Anda di halaman 1dari 6

Nama : Lilian Wong Siew King Kelas : BC 1 Tajuk : Gangsterisme

Pada era medenisasi dan globalisasi ini, semakin banyak masalah mula muncul dalam kalangan para remaja. Gangsterisme yang telah menjadi semakin serius sudah merupakan salah satu fenomena yang dianggap menular dalam kalangan remaja dewasa ini. Ia dilihat bukan sahaja berkemampuan menghalang pencapaian pelajar remaja malahan boleh mengganggu dan menggugat perkembangan remaja dalam arus pembangunan negara. Ia perlu ditangani kerana gangsterisme boleh mempengaruhi pembabitan pelajar di dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, ponteng kelas, keciciran sekolah, kekerasan, ketagihan alkohol dan rogol.

Gangsterisme terdiri daripada ahli-ahli yang digelar sebagai samseng atau gangster. Gangster boleh didefinisikan sebagai seorang penjenayah yang bergerak dalam suatu kumpulan, kelompok atau geng. Mereka biasanya terbabit dalam pelbagai jenis jenayah terancang dari jenayah ringan ke jenayah bersenjata yang melibatkan jutaan ringgit. Manakala gangsterisme boleh didefinisikan sebagai individu yang terbabit dalam aktiviti jenayah atau sosial yang membawa kepada penyelewengan tingkah laku atau kerosakan akhlak. Gejala gangsterisme di seluruh negara amat membimbangkan. Mereka berani mencabar undangundang dan tidak takut untuk melakukan jenayah termasuk menggunakan senjata merbahaya.

Mengapakah akan berlakunya fenomena sebegini? Punca yang utama ialah masalah institusi kekeluargaan. Arus pemodenan yang pesat di dalam negara penting untuk pembangunan dan peningkatan taraf hidup tetapi sifat sesetengah ibu bapa yang lebih berkecenderungan untuk mengumpul kekayaan dan bekerja di luar rumah menyebabkan remaja ini terabai atau tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Ada ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan melainkan bekerja untuk menampung kos sara hidup dan mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan. Penderitaan ini tidak difahami oleh golongan remaja walaupun mereka sedar namun sukar untuk mendapat bimbingan memandangkan kehidupan keluarga yang mendesak perlu diatasi dengan pengorbanan masa bekerja.

Ada remaja yang tidak takut untuk bergiat aktif di dalam aktiviti gangsterisme kerana sikap ibu bapa sendiri yang mengabaikan tanggunggjawab mereka ke atas anak-anak mereka. Keadaan sosial ini boleh mempengaruhi pendidikan anak-anak dari keluarga ini. Masalah lebih rumit di kalangan keluarga yang mempunyai bapa atau ibu tunggal. Pendapatan dari pekerjaan sering tidak mencukupi dan mengharapkan ahli keluarga lain menampung perbelanjaan kehidupan. Ini berbeza dengan bapa tunggal yang lazimnya dilabel sebagai sukar memberi kasih sayang apatah lagi jika mengabaikan tanggungjawab dan peranan sebagai ketua keluarga. Lantaran itu, remaja ini mencari pilihan lain sebagai tempat untuk mendapatkan perhatian, misalnya di kalangan rakan-rakan.

Punca yang seterusnya ialah pengaruh rakan sebaya. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat ke atas kehidupan seseorang kerana kesilapan bergaul dengan rakanrakan yang salah boleh menyebabkan seseorang remaja terkeluar dari kehidupan yang betul malahan pengaruh kuat rakan-rakan ini akan menyebabkan sebilangannya diambil menjadi anggota kumpulan geng ini. Aktiviti mereka bersifat memberontak seperti mengganggu pengajaran guru-guru, ponteng sekolah, merosakkan harta benda sekolah, ketagihan rokok, dadah dan alkohol. Berpegang kepada ideologi kumpulan menyebabkan masing-masing menunjukkan kesetiaan kepada ahli kumpulan dan sering bersama membantu mengatasi sebarang masalah baik yang melibatkan pergaduhan, kewangan atau mempertahankan kesalahan ahli kumpulan sekiranya kegiatan mereka berjaya dikesan.

Selain itu, kekuatan diri sendiri yang lemah juga merupakan punca bagi remaja yang membabitkan diri dalam gangsterisme. Sikap remaja sendiri penting untuk mengelakkan diri mereka daripada terbabit di dalam gangsterisme. Mereka yang terlibat di dalam aktiviti ini adalah remaja yang masih tidak mempunyai haluan dan terkapai-kapai mencari jalan kehidupan mereka. Desakan keluarga dan kesempitan hidup boleh mendorong mereka tidak memberi perhatian sepenuhnya ke atas pendidikan mereka dan menganggap keciciran dan ponteng sekolah merupakan amalan yang biasa. Mereka hilang tumpuan kerana sikap inferioriti di kalangan mereka sendiri berbanding dengan pelajar yang rajin dan tekun berusaha. Ketiadaan contoh teladan yang sesuai juga dianggap faktor pendorong pembabitan mereka di dalam gangsterisme.

Di samping itu, kesan persekitaran turut mendorong para remaja terbabit dalam gangsterisme. Tempat tinggal yang tidak selesa dengan ahli keluarga yang ramai di rumah yang kecil dan sempit serta pendapatan harian atau bulanan yang kecil boleh menyebabkan remaja ini lebih seronok meluangkan masa di luar rumah. Ini jelas di kawasan perumahan setinggan, rumah pangsa dan flat kos rendah. Ada pula dilabel sebagai ahli sesebuah geng kerana kawasan tempat tinggal mereka yang dianggap aktif dengan jenayah kumpulan gengsterisme. Ada pula yang sengaja menggunakan gelaran kawasan mereka untuk menimbulkan rasa takut di kalangan remaja di sekolah mereka. Ada ketua geng yang memberi kekuatan kepada remaja di kawasan tersebut untuk bergaduh kerana memastikan sokongan mereka serta menterjemahkan kuasa ke dalam bentuk tindakan gangsterisme.

Media massa yang telah memainkan peranan penting dalam kehidupan para remaja di era teknologi yang semakin canggih ini, juga merupakan punca berlakunya gangsterisme dalam kalangan para remaja. Perkembangan hari ini menunjukkan bahawa media massa memainkan peranan yang sangat penting di dalam mempengaruhi pergerakan remaja. Aksi, pertuturan dan tingkah lakuyang ditayangkan di media elektronik dan media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi contoh teladan bagi golongan remaja. Pembentukan personaliti melalui media massa dianggap sukar dibendung kerana walaupun diakui media merupakan alat yang boleh mendidik pendengar dan penontonnya, pada waktu yang sama ia boleh membawa penontonnya ke jalan yang salah terutama di kalangan remaja yang cepat terpengaruh seolah-olah apa yang dilihat itu merupakan satu realiti dalam kehidupan.

Untuk membendung masalah ini daripada berleluasa, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk membantu sekurang-kurangnya mengurangkan masalah gangtserisme kalaupun tidak dapat menghapuskannya sama sekali. Antaranya seperti peranan ibu bapa, peranan sekolah. peranan masyarakat, peranan kerajaan, dan peranan media.

Langkah yang paling utama sekali yang harus diambil ialah ibu bapa memainkan peranan yang sepatutnya. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting di dalam konteks pembangunan sahsiah dan proses sosialisasi anak mereka. Walaupun masing-masing sibuk dengan pekerjaan dan kerjaya mereka serta mengejar kekayaan, kepentingan anak juga mesti diberi tumpuan. Ibu bapa mesti belajar mengetahui aktiviti yang dianggotai oleh anak mereka

dan pada waktu yang sama, mengenali individu yang menjadi rakan kepada anak remaja mereka. Usaha ini akan membolehkan tempat kunjungan mereka dikenal pasti serta apakah bentuk aktiviti atau kegiatan yang disertai oleh anak mereka. Ibu bapa yang mengambil inisiatif ini wajar mengadakan perbincangan dengan anak-anak mereka bukan setakat mengetahui kecenderungan mereka tetapi juga berbincang mengenai perkembangan remaja semasa supaya anak-anak mempunyai ruang untuk meluangkan pandangan dan pada waktu yang sama memahami pandangan orang tua mereka.

Keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih besar iaitu menjalin hubungan dengan pihak sekolah termasuk mengambil berat mengenai perkembangan anak mereka di sekolah melalui komunikasi dengan guru besar, guru kelas, guru disiplin dan warden asrama. Di samping itu, sebagai satu tindak balas resiprokal, sumbangan ibu bapa boleh disalurkan melalui penglibatan di dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) dan terbabit secara aktif di dalam aktivit di antara pelajar sekolah dan ibu bapa. Dengan ini, ibu bapa telah dengan secara langsung menjadi idola kepada anakanak mereka, terbabit secara langsung di dalam aktiviti bukan sahaja di rumah tetapi juga di sekolah.

Seterusnya ialah peranan sekolah. Sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengatasi kemelut gangsterisme dengan melentur masalah yang timbul dari peringkat awal lagi supaya dapat menyekat dari mempengaruhi pelajar yang lain. Sekolah boleh mengadakan hubungan langsung dengan ibu bapa terutama pelajar yang dikesan bermasalah atau disyaki terlibat dengan kumpulan gangsterisme. Sekolah boleh menganjurkan kem atau program tertentu yang berterusan untuk memerhati atau memantau kegiatan pelajar berisiko ini. Kokurikulum di sekolah juga mampu memainkan peranan besar di dalam mengadun sahsiah seseorang pelajar. Aktiviti persatuan, kelab dan organisasi beruniform perlu sentiasa diperbaharui supaya ia memenuhi citarasa pelajar yang mahu aktif dan mencuba sesuatu yang baru dan pada waktu yang sama mempertahankan pencapaian akademiknya.

Di samping itu, masyarakat juga memainkan peranan yang amat penting. Gangsterisme mesti dilihat sebagai masalah berterusan yang melibatkan bukan hanya pemerhatian dari pihak sekolah semata-mata. Masyarakat juga boleh memainkan peranan mereka jika isu ini mahu

diatasi sepenuhnya. Badan-badan luar terutama badan sosial atau organisasi beruniform boleh melibatkan diri mereka dengan sepenuhnya sebagai agen luar yang bertanggungjawab. Mereka boleh menjadi pengantara di antara sekolah dan pelajar.

Tidak kurang juga peranan yang kerajaan boleh mainkan dalam menbanteras masalah gangsterisme ini. Tindakan keras perlu diambil oleh pihak kerajaan supaya aktivitinya dapat dibendung. Langkah yang radikal boleh diambil oleh kerajaan dengan secara perlahan-lahan mengurangkan penyiaran filem berunsur ganas dan jenayah. Undang-undang yang ketat menerusi tindakan kerajaan akan mampu menyedarkan pelajar bahaya pembabitan di dalam aktiviti gangsterisme. Kesepaduan kementerian-kementerian termasuklah Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh mengubah persepsi ke atas pelajar yang sering dilayan secara negatif kebelakangan ini akibat tindakan atau kelakuan segelintir pelajar berisiko. Pihak media juga harus memainkan peranan yang sepatutnya dalam membendung masalah gangsterisme. Masalah gangsterisme juga boleh diatasi jika media memainkan peranan yang lebih proaktif. Walaupun untuk menghentikan siaran yang ganas dan bersifat jenayah kurang adil untuk industri media massa, media boleh mengurangkan siaran sebegini atau sekurang-kurangnya keprihatinan media ditunjukkan melalui penayangan program yang bersifat pembentukan kepribadian remaja yang unggul. Pembabitan pelajar yang berjaya mesti ditonjolkan supaya mereka menjadi idola kepada pelajar yang lain. Rancangan-rancangan sebegini yang harus diutamakan agar remaja menonton contoh teladan yang baik dan yang boleh menjadi ikutan mereka. Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara.. Mereka adalah aset kekayaan semula jadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu, ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar. Kerajaan juga perlu melancarkan satu kempen yang menyeluruh untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan diri dalam apa jua bentuk gejala buruk yang boleh merosakkan diri

dan nama baik keluarga mereka. Golongan ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang agar mereka gementar dengan hukuman. Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini sebelum nasi menjadi bubur. Demi mewujudkan generasi yang lebih berguna pada masa hadapan juga, langkah drastik daripada semua pihak patut dilaksanakan. Tindakan daripada satu pihak sahaja tidak akan membuahkan hasil. Jadi, sama-samalah kita berganding bahu dalam menangani masalah gangsterime supaya ia tidak akan terus berleluasa dalam kalangan para remaja.

Anda mungkin juga menyukai