Anda di halaman 1dari 17

KAUNSELING KELOMPOK

PENGENALAN LATAR BELAKANG Manusia hidup secara berkelompok. Tidak ada manusia yang boleh hidup berasingan, bersendirian dan tersisih daripada manusia lain. Keperluan-keperluan fizikal dan mental seseorang individu perlu dipenuhi oleh individu lain. Semenjak zaman dahulu, manusia hidup berkelompok kerana beberapa tujuan tertentu. Hidup berkelompok terutamanya memberi perlindungan fizikal kepada ahli kelompok. Keperluan psikologikal pula dipenuhi dengan rasa dipunyai oleh kelompok dan seseorang itu mendapat perlindungan kelompok dari sebarang ancaman. Oleh itu manusia saling perlu memerlukan. Dengan ini untuk membolehkan seseorang itu berfungsi dengan berkesan, dia harus hidup berkelompok atau hidup dalam satu masyarakat. Manusia juga memenuhi keperluan peribadi dan emosi melalui ahli kelompok, misalnya keperluan perkembangan diri yang berkesan, dipelajari melalui interaksi dengan ahli-ahli dalam masyarakat. Oleh itu kelompok merupakan satu entity masyarakat yang paling berpengaruh untuk perkembangan diri individu, pembentukan tingkah laku, nilai dan norma hidup, potensi dan sikap manusia. Kaunselor, guru, pemimpin dan individu lain ynag tugasnya melibatkan kelompok haruslah faham sifat-sifat ini. Untuk memahami konsep kelompok, Kamus Dewan menyatakan Kelompok ialah himpunan (beberapa orang, binatang, benda dan lain-lain), kumpulan (yang kecil bilangannya, jumlahnya dan sebagainya). Walaubagaimanapun konsep kaunseling kelompok adalah berbeza dengan maksud kelompok secara umum. Mengikut Gibson dan Mitchell (1981), Kaunseling Kelompok mementingkan interaksi dan mempunyai fungsi dan matlamat tertentu.

DEFINISI KAUNSELING KELOMPOK Banyak kaunselor telah mencuba menghuraikan definisi-definisi kaunseling kelompok. (a) Rogers (1970) mendefinisikan kaunseling kelompok sebagai orientasi permasalahan dan proses memulih untuk merasionalkan seseorang mengikut kehendak ramai. (b) Dyer dan Vocind (1973) mengatakan bahawa kaunseling kelompok merupakan pertolongan sosial dan psikologi seseorang individu yang bertujuan supaya ia berubah perlakuan daripada berperanan di samping pengalaman baik dan sempurna. Dengan itu, dapatlah indidividu itu mengubah diri dalam tingkahlaku dan berdamping dengan alam sekitar. (c) Gazda (1978) menyarankan bahawa kaunseling kelompok perlu untuk mereka yang mempunyai masalah yang berterusan atau sekejab-sekejab apabila maklumat-maklumat yang ada pada mereka tidak dapat membantu mereka mendapat penyelesaian. (d) Gibson dan Mitchell (1981) mentakrifkan kaunseling kelompok sebagai satu proses pertolongan kepada seseorang klien supaya ia dapat menyesuaikan dirinya terhadap hal sehariannya tentang perkembangan terhadap tingkahlaku, perhubungan peribadi, nilai diri, sikap serta dalam memilih kerjaya daripada kemahiran yang ada padanya. Sebagai kesimpulan, kaunseling kelompok menunjuk atau membuka jalan kepada individu mengubah sikap dan tingkahlaku serta dapat membantu individu menyesuaikan diri dalam era baru yang sesuai dengan norma kelompoknya. MATLAMAT KAUNSELING KELOMPOK Pada amnya, dengan adanya penyertaan pengalaman kaunseling kelompok, maka dapatlah ahliahli sekelompoknya membina perhubungan mesra sesame sendiri. Perhubungan ini berbentuk terbuka iaitu penerimaan ikhlas ahli-ahli kelompok dan memberi peluang luas untuk mereka menilai dan menerima penilaian daripada peserta lain. Suasana begini menjadi penggalak Kaunseling Kelompok untuk mencapai matlamatnya. Dinkmeyer dan Muro (1971) meringkaskan matlamt-matlamat kaunseling kelompok sebagai: 1. Membantu setiap ahli mengetahui, memahami diri, membantu dalam proses mengenali diri sendiri.
2

2. Sebagai keputusan kefahaman diri untuk membentuk kepercayaan diri dan perasaan individu yang lain. 3. Bagi kemahiran sosial bagi menambahkan pengetahuan dirinya. 4. Untuk menambahkan keyakinan bagi menyelesaikan masalh dan berbincang sesama mereka ataupun dengan masyarakat sekeliling. 5. Untuk membina perasaan sensetif tentang keperluan orang lain dan rasa perlu bagi membantu menyelesaikan masalah. 6. Untuk menjadi orang yang benar-benar bertanggunjawab bukan dengan malah menghayati apa yang diperkatakan. 7. Bagi menyesuaikan diri dan dapat memberi pendapat yang jitu dan dipercayai. 8. Bagi membantu rakan sebaya membuat kesimpulan yang benar-benar baik. 9. Bagi membantu rakan-rakan membuat kesimpulan bagi dirinya dan mambantu rakan sebaya membuat perhubungan kaunseling yang berjaya. Menyedari tentang kepentingan kaunseling kelompok, saya telah menemubual seorang kaunselor sekolah bagi mendapatkan maklumat dan pandangan beliau mengenai kaunseling kelompok. Kemudian saya telah membuat analisis dan penilaian kaunseling kelompok berdasarkan temu bual tersebut. Latar Belakang Kaunselor Kaunselor sekolah yang ditemubual oleh saya, iaitu Encik Ling Yock Ong adalah merupakan seorang kaunselor di SMK Ayer Tawar. Beliau menerima pendidikan awal di SJK Kampung Cina dan pendidikan menengah di SMJK Nan Hwa. Setelah tamat Tingkatan Lima, beliau telah menyambungkan pelajaran di Maktab Perguruan untuk dilatih sebagai guru Bahasa Cina. Setelah beberapa tahun mengajar, beliau merasakan beliau harus meningkatkan lagi tahap pendidikan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan akhirnya beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia. Kini beliau telah menjadi guru kaunselor di SMJK Ayer Tawar selama lapan tahun.

Pengalaman menjalankan kaunseling kelompok Menurut Encik Ling, beliau biasanya menjalankan lebih banyak kaunseling individu berbanding kaunseling kelompok. Menurut Zuraidah Abdul Rahman (1996) di dalam bukunya yang bertajuk Pengenalan Kaunseling Kelompok sebenarnya kedua-dua jenis kaunseling iaitu Kaunseling Individu (KI) dan Kaunseling Kelompok (KK) mempunyai proses mengubati yang sama, tetapi terdapat beberapa perbezaan di antaranya iaitu: 1. Proses teraputik dalam KK berlaku di antara kaunselor dengan beberapa orang individu dan di antara individu dengan individu yang lain dalam kumpulan itu. Tetapi dalam KI ianya berlaku di antara kaunselor dengan seorang individu sahaja. 2. Tiap-tiap individu dalam KK berpeluang memainkan peranan sebagai orang yang memberi dan menerima pertolongan. Sedangkan dalam KI pertolongan datang dari pihak kaunselor sahaja. 3. Fungsi kaunselor dalam KK boleh bertukar dan diambil alih oleh peserta KK yang lain dalam memimpin kumpulan itu tanpa arahan aktif dari kaunselor. Dalam KI fungsi kaunselor tidak berubah. 4. Lebih sukar membina suasana yang selesa, penuh kepercayaan dan selamat dalam KK disebabkan pesertanya yang ramai dan rasa terancam adalah tinggi tetapi jika suasana selamat ini dapat dibina dan setiap peserta berasa bahawa dia diterima tanpa ragu-ragu maka rasa bangga dan puas hati lebih tinggi nilainya kepada mereka. Pembinaan suasana tersebut lebih mudah dibina dalam KI kerana interaksi berlaku di antara dua orang individu sahaja. 5. Apabila peserta KK rela berkongsi pengalaman, perasaan dan pendapat, akan terbina suasana bersatu padu dan tolong menolong di kalangan peserta. Sifat ini tidak terdapat dalam KI. Pada pendapat saya perbezaan kelima iaitu kesukaran membina suasana yang selesa, penuh kepercayaan dan selamat dalam KK merupakan sebab utama mengapa KK jarang dilaksanakan di sekolah-sekolah kerana kekangan masa sedangkan proses KK memerlukan masa yang agak panjang berbanding KI.

Walau bagaimanpun menurut Zuraidah Abdul Rahman (1996) lagi, ada beberapa situasi yang harus dikenalpasti oleh kaunselor di mana seorang individu perlu menerima KI dan bukannya KK. Contohnya: 1. Apabila seorang individu sedang menghadapi satu krisis yang mendesak. 2. Apabila faktor kerahsiaan sangat penting untuk menjaga nama baik klien dan orang lain. 3. Apabila seseorang itu mengalami ketakutan yang teramat sangat untuk bercakap dalam satu kumpulan. 4. Apabila seseorang itu tidak tahu langsung berhubung baik dengan rakan sebaya sehingga dia ditolak dan tidak diterima. 5. Apabila seseorang itu tidak faham dan sedar tentang perasaanya sendiri sehingga dia berasa terumbang-ambing dan tidak tahu bagaimana berkongsi perasaan dan pengalaman dengan orang lain. Saya berpendapat bahawa sebab ketiga iaitu faktor kerahsiaan juga menyebabkan mengapa ramai kaunselor memilih untuk menjalankan KI terutama sekali di sekolah-sekolah menengah kerana pada peringkat umur begini iaitu usia remaja kebanyakan daripada pelajar sangat mementingkan nama baik mereka di kalangan rakan sebaya untuk memastikan selfesteem mereka sentiasa berada di tahap yang tinggi. Justeru itu, ramai pelajar yang tidak bersedia atau berasa ragu-ragu dan tidak selamat untuk menceritakan isu atau masalah mereka apatah lagi yang bersifat peribadi kepada rakan-rakan mereka kerana kemungkinan mereka bimbang rahsia atau kelemahan mereka akan diketahui oleh orang lain dan nama baik mereka akan terjejas. Ini akan menyebabkan self-esteem mereka menjadi rendah. Oleh itu, kemungkinan kedua-dua faktor ini menjadi punca mengapa kaunselor dan pelajar itu sendiri lebih menggemari KI berbanding KK. Isu yang sering dikongsi oleh klien dalam kaunseling kelompok Encik Ling mendapati bahawa dalam kaunseling kelompok, para pelajar selalu mengemukakan isu tidak puas hati dengan pengajajaran guru. Mereka sering mengkritik corak pengajaran guru yang tidak menarik dan menyebabkan mereka berasa bosan sehingga mereka keluar dari kelas. Ini seterusnya menimbulkan masalah disiplin kerana mereka telah keluar kelas tanpa kebenaran guru. Pelajar-pelajar ini akan dilabel sebagai kaki ponteng.
5

Menurut Abdullah Sani Yahaya dalam bukunya yang bertajuk Mengurus Disiplin Pelajar, ponteng kelas adalah masalah disiplin yang dianggap sebagai penyakit yang berjangkit. Ponteng kelas adalah tindakan seseorang pelajar yang tidak mengikuti sesuatu pelajaran pada waktu yang sepatutnya pelajar itu wajib mengikutinya di dalam bilik darjah. Biasanya, masalah ini berlaku apabila pengajaran guru tidak menarik ataupun susah bagi memahami sesuatu pelajaran. Apabila mereka bosan mengikuti pelajaran tersebut, mereka keluar daripada bilik darjah dan merayau-rayau di sekitar sekolah ataupun menyembunyikan diri di sesuatu tempat. Masalah ponteng kelas boleh menyebabkan pelajar-pelajar ketinggalan dalam pelajaran (Ismail Yusoff, 1992: 3) Oleh itu, bimbingan dan kaunseling adalah proses membantu individu-individu memahami diri dan dunia mereka. Dengan cara itu, ia membolehkan bantuan atau pertolongan kepada pelajar-pelajar yang masih dalam perkembangan dan pertumbuhan mental, sosial, intelek, fizikal, emosi, kejiwaan dan kerohanian mereka. Proses ini mengakibatkan pembentukan ataupun penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu, sehingga dapat menentukan tiindakan yang wajar pada masa itu ataupun pada masa hadapan. Menurut Abdullah Sani Yahaya (2006) lagi, Bimbingan dan kaunseling adalah kaedah paling efektif dalam menyelesaikan masalah-masalah disiplin yang berlaku di sekolah. Masalah disiplin yang ketara pada masa ini adalah masalah ponteng dan masalah ketagihan dadah. Pelajar-pelajar yang ponteng adalah mereka yang mempunyai kemampuan penyesuaian diri ynag rendah, mengalami kejutan suasana dan pandangan serta langkah kognitif masa depan yang kabur. Objektif utama dalam kaunseling adalah membantu seseorang individu memahami dirinya, masalah-masalahnya, ketakutan dan kebimbangan yang dialaminya. Ia membantu mencari penyelesaian, jawapan dan keputusan ataupun kefahaman yang memuaskan supaya ia dapat membentuk kematangan diri dan memperbaiki keupayaan menyesuaikan diri dengan suasan sekeliling. Kaunseling yang efektif membantu pelajar yang bermasalah mengenali masalahnya, memberi harapan dan pandangan mendalam berkaitan masalah itu.

Proses dalam kaunseling kelompok Menurut Encik Ling, biasanya beliau akan membina perhubungan dengan klien pada pertemuan awal atau pertama sesi kaunseling untuk mewujudkan rappo dengan mereka. Ini akan memudahkan mereka untuk meluahkan isi hati mereka kepada kaunselor. Setelah itu, baru beliau melakukan sesi penerokaan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka dan seterusnya mengenalpasti masalah sebenar mereka. Kemudian beliau akan melaksanakan pelan tindakan dengan memberi pelbagai alternatif kepada klien sehingga klien dapat memilih sendiri alternatif untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Setelah peringkat alternative penyelesaian berjaya dilaksanakan, barulah sesi kaunseling akan ditamatkan. Proses dalam kaunseling kelompok yang diamalkan oleh Encik Ling adalah bertepatan dengan peringkat-peringkat asas dalam proses kaunseling. Menurut Tang Chee Yee (1988) dalam bukunya yang bertajuk Bimbingan dan Kaunseling, Perkhidmatan, Prosedur dan Kemahiran terdapat lima peringkat yang jelas di dalam proses kaunseling. 1. Pertemuan Awal Dalam sesi ini, kaunselor menentukan matlamat klien, mewujudkan suasana yang teraputik, membina perhubungan dan menstruktur perhubungan proses kaunseling. 2. Perkembangan Perhubungan Dalam peringkat ini, klien akan melalui proses pendedahan kendiri, penerokaan kendiri dan kefahaman serta kesedaran kendiri. Klien seterusnya akan mengenalpasti keperluannya dan membuat rancangan untuk mempraktikkan perlakuan baru. Peringkat ini adalah peringkat yang paling lama di dalam proses kaunseling. 3. Penerokaan yang lebih mendalam Ada klien yang memerlukan kaunseling yang lebih teraputik untuk mendekati perasaan yang akan membawa mereka kepada kefahaman kendiri. Klien jenis ini akan terlibat di dalam penerokaan perasaan dan sikap. Kebanyakan kaunselor di sekolah tidak cukup masa untuk melalui peringkat kaunseling ini. Kebanyakan proses kaunseling akan berkembang daripada peringkat kedua kepada penyelesaian/mengatasi masalah sahaja. 4. Mengatasi/Menyelesaikan Masalah Apabila klien mulai sedar tentang makna pengalamannya yang lalu dan perasaanya sekarang, dia akan memahami yang rasional tentang masalah, perasaan dan
7

perlakuannya. Kefahaman ini akan menyebabkan perubahan tingkahlaku selanjutnya. Perasaan dan pengalaman perlu dibincangkan di dalam semua bidang sebelum klien itu dapat menyepadukan perasaan dan corak perlakuannya. 5. Penamatan Salah satu tujuan kauseling ialah untuk menolong klien supaya klien dapat berfungsi dengan sesuai di dalam kehidupan dan dapat berdikari dan bertanggungjawab. Penamatan dapat dibuat sekiranya klien merasakan dia telah membuat keputusan, mempunyai maklumat atau dapat menghadapi masalahnya dengan memuaskan. Dia ada menunjukkan tanda-tanda bahawa dia tidak lagi memerlukan kaunseling. Penamatan juga dapat dibuat sekiranya kaunselor merasakan dia tidak dapat lagi menolong klien mencapai objektifnya. Dalam hal ini, penamatan dan/atau rujukan adalah satu tindakan yang wajar dan jujur. Teori yang digunakan dalam kaunseling kelompok Dalam kauneling kelompok, ketua atau kaunselor disogokkan dengan berbagai-bagai maklumat dari ahli-ahli kelompok yang datang dari latar belakang yang berbeza-beza dengan masalah dan kebimbangan yang berlainan. Justeru itu, kaunselor memerlukan satu struktur untuk menyusun maklumat yang diterima dan merancang strategi untuk menolong mengatasi masalah dan kebimbangan yang dibawa dalam kelompok. Teori boleh menjadi rangka tempat memproses maklumat untuk menyusun langkah menolong mengatasi masalah atau kebimbangan ahli. Melalui pengetahuan tentang beberapa teori kelompok, kaunselor dapat memahami apa yang sedang dan harus dilakukan. Teori memberi penduan kepada kaunselor untuk menilai setakat mana kemajuan telah dicapai dalam menuju ke arah matlamat yang diidamkan oleh kelompok. Teori kaunseling berpandukan kepada konsep-konsep manusia, motivasi dan teori pembelajaran dan cara yang sistematik untuk memahami tingkah laku ahli, memahami proses yang berlaku dalam kelompok serta menyediakan satu panduan terhadap perlakuan kaunselor. Terdapat dua sebab mengapa teori itu penting iaitu: 1. Satu kaedah untuk menolong kaunselor memahami klien. 2. Sebagai panduan perlakuan dalam proses kaunseling.

Encik Ling telah memilih Teori Rational Emotive Behavior Therapy (REBT) dalam sesi kaunseling kelompok yang dijalankannya. Beliau suka menggunakan teori ini kerana menurut beliau, kebanyakan pelajar yang dipanggil untuk sesi kaunseling kelompok adalah mereka yang mempunyai pemikiran yang sangat negatif dan tidak rasional. Ini adalah kerana mereka banyak mengkritik dan mencari salah orang lain seperti pihak sekolah dan pihak guru tanpa memikirkan kelemahan diri mereka sendiri. Keadaan ini menunjukkan para pelajar ini mempunyai pemikiran yang tidak begitu rasional. Oleh itu Encik Ling gemar menggunakan Teori REBT ini untuk menangani masalah mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa Teori REBT sering digunakan dalam sesi kaunseling terutama sekali di sekolah-sekolah. Ini mungkin kerana di dalam REBT, pendekatan yang diamalkan adalah lebih bersifat directive. Justeru itu, tempoh proses kaunseling mungkin adalah lebih pendek dan ini sesuai dengan masalah kekangan masa yang dihadapi oleh kaunselor dalam menjalani sesi kaunseling di sekolah. Pengasas REBT ialah Albert Ellis yang berpegang kepada kepercayaan bahawa reaksi serta gaya hidup seseorang itu berkait rapat dengan kepercayaan asas individu tersebut. Ini bermaksud, reaksi emosi seseorang adalah hasil daripada pemikiran (Othman, 2000). Setiap individu mempunyai potensi untuk berfikir secara rasional dan tidak rasional. Bagaimanapun, kerap kali individu merosakkan keupayaan ini dengan pemikiran yang tidak rasional. Teori REBT merupakan satu pendekatan yang optimistic kerana ia menjelaskan bahawa individu mencipta tekanan dalaman berdasarkan sistem kepercayaan sendiri, maka mereka juga boleh belajar untuk membuat penilaian kendiri dan mencabar pemikiran yang menghasilkan kerisauan, terutamanya kesan daripada tindakan keterlaluan yang bersifat emosi. Menurut Othman (2000) di dalam bukunya yang bertajuk Prinsip psikoterapi dan pengurusan dalam kaunseling, REBT mengandaikan bahawa kecelaruan emosi berlaku apabila individu berkecenderungan berfikir secara tidak rasional hasil daripada permintaan yang tidak munasabah.

Teori REBT mencadangkan bahawa pemikiran, perasaan dan tindakan bukanlah fungsi yang harus dipisah-pisahkan. Secara kognitif, kesan emosi klien (C) tidak berpunca secara langsung daripada isu (A), tetapi berpunca daripada sistem kepercayaan (B) sebagai reaksi terhadap isu (Knaus, Dr.William J.)

A (Isu)

B (Kepercayaan)

C (kesan kepada tingkah laku dan emosi)

D (Intervensi)

E ( Emosi baru)

Rajah di atas menunjukkan bagaimana sesuatu isu itu memberi kesan kepada tingkah laku dan emosi individu dengan dipengaruhi oleh sistem kepercayaan yang tidak rasional. A merupakan isu yang melibatkan individu. Isu tersebut telah memberi kesan ke atas tingkah laku dan emosi individu, iaitu C. Pada individu tersebut, A yang menyebabkan C. Sebenarnya sistem kepercayaan individu tersebut, iaitu B, yang menyebabkan konsekuen yang terhasil di C. Oleh yang demikian, intervensi, iaitu peranan D, iaitu logik yang dapat digunakan dalam tujuan mempertikaikan B, iaitu sistem kepercayaan yang tidak rasional. Intervensi diberikan dengan hasrat menghasilkan perubahan emosi yang baru. Ellis telah menggariskan beberapa idea pemikiran yang tidak rasioanal yang seringkali mengganggu menusia iaitu: 1. Saya mesti disayangi oleh semua orang 2. Masalah orang lain adalah masalah saya 3. Orang kejam dan jahat mesti dihukum 4. Saya mesti ingat bahaya selalu sekiranya ianya seringkali mengganggu hidup saya 5. Lari dari masalah lebih baik dari menghadapinya 6. Saya mesti bergantung pada orang lain 7. Bahagia mesti datang dari luar bukannya dari diri saya 8. Saya tidak boleh ubah diri saya
10

9. Saya mesti dapat apa yang saya hendak 10. Masa lampau sangat penting kerana ia mempengaruhi diri saya pada hari ini 11. Saya melihat diri saya ini sangat teruk dan tidak boleh diubah Dalam hal ini apabila manusia menganggap bahawa keinginan atau pemikiran di atas yang lebih baik pada dirinya maka itulah sebabnya setengah-setengah menusia akan berada dalam kekecewaan, kesedihan, putus asa, hilang semangat, terlalu rendah diri, menganggap dirinya tidak boleh berubah, hanya bergantung pada orang lain dan bersifat penghukum yang paling adil atas penilaian dirinya sendiri. Di sinilah letaknya kekuatan pemikiran rasional untuk melawan dan berhujah dengan pemikiran yang negative atau tidak rasional. Pemikiran yang tidak rasional inilah yang menjadi salah satu faktor yang menyebabkan kebahagiaan seseorang tergugat dan seseorang individu akan berada dalam tekanan yang dicipta oleh pemikiran sendiri. Idea-idea yang sering mengganggu emosi dan fikiran adalah seperti: 1. Seseorang selalu menyalahkan diri sendiri 2. Seseorang itu menekankan perkataan mesti dan patut dengan cara yang mutlak Albert Ellis (Penulisan Kes Kaunseling Sekolah-Sekolah Menengah Malaysia. Majlis Kaunseling kebangsaan: Kementerian Pelajaran Malaysia) menyatakan bahawa walaupun kadang kala kita berpemikiran tidak rasional dari semasa ke semasa, kita mampu berusaha mengurangkan kecenderungan tersebut. Agak tidak mungkin untuk kita melenyapkan kecenderungan berpemikiran tidak rasional sama sekali, namun kita dapat mengurangkan kekerapan berlaku, tempoh ia berlaku dan tahap ia berlaku dengan memperkembangkan tiga jenis celik akal: 1. Kita bukan mengalami kekecewaan tetapi mengecewakan diri disebabkan kepercayaan tidak rasional. 2. Tidak kira bila dan bagaimana kita mengecewakan diri, kita berperasaan kecewa berterusan kerana sentiasa berpaut kepada kepercayaan yang tidak rasional. 3. Hanya satu jalan sahaja untuk menjadikan diri kita lebih baik iaitu berusaha secara keras untuk mengubah kepercayaan kita.

11

Pendekatan REBT terbukti dapat membantu klien yang mengalami ketidaktenteraman emosi dan perlakuan akibat pemikiran yang tidak rasional. Setelah intervensi diberi untuk mengubah sistem kepercayaan lama, maka klien akan mendapat celik akal untuk mewujudkan sistem kepercayaan baru. Dengan sistem kepercayaan yang lebih rasional, klien akan dapat menjalani hidup yang lebih bahagia. Hasil yang diperolehi berdasarkan proses kaunseling Di dalam temubual dengan Encik Ling, beliau menyatakan bahawa hasil yang positif selalunya akan dapat diperolehi setelah ahli-ahli kelompok melalui beberapa sesi kaunseling kelompok. Kebiasaanya perubahan tingkah laku ahli kelompok dapat dilihat dan dikesan melalui maklumat dan maklumbalas daripada pihak-pihak seperti guru-guru, guru-guru disiplin dan Penolong Kanan Hal-Ehwal Pelajar (PKHEM). Sebagai contoh Penolong Kanan HEM ada memberitahu beliau bahawa para pelajar yang datang untuk sesi kaunseling kelompok ini telah menunjukkan kelakuan yang bertambah baik serta sedang berusaha untuk mengubah sikap mereka. Menurut Muhd.Mansur Abdullah dalam bukunya yang bertajuk Kaunseling- Teori, Proses dan Kaedah, bila kepercayaan dan kesepaduan terjalin dalam kelompok, maka peringkat memecahkan masalah dapat dimulakan. Ia memerlukan penglibatan untuk berubah dan perancangan serta pengaturan strategi untuk mendapatkan perubahan itu. Seseorang ahli kelompok perlu bertindak, merasai dan menerima kepercayaan dari ahli-ahli kelompoknya. Hasil yang diperolehi melalui proses kaunseling kelompok wujud dalam beberapa peringkat seperti: 1. Ahli-ahli telah berjaya mencapai matlamat-matlamat mereka. 2. Kelompok itu sudahpun merancangkan bila perlu ditamatkan sesi mereka. 3. Terdapat ahli kelompok yang tidak berjaya menyelesaikan masalah mereka, ataupun bekerjasama secara berkesan. Walaupun ada ahli yang mungkin berasa bahawa mereka tidak mencapai apa-apa matlamat menjalani sesi kaunseling kelompok, tetapi kepuasan dirasai kerana dapat berkenalan dengan ahli-ahli lain pengalaman sebagai ahli kaunseling kelompok adalah unik jika dibandingkan dengan kelompok sosial yang biasa. Maklumbalas yang positif diharapkan dapat menjadikan
12

mereka sebagai manusia yang lebih positif dalam perhubungan sehari-hari di dalam masyarakat luar. Mereka biasanya berasa berterima kasih kepada ahli-ahli kelompok dan kaunselor di atas pengalaman berharga yang diperolehi ini. Sesi kaunseling boleh dianggap berjaya sekiranya ahli kelompok telah menunjukkan tingkah laku yang diharapkan selari dengan matlamat yang telah ditetapkan dalam sesi tersebut. Walaupun sesi kaunseling itu sudah tamat tetapi adalah penting untuk kaunselor meneruskan pemantauan perubahan dan pencapaian tersebut. Pemantauan ini adalah perlu kerana terdapat klien yang tidak dapat mengekalkan pencapaian yang diingini. Sepertimana Krumboltz (1996) (Penulisan Kes Kaunseling Sekolah-Sekolah Menengah Malaysia. Majlis Kaunseling kebangsaan: Kementerian Pelajaran Malaysia), kejayaan sesi kaunseling yang sebenarnya adalah apa yang dilakukan oleh klien setelah mereka meninggalkan sesi kaunseling, tetapi bukan apa yang dilakukan semasa sesi kaunseling. Kaunselor boleh menggunakan empat cara untuk memantau klien iaitu: 1. Tingkah laku klien diperhatikan dan diamati. 2. Klien diminta menulis laporan kemajuan dari semasa ke semasa. 3. Maklumat dimintadaripada orang-orang yang hampir dengan klien terutamanya rakan sekelas, guru tingkatan dan guru disiplin. 4. Satu penilaian dibuat dari rekod kehadiran, laporan gred dan data-data klien selepas tamat sesi. Halangan-halangan yang dikenal pasti Menurut Encik Ling, antara halangan-halangan yang dikenalpasti ialah sikap pelajar yang selalu mengambil kesempatan dan mempergunakan sesi kaunseling sebagai alasan untuk keluar dari kelas atau ponteng kelas terutama sekali jika subjek atau guru tersebut tidak mereka suka. Oleh itu, beliau telah bekerjasama dengan PKHEM untuk mengurangkan masalah ini. Pihak kaunseling telah membuat satu borang temujanji. Hanya pelajar yang sudah membuat temujanji akan dipanggil dan dibenarkan untukmenghadiri sesi kaunseling. Masalah dan halangan dalam kaunseling kelompok juga boleh timbul disebabkan oleh tingkah laku dalam kumpulan itu sendiri. Menurut S.Adinaraina dalam kajiannya yang bertajuk Pengurusan Kaunseling

Kelompok Untuk Latihan Kaunselor (Maktab Penjara Malaysia), pembinaan komunikasi


13

interpersonal yang berkesan bukanlah senang. Ini adalah kerana terdapat banyak masalah atau halangan yang perlu diatasi: 1. Perbezaan latar belakang dan pengalaman perbezaan etnik, tahap pendidikan, pengetahuan dan kemahiran. 2. Perhatian yang terhad setiap orang mempunyai kecenderungan untuk mendengar dan menerima serta memproses perkara yang hanya diminati manakala perkara yang perlu diselesaikan tidak diambilkira. 3. Prajudis seringkali kita telah mempunyai tanggapan awal atau kepercayaan yang sedia ada terhadap sesuatu dan tanggapan ini mempengaruhi apa yang kita dengar. 4. Faktor situasi faktor-faktor situasional atau keadaan semasa boleh mengakibatkan perasaan dan emosi. 5. Tidak sensitive kepada perasaan dan emosi. Selain daripada itu, terdapat juga fungsi-fungsi yang boleh merosakkan kumpulan seperti: 1. Agresif individu yang agresif hanya menjaga status diri sendiri dengan mengkritik dan menyalahkan orang lain. Menunjukkan permusuhan terhadap mereka dan menjatuhkan maruah orang lain. 2. Menyekat ahli kumpulan menyekat perkembangan kumpulan yang sihat seperti dengan membuat kenyataan negative terhadap seseorang dan menolak hujah. 3. Menyimpan maklumat ahli kumpulan mementingkan diri sendiri dengan tidak mahu berkongsi matlamat. 4. Menekan dan menafikan emosi ahli kumpulan tidak mahu menghadapi reality bahawa terdapatnya emosi yang terpendam dan tidak diluahkan kepada orang lain. 5. Persaingan yang tidak sihat ahli-ahlinya menyaingi satu sama lain dengan tujuan untuk mengalahkan atau menjatuhkan mereka. 6. Berpecah dan berpasangan ahli-ahli menimbulkan pasangan atau kumpulan kecil yang menimbulkan bibit-bibit perpecahan. 7. Mengundur diri ahli menyisihkan dirinya dari kumpulan dengan membuat protes, berdiam diri dan bersifat pasif.

14

Keperluan yang diingini oleh kaunselor dalam menjalankan kaunseling kelompok Encik Ling menyatakan bahawa perkara yang amat diperlukan dalam perlaksanaan kaunseling kelompok ini adalah kerjasama daripada guru-guru kelas. Ini kerana kaunseling kelompok melibatkan bilangan pelajar yang agak ramai. Justeru itu, guru-guru mesti memberi kerjasama kepada pihak kaunseling sekolah untuk memastikan sesi kaunseling dapat dilaksanakan dengan lebih lancar tanpa apa-apa halangan. Masalah serta halangan ini sememangnya berlaku terutama sekali di sekolah-sekolah kerana menurut Zuraidah Abdul Rahman (1996), di negara kita konsep kaunseling kelompok belum berapa lagi diterima dengan terbuka sebagai satu jalan untuk mengatasi masalah. Ini adalah kerana terdapat salah anggap yang timbul mengenai kaunseling kelompok iaitu perjumpaan dalam kelompok tidak ada tujuan tertentu, cuma untuk berbual-bual kosong sahaja. Oleh itu, ramai guru-guru beranggapan bahawa kaunseling kelompok ini hanya sekadar membuang masa pelajar yang sepatutnya berada di dalam kelas dan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian, guru-guru haruslah didedahkan dan diberikan maklumat yang secukupnya mengenai objektif utama dalam kaunseling iaitu untuk membantu seseorang individu memahami dirinya, masalahnya-masalahnya, ketakutan dan kebimbangan yang dialaminya. Ia membantu mencari pentelesaian,jawapan dan keputusan ataupun kefahaman yang memuaskan supaya ia dapat membentuk kematangan diri dan memperbaiki keupayaan menyesuaikan diri dengan suasana sekeliling. Kaunseling yang efektif membantu pelajar yang bermasalah mengenali masalahnya, memberi harapan dan pandangan mendalam berkaitan masalah itu. Isu atau pandangan mengenai kaunseling kelompok Menurut Encik Ling, kebiasaannya dalam sesi kaunseling kelompok, pelajar-pelajar dapat meluahkan isi hati mereka. Ini menunjukkan bahawa kaunseling kelompok memberi para pelajar peluang untuk meluahkan apa yang mereka tidak puas hati tentang pihak yang tidak dapat membantu mereka. Jadi Encik Ling berpendapat bahawa sebagai guru kaunseling, kita mesti tahu tentang isi hati mereka dan mencari cara yang sesuai untuk membantu mereka agar mereka lebih bersikap positif thinking. Ini seterusnya dapat membantu mereka menumpukan lebih perhatian terhadap p@p serta mengurangkan masalah disiplin sekolah.

15

Pendapat Encik Ling mengenai peranan guru kaunseling adalah benar kerana menurut Abdullah Sani Yahaya (2004), program Bimbingan dan Kaunseling biasanya gagal kerana guru-guru kaunseling yang dipilih tidak sesuai dan tidak diterima oleh pelajar. Guru kaunseling perlu terdiri daripada mereka yang: 1. Memahami perasaan pelajar. 2. Bersimpati pada masalah pelajar. 3. Mempunyai empati iaitu sedar berkaitan perasaan dan pergolakan jiwa pelajar. 4. Sanggup berkecimpung dalam aktiviti pelajar termasuk aktiviti sukan, kebudayaan dan sebagainya. Pemilihan guru kaunseling yang sesuai menyebabkan pelajar menemui guru itu sekiranya mereka menghadapi masalah. Oleh itu, pendekatan secara bimbingan dan kaunseling adalah kaedah berkesan bagi mengatasi masalah-masalah disiplin pelajar kerana pendekatan yang diberikan tidak secara paksaan dan ia juga dilaksanakan secara langkah demi langkah. Maka pendekatan penyelesaian masalah adalah secara beransur-ansur, di samping itu juga pelajar dapat membentuk disiplin dalam diri mereka. PENUTUP Kaunseling kelompok adalah suatu proses yang menghubungkan individu dengan sekumpulan orang secara dinamik tentang tingkah laku dan pemikiran yang ditimbulkan yang melibatkan fungsi-fungsi terapi seperti meluahkan perasaan, saling percaya- mempercayai, mengambil berat, persefahaman, penerimaan dan sokongan untuk membantu individu menyesuaikan diri dalam era baru secocok dengan norma kelompoknya. Proses kaunseling kelompok dibina atas teori perkembangan dan perhubungan manusia. Melalui kaunseling kelompok, ahli dapat meluahkan perasaan, kepercayaan, tanggapan dan hasrat mereka. Kaunseling kelompok juga menjadi penggerak untuk ahli menetapkan matlamat mereka dan mengubah tingkah laku mereka ke arah kehidupan yang lebih bermakna.

16

BIBLIOGRAFI

Abdullah Sani Yahaya. Mengurus Disiplin Pelajar. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2006. Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan. Penulisan Kes Kaunseling Sekolah-Sekolah Menengah Malaysia: Kementerian Pelajaran Malaysia, 2009. Muhd. Mansur Abdullah. Kaunseling-Teori, Proses dan Kaedah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1986. Othman Mohamed. Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan dalam Kaunseling. Serdang: Universiti Putra Malaysia, 2000. S.Adinaira. Kajian: Pengurusan Kaunseling Kelompok Untuk Latihan Kaunselor: Maktab Penjara Malaysia,2009. Tang Chee Yee. Bimbingan dan Kaunseling. Selangor Darul Ehsan: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, 1989. Zuraidah Abdul Rahman. Pengenalan Kaunseling Kelompok. Selangor Darul Ehsan: IBS Buku Sdn.Bhd, 1996.

17

Anda mungkin juga menyukai