Anda di halaman 1dari 6

amansmile_psychology

1.0 PENGENALAN
Kerja sosial merupakan satu bidang yang mempunyai keistimewaannya tersendiri dari
segi tugas dan tanggungjawab mereka terhadap pelbagai pihak yang memerlukan. Kerja
sosial boleh di definisikan sebagai satu seni (art), sains, dan sebagai satu
profesion yang menolong manusia untuk menyelesaikan masalah mereka sama ada secara
personal, kumpulan (terutamanya keluarga) dan juga masalah-masalah komuniti
(Farley & Etc. all, 2006). Ianya bukan sesuatu yang baru dan tidak mungkin pupus
oleh kerana profesion ini berteraskan prinsip dan falsafah kemanusiaan sejagat
yang diperkukuhkan dengan ikatan ilmu hasil daripada penyelidikan dan pemerhatian
yang saintifik dan empirikal dan seterusnya wujud dalam kerangka amalan kerja yang
mantap.
Umumnya, kerja sosial adalah satu profesion yang ingin membawa perubahan sosial
kepada masyarakat secara umum pada peringkat pembentukan perkembangan individu.
Dengan menggunakan pelbagai teori perlakuan manusia dan sistem sosial, kerja
sosial terlibat pada pelbagai tahap interaksi manusia dengan persekitaran
kehidupan. Permulaan praktis kerja sosial berfokus untuk mencapai keperluan
manusia dan mengembangkan potensi dan sumber-sumbernya. Kerja sosial menjalankan
praktis dalam 5 konteks, iaitu politik, geografi, sosioekonomi, budaya dan
spiritual. Kelima-lima konteks ini mampu memberikan matlamat yang terarah dalam
praktis kerja sosial. Prinsip asas kerja sosial adalah prinsip kemanusiaan dan
keadilan sejagat (definisi yang diterima pakai IFSW General Meeting in Montreal
Canada, July 2000).
Profesion kerja sosial mempunyai falsafah yang tersendiri yang merangkumi pelbagai
pengertian ilmu. Ia juga berlandaskan etika kerja sosial yang menjadi garis
panduan dalam melaksanakan profesion ini. Di samping itu, bidang ini
menitikberatkan hak asasi yang dimiliki oleh setiap individu yang patut dijaga dan
dipertahankan tanpa mengira status, usia, darjat, pangkat dan warna kulit. Prinsip
etika kerja sosial juga adalah sesuatu yang begitu penting yang perlu diamalkan
oleh pekerja sosial dalam menjamin kejayaan terhadap praktis serta profesion
kerja sosial itu sendiri.

2.0 FALSAFAH, ETIKA DAN HAK ASASI MANUSIA DI DALAM KERJA SOSIAL

2.1 FALSAFAH KERJA SOSIAL


Berdasarkan Kamus Dewan, falsafah merupakan pengetahuan tentang pengertian yang
dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Falsafah
merangkumi gugusan kepercayaan, sikap, nilai, prinsip etika dan praktis yang
dipegang oleh profesion tersebut. Persoalan falsafah ataupun masalah falsafah
ialah topik yang dibincangkan dalam bidang falsafah. Ia boleh diibaratkan sebagai
isi dalam falsafah. Persoalan falsafah sentiasa disifatkan sebagai soalan yang
sangat rumit, dan ia memerlukan pemikiran yang bersungguh-sungguh. Sesuatu soalan
itu akan menjadi persoalan falsafah apabila soalan itu tidak dapat diselesaikan
melalui kaedah saintifik. Biasanya, persoalan falsafah akan melibatkan persoalan
tentang konsep, ideologi serta perkara-perkara yang abstrak. Contoh-contoh
persoalan falsafah adalah seperti, "Apakah kebenaran?”, “Apakah Pemikiran?",
"Apakah ilmu pengetahuan?", "Apakah Kehidupan?" dan sebagainya.
Bidang falsafah memberikan nilai yang tinggi kepada persoalan yang baik, iaitu
soalan yang mempunyai nilai falsafah. Ini adalah kerana soalan yang baik
menjanjikan penghuraian yang baik. Sebagai contoh, persoalan epistemologi yang
ditanyakan pada zaman dahulu seperti "apakah kebenaran?”, “apakah ilmu
pengetahuan?" sebenarnya telah memajukan sains dan teknologi manusia pada hari
ini. Bidang falsafah boleh dikategorikan kepada 5 cabang yang berlainan
berdasarkan persoalan-persoalan tertentu iaitu:
a) Metafizik – Bidang falsafah yang memikirkan tentang sesuatu kewujudan di
dunia ini meliputi aspek semula jadi, manusia dan ketuhanan.
b) Epistemologi - Bidang falsafah yang memikirkan tentang ilmu pengetahuan.
c) Etika – Bidang falsafah yang memikirkan tentang persoalan moral pada manusia
seperti tindakan yang dilakukan, perbezaan tindakan moral dan tidak bermoral,
serta tindakan yang betul dan salah.
d) Logik – Bidang falsafah yang mengkaji penaakulan manusia.
e) Estetika – Bidang falsafah yang memikirkan tentang keindahan.
Falsafah kerja sosial amat berkait rapat dengan pegangan nilai. Terdapat 8 nilai
falsafah yang menjadi prinsip utama. Pegangan nilai pertama ialah menghormati
individu. Pekerja sosial seharusnya menghormati klien dari segi pandangan dan
perasaan klien tanpa mengira sebarang aspek dengan menunjukkan bagaimana kita
menerimanya. Tanpa prinsip ini, klien mungkin berasa dirinya tidak diterima, tidak
bernilai dan membuatkan dia sukar untuk mencapai kefungsian sosial mereka. Setiap
klien ada hak dan keperluan, pekerja sosial tidak seharusnya melabelkan klien
mahupun memandang prejudis kerana rasa hormat ini mampu memberi implikasi terhadap
khidmat kerja sosial yang diberikan.
Pegangan nilai kedua ialah mempercayai setiap individu mempunyai keunikannya
tersendiri. Dalam hal ini, pekerja sosial perlu membantu klien mengenali dan
menerima kebolehan yang ada pada diri klien itu sendiri agar keunikan klien dapat
dijadikan sebagai panduan untuk memberikannya sumber-sumber yang bersesuaian.
Pekerja sosial perlu mengetahui bahawa setiap orang adalah unik dan mempunyai
keupayaan yang berbeza. Hal ini memerlukan klien mengetahui kualiti yang unik
tentang klien yang boleh dimanfaatkan dalam proses intervensi.
Pegangan nilai ketiga ialah individu mempunyai keupayaan. Setiap klien mampu untuk
berubah ke arah positif. Pekerja sosial seharusnya mengetahui potensi-potensi yang
dimiliki oleh klien, ia boleh digunakan untuk perkembangan dan perubahan diri
klien itu sendiri. Semua individu cuba untuk memajukan diri dan melakukan dalam
dunianya hasil dari penglihatannya sebagai kelakuan yang mulia. (Capuzzi & Gross,
2003).
Pegangan nilai keempat merupakan aspek berkaitan perubahan adalah ditentukan oleh
diri individu. Pekerja sosial perlu menanamkan kepercayaan bahawa klien mempunyai
keupayaan untuk berkembang dan berubah dan membuat penyelesaian terhadap
permasalahan yang dihadapi. Klien ada hak untuk menentukan perubahan, oleh itu,
ruang kepada klien untuk berubah perlu diberikan.
Pegangan nilai kelima berkaitan prinsip hak kemanusiaan. Setiap individu mempunyai
hak dan maruah tanpa mengira darjat, status mahupun warna kulit. Hak kemanusiaan
ini adalah berasaskan kepada tuntutan manusia untuk berkembang dan hidup
seterusnya menggunakan kualiti yang ada pada diri mereka.
Pegangan nilai keenam menekankan kepada keadilan sosial. Keadilan sosial perlu
dilakukan dan diterima oleh masyarakat. Sekiranya berlaku ketidakadilan, pekerja
sosial perlu memperjuangkan keadilan tersebut melalui sumber-sumber dari pelbagai
pihak.
2.2 ETIKA KERJA SOSIAL
Etika merupakan satu disiplin ilmu dan sains yang membicarakan apakah baik dan
buruk, salah dan benar serta apa yang dikehendaki dengan tanggungjawab dan
kewajipan. Bidang etika berperanan membahaskan secara sistematik, seterusnya
menyarankan dan dalam keadaan tertentu mempertahankan konsep-konsep yang dibina
tentang perlakuan baik dan buruk. Etika merujuk kepada apa yang dilihat oleh
manusia sama ada betul mahupun salah. Ia boleh ditakrifkan sebagai suatu tatacara
atau garis panduan yang telah ditetapkan pada sesuatu unit. Etika begitu
diutamakan dalam sesebuah profesion seperti kerja sosial, kaunseling, guru,
doktor, peguam, polis dan sebagainya. Melalui prinsip etika yang ditekankan, tugas
dan tanggungjawab akan lebih mudah dipikul dan dilaksanakan. Etika amat berkait
rapat dengan falsafah kerja sosial dan nilai. Etika juga merujuk kepada apa yang
dilihat sebagai satu tindakan yang betul atau salah. Etika boleh diketengahkan
sebagai garis panduan yang perlu diikuti bagi setiap individu dalam melakukan
sesuatu tugasan.
Di dalam profesion kerja sosial, etika sentiasa dititikberatkan. Ia penting agar
tidak berlaku sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa atau kepentingan
yang dimiliki pekerja sosial serta membantu dalam menjamin keberkesanan tugas yang
dilaksanakan dalam sebarang situasi yang dihadapi sama ada mudah mahupun sukar.
Sebagai contoh, dalam menghadapi sesuatu kes, pekerja sosial tidak akan menentukan
apa masalah dan isu yang mereka ingin tumpukan, mereka tetap menghadapi situasi
tersebut walaupun rumit tetapi cuba untuk menyelesaikannya melalui etika yang
terdapat dalam kerja sosial. Pekerja sosial perlu bersedia untuk melaksanakan
proses menolong mikro, mezzo dan makro. Sekiranya pekerja sosial sudah memegang
sesuatu kes, pekerja sosial perlu melaksanakannya dengan bersungguh dan mereka
perlu bertanggungjawab terhadap etika kerja sosial yang dipegang.
Terdapat tiga cabang asas dalam perbincangan etika iaitu etika mataetika, etika
normatif dan etika gunaan. Mataetika merujuk kepada dari mana datangnya sumber-
sumber dan prinsip etika sebagai rujukan sama ada benar atau salah. Etika normatif
pula bersifat normal seperti yang diamalkan dalam norma-norma masyarakat. Sesuatu
tindakan itu sama ada diterima atau tidak oleh masyarakat. Manakala etika gunaan
merujuk kepada sesuatu keadaan atau perbuatan tertentu yang dilakukan pada waktu
dan tempat tertentu, namun etika gunaan sering menimbulkan kontroversi atau
konflik dalam membuat sesuatu keputusan.
Pelbagai tujuan etika yang terdapat dalam profesion kerja sosial, antaranya
pegangan etika memberi perlindungan kepada pekerja sosial sebagai pemberi
perkhidmatan dan klien sebagai penerima perkhidmatan. Etika juga memastikan
pekerja sosial mengutamakan tanggung jawab moral sekali gus melindungi klien
daripada ketidakfungsian. Etika dalam kerja sosial merangkumi etika terhadap
profesion, diri sendiri, rakan setugas, organisasi serta klien yang meliputi
individu, kumpulan dan komuniti.

2.3 HAK ASASI MANUSIA


Hak asasi merupakan hak-hak yang semula jadi yang ada pada diri setiap individu
tanpa mengira sebarang perbezaan. Hak asasi manusia ini wujud berasaskan tuntutan
manusia dalam kehidupan mereka untuk membantu manusia berkembang dan terus hidup.
Berdasarkan kamus dewan, hak asasi merupakan hak yang dasar seperti hak kebebasan
dalam menyuarakan pendapat, bergerak, hidup dan sebagainya. penghormatan kepada
hak dan maruah manusia merupakan asas kebebasan, adanya kebebasan maka adanya hak
asasi manusia. Apabila hak asasi seseorang individu itu dimiliki, ianya boleh
mendatangkan kepuasan dan ketenangan dalam dirinya. Sekiranya ianya tidak
dipenuhi, ianya boleh mendatangkan kemurungan, kebuntuan dan perasaan meronta-
ronta dalam dirinya. Walau bagaimanapun, hak asasi ini mempunyai batas tersendiri
yang perlu dipatuhi.
Hak asasi manusia dan kebebasan merupakan asas yang membenarkan setiap
individu untuk berkembang dan membangun serta menggunakan kualiti diri sebagai
manusia. Penafian tentang hak asasi manusia bukan sahaja sebagai satu tragedi
kepada manusia, malah mendatangkan ketidakselesaan terhadap politik, ekonomi dan
sosial. Sebagai contoh, keganasan mahupun konflik dalam masyarakat yang meliputi
rusuhan, mogok dan sebagainya. hak asasi manusia bersifat universal dan dimiliki
oleh semua orang tanpa diskriminasi. Hak asasi manusia boleh difahamkan dari dua
segi, iaitu dari segi perundangan dan juga dari segi moral. Mengikut perundangan,
hak asasi manusia merupakan satu bentuk hak yang dinikmati oleh seorang
warganegara seperti apa yang telah termaktub dalam undang-undang negara berkenaan.
Contohnya, dalam perlembagaan Malaysia terdapat penerangan mengenai hak asasi
manusia yang terlindung di bawah perlembagaan. Pencabulan hak kemanusiaan yang
berkenaan, mungkin akan membawa kepada tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Pentakrifan hak asasi manusia dari segi undang-undang adalah berbeza mengikut
negara masing-masing. Dari satu segi moral, Hak Kemanusiaan merupakan satu
tanggapan moral yang didukung oleh anggota masyarakat. Sehubungan dengan perkara
ini, anggota masyarakat akan mengakui wujudnya hak tertentu yang harus dinikmati
oleh setiap individu. Maka anggota-anggota masyarakat berkenaan akan cuba
mengelakkan diri daripada mencabuli hak masing-masing dengan penuh perasaan moral.
Pelbagai dokumen yang telah menggariskan hak asasi manusia di peringkat
antarabangsa, antaranya Hak Asasi Manusia Sejagat PBB 1948, Konvensyen
Antarabangsa Hak Politik dan Sivil (ICCPR) 1966, Konvensyen Antarabangsa Hak-hak
Ekonomi, Sosial Dan Budaya (ICESCR) 1966 dan sebagainya. Kesemua dokumen tersebut
melindungi hak manusia daripada dicerobohi. Sebagai contoh di dalam Hak Asasi
Manusia Sejagat, Perkara 12 menerangkan, Tiada sesiapa pun yang boleh dikenakan
kepada sebarang gangguan sewenang-wenangnya terhadap keadaan peribadi, keluarga,
rumah tangga atau surat-menyuratnya, atau percerobohan ke atas maruah dan nama
baiknya. Setiap orang berhak kepada perlindungan undang-undang terhadap gangguan
atau percerobohan sedemikian.
James W. Nickel telah mengemukakan beberapa unsur hak, iaitu pemilik hak, ruang
lingkup penerapan hak dan pihak yang bersedia dalam penerapan hak. Ketiga-tiga
unsur tersebut kemudiannya disatukan dalam satu dasar hak yang kemudiannya
menjelaskan hak sebagai satu unsur normatif yang ada pada diri manusia yang dalam
penerapannya berada dalam ruang lingkup hak persamaan dan hak kebebasan. Terdapat
juga teori yang dikemukakan berkaitan hak asasi manusia iaitu teori Mc Closkey
yang menerangkan bahawa pemberian hak adalah untuk dilakukan, dimiliki dan
dinikmati atau sudah dilakukan.
Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab pekerja sosial melaksanakan
perkhidmatan mereka dengan memperjuangkan hak asasi manusia. Sebagai mana yang
telah dinyatakan, dengan adanya hak asasi ini akan mampu untuk membangunkan
kefungsiaan dan kecekapan individu, kumpulan dan komuniti dari pelbagai aspek.

3.0 PRINSIP ETIKA KERJA SOSIAL

Prinsip etika dalam kerja sosial merupakan suatu prinsip yang amat mementingkan
nilai untuk memandu pekerja sosial bertindak dalam proses menolong klien. Etika
adalah nilai dalam tindakan kita (Levy, 1979). Terdapat dua nilai yang sering
dilakukan oleh manusia iaitu nilai normatif (peraturan) dan nilai non-normatif
(bukan bersifat peraturan). Nilai mungkin berlaku dalam hubungan dan juga tidak
berlaku dalam hubungan, tetapi etika berlaku dalam hubungan. Sekiranya sesuatu
hubungan itu ada nilainya, ia memerlukan tugas sesuatu pihak untuk bertindak
secara beretika terhadap individu lain yang boleh dikatakan sebagai tanggungjawab
etika di dalam peranan sosial termasuklah hubungan pekerja sosial dengan klien.
Pekerja sosial memindahkan nilai ke dalam tindakan konkrit dalam situasi
tertentu yang disebut sebagai prinsip etika kerja sosial. Terdapat 6 prinsip etika
di dalam kerja sosial yang di kemukakan oleh National Association of Social Work
(NASW) . Prinsip Etika NASW pertama ialah perkhidmatan (service). Pemberian
perkhidmatan oleh pekerja sosial bermatlamatkan untuk menolong manusia dengan
telus. Pekerja sosial perlu sentiasa bersedia dalam memberikan perkhidmatan selagi
mana diperlukan. Dalam prinsip ini juga, pekerja sosial mesti menggunakan segala
pengetahuan, nilai dan kemahiran yang ada untuk membantu masyarakat menyelesaikan
permasalahan dan kekurangan yang dihadapi. Selain itu, pekerja sosial perlu
menghubungkan klien dengan sumber-sumber yang dapat membantu mereka. Perkhidmatan
yang diberikan juga tidak seharusnya mengharapkan balasan atau menyimpan motif
tertentu kerana ia boleh mempengaruhi dari segi tanggungjawab yang dilaksanakan.
Prinsip etika kedua ialah keadilan sosial (social justice). antara aspek
yang perlu diambil kira ialah keadilan dari segi perundangan, ekonomi dan sosial.
Keadilan sosial ini mungkin boleh menjadi suatu cabaran yang besar kepada pekerja
sosial kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi yang bertentangan
dengan ketidakadilan dalam pelbagai situasi. Pekerja sosial seharusnya berusaha
menegakkan keadilan dan bersikap adil. Sekiranya individu, kumpulan mahupun
komuniti menghadapi penindasan atau penganiayaan, pekerja sosial perlu bangun
untuk membantu yang memerlukan dengan memberikan perlindungan dan menghubungkan
klien dengan sumber-sumber yang dapat membantu. Pekerja sosial juga perlu
memfokuskan isu yang menjadi ancaman keadilan sosial ini seperti isu gender, ras,
budaya, agama, diskriminasi, kemiskinan dan sebagainya. oleh itu, pekerja sosial
seharusnya sentiasa bersedia dengan ilmu pengetahuan yang banyak tentang pelbagai
isu di dalam keadilan sosial. Pekerja sosial perlu mengetengahkan isu klien dalam
menyuarakan ketidakadilan sosial yang berlaku kerana ia termaktub di dalam hak
asasi manusia yang dimiliki oleh setiap orang.
Prinsip etika ketiga ialah menghormati maruah dan harga diri individu
(dignity and worth of the person). Pekerja sosial perlu menerima klien seadanya,
menerima dan merawat klien dengan penuh kemanusiaan dan pertimbangan serta
memperjuangkan maruah dan harga diri klien. Sikap prejudis dan menghakimi klien
harus dielakkan. Semua manusia mempunyai maruah dan harga diri, pandangan dan
keputusan yang dibuat adalah hak mereka dan ia perlu dihormati. Pekerja sosial
perlu menganggap proses menolong klien sebagai misi utama yang perlu
dititikberatkan dan bernilai. Permasalahan dan hak mereka perlu diselesaikan tanpa
mengira siapa pun diri klien kerana setiap klien mempunyai maruah dan hak tanpa
mengira pangkat, usia, etnik, warna kulit mahupun gender.
Prinsip etika yang keempat ialah kepentingan perhubungan kemanusiaan
(importance of human relationships). Perhubungan kemanusiaan meliputi perhubungan
antara manusia di dalam pelbagai peringkat seperti peringkat individu, kelompok
dan komuniti. Perhubungan ini perlu difahami oleh pekerja sosial dalam proses
menolong klien. Di samping itu, perhubungan pekerja sosial dengan klien seharusnya
berlaku dengan baik agar klien dapat merasakan pekerja sosial dapat dipercayai dan
mampu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Apabila klien merasakan pekerja
sosial dipercayai, klien akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya dan meluahkan
konflik yang dihadapi dengan baik seterusnya kepada penyelesaian permasalahan yang
dihadapi. Perhubungan kemanusiaan yang harmonis membantu kejayaan perkhidmatan di
dalam kerja sosial.
Prinsip etika yang kelima dalam kerja sosial ialah kejujuran dan integriti
(integrity). Prinsip ini menekankan kepada sikap jujur dan amanah pekerja sosial
dalam melaksanakan proses menolong. Pekerja sosial secara terus-menerus perlu
menyedari tentang misi profesion, nilai, prinsip etika, piawaian etika dan praktis
profesion dalam cara yang bersesuaian dengan mereka. Pekerja sosial jua perlu
sentiasa bertindak jujur dan mengamalkan etika sebagaimana yang telah digariskan.
Klien perlu diberikan maklumat yang betul sebagaimana yang sepatutnya tanpa
melakukan sebarang penyelewengan agar klien dapat membangun dan mengalami
perubahan yang positif berdasarkan suber-sumber yang diberikan.
Prinsip etika yang keenam dan terakhir dalam kerja sosial ialah kecekapan
(competence). Kecekapan yang dimaksudkan adalah kecekapan dalam melaksanakan
tanggungjawab yang dipegang. Pekerja sosial perlu berusaha meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran di dalam profesion dari semasa ke semasa dan seterusnya
mengaplikasikannya ke dalam praktis untuk menampakkan kecekapan pekerja sosial itu
sendiri. Sekiranya pekerja sosial mempunyai kecekapan dalam melaksanakan praktis,
klien akan dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dan berupaya untuk
berkembang ke arah positif dengan bantuan pekerja sosial tersebut. Selain itu,
kecekapan yang dituntut dapat membantu pekerja sosial bertindak lebih bijak untuk
melakukan apa yang perlu dan menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang
melanggarkan perundangan profesion.
Secara keseluruhannya, prinsip etika kerja sosial sebagaimana yang
digariskan oleh NASW sememangnya begitu penting untuk diikuti sebagai panduan
dalam menjalankan praktis, meningkatkan pengetahuan, meningkatkan profesion serta
membantu klien. Sekiranya kesemua prinsip etika ini diamalkan dan difahami, sudah
tentu profesion kerja sosial terus maju ke hadapan dan membantu masyarakat.

4.0 PENUTUP

Kesimpulannya, pelbagai aspek yang telah dibincangkan di atas meliputi falsafah,


etika dan hak asasi manusia dalam kerja sosial yang dapat memberi kefahaman asas
tentang profesion ini. Selain itu juga, prinsip etika yang dikemukakan sememangnya
berupaya membangunkan pekerja sosial, profesion dan klien. Kerja sosial adalah
suatu bidang profesional dalam membantu pelbagai klien di peringkat mikro, mezzo
dan makro. Namun begitu, terdapat juga yang tidak menyedari akan peranan yang
telah dimainkan oleh pekerja sosial.
Tanggungjawab yang dipikul bukanlah semudah yang disangka. Ia memerlukan satu
pengorbanan yang besar dari segi mental, emosi dan fizikal. Setiap penyelesaian
sesuatu masalah akan menggunakan perancangan yang sistematik, berkesan dan
mementingkan “win-win situation” di samping penggunaan teori untuk menyelesaikan
permasalahan-permasalahan di dalam praktis dalam situasi yang berbeza. Oleh itu,
masyarakat perlu menghargai profesion kerja sosial sebagai suatu profesion yang
mulia dan sentiasa menjaga kepentingan individu, kumpulan dan komuniti.
RUJUKAN

Clark, C. L., & Asquith, S. Social work and social philosophy: A guide for
practice. Routledge & Kegan Paul: London.
Robinson, W., & Reeser, L.C. (2000). Ethical decision making in social work:
London.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Falsafah
http://ms.wikipedia.org/wiki/Hak_asasi_manusia
http://www.dbp.gov.my
http://www.ifsw.org
http://www.socialworkers.org