. Detik tersebut juga bertepatan dengan revolusi industri yang mula bercambah di Britain. Revolusi ini telah

13

memberi kekuatan teknologi yang luar biasa kepada Britain berbanding dengan negara lain di dunia ketika itu. Satu natijah daripada revolusi industri Britian tersebut ialah keperluan yang semakin meningkat kepada bahan-bahan mentah (dari bahan logam hingga hasil tani) yang banyak tersimpan di Asia dan Afrika. Keperluan tersebut menjadikan sebab baru kepada penambahan aktiviti penjajahan dan kolonialisme Inggeris di Asia dan Afrika ketika itu. Abad ke-19 turut merakamkan satu lagi perubahan radikal dalam sejarah budaya fikir Inggeris apabila Charles Darwin menerbitkan buku The Origin of Species by Means of Natural Selection. Buku tersebut telah mengketengahkan teori Darwin mengenai evolusi biologis. Walaupun idea tersebut sepatutnya terhad kepada wacana dalam bidang sains biologis namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Idea evolusi telah keluar melimpah ke dalam arena fikiran sosial semasa sehingga melahirkan doktrin "social Darwinism" atau Darwinisme sosial. Teori Darwin turut mempengaruhi idea atau konsep kemajuan (The Idea of Progress) dan juga konsep martabat kewujudan manusia serta bangsa. Idea-idea tersebut melahirkan faham sosial Victorian semasa bahawa orang berkulit menduduki heiraki kewujudan evolusi yang tertinggi dan bangsa berkulit warna dan gelap pula berada ditahap terendah. Oleh kerana kedudukan martabatnya yang tinggi orang putih juga memikul beban tanggungjawab yang tinggi. Maka timbullah cogan "memikul beban orang putih," yang sebenarnya membawa maksud bahawa orang putih telah dibebankan dengan tanggungjawab memakmurkan alam ini serta menjinakkan bangsa-bangsa primitif yang lain. Cogan "beban orang putih" diterjemahkan di Tanah Melayu sebagai mewujudkan "oriental gentleman" atau kelas "Melayu Putih." Ini dilakukan melalui (i) sistem pendidikan kolonial dan (ii) sistem kesihatan/perubatan kolonial. Kedua-dua sistem ini dilaksanakan melalui saluran pemerintahan kolonial dengan sokongan sistem ekonomi dan teknologi kolonial. Namun apa yang penting bagi perbincangan kita disini ialah bagaimana budaya fikir Inggeris buat pertama kalinya meresap secara efektif di kalangan orang Melayu. Salah satu saluran paling berkesan ialah sistem pendidikan yang didukung oleh pengwujudan rangkaian sekolah-sekolah khas (Public School) terutamanya bagi kelas-kelas bangsawan. Sekolah-sekolah ini kemudianya dibuka kepada orang awam. Di sekolahsekolah inilah anak-anak orang Melayu didedahkan kepada falsafah serta doktrin pendidikan yang bertunjangkan perkembangan intelektual yang berlaku di Eropah, khususnya Britain. Orang-orang Melayu mula didedahkan kepada kaedah sains, idea sains dan kosmologi sains. Alam semangat dan alam ruhaniah orang Melayu semakin lama semakin terpencil terutamanya dikalangan mereka yang telah dididik dengan alam sekular sains. Kausaliti dan sebab-musabab saintifik menggantikan konsep magis, mukjizat dan kudrat. Kuman dan vitamin menggantikan konsep hama angin dan panas-sejuk sebagai punca penyakit dan penjaga kesihatan. Ubat-ubatan kimia menggantikan jampi serapah dan akar kayu sebagai penawar bisa serta sakit. Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu daripada pemerintahan Inggeris, sebahagian besar orang Melayu telah pun menganggap bahawa budaya fikir moden yang dibawa oleh Inggeris bukan suatu yang asing. Amat sedikit

14

sekali dikalangan orang Melayu yang menganggap menghayati budaya fikir moden ala Inggeris adalah suatu yang merugikan akal budi Melayu. 6. Penutup Semenjak kedatangan Inggeris, terutamanya menjelang abad ke-20, konsep sains dan falsafah moden semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu. Penerusan program pembudayaan sains dalam kerangka budaya fikir Melayu yang bermula dalam program kolonial telah berterusan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Bahkan pembudayaan tersebut berterusan dengan lebih giat lagi dibawah program pendidikan pasca-Merdeka. Menjelang tahun 1980an program pendidikan tersebut yang menekankan pembelajaran sains moden secara intensif kepada anak-anak Melayu terutamanya pada akhir 60an dan awal 70an telah berjaya melahirkan satu masyarakat saintis Melayu dan cendekiawan Melayu yang mempunyai scientific literacy atau scientific consciousness yang tinggi. Penubuhan Akademi Sains Islam (ASASI) pada awal 1970an adalah manifestasi literasi dan kesedaran tersebut. Tetapi ia juga mungkin merupakan manifestasi usaha orang Melayu untuk memadankan paradigma sains moden dengan kerangka kosmologi Melayu tradisional yang berteraskan budaya fikir Islam. Pembudayaan budaya fikir sains moden yang telah berlaku selama ini telah menyediakan Weltanschauung Melayu untuk mudah meresap sebarang anasir perkembangan baru dalam sains dan falsafah moden. 1. Pengenalan Dalam kuliah yang lepas kita telah meneliti bahawa pertembungan alam Melayu dengan tamadun luar sama ada Timur atau Barat telah menghasilkan beberapa perubahan dalam budaya fikir dan kosmologi Melayu. Namun demikian perubahan-perubahan tersebut mungkin tidak seragam dan kadang kala tidak begitu ketara apabila diperhatikan pada anggota masyarakat Melayu dalam konteks-konteks tertentu. Pertembungan antara budaya fikir Melayu dan Barat dikira amat penting kerana berlaku dalam fasa terkemudian berbanding dengan tamadun Hindi dan Asia yang lain. Pertembungan tersebut dapat dicamkan melalui beberapa fasa utama. Misalnya, pertembungan terawal ialah dengan kedatangan orang Portugis ke alam Melayu, yang bermula di Selat Melaka dan berakhir dengan tragedi kejatuhan keseluruhan jajahan Melaka ke tangan "Benggali Putih." Namun begitu penjajahan orang Portugis tidak mendatangkan kesan yang ketara kepada budaya fikir dan kosmologi Melayu. Begitu juga halnya dengan Belanda yang menduduki Melaka selepas Portugis. Pengaruh Belanda ke atas budaya fikir Melayu hampir tidak kelihatan langsung. Bagaimanapun pengganti Belanda di Melaka dan jajahan Semenanjung Melayu, iaitu British meninggalkan kesan yang agak berbeza sekali berbanding dengan penjajah Eropah terawal yang lain. Mengapa? Kebanyakan orang cenderung untuk memberi alasan bahawa British telah menguasai politik dan ekonomi Tanah Melayu hampir lebih 200 tahun semenjak abad ke18 hingga pertengahan abad ke-20. Oleh itu mengikut pendapat tersebut tidak hairanlah sekiranya mereka meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke atas budaya fikir tempatan. Walau pun terdapat sedikit kebenaran di sini, namun kita akan lihat nanti

15

bahawa dalam sejarah pembentukan budaya fikir tradisional, pengaruh Inggeris langsung tidak kelihatan. Hanya pada abad ke-20 barulah budaya fikir Inggeris didapati meninggalkan kesan yang agak ketara ke atas minda Melayu. Lagi pun penguasaan politik yang sekian lama sahaja belum cukup untuk mendatangkan kesan kepada tradisi dan budaya fikir setempat. Alasan lain yang lebih menarik ialah penguasaan British tersebut dilakukan bukan sahaja melalui kuasa ketenteraan dan politik malahan dengan pelbagai cara yang melibatkan penguasaan mental serta budaya fikir. Tegasnya, mungkin yang paling menarik tentang penjajahan British ialah penggunaan instrumen pendidikan dan intelektual bagi meluaskan dan memantapkan kolonialisme mereka di Tanah Melayu. Ketika orang british menjejakkan kaki di Nusantara Melayu, beberapa perubahan penting berlaku yang menentukan arus perjalanan sejarah intelektual British, khususnya, dan Eropah amnya. Kepulauan British merupakan satu-satu tempat yang menjadi pusat dan punca revolusi ilmiah, yang di kenali sebagai revolusi saintifik. Revolusi ini pada awalnya diasaskan pada tulisan dan pemikiran tokoh-tokoh antaranya seperti Francis Bacon (1561-1626), Thomas Hobbes (1588-1679), Robert Hooke (1635-1702) John Ray (16271705), John Locke (1632-1704), Issac Newton (1642-1727) dan David Hume (1711-1776). Revolusi mental tersebut merubah keseluruhan budaya fikir barat, dari kaedah mencari ilmu, punca ilmu dan matlamat ilmu hingga ke persepsi terhadap asal usul manusia dan alam. Proses perubahan ini berlangsung dan dimantapkan lagi pada abad ke-19. Perubahan yang ketara pada budaya fikir ketika itu ialah penghayatan positifisme dan materialisme sebagai teras falsafah dan metafizik sains. Perubahan ini pula membuka jalan bagi pemupukan logik simbolik sintatik dan emperisme logikal. Kesemua itu seolaholah bagi menyediakan tapak kemunculan epistemologi Turing (epistemologi komputer). Epistemologi ini berakar umbi dari pemikiran tokoh ilmiah dan matematik Inggeris seperti Alan Turing (1912-1954), Charles Babbage (1719-1871) dan juga George Boole (18151864). Epistemologi Turing merupakan teras kepada epistemologi Teknologi Maklumat abad ke-20. Pemikiran yang diasaskan oleh tokok-tokoh Inggeris yang tersebut tadi menguasai budaya fikir Inggeris. Sehinggakan tidak ada mereka yang terpelajar dan cendekiawan semasa Inggeris yang tidak dipengaruhi sedikit sebanyak oleh tradisi pemikiran tersebut. Manakala penghantaran para pegawai kolonialisme yang terlatih dan terpelajar semakin bertambah berbanding dengan jumlah pegawai tentera. Para pengkaji ilmiah seperti AR Wallace (1823-1913) yang bertanggungjawab bersama-sama C.Darwin (1809-1882) mencetuskan faham dan "teori evolusi" merupakan antara ribuan pegawai kolonialisme ilmiah yang turut datang ke rantau ini. Di samping itu masyarakat Melayu mula dikaji secara saintifik: dari rangka sosial hingga ke rangka tenggorak mereka. Dalam masa yang sama, Masyarakat Melayu mula dikawal secara saintifik sebagaimana alam tabii di kawal oleh orang british melalui kaedah saintifik. Perubahan dalam falsafah sosial, misalnya kepada falsafah liberal seperti yang dipopularkan oleh Jeremy Bentham (1748-1832) (juga pengasas Universiti London) pula turut meresap ke dalam doktrin sosial dan politik abad ke-19 British. Walau pun pada mulanya kesan doktrin liberal tersebut hanya berlegar sekitar kepulauan British, tetapi sedikit demi sedikit ianya turut membawa kesan kepada corak politik di tanah jajahan. Di semenanjung perubahan ini dapat dikesan apabila sekolah-sekolah kolonial mula dibuka kepada anak-anak tempatan. Hal ini menjadi lebih

16

ketara pada akhir abad ke-19 dan awal ke-20 apabila sistem pendidikan, perubatan dan saintifik terus diperluas kepada orang Melayu. Perubahan ini merupakan antara punca yang membawa kesan ketara dalam pertembungan budaya fikir Melayu dengan Inggeris. 2. Budaya Fikir dan Pengaruh Teknologi Kedatangan British semenjak awal abad ke-18 lagi berbekalkan jentera berat; dari kelengkapan tentera hingga ke kelengkapan awam. Semenjak zaman itu lagi orang Melayu kerap dipegunkan dengan jentera dan teknologi yang dibawa bersama mereka. Kapal laut besi, jentera wap, kapal korek (perlombongan) dan keretapi merupakan antara artifak teknologi yang mendatangkan kesan mendalam dan mengubah lanskap fizikal serta sosial semasa. Di samping itu perubatan kolonial (yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dengan cepat) dan sains pertanian kolonial (yang mampu menyuburkan tanaman seperti pokok getah dari Amazon yang tidak pernah tumbuh di semenanjung). Hal-hal seperti itu mampu bukan sahaja memukau sesetengah daripada masyarakat Melayu terutama dari kelas bangsawan malahan juga menyakinkan mereka betapa hebatnya budaya fikir Inggeris. Dari kelas ini datangnya anak Melayu yang pertama terdidik dalam budaya fikir Barat, manakala masyarakat awam lain masih lagi berpendidikan tradisional yang berteraskan agama. Kembali kepada hal teknologi kolonialisme tersebut, adalah jelas ianya telah dapat mendatangkan perubahan yang ketara dalam gaya hidup dan rentak kerja ketika itu terutama mereka yang tinggal berhampiran bandar-bandar besar. Jentera wap dapat melakukan kerja-kerja lebih cepat dan lebih kuat daripada puluhan dan ratusan pekerja dan haiwan, manakala keretapi dapat mengangkut lebih berat daripada gajah dan berlari lebih laju daripada kuda. Bagi golongan masyarakat yang terdedah kepada artifak teknologi tersebut pandangan dan budaya fikir mereka adalah amat berbeza daripada mereka yang tidak. Masyarakat Melayu dalam akhir abad ke-21 ini tidak banyak bezanya daripada masyarakat Melayu pada akhir abad ke-19 atau awal ke-20, terutamanya dalam hal dipengaruhi oleh sesuatu budaya fikir dan inovasi teknologi. Sememangnya setiap budaya fikir dalam setiap zaman akan sentiasa terdedah kepada idea-idea baru dan kesan inovasi teknologi terkini. Dalam zaman ini Teknologi Maklumat (TM) merupakan teknologi unggul semasa. Namun TM merupakan suatu manifestasi teknologi yang belum pernah di alami oleh mana-mana masyarakat manusia sebelum ini. Belum ada teknologi yang begitu jelas ditegakkan di atas penyatuan epistemologi dan teknologi. Di dalam TM hal ini adalah ketara. TM ialah rangkuman cetusan epistemologi Turing dan teknologi terkini. TM juga boleh difahami sebagai gabungan gagasan idea komputer, dan teknologi komputer. Sebab itulah komputer telah ditakrifkan sebagai epistemologi (Turing) yang dijelmakan dalam bentuk teknologi (semasa). Disebakan sifatnya seperti itu maka TM mampu mendatang beberapa perubahan ketara pada setiap urusan individu dan kemasyarakatan. Kebanyakan teknologi sebelum ini hanya mampu memeberi kesan pada satu tahap sahaja, iaitu sama ada pada peringkata individu atau masyarakat. Jarang sekali yang mampu mendatangkan kesan pada kedua-dua peringkat yang berbeza sekali gus. Kita dapati TM mampu memepengaruhi perubahan pada gaya dan rentak kerja. Hal ini berlaku misalnya apabila sahaja komputer peribadi digunakan dalam sesuatu urusan

17

atau bidang. Apa yang kurang disedari, dan diteliti ialah perubahan turut berlaku pada peringkat yang paling asas iaitu pada gaya pemikiran dan budaya fikir kita. Perubahan ini meninggalkan kesan pada tahap individu dan juga masyarakat. Kesan sebenar TM, yang berteraskan epistemologi perkomputeran, kepada sistem kepercayaan dan pandangan alam dalam budaya fikir Melayu perlu difahami. Antara sebab yang mendesak ialah hakikat bahawa tidak ada masyarakat yang boleh memencilkan dirinya dari arus idea luaran atau gelombang teknologi. Penelitian juga harus ditumpukan kepada persoalan bagaimana epistemologi perkomputeran yang menekankan pemikiran sintaksis, analitis dan reduksionistik mungkin mencabar budaya fikir tradisional Melayu yang cenderung kepada corak semantis, sintesis dan holistik. Sememangnya kesan kemasyarakatan - untung atau ruginya - akibat penganutan sesuatu amalan sains atau penggunaan sesuatu teknologi itu memang sukar untuk di cerap. Kerap jangkaan kita meleset. Kita kerap dapati sesuatu teknologi itu telah pun mempengaruhi individu dan masyarakat dari sudut yang tidak diduga sama sekali hatta oleh penciptanya. Biasa juga teknologi dan sesuatu sains itu digunakan dalam ruang dan tujuan yang lain sama sekali dari objektif asalnya. Hal ini sentiasa berlaku dalam alunan sejarah sains dan teknologi. Perkara yang bersangkutan dengan unsur teknikal adalah mudah untuk dikawal dan diramal natijah dan konsekuensinya. Hal-hal seperti itu biasanya adalah dalam bentuk kuantitatif yang mudah dihitung atau unsur objektif yang boleh di cerap secara empiris. Tetapi bagaimana satu artifak teknologi atau idea saintifik mendatangkan kesan kepada seorang individu atau sebuah masyarakat adalah satu perkara yang lain. Lebih-lebih lagi apabila kesan tersebut berada dalam ruang alam fikir individu atau Weltanschauung sesuatu masyarakat. Mungkin sebab itulah kesan atau impak teknologi dan sains ke atas alam fikir sesuatu masyarakat merupakan hal yang jarang diperkatakan atau diteliti secara ilmiah. Namun begitu setiap masyarakat harus terus cuba untuk memahami bagaimana sesuatu idea luaran atau teknologi itu mendatangkan kesan kepada ahli dan dirinya. Umumnya umat Melayu dewasa ini sedar tentang perubahan radikal dalam keadaan kehidupan material akibat dari penggunaan ilmu sains dan teknologi. Namun kesedaran seperti ini belum cukup untuk dijadikan bahan dan modal untuk menangani cabaran yang mungkin timbul dalam masyarakat tersebut. Adalah jelas misalnya, apa yang peting untuk diketahui namun kurang disedari ialah takat kesan atau sejauh mana teori-teori sains dan teknologi mempengaruhi kerangka mental atau Weltanschauung Melayu, kerana keranaka tersebut ialah teras penyuburan pandangan alam atau kosmologi Melayu. Dalam perbincangan yang lalu kita telah mengatakan bahawa konsep sains dan falsafah moden telah semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu bermula pada awal abad ke-20 ini. Pembudayaan budaya fikir tersebut dalam alam fikir Melayu pada mulanya berlaku dalam program kolonial. Pembudayaan tersebut berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Proses pembudayaan tersebut bertambah giat lagi dalam program pendidikan pasca-Merdeka, terutamanya pada akhir 60an dan awal 70an. Pada ketika itu program-program pendidikan yang menekankan pembelajaran sains secara intensif kepada anak-anak Melayu dijalankan. Pada akhir tahun 70an dan awal 80an boleh di katakan bahawa program tersebut telah berjaya melahirkan satu

18

masyarakat Melayu yang mempunyai budaya fikir sains yang tidak wujud sama sekali sebelum itu. Di kalangan mereka juga mungkin wujud keadaan di mana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional. Tegasnya, nilai-nilai asas, estetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu (lama?) telah digantikan dengan kosmologi dan semiotik sains moden. Sekurangkurangnya kita boleh menjangkakan bahawa di kalangan kelompok mereka jugalah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang istimewa. Hal ini dianggap sebagai suatu detik serta tanda sosial dan psiko-intelektual yang agak unggul dalam sejarah umat Melayu. Namun, setakat yang diketahui, belum ada lagi satu kajian terperinci dan menyeluruh tentang hal tersebut dilakukan. Dalam soal tersebut kita harus meneliti bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi moden mungkin boleh merubah kepercayaan, alam fikir dan budaya fikir Melayu iaitu teras kosmologi Melayu. Juga, bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi mungkin diserap (sama ada secara sedar atau tidak) dan menjadi teras baru kepada kerangka pemikiran Melayu. Fenomena sains dan teknologi terkini ialah dalam bentuk penjelmaan Teknologi Maklumat (TM), dan ianya berteraskan epistemologi dan teknologi perkomputeran. Penelitian kesan sosiointelektual yang diakibatkan oleh penerapan dan penyerapan TM di kalangan umat Melayu harus dilakukan daripada sudut pendekatan analisis epistemologi dan ilmiah. Hal ini merupakan satu yang amat penting yang kurang diberi perhatian. Ada yang menanggap bahawa kajian yang hanya berbentuk sosiologis dan kemasyarakatan telah memadai untuk mengupas segala sesuatu mengenai hal tersebut. Kerap hasil kajian yang ditemui tidak menjawab persoalan asas yang paling perlu dijawab dan diketahui bagi membantu usaha menangani isu yang mendesak. Sama ada perubahan atau kesan TM ke atas umat Melayu akan menghasilkan natijah yang menguntungkan secara mutlak atau sebaliknya, adalah jelas suatu persoalan menarik yang memerlukan jawapan yang kompleks. Mahu tidak mahu kita harus bermula dengan sejarah intelektual dan meneliti perkembangan pandangan alam Melayu. Kita perlu menyedari bahawa pada umumnya Weltanschauung Melayu tradisional terbentuk daripada rumusan gagasan pemikiran animisme, hindi dan Islam. Kita sedari bahawa pernyataan seerti ini terbuka kepada perbahasan yang sengit. Hal ini kerana terdapat beberapa tafsiran yang berbeza tentang apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan Weltanschauung Melayu tradisional. Tokoh pemikir seperti Syed Naquib al-attas cenderung kepada pandangan bahawa yang di katakan Weltanschauung Melayu tradisional itu hanyalah yang dibentuk pada zaman Islam kerana kesannya yang paling menonjol serta menyerlah. Pendapat yang lain pula, termasuk tokoh seperti Mohd. Taib Osman, cenderung untuk mengakui akan kewujudan kerak-kerak pandangan alam lama yang diwarisi oleh tamadun Melayu. Bagi penganut pandangan ini mereka mengakui bahawa sudah tentu terdapat unsur dari gagasan tersebut yang lebih menyerlah dari yang lain. Lazimnya, unsur Islam dianggap sebagai unsur dominan di dalam metamorfosis atau "mutasi" akhir yang membentuk pemikiran Melayu tradisional. Dalam konteks perbincangan kita di sini, sebenarnya, unsur mana yang paling dominan merupakan persoalan kedua. Apa yang penting ialah kesemua unsur pemikiran tersebut bergabung dalam satu kompleks kerangka fikir dan pandangan alam yang memberatkan

19

penekanan kepada kosmologi metafizikal dan pemikiran yang mengutamakan tafsiran simbolisme semantis dan sintesis holistik. Sayangnya kosmologi dan tafsiran seperti ini merupakan suatu khazanah intelektual yang hampir pupus dalam budaya barat moden. Suatu yang tidak harus dilupakan ialah epistemologi TM ditegakkan di atas satu tradisi pemikiran yang membelakang tradisi seperti itu, iaitu tradisi yang memupuk pandangan alam sekularis serta tafsiran simbolisme sintaktik. Di sini sahaja kita telah dapat merasakan ke tidak serasian yang mungkin wujud antara tradisi pemikiran yang menyuburkan epistemologi TM dengan pandangan alam tradisional Melayu. Jelas, hal ini akan berlaku kerana pandangan alam Melayu dan sistem kosmologinya pada asasnya menekankan interaksi seimbang yang dinamis antara alam metafizik dengan material. Interaksi ini pula dipupuk melalui sistem simbolisme kompleks yang didukung oleh kerangka budaya dan semiotik tradisional. Pandangan ini tidak mungkin secocok dengan sistem kosmologi yang cenderung menekankan sebaliknya, iaitu alam fizik material yang tertutup, tanpa ruh yang dapat diwakili hanya oleh simbolisme dan sistem semiotik yang menolak unsur semantik. Masalahnya ialah epistemologi perkomputeran semasa barat tidak mungkin subur dan dapat bertahan dalam iklim pandangan selain itu. Dalam perbincangan awal, kita sedar bahawa simbol-simbol kosmologi tradisional Melayu merupakan simbol semantis dan kualitatif yang mempunyai makna transenden yang tinggi serta makna budaya yang seni. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus holistik dan sintesis. Hal ini berbeza dengan budaya fikir barat yang lebih memberatkan rasio analitis dan reduksionis. Kita sedar bahawa fakulti intellect cenderung melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantis. Manakala fakulti rasio pula lebih cenderung menekankan simbol sintaksis reduksionis. Pemikiran rasio merupakan teras pemikiran sains moden dan juga asas meta Weltanschauung komputer. Pemikiran rasio amat ditekankan terutamanya dalam budaya fikir sekular Eropah pasca-Nasrani. Setakat manakah agaknya budaya fikir ini (yang mula dibawa ke alam fikir Melayu secara sistematis oleh penjajah Inggeris) mendatangkan kesan kepada pemikiran Melayu? Persoalan ini masih lagi merupakan hal yang belum terjawab dengan memuaskan. Walau pun budaya fikir umat Melayu terdedah sekian lama kepada Inggeris, namun apa yang jelas setakat ini ialah budaya fikir barat tersebut tidak berperanan yang besar dalam menentukan corak asas Weltanschauung Melayu tradisional (lama?). Budaya fikir barat yang sama telah memungkinkan tumbuhnya satu bentuk epistemologi yang menjadi asas kepada pemikiran perkomputeran dan TM semasa. Kita akan lihat bagaimana TM mungkin menuntut agar masyarakat yang ingin menghayatinya harus turut sanggup menyediakan kerangka fikir yang memberi tempat kepada epistemologi perkomputeran. Mampukah Weltanschauung Melayu tradisional mengisi tuntutan seperti ini? Apakah kesannya kepada Weltanschauung Melayu tersebut sekiranya tuntutan seperti itu dipenuhi? Persoalan seperti ini mungkin dapat dijelaskan sekiranya kita mendapat sedikit gambaran tentang intipati Weltanschauung komputer. 3. Weltanschauung Komputer Kemunculan Teknologi Maklumat (TM) dianggap bukan sahaja sebagai satu revolusi teknologi tetapi juga satu revolusi budaya. Satu revolusi pelbagai dimensi yang belum

20

pernah dimimpikan oleh sebarang budaya atau peradaban sebelum ini. Dalam masa yang amat singkat, TM menyebabkan perubahan yang radikal dalam segala aspek kehidupan moden. Dari sistem pemikiran kepada hiburan; dari perniagaan kepada pertahanan. Dalam revolusi budaya TM ini, maklumat dan media atau teknologi manipulasi maklumat menentukan segala-galanya - termasuk apa yang difahamkan sebagai "kebenaran." Dengan maklumat, penyelesaian masalah dan idea baru dicetuskan; dengan maklumat, terutamanya melalui virtual reality, pentas dan acara hiburan dimainkan; dengan maklumat, kekayaan dicipta dan pungut; dan dengan maklumat, perang dilancarkan dan kemenangan diperoleh. Perubahan tersebut adalah suatu yang agak ketara dan sudah lazim disedari umum. Apa yang mungkin kurang disedari ialah TM sebenarnya adalah rantaian daripada pergolakan sosiointelektual barat yang masih berterusan. TM ialah natijah atau manifestasi perubahan epistemologi dan budaya fikir Barat, terutamanya terhadap realiti hidup, peranan ilmu dan kebenaran, dimensi minda, metafizik dan fizik. Perubahan tersebut melibatkan, antara lain, pengukuhan konsep sekularisasi ilmu dan amal, penekanan kepada formalisasi sintaksis dan kuantitatif dalam ilmu, dan penggubalan segala masalah dan rumusan dalam bentuk algoritma komputasi. Dari segi konteks epistemologi perkomputeran, perubahan tersebut dapat dikesan pada perubahan radikal dalam Weltanschauung segelintir cendekiawan Eropah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Dalam perubahan tersebut suatu epistemologi baru, yang digelar "epistemologi perkomputeran," dilahirkan. Epistemologi perkomputeran mengakibatkan konsep ruang, masa, simbol, nombor, data dalam budaya fikir barat ketika itu didefinisikan semula dan difahami daripada sudut makna yang amat berbeza sekali. Semenjak pemantapan konsep-konsep tersebut pada zaman Enlightenment dan revolusi sains, belum ada lagi perubahan yang begitu besar dan menyeluruh. Perubahan tersebut ialah daripada sudut faham maklumat. Faham dan pengertian baru ini adalah daripada sudut yang belum pernah terlintas dalam pengalaman budaya fikir dan sejarah perkembangan intelektual Eropah selama itu. Kefahaman baru mengenai maklumat juga turut merubah sifat dan faham asas epistemologi. Suatu masa dahulu epistemologi dianggap sebagai wacana konseptual dan abstrak. Penjelmaan konkrit dan objektif epistemologi hanya dalam bentuk perkataan yang dirakam dalam bentuk tulisan. Sukar dibayangkan bagaimana suatu yang abstrak dan konseptual itu boleh dijelmakan dalam bentuk yang selain itu. Namun, keanehan dan keunggulan ini wujud dalam epistemologi komputer kerana ia (epistemologi komputer) mampu dijelmakan dalam bentuk teknologi. Kemampuan tersebut terserlah: pertama, dalam bentuk mesin konseptual yang digelar Mesin Turing; kedua, dalam bentuk mesin teknologi (manipulasi) maklumat yang digelar "komputer." Teras Teknologi Maklumat (TM) semasa ialah komputer. Hal ini adalah jelas. Apa yang kurang jelas ialah sifat ilmiah TM dan implikasi sosiointelektualnya. Sekiranya TM berteraskan teknologi lain maka mungkin sifatnya adalah lebih mudah difahami. Mungkin juga kesan TM ke atas manusia dan kemasyarakatan adalah terhad, seperti mana kesan teknologi lain yang sedia ada. Misalnya, teknologi pengangkutan, elektrik, mesin mekanikal dan bahkan komunikasi telegraf dan telefon membawa kesan sosial dan budaya yang mudah di cerap. Tetapi TM mempunyai kesan pelbagai dimensi, dan

21

sebahagian besar daripada kesan itu hanya dapat di cerap atau difahami hanya melalui analisis ilmiah epistemologis. Dari sudut analisis seperti itu, kita dapati keunggulan TM sebenarnya terbit daripada keunggulan yang wujud dalam artifak dan idea perkomputeran. Semenjak awal kemunculannya lagi, komputer, sebagai mesin manipulasi simbol sintaktik (salah satu definisi baru "maklumat") merupakan calon unggul yang telah ditakdirkan menjadi teknologi teras TM. Komputer memperlihatkan ciri-ciri istimewa yang jauh sekali berbeza daripada mesin-mesin yang pernah dicipta manusia sebelumnya. Contoh keistimewaan keupayaan komputer yang nyata ialah kebolehan meniru dan menjelma dalam bentuk pelbagai fungsi. Pada satu masa dahulu fungsi-fungsi tertentu hanya boleh dilakukan oleh satu-satu mesin yang khusus. Misalnya, mesin taip untuk menaip, mistar hitung mesin menghitung dan sebagainya. Komputer, kita sedia maklum, boleh menjadi mesin taip, mistar hitung, mesin hiburan dan sebagainya sekali gus. Kita dapat lakukan itu semua dengan hanya mengubah perisian tanpa perlu membuat apa-apa perubahan pada perkakasan dalamannya. Kemampuan komputer tersebut terletak pada mempunyai sifatnya yang kompleks. Kompleksiti ini dapat di lihat pada struktur binaannya. Komputer merupakan satu-satunya artifak teknologi yang terdiri daripada gabungan perkakasan (raga) dan perisian (minda): yang satu memproses maklumat dan yang satu lagi menampung dan mengatur langkahlangkah proses tersebut. Bahkan ia seolah-olah menyerupai struktur binaan diri manusia yang difahamkan secara tradisional sebagai terdiri daripada badan dan ruh/akal atau dalam faham falsafah sekular sebagai terdiri daripada "raga" dan "minda." Sebagaimana minda mengawal raga manusia, atau akal mengawal fungsi badan manusia, perisian dan perkakasan komputer seolah-olah mencerminkan ciri-ciri tersebut. Bahkan satu ciri unggul komputer ialah sifat perkakasan atau fungsi mesin ditentukan oleh perisiannya. Sama ada mesin tersebut akan menjadi "mesin taip", "mesin kerja" atau "mesin permainan" bergantung kepada jenis perisian yang dijalankannya. Tegasnya, perkakasan ialah dimensi teknologi dan perisian ialah logik atau komponen intelektual komputer. Dimensi intelektual seolah-olah mengawal dimensi teknologi. Ciri ini sebenarnya yang membolehkan komputer menjelmakan asas epistemologi disebaliknya. Ciri ini juga antara sebab mengapa komputer merupakan satu-satunya artifak teknologi yang dianggap sebagai penjelmaan konkrit epistemologi barat atau falsafah ilmu barat. Oleh kerana itulah komponen intelektual dan pemikiran TM amat penting. Komponen tersebut menjadikan sasaran kesan TM yang paling menyegat tertumpu di ruang budaya fikir dan ilmu berbanding dengan yang lain. Dari satu segi, boleh di katakan bahawa kesan-kesan TM yang lain (seperti kesan ekonomi, pentadbiran, pertahanan, hiburan dll.) - walaupun ketara - boleh dianggap sebagai "kesan insidental TM". Pada peringkat yang lain pula, sifat unggul komputer itu juga menjadikan ia satu-satunya mesin yang dianggap boleh "berfikir." Pemikiran ini diwujudkan dengan tatacara algoritma (logik penyelesaian) yang dibekalkan oleh aturcara atau perisian yang dijalankannya. Komputer dianggap boleh digerakkan untuk menyelesaikan pelbagai masalah atau "memikirkan" penyelesaian sesuatu masalah atau persoalan intelektual. Persoalan yang

22

suatu masa dahulu dianggap sebagai hanya boleh diselesaikan oleh akal manusia. Tetapi komputer hanya boleh memikirkan persoalan yang telah diolah mengikut peraturan pemikiran tertentu. Peraturan ini haruslah mengikut syarat peraturan pemikiran atau logik sintaktik komputasi digital. Ungkapan, "karut masuk, karut keluar," merupakan ungkapan semelar mengenai sifat atau fungsi komputer yang lazim diluahkan di kalangan ahli perkomputeran. Dari satu segi ungkapan gurauan tersebut dapat difahamkan sebagai luahan atau keluhan para ahli perkomputeran mengenai hakikat dan batasan komputer. Keluhan tersebut ada kaitan dengan, terutamanya, ikatan mental yang terpaksa dilalui oleh mereka yang menghayati dan sentiasa menggunakan algoritma komputer untuk menyelesaikan masalah. Hal tersebut dapat difahami dengan lebih jelas jika kita merujuk kepada cara manusia terpaksa "berkomunikasi" dengan komputer. Sebelum komputer mampu membantu kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah kita harus berinteraksi mengikut tatacara komunikasi tertentu. Antara syrat yang palin ketara ialah sesuatu persoalan yang ingin diselesaikan oleh komputer perlu di rumus dahulu dalam bahasa mesin atau bahasa komputer, iaitu satu-satu "bahasa" yang difahami oleh komputer. Di sini manusia terpaksa merubah atau menyesuaikan bahasa budaya semantik ke dalam kategori bahasa sintaktik komputer. Kita maklum bahawa bahasa tabii manusia mempunyai fleksibiliti, pelbagai dimensi yang luas manakala bahasa sintaktik komputer adalah kaku, amat sempit dan terbatas. Apabila terjemahan daripada bahasa semantik manusia ke bahasa mesin berlaku beberapa perubahan lain turut berlaku. Antaranya, bukan sahaja morfologi bahasa manusia terpaksa diubah bahkan juga morfologi persoalan asal itu juga harus disesuaikan ke dalam acuan formulasi (atau algoritma) komputer.Tegasnya, apabila sahaja komputer digunakan untuk menyelesaikan sesuatu persoalan maka ia telah merubah sifat dan mungkin juga hakikat persoalan tersebut ke dalam bentuk dan kerangka epistemologi tertentu: Epistemologi perkomputeran. Dalam epistemologi tersebut kesemua persoalan akan diadun ke dalam bentuk kerangka acuan yang redusionistik, kuantitatif, dan formalisasi sintaktis. Mahu tidak mahu, proses penggunaan komputer itu sendiri melibatkan perubahan persepsi, konsep atau Weltanschauung yang akan akhirnya dihayati oleh seseorang pengguna komputer - sama ada disedari atau tidak. Hakikat inilah yang kurang difahami. Kekurangan yang mungkin mempunyai kesan yang besar kepada masyarakat yang baru menghayati dan memeluk paradigma perkomputeran. 4. Entscheidungproblem dan Masalah Melayu Baru Jelas komputer mengemukakan kepada penggunanya beberapa cabaran intelektual yang belum pernah di alami sebelum ini. Cabaran tersebut ada kaitan dengan pergolakan intelektual di Barat terutama pada awal abad ke-20. Malangnya, kita tidak mungkin berkesempatan untuk meneliti sesemua aspek pergolakan tersebut di sini. Apa yang mampu kita lakukan ialah untuk meneliti satu episod kecil yang mendasarinya. Tidak ramai yang sedar bahawa idea perkomputeran berpunca dari satu perbahasan ilmiah awal abad ke-20. Perbahasan tersebut ialah disekitar persoalan falsafah yang disebut entscheidungproblem. Dalam bahasa Melayu, entscheidungproblem mungkin

23

boleh diterjemahkan sebagai "masalah pilihan/kesimpulan." Seorang ahli falsafah materialis dan matematik muda bernama Alan Turing, ketika itu berumur 30 tahun, terlibat dalam perbahasan itu. Beliau telah mengemukakan cadangan bahawa masalah tersebut dapat dijelaskan dan mungkin diselesaikan melalui konsep Mesin Turing. Mesin Turing inilah kemudiannya menjadi idea proto bagi idea komputer moden. Apa yang penting bagi perbincangan kita ialah dalam mencadangkan konsep tersebut Turing telah merubah beberapa konsep asas dalam epistemologi tradisional barat. Antaranya, seperti yang telah dibayangkan pada awal perbincangan, ialah faham dan konsep maklumat. Bagi Turing "maklumat" boleh diturunkan ke dalam bentuk data sintaksis. Data sintaksis tersebut kemudian boleh diwakilkan dalam bentuk pewakilan sintaksis asas, atau simbol sintaksis asas seperti "1" dan "0". Maklumat seperti itu pula boleh di manipulasi dalam algoritma (tatacara penyelesaian sistematis) tertentu. Suatu hal yang amat penting bagi Turing ialah maklumat tersebut boleh juga dimasukkan ke dalam mesin dan "diproses" (iaitu di manipulasi mengikut peraturan atau "logik mesin"). Tegasnya, sebarang maklumat boleh diturunkan ke dalam bentuk simbol asas dan diproses oleh Mesin Turing untuk menghasilkan maklumat lain atau kesimpulan baru. Apakah implikasi konsep maklumat baru ini? Dari segi ilmiah ia memboleh Claude Shannon mengemukakan Teori Informasinya, terutamanya konsep "bit" (konsep maklumat yang terkecil) yang terkenal. Dari segi implikasi sosio-intelektual pula, kita dapati bahawa perubahan pengertian maklumat melahirkan beberapa suasana baru. Antara natijah dari perkembangan tersebut, kita dapati pengertian maklumat dewasa ini membawa imej yang amat berbeza dari kefahaman sebelum abad ke-20. Bahkan sekiranya diteliti betul-betul pengertiannya amat berbeza daripada yang difahami 30 tahun yang lepas. Di waktu itu, misalnya, orang yang banyak maklumat tidak dapat penghargaan yang tinggi berbanding degan orang yang banyak ilmu atau banyak harta. Orang yang banyak maklumat biasanya dianggap hanya lebih layak dihantar ke pertandingan kuiz daripada menyelesaikan masalah yang berat-berat. Di waktu itu adalah amat ganjil sekiranya di katakan bahawa orang yang mempunyai maklumat boleh menjadi kaya atau berkuasa. Lebih senang diterima akal sekiranya di katakan bahawa seseorang yang mempunyai ilmu boleh mendapat kekayaan atau kuasa. Jauh sekali untuk sesiapa menjangka bahawa "maklumat" boleh di niaga, boleh diproses, ditambah nilai dan bahkan kepentingannya mengatasi emas, wang, tenaga dan barangan material atau komoditi fizikal itu sendiri. Bahkan, dunia akademik sendiri turut tidak menjangka bahawa "maklumat" boleh menjadi satu disiplin ilmu atau kategori ilmiah yang penting dan besar. Kini hampir semua bidang ilmu moden (yang tidak ketinggalan zaman) daripada psikologi hingga ke ekonomi di bahas atau dihuraikan dalam konteks "interaksi maklumat" atau idea maklumat digital. Sebab itulah kini geran penyelidikan lebih mudah didapati sekiranya cadangan tersebut di penuhi dengan istilah "digital" misalnya seperti "psikologi digital" atau "ekonomi digital." Dalam epistemologi komputer, maklumat atau data semantik boleh diturunkan kepada data sintaktik yang terkecil , yang diistilahkan sebagai "bit." Suatu hal yang menarik tentang konsep ini ialah: "Bit" boleh di jelmakan dalam bentuk denyutan digital elektronik. Bahkan "bit" boleh disebarkan melalui media telekomunikasi semasa. "Bit" bagi maklumat

24

semantik terkecil ialah deduan "YA" atau "TIDAK". "Bit" bagi data sintaktik terkecil pula ialah simbol digital "1" dan "0" dan bagi logik suis elektronik ialah "buka" (suis) dan "TUTUP" (suis). Dalam epistemologi tersebut, "YA", "TIDAK", "1", "0" dan "BUKA", "TUTUP," kesemua itu pada asasnya adalah sama. Perbezaannya, jika ada, hanyalah dalam konteks huraian akademik atau dalam konteks media ia disalurkan. Hakikat tersebut ditegaskan oleh Claude Shannon dalam teori informasinya, bahawa maklumat ialah sebarang unsur yang boleh diturunkan kepada data sintaktik (tanpa makna) dan dijelmakan dalam bentuk kod-kod elektronik untuk dihantar melalui media komunikasi dari pusat hantaran kepada pusat penerima. Tegasnya, dalam epistemologi komputer atau teori informasi kesemua di bawah ini adalah "maklumat": 1. Pi mai pi mai tang tu 2. E=MC 3. Allah itu Ahad 4. Kausaliti ialah kudrat sekunder Illahi 5. 132 4+67lrt 6. 101101110 7. Sang enseng mata kaji Namun dalam konteks semantis dan budaya fikir tradisional ketujuh-tujuh butiran yang disenaraikan itu mempunyai maqam makna dan erti budaya yang berbeza-beza. Oleh demikian, sekiranya kita teliti senarai butiran di atas, kita akan dapati setiap daripadanya mewakili tingkatan makna yang tersendiri. Misalnya, pernyataan dalam butiran 1. merujuk kepada kata loghat kedaerahan yang membawa makna tertentu; 2. merujuk kepada formula sains fizik; 3. merujuk kepada intipati risalah Tauhid; 4. merujuk kepada pernyataan falsafah sains Islam; 5. merujuk kepada gabungan nombor dan abjad tanpa makna tertentu; 6. merujuk kepada gabungan simbol binari tanpa makna tertentu; dan 7. sama ada tidak ada makna langsung ataupun sangat bererti bagi mereka yang menjadi peminat filem P. Ramlee. Jelas, dari segi nilai dan martabat ilmiah ketujuh-tujuh butiran tersebut adalah berbeza antara satu sama lain. Tetapi dari segi epistemologi komputer, butiran tersebut adalah sama dari segi nilai dan status. Apa yang mungkin membezakan butiran-butiran tersebut hanyalah dari segi darjah keupayaan untuk diproses, di manipulasi dan di sebar melalui media komputasi dan komunikasi. Walaupun kesemua butiran tersebut yang mempunyai nilai semantik yang berbeza-beza, pada asasnya, boleh dijelmakan dalam bentuk denyutan elektronik sintaktik yang sama. Dalam kata lain, dari segi teori informasi, dua berita atau maklumat, yang satu mengandungi makna dan yang satu lagi mungkin tidak, adalah sama dari segi martabat dan nilai informasinya.

25

Komputer ialah teknologi generik bahkan satu-satunya teknologi penakrif (defining technology) semasa; iaitu teknologi yang mampu merubah teknologi lain yang sedia ada. Bahkan komputer turut mampu mengubah makna dan keadaan persekitarannya secara kualitatif dan fizik. Kemampuan komputer mempengaruhi makna pengertian manusia mengenai maklumat dan realiti persekitaran manusia itu sendiri memang semakin disedari kini. Namun kesedaran itu masih terhad kepada ruang fizik dan yang nyata. Apa yang jarang disedari ialah perubahan tentang konsep maklumat oleh komputer sebenarnya juga turut mengheret perubahan pada konsepsi ilmiah manusia tentang masa, ruang, bahasa dan pemikiran. Bahkan dengan potensi untuk "berfikir" seperti manusia dalam jelmaan teknologi "Kepintaran Buatan", komputer mula merubah juga persepsi dan definisi"kepintaran". Bahkan dengan potensi tersebut komputer merubah definisi "kemanusiaan" dan "manusia" itu sendiri. Manusia telah mula didefinisikan semula sebagai "pemproses maklumat" dan alam atau realiti persekitaran manusia pula hanya sebagai jaringan "maklumat mentah yang perlu diproses". Apa yang aneh ialah komputer, ciptaan yang pada hakikatnya berpunca dari acuan minda manusia telah mampu pula memaksa minda manusia berubah mengikut acuannya. Hanya mungkin ia terbit dari acuan minda manusia lain dan ia merubah minda manusia yang lain pula. 5. Weltanschauung Melayu dalam era Teknologi Maklumat Satu hakikat yang aneh tetapi benar dan kini mula disedari secara meluas ialah komputer mampu mendatangkan kesan psikologis. Komputer mampu memukau seseorang sehinggakan seolah-olah "berfikir" sehaluan serta "bercakap" senada seperti sebuah komputer. Fenomena ini boleh berlaku apabila seseorang itu kerap menggunakan komputer dalam kerja-kerja intelektual atau sebarang kerja yang melibatkan pemikiran. Sekiranya kedaan ini berlaku berulang-ulang kali, akan tiba satu ketika apabila orang itu akan "ditalakan" berfikir dan bercakap dalam kerangka yang biasa dikaitkan dengan tatacara berinteraksi dengan mesin tersebut. Seperti yang telah diperkatakan sebentar tadi bahawa benar komputer boleh menyelesaikan masalah, tetapi ada syaratnya. Antara syaratnya ialah alam pelbagai dimensi yaang sedang kita alami ini dan segala fenomenanya harus diturunkan serta dilihat dalam dimensi terhad binari perkomputeran. Perhubungan antara manusia dengan komputer semestilah dalam bahasa yang difahami oleh komputer, bahasa objektif yang tidak peduli pada soal subjektif, soal nilai, soal transendental dan soal kemanusiaan. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya dalam era Teknologi Maklumat ini kita dapati ahli psikologi kognitif yang mula asyik mengkaji manusia sebagai "agen pemprosesan maklumat" dan meneliti pemikiran sebagai perlaksanaan "algoritma tabii" atau program komputasi. Begitu juga dengan seorang ahli biologis yang telah "dimiongkan" oleh TM akan melihat fenomena hayat dan persenyawaan hanya dalam konteks "manipulasi maklumat genetik". Seorang ahli ekonomi yang menyamakan maklumat dengan kekayaan dalam konteks ekonomi digital atau seorang ahli politik yang menyamakan maklumat dengan kekuasaan dalam konteks politik digital, kesemuanya memperlihatkan perubahan yang ada kaitannya dengan kesan sosio-intelektual Weltanschauung perkomputeran.

26

Jelas, Weltanschauung perkomputeran mampu mendatangkan beberapa kemungkinan dan kesan yang ketara kepada epistemologi tradisional. Misalnya dalam konteks faham maklumat, ia merubah tumpuan pengertian maklumat dari asas semantik (penuh makna) dan manusia kepada lokus sintaktik (tanpa makna) dan fokus mesin. Antara sebab hal ini boleh berlaku ialah epistemologi perkomputeran, khususnya dalam konteks teori informasi, menekankan "pemprosesan" (maklumat) berbanding dengan "isi" (maklumat). Keduanya, dalam konteks tersebut "manusia" bukan agen terunggul yang perlu bagi menerima atau memproses maklumat, memadai dengan adanya satu agen yang datang daripada sebarang spesis "agen pemprosesan atau penerima maklumat." Agen penerima maklumat tersebut mungkin sebuah mesin, robot, peluru berpandu atau sistem pakar kesemuanya dianggap sebagai mempunyai status yang sama dan memenuhi kriteria teori tersebut. Bahkan dalam Weltanschauung komputer, manusia dan komputer hanyalah spesis "penyelesai masalah" dari genus "pemproses maklumat' yang sama. Hanya dari segi martabat "kecekapan memproses maklumat", manusia dianggap lebih rendah daripada spesis lain, terutamanya komputer. Apa yang berlaku dalam budaya fikir semasa, terutamanya di Barat, pendirian tersebut bertukar menjadi natijah bahwa "komputer lebih baik daripada manusia". Akibatnya ialah sering kali keputusan pemprosesan maklumat yang dihasilkan oleh komputer dianggap lebih berharga daripada yang dihasilkan manusia. Hal ini juga boleh mengakibatkan mesin pemperosesan maklumat atau komputer bukan lagi sekadar alat mediasi de jure tetapi pembuat keputusan de facto. Tanda-tanda bahawa keadaan tersebut berlaku dalam masyarakat barat adalah semakin jelas. Unjuran daripada fenomena sosiointelektual tersebut ialah sekiranya faham seperti itu meresap secara mutlak ke dalam konteks kemasyarakatan dan keintelektualan Melayu implikasinya kepada ketahanan nilai, budaya dan ilmu tradisional menjadi satu tanda tanya. Epistemologi tradisional Melayu, seperti yang dibayangkan pada awal perbincangan tadi, menekankan dimensi kualitatif dan metafizikal. Kompleks kerangka fikir dan pandangan alam Melayu memberatkan penekanan kepada dimensi metafizik, simbolisme, holistik serta interaksi antara alam metafizik dengan material. Simbol-simbol kosmologi Melayu tradisional ialah simbol semantik dan kualitatif yang mempunyai makna transenden dan makna budaya yang kompleks. Epistemologi perkomputeran yang menekankan dimensi sintaktik dan bersifat reduksionistik jelas tidak mampu menampung keluasan dan kelecehan dimensi epistemologi tradisional. Para pemikir seperti Godel, dan juga Turing sendiri, turut mengakui bahawa sistem semiotik sintaktik komputasi yang dibendung oleh tatacara logik sintaktik Boolean tidak mungkin dapat memelihara sesuatu fenomena semantik tabii yang telah melalui proses formalisasi. Proses yang menurunkan dan memindahkan unsur dari alam tabii ke dalam alam formal komputasi turut menghakis serta mengikis simbol-simbol semantik daripada urat-urat semantis. Simbol-simbol semantik alam tabii dalam kosmologi Melayu tradisional hanya mungkin dicerap oleh fakulti intellectus. Sememangnya dalam konteks pemikiran dan konsep akal Melayu peranan fakulti tersebut sangat ditekankan berbanding dengan peranan rasio. Intellectus dalam epistemologi tradisional Melayu dikaitkan dengan "hati" atau naql. Ia merupakan fakulti yang menerima ilmu dan kebenaran yang bersifat metafizikal dan ruhaniah. Manakala rasio ialah fakulti rasional yang berpusat di otak, iaitu pusat tumpuan

27

ilmu fizik dan logik. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus holistik dan sintesis berbanding dengan rasio analitik dan redusionistik. Fakulti tersebut melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantis berbanding dengan rasio yang lebih menekankan simbol sintaksis redusionistik. Weltanschauung komputer, kita perhatikan dalam perbincangan yang lepas, mementingkan pemikiran rasio berbanding dengan intellectus. Dalam Weltanschauung komputer, alam metafizik atau dimensi ruhaniah hampir tidak dikenali sama sekali. Hal ini kerana Weltanschauung komputer itu sendiri timbul dalam konteks yang menidakkan kewujudan dan kepentingan alam nilai dan metafizik dalam dunia ilmu objektif dan fizik. Maka tidak timbul keperluan bagi Weltanschauung komputer untuk berinteraksi atau mengimbangkan soal metafizik dan fizik, atau soal nilai kualitatifsubjektif dengan soal algoritma objektif-kuantitatif. Sekiranya pendirian asas Weltanschauung komputer adalah sedemikian rupa maka ia adalah jelas merupakan antitesis kepada pemikiran Melayu tradisional ataupun sekurang-kurang sukar untuk sistem pemikirannya memberi ruang kepada asas-asas pemikiran tradisional. Dalam kata lain, seseorang yang menganut atau terdidik dalam pemikiran perkomputeran akan merasa sukar untuk menerima amalan-amalan dan sistem kepercayaan pemikiran tradisional. Dalam zaman ini yang disebut sebagai era Teknologi Maklumat, adalah mustahil bagi umat Melayu untuk menggelak diri dari penggunaan dan pendidikan komputer. Bahkan apa yang pasti ialah penggunaan dan pendidikan komputer akan bertambah meluas dikalangan umat Melayu. Akan tiba masanya apabila penggunaan komputer dan pendidikannya tidak lagi terhad kepada strata tertentu masyarakat Melayu, bahkan meliputi kesemua lapisan masyarakat. Maka dalam senario ini kemungkinan itu ada bahawa Weltanschauung komputer bukan lagi merupakan satu yang asing tetapi diterima sebagai sebahagian dari Weltanschauung Melayu (baru). Akibatnya ialah Weltanschauung Melayu tradisional akan semakin tersisih dan tidak mustahil ia akan hanya menjadi bahan kenangan dalam buku sejarah Melayu lama atau muzium Akademi Pengajian Melayu. Sama ada perubahan tersebut - jika terjadi - akan menghasilkan natijah yang menguntungkan umat Melayu atau sebaliknya, adalah satu persoalan penting yang tidak mampu dijawab oleh perbincangan kita disini. 5. Kesimpulan Mengenang kembali perubahan yang telah berlaku dalam pembentukan Weltanschauung umat Melayu, kita dapati budaya fikir sekularis tidak berjaya mempengaruhi kosmologi tradisional Melayu. Namun bermula pada awal abad ke-20 konsep sains dan falsafah moden telah semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu. Sekurangkurang hal ini berlaku di kalangan segelintir kelompok elitis Melayu yang kemudiannya menguasai arus politik dan ekonomi negara. Kita perhatikan bahawa pembudayaan sains dalam kerangka budaya fikir Melayu pada mulanya berlaku dalam program kolonial dan berterusan selepas pasca kolonial. Pembudayaan tersebut terutamanya bertambah giat lagi dibawah program pendidikan pasca-Merdeka. Terutamanya pada akhir 60an dan awal tujuh puluhan, program-program pendidikan sains secara intensif kepada anak-anak

28

Melayu digiatkan lagi. Menjelang akhir tahun 70an dan awal 80an program tersebut boleh dikatakan telah berjaya melahirkan satu masyarakat saintis Melayu dan komuniti cendekiawan Melayu yang mempunyai scientific literacy atau scientific consciousness yang tinggi. Kita boleh menjangkakan bahawa dikalangan mereka inilah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang paling istemewa. Di kalangan mereka juga mudah berlaku keadaan dimana konsep sains dan kosmologi sekular moden telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional Melayu (lama?). Apa yang dapat diperhatikan setakat ini secara umum ialah belum ada bukti-bukti yang ketara bahawa penggantian seumpama itu berlaku secara menyeluruh. Mungkin apa yang berlaku adalah terhad dikalangan individu tertentu dalam sesuatu kumpulan elitis atau strata masyarakat terpelajar Melayu. Penggunaan bomor atau sihir dalam kebanyakan urusan sekular oleh kalangan mereka yang dianggap terpelajar dan modenis mungkin merupakan satu petanda bahawa sistem pemikiran dan kepercayaan Melayu tradisional masih utuh. Hal ini adalah benar dalam soal pertembungan pemikiran Melayu dengan konsep-konsep sains pra pasca-moden. Pemikiran tradisonal Melayu dapat bertahan atau sekurang-kurang wujud dalam keadaan dualisme disamping pemikiran sains moden dalam budaya fikir Melayu semasa. Tetapi tidak semestinya pengalaman yang sama akan berulang dalam konteks cabaran pasca-moden seperti yang dikemukakan oleh Teknologi Maklumat (TM) dan epistemologi perkomputeran kepada sistem pemikiran tradisional. Cabaran yang dikemukakan oleh TM dan epistemologi perkomputeran adalah jelas berbeza daripada sains pra pasca-moden. Maka, persoalannya yang penting ialah sama ada sistem pemikiran dan semiotik Melayu tradisional akan terus memperlihatkan ketahanannya dalam menghadapi cabaran TM dan epistemologi digital pada abad ke-21. i. Pengenalan Bagi para pemerhati luar, minda Melayu seolah-olah berpaksi kepada dua pola pemikiran yang ekstrem: (i) rasionalis dan (ii) tradisionalis. Mereka yang tergolong dalam kelompok (i) biasanya tinggal di bandar-bandar besar, menjawat jawatan tinggi dalam politik, pentadbiran atau perniagaan. Manakala mereka yang terdiri daripada kelompok (ii) biasanya tinggal di pinggiran bandar, kampung dan kawasan pendalaman sebagai buruh kasar, petani dan nelayan. Pemikiran rasionalis dicirikan oleh objektiviti, sekularisme, empirisme dan materialisme. Pemikiran rasionalis cenderung kepada pemikiran saintifik, kuantitatif dan logik tertib Aristotelian. Orang Melayu rasionalis sangat mementingkan nasib dan kedudukan dunia berbanding dengan isu-isu yang berkaitan dengan alam akhirat. Mereka biasanya mengukur kejayaan dari segi kedudukan pendidikan sekular, jawatan yang disandang dan harta benda. Ijazah dari Cambridge atau Harvard, kereta mewah, rumah banglo, akaun bank di dalam dan di luar negeri adalah ukuran penting yang menentukan martabat seseorang itu dalam kelompok (i). Pemikiran tradisional cenderung kepada pemikiran magis, simbolisme, metafizis, kualitatif dan logik bebas tertib yang kabur. Pandangan alam mereka tidak banyak berbeza daripada apa yang telah digariskan dalam Kitab Jawi lama. Orang Melayu tradisional pula sangat mementingkan alam akhirat atau sekurang-kurangnya menganggap soal alam akhirat sebagai sama penting dengan soal dunia. Ijazah dari Al-Azhar atau Mahaad, hafiz Al-Quraan, warak dan alim menentukan martabat seseorang itu dalam kelompok ini.

29

Namun begitu dalam perbincangan seterusnya kita akan lihat nanti bahawa wujud paradoks dan keanehan dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Misalnya, di dapati di kalangan mereka yang kononnya mewakili kelompok (i) tetapi dalam masa yang sama mengunjungi para pengamal ilmu mistik dan sihir. Telah tersiar dalam akhbar tempatan mengenai tokoh-tokoh politik, yang berpendidikan barat, menggunakan khidmat para pengamal sihir. Jelas para pengamal ilmu mistik dan sihir tergolong dalam kelompok (ii). Begitu juga wujud keadaan di mana mereka yang berada dalam kelompok (ii) berkhidmat atau mendukung cita-cita mereka dari faham (ii). Oleh demikian terdapat semacam bentuk interaksi antara dua kelompok dalam konteks yang agak aneh bagi para pemerhati luar. Di samping itu fenomena tersebut memperlihatkan bahawa pandangan rasionalis dan sekular yang wujud pada kelompok (i) tidaklah setulen yang disangka. Begitu juga bagi mereka dari kalangan kelompok (ii), faham dan pandangan mereka tidak sedalam yang disangkakan. Sekiranya kita ingin merangkumkan fenomena tersebut di bawah istilah yang mengambil kira ciri (i) dan (ii); mungkin kita boleh rujuk pegangan puak yang awal tadi sebagai faham (iii) pesudorasionalis, dan puak yang terkemudian pula sebagai faham (iv) pseudotradisionalis. Dalam pertengahan 1970an, kebangkitan faham Islam, gerakan ilmiah dan sosial Islam yang di dokong oleh mereka berpendidikan barat dan sekular merupakan satu lagi paradoks dalam sejarah budaya fikir Melayu, terutamanya bagi pemerhati luar. Penubuhan badan ilmiah seperti Akademi Sains Islam (ASASI) yang mendukung cita-cita "mengislamkan" ilmu sains dan profesional moden oleh para saintis dan profesional Melayu berpendidikan barat memang sukar dimengerti oleh kebanyakan para pengkaji sosial barat. Manakala penubuhan pergerakan sosial Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) lebih mudah dijelaskan dalam konteks model-model analisis sosial yang ada. Namun hakikatnya ialah pergerakan seperti itu di dokong oleh para pemuda yang rata-rata berpendidikan sekular, dan tidak kurang juga antara mereka datang dari keluarga yang berada dalam kelompok (i), merupakan fenomena yang tidak mudah untuk dijelaskan sebegitu sahaja. Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, elok kita meneliti perkembangan budaya fikir Melayu dan faham-faham yang telah terbentuk dalam akhir abad ini. Penelitian ini adalah penting kerana evolusi pemikiran Melayu semasa ada kaitannya dengan pergolakan yang wujud jauh dalam sejarah sosiointelektual Melayu. Bahkan boleh di katakan bahawa bentuk-betuk pemikiran yang wujud kini adalah manifestasi dan kesan daripada pergolakan masa-masa yang baru berlalu. II. Budaya Fikir UMNO dan PAS Kelompok (i) juga kini dikaitkan dengan "revolusi mental" pemikiran "Melayu Baru," seolah-olah melibatkan penggantian konsep "akliah" Melayu tradisional dengan "minda" Melayu baru. Minda Melayu baru ialah yang berwawasan, yang mementingkan masa depan, yang peka kepada kebolehan dirinya sendiri, yang berusaha, yang tidak suka hanya menadah tangan berdoa, yang agresif tentang haknya, yang tidak pernah rasa cukup dan puas dengan kejayaannya, yang cekap dan pantas merebut peluang, yang

30

asyik dengan kemampuannya, yang yakin bahawa penentuan nasib untung dan rugi dirinya hanya terletak pada bahu dan dua kerat tangannya. Faham dan sikap demikian telah dapat dikesan di kalangan beberapa tokoh yang terdedah kepada pendidikan dan pemikiran barat semenjak dahulu lagi. Terutamanya, faham tersebut terserlah di kalangan mereka yang terlatih dalam sistem pendidikan kolonial. Tidak kurang mereka ini merupakan tokoh yang tidak menganggotai sebarang persatuan atau parti politik. Kebanyakan di antara mereka itu merupakan mereka yang datangnya dari profesion seperti pendidik, pegawai tinggi kerajaan, doktor dan jurutera. Namun jumlah mereka yang berfahaman seperti itu wujud dan lebih terserlah di kalangan mereka yang menganggotai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersekutu atau lebih dikenali, hatta di kalangan orang Melayu sendiri, dengan singkatan Inggerisnya, UMNO (United Malay National Organisation). Semenjak memperjuangkan kemerdekaan UMNO telah menjadi wadah bagi mereka yang menganut faham sekularisme dan berpendidikan barat. Walaupun UMNO turut dianggotai oleh mereka berpendidikan agama, namun puak agama seolah-olah tidak dapat ruang bagi mengetengahkan pemikiran alternatif. Bahkan memang terdapat ketegangan dan pergeseran antara kedua-dua puak tersebut di dalam UMNO. Penentuan arus pemikiran dominan UMNO akhirnya di putuskan dengan penghijrahan puak agama. Mereka telah keluar beramai-ramai meninggalkan parti tersebut. Segelintir antara mereka pula menubuhkan satu parti politik yang di kenali Parti Politik Islam Se Malaysia atau singkatnya PAS. Parti baru tersebut menjadikan pemikiran yang berasaskan faham Islam sebagai satu-satunya arus pemikiran utama para anggotanya. Dalam sejarah sosial orang Melayu, wujud kumpulan-kumpulan lain sama ada dari jenis politik mahu pun yang bukan, namun penubuhan UMNO dan kemudiannya PAS lebih jelas mencerminkan arus pemikiran besar yang telah tercetus di kalangan orang Melayu abad ke-20. Hakikat ini terserlah apabila diteliti, bahawa di belakang parti-parti tersebut didapati penyokong utama UMNO, datang dari kalangan kelompok yang berbudaya fikir (i) (iaitu yang sekular, saintifik dan modenis) manakala penyokong utama PAS pula ialah mereka dari golongan budaya fikir (ii) (iaitu yang mistikal, simbolisme dan metafizikal). Pandangan semesta antara dua puak ini amat berbeza sekali dari segala sudut dan perbezaan ini termasuk tentang peranan agama dalam kehidupan individu atau sosial. Dalam percaturan politik Melayu, UMNO berjaya merebut kuasa dan memegang tampuk pemerintahan negara melalui gagasan parti politik bersekutu dengan mereka dari bangsa bukan Melayu. Dari awal lagi pihak pemerintah kolonial memang lebih senang berurusan dengan orang UMNO berbanding dengan orang PAS. Kemerdekaan Tanah Melayu diserahkan oleh Inggeris kepada orang UMNO dan sekutu bukan Melayunya. Dengan penyerahan kuasa tersebut UMNO berpeluang mengisi kemerdekaan dan mencorakkan pembangunan sosial orang Melayu. Dari awal lagi UMNO melancarkan program dalam dua arena utama: (i) pendidikan, dan (ii) ekonomi. Bahkan ada di kalangan para pemimpin UMNO yang melihat bahawa program "ekonomi" dapat dijayakan dengan sendirinya apabila program (i) berjaya dilaksanakan. Oleh kerena itu mereka menganggap program (i) merupakan sebahagian daripada kempen "revolusi mental" bagi merubah pemikiran dan sikap Melayu kepada model pemikiran dan sikap yang mereka anggap lebih progresif dan dinamik. Jelas model minda Melayu progresif yang dibayangkan oleh UMNO lebih

31

cenderung kepada budaya fikir (i). Bahkan model pemikiran yang ingin diperkasakan oleh UMNO tidak lebih daripada sikap dan pemikiran liberal yang ditentang oleh mereka dari kalangan PAS. Bahkan terdapat dari kalangan mereka yang pernah menuduh bahawa UMNO cuba menjadikan orang Melayu agar tidak merasa kekok untuk menjunjung AlQuran di samping menjulang arak. Sama ada tuduhan itu benar atau sebaliknya tidaklah sebegitu penting. Apa yang penting ialah hakikat bahawa UMNO memang cuba memelihara unsur-unsur tradisi Melayu, seperti adat resam, di samping menyerap unsur-unsur budaya fikir dan kerja "masyarakat maju." Sememang terdapat bukti bahawa UMNO tidak teragak-agak untuk membelakang unsur-unsur budaya lama yang bercanggah dengan wawasan dan budaya fikir maju. Dalam masa yang sama UMNO masih sanggup memepertahankan idea-idea konservatif. Pemergian Sir Onn Jaafar, pengasas dan pemimpin perintis UMNO, kerana para ahli menolak beberapa idea liberal yang beliau ketengahkan, terutamanya perihal membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu, melambangkan kedegilan yang wujud dalam UMNO. Hal-hal seperti itu juga memperlihatkan dualisme yang dihayati oleh para pemimpin dan anggota UMNO. Tegasnya, orang UMNO boleh memakai baju Melayu dan mereka boleh juga memakai kot tebal di tengah-tengah terik matahari. Mereka boleh berzapin dan mereka boleh bertango. Pemikiran dan budaya fikir tersebut diterapkan dalam perancangan dan polisi pembangunan masyarakat Melayu pasca merdeka. Misalnya, penerapan agresif pemikiran tersebut jelas kelihatan dalam dasar pendidikan kerajaan yang diterajui UMNO. Ratusan ribu anak-anak remaja Melayu dihantar ke negara barat untuk mendapat pendidikan tinggi dalam pelbagai bidang. Bagi kebanyakan anak remaja ini yang rata-rata berumur belasan tahun, mereka akan terdedah sepenuhnya bukan sahaja kepada pendidikan barat bahkan juga dengan nilai, budaya hidup barat. Hal ini bukan satu yang aneh, kerana para pemimpin UMNO kebanyakannya telah dididik di "Grammar School" iaitu sekolah berasrama penuh eksklusif Inggeris. Sekolah seperti itu terkenal bukan sahaja dengan pendidikan akademik bahkan program penerapan nilai bangsawan dan cita rasa Inggeris. Sir Onn Jaafar dan Tunku Abdur Rahman merupakan antara para tokoh utama Melayu yang pernah terdidik dalam sistem persekolahan seperti itu. Mahathirisme Pada awal 80an, terutamanya di kalangan orang-orang Melayu yang menganggotai parti politik UMNO, satu gagasan pemikiran tentang pembangunan sosial, nasib orang Melayu, martabat Melayu, agama orang Melayu dan strategi masa depan Melayu dinukilkan dengan faham "Mahathirisme." Benih faham tersebut tersemat dalam tulisan-tulisan "Che Det" dan buku The Malay Dilemma karangan Mahathir Mohamad. Jelas faham tersebut dikaitkan dengan sikap dan pemikiran yang diasaskan oleh Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO ke-5 dan merangkap Perdana Menteri Malaysia ke-4. Walaupun UMNO sebelum Mahathir telah pun menghayati idea-idea yang cuba diketengahkan oleh beliau, namun beberapa idea tersebut telah diberi nafas baru dan penekanan yang agak unggul. Penekanan kepada peranan S&T, industrialisasi berat, R&D dan terutamanya IT boleh di katakan sebagai keistimewaan era Mahathir. Hal ini mungkin boleh difahami sekiranya

32

kita ambil kira Mahathir merupakan Pemimpin UMNO pertama yang berlatarkan pendidikan sains menjadi Perdana Menteri. Beliau dilatih di Kolej Perubatan Kolonial di Singapura yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Universiti Malaya di Singapura. Pemimpin UMNO dan Perdana Menteri Malaysia sebelum beliau terlatih dalam bidang bukan sains, seperti perundangan. Mahathir merupakan lambang ultra rasionalis dan pragmatis Melayu par excellence. Sebaik sahaja beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, Mahathir mempercepatkan waktu resmi negara 30 minit lebih awal daripada biasa. Satu tindakan praktis yang membawa makna simbolik yang amat mendalam. Beliau seolah-olah memberi isyarat bahawa detik era beliau bermula, ia akan lebih pantas dan berbeza dari sebelumnya. Hal ini sememangnya manifestasi dari sikap beliau yang seolah-olah tidak terikat kepada sebarang halangan tradisi budaya fikir lama dan kejumudan idea Melayu tulen. Mungkin kedudukan beliau sebagai anak kacukan Melayu-India, dan didikan beliau sebagai Doktor perubatan merupakan antara faktor yang mendorong beliau merakam pendapat tentang masalah kemunduran dan kejumudan Melayu melalui analisis genetik. Beliau, misalnya, pernah mengatakan amalan orang Melayu berkahwin di kalangan kelompok mereka sahaja boleh menjadikan mereka lemah dari segi fizik dan mental. Kerana itulah terdapat sesetengah pengkritik beliau yang menuduh bahawa beliau cuba mengetengahkan konsep Melayu kacukan, bukti bahawa sememangnya beliau tidak yakin dan tidak senang dengan konsep Melayu jati. Tidak kurang relevan kepada perbincangan kita di sini ialah sikap Mahathir kepada Islam. Hal ini kerana bukan sahaja pendekatan beliau kepada agama berlainan sedikit dari para pemimpin UMNO sebelumnya, tetapi yang lebih penting ialah kaitan dan keupayaan Mahathir mempengaruhi pandangan alam keagamaan orang Melayu. Pemimpin UMNO sebelumnya seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak mengambil sikap "aloof" dan tidak lebih daripada menghormati agama Islam sebagai agama adat orang Melayu. Mereka memupuk sikap tak ambil hirau selagi agama tidak menggugat nasib politik orang UMNO. Kecuali di Kelantan, di negeri-negeri Tanah Melayu yang lain, agama tidak menjadi isu politik yang boleh merugikan UMNO. Mereka juga pada umumnya mengambil sikap "hands-off" dan membiarkan urusan Islam kepada kalangan ustaz dan mereka yang dianggap arif dalam bidang tersebut. Tegasnya, kedua-dua pemimpin UMNO sebelum Mahathir tersebut mengekalkan dikotomi urusan negara sekular dan urusan akhirat seolah-olah umpama minyak dengan air. Pembahagian seperti ini mencerminkan polisi yang telah diperkenalkan oleh penjajah Inggeris sejak sekian lama. Sebelum menjawat kerusi Persiden UMNO dan jawatan Perdana Menteri, Mahathir tidak menunjukkan perbezaan yang ketara daripada pandangan pemimpin-pemimpin UMNO semasa. Pada umumnya UMNO memperlihatkan sikap yang hostile kepada faham Islam terutamanya seperti yang dipamerkan oleh Parti PAS. Malah pimpinan UMNO juga menunjukkan sikap yang tidak toleran kepada corak faham Islam (misalnya idea Islam sebagai ad-din dan Islam bukan agama ritual) yang mula merebak di kalangan para pelajar Universiti dan aktivis muda Melayu tahun-tahun 1970an. Malah beberapa orang pelajar dan aktivis muda Melayu, termasuk Anwar Ibrahim, seorang pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebuah akta warisan pemerintah kolonial. Penahanan mereka tersebut berterusan ketika Mahathir mula menganggotai barisan kabinet kerajaan Tun Abdul Razak.

33

Perbezaan pendekatan Mahathir kepada Islam mula terserlah apabila beliau membawa Anwar Ibrahim, bekas tahanan ISA dan pemimpin ABIM, masuk ke dalam UMNO dan kerajaan. Tindakan Mahathir tersebut bukan helah politik semata-mata seperti yang disangkakan oleh kebanyakan pemerhati beliau. Malah ia lebih merupakan salah satu manifestasi sikap "hands-on" beliau terhadap Islam. Di sinilah terletak perbezaan sebenarnya sikap Mahathir terhadap Islam dengan pemimpin UMNO sebelumnya. Politik seolah-olah hanya satu alat mudah dan efisien bagi mencapai hasrat, cita-cita dan wawasan beliau. Di kalangan orang UMNO, Mahathir memang terkenal dengan pembacaan beliau yang luas, keupayaan mental beliau, dan kecekalan bahawa beliau boleh menguasai apa sahaja yang beliau mahu. Islam berada dengan senarai yang harus beliau kuasai kerana Islam merupakan elan vital orang Melayu. Paling mudah untuk merubah orang Melayu en masse ialah dengan merubah persepsi dan bentuk Islam yang mereka hayati. Snouck Hugronje pernah mencadangkan idea tersebut kepada penindas Belanda dalam menentang orang Aceh. Tidak mungkin Mahathir tidak pernah terbaca mengenai idea tersebut. Di samping pembacaan luas tentang Islam, Mahathir juga turut berbincang dan mendekati beberapa tokoh ilmuwan Islam semasa. Antara mereka itu ialah Profesor Ismail Al-Faruqi, Profesor Islam di Universiti Temple, Amerika Syarikat. Profesor Faruqi terkenal dengan pandangan rasionalis terhadap Islam. Faruqi juga merupakan salah seorang daripada tokoh Islam yang menjadi pusat rujukan para aktivis dan belia Islam semasa, terutamanya kalangan mereka daripada ABIM. Hal ini memang amat disedari Mahathir. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya Mahathir di katakan telah menggunakan Faruqi dalam memujuk Anwar Ibrahim menyertai UMNO dan kerajaan. Walaupun sebelum ini telah terjalin satu bentuk hubungan longgar antara Mahathir dan Anwar, namun ia lebih dicetuskan oleh keperluan Mahathir kepada Anwar untuk mempengaruhi aktivis muda Melayu ketika itu, terutamanya dalam kempen menentang polisi Tunku Abdul Rahman. Penyertaan Anwar, bekas aktivis ABIM, ke dalam UMNO membawa beberapa perubahan yang agak ketara dalam senario politik negara. Antaranya ialah (i) martabat UMNO betambah dalam urusan Islam, (ii) penumpulan kritikan aktivis muda Islam terhadap kerajaan , (ii) merampas martabat jurubicara Islam unggul daripada kumpulan aktivis lain, terutamanya ABIM dan PAS. Namun yang lebih penting ialah pergolakan politik tersebut hanyalah petanda luar kepada percaturan idea dan ideologi yang berlaku pada peringkat yang lebih asas. Pandangan Islam orang Melayu kini mampu dicanai dan dibentuk mengikut model yang paling ampuh. Walaupun membentuk pandangan tersebut tidak semudah menukar waktu tempatan 30 minit lebih awal, namun melalui Anwar banyak kerja telah dipermudahkan. Anwar sekali lagi menjadi wahana Mahathir mencapai maksudnya, kali ini dalam hal yang lebih rumit. Walaupun bukan berlatar belakangkan pendidikan formal Islam, karisma dan pengalaman Anwar sebagai aktivis Islam sudah melebihi daripada cukup untuk menandingi dengan mudah para "ulama UMNO." Sebaik sahaja Anwar menyertai kabinet Mahathir pada mulanya sebagai Timbalan Menteri, beliau telah dipertanggungjawabkan dengan hal-hal yang menyentuh tentang Islam. Setelah menjawat beberapa jawatan Menteri kanan dan akhirnya Timbalan

34

Perdana Menteri, Anwar masih lagi mempengaruhi polisi dan hal ehwal Islam dalam parti dan kerajaan secara langsung ataupun tidak langsung. Terutama sekali, sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa, beliau terus mempunyai pengaruh langsung kepada pembentukan fikrah graduan dan anak muda Islam. Di samping itu beliau juga menganggotai beberapa jawatan kuasa Islam peringkat antarabangsa. Mahathir tetarik kepada Anwar pada peringkat awalnya mungkin pada karisma dan keupayaan Anwar memobilasi gerakan massa. Namun pemikiran Anwar tentang Islam seolah-olah mencerminkan faham Islam yang juga dicenderungi beliau. Walaupun Anwar ketika menjadi aktivis Islam mendekati para ulama-ulama ortodoks dan juga revisionis, namun kumpulan yang terkemudian tersebut lebih mendatangkan kesan kepada beliau. Naquib Al-attas dan Ismail al-Faruqi boleh di katakan dua tokoh utama yang mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan faham Islam beliau. Antara kedua-duanya al-Faruqi lebih dicenderungi Anwar kerana pendekatan Islam rasionalis, revisionis dan pragmatis tokoh tersebut mungkin secocok dengan jiwa beliau. Apabila al-Faruqi mengasaskan International Institute for Islamic Thought (IIIT), Anwar diajak turut serta dalam penubuhan tersebut dan menjadi salah seorang ahli lembaga institusi tersebut. Setelah beliau menjadi Presiden UIA yang kedua Anwar telah melantik Abu Hamid Sulayman, salah seorang kawan rapat al-Faruqi dan ahli lembaga pengasas IIIT sebagai Rektor UIA. Sepanjang berada di dalam UMNO, Anwar, secara sedar atau tidak, menjadi konduit (atau apologis) Mahathirisme Islam yang paling ampuh. Melalui pengaruh Anwar, bukan sedikit antara para aktivis dan pemikir muda Islam yang menjadi penganut budaya fikir tersebut. Antara sifat mereka tersebut yang ketara ialah dalam menyoal semua premis agama Islam yang dipegang orang Melayu. Mereka turut mempersoalkan - dan kadangkala mempersendakan - hal-hal yang selama ini hanya berani dikemukakan oleh para ulama terlatih. Keadaan ini berlaku kerana isu Islam bukan lagi hak wacana istimewa ulama, isu tersebut telah diperluaskan ke ruang yang bukan tradisional atau yang dianggap ruang bebas-Islam dan "sekular" selama ini. Ruang tersebut termasuklah pentadbiran, ekonomi dan pembangunan. Isu Islam menjadi relevan dibahaskan dan dibentukkan bersama oleh para profesional, seperti pentadbir, para ahli korporat, ahli kewangan dan ahli teknokrat. Para kumpulan profesional tersebut kini menjadi setaraf dengan para ulama tradisional apabila membahaskan soal-soal Islam, terutamanya yang ada kena mengena dengan bidang masing-masing. Kerap para ahli profesional yang menganggotai UMNO mempersoalkan para ulama tradisional dan seolah-olah mereka ingin melihat para ulama tersebut menuruti apa-apa sahaja yang diputuskan oleh mereka dan UMNO tentang hal-hal Islam. Kemungkinan sahaja mereka tidak sedemikian rupa sekiranya Anwar berada di luar UMNO dan tidak turut memperjuangkan idealisme Islam ala Mahathir. Namun ini hanyalah satu andaian yang sukar dipastikan. Tegasnya, Mahathir telah berjaya, atau hampir berjaya, merubah dan membentuk semula pandangan alam Islam sebahagian besar orang Melayu semasa, melalui strategi tersebut. Bahkan sama ada disedari atau tidak, beliau turut berjaya merubah pandangan alam konservatif orang yang berpendidikan agama mengikut acuan revisionis, pragmatis dan visionari beliau. Hakikat ini bukan sahaja dapat di lihat wujud pada mereka yang berada dalam institusi seperti Pusat Islam dan IKIM (Institut Kefahaman Islam) bahkan juga yang

35

berada di luar. Sama ada kejayaan Mahathir itu membawa keuntungan atau kerugian kepada orang Melayu merupakan suatu hal yang lain; perkara tersebut sudah tentu menarik untuk dibahaskan tetapi malangnya kali ini berada di luar kerangka wacana kita di sini. Merubah acuan pemikiran anak Melayu dari sifat kemelayuan lama kepada yang kemelayuan baru yang agresif, revisionis dan visionari merupakan agenda teras perjuangan Mahathir. Langkah jangka pendek ialah dengan mendedahkan anak-anak Melayu kepada pendidikan masyarakat barat yang sedia memiliki sifat-sifat tersebut secara lebih intensif. Walupun Mahathir telah mempengaruhi agenda pendidikan orang Melayu semasa memegang teraju Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi, namun tindakan agenda tersebut menjadi lebih mudah ketika Mahathir menjadi Menteri Pelajaran semasa berada dalam Kabinet Tun Abdul Razak, dan juga kemudiannya dalam kabinet Dato Hussein Onn. Pada zahirnya Mahathir meneruskan polisi pendidikan yang telah gariskan oleh parti UMNO pimpinan Tun Abdul Razak. Namun, dalam masa yang sama kedudukan Mahathir sebagai Menteri Pelajaran memberi beliau peluang keemasan untuk menerapkan idea-idea radikal beliau mengenai corak pendidikan yang harus wujud pada orang Melayu. Mungkin disebabkan latar belakang sains, dan pemikiran objektif, kritis dan saintifik yang beliau anuti mendorong keyakinan beliau bahawa bidang sains merupakan satu-satunya bidang yang harus didedahkan secara maksimum kepada orang-orang Melayu. Sentimen semasa mengenai kekurangan doktor dan jurutera Melayu menjadi agenda beliau selari dengan harapan penyelesaian yang senang diterima oleh orang Melayu. Pembudayaan sains dalam kerangka budaya fikir Melayu memang telah pun bermula dalam program kolonial dan berterusan selepas pasca kolonial. Mahathir sendiri pun adalah graduan program tersebut. Namun pembudayaan tersebut terutamanya bertambah giat lagi di bawah program pendidikan pasca-Merdeka. Semasa sebelum berada dalam kerajaan, Mahathir menduduki satu jawatankuasa tinggi mengenai pelajaran, dan pengaruh idea beliau dapat di lihat dalam program yang dilaksanakan ketika itu. Namun setelah menjadi Menteri Pelajaran idea-iade beliau tentang pendidikan ornag Melayu semakin jelas. Misalnya, program-program pendidikan sains secara intensif kepada anak-anak Melayu bertambah giat lagi. Anak-anak Melayu yang dianggap cerdik diperingkat sekolah ditapis dan disalurkan agar menjurus ke dalam bidang sains sahaja. Penjurusan awal menyebabkan kebanyakan dari mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk menjurus dalam bidang bukan sains. Program menghantar anak Melayu ke luar di negeri melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang sains dan teknologi dipertingkatkan ke tahap maksimum. Menjelang akhir tahun 70an dan awal 80an program tersebut boleh di katakan telah berjaya melahirkan satu masyarakat Melayu yang mempunyai scientific literacy atau scientific consciousness yang tinggi. Kita boleh menjangkakan bahawa di kalangan mereka inilah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang paling istimewa. Di kalangan mereka juga konsep sains dan kosmologi sekular moden telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional Melayu. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Renaisans Islam atau Romantisme Islam?

36

Penubuhan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) oleh para saintis, jurutera dan profesional Melayu pada akhir tahun 1970an mungkin seperti perkara biasa. Mungkin yang menarik kebanyakan daripada mereka yang menjadi pengasas persatuan tersebut adalah dari kalangan yang terdidik di Amerika dan Britain. Program pendidikan sains yang intensif telah berjaya meningkatkan kepekaan orang Melayu kepada kepentingan sains dan teknologi dalam pembangunan dan ketahanan bangsa. Anehnya pendedahan pendidikan dalam bidang-bidang moden dan sekular secara intensif di dalam dan di luar negeri telah membangkitkan keinginan anak-anak Melayu memahami semula Islam dari sudut baru. Sesuai dengan peningkatan intelektual mereka, Islam di lihat secara kritikal dan dibandingkan dengan sistem-sistem pemikiran yang lain. Menjelang akhir tahun 1970an, retorik radikal dan aktiviti para pelajar pengajian tinggi melimpah dalam bentuk demonstrasi menentang ketidakadilan sosial yang berleluasa di dalam masyarakat. Sebahagian besar daripada ketidakadilan tersebut dipersalahkan kepada sistem pemikiran yang membelakangkan Islam. Memang benar aktiviti radikal pelajar tempatan tersebut berlatar belakangkan ideologi yang majmuk iaitu dari nada ultra-nasionalis, sosialis hinggalah ke Islam, namun laungan Islam sebagai ad-din - sistem pemikiran dan cara hidup sempurna - alternatif merupakan kepada yang paling lantang. Kelantangan tersebut ada kaitannya dengan gerakan yang tersusun dan jumlah yang besar. Penubuhan ABIM sebagai sebuah gerakan bekas pelajar IPT dan diterajui oleh mereka yang rata-rata dianggap sebagai born again Muslims. Mereka ini dari kalangan yang berpendidikan bukan agama, berlatar belakangkan bidang profesional, namun bertekat menerapkan nilai-nilai "Islam tulen" ke dalam diri dan masyarakat. Mereka menggeritik pemerintah, sistem yang wujud, para penguasa agama dalam wacana, seminar dan penerbitan. Mereka mula menyebut tentang renaisans Islam dan menolak sebarang sistem yang tidak terbuka kepada nilai Islam. Mereka membina jaringan persahabatan antarabangsa di kalangan para pemuda Islam dari negara lain, dan menjadikan isu yang cuba diketengahkan didengari dunia luar. Mereka mengetengahkan isu pemerintahan Islam, pentadbiran ekonomi Islam, perbankan Islam, undang-undang Islam, Universiti Islam sebagai alternatif kepada apa yang sedang disajikan kepada mereka oleh sistem sosial semasa yang dipinjam dari barat. Kebangkitan Islam pada akhir tahun 1970an dan 1980an sememangnya mendapat dorongan dari ranaisans Islam yang berlaku di luar negara. Kebangkitan Islam di Iran, Turkey, Pakistan dan Mesir iaitu negara-negara sekular yang mempunyai pendudukan Islam terbanyak memberi kesan kepada gerakan Islam tempatan. Kejatuhan rejim Shah Iran, simbol kejayaan modenisasi barat di negara Islam, ke tangan para pemuda Islam reformis dan kaum ulama Syiah memberi satu peluang keemasan untuk melihat bagaimana sistem alternatif yang berteraskan jiwa Islam mungkin terlaksana. Manakala penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, penubuhan Universiti Islam, perbankan Islam dan beberapa institusi Islam yang lain seolah-olah mengukuhkan agenda Islam dalam masyarakat Melayu. Di samping itu penerapan tersebut juga telah melahirkan suasana di mana sempadan antara institusi berteraskan Islam dan yang bukan menjadi tidak lagi begitu jelas. Zaman retorik Islam yang wujud pada 1970an telah

37

digantikan dengan zaman percubaan dan pengisian terhad dalam tahun 1980an dan 1990an. Jurang antara idea dan kepayahan merealisasikan kesyumulan sistem Islam sebagai alternatif semakin jelas kelihatan pada akhir 1990an. Langkah pragmatik dan akomodasi semakin jelas menjadi teras perjuangan para pendukung reformasi Islam tahun 1970an. Tidak kurang daripada mereka telah menjadi sebahagian dari establishment yang ada; dari ahli politik, ahli korporat, para akademik hinggakan pegawai tinggi kerajaan. Sebahagian besar antara mereka yang berjaya dalam bidang masingmasing berbuat demikian dengan mengemudi diri mereka mengikut rentak dan simpang suir sistem yang ada. Mereka telah meraih keuntungan, dan mereka masih boleh beribadat apabila tiba masa dalam masjid indah yang dibina oleh kontraktor bukan Islam. Bagi kebanyakan dari kalangan mereka ini, Islam ala Mahathirisme merupakan satusatunya pilihan penyelesaian dan ikutan yang paling sesuai. Dalam percubaan "islamisasi" tahun 1980an, universiti Islam termasuk dalam senarai yang di laksanakan. Beberapa bidang utama yang menjadi teras wacana islamisasi seperti ekonomi, undang-undang dan sains sosial ditawarkan. Tokoh-tokoh ilmuwan Islam tempatan dikumpul dan dari antarabangsa turut didatangkan ke Universiti Islam (UIA). Namun satu gagasan bidang yang menjadi teras kepada program pendidikan tempatan seolah-olah terlepas dari retorik islamisasi tersebut: sains & teknologi. (Walaupun UIA kemudian mengujudkan Fakulti Kejuruteraan, namun teras kurikulumnya hampir tidak ada perbezaan langsung daripada kurikulum kejuruteraan universiti bukan Islam). Keadaan ini mendatangkan dua implikasi: Sama ada (a) sains dan teknologi barat tidak bermasalah langsung dalam kerangka ilmiah Islam, atau (b) kerangka ilmiah Islam tidak berdaya menganalisis dan mengemukakan pendekatan alternatif. Bagi mereka yang arif tentang perbahasan ilmiah mengenai sains dan teknologi di barat, khususnya pada peringkat falsafah dan epistemologi, maka mereka tahu bahawa (a) adalah tidak tepat, dan mereka cenderung mengatakan bahawa (b) merupakan sebab yang lebih munasabah. Di sinilah terletaknya kepentingan penubuhan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) yang disebut awal perbincangan tadi. ASASI di anggotai oleh para saintis, jurutera dan profesional Melayu yang dilahirkan oleh sistem pendidikan barat sama ada dari dalam atau luar negeri. Mereka memang yakin kepada kepentingan ilmu sains dan teknologi, namun bagi mereka, sains dan teknologi yang mampu menjamin ketahanan umat dan membawa al-falah umat hanyalah yang berteraskan sepenuhnya kepada jiwa Islam. Disebabkan latar belakang mereka, para ahli ASASI mampu mengupas ilmu sains dan teknologi dari sudut ilmiah yang paling asas, yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh ulama berpendidikan tradisional. Dari kalangan mereka ini timbulnya wacana mengenai "Sains Islam", "Teknologi Islam," "Teknologi Maklumat Islam," "Polisi Sains dan Teknologi Islam," dan "Pemecaman Teknologi Islam." Wacana dan idea yang mereka kemukakan adalah unggul dalam sejarah intelektual dan renaisans Islam. Kerana wacana dan idea tersebut tidak terdapat dan tidak subur di negara-negara Islam lain, wacana seperti itu hingga ke hari ini hanya diketengahkan dan disuburkan di bumi Malaysia. Walaupun terdapat tulisan-tulisan tokoh-tokoh seperti Seyed Hossein Nasr dan Ziauddin Sardar mengenai sains Islam, namun intensiti, mutu dan keluasan wacana hanya wujud di kalangan ahli ASASI di Malaysia. Tegasnya, bagi ahli ASASI, ajaran Islam mampu

38

dijadikan teras perkembangan ilmu sains dan teknologi, dan "sains dan teknologi Islam," pula sangat berbeza dari segi asas epistemologis dan manifestasi praktis daripada sains dan teknologi barat. Bagi mereka, hanya sains dan teknologi Islam dapat mengelak dan menyelamatkan umat Islam dan manusia daripada krisis intelektual dan ekologi yang melanda kebanyakan dunia. Bagi mereka juga krisis tersebut tidak lebih sebagai satu manifestasi bahawa alam ini telah di salah fahami (dalam bentuk sains barat) dan di burukkan lagi dengan penggunaan yang turut silap (dalam bentuk teknologi barat). Sayangnya kebanyakan daripada wacana dan idea-idea yang dilahirkan mereka tidak disambut oleh sistem pendidikan massa dan penggubal polisi tempatan. Walaupun ada di antara mereka yang kemudiannya menjawat jawatan tinggi dalam institusi awam, namun idea-idea tersebut seolah-olah tidak dapat diterapkan. Sehingga kini idea-idea bernas mereka masih dipinggiran dan wacana mereka lebih merupakan luahan yang terhad kepada pertemuan bermusim. Bagi sistem pendidikan tempatan, pandangan (i) bahawa sains dan teknologi barat tidak ada masalah dengan Islam merupakan asas pegangan. Apa yang lebih penting ialah hasil praktis dan natijah keuntungan yang dapat didatangkan dalam keadaan semasa yang tersingkat. Pandangan ini juga adalah selaras dengan faham tekno-sains dan Islam Mahathirisme. Dalam limpahan arus kederasan aliran faham Mahathirisme tersebut, para ahli ASASI kadang kala terdedah kepada pertanyaan kritis apakah sebenarnya mereka mewakili fenomena "renaisans Islam" ataupun "romantisme Islam"? Paradoks dan Pasca 90an Dalam tahun-tahun 1980an dan 90an, Mahathirisme telah menguasai sebahagian besar daripada orang Melayu, terutamanya di kalangan ahli UMNO. Di luar UMNO, Mahathirisme turut mempengaruhi para ahli birokrat, teknokrat dan juga ulama. Dari satu segi boleh dikatakan bahawa Mahathirisme tidak mungkin berjaya sekiranya program pendidikan modenisme tidak didedahkan kepada orang Melayu semenjak era sebelum kemerdekaan lagi. Mungkin juga ada yang mengatakan bahawa Mahathirisme sebenarnya tidak lebih daripada lanjutan natijah "revolusi mental" UMNO era Tunku dan Tun Razak sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Senu Abdul Rahman dalam tulisan 1960an beliau yang membawa tajuk yang sama. Namun revolusi mental hanya menuntut perubahan sikap kepada pembangunan fizikal dan material orang Melayu. Revolusi tersebut adalah terhad dan tidak cuba merubah keseluruhan pandangan alam dan budaya fikir Melayu, terutamanya dalam hal keagamaan. Mahathirisme pergi lebih jauh dan lebih menyeluruh dari itu. Mahathirisme menuntut perubahan dalam segala bentuk, termasuk dalam wacana, komunikasi, nilai hidup, kerangka fikir dan perspektif keagamaan. Asas dan teras perubahan tersebut ialah rasionalisme, objektifisme, saintisme dan materialisme. Kerana itu kita menjangkakan kalangan mereka yang menganut faham tersebut tidak akan memberi tempat kepada soal jampi, jin, jembalang dan hantu raya. Mereka sepatutnya hanya mementingkan soal jet set, jambatan, jentera berat, dan lebuh raya. Tidak berapa lama dahulu sebuah akhbar tempatan yang juga media utama Mahathirisme, The New Straits Times (15 Disember 1996) telah melaporkan bahawa yang

39

"kaya dan terkenal antara mereka yang kerap merujuk kepada dukun." Akhbar tersebut melaporkan suatu hal yang sudah menjadi pengetahuan awam bahawa orang koporat, saintis, pensyarah, doktor dan jurutera dan mereka yang terdidik dengan pemikiran barat juga kerap merujuk kepada bomoh. Juga sudah menjadi pengetahuan awam, terutamanya yang sering berlaku di kalangan orang politik, bahawa penggunaan khidmat bomoh untuk menjatuhkan pesaing dalam merebut jawatan adalah amat berleluasa. Terdapat dakwaan bahawa setiap kali pertandingan dalam parti dan pilihanraya, para bomoh turut sama beraksi dalam bilik operasi. Bahkan bomoh-bomoh terkenal dari negara jiran dikatakan turut dirujuk atau dibawa ke Semenanjung. Fenomena amalan okult tersebut dan orang Melayu moden dalam era Mahathirisme merupakan satu paradoks yang membingungkan ramai pemerhati. Kewujudan fenomena tersebut sama hebat kesan kejutannya sekiranya didapati bahawa Mahathir, simbol ultra rasionalis dan revisionis Melayu, merujuk kepada seorang alim atau seorang pengamal ilmu tasauf. Peristiwa seperti itu sudah tentu menjadi perkara yang sukar dijelaskan kerana diketahui bahawa ia ketara bertentangan dengan nilai dan prinsip yang didukung dan diketengahkan oleh Mahathirisme selama ini. Pihak Pusat Islam (di bawah Jabatan Perdana Menteri) mempunyai senarai hitam "ajaran sesat" (iaitu terdiri dari kumpulan tariqat hingga ke kebatinan) yang dianggotai oleh orangorang Melayu. Pusat Islam juga mendapati bahawa kebanyakan anggota tersebut ratarata terdiri daripada mereka yang berpangkat dan berkedudukan tinggi. Mengapa mereka semua begitu tertarik kepada ajaran mistik dan okult merupakan suatu fenomena yang menarik; terutamanya kerana pendukung Mahathirisme yang paling terserlah juga datangnya dari kelompok tersebut. Satu analisis awal telah dibuat oleh penulis dalam kertas berjudul "The Occult: A Critical Discourse" (boleh dicapai di http://www.fs.um.edu.my/sts/papers/hharun-occult.html atau http://www.fs.um.edu.my:80/sts/papers) mengapa hal tersebut mungkin berlaku. Amalan tersebut seolah-olah telah datang bagi mengisi keperluan yang tidak lagi dapat ditampung oleh budaya fikir dan faham agama mereka. Faham-faham anutan Melayu pasca 80an dan 90an seperti Mahathirisme jelas mengekal dan menolak dimensi tertentu dalam budaya fikir tradisonal. Faham lewat seperti itu menekankan unsur-unsur seperti rasionalisme dan materialisme ke satu tahap yang belum pernah wujud dalam budaya fikir Melayu tradisional. Faham tersebut kesemuanya menjadikan agama Islam orang Melayu tidak lebih sebagai subset logik saintifik dan legalistik. Unsur-unsur metafizik dan kerohanian tinggi seolah-olah tidak lagi wujud dalam persamaan baru tersebut. Penekanan seperti itu mengwujudkan suatu kejutan psikobudaya dan psikososial yang belum pernah dilalui oleh budaya fikir Melayu selama ini. Dengan menekankan materialisme dan rasionalisme radikal, faham-faham tersebut secara sedar ataupun tidak telah menyempitkan saluran pertumbuhan kerohanian seperti yang difahami selama ini secara tradisional. Dalam kerangka budaya fikir Melayu pasca 80an, misalnya, hanya metafor yang dipinjam dari industri dan teknologi yang menentukan simiotik dan makna dalamannya. Yang bermakna hanyalah yang berkaitan dengan budaya input-ouput, cepat, cekap, efisiensi dan optimasasi. Ia merupakan budaya yang melihat manusia dan material hanya sebagai sumber pembangunan dan nilai

40

mereka terletak pada proses yang boleh mengoptimunkan sumber tersebut. Budaya ini tidak mengenal amal jariah atau ibadah; kerana budaya ini berteraskan kosmologi saintifik yang mendewakan sains dan teknologi sekular. Bahkan nilai kemanusiaan tidak lagi di padankan kepada normatif moral dan etika tetapi sebaliknya diikat pada ukuran normatif politik dan ekonomi. Perubahan tersebut ada kaitan dengan perubahan pandangan alam yang dialami oleh kebanyakan orang Melayu berpendidikan sekular. Mereka menonggak ke langit bukan lagi beranggan-anggan untuk melihat para ruh salihin turun dari syurga, tetapi berharapharap untuk melihat bintang dan penghuninya menurut kosmologi saintifik. Manusia dan haiwan lebih rapat dalam budaya fikir sains dari manusia dan malaikat. Bahkan konsep malaikat dan Adam-Hawa hampir tidak masuk akal dalam bicara sains. Manusia adalah natijah evolusi material dan biologi dan bukannya turun dari langit. Penyudahan nasib manusia adalah di bumi dan bukan di langit. Tegasnya, idealisme moral dan agama telah terhakis dan tidak lagi begitu terang dalam kerangka fikir mereka. Penghakisan tersebut mengakibatkan mereka tidak lagi mempunyai kriteria moral dan agama yang kukuh bagi menilai dan membezakan kesemua yang datang kepada mereka. Hal ini menjadikan segala bentuk faham okult yang menjelma dalam pelbagai bentuk tariqat, kebatinan, pendewaan dan bahkan sebagai idealisme politik menawarkan diri kepada mereka sebagai jalan penyelamat. Manusia, bagaimana sekular sekali pun, masih lagi mengidamkan pengalaman numinous yang mampu menimbulkan ketenangan dan kedamaian jiwa. Pengalaman yang biasa mampu dicapai oleh mereka yang kerap berzikir atau mengamalkan ajaran kerohanian. Amalan okult seolah-olah mampu menggantikan zikir dan kerohanian untuk mengisi idaman tersebut. Dalam ajaran okult, mereka menjumpai dimensi holistik yang telah ditingglakan oleh dunia materilistik dan saintifik. Dalam okult dan sihir mereka menjumpai semula simbol-simbol kerohanian dan kebatinan, serta rasa kehebatan mengenai kuasa halus yang berada di luar daya fizik dan material. Unsur-unsur yang telah ditinggalkan oleh budaya fikir milik mereka semasa tetapi anehnya masih mereka perlukan di samping sains, teknologi dan ekonomi moden mereka. Keperluan mereka tersebut menemukan mereka dengan pengamal ilmu kebatinan, orang alim dan sufi, iaitu orang-orang dari kelompok yang menganuti budaya fikir yang berbeza sekali dengan mereka. Kesimpulan Konsep sains dan falsafah moden telah mula disemat dalam kerangka pemikiran Melayu semenjak zaman kolonial dan berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Proses pembudayaan tersebut bertambah giat lagi dalam program pendidikan pascaMerdeka. Pada akhir tahun 70an dan awal 80an, program-program pendidikan yang menekankan pembelajaran sains secara intensif kepada anak-anak Melayu dijalankan. Program tersebut telah berjaya melahirkan satu masyarakat Melayu yang mempunyai budaya fikir sains. Di kalangan mereka ini wujud keadaan di mana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional. Nilai-nilai asas, estetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu lama digantikan dengan kosmologi dan semiotik sains moden. Dari kelompok ini juga timbul faham

41

Mahathirisme yang menjadi subur dikalangan orang Melayu kelas pertengahan dan atasan pada tahun-tahun 80an dan 90an. Umum cenderung untuk membahagikan minda Melayu sebagai berpaksi kepada dua polar pemikiran yang ekstreme: (i) rasionalis dan (ii) tradisionalis. Mereka yang tergolong dalam kelompok (i) biasanya adaalh dari kalangan kelompok kelas menengah dan atasan, berpendikan moden ala barat. Manakala mereka yang terdiri daripada kelompok (ii) kelas buruh, petani dan nelayan atau berpendidikan tradisional. Pemikiran rasionalis dicirikan oleh objektiviti, sekularisme, empirisme dan materialisme. Pemikiran rasionalis cenderung kepada pemikiran saintifik, kuantitatif dan logik tertib Aristotelian. Manakala, pemikiran tradisional cenderung kepada pemikiran magis, metafizis dan logik bebas tertib yang kabur. Pandangan alam mereka pada asasnya masih memelihara Weltanschauung Kitab Jawi. Namun begitu kita dapati wujud paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Kita dapati di kalangan mereka yang kononnya mewakili kelompok (i), namun masih mempercayai ilmu mistik dan sihir. Kita dapati pula tokoh-tokoh politik, yang berpendidikan barat, bermain sihir. Jelas ilmu mistik dan sihir tergolong dalam dunia kelompok (ii). Sebaliknya juga wujud keadaan di mana mereka yang berada dalam kelompok (ii) berkhidmat atau mendokong cita-cita mereka dari faham (ii). Oleh demikian terdapat semacam bentuk interkasi antara dua alam fikir yang dianggap sebagai terpisah, dan kadang kala dalam konteks yang agak aneh. Kebangkitan faham Islam pada tahun- tahun 1970an, penubuhan badan ilmiah seperti Akademi Sains Islam (ASASI), dan usaha "islamisasi" ilmu sains oleh para profesional Melayu berpendidikan barat.dan sekular merupakan paradoks dalam sejarah budaya fikir Melayu. Penubuhan pergerakan sosial Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga yang di dokong oleh para pemuda yang rata-rata berpendidikan sekular, dan datang dari kelompok (i) merupakan satu lagi fenomena yang tidak mudah untuk dijelaskan sebegitu sahaja dalam konteks model-model analisis sosial yang sedia ada. Namun begitu beberapa teras faham moden seperti Mahathirisme, misalnya, telah mengujudkan keadaan di mana kemungkinan bagi menyuburkan pemikiran digital dan orang Turing Melayu suatu realiti. Institusi seperti MIMOS dan projek TMK gergasi seperti KRM (MSC) di terajui oleh orang Melayu. Hal ini mungkin menandakan bahawa pemikiran pasca sains moden telah pun timbul di kalangan orang Melayu. Soalnya adakah pemikiran Melayu tradisional masih relevan dalam dunia pasca sains? 1. Pengenalan Dalam kuliah 5 yang lepas, kita telah berkesempatan berbincang tentang persoalan bagaimana konsep sains dan falsafah moden mula disemat dalam kerangka pemikiran Melayu. Proses pembudayaan di kalangan orang-orang peribumi dan orang Melayu, khususnya, telah berjaya melahirkan satu masyarakat Melayu yang mempunyai budaya fikir yang berteraskan kosmologi sains moden. Kosmologi tersebut telah mula sedikit demi sedikit meminggirkan kerangka idea dan kosmologi tradisional yang dipegang oleh

42

kebanyakan oleh Melayu sebelum ini. Nilai-nilai asas, estetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu tradisional digantikan dengan kosmologi dan falsafah sains moden. Perubahan tersebut menjadi tapak benih kesuburan yang mencetuskan faham Mahathirisme yang menjadi subur di kalangan orang Melayu kelas menengah dan atasan pada tahun-tahun 80an dan 90an. Namun begitu, kita perhatikan bahawa wujud paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Kita dapati terdapat semacam bentuk interaksi antara dua alam fikir lama dan baru, dan kadang kala dalam konteks yang agak aneh. Kontradiksi seperti ini tidak menjadi masalah besar dalam konteks kerangka faham moden seperti Mahathirisme. Hal ini kerana Mahathirisme mengamalkan sikap yang agresif dalam menghadapi persaingan pandangan. Pendekatan "cantas dan tebang" menjadikan sebarang faham tradisional yang dianggap tidak secocok dengan budaya fikirnya akan di lenyet serta dibasmi. Di dalam kerangka pemikiran alam fikir maya yang berteraskan konsep digitalisasi, peleburan kontradiksi seperti itu dapat dicapai dengan efisien. Dalam alam maya, misalnya, hakikat, realiti, impian, dan kebenaran seolah-olah tidak terpisah. Dalam dunia maya, harimau belang boleh bertukar menjadi manusia hitam dan yang hitam boleh diputihkan dengan sekelip mata. Tegasnya, yang hitam tidak semestinya hitam selama-lamanya dan yang putih tidak semestinya hakikatnya putih. Dunia mistik dan khayalan dengan dunia objektiviti, empiris dan fizis sains seolah-olah wujud secara harmoni dalam dunia alam maya dan digital perkomputeran. Namun kita akan lihat dalam perbincangan seterusnya bahawa Mahathrisme menyerap pandangan hanya sebagai lanjutan daripada pemikiran saintifik klasik dan bukan kerana untuk mengharmonikan pandangan alam tradisional dengan kerangka pandangannya. Bahkan penerimaan Mahathirisme kepada budaya fikiran digitalisasi dalam dunia alam maya lebih disebabkan keserasian kerangka fikir serta keupayaan budaya fikir tersebut mengukuhkan teras ideologi dan fahamnya. Kerana itulah migrasi kepada pemikiran digital seolah-olah kelihatan satu langkah yang logikal selepas budaya saintifik. Ditambah pula dengan faktor luaran yang berkebetulan pula menjadikan pemikiran digital dan komputasi sebagai arus perdana dunia semasa. Ditambah pula juga dengan manifestasi teknologi dan material, dengan bantuan pengiklanan "hype" yang agresif mempromosikan teknologi digital dan perkomputeran sebagai teknologi dan wahana kemajuan alaf baru berjaya menambat hati sebahagian besar orang Melayu. Namun, Mahathirisme tetap boleh di katakan sebagai bertanggungjawab menyediakan dan mengujudkan keadaan di mana kemungkinan bagi menyuburkan pemikiran digital di kalangan orang Melayu lebih mudah. Tegasnya, dalam kerangka Mahathirisme mengujudkan "orang Turing Melayu" (yang setanding dengan orang Turing Barat) bukanlah suatu yang payah sangat. II. Penginstitusian Digitalisasi Pada 1 Januari 1985 Institut Sistem Mikroelektronik ditubuhkan sebagai sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri. Lebih dikenali dengan singkatan, MIMOS, tujuan utama unit ini ialah untuk mengembeling tenaga watan dalam membangunkan industri berasaskan elektronik. Pada tahun 1990 MIMOS dinaikkan taraf kepada sebuah Jabatan penuh dan diletakkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Dengan

43

peningkatan ini, peranan MIMOS lebih terarah kepada mempromosikan dan menyediakan negara untuk melayari lebuh raya informasi dan menunggangi arus teknologi maklumat. Institusi seperti MIMOS, dan kemudiannya projek TMK gergasi seperti KRM (MSC), di terajui oleh orang Melayu. Kepentingannya bukan sekadar hanya terletak pada hakikat itu. Kepentingan sebenar terletak kepada siapa dan jenis Melayu yang terpilih menerajuinya. Hal ini bertambah jelas apabila kita menoleh ke arah Tengku Mohd. Azzman Sharifadeen, Pengarah pertama MIMOS, yang kemudiannya terus menarujui MIMOS Bhd. sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Tengku (panggilan mesra yang lebih beliau senangi), merupakan seorang anak Melayu yang terdidik dalam bidang sains dan kejuruteraan. Beliau merupakan pakar sains jurutera yang unik kerana turut menguasai bidang yang biasanya amat asing dengan bidang kepakaran kejuruteraan elektronik, iaitu bidang falsafah ilmu, epistemologi Islam dan falsafah sains. Jelas, Tengku merupakan antara anak didik pasca Merdeka, yang dihantar ke United Kingdom melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan teknologi. Sekembali ke Malaysia, beliau bertugas pensyarah di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Tidak berapa lama kemudian, Profesor Ungku Aziz, Naib-Canselor Universiti Malaya ketika itu, melantik beliau sebagai Dekan, Fakulti Kejuruteraan. Lantikan tersebut dibuat walaupun berbanding pensyarah dan profesor, terutama bukan-Melayu, yang ada di Fakulti tersebut ketika itu beliau dianggap agak muda. Namun begitu, beliau boleh di katakan berjaya menghadapi cabaran memikul tanggungjawab sebagai Dekan. Kejayaan beliau tersebut jelas mendapat perhatian dari luar kampus Universiti Malaya. Sudah menjadi kebiasaan ketika itu, apabila Mahathir merangka pelan tindakan untuk membawa Malaysia ke arah menceburi industri berat, beliau menoleh ke arah Universiti sebagai sumber tenaga mahir, terutamanya Universiti Malaya. Industri elektronik dikenal pasti sebagai bidang jelmaan baru yang harus diceburi oleh Malaysia. Berteraskan konsep Unit-Unit di JPM, misalnya Unit Perancangan Ekonomi, yang berjaya menjadi pusat-pusat idea, pemangkin dan kawalan sebarang arus serta arah perkembangan setiap sektor pembangunan di negara ini, unit mikroelektronik di ilhamkan. Antara nama-nama yang di calonkan sebagai Ketua pengasas, nama Tengku adalah di antaranya. Terdapat dua-tiga versi tentang siapa sebenarnya yang mengajukan nama beliau kepada Mahathir, dan kenapa beliau terpilih daripada antara calon-calon lain, namun hal tersebut tidaklah begitu penting berbanding dengan hakikat bahawa pencalonan beliau dipersetujui oleh Mahathir. Pemilihan penumpuan Mahathir kepada mikroelektronik pada awalnya adalah sematamata dalam konteks kerangka program perindustrian semasa. Bahkan mikroelektronik ketika itu masih di lihat tidak lebih sebagai sebahagian daripada sektor industri perkakasan elektronik. Industri perkomputeran dan teknologi maklumat belum lagi disedari dengan meluas oleh perancang dasar S&T tempatan sebagai industri jelmaan baru yang menjadi penjana kekayaan dalam dunia pasca industri. Bahkan ketika itu Malaysia baru sahaja ingin melangkah kepada era industri berat, berbanding dengan Amerika dan Eropah yang mula bersedia melangkah kepada era pasca industri. Juga dalam awal tahun 1980an, konsep pemetaan teknologi (Technology Mapping) dan kaedah pencaman masa depan teknologi (Technology Foresight) merupakan suatu yang amat asing di Malaysia. Bahkan idea komputer peribadi, e-mel atau lebuh raya maklumat hampir tidak kedengaran melainkan di kalangan beberapa elitis ilmuwan teknikal.

44

Tegasnya, mikroelektronik pada awalnya dipilih sebagai lanjutan manifestasi paradigma sains moden dan kerangka budaya fikir sains moden yang dianuti oleh generasi berbudaya fikir S&T yang diwakili oleh Mahathir. Beliau merupakan antara generasi anak tempatan yang terawal melalui pendidikan sains kolonial. Beliau kerap mendakwa bahawa pendidikan kolonial beliau sebagai doktor banyak mempengaruhi kejayaan tindakan dan pandangan beliau dalam pelbagai bidang, termasuk dalam percaturan politik (antara prinsip doktor kolonial: "kaki-tangan yang tidak berguna - dicantas"). Oleh itu beliau boleh dianggap sebagai lambang serta contoh par excellence bagaimana pandangan alam anak tempatan telah berjaya di robah melalui pendidikan sains kolonial. Ketika beliau graduan dari Kolej Perubatan kolonial di Singapura, beliau seolah-olah merupakan spesies mutasi yang asing dari kalangan anak tempatan. Pandangan alam yang beliau anuti sebagai graduan doktor kolonial amat asing dengan pegangan utama kebanyakan masyarakat semasa. Namun, kemudiannya kedudukan beliau sebagai Menteri Pendidikan, Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya Perdana Menteri memberi peluang yang amat ampuh bagi beliau untuk menentukan agar pandangan alam yang beliau anuti di terima seluasluasnya. Tengku pula adalah hasil polisi pendidikan pasca merdeka, terutama di bawah polisi menghantar berduyun-duyun anak-anak Melayu ke Barat untuk mendapat pendidikan S&T pada awal tahun 1970an. Tengku kembali ke tanah air ketika pandangan alam tempatan tentang S&T agak positif dan kempen revolusi mental yang dipelopori oleh beberapa tokoh UMNO mula mendapat perhatian. Tengku kembali ke tanah air ketika anak-anak Melayu yang cerdik sains dan yang tidak dipaksa berduyun-duyun mempelajari S&T. Pada zaman Tengku juga bermulanya beberapa inisiatif dan affirmative action oleh Universiti tempatan dalam bentuk Asasi Sains dan Matrikulasi Sains diperkenalkan bagi menambah jumlah pelajar sains Melayu di IPTA-IPTA. Tengku juga kembali ketika suasana ilmiah agak mula subur khususnya gelombang intelektual alternatif dan kritikal yang mempersoalkan budaya intelektual barat semata-mata. Tuntutan kepada pandangan yang lebih luas dalam pelbagai bidang dan pandangan alternatif tentang sains dan teknologi barat di institusikan di Universiti Malaya di bawah kursus sejarah dan falsafah sains di fakulti sains. Kursus tersebut diwajibkan ke atas kesemua pelajar sains. Kursus tersebut diperkenalkan oleh Profesor Ungku Aziz, dan Tengku merupakan antara mereka yang diminta memikul tugas pengisiannya. Mungkin tanggungjawab pengajaran tambahan tersebut di luar bidang dan fakulti kejuruteraan mendorong beliau untuk menguasai ilmu falsafah sains dengan lebih mendalam lagi. Apakah hubungan kesemua itu dengan usaha penginstitusian pendigitalan minda Melayu? Banyak, dan di pelbagai peringkat pula. Peringkat pertama ialah tentang sifat arus perdana yang melanda perubahan dunia semasa. Kini lebih dikenali dengan jolokan arus ketiga Tofler, iaitu tentang ledakan informasi (maklumat sintaktik) yang bukan sahaja meminggirkan peranan maklumat klasik (maklumat semantik); bahkan turut akan terhakis ialah kerangka dan struktur yang menampung maklumat semantik tersebut. Tidak ramai yang mampu memahami implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena tersebut. Kebanyakan antara mereka yang faham pula hanya mampu melihat perubahan itu daripada sudut sosioekonomi atau teknologi semata-mata, dan mereka tidak mampu melihat apatah lagi memahami dampak tersebut daripada dimensi epistemologikal yang lebih tinggi dan menyeluruh. Tengku adalah segelintir kecil cendekiawan yang memahami

45

kesemua itu, bukan sahaja dari sudut techne semata-mata tetapi juga dari sudut episteme. Tengku memahami bahawa ledakan arus tersebut akan merubah setiap sektor sosioekonomi tradisional secara menyeluruh. Keupayaan menangani sebarang perubahan seperti itu hanya mungkin apabila kerangka pemikiran berupaya disediakan untuk melayari arus tersebut. Kesediaan seperti itu harus berlaku pada setiap kategori komuniti, dari puak peniaga kepada puak pentadbir dan pendidik. Bahkan mereka yang bertani dan berkebun juga harus disediakan menghadapi arus tersebut. Penyediaan kerangka fikir dan merubah paradigma masyarakat untuk menghadapi arus tersebut merupakan usaha yang besar dan harus dilakukan mengikut langkah-langkah yang tersusun. Usaha menyeluruh seperti itu jelas harus diinstitusikan. Di sinilah peranan Majlis IT Nasional (NITC). Kepentingan Majlis ini terserlah apabila Mahathir sendiri mempengerusikannya dengan Tengku pula Setiausahanya serta MIMOS sebagai sekretariatnya. Tanda perubahan fahaman Mahathir dari mikroelektronik hanya dalam konteks agenda perindustrian kepada mikroelektronik dalam konteks digitalisasi atau IT berlaku pada tahap ini. Tengku merupakan orang yang bertanggungjawab "mendidik" Mahathir dalam perubahan tersebut. Peranan MIMOS juga berubah daripada fungsi terhad dalam menggalakkan perindustrian mikroelektronik kepada peranan yang lebih luas sebagai sekretariat NITC. Majlis mempunyai beberapa objektif, antara yang terpenting ialah (i) bagi menentukan strategi penggunaan serta perkembangan IT, (ii) bagi menggalakkan penggunaan IT bagi tujuan meningkatkan prestasi organisasi dan individu di setiap peringkat masyarakat. Antara fungsi yang diinstitusikan bagi mencapai objektif tersebut ialah tindakan-tindakan untuk meningkatkan kesedaran sosial dan kesedaran kepentingan IT, tegasnya pembudayaan IT. III. Pembudayaan IT (atau TM) Pembudayaan IT atau TM bukan sekadar bererti meluasnya penggunaan komputer di kalangan orang awam terpilih. Pembudayaan TM juga bukan semata-mata terlaksana dengan sektor -sektor awam seperti pendidikan, kesihatan, perniagaan dan media massa beroperasi berteraskan teknologi perkomputeran. Pembudayaan TM juga bererti bahawa idea pembangunan (suatu konsep moden yang kini diterima oleh orang Melayu, amnya) serta objektif kesejahteraan se kelompok dimungkinkan tercapai dalam lingkungan waktu tertentu melalui mediasi TM. Budaya fikir individu dan masyarakat semasa harus diselaraskan dengan pemikiran TM. Ini merupakan satu faham yang diinstitusikan melalui NITC. Faham ini juga disebut sebagai pembudayaan TM menurut orang Turing (di bincang dalam kuliah 7). Pada asasnya, itu semua ialah lanjutan daripada penerapan budaya fikir saintifik, yang mana Mahathir telah terlatih dan mengakui dengan bangga, sama ada secara lisan atau tulisan, menghayatinya. Begitu juga Tengku yang turut terlatih dalam bidang yang sama. Hanya bagi Mahathir, pemikiran Turing tidak lebih sebagai lanjutan daripada pemikiran saintifik klasik. Mungkin sebab itulah kita tidak hairan sekiranya beliau berpegang kepada pandangan bahawa pemikiran tradisional tidak selari dengan Pemikiran TM (atau pemikiran Turing); pandangan tersebut hanya lanjutan

46

daripada anggapan klasik bahawa pemikiran tradisional sebagai antitesis pemikiran saintifik. Pembudayaan TM bererti komputer digunakan secara meluas dan maksimum oleh setiap peringkat orang awam bagi tujuan insani. Sektor awam menggunakan TM bagi tujuan peningkatan khidmat dan kecekapan untuk rakyat terbawah dan terbiar. Prasarana asas TM diwujudkan di setiap ceruk kawasan. Pemikiran TM diselaraskan dengan budaya fikir dan idealisme yang mengutamakan nilai-nilai insani yang murni. Pembangunan bererti menuju kepada pembentukan masyarakat maddani secara kelompok dan insan-al-kamil pada peringkat individu melalui mediasi TM. Ini merupakan satu lagi ragam faham yang lain. Faham ini disebut sebagai pembudayaan TM menurut "insan al-kamil." Faham pertama melihat komputer dan TM sebagai satu-satu wahana intelektual dan sosial yang mampu membawa kesejahteraan di dunia ini. Motif penggerak faham ini adalah budaya niaga yang berteraskan keuntungan dan monopoli komersial. Dalam pemikiran seperti ini sesuatu yang menguntungkan dari segi perhitungan niaga akan sendirinya mendapat tempat dalam masyarakat. Oleh itu sekiranya sesuatu tahap teknologi itu tidak mendatangkan untung niaga maka ia tidak akan dipupuk. Keperluan masyarakat atau perhitungan keperluan insan di letakkan sebagai satu fungsi sekunder keuntungan. Faham ini merupakan pegangan perdana dan mendapat tempat utama di kalangan para ahli korporat dan politik semasa. Manakala faham pembudayaan TM yang kedua lebih menekankan kepentingan insani. Oleh kerana itu corak pembudayaan TM diwarnakan mengikut untung ruginya masyarakat terbanyak. Faham kedua juga melihat arus pembudayaan TM harus diikat dengan norma dan nilai transenden yang termaktub dalam kitab-kitab yang ditanzilkan dari langit. Faham ini terpinggir dan berlegar di kalangan para akademis, intelektual dan ulama. Hal ini menggambarkan suasana umum yang wujud di kalangan masyarakat setempat dalam memahami isu pembudayaan TM. Perbezaan faham-faham tersebut, terutamanya yang merujuk kepada faham kedua, telah membangkitkan komen bahawa hal tersebut timbul daripada jurang pengalaman cetek masyarakat kita khasnya kelompok yang mewakili faham kedua tersebut. Komen ini mungkin mempunyai asasnya apabila kita merujuk kepada pengalaman singkat masyarakat kita dengan TM dan teknologi perkomputeran berbanding dengan masyarakat di Amerika Syarikat. Namun penyelesaian ilmiah tentang dakwaan ini harus mendapat sokongan daripada penelitian rapi dan padanan dari pengalaman masyarakat yang mencetuskan teknologi perkomputeran dan menghayatinya sekian lama berbanding dengan kita. Hal tersebut mungkin dapat diperjelaskan dengan merujuk kepada sejarah perkembangan komputer peribadi di Amerika Syarikat. Kita dapati walaupun teknologi membina komputer peribadi telah wujud semenjak awal tahun 1970-an dan keperluan awam kepada komputer seperti itu turut wujud, namun industri komputer gergasi pada ketika itu tidak berminat untuk membinanya atas sebab dasar korporat dan komersial semasa. Akibatnya "pendemokrasian komputer" dalam bentuk komputer peribadi di kalangan orang awam di AS terbantut dan "panji pendemokrasian" tersebut disambut dan disemarakkan oleh

47

kalangan anak-anak muda yang berada di luar industri perdana perkomputeran ketika itu. Anak-anak muda tersebut telah meredah dan melawan arus perdana perkomputeran pada ketika itu yang sentiasa mengutamakan yang komputer saiz mega iaitu yang paling besar, paling berat dan paling tinggi. Bagi anak-anak muda tersebut komputer bukan sahaja untuk kelompok elitis yang besar, yang kaya dan yang berkuasa tetapi lebih bererti kepada mereka yang perlu dan yang berkebanyakan. Keyakinan dan keberanian anak muda tersebut berpusat di bilik kecil terpencil dengan bantuan alatan murah. Namun kecekalan mereka telah memungkinkan terciptanya komputer peribadi yang mencetuskan fenomena pendemokrasian komputer awal. Tanpa fenomena pendemokrasian awal ini perkembangan terpenting dalam TM iaitu jaringan antara komputer peribadi dalam bentuk Internet tidak mungkin boleh berlaku. Adalah jelas dalam hal pendemokrasian komputer yang menjadi salah satu ciri teras kepada idea pembudayaan TM terdapat jurang yang besar antara arus pemikiran yang dicetuskan oleh kelompok kepentingan niaga dan kelompok kepentingan awam atau ilmiah. Turut juga jelas bahawa perbezaan tersebut bukan terletak kepada kecetekan faham atau pengalaman tetapi lebih daripada itu. Perbezaan tersebut hanya dapat difahami dengan merujuk premis andaian sosial dan konsep epistemologi asas dalam perkembangan teknologi perkomputeran dan TM. Namun yang penting sekali, komputer peribadi mampu di hubung dan berkomunikasi sesama sendiri. Pembudayaan dan pendemokrasian sebenar komputer dimungkinkan oleh keupayaan perhubungan tersebut. Satu masa dahulu, berjuta-juta komputer peribadi wujud di dunia, namun dalam keadaan tersendiri dan terpisah antara satu sama lain. Komputer yang berkeadaan seperti itu adalah terhad dari segi potensi, sama seperti manusia yang terpisah dan hidup berseorangan, tetapi dalam kelompok sosial, seperti manusia, potensi komputer hampir tidak terhad. Kini komputer yang terpisah selama ini antara satu sama lain oleh sempadan geografis dan politik, boleh berhubung, hatta melalui rangkaian telefon biasa, dan dengan itu mencetuskan fenomena tekno-sosial perkomputeran baru yang lebih dikenali kini sebagai internet. Peranan Internet dalam menangani soal-soal sosial dan intelektual semasa tidak lagi asing bagi kita dewasa ini. Suasana politik dan sosial akhir-akhir ini telah menjadikan internet sesuatu alat komunikasi dan sumber maklumat terpenting. Apakah nilai komunikasi dan maklumat itu dari segi kepentingan ilmiah dan sosial? Hal tersebut merupakan antara persoalanpersoalan asas yang harus di renungkan bersama. Tengku, merupakan antara segelintir cendekiawan tempatan, yang menyedari persoalan tersebut dan implikasi menyeluruh penghayatan digitalisasi kepada Weltanschauung serta masyarakat peribumi. Beliau pernah merakamkannya, dalam kedua-dua bentuk tulisan dan lisan, tentang kerangka empat prinsip asas dan tujuh cabaran yang harus dihadapi oleh masyarakat tradisional. Pada asasnya, menurut beliau: Prinsip 1: Digitalisasi menyatukan dunia ke dalam satu ruang di mana masyarakat,budaya, ekonomi dan bahkan politik tidak lagi terpisah dalam sempadan tradisional. Dalam dunia ini kaedah governance dan undang-undang tradisional tidak lagi

48

terpakai. Struktur kerangka kuasa dari atas ke bawah digantikan dengan yang lebih mendatar dan egalitarian. Prinsip 2: Digitalisasi harus difahami oleh masyarakat tradisional dari segala sudut. Hanya dengan kefahaman dan ilmu tentangnya memungkin ianya ditundukkan mengikut hala tuju yang dikehendaki. Tengku mengumpamakan dengan haiwan liar yang boleh dijinakkan dan tunggani bagi membawa masyarakat tradisional ke arah yang diingini. Kegagalan menjinakkannya boleh mengakibatkan masyarakat tradisional diratah olehnya. Prinsip 3: Digitalisasi dan teknologi maklumat adalah amat berbeza daripada sains dan teknologi moden tradisional. Digitalisasi merubah mod, dasar dan kerangka yang melibatkan sekali gus persoalan kognitif peringkat individu dan masyarakat. Perubahan tersebut menyentuh tentang pemikiran, ilmu dan kuasa membuat keputusan yang amat berbeza daripada kerangka yang dituntut oleh sains dan teknologi moden tradisional (iaitu S&T abad ke-19 hingga pertengahan ke-20). Prinsip 4: Faham-faham tradisional, terutamanya yang berteraskan prinsip dan paradigma Islam seolah-olah serasi dengan idea tanpa-sempadan digitalisasi. Konsep ummah, berilmu dan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar tersimpul dalam prinsip keserataan mendatar. Pemerintah, tua, muda, kaya dan miskin harus terlibat menghayati prinsip tersebut. Nilai kekuasaan dan keupayaan yang ada pada mereka bagi merealisasikan prinsip tersebut dianggap serata sama. Konsep ini amat serasi dengan prinsip 1 yang dinyatakan di atas. Cabaran bagi masyarakat Melayu, menurut Tengku, ialah bagaimana hendak merealisasikan keempat-empat prinsip yang dijelaskan tadi. Sekiranya prinsip tersebut terlaksana, maka bagi beliau, ia akan hanya menguntungkan orang Melayu dan Weltanschauungnya turut terpelihara. Tegasnya, berbanding dengan Mahathirisme, pandangan Tengku agak lembut serta lebih cenderung menekankan bahawa tidak terdapat sebarang percanggahan yang serius antara Weltanschauung tradisional Melayu yang berprinsipkan Islam dengan paradigma digitalisasi. Tengku telah mengumpulkan pandangan beliau tersebut dalam kerangka tujuh kelompok cabaran besar: (1) cabaran konsep ilmu; (2) cabaran S&T moden; (3) cabaran infrastruktur; (4) cabaran ekonomi; (5) cabaran sosi0-budaya; (6) cabaran politik; dan (7) cabaran moral dan agama. Kita tidak berkesempatan untuk mengupas kesemua cabaran-cabaran tersebut. Namun yang penting dalam konteks perbincangan di sini ialah cabaran (1) dan (2). Dalam cabaran (1) budaya fikir Melayu berhadapan dengan falsafah moden dan epistemologi ilmu barat, sebahagian besarnya terasas pada zaman Renaissance dan Enlightenment, yang memperasakan prinsip sekularisme dan rasionalisme melampau. Isme-isme seperti materialisme, evolutionisme, reduksionisme dan sepertinya jelas bercanggah dengan prinsip dan paradigma tradisional Melayu-Islam. Digitalisasi dan TM, membuka asakan dari sudut epistemologi dan wahana pengaliran maklumat dan ilmu dalam kadar pengaliran yang tidak bersempadan dan bertepi, tidak kira sama ada diminta atau tidak, sengaja dipanggil atau ditolak. Digitalisasi, jelas tidak mempedulikan unsur transenden dalam ilmu, bahkan ia tidak juga menyokong sekularisasi ilmu. Digitalisasi hanya

49

meletakkan kedua-dua jenis ilmu pada nilai yang sama, atau perbezaan nilai kedua-dua ilmu itu terletak pada keupayaannya didigitalisasikan. Seolah-olah digitalisasi kini mendatarkan semula persaingan antara epistemologi moden dengan epistemologi tradisional; dengan itu memberi peluang semula bagi epistemologi tradisional mengimbangi saingan berat sebelah yang telah dinikmati oleh sekularisme dan saintisme selama ini. Digitalisasi memberi kuasa baru dan tanggungjawab yang amat tinggi kepada individu; penyekatan kebebasan, idea dan tingkah laku di letak atas bahu individu dan bukan pemerintah. Idea kebebasan seperti ini amat janggal bagi kebanyakan kerajaan, terutamanya yang masih menguasai masyarakat tradisional dan Islam. Penyekatan dan tapisan maklumat, yang berteraskan prinsip kuno - yang berkuasa paling bertanggungjawab dan paling tahu - tidak lagi selari dengan tuntutan perkembangan era digitalisasi. Pengalaman pahit yang dialami,dewasa ini, oleh sesetengah kerajaan yang inginkan kemajuan digitalisasi ekonomi dan ilmu, tetapi dalam masa yang sama ingin mengekalkan tapisan, sekatan maklumat serta kebebasan terhad merupakan contoh percanggahan "kefahaman dengan keinginan" yang baik. Tapisan dan kebebasan bersyarat pemerintah, jelas merupakan paradigma lama yang tetap akan gagal dalam era digitalisasi. Dasar tersebut boleh disamakan dengan penguasa yang membuat lebuh raya besar yang canggih tetapi memaksa rakyatnya semuanya berkereta lembu dan kuda, dengan alasan bahawa arahan itu perlu untuk mengelakkan kemalangan dan kelajuan memandu lebih dari hadnya! Paling memalukan ialah pengekalan sekatan seperti itu hanya memperlihatkan kecetekan dan ketololan penggubal dasar itu. Cabaran (2) yang terpenting, mengikut pandangan Tengku, ialah konsep nilai-bebas dan keneutralan S&T moden. Idea kebenaran mutlak dan kesahihan saintifik melampau merupakan mitos yang pegang oleh kebanyakan kelompok moden yang tidak kritis dan tidak celek sejarah ilmu. Bagi mereka yang berada dalam bidang sains dan teknologi, mereka melihat bagaimana S&T tidak seperti gambaran idealnya. Kita tahu bahawa kebenaran dan kesahihan dalam sains adalah relatif. Faktor-faktor nilai dan sosiopolitik masyarakat yang mengasaskannya turut mempengaruhi perkembangan S&T. Kita tahu yang terbaik dan yang paling berguna tidak semestinya diterima, bahkan adakala yang paling berbahaya dan paling tidak menguntungkan orang ramai itu yang dipupuk. Antara contohnya ialah seperti teknologi bom nuklear dan "teknologi lupus" (iaitu teknologi bagi memendekkan dengan sengaja had kebergunaan sesuatu alat, agar pengguna terpaksa terus membeli sama ada komponen tertentu atau menggantikannya selepas had penggunaan lupus). Persoalan dampak intelektual S&T ini amat penting dalam konteks perkembangan Weltanschauung Melayu. Wacana yang agak penting dewasa ini, yang harus diikuti oleh mereka yang ingin memahami persoalan tersebut, ialah seperti yang pernah diketengahkan oleh Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). IV: S&T dalam Kerangka Fikir Orang Melayu Wacana dan pandangan ASASI merupakan contoh terbaik bagi memperlihatkan kompleksiti Weltanschauung Melayu dalam menghadapi asakan pemikiran saintifik moden seperti yang telah digariskan oleh Tengku dalam cabaran (2)nya di atas tadi. Juga seperti yang telah diulas pada kuliah yang lepas, kepentingan ASASI ialah kerana ia merupakan persatuan yang ditaja oleh para cendekiawan Melayu baru yang kebanyakan

50

dilatih di luar negeri dalam bidang sains, teknologi dan seni moden. Namun dalam masa yang sama mereka mempertahan Weltanschauung Melayu tradisional, khususnya yang bersangkut paut dengan kosmologi Islam. Kerana itulah memahami pandangan ASASI mewakili satu gagasan pandangan Melayu moden yang amat penting dalam usaha memahami perkembangan Weltanschauung Melayu dalam konteks era TM. Dari segi prinsipnya ASASI menjadikan objektif organisasi dan matlamat perjuangannya bagi merealisasikan: 1. Pembudayaan S & T yang serasi dengan etika dan akal budi/kosmologi Melayu-Islam 2. Penguasaan S & T di kalangan warga Melayu-Islam 3. Perserataan prasarana S & T di kalangan warga Melayu-Islam Objektif (1) dan (2) merupakan persoalan yang menarik minat kita. ASASI memilih antara asas perjuangannya ialah sebagai menentukan nasib dan ketahanan warga Melayu-Islam dalam perkembangan S & T semasa. Paksi perjuangan itu ialah dalam kerangka memupuk, memelihara, menjamin dan mengukuhkan ketiga-tiga premis yang disebut di atas tadi. Suatu hal yang jelas ialah betapanya pembudayaan, penguasaan dan perserataan S & T di kalangan warga Melayu-Islam bersimpul rapi dengan ikatan daulat bahasa dan maruah bangsa. Sebarang kelonggaran usaha atau kemalapan isyarat dalam mendaulatkan bahasa dan juga dalam menjaga kedudukan maruah bangsa akan melepaskan gelombang yang akan menghakis perlaksanaan dan kejayaan ketiga-tiga premis tersebut. Oleh kerana itu perjuangan bahasa adalah sebahagian daripada perjuangan ASASI. Pandangan ASASI penting kepada perbincangan kita di sini ialah kerana sebagai sebuah organisasi ilmiah bukan kerajaan, ASASI memperjuangkan pembudayaan, penguasaan dan perserataan S & T yang serasi dengan akal budi murni Melayu-Islam semenjak hampir tiga dasawarsa yang lalu. ASASI baru-baru ini telah sekali lagi mengetengahkan beberapa soal penting yang menyentuh nasib dan maruah Melayu-Islam dalam S & T. Antara soal tersebut ialah hubungan kejayaan pendidikan S & T warga Melayu-Islam dengan kejayaan Bahasa Melayu sebagai wahana pendidikan dan wacana unggul S & T di rantau ini. Telah diketahui umum bahawa Mahathirisme menganggap bahawa persoalan mendaulatkan bahasa Melayu tidak ada kena mengena dengan agenda pembudayaan S&T di kalangan orang Melayu. Pendaulatan bahasa Melayu hanya mungkin sah dalam dunia subjektif sastera dan panggung sandiwara sahaja, bukan dalam dunia objektif dan persaingan serius. Bahkan Mahathirisme, menganggap agenda bahasa Melayu mungkin sahaja boleh mengengkang kejayaan penerapan S&T di kalangan orang Melayu. Memang ada kebenaran di sebalik penegasan Mahathirisme itu. Hanya, kegagalan itu bukan dalam penerapan S&T per se tetapi kepayahan itu ialah dalam menerapkan S&T sekular ala barat ke dalam budaya fikir orang Melayu. Namun begitu, minat kita ialah kepada hujah di sebalik penegasan Mahathirisme bahawa bahasa Inggerislah wahana intelektual unggul yang memungkin pembudayaan menyeluruh orang Melayu. Dalam ahli

51

ini, ASASI telah membuat jawapan ilmiah dan analisis yang agak tajam. Mengikut ASASI kepercayaan melampau Mahathirisme kepada bahasa Inggeris sebagai wahana S&T berpunca dari silap faham yang didasari beberapa mitos usang. Antara mitos-mitos tersebut ialah mitos Bahasa Inggeris dan S & T: Mitos I: Bahasa Inggeris bahasa sains dan teknologi. Peranan Bahasa Inggeris dalam perkembangan S & T adalah suatu fenomenon yang agak baru. Peranan bahasa Inggeris dalam perkembangan S & T moden hanya baru mencecah dua abad. Itu pun sekiranya kita membelakangkan fakta sejarah dengan sengaja mengecilkan peranan bahasa Eropah lain seperti Perancis, Jerman dan Rusia dalam perkembangan S & T moden. Peranan bahasa tamadun besar lain seperti bahasa Mesir, Yunani, Hindi, Cina dan Arab dalam sejarah perkembangan S & T purba dan klasik pada umumnya telah bertakhta sebagai wahana wacana terunggul antara tujuh hingga sepuluh abad. Apabila dipadankan dengan Bahasa Inggeris, kita akan dapati bahawa bahasa tersebut belum lagi dapat mendakwa keunggulan mutlak daripada segi tahap dan peranannya dalam perkembangan S & T sebagai setanding dengan bahasa-bahasa tamadun besar dunia yang lampau, terutamanya bahasa Yunani dan Arab. Pendedahan awal warga Melayu-Islam kepada S & T moden berlaku melalui wahana dan wacana Bahasa Inggeris. Pendidikan kolonial mengutamakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar ilmiah dan meminggirkan bahasa ibunda lain dalam bidang ilmu serta urusan rasmi. Buku-buku S & T dalam Bahasa Inggeris memasukkan sentimen Inggerisofili, antaranya dengan membesar-besarkan peranan tokoh S & T Inggeris berbanding dengan tokoh dari negara lain. Sejarah perkembangan S & T moden telah merakam beberapa percanggahan dan perbahasan hangat mengenai dakwaan dalam hal pengasas sesuatu penemuan sains atau teknologi. Britain dengan negara Eropah yang lain pernah berkelahi beberapa kali mengenai isu perintis dalam penemuan sains, dan yang paling terkenal ialah yang melibatkan tokoh sains Inggeris terkemuka Isaac Newton dan tokoh sains bangsa Perancis-Jerman, Leibniz tentang kalkulus. Perkelahian seperti ini berlaku dalam banyak bidang lagi terutamanya antara Eropah Timur dengan Barat (dahulunya blok komunis dengan blok bukan komunis) malah dengan Jepun. Bahkan baru-baru ini ahli sains Perancis dan Amerika Syarikat pula telah berkelahi mengenai siapa yang pertama menemui virus AIDS. Hakikatnya ialah dalam sejarah S & T berlaku berulang-ulang kali penemuan S & T yang serentak oleh dua atau lebih orang di beberapa tempat yang terpisah. Ini telah diterima sebagai satu hukum dalam sosiologi ilmu pengetahuan. Contoh konkret lagi daripada sejarah sains yang unggul ialah penemuan serentak "hukum Boyle" oleh Boyle dan Marriotte. Begitu juga penemuan serentak mengenai hubungan sifat unsur dengan berat atom oleh ahli sains di England (Newland), Jerman (Lothar-Meyer) dan Rusia (Mendeleev),dan oleh itu perkelahian tentang penemuan konsep jadual berkala. Dalam hal penemuan ini, misalnya, buku-buku S & T dalam bahasa Inggeris semasa itu mengketengahkan peranan Newland, manakala di Jerman, Lothar-Meyer dianggap pengasas ulung manakala di Rusia hanya nama Mendeleev dikenali manakala nama dan peranan Newland dan Lothar-Meyer langsung tidak diketahui oleh masyarakat sains Rusia. Sentimen seperti itu adalah suatu yang lumrah dalam pencaturan maruah bangsa dan negara, walaupun perkara ini melibatkan

52

penegasan kebenaran sejarah yang sekerat-sekerat. Namun, perkara yang tidak harus dilupakan ialah betapa kegiatan-kegiatan S & T di negara-negara yang menjadi persaingan S & T ini, umpamnya di negara-negara yang dikelaskan sebagai negara maju sekarang (atau G7) seperti Jerman, Perancis, Italia, Rusia dan Jepun tidak dijalankan dalam bahasa Inggeris yang serng menutup mata hati kita tentang sejarah tamadun manusia selama ini. Penemuan S & T di Perancis, Jerman, italia, Rusia, Jepun dan lainlain negara yang kaya dengan S & T itu bukan disebabkan Bahasa Inggeris dijadikan wahana ilmiah dan media wacana eksklusif S & T. Di samping itu penemuan-penemuan sains pada abad ini terus-menerus berlaku dengan banyaknya di dalam bahasa-bahasa bukan bahasa Inggeris, sama ada di Eropah atau di Jepun. Pendidikan S & T dan proses pembudayaan awal S & T di kalangan warga Melayu-Islam pada zaman kolonial Inggeris memusatkan sentimen Inggerisofili yang berkisar kepada pendaulatan Bahasa Inggeris dan agenda maruah bangsa Inggeris dalam S & T. Mitos bahasa Inggeris bahasa teknologi berpunca daripada sentimen tersebut. Malangnya pendidikan S & T pasca-merdeka meneruskan sentimen ini terutamanya dalam sekolah dwialiran Inggeris dan Melayu. Hakikat inilah juga yang bukan sedikit memberi sumbangan kepada pengukuhan pandangan kurang kritis sesetengah para pemimpin dan golongan elit kita kini mengenai peranan Bahasa Inggeris dalam S & T. Mitos II: Peranan bahasa di semua peringkat S & T dan pendidikan S & T adalah seragam. Peranan bahasa dalam kerangka ilmu sains dan teknologi adalah seperti peranan bahasa dalam bidang-bidang lain. Antara peranan utama tersebut ialah bahasa sebagai komunikasi makna dan maksud, serta bahasa sebagai rakaman fakta dan pengantar teori. Tanpa pergi ke tahap kupasan epistemologi yang tinggi, bahasa di peringkat rendah mempunyai komponen semantik yang lebih berbanding dengan bahasa sains pada peringkat tinggi. Bahasa S & T yang digunakan pada peringkat awam, peringkat sekolah dan pra-siswazah pada umumnya melibatkan bahasa sains peringkat rendah. Daripada segi pembinaan teori, penjelasan dan pendidikan sains, bahasa peringkat rendah mempunyai peranan yang penting. Kepentingan ini terbit daripada dimensi semantik yang tinggi yang perlu bagi memesrakan faham-faham sains dalam konteks kosmologi dan budaya fikir yang tertentu. Keserasian faham sains daripada barat dengan budaya fikir Melayu-Islam dan kosmologi Islam adalah jelas bukan pada kadar seratus peratus. Namun keserasian seratus peratus bukanlah matlamat dalam konsep pembudayaan S & T kita. Pembudayaan S & T kita didukung oleh hasrat menyerap unsur sains yang serasi dan budaya fikir Islam dan juga akhirnya menghasilkan teori dan model sains yang lahir daripada budaya fikir Melayu-Islam. Wahana utama yang membolehkan kita menghasilkan model dan teori sains yang unggul dan serasi dengan kosmologi Islam di Malaysia ini (malah di Nusantara ini) ialah bahasa Melayu. Antara faktor kenapa hal ini lebih mudah direalisasikan melalui wahana dan dalam konteks bahasa Melayu ialah kerana bahasa Melayu ialah bahasa kosmologi fitri Melayu dan bahasa Melayu mengandungi dimensi semantik dan ikatan etimologi dengan budaya fikir Melayu-Islam.

53

S & T di tahap tinggi pula melibatkan pengukuhan teori dalam bentuk bahasa S & T peringkat tinggi. Bahasa tersebut pada peringkat ini mempunyai komponen sintaksis yang lebih tinggi. Komponen sintaksis ini biasanya dimanifestasikan dalam bentuk formulaformula kuantitatif atau persamaan matematik. Bahasa pada peringkat ini mempunyai unsur kesejagatan yang tinggi kerana formula kuantitatif dan persamaan matematik sintaksis adalah sama tidak kira ditulis dalam konteks bahasa apa sekalipun. Oleh itu para ahli sains Melayu-Islam dapat memahami formula dan persamaan tersebut sama ada ditulis dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Bahkan sekiranya formula sintaksis S & T dilafaz dalam konteks bahasa Rusia sekalipun akan masih dapat difahami oleh para ahli sains Melayu-Islam. Wacana sains pada peringkat tinggi pada umumnya lebih melibatkan penggunaan formula dan persamaan matematik. Penggunaan bahasa semantik adalah pada peringkat yang paling minimum. Bahkan pertukaran maklumat sains antara bangsa dan antara budaya pernah dilakukan tanpa melibatkan bahasa semantik peringkat rendah iaitu dengan hanya melalui komunikasi bahasa sintaksis matematik dan formula. Kemuncak dan contoh terbaik bahasa sintaksis ialah bahasa mesin yang digunakan dalam komputer. Bahasa mesin langsung tidak melibatkan dimensi semantik bahasa budaya manusia, walau peringkat pembinaannya memang dipengaruhi oleh semantik bahasa ahli sains berkenaan. Tegasnya, bahasa S & T pada peringkat rendah mempunyai peranan yang berbeza daripada peringkat tinggi. Oleh yang demikian, dalam konteks pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu-Islam, bahasa Melayu adalah amat penting berbanding dengan bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris. Hal ini adalah amat benar tanpa mengambil kira bahawa bahasa Melayu ialah wahana tabii kerana sifatnya sebagai bahasa ibunda kebanyakan muslim di Malysia ini, dan pula telah pun turut dikuasai oleh bangsa lain dalam negara ini. Mitos III: Kejayaan pembudayaan S & T bergantung kepada kejayaan penguasaan bahasa Inggeris Kejayaan pembudayaan S & T bergantung kepada keserataan dan keluasaan wahana bahasa. Bahasa yang terhad dan bersifat elitis tidak mungkin dapat membudayakan sains dengan jayanya di kalangan masyarakat. Hanya bahasa yang meluas atau wahana komunikasi utama masyarakat tersebut mampu menjadi penyalur utama pembudayaan S & T. Kenyataan (realiti) penggunaan bahasa Inggeris semasa di negara ini menunjukkan bahawa bahasa tersebut hanya mampu menjadi wahana pembantu pembudayaan. Ini pun dalam konteks yang terhad. Pembudayaan seluruh seperti yang difahami dalam konteks premis paradigma pembudayaan S & T dalam wawasan negara dan yang turut didukung oleh ASASI tidak mungkin boleh tercapai melalui bahasa asing. Oleh itu usaha pembudayaan atau kejayaan pembudayaan yang menepati hasrat kebangsaan MelayuIslam hanya mungkin tercapai melalui bahasa Melayu. Kesangsian terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai wahana wacana unggul S & T tidak seharusnya timbul pada tahap kini. Penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan

54

peringkat rendah dan universiti telah terbukti berkesan semenjak tahun 1970-an. Penubuhan fakulti S & T di Universiti Kebangsaan membuktikan sejak awal 1970-an dahulu lagi, dan diikuti oleh semua universiti di negara kita ini sekurang-kurang sejak 15 tahun dahulu lagi menunjukkan dengan jelasnya akan kemampuan bahasa Melayu sebagai wahana pembudayaan S & T. Istilah dan wacana S & T mampu dijalankan dengan licin bukan sahaja pada peringkat pendidikan pra-siswazah bahkan pada peringkat pasca-siswazah. Para siswazah S & T yang dididik melalui wahana bahasa Melayu telah berjaya menjadi ahli sains dan teknologi yang berjaya. Soal kesediaan dan kemampuan bahasa Melayu dalam membudayakan S & T telah terjawab dengan jelas sekali oleh bukti empirik tentang keupayaan bahasa Melayu dalam pendidikan S & T kini pada semua peringkat. Faham Mahathirisme pula tentang kelemahan bahasa Melayu sebagai wahana intelektual S&T, mengikut ASASI, didasari oleh beberapa gagasan mitos yang berkaitan dengan keupayaan bahasa Melayu dan S & T. Berikut pula ialah beberapa kelompok mitos utama berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu dalam pembudayaan S & T: Mitos IV: Bahasa Melayu bukan faktor kritis dalam pembudayaan S & T Jelas, sekiranya pembudayaan S & T bermaksud hanya meramaikan mereka dari kalangan warga Melayu yang memegang ijazah S & T, maka bahasa Melayu bukan faktor kritis. Sekiranya pembudayaan S & T bermaksud hanya sekadar meramaikan pekerja mahir bagi kilang-kilang asing di Malaysia ini, maka bahasa Melayu bukan faktor kritis. Sekiranya pembudayaan S & T bermaksud hanya sekadar mengisi kuota bumiputra dalam S & T, maka bahasa Melayu bukan faktor kritis. Meramaikan pemegang ijazah S & T, menyediakan pekerja mahir dan mengisi kuota bumiputra merupakan matlamat jangka pendek yang sekali-kali tidak dapat disamakan dengan proses pembudayaan yang tulus. Pembudayaan S & T melibatkan matlamat yang melangkau kesemua itu. Pembudayaan, antara lain, berlaku apabila budaya fikir sesuatu bangsa itu dapat mecerna S & T dalam sistemnya dan melahirkan S & T yang fitri dan serasi dengan kosmologi dan pandangan alam bangsa tersebut. Pembudayaan dalam faham ini mensyaratkan wahana dan wacana unggul S & T-nya dalam bahasa ibunda bangsa tersebut atau bahasa kebangsaan yang paling sesuai dengan sesebuah negarabangsa itu. Mengikut fahaman inilah maka bahasa Melayu ialah faktor kritis pembudayaan S & T. Mitos V: Bahasa Melayu faktor pelewat penguasaan S & T jangka pendek Sekiranya penguasaan S & T jangka pendek melibatkan keseluruhan kaum yang ada dalam negara ini, maka bahasa Melayu mungkin melewatkan sedikit proses peguasaan S & T. Sekiranya program penguasaan S & T jangka pendek hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja, misalnya kaum bukan Melayu, maka bahasa Melayu mungkin menjadi faktor pelewat. Sekiranya penguasaan S & T jangka pendek hanya melibatkan sektor S & T yang terhad, seperti perniagaan sahaja maka bahasa Melayu mungkin melewatkan proses tersebut.

55

Program penguasaan S & T melalui wahana bahasa Melayu yang melibatkan semua kaum di negara ini mungkin lembab di kalangan kaum bukan Melayu. Namun andaian ini pun telah dibuktikan oleh pengalaman Universiti Kebangsaan sebagai tidak tepat kerana ramai pelajar bukan Melayu yang dididik dalam bahasa Melayu mendapat Ijazah kelas yang tinggi. Faktor penyumbang kepada kejayaan ini mungkin boleh dikatakan bahawa kebanyakan buku rujukan utama masih banyak dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun tumpuan penguasaan jangka pendek lebih tertumpu kepada kaum bumiputra yang menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Penguasaan peringkat rendah mampu dilakukan oleh pendidikan tempatan yang menggunakan bahasa Melayu dan lebih berkesan dan merata memandangkan bahasa Melayu dikuasai secara fitri oleh semua lapisan masyarakat Melayu-Islam. Kedudukan istemewa bahasa Melayu tersebut tidak dapat didakwa oleh bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris. Bahkan penggunaan bahasa Inggeris mungkin sahaja akan melambat dan melembabkan penguasaan S & T peringkat rendah memandangkan pelajar Melayu-Islam akan dibeban dengan usaha untuk mempelajari dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka di samping mempelajari S & T. Ini telah pun terbukti sebelum Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan (atau lebih tepat lagi pra-UKM). Pada peringkat yang lebih tinggi, penguasaan S & T mempunyai pengertian yang lebih daripada hanya menguasai sektor S & T yang terhad kepada sektor perniagaan sahaja. Bahkan penguasaan S & T lebih tertumpu kepada sektor pendidikan dan latihan sumber tenaga pada peringkat tinggi. Hal ini juga bermakna, antara lain, mendukung program bagi menghasilkan S & T asli yang mampu mendukung kosmologi, etika dan budaya fikir Melayu-Islam. Penguasaan S & T melibatkan keupayaan menentukan agenda cendekia dan wacana sains yang mendukung paradigma Melayu-Islam. Kesemua ini hanya mungkin disemai dan dipupuk melalui bahasa Melayu. Bahkan ketahanan dan nasib S & T Melayu-Islam jangka panjang bergantung kepada keupayaan tersebut. Mitos VI: Bahasa Melayu bergantung kepada nasib S & T Melayu-Islam Sekiranya S & T warga Melayu-Islam telah berada di tempat tinggi dan para ahli S & T dan Melayu-Islam amnya masih mampu bercakap atau berbudaya bahasa Melayu baku, maka benarlah bahasa Melayu bergantung kepada nasib S & T Melayu-Islam. Sekiranya benar bahasa Melayu bukan faktor kritis dalam pembudayaan S & T warga Melayu-Islam, maka nasib S & T Melayu-islam sebenarnya membantut atau tidak dapat membantu kedudukan bahasa Melayu. Sekiranya nasib S & T Melayu-Islam terbela melalui wahana bahasa lain, maka bahasa Melayu terbukti tidak begitu penting. Meletakkan nasib bahasa Melayu sebagai subjek kepada nasib S & T Melayu-Islam bukan sahaja janggal dari segi mantiknya bahkan sukar dipertahankan secara ilmiah. Pembudayaan S & T merupakan syarat ketahanan S & T Melayu-Islam. Bertolak daripada hujah tersebut, pra-syarat pembudayaan ialah wujudnya wahana bahasa yang mantap, yaitu bahasa Melayu. Oleh yang demikian, nasib bahasa Melayulah sebenarnya yang menjadi penentu kepada nasib S & T Melayu-Islam dalam waktu jangka panjang.

56

Hasrat pembudayaan S & T secara menyeluruh terutamanya melalui wahana pendidikan terukir pada klausa-klausa akta pendidikan seperti Akta Pendidikan 95/96. Mekanisme pembudayaan, khususnya dalam konteks umat Melayu-Islam, walaupun tidak dinyatakan secara terang-terang, namun jelas berteraskan kepada konsep praktis dan pragmatis. Keluwesan dari segi mekanisma melaksanakan pendidikan dan pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu diakui sememangnya amat penting. Keluwesan tersebut perlu bagi memberi ruang kepada penyesuaian yang perlu dilakukan mengikut perubahan dan tuntutan keadaan semasa. Namun dalam kebanyakan akta pendidikan seperti Akta Pendidikan 95/96, ikatan bahasa Melayu dan pembudayaan S & T tidak terserlah. Hal ini mungkin kerana bahasa Melayu dan pembudayaan S & T dianggap bukan faktor kritis dan tidak ada hubungan wajib antara kedua-duanya. Bahasa dianggap hanya sebagai aspek mekanisma perlaksanaan dan bukan wahana wajib bagi mencapai maksud pembudayaan S & T di kalangan umat Melayu khususnya. Anggapan ini ialah sebahagian daripada mitos bahasa yang telah dikupas awal perbincangan tadi. Atas sebab epistemologi dan juga alasan sosiologi ilmu, pemisahan antara bahasa dan pembudayaan S & T tidak dapat dipertahankan secara ilmiah. Keperluan kepada bahasa Melayu, terutamanya dalam pembudayaan S & T yang serasi dengan akal budi orang Melayu dan Islam hanya berkemungkinan besar berjaya melalui wahana bahasa Melayu, dan tiada kebarangkalian berjaya sebaliknya. Hal ini kerana bahasa Melayu merupakan lingua franca dan media fitri bagi kosmologi MelayuIslam. Hakikatnya ialah akal budi Melayu hanya terpupuk dengan selesa melalui bahasa Melayu. Bahasa Melayu walaupun digunakan dalam konteks wacana sains, namun masih mempunyai pertalian ontologi dan semantik dengan agama Islam dan kosmologi Melayu. Bagi orang Melayu yang dibesarkan dalam bahasa Melayu dan dibudayakan melalui wahana bahasa Melayu ikatan kosmologi dan agama tetap dirasakan walaupun dalam hal membincangkan teori sains yang amat konkrit dan sekular. Ikatan seperti ini hampir tidak dirasai wujud dalam bahasa Inggeris. Ditambah dengan faktor sosiologi, bahasa Melayu memanglah merupakan bahasa ibunda sebahagian besar muslim di Malaysia. Sebarang usaha pendidikan S & T dalam bahasa tersebut akan berupaya sampai kepada setiap lapisan dengan kadar yang lebih mudah dan merata,berbanding dengan wahana bahasa Inggeris yang secara tabiinya tumpuan hanya pada strata warga Melayu yang terhad. Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan warga Melayu-Islam di Malaysia ini jelas tidak menyeluruh, dan tidak akan menyeluruh sebagimana yang sudah terbukti di negara-negara lain seperti India,filipina dan negaranegara yang menjadikan bahasa penjajahnya (bahasa asingnya) sebagai wahana pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaannya. Bahasa Inggeris hanya mampu menjadi wahana segelintir warga Melayu. Oleh yang demikian, bahasa Inggeris tidak mungkin dapat membudayakan S & T di kalangan warga Melayu-Islam sama ada daripada segi bilangan mahu pun daripada segi akal budi. Hal ini menjadi bertambah rumit sekiranya soal pemupukan, penggalakan dan penserataan S & T di kalangan warga Melayu-Islam diambil kira. Sekali pun kita mengakui bahawa ramai antara para ahli S & T Melayu semasa telah mendapat pendidikan tinggi di luar negeri dan dididik dalam S & T melalui wahana bahasa Inggeris sekurang-kurangnya di peringkat universiti, namun jumlah yang ramai itu tidak boleh disamakan sebagai kejayaan dalam pembudayaan S & T di kalangan

57

warga Melayu. Kejayaan pembudayaan S & T bukan sekadar melibatkan peningkatan jumlah ahli S & T Melayu. Pembudayaan S & T , antara lain, melibatkan keupayaan umat Melayu untuk menghasilkan sains yang mencerminkan akal budi dan kosmologi Melayu. Penghasilan sains seperti itu merupakan antara prasyarat kepada penghasilan teknologi peribumi yang tulen dan bukan sekadar penerusan teknologi pinjaman hasil budaya fikir asing. Sains dan teknologi peribumi membawa takrif bahawa S & T yang dibentuk, dipupuk, dijustifikasi dan diwacanakan melalui wahana bahasa ibunda atau bahasa nasional. Kepentingan bahasa Melayu dalam S & T bukan sekadar soal sentimen atau soal memenuhi selera pengundi Melayu. Kepentingan bahasa Melayu mempunyai sebab yang bercambah daripada asas epistemologi hingga ke keperluan sosio-ekonomi jangka panjang. Pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu dalam ertikata yang sebenarnya tidak mungkin tercapai melalui wahana bahasa lain. Oleh demikian, bagi ASASI, para penggubal dasar perlu meneliti semula dan mempastikan bahawa gagasan akta pendidikan yang ingin menerapkan S&T dikalangan anak Melayu harus memiliki sekurang-kurangnya tiga sifat berikut: (i) benteng bahasa Melayu (ii) bersih daripada mitos dan falasi epistemilogikal (iii) mampu memupuk, memelihara, menjamin dan mengukuhkan hal-hal berikut: a. Pembudayaan S & T yang serasi dengan etika dan akal budi/kosmologi Melayu-Islam. b. Penguasaan S & T di kalangan warga Melayu-Islam. c. Penyerataan prasarana S & T di kalangan warga Melayu-Islam. V: Kesimpulan Di sini, kita telah berkesempatan berbincang tentang proses penginstitusian pendigitalan masyarakat setempat dan hubunganya dengan pembudayaan S&T dikalangan orangorang pribumi dan orang Melayu. Penerapan budaya fikir S&T barat, khususnya, telah melahirkan paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu moden. Kontrakdiksi seperti ini tidak menjadi masalah besar dalam konteks kerangka faham seperti Mahathirisme. Bahkan kita perhatikan peluburan kontradiksi seperti itu seolah-olah mampu tercapai dengan efisien dalam alam fikir maya yang beteraskan konsep digitalisasi. Mahathirisme tetap boleh dikatakan sebagai bertangungjawab menyediakan dan mengujudkan keadaan di mana kemungkinan bagi menyuburkan pemikiran digital di kalangan orang Melayu lebih mudah. Tegasnya, dalam kerangka Mahathirisme mengujudnya "orang Turing Melayu" bukanlah suatu yang lagi mustahil.

58

Pengintitusan digitalisasi melalui agensi seperti MIMOS, NITC dan kemudiannya projek TMK gergasi seperti KRM (MSC). Peranan cendekiawan seperti Tengku Mohd. Azzman Sharifadeen dalam mendidik Mahathir daripada memandang mikroelektronik hanya dalam konteks kerangka perindustrian kepada kerangka TM yang lebih luas adalah juga penting. Kesemua itu ada pertalian dengan usaha pengintitusian pendigitalan minda Melayu. Hakikat ini tidak ramai yang memahaminya, terutamanya tidak ramai yang mampu memahami implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena pembudayaan TM tersebut. Kebanyakan antara mereka yang mungkin "faham" pula hanya mampu melihat perubahan itu daripada sudut sosio-ekonomi atau teknologi semata-mata, dan mereka tidak mampu melihat apatah lagi memahami dampak tersebut daripada dimensi epistemologikal yang lebih tinggi dan menyeluruh. Tengku adalah segelintir kecil cendekiawan yang memahami bahawa pembudayaan TM dikalangan orang Melayu harus ditanggani daripada pelbagai sudut, bukan sahaja dari sudut techne semata-mata tetapi juga dari sudut episteme. I. Pengenalan Dalam kuliah 6 yang lepas, kita telah berkesempatan berbincang tentang persoalan bagaimana proses penginstitusian pendigitalan masyarakat setempat dan hubungannya dengan pembudayaan S&T di kalangan orang-orang peribumi dan orang Melayu. Penerapan budaya fikir S&T barat, khususnya, telah melahirkan paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu moden. Namun dalam kerangka faham Mahathirisme kontradiksi seperti ini tidak menjadi masalah. Bahkan kita perhatikan peleburan kontradiksi seperti itu seolah-olah mampu tercapai dengan efisien dalam alam fikir maya yang berteraskan konsep "orang Turing Melayu." "Orang Turing Melayu" ini boleh diwujudkan melalui proses penginstitusian digitalisasi yang diterajui oleh agensi seperti MIMOS, NITC dan mungkin juga projek TMK gergasi seperti KRM (MSC). Peranan cendekiawan Melayu yang terdidik dalam bidang S&T moden juga ada pertalian dengan usaha penginstitusian pendigitalan minda Melayu. Hakikat ini tidak ramai yang memahaminya, terutamanya tidak ramai yang mampu memahami implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena pembudayaan digitalisasi minda Melayu melalui TM tersebut. Kebanyakan antara mereka yang mendakwa "faham" tentang apa yang berlaku pula hanya mampu melihat perubahan itu daripada sudut sosioekonomi atau teknologi semata-mata, dan kebanyakan mereka tidak mampu melihat apatah lagi memahami dampak tersebut daripada sudut dimensi epistemologikal yang menyeluruh. Mahu tidak mahu bahawa proses pembudayaan tersebut di kalangan orang Melayu harus ditangani daripada pelbagai sudut, bukan sahaja dari sudut techne semata-mata tetapi juga dari sudut episteme. Salah satu daripada konsep episteme terpenting yang mendasari proses pembudayaan tersebut ialah "orang Turing." II. Orang Turing

59

Pada bulan Januari tahun 1983 seperti lazimnya majalah terkemuka Time mengisytiharkan "tokoh tahunannya" atau Man of the Year. Tokoh tahunan 1982 jatuh kepada komputer. Komputer - "Man of the Year"? Namun, pilihan Time tersebut seolaholah tidak memeranjatkan sesiapa pun pada ketika itu. Walaupun semenjak mula anugerah itu dicipta pilihan dibuat daripada kalangan tokoh terkemuka dunia, daripada kalangan manusia dan bukan ciptaannya. Apakah alasan di sebalik pemilihan Time tersebut? Ikuti petikan berikut yang dikemukakan oleh Time pada 3 Januari, 1983: There are some occasions, though, when the most significant force in a year's news is not a single individual but a process, and a widespread recognition by a whole society that this process is changing the course of all other processes. That is why, after weighing the ebb and flow of events around the world, Time has decided that 1982 is the year of the computer. It would have been possible to single out as Man of the Year one of the engineers or entrepreneurs who masterminded this technological revolution, but no one person has clearly dominated those turbulent events. More important, such a selection would obscure the point. Time's Man of the Year for 1982, the greatest influence for good or evil, is not a man all. It is a machine: the computer. (Adakalanya, apabila punca terpenting berita sepanjang satu-satu tahun itu bukan seorang individu tetapi satu proses, dan penerimaan menyeluruh masyarakat bahawa proses ini sedang merubah arah tuju proses-proses lain. Sebab itulah, selepas menimbang pergolakan arus keadaan di seluruh dunia, Time memutuskan bahawa 1982 merupakan tahun komputer. Sememangnya boleh untuk memilih tokoh tahunan daripada kalangan jurutera dan para peniaga yang merintis revolusi teknologi itu, tetapi tidak ada seorang pun yang didapati benar-benar menguasai pergolakan tersebut. Paling penting ialah pemilihan seperti itu akan mengaburi hakikat ini. Tokoh tahunan Time bagi tahun 1982, yang paling berpengaruh dalam menentukan sama ada baik atau buruk, bukan seorang manusia. Ianya adalah sebuah mesin: komputer.) Pemilihan Time dan reaksi masyarakat sewaktu itu melambangkan beberapa perkembangan penting dalam imej komputer dan kesan imej tersebut kepada Weltanschauung manusia pada akhir abad ke-20. Banyak yang telah diperkatakan mengenai imej kemasyarakatan komputer dan kesannya kepada pemikiran dan akidah manusia; termasuk dari sudut positif dan negatif dan juga dari sudut yang mengimbangkan kedua-duanya. Antara pengamatan yang menarik tentang hal tersebut ialah yang dilakukan sepanjang tahun-tahun 1980an, iaitu ketika pembudayaan dan pendemokrasian komputer mula berlaku. Pengamatan seperti itu telah disemadikan dalam tulisan klasik Turing's Man karangan J. David Bolter, The Silicon Idol karangan Michael Shallis dan Computers and Social Change oleh Murray Lever. Kesemua mereka itu seolah-olah se pendapat bahawa antara imej komputer yang menonjol ialah komputer mempunyai ciri-ciri istimewa yang satu masa dahulu dianggap hanya wujud pada manusia; komputer mampu melakukan kerja-kerja kawalan dan arahan yang melibatkan beberapa sifat unggul manusia, seperti kepintaran; dan komputer berkeupayaan memproses maklumat sebagai bahan bagi menghasilkan ilmu yang berguna - satu lagi

60

kemampuan eksklusif yang dianggap hanya wujud pada manusia. Imej seperti itu diperkukuhkan lagi dengan dakwaan yang mengatakan komputer kini boleh berfikir dan belajar secara kreatif seperti manusia. Kesemua imej tersebut berpunca daripada penilaian manusia tradisional terhadap sebuah mesin yang mempunyai kemampuan dan ciri luar biasa. Dengan mengangkat komputer sebagai "man of the year" atau "tokoh terbilang tahunan" - satu gelaran yang hanya diberi kepada manusia, Time sebenarnya telah mengukir idealisasi manusia yang harus di wujud dalam zaman digitalisasi baru. Idealisasi seperti itu teras kepada sifat yang wujud dalam diri manusia Turing. Manusia Turing atau "orang Turing" mengikut tafsiran J. D. Bolter ialah seseorang yang telah ditegalbiasakan oleh komputer (iaitu mesin Turing) sehingga dia sentiasa berfikir dalam logik perkomputeran (logik Turing ), bercakap dalam bahasa komputer (bahasa Turing), dan melihat realiti alam dalam konteks idealisme alam perkomputeran (alam Turing), terutamanya apabila berdepan dengan masalah atau berinteraksi dengan persekitaran tabiinya. Tegasnya, manusia Turing ialah seseorang yang telah dibudayakan percakapan dan pemikirannya oleh proses dan fenomena perkomputeran. Manusia Turing ialah manusia yang ditakrif semula sebagai sejenis "pemproses maklumat" dan fenomena tabiinya sebagai "maklumat yang perlu diproses" dan alam yang dihuninya ialah "alam simbol maklumat." Sesiapa sahaja yang terdedah kepada penggunaan komputer yang bertalu-talu berpotensi di-Turingkan sama ada secara sedar atau tidak. Kini kita mula biasa mendengar daripada ahli psikologi bahawa dalam meneliti fenomena mental manusia mereka sebenarnya hendak mengkaji mekanisme pelaksanaan algoritma tabii atau tahap pemprosesan maklumat tabii. Kita mendengar dari para pentadbir bahawa sesuatu polisi itu dilaksanakan berdasarkan keyakinan model komputasi. Sesuatu teori diterima oleh ahli sains kerana pemodelan komputer mengesahkan kesahihan andaian mengenai fenomena tabii itu. Kesemua mereka itu menggunakan kaedah perkomputeran atau komputer sebagai alat utama penyelidikan atau pengendalian urusan. Hal ini menurut Bolter adalah kerana manusia Turing ialah jelmaan kesepaduan mutlak antara teknologi dengan kemanusiaan, antara pencipta dengan ciptaannya, mungkin buat pertama kalinya yang tercapai dalam sejarah manusia. Melalui manusia Turing kecenderungan berfikir melalui teknologi semasa dilaksanakan pada tahap yang paling ekstrim. Teknologi komputer sebagai teknologi pentakrif semasa menghasilkan mesin Turing yang mampu memproses maklumat dan bertindak secara rasional seperti manusia. Usaha ekstrem ini terjelma dalam pembinaan kepintaran buatan (kb). Melalui usaha tersebut, dengan mencipta mesin yang berfikir seperti manusia, manusia mencipta semula dirinya, dan dengan itu juga mentakrif semula dirinya sebagai mesin. Pemilihan mesin Turing sebagai "Man of the Year" atau tokoh 1983 oleh majalah Time jelas mempunyai kesemua implikasi itu. III. Orang Mesin Imej komputer yang diperkatakan tadi disebut juga sebagai antropomorfisme (anthrop=orang; morfik=bentuk). Komputer merupakan satu-satunya mesin yang dirujuk seolah-olah sebagai benda yang hidup dan berakal. Istilah seperti "membaca", "mengingati", "menghitung," "memanipulasi," "bercakap," "berhubung" dan

61

seumpamannya ditujukan khas kepada komputer tanpa sebarang kejanggalan. Kita akan berasa janggal sekiranya di katakan bercakap dengan kereta, atau mengatakan kereta mampu "berhubung" atau "berinteraksi" semasa sendiri. Gantikan kata kereta itu dengan komputer, bunyi ayat tersebut tiba-tiba menjadi munasabah. Apa yang menjadikan ayat tersebut munasabah ialah sikap kita terhadap komputer. Kita telah membiasakan penggunaan istilah seperti "fikir", "pintar" dan "kreatif" apabila merujuk kepada fungsi dan mekanisme komputer. Lama-kelamaan penggunaan seperti itu melupakan kita kepada perbezaan asas yang wujud pada istilah seperti yang digunakan dalam konteks perkomputeran dan istilah yang sama apabila digunakan dalam konteks kemanusiaan. Bahkan perbezaan istilah "maklumat" dari segi konteks perkomputeran dan konteks kemanusiaan sering dilupakan. Kita ketahui bahawa "maklumat" dalam konteks manusia sekurang-kurangnya tergolong dalam dua kategori iaitu semantik dan sintaktik, manakala dalam konteks komputer, maklumat yang dikenali hanyalah maklumat sintaktik. Penggunaan lazim istilah tersebut akhir-akhir ini tidak langsung berusaha untuk menekankan perbezaan seperti itu. Keadaan seperti itu merubah pandangan dan sikap kita terhadap komputer, bahkan mungkin merupakan punca imej antropomorfisme yang kita soroti ke mesin tersebut. Melalui komputer sistem pakar kita telah memindahkan ilmu pakar seorang manusia kepada mesin. Kini kita mempunyai pelbagai sistem pakar - dari bermain catur ke membuat diagnosis penyakit. Yang paling menarik ialah sistem pakar psikologi/psikiatri, dipanggil ELIZA, yang dihasilkan oleh Dr. Joseph Weizenbaum. Dr. Weizenbaum berasa aneh bahawa kesemua orang dan pesakit yang berpeluang berinteraksi dengan komputer tersebut benar-benar menganggap bahawa tidak ada perbezaan yang besar antara pakar psikologi komputer dengan manusia. Bahkan sebahagian besar mereka menganggap komputer mungkin lebih ikhlas mendengar masalah mereka - mesin tidak mungkin berpura-pura berbanding dengan doktor manusia. Dengan perkataan lain, idealisme hipokratik kedoktoran mungkin dapat dijelmakan lebih baik di dalam mesin berbanding dengan manusia! Ini merupakan limpahan imej yang dibawa oleh komputer, iaitu mesin dapat merealisasikan idealisme manusia lebih efisyen dan lebih sempurna lagi. Manusia boleh menghitung tetapi idealisme menghitung dapat dijalankan dengan lebih jitu lagi dalam sebuah mesin atau komputer. Komputer seolah-olah boleh memukau seseorang dari awal lagi. Komputer boleh bertindak balas dan membalas sebarang masukan. Suatu yang boleh dilakukan hanya oleh benda yang bernyawa. Pada suatu masa dahulu reaksi dan tindak-balas seperti itu adalah terhad kepada teks dan huruf yang dikeluarkan pada paparan video, kini dalam zaman teknologi multimedia, komputer memang secara literalnya mampu berbalas cakap dengan pengguna. Bagi komputer yang dilengkapkan dengan logik fuzzi (kabur) pula, benar-benar dapat memperlihatkan keupayaan berbual dengan cerdik. Ketika Kasparov, ahli catur terkemuka Russia, bercatur dengan komputer IBM, beliau tidak merasa langsung bahawa lawannya itu adalah sebuah komputer. Beliau merasai emosi dan ketegangan yang sama apabila bercatur dengan manusia biasa. Perasaan dan sikap yang diperlihatkan oleh Kasparov hampir serupa dengan perasaan yang diperlihatkan oleh pengguna sistem pakar psikologi Weizenbaum, ELIZA. Kedua-duanya berpunca dari ciri unggul komputer yang membuatnya mampu memukau, iaitu keupayaan komputer

62

menerima bayang diri kita, dengan itu mampu seolah-olah "dihidupkan." Untuk melihat bahawa sesuatu mesin itu seperti manusia sebenar bukan sangat membongkar tentang sifat atau hakikat mesin, tetapi sebenarnya lebih membongkar mengenai psikologi dan Weltanschauung kita hari ini. Dalam pandangan alam tersebut, nilaian mesin ditingkatkan dan nilaian kemanusiaan diremehkan. Mesin hanya boleh dianthropomorfiskan dalam naungan konsep manusia mekanis, manusia Turing, manusia atau orang tanpa roh. Orang Turing hanya boleh muncul dan makmur dalam alam Turing, alam dimana mesin dan manusia adalah setaraf. IV. Komputer: Otak Orang Turing Setiap orang yang melihat komputer dan mengetahui potensinya, mahu tidak mahu, juga akan terlepas dari mulut mereka lafaz kekhuatiran. Apabila ditanya apakah sebenarnya yang mereka khuatirkan mengenai komputer, mereka sukar untuk mengatakanya dengan tepat. Hal itu memang sukar memandangkan komputer telah mendatangkan banyak faedah dan menyumbangkan pelbagai perubahan yang mencorakkan hidup moden semasa. Namun kekhuatiran tersebut tetap ada dan antara puncanya ialah kesedaran yang semakin luas kini bahawa komputer bukan sekadar mesin mengunyah nombor. Walaupun kerja mengunyah nombor merupakan keupayaan yang mudah dan paling jelas ada pada komputer. Komputer bukan sahaja mesin pemprosesan maklumat, walaupun jelas memproses maklumat merupakan tugas utama komputer. Bahkan komputer dapat melaksanakan sebarang tugas dan tidak pula terikat kepada tugas-tugas tertentu. Komputer mampu mengikuti dan melaksanakan arahan dan, yang penting sekali, komputer mampu merubah arahan tersebut apabila perlu dan melaksanakan mengikut pilihan baru tanpa sebarang bantuan luar. Bahkan apa bentuk arahan dan bagaimana ia dilaksanakan tidak penting bagi menentukan hakikat komputer. Hakikat komputer ialah mesin Turing, mesin sejagat dan pelbagai guna. Mesin tersebut, terutamanya dalam bentuk perkakasannya, tidak direka untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu, tetapi dibina untuk melakukan apa sahaja yang boleh diturunkan dalam bentuk aturcara dan perisian tertentu. Komputer tidak terikat kepada aritmetik dan data numerik sahaja. Bahkan sebarang data yang mampu disimbolkan dapat ditangani oleh komputer. Dalam teknologi komputer, voltan dalam litar dan kaedah elektromagnetik lain merupakan asas pewakilan. Dari sudut epistemologis material dan jenis pewakilan tidak begitu penting berbanding dengan bagaimana pewakilan itu dapat dimanipulasikan. Apa yang menjadikan pewakilan dalam komputer unggul ialah keupayaannya dimanipulasikan tanpa bantuan dan campur tangan manusia. Apabila sahaja arahan aturcara dilancarkan, elektron yang mewakili simbol tertentu bergerak dalam lorong dan melalui get aturan yang ditentukan sehingga menghasilkan rumusan. Abakus boleh menghasilkan rumusan tertentu secara mekanikal, tetapi hal ini hanya mampu dicapai melalui manipulasi manusia. Manusia perlu membantu mengerakkan biji-biji pengira abakus mengikut peraturan tertentu, selalunya tanpa perlu memikirkan sangat tentang logik di sebalik peraturan tersebut. Setiap gerak dan pelaksanaan penghitung memerlukan campur tangan manusia. Hal ini menjadikan abakus sebagai mesin yang sentiasa bergantung pada manusia untuk melaksanakan tugasnya. Dalam mesin seperti itu manusia merupakan punca tenaga mental dan tenaga kerja.

63

Tetapi keadaan seperti itu tidak wujud dalam komputer. Komputer mampu memanipulasikan pewakilan tanpa perlu pimpinan dari luar. Segala kerja manipulasi mampu dilaksanakan dengan menggunakan punca logik dalamannya dan algoritma penyelesaian dalam unit "ingatan"nya sendiri tanpa bantuan aktif manusia. Dalam komputer, pewakilan dan manipulasinya mendapat tempat dalam kewujudan alam nyata, di luar minda manusia, suatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sebelum itu belum ada alat yang mesin yang dapat bertindak sendirian. Teknologi automasi, seperti yang digunakan, misalnya, pada alatan seperti jam masih lagi amat terhad dari segi kebebasannya daripada kendalian manusia. Jam masih memerlukan masukkan atau input manusia pada keadaan kritikal tertentu dan tidak mampu membuat ketentuan sendiri. Jam pula tidak ada unit ingatan (melainkan jika ia telah dilengkapkan dengan mikropemproses) dan dapat memanipulasikan sebarang data mengikut algoritma tertentu. Hal ini jelas berbeza dengan komputer, atau mesin yang telah dikomputerkan, mesin tersebut dapat melaksanakan arahan asas dan membuat keputusan untuk bertindak cara berlainan sebagai reaksi kepada sesuatu natijah tanpa perlu diberhentikan dan arah semula oleh manusia. Komputer pula mampu mengingati data dan arahan yang perlu di prosesnya pada saat dan waktu yang tepat, data apa yang harus dicapai dan arahan apa yang harus diingati untuk tindakan dan di alamat mana, kesemua aktiviti tersebut tidak perlu dibantu oleh manusia. Tegasnya, komputer seolah-olah bebas daripada manusia dalam sebahagian besar aktvitinya. Bahkan perkembangan terakhir dalam teknologi komputer telah menghasilkan komputer yang boleh menghidupkan diri sendiri, membaik pulih sendiri, dan menentukan sendiri tahap keperluan tenaga. Keupayaan ini amat dekat sekali dengan kebebasan mutlak, suatu hal yang akan tercapai apabila komputer benar-benar boleh berfikir sendiri. Ciri-ciri yang digariskan tadi menjadikan komputer alat yang paling istimewa dan terunggul yang pernah dimiliki oleh manusia, terutamanya bagi mengendalikan dan memproses maklumat. Komputer tidak membezakan dan tidak pula terikat kepada maklumat tertentu, bahkan boleh memproses dan memanipulasikan apa sahaja jenis dan bentuk maklumat. Kerana itu komputer merupakan mesin pelbagai penyelesaian yang berpotensi menyelesaikan apa sahaja masalah manusia. Bahkan ada hujah dari kalangan para cendekiawan bahawa manipulasi maklumat atau simbol maklumat ialah ciri asas berfikir. Berdasarkan premis tersebut mereka mengemukakan hujah bahawa mesin yang boleh memanipulasikan simbol ialah mesin yang boleh berfikir. Maka bagi mereka, mesin yang boleh diarah memanipulasikan sebarang simbol merupakan mesin yang boleh diarah berfikir tentang apa sahaja. Berasaskan faham itu komputer di lihat sebagai punca penyelamat manusia. Komputer dianggap sebagai mampu menyelesaikan masalah sosial, ekonomi, intelektual dan bahkan masalah peribadi. Sekurang-kurangnya komputer dan teknik perkomputeran menunjukkan jalan penyelesaian bagi masalah-masalah penting kemasyarakatan dan kemanusiaan. Keyakinan seperti ini datang daripada faham tertentu manusia tentang masalahnya, bahawa penyelesaian masalahnya datang dari luar, dan terletak pada kaedah atau teknik tertentu. Kaedah dan teknik seperti itu yang paling canggih diyakini wujud dalam sistem dan epistemologi perkomputeran. Keyakinan ini juga terbit daripada kepercayaan sedia ada bahawa semua masalah moden dapat ditangani melalui teknologi moden. Tegasnya, komputer merupakan bagi manusia moden

64

ialah pembela nasib, pengubat penyakit, dan pembantu setia. Komputer meningkatkan taraf hidup, membina kekayaan, membuka relah dan menyediakan falah manusia moden. Setakat mana kesemua itu benar-benar nyata dan setakat mana ilusinya, sukar ditentukan. Apa yang jelas hal itu adalah kepercayaan dan keyakinan semasa manusia moden. Kepercayaan dan keyakinan yang hanya dapat diselami dalam konteks paradigma dan Weltanschauung manusia Turing. V. Ujian Turing: Manusia Turing Lulus Dalam paradigma ilmu digitalisasi, Weltanschauung manusia moden berteraskan kosmologi Turing. Dua konsep asas yang menjadi tunjang kepada kosmologi Turing ialah konsep budaya fikir Turing dan konsep ilmu Turing. Daripada dua konsep asas ini terbitlah konsep kecil dan faham-faham lain. Misalnya daripada konsep manusia Turing terbit konsep "pemikiran," "kepintaran," "ingatan," "perhubungan" dan sebagainya, yang kesemua pengertiannya amat berbeza daripada faham biasa, terutamanya dalam faham budaya fikir tradisional. Daripada konsep ilmu Turing, terbit konsep seperti "pewakilan ilmu," "maklumat," "manipulasi simbol" dan mungkin yang terpenting sekali ialah faham epistemologis mengenai "sains dan teknologi." Merujuk kembali kepada hujah yang biasa diketengahkan oleh cendekiawan perkomputeran semasa iaitu mengenai hubungan faham "manipulasi simbol" dan konsep "berfikir"; sebarang hujah yang berdasarkan faham seperti itu jelas mempunyai ciri-ciri yang membolehkannya digolongkan dalam paradigma Turing. Dalam falsafah Turing berfikir hanyalah manipulasi rasional simbol mental. Komputer mampu memanipulasi sebarang unsur pewakilan dalam sebarang cara atau ketentuan mana sekalipun. Oleh itu bagi menepati kriteria berfikir, komputer atau mesin hanya perlu menepati syarat bahawa unsur pewakilan di dalamnya adalah sejenis simbol mental dan memastikan manipulasi simbol dijalankan atas peraturan rasional. Keupayaan memenuhi syarat tersebut adalah dalam sains dan teknologi, jika tidak semasa, mungkin di masa hadapan. Sehubungan dengan itu ialah soal faham "kepintaran." dalam falsafah tradisional kepintaran diakui sebagai subset fungsi akal rasional. Kepintaran juga dianggap unggul dan terikat kepada konteks budaya fikir dan kosmologi tempatan. Kebanyakan falsafah tradisional tidak menolak kewujudan unsur-unsur universal atau sejagat dalam kepintaran. Iaitu ciri-ciri kepintaran sejagat yang diterima dalam semua konteks budaya fikir dan budaya ilmu. Kesemua faham kepintaran tersebut tidak mungkin mendapat tempat dalam falsafah Turing. Falsafah Turing mungkin serasi dengan falsafah minda sekular dan materialistik seperti Hobbes dan Descartes. Namun apa yang ditekankan oleh falsafah minda beliau adalah dengan memindahkan soal definisi kepintaran daripada ruang teoretis dan spekulasi kepada ruang praktis dan konkrit. Tegasnya faham kepintaran dalam falsafah Turing adalah dalam konteks operasi, terutamanya operasi teknologi. Oleh itu definisi kepintaran tidak perlu pembuktian yang lazim dilakukan melalui kompleks teoretis atau model matematik. Pembuktian dapat dijelaskan dengan hanya melalui satu ujian yang mudah, dikenali sebagai ujian Turing, bahkan ujian tersebut lebih menyerupai satu permainan daripada eksperimen yang serius. Apa yang perlu dilakukan ialah sesuatu mesin itu boleh diuji kepintaran melalui ujian Turing tersebut. Ujian ini berteraskan operasi

65

praktis, misalnya, menyelesaikan masalah matematik merupakan aktiviti pintar maka sebarang mesin yang mampu menjalankan operasi tersebut dianggap mempunyai unsur pintar. Dari segi pelaksanaannya ujian Turing melibatkan seorang yang diletakkan dalam satu bilik yang mempunyai dua terminal komputer. Kedua-dua terminal dihubungkan dengan terminal lain yang salah satunya yang dikendalikan oleh manusia manakala satu lagi dihubungkan dengan komputer atau mesin "pintar." Tugas orang itu ialah mengemukakan beberapa soalan tertentu dari kedua-dua terminal tersebut kepada rakan sejawat di hujung terminal. Dari jawapan yang diterima, dia harus cuba mengesan terminal yang dihubungkan dengan mesin dan yang dihubungkan kepada terminal manusia. Satu mesin itu dianggap lulus ujian Turing sekiranya berdasarkan jawapan tersebut orang itu tidak dapat membezakannya daripada jawapan yang diberikan oleh manusia. Dengan menggunakan ujian Turing, yang dengan sendirinya bererti menerima falsafah Turing, penumpuan boleh dibuat hanya kepada aspek dan soal praktis kognitif kepintaran mesin. Soal terutamanya mengenai struktur dalaman dan operasi sesuatu sistem yang mampu mengeluarkan kata atau jawapan seperti manusia, iaitu memberi jawapan yang munasabah dan kena pada tempat dan waktunya. Tegasnya, faham kepintaran dan konteks falsafah minda Turing telah membebaskan soal kemanusiaan daripada menjadi teras soal kepintaran dalam mesin, dan yang terpenting sekali membolehkan soal kepintaran dipindahkan dengan yakinnya daripada ruang metafizik kepada ruang fizik. Tetapi tidakkah komputer mampu diaturcarakan untuk berfikir secara kreatif? Nanti dulu. Sesuatu yang diaturcara bererti terikat dengan melaksanakan arahan pengaturcara. Berfikir secara kreatif bererti berfikir secara bebas. Sesuatu lembaga yang diaturcara tidak mungkin mampu bertindak bebas dan kreatif. Untuk menjelaskan bahawa tidak ada kontradiksi antara diaturcara dengan berfikiran kreatif atau kebebasan berfikir, falsafah Turing kerap merujuk kepada analogi otak manusia (Turing?). Otak manusia jelas terikat dan tunduk kepada hukum tabii dan hukum neuropsikologis. Dalam hal ini, pengendalian asas otak manusia adalah mengikut peraturan tertentu yang ketat, seolah-olah sama dengan komputer yang terikat dengan aturcara pengendalian dalamannya. Walaupun otak manusia jelas tunduk kepada beberapa peraturan, bahkan memenuhi peraturan itu adalah penting bagi fungsi asasnya, pemikiran manusia tetap mampu menunjukkan pemikiran kreatif, yang tidak terikat kepada sesuatu hukum tertentu. Sekiranya hal ini benar, maka soal mengaturcarakan komputer untuk kreatif bukanlah satu kontradiksi atau suatu yang mustahil. Hujah tersebut lebih jelas jika ditangani dari sudut martabat atau tahap organisasi. Berfikir atau kreatif merupakan satu kemampuan atau fenomena yang hanya dapat di cerap pada peringkat tinggi. Kreatif dan fikiran pada komputer tidak kelihatan pada tahap sebagai gagasan kompleks elektronik. Seterusnya komputer dapat dijelaskan pada peringkat mikroelektronik dan mikrofizik. Kedua-dua ciri tersebut tidak dapat dicerap pada peringkat tersebut. Tegasnya, walaupun pada setiap tahap komputer dapat digambarkan dengan ciri tertentu, namun yang dapat di cerap hanya ciri pada peringkat itu sahaja. Apa yang penting ialah huraian pada satu-satu tahap itu tidak mampu memberi gambaran menyeluruh tentang ciri dan kemampuan komputer pada peringkat tinggi. Soal kreatif dan

66

fikiran merupakan hal yang tergolong pada peringkat tahap tinggi, iaitu tahap keseluruhan sistem atau tahap kemampuan lembaga. VII. Aturcara: Isian dan Roh Manusia Turing Pendirian tentang kreativiti dan fikiran yang disebut diatas mempunyai kaitan dengan konsep manusia dalam epistemologi Turing. Bagi Turing roh dalam manusia hanya satu deskripsi fungsi manusia yang mampu ditangani oleh teknologi. Roh manusia mampu dicorakkan oleh mesin, kerana fikiran, perasaan dan badan manusia moden semasa, sama ada sedar ataupun tidak, sentiasa bergantung dan disaluti mesin. Dalam alam Turing, manusia memang menganggap dirinya sebagai sebahagian artifak dan setiap yang bermakna dan yang berharga bagi dirinya telah diwujudkan melalui teknologi. Manusia ialah pemproses maklumat yang yang dilahirkan dengan storan ingatan yang kosong, dan kemudian mengatucarakan dirinya untuk menjadi penyelesai masalah. Bahkan mereka seperti Herbert Simon dalam Sciences of the Artificial menggagap segala yang ada pada manusia sebenarnya bukan tabii, malah diaturcarakan kemudian. Hal ini termasuklah pemikirannya dan keupayaannya menyelesaikan masalah. Bagi Simon manusia dilengkapi sifat-sifat asas tabii yang amat sedikit dan ciri ini membolehkan keupayaan manusia dilenturkan kepada sebarang corak masalah atau persekitaran. Manusia Turing menganggap dirinya pada asasnya mesin Turing, atau sekurangkurangnya satu spesies mesin Turing. Seperti mesin Turing, intipati terpenting manusia Turing ialah perisiannya (manipulasi simbol, logik, algoritma tabii). Aspek perisiannya menguasai perjalanan perkakasan (raga, badan, fizik) manusia. Kerana itu manusia Turing mementingkan soal manipulasi simbol, logik, algoritma berbanding dengan soal rasio, akal dan roh rasional. Otak merupakan raga, atau unit pemprosesan rasional, yang boleh diaturcarakan dengan algoritma atau perisian tertentu bagi menyelesaikan sebarang masalah. Menyediakan manusia bagi dibentuk semula dalam jelmaan elektronik, atau menyempurnakan proses evolusi manusia - yang dipercayai proses wajib tabii - mengikut jalan teknologi. Evolusi manusia tidak lagi diserahkan kepada perjalanan alam tabii, tetapi kini diambil alih oleh teknologi manusia. Hal ini dianggap sebagai lanjutan daripada perubahan dan campur tangan yang telah dilakukan oleh teknologi manusia ke atas proses alam tabii. VIII. Teknologi Turing dan Roh Alam Alam tabii telah mengalami perubahan yang radikal di tangan manusia moden abad kelapan belas dan sembilan belas. Sekurang-kurangnya yang terpenting bagi perbincangan kita di sini ialah perubahan dalam konsep alam tabii melalui teori sekular sains dan perubahan dalam proses fizikal alam melalui teknologi. Sains sekular telah merubah persepsi dan pandangan alam manusia moden daripada alam yang penuh simbolisme dan sakral kepada alam yang dikenali hanya dalam konteks proses dan mekanisme fizis. Salah satu kajian klasik mengenai perubahan tersebut di dalam tamadun Eropah ialah yang dilakukan oleh Profesor Acquaviva dalam buku beliau bertajuk The Decline of the Sacred in Industrial Society. Dalam faham tersebut, yang dirujuk sebagai faham sains sekular, alam semantik yang di lihat sebagai ruang simbol hakikat yang lebih

67

tinggi dan harus didatangi dengan penuh hormat dan adab, ditukar ganti dengan pendekatan alam sintaktik yang boleh diturunkan kepada nombor-nombor kuantitatif, pendekatan yang memandang alam sebagai sumber bahan eksploitasi yang harus diperah, disedut dan di sepah sesuka hati. Alam sakral, alam yang dianalogikan sebagai kitab suci dan sumber rahmat Tuhan tidak mungkin boleh didekati secara biadab. Alam seperti itu juga mengandungi simbol-simbol kerohanian dan estetik tinggi yang hanya mungkin dimanfaatkan melalui pendekatan tertentu, misalnya pendekatan simbolik. Ilmu yang dihasilkan dalam pendekatan simbolik, disebut juga sebagai ilmu alegorikal. Fahaman yang dihasilkan daripada ilmu seperti itu tidak menekankan penghasilan teknologi, khususnya teknologi eksploitatif. Sekiranya teknik dan unsur ilmu praktis terhasil maka penekanannya cenderung kepada penggunaan alam berprinsipkan perimbangan yang amat jauh dari bentuk eksploitasi borong. Pandangan alam sains sekular menyediakan tapak bagi menyuburkan pandangan alam Turing. Dalam alam Turing alam di lihat hanya sebagai ruang maklumat. Maklumat dalam ruang tersebut boleh diturunkan kepada komponen-komponen sintaktik asas. Komponen asas tersebut adalah dalam bentuk pewakilan tertentu sama ada dalam pewakilan abstrak seperti angka atau pewakilan fizis seperti tenaga atau jirim. Pendekatan formalisasi dan kaedah kuantitaf sains juga telah menyediakan asas-asas yang dikembangkan lagi dalam falsafah sains Turing. Perkara yang terpenting dalam alam tersebut terutamanya dari segi konteks formulalisasi Turing ialah proses dan peraturan yang mengawal hubungan antara pewakilan-pewakilan atau sesuatu simbol itu. Proses tersebut menyerupai proses formalisasi melibatkan penurunan fenomena alam kepada simbol asas yang boleh dimanipulasikan mengikut peraturan rasional atau algoritma tertentu. Algoritma merupakan langkah-langkah manipulasi simbol bagi mencapai natijah atau kesimpulan tertentu. Bahasa Turing, merupakan satu-satu bahasa perantaraan yang mampu menampung simbol, proses dan algoritma alam Turing. Dalam bahasa Turing kedudukan maklumat, peraturan manipulasi maklumat, natijah manipulasi maklumat dan bahkan antara muka antara maklumat Turing dengan maklumat tabii ditangani. Bahasa Turing memungkinkan maklumat dalam alam Turing dipindahkan kepada mesin Turing dan diproses untuk dilahirkan, digunakan, dan dilahap oleh manusia Turing, iaitu salah satu spesies mesin Turing tabii atau sejenis pemproses maklumat organan. Teknik pemprosesan maklumat yang dirangkumkan dalam istilah teknologi maklumat, merupakan wahana asas hidup moden, tunjang kemasyarakatan moden semasa. Dalam hidup dan masyarakat seperti itu, segala institusi kemasyarakatan seperti ekonomi, pentadbiran, pertahanan dan seumpamanya bertunjangkan konsep maklumat (Turing). Penekanan seperti itu, telah diistilahkan oleh Negropronte sebagai masyarakat digital dalam buku beliau Being Digital, sebenarnya merujuk kepada proses yang sama yang diperkatakan tadi, iaitu proses formalisasi alam, ilmu, dan institusi kemasyarakatan manusia menuruti paradigma Turing. Teras paradigma Turing ialah faham digital. Oleh itu epistemologi digital Negropronte ialah juga epistemologi Turing. Tidak kira apa pun istilah yang digunakan bagi merujuk kepada gagasan proses tersebut, suatu yang pasti ialah komponen dan dimensi yang dianggap penting dalam epistemologi Turing adalah amat

68

berbeza daripada epistemologi tradisional atau seumpamanya. Dalam epistemologi dan paradigma Turing dan kepada manusia Turing hal seperti dimensi metafizik, etika atau komponen kualitatif dan subjektif dianggap tidak penting. Maka akibatnya ialah institusi ilmu, amal, sosial, ekonomi dan pertahanan juga akan menggambarkan hakikat tersebut. Dalam paradigma Turing, kuasa perubahan teknologi terkandung dalam tekniknya dan bukan isinya. Teknologi pecetakan merubah masyarakat jahiliah Eropah dari segala segi, terutamanya pemikiran dan pandangan alam, walaupun ramai yang tidak boleh membaca, bahkan dapat memegang sebuah kertas. Namun begitu teknologi tersebut berjaya mendatangkan kesan kerana berjaya merubah persekitaran, mentakrif dan mencorakkan semula dunia pada ketika itu. Yang merubah masyarakat itu ialah pencetakan dan bukan sangat apa yang dicetak. Teknologi bukan lagi wahana isian, tetapi merupakan kesatuan wahana dan isian. Seperti teknologi cahaya elektrik yang diakui tidak mengandungi apaapa isian, terutamanya isi semantik. Walaupun begitu teknologi cahaya dapat merubah gaya hidup dan mencetuskan revolusi kemasyarakatan. Teknologi elektrik tidak banyak bezanya daripada teknologi maklumat yang mempunyai asas teknologi tenaga yang sama. Dalam teknologi ini kandungan isinya tidak penting. Bahkan yang penting ialah hubungan seseorang pengguna itu dengan teknologi tersebut. Kandungan dan maknanya juga ditentukan oleh hubungan pengguna dengan persekitaran yang diterangkan oleh cahaya teknologi. Sekiranya teknologi cahaya itu digunakan untuk membaca maka buku tersebut menjadi isian. Sekiranya cahaya tersebut digunakan untuk wayang kulit maka cerita wayang tersebut menjadi isian. Buku atau cerita wayang sebagai isian tidak menjadi penting kepada perubahan perspektif yang dihasilkan oleh teknologi cahaya. Bahkan sesuatu perspektif itu berubah hanya apabila keamatan cahaya diubah. Isian tidak merubah hakikat kesan teknologi. Teknologi bukan sahaja boleh menjadi antaramuka antara manusia dengan alamnya, bahkan merubah kenyataan yang mungkin dialami oleh manusia. Teknologi maklumat mampu berinteraksi dengan sistem saraf manusia, memegang tumpuan kesedaran dalaman dan memerangkapnya dalam kekusutan jaringan yang akhirnya menjadi hijab kepada realiti sebenar. Teknologi moden menurunkan objek alam kepada dimensi sintaktiknya. Dengan itu teknologi tidak mengenali sebarang makna dalaman atau simbol semantik, selain fungsi dan dimensi kegunaannya. Objek menjadi seolah-olah cukup dengan sendiri tanpa perlu membawa sebarang unsur makna atau maksud. Tegasnya, teknologi mencetuskan desakralisasi, profanasi alam dengan menjadi jaringan hijab yang menggelapkan keupayaan akal budi manusia mengenali ayat-ayat atau simbol alam yang menunjuk kepada makna yang lebih tinggi dan realiti transendan. Teknologi juga mencetuskan keaadaan sosiointelektual songsang atau penyakit yang telah diistilahkan sebagai teknosis. Penyakit ini dicirikan oleh kegilaan teknologi, kebebalan dalam memahami hakikat teknologi, kebodohan membezakan antara wahana dengan matlamat, ketagihan teknologi, dan kecederungan mendewakan teknologi sebagai punca keselamatan dan penyelesaian segala masalah manusia. Teknosis berlaku apabila manusia tenggelam dalam falasi taghut, iaitu mendewakan dan menyembah apa yang dihasilkan oleh tangannya. Atau manusia menjadi asyik diri dengan mempertuhankan dirinya sendiri melalui bayangan idealisme dirinya yang digambarkan oleh teknologi.

69

Hal ini boleh berlaku kerana setiap pencipta terdedah kepada risiko servo-mekanisme atau menjadi hamba mekanisme ciptaannya sendiri. Penghambaan ini boleh berlaku apabila seseorang itu terpaksa menuruti syarat ciptaannya dan dengan itu terpaksa memisahkan dirinya dari dimensi-dimensi lain (e.g. kualitatif, subjektif, rohani) demi mengisi kehendak fungsi atau operasi teknologinya. Syarat seumpama ini adalah amat nyata dalam sistem formal seperti mesin Turing (komputer). Kehendak ini menjadi semakin mendesak apabila peranan teknologi menjadi penting dalam hidupnya, sehinggakan satu keadaan simbiosis berlaku. Banyak teknologi moden telah menjadi alat simbiotik manusia moden, elektrik, motokar, kapal terbang, telefon, dan jelas sekali, alat simbiotik unggul - komputer. Dalam teknologi-teknologi tersebut manusia menciptanya, memadukan dirinya dengan teknologi tersebut, dan menyesuaikan diri mengikut syarat alatan ciptaannya dan seterusnya merubah persekitarannya mengikut penyesuaian baru dirinya. Pusingan seperti itu iaitu fenomena servo-mekanisme menjadikan mustahil bagi seseorang atau satu kelompok masyarakat kembali kepada keadaan asalnya. Antaranya adalah kerana mekanisme dan perubahan yang dicetuskan adalah amat menyeluruh dari asas isi ke asas raganya. Perubahan tersebut juga telah memusnahkan segala kerangka simbolisme lama yang diganti dan dianggap tidak penting. Fenomena tersebut turut dirasakan dalam penulisan manuskrip ini. Penulis menggunakan media dan teknologi pemproses kata. Dalam menggunakan pemproses kata penulis terikat kepada beberapa syarat penggunaan, termasuk yang disyaratkan oleh perkakasan (seperti jenis disket tertentu) dan perisian (arahan format khas, arahan pengendalian) komputer. Sukar untuk penulis menyempurnakan manuskrip sekiranya tiba-tiba dikehendaki menulis menggunakan mesin taip lama atau kalam. Pandangan bahawa teknologi adalah sejagat dan bebas nilai, merupakan antara andaian asas paradigma manusia Turing. Teknologi dianggap neutral objektif dan bebas daripada pengaruh nilai dan budaya. Pandangan ini masih lagi dipegang oleh umum walaupun hujah tersebut telah berulang kali dibuktikan sebagai satu falasi. Teknologi tidak mampu bebas nilai kerana kaedah sains terbit daripada sikap tertentu terhadap alam dan oleh itu sikap tersebut diabadikan dalam setiap setiap teknologi yang dihasilkan melalui kaedah saintifik. Para ahli teknologi ditaja dan disempurnakan dalam kerangka sosial dan budaya fikir tertentu. Soalan yang dikemukakan dan penyelesaian yang diformulasikan terikat kepada konteks sosial dan budaya fikir. Penyelidikan dan tumpuan penghasilan sesuatu teknologi (juga sains) diarahkan dan dipengaruhi oleh persekitaran intelektual bahkan oleh faktor sosial, ekonomi dan, terutamanya politik, termasuk politik pertahanan. Oleh itu pandangan keneutralan dan bebas nilai teknologi tidak mungkin dapat dipertahankan. Sebagai satu mitos ilmiah, pandangan tersebut boleh mengukuhkan lagi teknosis, terutamanya kekeliruan mengenai perbezaan antara teknologi sebagai wahana dengan teknologi sebagai matlamat akhir. Tiada teknologi yang terkecuali daripada bajaan dan pemupukan sosial, politik dan budaya tertentu. Teknologi ialah juga manifestasi sebahagian aspirasi, wawasan dan keperluan sesesuatu masyarakat. Bahkan teknologi juga mungkin boleh menjadi manifestasi seni individu. Penyelidikan angkasa lepas, genom atau kejuruteraan genetik, dan kepintaran buatan merupakan gagasan terjemahan tertinggi budaya fikir dan kemahuan tersebut. Fenomena ini dapat diperhatikan dalam sains dan teknologi

70

perkomputeran, khususnya yang dicetuskan oleh Charles Babbage, Athanasoff dan khususnya AlanTuring. Hakikat ini dapat difahami dengan lebih jelas apabila kita menoleh kepada sejarah sains dan teknologi. Semenjak abad ke-19 kuasa perubahan teknologi telah menentukan dan mempengaruhi corak sains. Teknologi telah menentukan tumpuan kajian saintifik, dan kerap kali sains dihasilkan bagi menyediakan kerangka teoritis sesuatu teknologi. Teknologi dan sains moden tertakluk kepada komponen luaran seperti kemasyarakatan dan politik yang menentukan paradigma dan arah tumpuannya. Kerana itu perubahan dalam salah satu daripada faktor kemasyarakatan atau politik sudah cukup menyebabkan perubahan paradigma sains dan teknologi. IIX. Antara Teknologi Turing dan Teknologi Sakral Dalam sejarah intelektual masyarakat silam, beberapa jenis teknologi telah dihasilkan. Teknologi-teknologi tersebut dapat disimpulkan sebagai terbahagi kepada dua kelompok besar: teknologi rohaniah dan teknologi sekular. Kebanyakan tamadun manusia yang muncul sebelum abad ke-18 mempunyai teknologi yang boleh digolongkan dalam kategori rohaniah. Manakala tamadun selepas abad ke-18, khususnya tamadun Eropah, dan tamadun moden dan pascamoden menghasilkan teknologi sekular. Kedua-dua kategori teknologinya mempunyai perbezaan yang banyak terutamanya daripada segi sikap kepada alam, penggunaan alam, dan matlamat alam. Teknologi sakral atau rohaniah merupakan sebahagian manifestasi keagamaan, teknologi yang dihasilkan dalam suasana kerohanian dan kegunaan rohani. Ilmu sokongan dan berkaitan dengan teknologi, sama ada yang memberi asas teknikal atau yang memberi arah dan makna, kesemuanya dalam jaringan kerangka kerohanian. Kerangka seperti itu memantapkan suasana penyuburan pelbagai jenis ilmu teoritis dan teknik yang disatukan dalam penghayatan dan penggunaan. Dalam sejarah pelbagai tamadun penghayatan dan penggunaan tersebut telah diterjemahkan dalam pelbagai bentuk luahan teknologi yang dapat kita kenali kini, misalnya, sebagai alatan prostetik. Alatan tersebut merupakan ciptaan asas yang membantu tangan dan kaki manusia untuk melahirkan seni atau kraftangan berunsur kerohanian. Alatan tersebut membolehkan seni dan kraf keperluan hidup asasi seperti pertanian dan pembinaan dilakukan. Namun yang paling penting dalam konteks masyarakat tersebut, alatan seperti itu juga merupakan kraf dan seni kerohanian. Kraf ini termasuk daripada ukiran hingga kepada perhiasan, juga merupakan sebahagian daripada simbol dan amalan ruhani masyarakat tersebut. Satu lagi luahan yang ketara ialah artifak, selalu yang terseragam, yang dicipta khusus untuk upacara keagamaan. Artifak seperti ini biasanya disemadikan dalam struktur bangunan. Rumah penyembahan, masjid dan gereja merupakan contoh yang nyata. Manakala bangunan seperti Piramid yang dihasilkan pada zaman tamadun Mesir purba walaupun sukar dikategorikan dengan tepat, diketahui dibina bagi tujuan keagamaan. Kesemua itu merupakan luahan teknologi keruhanian, yang melibatkan pemupukan kemahiran teknik, ilmu kejuruteraan, seni bina, matematik, ilmu bahan dan sebagainya. Seperti yang diperkatakan pemupukan ilmu asas dan ilmu sokongan tersebut adalah juga

71

selari dengan paradigma teknologi kerohanian. Dalam struktur bangunaan dan teknologi yang dihasilkan disemadikan simbol-simbol kerohanian. Bagi kita yang berpeluang membandingkan bangunan, yang dihasilkan oleh teknologi kerohanian, dan yang dibina oleh teknologi sekular akan dapat merasakan suatu perbezaan antara kedua-duanya. Dalam bangunan masjid yang dibina melalui teknologi kerohanian, setiap lekuk dan liku bangunan, sama ada di dalam ataupun di luarnya, seolah-olah membawa makna, atau pesanan simbolik mengenai hakikat transendan. Manakala masjid yang dibina pada akhirakhir ini lebih membawa suasana atau pesanan formal, kepinggiran kerohanian dan merupakan ruang profan yang tidak sepenting ruang pasarmega. Suasana ini dirasakan kerana, dengan meminjam penjelasan dan istilah McLuhan (misalnya dalam Understanding Media), "medium adalah maklumat" iaitu setiap jenis teknologi mengandung dan membawa isian yang tersendiri. Tegasnya, teknologi tidak neutral dan tidak bebas daripada dimensi nilai dan acuan budaya fikir tertentu. Seolah-olah teknologi sekular tidak mampu menghasilkan artifak kerohanian, terutamanya dari aspek simbolismenya. Seolah-olah telah berlaku percanggahan antara pesanan yang dikendung oleh teknologi sekular dengan artifak kerohanian yang cuba dihasilkannya. Percanggahan tersebut dapat kita fahami sekiranya kita mengambil kira hakikat bahawa teknologi sekular memang tidak mengenali makna ketuhanan selain pendewaan kepada kecekapan, kejituan, kekayaan, kekuasaan dan materialisme. Teknologi rohaniah sebagai terbitan ritual kerohanian bertujuan membantu seseorang insan menuju ke jalan Tuhannya. Teknologi tersebut menjadi kanta pembesar dan wahana bagi mencungkil simbolisme dan tali yang menghubungkan manusia dengan hakikat yang lebih tinggi. Oleh sebab matlamat epistemologis teknologi ruhaniah ialah kebenaran transendan dan mendekatkan manusia kepada Tuhannya maka simbolisme dan ayat-ayat dalam alam tidak diubah dan dihijab. Dalam konteks teknologi rohaniah alam dianggap sebagai amanah Tuhan, maka teknologi menjadi penyalur dan wahana insan, misalnya, memenuhi tugasnya sebagai wakil Tuhan iaitu menjaga dan pemakmur alam. Teknologi sekular pula melakukan sebaliknya, mengheret insan kepada jirim dan bayangnya sendiri. Alam tidak dianggap sebagai cermin ruhani atau ketuhanan melainkan sebagai sumber material yang harus dieksploit sepenuhnya. Bahkan alam dianggap sebagai musuh liar yang harus dikalahkan dan ditundukkan bawah kawalan mutlak manusia. Kerana itu apabila manusia menoleh kepada alam tabii manusia sekular tidak dapat melihat sesuatu apa pun melainkan hijab-hijab teknologi yang dihasilkan oleh tangannya sendiri. Hijab tersebut menjadikan dia mudah tergelincir menuju falasi tentang dirinya sendiri atau teknologi ciptaannya; sering dia melihat bayang dirinya sebagai tuhan ataupun teknologinya sebagai objek sembahan. IX Internet: Lidah dan Mulut Orang Turing Internet juga penting mungkin dalam membebaskan fenomena perkomputeran daripada salsilah ketenteraan. Walaupun hal ini tidak dipedulikan sangat oleh kebanyakan pengguna komputer. Namun dari sudut intelektual, hal asas seperti ini perlu ditangani. Misalnya lagi, apakah dengan fenomena pendemokrasian komputer melalui komputer peribadi dan kemudian penbudayaan sosial komputer melalui internet telah berlaku pemindahan pemusatan kuasa kepada awam? Soalan-soalan seperti ini tidak mudah

72

dijawab. Perbincangan yang lepas telah membuka beberapa landasan jawapan. Komputer peribadi telah meletakkan kuasa komputasi di tangan orang biasa, kuasa yang suatu ketika dulu hanya dimiliki oleh pihak tentera dan elitis sosial tertentu. Pemindahan kuasa tersebut boleh disamakan dengan kejadian dalam sejarah intelektual manusia barat, iaitu apabila kuasa membaca dan berilmu berpindah daripada segelintir elitis sosial gereja dan istana kepada orang kebanyakan. Walaupun sebahagian besar sumber ilmu masih berpunca daripad struktur elitis, namun pemilikan keupayaan membaca dan juga sumber bacaan yang bertambah di kalangan orang awam telah menyebabkan pendemokrasian ilmu berlaku secara menyeluruh. Implikasi pendemokrasian tersebut jelas tidak dapat dibendung oleh struktur orde lama, dan proses tersebut telah merubah senario intelektual, sosial, politik dan ekonomi barat selanjutnya Perkembangan yang sama seolah-olah diulangi dalam fenomena pendemokrasian dan pembudayaan komputer. Oleh itu walaupun komputer moden dan asas jaringan rangkaian komputer berpunca daripada falsafah, perancangan dan usaha tentera, namun pendemokrasian komputer dan pembudayaan awam jaringan komputer menjadikan elemen tentera itu semakin merosot dan pudar. Apa yang lebih penting dan tidak mungkin mudah diketepikan ialah falsafah dan idea asas yang mendukungi penciptaan komputer dan turut mendalangi perkembangan Internet. Idea perkomputeran dan kelahiran Internet mempunyai punca, dan punca tersebut berada dalam pelukan erat sesuatu paradigma dan budaya fikir masyarakat tertentu. Dalam konteks semasa, falsafah teknologi barat dan idea mesin Turing adalah teras kepada segala idea dan manifestasi fenomena perkomputeran moden dan pasca moden. Selagi tidak ada falsafah asas dan idea pengganti bagi paradigma Turing tersebut, selagi itu idea dan budaya fikir Turing akan tetap sentiasa menjadi penentu asas kepada perkembangan dan manifestasi perkomputeran selanjutnya. Masyarakat yang mempunyai budaya fikir lain harus sedar akan hakikat tersebut, dan juga harus sentiasa sedar bahawa tidak ada nilai bebas dan kesejagatan budaya mutlak dalam idea dan teknologi yang berpunca dari luar masyarakat itu sendiri. Sekiranya sesuatu masyarakat ingin menggunakannya, maka masyarakat itu harus akur kepada syarat dan implikasi sesuatu idea dan teknologi. Jika sesuatu masyarakat tidak mahu akur kepada syarat dan implikasi tersebut maka terdapat dua pilihan: (i) membelakangkan idea dan teknologi asing, atau bersedia (ii) untuk memecahkan paradigma dengan mengemukakan idea dan teknologi teras baru. Pilihan tersebut nampaknya sukar, seolaholah seperti memilih antara kemajuan dengan kemunduran. Tetapi mungkin sahaja pilihan tersebut sama seperti memilih antara tuah dengan taghut. X: Masa Depan Idea ialah asas teknologi. Idea berkembang dalam konteks persekitaran ilmu dan budaya intelektual tertentu. Idea kerap berada jauh kedepan berbanding dengan teknologi yang bersedia untuk menterjemahkannya. Idea juga kerap kedepan berbanding dengan keupayaan masyarakat ilmuwan dan terutamanya kelompok yang berkuasa memahaminya. Jurang antara idea dan teknologi dan kefahaman masyarakat tersebut kerap menjadi punca cemuhan, penynkiran sesuatu idea itu, dan selalu, berserta dengan

73

pengasas-pengasasnya sekali. Hal tersebut juga merupakan punca kelewatan sesuatu alatan dan kemudahan yang berteras idea dan teknologi baru mampu dimanfaatkan. Sekiranya jurang seperti itu tidak wujud, mungkin sahaja idea mesin Turing dimanfaatkan 15 tahun lebih awal. Idea logik fuzzi (kabur) pula diterima oleh di Amerika 20 tahun lebih awal daripada penerimaan Jepun. Zadeh, pengasas logik kabur, pula mendapat sanjungan dan anugerah dan bukannya cemuhan atau penyinkiran. Dalam sepuluh bab yang lepas, kita telah dapat melihat dan memperincikan bagaimana dan mengapa hal-hal tersebut berlaku dalam perkembangan idea dan teknologi perkomputeran. Sepanjang sejarah, idea komputer telah terhimpun dalam dua jenis kelompok umum: (i) idea primer dan (ii) idea sekunder. Idea primer merupakan idea asas yang menjadi landasan kepada idea sekunder. Konsep sifar dan algoritma seperti yang dikemukakan oleh al-khuwarizmi merupakan idea asas. Begitu juga logik Boolean. Manakala logik kabur Zadeh boleh disifatkan sebagai idea asas dan juga sekunder. Idea awal Zadeh mengenai logik kabur menepati kriteria idea asas, manakala logik kabur seperti yang telah dikembangkan oleh Bart Kosko atau Yamakawa lebih menepati kategori idea sekunder. Idea sekunder pula boleh dipisahkan kepada dua kategori: (i) idea pengasas teknologi baru, dan (ii) idea yang merubah teknologi semasa. Mesin Turing ialah contoh unggul idea yang menyebabkan tercetusnya teknologi baru. Mesin Turing telah melepaskan kongkongan paradigma mistar hitung daripada teknologi komputasi. Binaan von Neumann pula merubah arus perkembangan teknologi perkomputeran semasa. Begitu juga idea mikroprosesor dan komputer peribadi merubah arus perkembangan teknologi perkomputeran semasa. Jaringan rangkaian komputer dan Internet merupakan gagasan idea sekunder yang merubah penggunaan dan arus perkembangan teknologi perkomputeran selanjutnya. Namun idea-idea tersebut sama ada yang primer atau sekunder diasas dan dipupuk dalam konteks sosial dan budaya fikir tertentu. Arus latarbelakang budaya ilmu seperti itu dan semasa turut mencorak dan memberi kesan kepada setiap idea. al-Khuwarizmi mengasaskan idea sifar, algebra dan algoritma dalam suasana budaya fikir yang amat berbeza dengan suasana ilmiah zaman Boole. Mereka berdua digerakkan oleh faktor motivasi intelektual dan sosial yang menekankan aspek dan dimensi realiti yang berbeza. Bagi al-khuwarizmi zamannya mementingkan budaya ilmu yang mengimbangkan dimensi metafizik dan fizik, manakala dalam zaman Boole dimensi sekular lebih ditekankan. Algebra Boole terhutang budi kepada al-Khuwarizmi, namun hanya sekadar meminjam raga dan mekanismenya sehaja. Dari segi ruh algebra al-Khuwarizmi, Boole sebenarnya telah menyembelihnya dengan pisau sekularisme. Alegbra Boole menyemadikan faham peribadi dan budaya fikir fomarlisme dan sekuralisme yang dihayati oleh Boole. Idea mesin Turing tidak terlepas daripada hal yang sama. Jelas idea tersebut memperlihatkan kecederungan falsafah yang dihayati oleh Turing. Beliau merupakan seorang atheist dan pemegang falsafah materialisme yang radikal. Seperti kebanyakan para ahli fikir British zamannya, beliau juga pendukung kuat faham formalisme dan sekuralisme dalam ilmu. Idea mesin Turing apabila diterjemahkan dalam bentuk binaan mesin Turing seolah-olah memantapkan lagi faham falsafah Turing. Dalam binaan von Neumann soal etika,

74

metafiziks, emosi yang merupakan sebahgain daripada pembentukan akal budi diketepikan. Hanya soal logik dan manipulasi simbol sintaktik yang dianggap penting. Komputer merupakan teknologi yang merakamkan idea, falsafah dan alam Turing. Komputer menyerupai- permainan formal yang mampu menyedut atau mengheret perasaan dan fikiran pengguna dalam selimutan kosmologinya. Komputer mampu merubah akal budi dan pancaran budi seseorang insan itu, sehingga seseorang itu tidak mungkin boleh berfungsi seperti sediakala melainkan persekitarannya diubah bagi memenuhi kehendak dan syarat paradigma perkomputeran. Perubahan ini mungkin bermula secara ansuran dan berakhir dengan perubahan yang menyeluruh. Kerap keperluan perubahan tersebut menjelma dalam bentuk teknis, pragmatis, atau strategis, biasanya dengan alasan bermotivasikan ekonomi, sosial atau politik. Pandangan alam, penghitungan tindakan dan asas intelektual diresap dengan begitu rupa sehingga pilihanpilihan lain, yang tidak selari dengan falasafah Turing dan paradigma digital tidak lagi mendapat tempat. Benih falsafah Turing (atau paradigma digital) telah diasaskan semenjak zaman Hobbes dan Boole lagi. Asas intelektual tersebut juga dikenali sebagai sekuralisme dalam ilmu kemanusiaan dan formalisme dalam konteks epistemologi. Perubahan sosio-ekonomi barat mengukuhkan proses intelektual tersebut dan menjadikannya dari gerakan intelektual pencilan kepada teras perubahan intelektual barat. Proses yang sama mempengaruhi pandangan martabat, atau prioriti sesuatu masyarakat. Pandangan dan prioriti tersebut biasanya disatukan dan dicerminkan semula dalam bentuk nilai dan strategi sosio-politik semasa sesuatu masyarakat itu. Penciptaan, pemupukan sesuatu jenis teknologi itu adalah dalam konteks nilai dan strategi sosial seperti itu. Arus perkembangan teknologi perkomputeran tidak terkecuali daripada dipengaruhi oleh faktor strategis, ekonomi dan keperluan sosial seperti itu. Perkembangan teknologi perkomputeran pada abad ke-20, misalnya, banyak dipengaruhi dan diasaskan oleh institusi ketenteraan. Teknologi komputer awal dan pertengahan aba ke-20 kesemuanya mempunyai pertalian dengan tentera. Sama ada dihasilkan oleh institusi penyelidikan tentera atau ditaja oleh duit tentera. Setelah tentera bosan dengan sesuatu teknologi itu pihak peniaga pula mengambil alih. Maka jadilah perkembangan selanjut sesuatu teknologi perkoputeran itu pula yang didorong dan pengaruhi oleh faktor komersil dan perniagaan. Namun kejayaan komputer peribadi yang merupakan satu-satu revolusi demokrasi perkomputeran terunggul pula mendapat punca rangsangan daripada gaya hidup dan permintaan ramai. Kemunculan komputer peribadi pada mulanya ialah untuk mengisi suatu cara hidup, terutamanya gaya hidup anak muda belasan tahun kelas menengah Amerika: minum Coke, hobbi elektronik, banyak duit dan sentiasa mencari permainan baru. Akhirnya komputer peribadi menjadi satu institusi dan simbol kelas menengah yang juga memegang kuasa penentu undi demokrasi. Komputer peribadi seterusnya menjadi alat terpenting peniaga, pentadbir, dan pendukung kelas menengah. Komputer tersebut mencorakkan bukan sahaja gaya hidup sosial mereka, bahkan juga terjelma dalam budaya fikir dan ilmu mereka. Perubahan dalam polisi sesuatu institusi yang dikuasai oleh kelas menengah memperlihatkan penghayatan budaya fikir dan gaya hidup baru tersebut. Misalnya,

75

penekanan pendidikan perkomputeran di universiti dan kerjaya terpenting dalam masyarakat menengah tersebut jelas mencerminkan bagaimana komputer telah mempengaruhi dan merubah persepsi diri, masyarakat dan wawasan kelompok mereka. Bahkan hiburan mereka (permaian realiti maya, permaian komputer), jenaka mereka (misalnya, mengenai jenis-jenis virus komputer - virus Bush: menyebabkan komputer meminta seseorang itu membaca gerak bibirnya; virus Clinton: menyebabkan komputer pada mulanya mengulangi kelebihan kuasa pemprosesannya, tetapi apabila tiba saat memproses, komputer tiba-tiba lupa pada keupayaannya; - virus Serbs akan sentiasa cuba menyapu bersih data-data yang tidak kena mengena dengan orang serb - dan seterusnya), dan juga jenayah mereka (merompak tanpa pistol, menceroboh melalui komputer), peperangan mereka (komputer dan teknologi maklumat sebagai senjata), ekonomi mereka (ekonomi digital, unit wang sama degna unit denyutan isyarat elektronik) boleh dianggap sebagai satu arus budaya yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah manusia. Perbezaan utama budaya tersebut dengan yang lepas, ialah dari segi sifat tempatan dan terpencil. Tetapi gaya hidup dan budaya fikir yang dibawa oleh teknologi perkomputeran, diistilahkan juga sebagai gaya hidup dan budaya fikir Turing, bercorak global dan sejagat. Berdasarkan hakikat tersebut, masyarakat bukan-Amerika yang menggunakan dan membuat assimilasi teknologi perkomputeran, mahu tidak mahu akan terdedah kepada cabaran yang sama. Soalnya setakat manakan ketahanan sosial dan budaya fikir masyarakat bukan Turing, mampu memelihara khazanah budaya mereka dibawah hakisan ombak globalisasi budaya mesin Turing. Soalnya juga akan ada diantara yang berkuasa dikalangan masyarakat tersebut yang tergamak bertanya sama ada perlu kita pertahankan budaya fikir dan khazanah bangsa yang keeprluannya semakin pudar? Tidakkah patut kita menghayati gaya hidup dan budaya fikir Turing secara menyeluruh? Jawapannya semakin jelas pada mereka yang terhutang budi kepada mesin Turing. Jawapannya lumrah jelas bagi mereka yang asyik dengan alam dan permainan Turing, alam dan permainan yang kadang kala juga diistilahkan sebagai alam dan realiti digital. Syarat kejayaan atau falah dalam dunia, alam atau teater hidup Turing adalah jelas. Bagi mereka tidak nampak pilhan lain yang sejelas paradigma Turing. Kejayaan, kemewahan dan kemenangan yang mungkin tercapai apabila syarat-syarat sistem formal diakui dan diterima sepenuhnya. Dimensi yang tidak penting kepada alam tersebut tidak diterima dan dianggap tidak perlu. Komputer mampu membuat tuntutan dan mendatangkan implikasi sebesar itu dengan keadaan terpisah atau perhubungan yang amat terhad. Apabila komputer dihubungkan melalui jaringan rangkaian Internet implikasi dan kesan yang disebutkan awal tadi bertambah. Dari aspek tenikalnya, Internet merupakan gabungan perkembangan dua teknologi perkomputeran- perisian dan perkakasan. Dari segi sudut falsafah teknologi, Internet merupakan kejayaan idea dan perisian. Melalui perisian protokol perhubungan dan rangkaian komputer berlainan jenis, jenama dan bahkan berlainan zaman dapat dihubungkan. Perhubungan ini membolehkan, buat pertama kalinya dalam sejarah manusia dan teknologi, penyatuan dan pengabungan kuasa pemprosesan komputer. Buat pertama kalinya maklumat dari serata pelusuk dunia dapat dihantar dan dikongsi dan diproses oleh sebarang komputer. Maklumat dari Amerika atau Russia dapat diproses

76

oleh komuter kecil yang berada di bandar Segamat. Maklumat yang berpunca dari Segamat dapat dihantar ke komputer yang berada di Washington atau Moscow. Keupayaan dan kemudahan seperti itu bererti Internet juga membolehkan buat pertama kalinya penyatuan, pengabungan kuasa minda dan idea manusia dalam masa nyata merintasi halangan geografis dan politik. Di sinilah letaknya potensi sosio-intelektual, ekonomi dan strategis komputer pada akhir abad ini dan menjelang abad ke-21. Masyarakat tradisional atau yang masih menghargai nilai-nilai ruhaniah tradisional sememang mempunyai sebab untuk menyatakan kebimbangan mereka mengenai Internet. Kebinbangan tersebut dari yang kurang rasional dan ikut-ikutan hinggalah yang mempunyai alasan-alasan ilmiah. Kebimbangan terhadap maklumat subversif hinggalah kepada pendedahan maklumat lucah, semuanya berotensi merubah akal budi seseorang dan pandangan alam satu-satu masyarakat itu kepada bentuk murtad dan cacat daripada idealisme tradisional atau ruhaniah. Pelbagai langkah telah disarankan: daripada penyekatan undang-undang kepada langkah teknologi. Langkah-langkah ini yang sekali imbas adalah pelbagai manifestasi dan dan bentuk reaksi yang bermacam, sebenarnya mempunyai punca dan asas fahaman yang hampir sama. Kesamaan dalam kecetekkan faham mengenai sejarah intelektual teknologi perkomputeran dan falsafah disebaliknya. Berpegang kepada imej teknologi komputer yang usang dan tidak kritis, antaranya yang agak ketara, andaian bahawa teknologi komputer adalah sejagat dan bebas nilai. Walaupun telah ditunjukkan secara ilmiah bahawa kesejagatan komputer bukan merupakan sifat tabii teknologi itu tetapi datang daripada sokongan faktor-faktor cara hidup dan pandangan alam yang seragam dengan masyarakat yang mengasaskan teknologi tersebut. Bahawa teknologi merupakan produk dan gabungan teknik dan hasil kerja tangan sesuatu masyarakat itu, biasanya dalam rangka memenuhi permintaan gaya hidup, ataupun sebagai reaksi strategis masyarakat dalam menanggani masalah hidup. Mahu tidak mahu sesuatu teknologi yang dihasilkan itu membawa simpulan falsafah hidup dan rukun hidup masyarakat itu. Kesejagatan yang tergambar adalah fotomargana yang timbul daripada batasan pengamatan. Sekiranya dimensi kesejagatan itu wujud maka kemungkinan besar secara kebetulan dan biasanya terhad. Illusi kesejagatan menyeluruh kerap timbul akibat daripada masyarakat yang mengimpot atau menerima sesuatu teknologi itu membalikkan imej penyediaan raga dan ruh kerangka sosialnya, iaitu dalam acuan masyarakat pengasas teknologi tersebut. Hal ini kerap berlaku apabila cara hidup, bahasa fikir dan idealisme masyarkat tersebut sentiasa berada dalam pukauan negara yang paling kaya, paling berkuasa. Bila ini berlaku maka jadilah sejarah sosial, sejarah intelektual, sejarah politik dinegara kecil hanya sebagai lanjutan daripada pecaturan dan pengolakan masyarakat negara gergasi utama. Tegasnya apabila sesuatu masyarakat kecil itu merasakan semua jawapan, termasuk jawapan intelektual dan teknologi, yang dicetuskan oleh negara utama mempunyai kesejagatan dalam masyarakatnya, maka kemungkinan besar, hakikat sebenarnya, ialah identiti dan warisan sosio-intelektualnya telah pun terhakis, jika tidak keseluruhannya maka sebahagian besar daripadanya. Kesejagatan Internet terbit daripada dua punca: (i) penggunaan meluas teknologi perkomputeran dan teknologi dasar yang seragam, (ii) penerimaan cara gaya hidup pasca moden. Kedua-dua teknologi dan cara hidup tersebut di kebanyakkan negara adalah

77

hampir seragam. Dari segi asasnya teknologi dasar, seperti perhubungan dan telekommunikasi, adalah selaras dan seragam sama ada di Amerika, Eropah atau Asia. Hal ini terjadi kerana teknologi-teknologi tersebut berpunca dari sumber yang sama, berlatar belakangkan budaya fikir, serta persekitaran kemasyarakatan yang seragam: Sumber, budaya fikir dan kemasyarakatan barat. Struktur sosio-ekonomi dan sosiointelektual yang seragam antara pelbagai negara menjadikan prioriti kemasyarakatan, persoalan intelektual, strategi ekonomi dan politik antara kebanyakan negara didunia ini menyerupai satu sama lain. Keseragaman yang sedia ada mampu diperkukuhkan lagi oleh teknologi perkomputeran dan penggunaan Internet. Namun kebangkitan akhir-akhir ini, terutamanya di Asia, Afrika dan Timur Tengah, kesedaran idealisme bukan Eropah dan bukan sekularisme, sama ada yang berteraskan agama atau falsafah tradisional setempat, menimbulkan suasana budaya hidup, budaya fikir dan peradaban yang tidak berapa cocok dengan teknologi Internet. Internet, seperti yang telah kita perhatikan, berteraskan beberapa gagasan idea yang keluarkan oleh Rand, pusat fikir tentera Amerika terunggul. Antara idea tersebut ialah (i) Internet bebas menyalurkan apa sahaja maklumat yang diminta, dan yang hendak disalurkan oleh sesiapa sahaja, (ii) tidak ada penguasa atau pengawal melainkan memenuhi syarat protokol dan sistem formal pengendalian, (iii) setiap mereka yang akur kepada syarat Internet dan mempunyai perkakasan asas mempunyai sama kedudukan atau potensi menghasilkan maklumat dengan mereka yang mempunyai perkakasan paling canggih, dan (iv) kedudukan sosial dan politik tidak penting dalam Internet, berbanding dengan kedudukan celik maklumat dan celik perkomputeran seseorang itu. Keempat-empat idea asas merupakan antara idea-idea yang disemadikan dalam teknologi Internet. Sekiranya sesuatu idealisme masyarakat itu tidak dapat menerima atau bertentangan dengan sebahagain daripada idea-idea tersebut, maka Internet boleh mencetuskan krisis kemasyarakatan atau cabaran sosio-intelektual yang hebat kepada sesautu masyarakat tradisional atau masyarakat ruhaniah itu. Hal ini mudah difahami sekiranya kita masih ingat bahawa seperti teknologi perkomputeran, yang merupakan teknologi teras Internet, falsafah sekularisme, formalisme dan epistemologi Turing, teranyam dalam kerangka halus teknologi jaringan rangkaian komputer. Oleh itu Internet juga boleh dilihat sebagai antara kemuncak manifestasi sosial-intelektual teknologi perkomputeran yang dicetuskan oleh sesuatu masyarakat itu. Dalam kes ini, Internet dicetuskan oleh masyarakat barat semata-mata untuk menanggani masalah mereka. Kerana itu menjadi suatu yang aneh sekiranya Internet tidak mendatangkan sebarang kesan yang janggal dalam sesebuah masyarakat tradisional dan yan bukan beracuan Eropah seratus peratus. Hal tersebut masih benar tanpa perlu menidakkan kebergunaan strategis dan pragmatis teknologi perkomputeran dan Internet. Selagi soal epistemologis dan implikasi sosiologis teknologi tersebut disedari, maka sesuatu masyarakat tradisional dan bukan Eropah tersebut mungkin masih mampu menanggani cabaran yang timbul. Salah satu cara yang paling berkesan unutk menanggani dan menghadapi cabaran tersebut ialah seperti yang telah dicadangkan pada pembukaan perbincangan kita: perimbangan dalam penekanan pendidikan komputer. Pendidikan komputer yang mengimbangkan dimensi intelektual dan

78

teknikal. Pendidikan komputer yang mengakui hakikat bahawa komputer ialah epistemologi yang dimanifestasikan dalam bentuk teknologi: bukan teknologi yang bebas nilai, atau pura sejagat, tetapi teknologi yang hidup dengan menyemadikan paradigma tertentu. Arthur C. Clarke, seorang ahli sains dan penulis novel sains, telah mengemukakan tiga garis panduan bagi sesiapa yang ingin meramal ciri masa depan teknologi. Garis panduan tersebut kemudiannya digelar hukum Clarke mengenai teknologi; Hukum Pertama Clarke Apabila seorang tokoh terkemuka sains yang telah tua mengatakan sesuatu itu mungkin berlaku dan boleh dilakukan, maka sesungguhnya dia adalah sentiasa benar. Tetapi apabila dia mengatakan bahawa sesuatu itu tidak mungkin berlaku maka dia berkemungkinan besar silap. Hukum Kedua Clarke Cara untuk mengetahui had sesuatu teknologi itu ialah dengan merintasi sempadan mustahil. Hukum Ketiga Clarke Teknologi yang cukup maju adalah sukar untuk dibezakan daripada silap mata atau magik. Kemanakah arah gelombang teknologi, terutamanya perkembangan teknologi perkomputeran seterusnya? Selepas teknologi maklumat dan Internet, teknologi apakah yang akan menjadi teknologi penentu atau penakrif? Sukar untuk membuat ramalan yang tepat. Sebarang ramalan yang dibuat mengenai teknologi biasanya akan menjadi kesilapan besar tidak berapa lama kemudian. Dalam hal ini contohnya banyak. Tidak siapa menjangka bahawa teknologi maklumat menjadi teras perkembangan teknologi dalam tahun-tahun 1990an. Tiada siapa yang meramalkan, termasuk Bill Gates, bahawa Internet merupakan gelombang perkembangan teknologi dalam tahun 1990an. Di sempadan mustahil manakah teknologi kita akan berada, dan silap mata apakah yang akan dipasarkan kepada kita? Bagaimana Weltanschauung Melayu akan datang diasak dan dipengaruhi?. Sukar untuk dijawab dengan tepat oleh kebanyakan kita. Orang seperti itu ketika ini sedang disisihkan oleh masyarakat umum kerana ideanya, orang yang sukar dimengerti, dan biasanya diremehkan kerana bercakap mengenai benda yang tiada dan perkara yang dianggap tidak masuk akal dewasa ini. Pada orang seperti itu mungkin terdapat jawapan atau sekurang-kurang lorong yang menunjuk kepada pintu jawapan. Soalnya, adakah umat Melayu, terutama pemimpin dan yang berkuasa antara mereka, bersedia untuk menerima jawapan tersebut? XI: Kesimpulan

79

Kejayaan pengujudan "orang Turing Melayu" seolah-olah menentukan kejayaan proses penginstitusian pendigitalan masyarakat setempat. Hal tersebut tidak boleh dipisahkan hubungannya dengan pembudayaan S&T dikalangan orang-orang pribumi dan orang Melayu. Dalam perbincangan dahulu kita lihat bagaimana penerapan budaya fikir S&T barat, khususnya, telah melahirkan paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu moden. Namun kontrakdiksi seperti itu seolah-olah mampu ditanggani dengan efisien dengan pengujudan "orang Turing Melayu." Pengujudan "orang Turing Melayu" tercapai melalui proses pengintitusan digitalisasi yang diterajui oleh agensi seperti MIMOS dan NITC, dan mungkin juga projek TMK gergasi seperti KRM (MSC). Kita perhatikan bahawa peranan penting segelintir cendekiawan Melayu yang terdidik dalam bidang S&T moden dengan usaha aktif pengintitusian pendigitalan minda Melayu. Dalam kuliah ini kita telah cuba memahami konsep asas, implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena pembudayaan digitalisasi minda Melayu melalui TM tersebut. Kita telah cuba melihat proses pembudayaan tersebut daripada sudut dimensi epistemologikal yang menyeluruh, antaranya dengan mengupas salah satu daripada konsep episteme terpenting yang mendasari proses tersebut, iaitu "orang Turing." I. Pendahuluan Tidak ada budaya fikir yang tidak mengalami perubahan sama ada akibat daripada proses dalaman atau dampak pengaruh dari luar. Budaya fikir dan Weltanschauung Melayu tidak terkecuali daripada proses dan dampak, terutamanya yang dicetuskan oleh, idea-idea baru dan innovasi teknologi terkini. Semenjak tahun-tahun 1980an, idea dan innovasi tersebut ialah dari gagasan Teknologi Informasi (IT) atau Teknologi Maklumat (TM). Semenjak detik itu peranan teknologi tersebut semakin bertambah dalam masyarakat Melayu. Orang Melayu bukan sahaja telah terdedah kepada IT sebagai satu alat kemudahan tercanggih bahkan yang lebih peting lagi ialah IT merupakan antara sumber intelektual penting akhir dekad ini. Hal ini ialah kerana IT merupakan gagasan kompleks paradigma baru dan teknologi terkini. Teras paradigma baru tersebut ialah digitalisasi dan teknologinya pula ialah komputer. Namun komputer bukanlah teknologi dalam ertikata makan kalsik, komputer pada asasnya ialah epistemologi yang dijelmakan dalam bentuk teknologi. Keupayaan IT dan komputer mendatangkan perubahan pada gaya kerja dan rentak kerja dalam sesuatu urusan atau bidang datang daripada sifat istemewa paradigma dan teknologi tersebut yang mendasari IT. Kerana itulah dalam perbincangan kita yang lalu kita telah melihat bagaimana IT mampu membawa perubahan, walaupun kurang disedari, yang berlaku pada peringkat yang paling asas iaitu pada gaya pemikiran dan budaya fikir individu serta masyarakat. Dalam perbincangan kita yang lepas kita telah di perkenalkan isu-isu semasa berkaitan dengan kesan kemasyarakatan IT. Antara isu terpenting ialah bagaimana IT yang berteraskan paradigma digitalisasi dan epistemologi perkomputeran mendatangkan cabaran kepada sistem kepercayaan dan pandangan alam dalam budaya fikir Melayu semasa. Kita telah cuba mengupas persoalan bagaimana epistemologi perkomputeran yang menekankan pemikiran sintaktis, analitis dan

80

reduksionistik mencabar budaya fikir tradisional yang bercorak semantis, sintesis dan holistik. II. Isu Penting Dalam membincangkan soal nasib Weltanschauung Melayu dalam era IT (Teknologi Maklumat) kita telah cuba meneliti secara menyeluruh isu-isu yang berkaitan dengan kerangka budaya fikir Melayu secara umum. Hal itu termasuklah fasa-fasa pendedahan pemikiran Melayu kepada pengaruh-pengaruh asing. Dalam kuliah 1 dan 2 kita perhatikan perkembangan budaya fikir Melayu mengharungi pelbagai zaman pengaruh: Hindu, Buddhis, Islam dan seterus pada zaman penjajahan Eropah. Perbincangan kita tertumpu kepada persoalan ciri-ciri unggul yang wujud dalam pemikiran tradisional Melayu atau, pendeknya, kosmologi Melayu. Dalam Kuliah 3 pula kita telah meneliti beberapa unsur perubahan yang berlaku kepada budaya dan kosmologi Melayu akibat pertembungan dengan budaya fikir luar Asia, khususnya Eropah, iaitu bermula dengan pertembungan orang Melayu dengan orang Portugis pada abad ke-16 dan berakhir dengan British pada pertengahan abad ke-20. Perhatian istemewa telah diberikan kepada kesan pengaruh budaya fikir British kepada pemikiran Melayu pra dan pasca Merdeka. Penumpuan tersebut telah menyentuh tentang bagaimana sistem semiotik British menular melalui sistem pendidikan penjajah, dan juga kesan itu semua kepada struktur pendidikan formal dan tak formal Melayu. Sesungguhnya kita telah melihat bagaimana penularan system semiotic British tersebut membuka ruang kepada epistemologi moden menyusup masuk dalam kerangka fikir Melayu. Oleh itu perbincangan kita telah juga sedikit sebanyak menyentuh soal epistemologi, terutamanya epistemologi informasi dan TM. Isu-isu epistemologi asas berkaitan dengan Teknologi Informasi (IT) pula diperkenalkan dalam Kuliah 4. Turut dibincang ialah isu-isu yang penting dalam konteks pertembungan epistemologi tersebut dengan kerangka pemikiran Melayu. Kuliah 4 turut meniliti secara ringkas ialah sejarah intelektual perkomputeran dan bagaimana sejarah tersebut mempunyai kaitan dengan perkembangan perkomputeran di alam Melayu. Dalam Kuliah 5 kita telah diperkenalkan dengan budaya fikir Melayu semasa. Kita telah cuba mencerap kerangka fikir disebalik Melayu baru, iaitu pendukung obor pemikiran baru. Kita juga telah cuba memantau nasib serta kedudukan Melayu lama, iaitu pendukung pemikiran tradisional, dalam pembentukkan serta pengukuhan budaya fikir digital. Kita turut meneliti dalam kuliah 5 proses pendigitalan orang Melayu dalam tahun 1990an. Bagaimana proses tersebut diinstitusikan telah di teliti dalam Kuliah 6. Pengintitusian melalui KRM (Koridor Raya Multimedia) atau MSC (Multimedia Super Corridor) dan dampaknya kepada budaya fikir Melayu. Turut diteliti ialah sama ada penglibatan orang Melayu dalam dunia dan ekonomi digital mensyaratkan pendigitalan keseluruhannya pandangan alam Melayu. Perbincangan lanjut mengenai kesan MSC terutamanya pardigma pendigitalan kepada budaya fikir tradisional. Di dalam Kuliah 7 paradigma tersebut dibincang dalam konteks kerangka konsep orang Turing. Melalui konsep tersebut perubahan makna dalam Weltanschauung Melayu baru akibat penyerapan pemikiran perkomputeran di halusi. Turut diteliti ialah kesan perubahan tersebut kepada budaya fikir kelompok Melayu yang masih tersisih. Perbincangan juga meliputi soal manifestasi perbezaan tersebut dalam

81

konteks sosio-ekonomi, politik dan kemasyarakatan umum. Senario-senario umum yang berlaku akibat pendigitalan alam pemikiran Melayu. Kuliah akhir ini akan mengupas kembali berberapa isu asas yang telah dikemukakan dalam kuliah-kuliah yang lepas. III. Teras Perbincangan Dampak suatu artifak teknologi atau idea saintifik kepada seorang individu atau sebuah masyarakat adalah satu perkara yang sukar dicerap. Kesukaran tersebut menyerlah apabila menyentuh soal ruang alam fikir atau Weltanschauung sesuatu masyarakat. Kesukaran ini juga merupakan antara sebab mengapa dampak teknologi dan sains keatas alam fikir sesuatu masyarakat jarang diteliti secara ilmiah. Namun hakikatnya ialah setiap sesuatu masyarakat itu sentiasa terdedah kepada gelombang idea-idea yang datang dari luar, termasuk yang dicetuskan oleh innovasi teknologi terkini. Tidak ada masyarakat yang mampu memencilkan dirinya dari arus idea luaran atau teknologi. Oleh itu menjadi suatu hal yang mendesak bagi sesuatu masyarakat itu memahami bagaimana sesuatu idea luaran atau teknologi mempengarui masyarakat dan dirinya. Idea dan teknologi yang mencetuskan dampak kepada masyarakat semasa ialah yang terbt dari sains moden atau sains barat. Walau pun, umumnya, umat Melayu dewasa ini sedar tentang perubahan radikal dalam keadaan kehidupan material akibat dari penggunaan ilmu sains dan teknologi, masih ada yang kurang disedari. Misalnya, tidak ramai yang menyedari takat dampak atau sejauh mana teori-teori sains dan teknologi mempengaruhi kerangka mental seseorang individu itu. Takat kesedaran ini semakin menurun apabila memperkatakan tentang hal pengaruh sains dan teknologi ke atas Weltanschauung Melayu, teras pandangan alam atau kosmologi Melayu. Suatu hal yang jelas ialah bermula pada awal abad ini konsep sains dan falsafah moden telah semakin meresap dalam kerangka pemikiran Melayu. Kita perhatikan bahawa penularan idea sains bermula secara sistematis sebagai program pembudayaan sains dan falsafah kolonial dalam kerangka budaya fikir Melayu. Program tersebut pada mulanya bagi mengisi tujuan penjajah dan berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Program pembudayaan tersebut disambut dan sambung dengan lebih giat lagi oleh kerajaan Perikatan yang diterajui oleh UMNO dibawah program pendidikan pasca-Merdeka. Pada akhir 60an dan awal 70an program-program dasar pendidikan baru yang menekankan pembelajaran sains secara intensif kepada anak-anak Melayu dilancarkan. Anak-anak penoreh getah, nelayan, petani dan pegawai kerajaan di hantar ke Eropah dan Amerika untuk mempelajari sains. Program tersebut telah berjaya melahirkan satu masyarakat saintis dan komuniti cendekiawan Melayu yang mempunyai celik sains atau kesedaran saintifik yang tinggi. Perkembangan ini dianggap sebagai suatu lagi pencapaian sosial dan psiko-intelektual yang agak unggul dalam sejarah umat Melayu. Sayangnya, setakat yang diketahui (oleh penulis), belum ada lagi satu kajian terperinci dan menyeluruh tentang hal tersebut, terutamanya yang melampaui bancian statistik. Kita agak berminat untuk mengetahui apakah dikalangan kelompok saintis dan cendekiawan Melayu tersebut konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang istemewa. Jika hal tersebut berlaku bagaimanakah konsep dan falsafah tersebut merubah

82

atau mengukuhkan budaya fikir Melayu. Hal ini menjadi menarik oleh kerana kebanyakan daripada saintis dan cendekiawan Melayu tersebut datang dari masyarakat tradisonal dan ada diantara mereka yang didik pad peringkat awal secara tradisional. Kita juga berminat apakah benar dikalangan mereka itu juga mungkin wujud keadaan dimana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional. Tegasnya, kita bermiant untuk mengetahui bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi moden mungkin boleh merubah kepercayaan, alam fikir dan budaya fikir Melayu iaitu teras kosmologi Melayu; dan bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi mungkin diserap - sama ada secara sedar atau tidak - dan menjadi teras baru kepada kerangka pemikiran Melayu. IV. Budaya Fikir Melayu Tradisional dan Budaya Fikir Melayu Baru Para pengkaji budaya Melayu menyepakati bahawa Weltanschauung Melayu tradisonal ditegakkan atas gagasan pemikiran animisme, hindi dan Islam. Menurut mereka hakikat ini masih benar walaupun pada suatu zaman dan masa tertentu terdapat ada unsur daripada gagasan tersebut yang lebih menyerlah atau tenggelam berbanding dengan yang lain. Pada zaman mutakhir ini, unsur Islam dianggap sebagai unsur dominan didalam metamorfosis atau "mutasi" yang membentuk pemikiran Melayu tradisonal. Namun apa yang lebih penting ialah kesemua unsur pemikiran tersebut bergabung dalam melahirkan satu kompleks kerangka fikir dan pandangan alam Melayu yang jelas memberatkan penekanan kepada kosmologi metafizik. Kosmologi ini mengabadikan budaya pemikiran yang megutamakan tafsiran simbolisme dan sintesis holistik. Tegasnya, sistem kosmologi dan pandangan alam Melayu, pada asasnya, menekankan interaksi dinamis antara alam metafizik dengan alam material. Interaksi ini dapat difahami melalui sistem simbolisme yang komplek yang dipelihara dan dipupuk oleh kerangka budaya dalam semiotik tradisional Melayu. Kita telah perhatikan bahawa simbol-simbol semiotik dan kosmologi tradisional Melayu adalah jelas merupakan simbol semantis dan kualitatif yang mempunyai makna transenden yang tinggi dan makna budaya yang seni. Pemikiran tradisional sentiasa mengutamakan fakulti intellectus holistik dan sintesis berbanding hanya dengan rasio analitis dan reduksionis. Dari sudut falsafah ilmu, difahami bahawa fakulti intellect cenderung melihat alam ini sebagai kaya dengan simbol-simbol transenden semantis berbanding dengan rasio, yang lebih menekankan simbol sintaksis reduksionis. Namun pemikiran rasio, kita perhatikan, merupakan teras pemikiran sains moden dan juga Weltanschauung orang Turing. Jelas, pemikiran rasio amat ditekankan dalam budaya fikir Eropah moden, penekanan yang bermula dengan budaya fikir sekular pasca-Nasrani. Versi pemikiran rasio yang melampau dalam bentuk faham emprisme dan logiko-postifisme mendapat tempat dalam kerangka fikir dan budaya fikir Inggeris. Budaya fikir ini mula dibawa ke alam fikir Melayu secara sistematis oleh penjajah Inggeris. Setakat mana budaya fikir ini telah mendatangkan kesan kepada pemikiran Melayu merupakan persoalan yang mugkin maseh belum dijawab dengan memuaskan. Nmaun, apa yang jelas ialah budaya fikir

83

tersebut dianggap sebagai tidak memainkan peranan yang besar dalam membentuk ciriciri utama Weltanschauung Melayu tradisional (lama?). Orang Melayu tradisional menghayati satu pandangan alam yang dianggap unggul dari segi kaca mata pandangan moden semasa. Bagi orang Melayu tradisional, mereka melihat alam tabii ini sebagai penuh dengan makna halus, simbolisme transenden, gurindam dan syair. Pandangan mereka tidak hanya terhad kepada manifestasi material alam. Bahkan bagi mereka dimensi fizikal, dimensi yang amat penting bagi sains dan teknologi moden, hanyalah satu manifestasi kecil fenomena alam yang amat luas. Bagi mereka kewujudan alam fizikal yang telus kepada pandangan kasar ini sebenarnya bergantung kepada dimensi alam hakikat dan ruh yang maha seni. Penghayatan pandangan ini, jelas dapat diperhatikan secara praktis dalam kehidupan seharian dan amalan kemasyarakatan mereka. Ciri keunggulan lain yang wujud dalam budaya fikir orang Melayu tradisional ialah kepentingan kehidupan harmoni dengan alam tabii. Prinsip keharmonian ini dihayati melalui ritual dan manisfestasi kebudayaan. Ritual dan manifestasi kebudayaan tersebut biasanya digariskan oleh semiotik tabii dan kosmologi kebudayaan yang diwarisi dan dimantapkan generasi demi generasi. Pemantapan ini dicapai melalui pemeliharaan adat resam dan petua kemasyarakatan. Kita telah perhatikan bahawa perkembangan semiotik tabii dan kosmologi kebudayaan generasi-generasi tersebut juga dimantapkan melalui penyerapan pelbagai unsur yang datang dari luar ruang budaya Melayu asli. Unsur-unsur luar tersebut datang daripada timur dan barat. Pengaruh Hindu, Buddhis, Islam dan Barat merupakan antara yang menyumbang kepada pembentukan semiotik dan kosmologi Melayu. Namun demikian, intipati semiotik dan kosmologi Melayu masih terpelihara. Pada asasnya intipati semiotik Melayu ada hubungannya dengan kepelbagaian dimensi yang wujud pandangan alam Melayu. Intipati ini, antara lain, ialah mengenai kepercayaan bahawa alam fizikal ini hanyalah manifestasi kecil atau hijab bagi alam metafizik. Dalam kosmologi Melayu, misalnya, alam tabii dianggap penuh dengan unsur-unsur ghaib dan mistik. Haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan bahkan batu-batan cenderung dilihat daripada sudut simbolisme transendentalnya berbanding daripada sudut manifestasi fizik dan duniawinya. Oleh itu dalam "alam Melayu," tidak hairanlah haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan mampu bercakap, bahkan bermadah secara bernas setanding dengan sebarang pujangga manusia. Walaupun dalam dongeng masyarakat barat alam seperti itu wujud, namum senario dalam alam Melayu itu bukan sekadar gambaran dongeng bagi tujuan hiburan. Ia merupakan satu kenyataan yang diterima oleh pandangan alam Melayu. Sebab itulah dalam alam Melayu, manusia (khasnya syaman, pawang, bomor, sufi dan wali Allah) berinteraksi dengan haiwan, tumbuhan dan batu-batan pada tingkatan yang sukar diterima dan untuk dibayangkan oleh manusia sekular. Ilmu bertinterkasi tersebut juga merupakan antara yang sangat dihargai kerana ia membuka jalan bagi manusia Melayu mampu hidup berharmoni dengan alam tabii. Bagi kebanyakan manusia moden, khususnya dari barat, bercakap dengan mahluk lain selain sesama manusia hanya mungkin berlaku dalam cerita dogeng. Dalam dunia Melayu, hal tersebut tidak dianggap dongeng atau fiksyen semata-mata. Kepercayaan dan pandangan alam mereka dianggap bertentangan dengan kenyataan moden atau pandangan sains, namun hampir tidak ada

84

langsung manusia Melayu tradisional yang akan menidakkan kosmologi mereka. Pada umumnya orang Melayu masih terikat dengan Weltanschauung tradisional dan gagasan budaya fikir Melayu. Gagasan iniboleh disimpulkan sebagai melihat alam tabii ini penuh dengan simbolisme semantik, gurindam dan syair. Penghayatanpandangan ini, misalnya, dapat diperhatikan secara praktis dalam penghayatan ritual dan manisfestasi kebudayaan. Seeprti yang telah dibayangkan awal tadi bahawa perubahan dalam kerangka pemikiran Melayu mula berubah dengan asakan budaya fikir Inggeris. Perubahan yang ketara dapat dikesan menjelang abad ke-20. Hal ini terjadi apabila konsep sains dan falsafah moden semakin mendapat tempat dalam pemikiran Melayu. Antara yang paling berkesan membuka ruang tersebut ialah program pembudayaan sains kolonial. Program ini telah diteruskan dalam pelbagai bentuk program pendidikan pasca kemerdekaan. Bahkan usaha pembudayaan tersebut digiatkan lagi, misalnya dalam program pendidikan telah menekankan pembelajaran sains moden secara intensif kepada anak-anak Melayu. Menjelang tahun 1980an program tersebut telah berjaya melahirkan satu masyarakat saintis Melayu dan cendekiawan Melayu yang mempunyai celik sains atau sedar sains yang tinggi. Penubuhan Akademi Sains Islam (ASASI) pada awal 1970an adalah salah satu manifestasi literasi dan kesedaran tersebut. Tetapi penubuhan ASASI juga mungkin merupakan manifestasi reaksi yang lain. ASASI juga boleh dilihat sebagai usaha orang Melayu untuk memadankan paradigma sains moden dengan kerangka kosmologi Melayu tradisional yang berteraskan budaya fikir Islam. ASASI juga boleh dilihat sebagai salah satu reaksi dan manifestasi semasa dalam menanggani perubahan dalam budaya fikir dan kosmologi Melayu adalah akibat pertembungan alam Melayu dengan tamadun luar. Pertembungan tersebut dapat dicamkan melalui beberapa fasa utama. Misalnya, pertembungan terawal ialah dengan kedatangan orang Portugis ke alam Melayu, yang bermula di Selat Melaka dan berakhir dengan tragedi kejatuhan keseluruhan jajahan Melaka ke tangan "Benggali Putih." Namun begitu penjajahan orang Portugis tidak mendatangkan kesan yang ketara kepada budaya fikir dan kosmologi Melayu. Begitu juga halnya dengan Belanda yang menduduki Melaka selepas Portugis. Pengaruh Belanda ke atas budaya fikir Melayu hampir tidak kelihatan langsung. Bagaimanapun pengganti Belanda di Melaka dan jajahan Semenanjung Melayu, iaitu British meninggalkan kesan yang agak berbeza sekali berbanding dengan penjajah Eropah terawal yang lain. Banyak sebab telah dikemukakan bagi menjelaskan mengapa hal tersebut berlaku. Kebanyakan orang cenderung memberi alasan bahawa British telah menguasai politik dan ekonomi Tanah Melayu hampir lebih 200 tahun semenjak abad ke-18 hingga pertengahan abad ke-20. Oleh itu mengikut pendapat tersebut tidak hairanlah sekiranya mereka meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke atas budaya fikir tempatan. Walau pun terdapat sedikit kebenaran di sini, namun kita akan lihat nanti bahawa dalam sejarah pembentukan budaya fikir tradisional, didapati peranan dan pengaruh Inggeris langsung tidak kelihatan. Hanya pada abad ke-20 barulah budaya fikir Inggeris kelihatan memberi sedikit kesan ke atas minda Melayu. Lagi pun penguasaan politik yang sekian lama sahaja belum cukup untuk mendatangkan kesan kepada tradisi dan budaya fikir

85

setempat. Alasan lain yang lebih menarik ialah penguasaan British tersebut dilakukan bukan sahaja melalui kuasa ketenteraan dan politik malahan dengan pelbagai cara yang melibatkan penguasaan mental serta budaya fikir. Tegasnya, mungkin yang paling menarik tentang penjajahan British ialah penggunaan instrumen pendidikan dan intelektual bagi meluaskan dan memantapkan kolonialisme mereka di Tanah Melayu. Ketika orang british menjejakkan kaki di Nusantara Melayu, beberapa perubahan penting berlaku yang menentukan arus perjalanan sejarah intelektual British, khususnya, dan Eropah amnya. Kepulauan British merupakan satu-satu tempat yang menjadi pusat dan punca revolusi ilmiah, yang di kenali sebagai revolusi saintifik. Revolusi ini pada awalnya diasaskan pada tulisan dan pemikiran tokoh-tokoh antaranya seperti Francis Bacon (1561-1626), Thomas Hobbes (1588-1679), Robert Hooke (1635-1702) John Ray (16271705), John Locke (1632-1704), Issac Newton (1642-1727) dan David Hume (1711-1776). Revolusi mental tersebut merubah keseluruhan budaya fikir barat, dari kaedah mencari ilmu, punca ilmu dan matlamat ilmu hingga ke persepsi terhadap asal usul manusia dan alam. Proses perubahan ini berlangsung dan dimantapkan lagi pada abad ke-19. Perubahan yang ketara pada budaya fikir ketika itu ialah penghayatan positifisme dan materialisme sebagai teras falsafah dan metafizik sains. Perubahan ini pula membuka jalan bagi pemupukan logik simbolik sintaktik dan emperisme logikal. Kesemua itu seolaholah bagi menyediakan tapak kemunculan epistemologi Turing (epistemologi komputer). Epistemologi ini berakar umbi dari pemikiran tokoh ilmiah dan matematik Inggeris seperti Alan Turing (1912-1954), Charles Babbage (1719-1871) dan juga George Boole (18151864). Epistemologi Turing merupakan teras kepada epistemologi Teknologi Maklumat abad ke-20. Pemikiran yang diasaskan oleh tokok-tokoh Inggeris yang tersebut tadi menguasai budaya fikir Inggeris. Sehinggakan tidak adamereka yang terpelajar dan cendekiawan semasa Inggeris yang tidak dipengaruhi sedikit sebanyak oleh tradisi pemikiran tersebut. Manakala penghantaran para pegawai kolonialisme yang terlatih dan terpelajar semakin bertambah berbanding dengan jumlah pegawai tentera. Para pengkaji ilmiah seperti AR Wallace (1823-1913) yang bertanggungjawab bersama-sama C.Darwin (1809-1882) mencetuskan faham dan "teori evolusi" merupakan antara ribuan pegawai kolonialisme ilmiah yang turut datang ke rantau ini. Di samping itu masyarakat Melayu mula dikaji secara saintifik: dari rangka sosial hingga ke rangka tenggorak mereka. Dalam masa yang sama, Masyarakat Melayu mula dikawal secara saintifik sebagaimana alam tabii di kawal oleh orang british melalui kaedah saintifik. Perubahan dalam falsafah sosial, misalnya falsafah liberal yang dipopularkan oleh Jeremy Bentham (1748-1832), pengasas Universiti London (Universiti London merupakan salah satu model rujukan utama dalam merangka struktur Universiti Malaya), mempengaruhi agenda sosial dan doktrin politik abad ke-19 British. Walau pun pada mulanya kesan doktrin liberal tersebut hanya berlegar sekitar kepulauan British, tetapi sedikit demi sedikit ianya turut mempengaruhi corak politik di tanah jajahan. Di Semenanjung Tanah Melayu, perubahan ini dapat dikesan apabila sekolah-sekolah kolonial mula dibuka kepada anak-anak tempatan. Hal ini menjadi lebih ketara pada akhir abad ke-19 dan awal ke-20 apabila sistem pendidikan, perubatan dan saintifik terus diperluas kepada orang Melayu. Perubahan inilah yang jelas menyumbang

86

serta merupakan antara punca yang membawa kesan ketara dalam pertembungan budaya fikir Melayu dengan Inggeris. Mengenang kembali perubahan yang telah berlaku dalam pembentukan Weltanschauung umat Melayu, kita dapati budaya fikir sekularis tidak berjaya mempengaruhi kosmologi tradisional Melayu. Namun bermula pada awal abad ke-20 konsep sains dan falsafah moden telah semakin mendapat tempat dalam kerangka pemikiran Melayu. Sekurangkurang hal ini berlaku dikalangan segelintir kelompok elitis Melayu yang kemudiannya menguasai arus politik dan ekonomi negara. Kita boleh menjangkakan bahawa dikalangan mereka inilah biasanya konsep sains dan falsafah moden mendapat tempat yang paling istemewa. Di kalangan mereka juga mudah berlaku keadaan dimana konsep sains dan kosmologi sekular moden telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional Melayu (lama?). Apa yang dapat diperhatikan setakat ini secara umum ialah belum ada bukti-bukti yang jelas bahawa penggantian seumpama itu berlaku secara menyeluruh. Mungkin apa yang berlaku adalah terhad dikalangan individu tertentu dalam sesuatu kumpulan elitis atau strata masyarakat terpelajar Melayu. Penggunaan bomor atau sihir dalam kebanyakan urusan sekular oleh kalangan mereka yang dianggap terpelajar dan modenis mungkin merupakan satu petanda bahawa sistem pemikiran dan kepercayaan Melayu tradisional masih utuh. Hal ini adalah benar dalam soal pertembungan pemikiran Melayu dengan konsep-konsep sains pra pasca-moden. Pemikiran tradisonal Melayu dapat bertahan atau sekurang-kurang wujud dalam keadaan dualisme disamping pemikiran sains moden dalam budaya fikir Melayu semasa. Tetapi tidak semestinya pengalaman yang sama akan berulang dalam konteks cabaran pasca-moden seperti yang dikemukakan oleh Teknologi Maklumat (TM) dan epistemologi perkomputeran kepada sistem pemikiran tradisional. Cabaran yang dikemukakan oleh TM dan epistemologi perkomputeran adalah jelas berbeza daripada sains pra pasca-moden. Maka, persoalannya yang penting ialah sama ada sistem pemikiran dan semiotik Melayu tradisional akan terus memperlihatkan ketahanannya dalam menghadapi cabaran TM dan epistemologi digital pada alaf akan datang. Namun, bagi para pemerhati luar, minda Melayu semasa seolah-olah berpaksi kepada dua pola pemikiran yang ekstrem: (i) rasionalis dan (ii) tradisionalis. Mereka yang tergolong dalam kelompok (i) biasanya tinggal di bandar-bandar besar, menjawat jawatan tinggi dalam politik, pentadbiran atau perniagaan. Manakala mereka yang terdiri daripada kelompok (ii) biasanya tinggal di pinggiran bandar, kampung dan kawasan pendalaman sebagai buruh kasar, petani dan nelayan. Pemikiran rasionalis dicirikan oleh objektiviti, sekularisme, empirisme, materialisme, kuantitatif dan logik tertib Aristotelian. Pemikiran saintifik adalah salah satu terbitan pemikiran rasionalis. Orang Melayu rasionalis sangat mementingkan nasib dan kedudukan dunia berbanding dengan isu-isu yang berkaitan dengan alam akhirat. Mereka biasanya mengukur kejayaan dari segi kedudukan pendidikan sekular, jawatan yang disandang dan harta benda. Ijazah dari Cambridge atau Harvard, kereta mewah, rumah banglo, akaun bank di dalam dan di luar negeri adalah ukuran penting yang menentukan martabat seseorang itu dalam kelompok (i). Pemikiran tradisional cenderung kepada pemikiran magis, simbolisme, metafizis, kualitatif dan logik

87

bebas tertib yang kabur. Pandangan alam mereka tidak banyak berbeza daripada apa yang telah digariskan dalam Kitab Jawi lama. Orang Melayu tradisional pula sangat mementingkan alam akhirat atau sekurang-kurangnya menganggap soal alam akhirat sebagai sama penting dengan soal dunia. Ijazah dari Al-Azhar atau Mahaad, hafiz AlQuraan, warak dan alim menentukan martabat seseorang itu dalam kelompok ini. Namun begitu dalam perbincangan yang lepas kita perhatikan bahawa wujud paradoks dan keanehan dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Misalnya, di dapati di kalangan mereka yang kononnya mewakili kelompok (i) tetapi dalam masa yang sama mengunjungi para pengamal ilmu mistik dan sihir. Telah tersiar dalam akhbar tempatan mengenai tokoh-tokoh politik, yang berpendidikan barat, menggunakan khidmat para pengamal sihir. Jelas para pengamal ilmu mistik dan sihir tergolong dalam kelompok (ii). Begitu juga wujud keadaan di mana mereka yang berada dalam kelompok (ii) berkhidmat atau mendukung cita-cita mereka dari faham (ii). Oleh demikian terdapat semacam bentuk interaksi antara dua kelompok dalam konteks yang agak aneh bagi para pemerhati luar. Di samping itu fenomena tersebut memperlihatkan bahawa pandangan rasionalis dan sekular yang wujud pada kelompok (i) tidaklah setulen yang disangka. Begitu juga bagi mereka dari kalangan kelompok (ii), faham dan pandangan mereka tidak sedalam yang disangkakan. Sekiranya kita ingin merangkumkan fenomena tersebut di bawah istilah yang mengambil kira ciri (i) dan (ii); mungkin kita boleh rujuk pegangan puak yang awal tadi sebagai faham (iii) pesudorasionalis, dan puak yang terkemudian pula sebagai faham (iv) pseudotradisionalis. Kebangkitan faham Islam pada pertengahan tahun 1970an, yang didukung oleh gerakan ilmiah dan sosial Islam daripada kalangan mereka berpendidikan barat dan sekular merupakan satu lagi paradoks dalam sejarah budaya fikir Melayu, terutamanya bagi pemerhati luar. Tertubuhnya badan ilmiah seperti Akademi Sains Islam (ASASI) yang mendukung cita-cita "mengislamkan" ilmu sains dan profesional moden oleh para saintis dan profesional Melayu berpendidikan barat memang sukar dimengerti oleh kebanyakan para pemerhati sosial barat. Manakala penubuhan pergerakan sosial Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) lebih mudah dijelaskan dalam konteks modelmodel analisis sosial yang ada. Namun hakikatnya ialah pergerakan seperti itu di dokong oleh para pemuda yang rata-rata berpendidikan sekular, dan tidak kurang juga antara mereka datang dari keluarga yang berada dalam kelompok (i). Hakikat ini merupakan fenomena yang masih tidak mudah untuk dijelaskan sebegitu sahaja. Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, kita telah meneliti perkembangan budaya fikir Melayu dan faham-faham yang telah terbentuk dalam akhir abad ini. Penelitian ini adalah penting kerana evolusi pemikiran Melayu semasa ada kaitannya dengan pergolakan yang wujud jauh dalam sejarah sosiointelektual Melayu. Bahkan boleh di katakan bahawa bentuk-betuk pemikiran yang wujud kini adalah manifestasi dan kesan daripada pergolakan masa-masa yang baru berlalu. Kerangka pemikiran Melayu telah mengalami proses pembaratan melalui pendedahan kepada konsep sains dan falsafah moden semenjak zaman kolonial dan berterusan sehingga negara mencapai kemerdekaan. Proses pembudayaan tersebut bertambah giat lagi dalam program pendidikan pascaMerdeka. Program tersebut telah berjaya melahirkan satu masyarakat Melayu yang

88

mempunyai budaya fikir sains. Di kalangan mereka ini wujud keadaan di mana konsep sains dan kosmologi sekular moden seolah-olah telah menggantikan kerangka idea dan kosmologi tradisional. Nilai-nilai asas, estetik, sosial dan juga kepercayaan Melayu lama digantikan dengan kosmologi dan semiotik sains moden. Dari kelompok ini juga timbul satu faham baru yang kini lebih dikenali sebagai Mahathirisme. Satu faham yang menjadi subur dikalangan orang Melayu kelas menengah dan atasan pada tahun-tahun 80an dan 90an. Walaupun kita cenderung untuk membahagikan minda Melayu sebagai berpaksi kepada dua polar pemikiran yang ekstreme: (i) rasionalis dan (ii) tradisionalis. Mereka yang tergolong dalam kelompok (i) biasanya adalah dari kalangan kelompok kelas menengah dan atasan, berpendikan moden ala barat. Manakala mereka yang terdiri daripada kelompok (ii) ialah daripada kalangan kelas buruh, petani dan nelayan atau berpendidikan tradisional. Pemikiran rasionalis dicirikan oleh objektiviti, sekularisme, empirisme dan materialisme. Pemikiran rasionalis cenderung kepada pemikiran saintifik, kuantitatif dan logik tertib Aristotelian. Manakala, pemikiran tradisional cenderung kepada pemikiran magis, metafizis dan logik bebas tertib yang kabur. Pandangan alam mereka pada asasnya masih memelihara Weltanschauung Kitab Jawi. Namun begitu kita telah perhatikan bahawa gambaran sebenarnya tidaklah semudah yang disangkakan. Kita dapati wujud paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu. Misalnya, di kalangan mereka yang kononnya mewakili kelompok (i), masih lagi berluluasa kepercayaan terhadap ilmu mistik dan sihir. Kita dapati tokoh-tokoh politik, terutamanya, walaupun yang berpendidikan barat, bermain sihir. Kita tidak hairan sekiranya ilmu mistik dan sihir berluluasa di kalangan kelompok (ii). Sebaliknya yang kita dapati ialah sering sekali mereka yang berada dalam kelompok (ii) berkhidmat dan mendokong cita-cita keduniaan material mereka dari faham kelompok (ii). Oleh demikian terdapat semacam bentuk interkasi atau kekaburan antara dua alam fikir yang dianggap sebagai terpisah, dalam konteks yang agak aneh. Senario yang kompleks ini terserlah pada tahun- tahun 1970an, dengan kebangkitan faham Islam rasionalis di kalangan pemuda terpelajar Melayu dan penubuhan badan ilmiah seperti Akademi Sains Islam (ASASI). Antara manifestasi tersebut ialah dalam bentuk ilmiah dan usaha "islamisasi" ilmu sains oleh para profesional Melayu berpendidikan barat dan sekular. Hal tersebut jelas merupakan paradoks dalam sejarah budaya fikir Melayu. Penubuhan pergerakan sosial Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga yang di dokong oleh para pemuda yang rata-rata berpendidikan sekular, dan datang dari kelompok (i) merupakan satu lagi fenomena yang tidak mudah untuk dijelaskan dengan begitu sahaja, terutamanya dalam konteks model-model analisis sosial yang sedia ada. Namun begitu beberapa teras faham moden yang timbul dalam kelompok (i) seperti Mahathirisme lebih mudah difahami. Mahathirisme, misalnya, telah mengujudkan keadaan di mana penyuburan pemikiran digital dan orang Turing Melayu suatu kemungkinan yang amat mudah diujudkan.

89

Kontrakdiksi dalam budaya fikir Melayu yang digambarkan tadi tidak menjadi masalah besar dalam konteks kerangka faham moden seperti Mahathirisme. Bahkan peluburan kontradiksi seperti itu dapat dicapai dengan efisien dalam alam fikir maya yang beteraskan konsep digitalisasi. Dalam alam maya, hakikat, realiti, impian, dan kebenaran, misalnya, tidak terpisah. Dalam dunia maya, harimau belang boleh bertukar menjadi manusia hitam dan yang hitam boleh diputihkan dengan sekelip mata. Tegasnya, yang hitam tidak semestinya hitam selama-lamanya dan yang putih tidak semestinya hakikatnya putih. Dalam alam maya dunia mistik dan khayalan dengan dunia objektiviti, empiris dan fizis sains seolah-olah wujud secara harmoni dalam dunia alam maya dan digital perkomputeran. Dalam alam maya dan dunia digital perkomputeran, Mahathirisme mendapati kerangka fikir yang amat serasi, dan bahkan mampu mengukuhkan teras ideologi dan fahamnya. Kerana itulah migrasi kepada pemikiran digital boleh dianggap satu langkah yang hampir mesti. Ditambah pula dengan faktor luaran yang berkebetulan pula menjadikan pemikiran digital dan komputasi sebagai arus perdana dunia semasa. Ditambah pula juga dengan manifestasi teknologi dan material, dengan bantuan pengiklanan "hype" yang agresif mempromosikan teknologi digital dan perkomputeran sebagai teknologi dan wahana kemajuan alaf baru berjaya menambat hati sebahagian besar orang Melayu. Namun, Mahathirisme tetap boleh dikatakan sebagai bertangungjawab menyediakan dan mengujudkan keadaan di mana kemungkinan bagi menyuburkan pemikiran digital di kalangan orang Melayu lebih mudah. Tegasnya, dalam kerangka Mahathirisme mengujudnya "orang Turing Melayu" (yang setanding dengan orang Turing Barat) bukanlah suatu yang payah sangat. Mahathirisme seolah-olah memaksa orang Melayu membuat pilihan sama ada pemikiran Melayu tradisional masih lagi relevan dalam dunia pasca sains. Institusi seperti MIMOS dan projek TMK gergasi seperti KRM (MSC) yang kini di terajui oleh orang Melayu menandakan bahawa pemikiran pasca sains moden telah pun timbul di kalangan orang Melayu. Penubuhan Institut Sistem Mikroelektronik yang lebih dikenali dengan singkatan, MIMOS, terarah kepada mempromosikan dan menyediakan negara bagi melayari lebuhraya informasi serta menunggani arus teknologi maklumat. Kepentingan Institusi seperti MIMOS, dan kemudiannya projek TMK gergasi seperti KRM (MSC), bukan sekadar hanya terletak pada objektif sosioekonomi. Kepentingan sebenar terletak kepada siapa dan jenis Melayu yang terpilih menerajuinya. Hal ini betambah jelas apabila kita menoleh ke arah Tengku Mohd. Azzman Sharifadeen, Pengarah pertama MIMOS, yang kemudiannya terus menarujui MIMOS Bhd. sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Tengku (panggilan mesra yang lebih beliau senangi), merupakan seorang anak Melayu yang terdidik dalam bidang sains dan kejuruteraan. Beliau merupakan pakar sains jurutera yang unik kerana turut menguasai bidang yang biasanya amat asing dengan bidang kepakaran kejuruteraan elektronik, iaitu bidang falsafah ilmu, epistemologi Islam dan falsafah sains. Jelas, Tengku merupakan antara anak didik pasca Merdeka, yang dihantar ke United Kingdom melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan teknologi. Sekembali ke Malaysia, beliau bertugas pensyarah, dan kemudiannya sebagai Dekan, di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Tidak berapa lama kemudian, Profesor Ungku

90

Aziz, Naib-Canselor Universiti Malaya ketika itu, melantik beliau Fakulti Kejuruteraan. Kejayaan beliau tersebut jelas mendapat perhatian dari luar kampus Universiti Malaya. Sudah menjadi kebiasaan ketika itu, apabila Mahathir merangka pelan tindakan untuk membawa Malaysia ke arah menceburi industri berat, beliau menoleh ke arah Universiti sebagai sumber tenaga mahir, terutamanya Universiti Malaya. Antara nama-nama yang di calonkan sebagai Ketua pengasas MIMOS, nama Tengku timbul diantaranya. Terdapat dua-tiga versi tentang siapa sebenarnya yang mengajukan nama beliau kepada Mahathir, dan kenapa beliau terpilih daripada antara calon-calon lain, namun hal tersebut tidaklah begitu penting berbanding dengan hakikat bahawa pencalonan beliau dipersetujui oleh Mahathir. Pemilihan penumpuan Mahathir kepada mikroelektronik pada awalnya adalah sematamata dalam konteks kerangka program perindustrian semasa. Bahkan mikroelektronik ketika itu masih di lihat tidak lebih sebagai sebahagian daripada sektor industri perkakasan elektronik. Industri perkomputeran dan teknologi maklumat belum lagi disedari dengan meluas oleh perancang dasar S&T tempatan sebagai industri jelmaan baru yang menjadi penjana kekayaan dalam dunia pasca industri. Bahkan ketika itu Malaysia baru sahaja ingin melangkah kepada era industri berat, berbanding dengan Amerika dan Eropah yang mula bersedia melangkah kepada era pasca industri. Juga dalam awal tahun 1980an, konsep pemetaan teknologi (Technology Mapping) dan kaedah pencaman masadepan teknologi (Technology Foresight) merupakan suatu yang amat asing di Malaysia. Idea komputer peribadi, e-mel atau lebuhraya maklumat rata-rata tidak kedengaran, melainkan dikalangan beberapa elitis ilmuwan terpencil. Sebab itulah boleh dikatakan sebelum Tengku menerajui MIMOS, mikroelektronik pada awalnya hanya dilihat sebagai lanjutan manifestasi paradigma sains moden dalam kerangka budaya fikir sains moden (dianuti oleh generasi berbudaya fikir S&T yang diwakili oleh generasi Mahathir). Mahathir merupakan antara generasi anak tempatan yang terawal melalui pendidikan sains kolonial. Ketika beliau graduan dari Kolej Perubatan kolonial di Singapura, beliau seolah-olah merupakan spesis mutasi yang asing dari kalangan anak tempatan. Pandangan alam yang beliau anuti sebagai graduan doktor kolonial amat asing dengan gelombang budaya fikir utama dalam masyarakat ketika itu. Oleh itu beliau boleh dianggap sebagai lambang serta contoh par excellence bagaimana pandangan alam anak tempatan telah berjaya dirobah melalui pendidikan formal sains kolonial. Tengku pula adalah hasil polisi pendidikan pasca merdeka, dibawah polisi menghantar berduyun-duyun anak-anak Melayu ke Barat untuk mendapat pendidikan S&T pada awal tahun 1970an. Tengku kembali ke tanah air ketika pandangan alam tempatan tentang S&T agak positif dan kempen revolusi mental yang dipelupori oleh beberapa tokoh UMNO mula mendapat perhatian. Tengku kembali ketika suasana ilmiah agak mula subur khususnya gelombang intelektual alternatif dan kritikal yang mempersoalkan budaya intelektual barat semata-mata. Tuntutan kepada pandangan yang lebih luas dalam pelbagai bidang dan pandangan alternatif tentang sains dan teknologi barat di institusikan di Universiti Malaya. Hal ini kelihatan dalam kursus sejarah dan falsafah sains yang di perkenalkan di Fakulti Sains. Tengku merupakan antara mereka yang diminta memikul tugas pengisiannya.

91

Hal-hal yang disebutkan sebentar tadi mempunyai kaitan rapat dengan corak dan usaha pengintitusian pendigitalan minda Melayu. Jelas, pelbagai jenis gelombang luaran menghempas dan sentiasa memaksa perubahan dalam dunia semasa. Jolokan gelombang semasa dikenali dengan gelombang ketiga Tofler, iaitu tentang lendakan informasi (maklumat sintaktik) yang meminggirkan peranan maklumat klasik (maklumat semantik)serta mrenghakis kerangka dan struktur yang menampung maklumat semantik tradisional. Namun, sayangnya, masih lagi ramai yang tidak mampu memahami implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena tersebut. Kebanyakan antara mereka yang faham pula hanya mampu melihat perubahan itu daripada sudut sosio-ekonomi atau teknologi semata-mata, dan mereka tidak mampu melihat apatah lagi memahami dampak tersebut daripada dimensi epistemologikal yang lebih tinggi dan menyeluruh. Tengku adalah segelintir kecil cendekiawan yang memahami kesemua itu, bukan sahaja dari sudut techne semata-mata tetapi juga dari sudut episteme. Tengku memahami bahawa lendakan arus tersebut bukan sahaja akan merubah setiap sektor sosio-ekonomi tradisional secara menyeluruh, bahkan juga Weltanschauung tradisional orang Melayu. Keupayaan menanggani sebarang perubahan seperti itu hanya mungkin apabila kerangka pemikiran berupaya disediakan untuk melayari arus tersebut. Kesediaan seperti itu harus berlaku pada setiap kategori komuniti, dari puak peniaga kepada puak pentadbir dan pendidik. Bahkan mereka yang bertani dan berkebun juga harus disediakan menghadapi arus tersebut. Penyediaan kerangka fikir dan merubah paradigma masyarakat untuk menghadapi arus tersebut merupakan usaha yang besar dan harus dilakukan mengikut langkah-langkah yang tersusun. Usaha menyeluruh seperti itu jelas harus diinstitusikan.Di sinilah peranan Majlis IT Nasional (NITC). Kepentingan Majlis ini terserlah apabila Mahathir sendiri mempengerusikannya dengan Tengku pula menjadi Setiausaha tetapnya serta MIMOS sebagai Sekretariat. Majlis tersebut mempunyai beberapa objektif, antara yang terpenting ialah (i) bagi menentukan strategi penggunaan serta perkembangan IT, (ii) bagi mengalakkan penggunaan IT bagi tujuan meningkatkan prestasi oraganisasi dan individu disetiap peringkat masyarakat. Antara fungsi yang diinstitusikan bagi mencapai objektif tersebut ialah tindakan-tindakan untuk meningkatkan kesedaran sosial dan kesedaran kepentingan IT, tegasnya pembudayaan IT. Pembudayaan IT bukan sekadar bererti meluasnya penggunaan komputer di kalangan orang awam terpilih. Pembudayaan IT juga bukan semata-mata terlaksana dengan sektor -sektor awam seperti pendidikan, kesihatan, perniagaan dan media massa beroperasi berteraskan teknologi perkomputeran. Pembudayaan IT juga bererti bahawa idea pembangunan (suatu konsep moden yang kini diterima oleh orang Melayu, amnya) serta objektif kesejahteraan se kelompok dimungkinkan tercapai dalam lingkungan waktu tertentu melalui mediasi TM. Budaya fikir individu dan masyarakat semasa harus diselaraskan dengan pemikiran TM. Ini merupakan satu faham yang diinstitusikan melalui NITC. Faham ini juga disebut sebagai pembudayaan TM menurut orang Turing (dibincang dalam kuliah 7). Pada asasnya, itu semua ialah lanjutan daripada penerapan budaya fikir saintifik, yang mana Mahathir telah terlatih dan mengakui dengan bangga, sama ada

92

secara lisan atau tulisan, menghayatinya. Begitu juga Tengku yang turut terlatih dalam bidang yang sama. Sekiranya Tengku melihat pemikiran Turing dari sudut peluang bagi menghidupkan ilmu sakral dan transenden yang praktis. Bagi Mahathir pula, pemikiran Turing tidak lebih sebagai lanjutan daripada pemikiran saintifik klasik, yang membelakang pandangan skaral dan transenden. Pendirian ini menyebabkan beliau beranggapan bahawa pemikiran tradisional tidak selari dengan pemikiran IT (atau pemikiran Turing). Jelas pandangan beliau tersebut hanya lanjutan daripada anggapan klasik (falsafah sains moden abad ke-19) bahawa pemikiran tradisional sebagai antitesis pemikiran saintifik. Pembudayaan TM bererti komputer digunakan secara meluas dan maksimum oleh setiap peringkat orang awam bagi tujuan insaniah. Sektor awam menggunakan TM bagi tujuan peningkatan khidmat dan kecekapan untuk rakyat terbawah dan terbiar. Prasarana asas TM diwujudkan di setiap ceruk kawasan. Pemikiran TM diselaraskan dengan budaya fikir dan idealisme yang mengutamakan nilai-nilai insaniah yang murni. Pembangunan bererti menuju kepada pembentukan masyarakat maddani secara kelompok dan insan-al-kamil pada peringkat individu melalui mediasi TM. Ini merupakan satu lagi ragam faham yang lain. Faham ini disebut sebagai pembudayaan TM menurut "insan al-kamil." Satu faham melihat komputer dan TM sebagai satu-satu wahana intelektual dan sosial yang mampu membawa kesejahteraan di dunia ini. Motif penggerak faham ini adalah budaya niaga yang berteraskan keuntungan dan monopoli komersial. Dalam pemikiran seperti ini sesuatu yang menguntungkan dari segi perhitungan niaga akan sendirinya mendapat tempat istemewa dalam masyarakat. Oleh itu sekiranya sesuatu tahap teknologi itu tidak mendatangkan untung niaga maka ia tidak akan dipupuk. Keperluan masyarakat atau perhitungan keperluan insan di letakkan sebagai satu fungsi sekunder keuntungan. Faham ini merupakan pegangan perdana dan mendapat tempat utama di kalangan para ahli korporat dan politik semasa. Manakala faham yang kedua lebih menekankan pembudayaan TM dari sudut kepentingan insani. Oleh itu pembudayaan TM diukur mengikut untung ruginya masyarakat terbanyak. Faham kedua juga melihat arus pembudayaan TM harus diikat dengan norma dan nilai transenden yang termaktub dalam kitab-kitab yang ditanzilkan dari langit. Faham ini terpinggir dan berlegar di kalangan para akademis, intelektual dan ulama. Kejayaan pengujudan "orang Turing Melayu" seolah-olah prasyarat kejayaan proses penginstitusian pendigitalan masyarakat setempat. Hal tersebut tidak boleh dipisahkan hubungannya dengan pembudayaan S&T dikalangan orang-orang pribumi dan orang Melayu. Dalam perbincangan dahulu kita lihat bagaimana penerapan budaya fikir S&T barat, khususnya, telah melahirkan paradoks dan kontradiksi dalam sejarah perkembangan pemikiran Melayu moden. Namun kontrakdiksi seperti itu seolah-olah mampu ditanggani dengan efisien dengan pengujudan "orang Turing Melayu." Pengujudan "orang Turing Melayu" dikira tercapai melalui proses pengintitusan digitalisasi. Proses ini didukong oleh agensi seperti MIMOS dan NITC, dan juga melalui institusi TMK yang berpusat di KRM (MSC). Usaha aktif pengintitusian pendigitalan minda Melayu tersebut harus dilihat bersama peranan penting segelintir cendekiawan Melayu

93

yang terdidik dalam bidang S&T moden. Mereka tersebut menjadi penentu kepada implikasi intelektual dan kebudayaan di sebalik fenomena pembudayaan digitalisasi minda Melayu melalui TM tersebut. Sebab itulah proses pembudayaan tersebut harus dilihat daripada sudut dimensi epistemologikal yang menyeluruh, terutamanya daripada konsep episteme. Hal ini kerana proses tersebut berdasarkan konsep "orang Turing." V. Rumusan Tegasnya, pebincangan kita disini dan dalam tujuh kuliah yang lepas pada asasnya bertujuan untuk membuat penelitian dan wacana awal tentang dua perkara: (I). Bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi moden mungkin boleh merubah kepercayaan, alam fikir dan budaya fikir Melayu iaitu teras kosmologi Melayu; (II). Bagaimana sesuatu idea sains dan teknologi mungkin diserap (sama ada secara sedar atau tidak) dan menjadi teras baru kepada kerangka pemikiran Melayu. Pendekatan perbincangan di sini adalah lebih cenderung kepada sifat teoritis, konsepsual dan spekulatif berbanding dan bukan kuantitatif, empiris dan deskriptif. Disebabkan batasan yang ada, kita telah menghadkan perbincangan pada kesan sosio-intelektual yang lahir daripada salah satu dari aspek utama fenomena sains dan teknologi terkini iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), yang berteraskan epistemologi digitalisasi dan teknologi perkomputeran. Sama ada perubahan atau kesan tersebut akan menghasilkan natijah yang menguntungkan umat Melayu secara mutlak atau sebaliknya, merupakan persoalan menarik. Di sini kita telah cuba menjelaskan beberapa persoalan berkaitan yang boleh membantu untuk memahami isu-isu utama yang terlibat. Telah ditegaskan bahawa pendekatan perbincangan di sini bukan bertujuan untuk mengambil sikap menghukum atau memihak kepada mana-mana kelompok atau gelombang pemikiran. Perbincangan kita juga tidak bertujuan untuk memihak atau mengkritik mana-mana ideologi atau program politik semasa. Perbincangan ini hanya bercadang - sekurang-kurangnya pada kesempatan ini untuk mengketengahkan satu isu atau agenda intelektual yang perlu diteliti dengan cermat dan dikaji dengan lebih lanjut lagi. Sebarang kesimpulan yang dibuat adalah bertujuan akademik dan semata-mata untuk tujuan perbincangan ilmiah. Sekiranya sebarang kesimpulan yang terhasil mempunyai implikasi yang lebih dari itu maka itu adalah soal lain yang harus diteliti dalam forum yang berlainan. Sepanjang perbincangan, kita sedar bahawa meninjau sesuatu yang telah berlaku dalam rangka waktu yang berlalu begitu lama, membawa banyak risiko historiografi. Risiko tersebut semakin bertambah apabila melibatkan penelitian interaksi dua atau lebih alam fikir serta ditambah pula dari dua kawasan geografi yang berbeza. Resiko anakronisme, kesahihan data dan interpretasi wujud dalam apa jua bentuk historiografi. Resiko tersebut bertambah ketara apabila meninjau sejarah intelektual atau perkembangan budaya fikir sesuatu tamadun. Oleh itu, dalam siri kuliah ini, kita tidak lupa bahawa rumusan dan perbincangan kita sebenarnya dilakukan dengan mengharungi risiko tersebut.

94

Anda mungkin juga menyukai