Anda di halaman 1dari 18

1 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Bab 2: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Di akhir bab ini, anda seharusnya dapat: memilih dan membincangkan pendekatan-pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran Pendidikan Moral menghuraikan langkah-langkah penting dan aplikasi pendekatan yang sesuai dalam pengajaran Pendidikan Moral dalam bilik darjah menghuraikan peranan guru dan murid dalam menjayakan pendekatan pengajaran-pembelajaran yang ekfektif dalam bilik darjah

1.1 Pengenalan 1.2 Pendekatan-Pendekatan dalam Pengajaran Pendidikan Moral Pendekatan Penjelasan Nilai Pendekatan Analisis Nilai Pendekatan Kepedulian Pendekatan Berasaskan Kemahiran Pendekatan Domain 1.3 Peranan Guru dan Murid dalam Menjayakan Pendekatan 1.4 Faktor-Faktor Mempengaruhi Pemilihan Pendekatan 1.5 Cabaran Guru Pendidikan Moral Ringkasan

Bab 1: Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bab 2: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral - 1 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral - 2 Bab 4: Dokumen Standard Kurikulum Tahun 1 & 2 Bab 5: Dokumen Standard Kurikulum Tahun 3 & 4 Bab 6: Strategi Pengajaran & Pembelajaran Bab 7: Pemikiran Kreatif & Inovasi Merentas Pendidikan Moral Bab 8: Pemikiran Menakul Merentas Pendidikan Moral Bab 9: Teknologi Merentas Pendidikan Moral

2 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

1.1 PENGENALAN Bab ini akan menyambung perbincangan tentang lima lagi pendekatan-pendekatan yang boleh digunakan di dalam bilik darjah semasa guru mengajar subjek Pendidikan Moral. Secara ringkasnya, pendekatan merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran itu diajarkan untuk mencapai objektif pembelajarannya. Malah setiap pendekatan pengajaran yang digunakan oleh guru hendaklah mencerminkan satu pandangan atau pendapat tentang hakikat sesuatu matlamat pelajaran . Ianya bertujuan untuk memudahkan murid menerima dan memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Mengikut Kamus Dewan (1988), pendekatan adalah cara atau langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas seperti mengatasi masalah. Berdasarkan konteks pendidikan,ianya boleh memberi makna cara mendekati sesuatu. Contohnya; menentukan objektif pembelajaran untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Menurut Anthony (1963), pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses P&P serta mempunyai unsur aksiomatik; iaitu sesuatu kenyataan yang dianggap benar tanpa memerlukan sebarang bukti atau alasan.

1.2 PENDEKATAN-PENDEKATAN DALAM PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL Pendekatan merupakan satu penyusunan prosedur yang membezakan pengajaran seseorang guru dengan seorang yang lain. Oleh itu, dalam setiap pendekatan yang boleh digunakan dalam bilik darjah Pendidikan Moral mempunyai ciri-ciri seperti berikut: Memberikan ilmu kognitif; Membina kemahiran dan amalan psikomotor ; Memupuk dan menanam penghayatan afektif; Membentuk pandangan, sikap dan akhlak afektif; Mewujudkan hubungan mesra antara guru dengan pelajar; Menyatu padukan faktor dan nilai; Merentasi kurikulum; Menggabungjalin kemahiran, isi dan nilai; dan Memotivasikan pelajar dalam pembelajaran. Bayangkan keseronokan murid dan keceriaan mereka mempelajari Pendidikan Moral jika guru kreatif dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan pendekatan yang dipilih. Bilik darjah tidak akan menjadi gersang dan membosankan jika guru dapat menggunakan pelbagai pendekatan dan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan pelajaran pada hari itu. Tambahan, dengan unsur kecindan / jenaka guru sudah tentu dapat menceriakan keseluruhan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral.

3 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

1.2.1 Pendekatan Penjelasan Nilai (Values Clarification Approach) Pendekatan penjelasan nilai membimbing pelajar menyedari dan mengenal pasti tentang perasaan dan nilai peribadi dan orang lain disertai pula dengan berkomunikasi secara terbuka nilainya kepada orang lain. Pendekatan ini melibatkan penggunaan pemikiran rasional dan kesedaran emosi diri dan orang lain dalam pembentukan sesuatu set nilai peribadinya. Cara melaksanakan pendekatan penjelasan nilai merangkumi tiga proses yang menjelaskan nilai kendiri seseorang individu seperti yang berikut: Proses Memilih memilih secara bebas daripada pelbagai pilihan yang sedia ada menimbangkan kesan-kesan ke atas setiap pilihan menghargai setiap keputusan yang telah diambil menyatakan secara terbuka bertindak ke atas keputusan yang telah diambil senantiasa mengamalkan nilai yang dipilih secara berterusan dalam kehidupannya

Proses Menghargai

Proses Bertindak

Jika seseorang individu itu membentuk sesuatu nilai di mana dia sendiri memilih secara bebas, tanpa dipaksa, daripada beberapa alternatif, selepas pertimbangan yang teliti kesan-kesan setiap alternatif; maka pilihan itu merupakan satu nilai sekiranya individu tersebut berpuas hati dan gembira dengan pilihan tersebut dan seterusnya bertindak terhadapnya. Pendekatan penjelasan nilai membayangkan suatu kombinasi di antara domain kognitif dan afektif seseorang individu. Pendekatan ini telah dipelopori oleh Raths, Harmin dan Simon (1978), di mana atas kepercayaan bahawa pada masa itu, terdapat ramai orang telah mengalami kesulitan untuk mengenali nilai diri masing-masing. Oleh itu, apabila seseorang ingin membuat sesuatu keputusan, keadaankeadaan yang wujud selalunya amat mengusutkan termasuk tekanan- tekanan yang datang dalam pelbagai bentuk serta perubahan yang ingin dilakukan pula menjadi sesuatu yang tidak pasti. Raths dan rakan-rakannya percaya bahawa teori mereka dapat membantu setiap individu bagaimana untuk menjelaskan nilai diri masing- masing. Secara terangnya, pendekatan penjelasan nilai memberi penekanan pada usaha membantu murid dalam mengkaji perasaan dan perbuatannya sendiri bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang nilai-nilai mereka sendiri. Terdapat tiga tujuan pendidikan nilai menurut pendekatan ini; pertama, membantu murid untuk menyedari dan mengenalpasti nilai-nilai mereka sendiri serta nilai-nilai orang lain; kedua, membantu murid supaya mereka mampu berkomunikasi secara terbuka dan jujur dengan orang lain dan berhubungan dengan nilai-nilainya sendiri; ketiga, membantu murid supaya mereka mampu menggunakan secara bersama-sama kemampuan berfikir secara rasional dan kesedaran emosional untuk memahami perasaan, nilai-nilai dan pola tingkah laku mereka sendiri (Superka, et. at. 1976).

4 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Dalam proses pengajaran pendekatan ini, guru boleh menggunakan kaedah seperti dialog, menulis dan diskusi dalam kelompok besar atau kecil, perbahasan, forum, permainan dan simulasi. Pendekatan ini memberi penekanan kepada nilai yang sesungguhnya dimiliki oleh seseorang. Bagi mereka yang mempercayai pendekatan ini, nilai itu sendiri bersifat subjektif, ditentukan oleh seseorang berdasarkan kepada berbagai latar belakang pengalamannya sendiri, tidak ditentukan oleh faktor luar, seperti agama, masyarakat, dan sebagainya. Oleh itu, isi sesuatu nilai tidak terlalu penting di dalam pendekatan ini. Perkara yang utama dalam sesuatu program pendidikan adalah mengembangkan keterampilan murid dalam melakukan proses penilaian. Sejajar dengan pandangan tersebut, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Elias (1989), bahawa bagi mereka yang mempercayai pendekatan ini, guru bukan sebagai pengajar nilai tetapi sebagai sebagai role model dan pendorong. Peranan guru adalah untuk mendorong murid dengan pertanyaanpertanyaan yang relevan bagi mengembangkan keterampilan murid dalam melakukan proses menilai. Kekuatan utama pendekatan ini terletak kepada memberikan penghargaan yang tinggi kepada murid sebagai individu yang mempunyai hak untuk memilih, menghargai dan bertindak berdasarkan kepada nilainya sendiri (Banks,1985).

Kaedah pengajarannya juga sangat fleksibel, selama dipandang sesuai dengan rumusan proses menilai dan empat garis panduan: tumpuan perhatian diberikan kepada kehidupan, penerimaan sesuai dengan apa adanya, stimulus untuk bertindak lebih lanjut dan pengembangan kemampuan peseorangan. Kelemahan utama adalah kerana ianya menampilkan pandangan berat sebelah budaya barat. Dalam pendekatan ini, kriteria benar atau salah adalah sangat relatif, kerana ianya sangat mementingkan nilai perseorangan. Seperti dinyatakan oleh Banks (1985), pendidikan nilai menurut pendekatan ini tidak memiliki suatu tujuan tertentu berkaitan dengan nilai kerana bagi pengamal pendekatan ini, menentukan sejumlah nilai untuk murid adalah tidak wajar dan tidak beretika. Penjelasan nilai adalah satu pendekatan yang merupakan satu usaha untuk membantu seseorang individu yang mengalami kesulitan mengenali nilai dirinya dalam membuat keputusan moral dengan lebih jelas berdasarkan pemikiran rasional dan kesedaran emosi. Dalam pendekatan ini, terdapat empat unsur penting yang perlu diberi perhatian iaitu: Penumpuan : tumpuan kepada aspek-aspek kehidupan sama ada dalam dirinya sendiri atau hubungannya dengan orang lain; Penerimaan : sesuatu pandangan, fikiran, sikap dan keputusan orang lain seadanya; Refleksi : menggalakkan seseorang membuat refleksi dan penaakulan kendiri supaya dia sedar akan adanya pilihan-pilihan dalam membuat keputusan; dan Menghargai keputusan : menghargai keupayaan sendiri dalam membuat keputusan dan bertindak mengikut keputusan yang diambil.

5 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Bagi menjayakan pendekatan ini, guru harus berperanan sebagai seorang fasilitator atau pembimbing. Guru dikehendaki menerima segala keputusan yang telah diambil olah pelajar tanpa memihak kepada sesiapa pun. Namun begitu, masalah akan timbul sekiranya set nilai yang dipegang oleh pelajar bertentangan dengan nilai murni masyarakat Malaysia. Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, guru seharusnya menggabungkan pandekatan ini dengan pendekatan pemupukan nilai atau analisis nilai supaya pelajar dapat membuat keputusannya yang bersesuaian dan seiring dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara dan Prinsip Rukun Negara. Kesimpulannya, pendekatan ini menyediakan asas kepada guru untuk merancang pengajaran-pengajaran moral yang boleh membantu murid supaya mereka lebih sedar dan kenal akan nilai-nilai kendiri masing-masing berbanding orang Iain. Pendekatan ini juga boleh membantu murid untuk menyatakan secara terbuka dan jujur tentang pegangan dan amalan nilai sendiri dengan melandaskannya kepada kesedaran emosi dan pemikiran yang rasional.

1.2.2 Pendekatan Analisis Nilai Pendekatan analisis nilai disebut juga Pendekatan Coombs. Pendekatan ini menawarkan suatu proses berfikir secara rasional dalam mengkonsepsikan dan menghubungkaitkan nilai-nilai dalam menghadapi isu moral yang kontroversial. Pendekatan ini lebih kepada penggunaan pemikiran saintifik dan logik dalam membuat keputusan. Oleh itu, pendekatan ini dapat membantu murid mengumpul dan menimbangkan fakta yang terlibat dalam pertimbangan moral. Oleh kerana isu nilai atau moral adalah kontroversi, pertelingkahan berhubung keputusan yang dibuat akan berlaku. Namun demikian, jika prosedur di atas diikuti dengan rapid dan teliti, perbezaan atau konflik dalam keputusan atau pertimbangan ini boleh diminimumkan. Maka, untuk mengurangkan perbezaan yang berlaku ini, pelopor pendekatan analisis nilai memperkenalkan pula Tugas Resolusi Konflik. Pada asasnya, konflik hendaklah diselesaikan dengan mengurangkan perbezaan semasa murid menggunakan teknik analisis nilai ini. Tugas Resolusi Konflik adalah seperti berikut: Mengurangkan perbezaan dalam pentafsiran tentang nilai yang dipersoalkan; Mengurangkan perbezaan tentang apa yang didakwa sebagai fakta yang dikumpulkan; Mengurangkan perbezaan tentang ukuran kebenaran fakta yang telah terkumpul; Mengurangkan perbezaan tentang kesesuaian fakta berkenaan; Mengurangkan perbezaan tentang keputusan nilai yang tidak muktamad; dan Mengurangkan perbezaan dalam menguji kesanggupan menerima prinsip moral.

6 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Pelopor utama kepada pendekatan ini ialah Metcalf, Oliver dan Shaven (1971). Menurut mereka pendekatan ini merupakan satu cara bagaimana isu-isu umum boleh dibincangkan secara jelas dan teratur apabila klasifikasi-klasifikasi nilai dilakukan. Malah, Metcalf (1971) mencadangkan supaya perbezaan di antara nilai-nilai objek dengan nilai pandangan / pertimbangan dinyatakan dengan jelas. Nilai-nilai objek boleh didefinisikan sebagai perkara yang bernilai yang dipegang oleh seseorang, manakala nilai pandangan pula merujuk kepada satu standard di mana seseorang menilai sesuatu perkara. Metcalf (1971) mengatakan bahawa nilai-nilai pandangan merupakan satu penilaian seseorang terhadap sesuatu, dilahirkan sama ada dalam bentuk positlf, negatif atau neutral dan boleh dikelompokkan mengikut sudut-sudut pandangan seperti estetik, moral, ekonomi, kebijaksanaan dan lain-lain. Pendekatan ini merupakan satu cara bagaimana isu-isu semasa dapat dikaji secara jelas dan teratur serta dapat dibincangkan secara logik apabila klasifikasi nilai dilakukan. Murid-murid perlu mengumpul dan menimbangkan fakta-fakta yang relevan dan sesuai sebelum membuat sesuatu keputusan. Dengan menggunakan pendekatan ini dalam pengajaran pendidikan moral, guru boleh mengajar murid memberi markah kepada sesuatu nilai objek. Keduanya; membantu setiap murid memberi pertimbangan yang rasional dan dapat digunakan untuk mempertahankan sesuatu nilai objek. Ketiga; menyediakan pelajar dengan keupayaan dan kecenderungan untuk membuat pertimbangan nilai yang rasional dan boleh dipertahankan. Akhir sekali; pendekatan analisis nilai mengajar murid bagaimana untuk berperanan sebagai ahli kumpulan yang boleh bekerjasama untuk mencapai sesuatu keputusan demi kebaikan bersama. Bagi membolehkan seorang murid itu memainkan peranannya dengan efektif dalam bilik darjah Pendidikan Moral, model ini mensyaratkan tiga kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid, iaitu: Kemahiran Kemahiran dalam rangkai kerja nilai Keterangan Kemahiran ini membolehkan seseorang membuat penghakiman, asas kemahirannya ialah mengetahui dan memahami nilai-nilai kunci yang menjadi dasar kepada sistem etika masyarakat tersebut. Kebiasaannya, masalah atau isu timbul daripada adanya kontroversi atau konflik di antara dua atau lebih nilai. Namun, jika dibuat penelitian yang mendalam, konflik itu sebenarnya bukan bersangkutan dengan persoalan-persoalan asas yang ada dalam nilai-nilai kunci masyarakat itu. Oleh itu, bila seseorang cuba menyelesaikan satusatu konflik, dia haruslah mahir dalam membuat klasifikasi isu. Untuk mendapatkan kemahiran ini, murid haruslah didedahkan kepada satu spektrum yang luas berhubung dengan masalah-masalah semasa dalam aspek-aspek politik, ekonomi dan sosial yang sedang dihadapi oleh masyarakatnya melalui pelbagai cara, seperti pembacaan, seminar, perbincangan dan sebagainya.

Kemahiran membuat klasifikasi dan menyelesaikan masalah

Kemahiran yang berhubung dengan pemilikan ilmu pengetahuan tentang isu-isu masyarakat dan politik semasa.

7 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Pendekatan analisis nilai boleh dijalankan oleh guru dengan menggunakan langkah-langkah berikut:

Kesimpulannya, fokus utama pendekatan analisis nilai ialah memberi kemahiran pemikiran yang logik dan sistematik dalam penyelesaian sesuatu isu nilai seperti isu berkaitan dengan polisi awam (keselamatan negara, dadah), hak individu dan alam sekitar. Pendekatan ini memerlukan murid mengumpul dan menimbangkan fakta yang releven sebelum membuat sesuatu keputusan. Pendekatan ini amat sesuai digunakan dalam bilik darjah kerana ia boleh menghidupkan suasana pembelajaran moral di kalangan pelajar melalui penglibatan aktif dalam proses menganalisis nilai. Pendekatan ini boleh dirancang dalam bentuk projek dan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun atau dalam beberapa siri pengajaran-pembelajaran. Namun begitu, pendekatan analisis nilai ini kurang mementingkan aspek emosi murid itu sendiri tentang isu moral yang dibincangkan secara terperinci. Oleh itu, guru disarankan agar menggabungjalinkan pendekatan ini dengan pendekatan bertimbang rasa.

8 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

1.2.3 Pendekatan Penyayang / Kepedulian (Caring Approach) Pendekatan penyayang / kepedulian dalam pengajaran pendidikan moral berasaskan kepada kritikan pendekatan yang memberi tumpuan kepada konsep saling pergantungan dan prihatin dalam sesuatu perhubungan dan pertalian dengan orang lain. Pendekatan penyayang ini bertujuan untuk mengekalkan dan mengukuhkan amalan penyayang di dalam diri sendiri dan sesiapa sahaja yang mempunyai perhubungan dengan individu tersebut. Pendekatan ini merasakan bahawa perkembangan perasaan penyayang seorang individu adalah sesuatu yang bersifat dalaman. Pendekatan penyayang ini mengembangkan tingkah laku moral yang mengekalkan perassan prihatin / penyayang dalam masyarakat dengan cara caregiving bukannya caretaking. Oleh kerana pendekatan ini lebih mengutamakan prinsip penyayang (caring), maka guru disarankan supaya menggabungkan juga pendekatan yang mengembangkan prinsip keadilan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral.

Pendekatan jenis ini telah dipelopori oleh Noddings (1984). Noddings telah membuat beberapa sumbangan yang signifikan kepada bidang pendidikan. Antaranya, beliau telah mengkaji etika kepedulian dan hubungannya terhadap persekolahan dan juga terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam keluarga dan komuniti tempatan. Beliau juga telah berjaya mendemonstrasikan kepentingan kepedulian dan perhubungan sebagai satu matlamat utama pendidikan. Dari segi moral, pendekatan kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk berkorban demi orang lain. Kepedulian, atau dalam istilah yang lain ialah ambil peduli, mengambil berat dan menyayangi, yang melibatkan responsif sensitif terhadap orang lain berdasarkan sikap keterbukaan dan perhatian terhadap pengalaman mereka. Perkataan care itu sendiri datang daripada caring approach diambil daripada konteks Anglo Saxon (orang berketurunan Inggeris), dimana ia membawa maksud kesedihan atau keresahan. Oleh yang demikian, kepedulian bolehlah didefinisikan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain. Noddings (1984) melihat pendidikan sebagai medium yang penting dalam mengembangkan perasaan kasih sayang dalam masyarakat. Beliau mendefinisikan pendidikan sebagai tempat perjumpaan yang dirancang atau tidak dirancang yang menggalakkan perkembangan melalui penimbaan ilmu pengetahuan, kemahiran, pemahaman dan penghargaan. Dengan itu, beliau menyatakan rumah sebagai tempat utama untuk menimba ilmu pengetahuan. Ini sebenarnya bukan menolak peranan sekolah tetapi untuk mengenalpasti apakah yang boleh dilakukan oleh rumah untuk memperkembangkan kanak-kanak dan orang muda.

9 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Pendekatan penyayang / kepedulian mempunyai empat komponen penting iaitu: Modeling Dialog Praktis Kepastian Komponen: Modeling Komponen ini penting bagi menunjukkan bagaimana kita mengambil berat terhadap orang yang disayangi. Oleh itu, kita menunjukkan kepada mereka bagaimana untuk mengambil berat dan menyayangi mereka dengan cara membuat hubungan yang baik terhadap merek a. Keupayaan untuk mengambil berat mungkin bergantung kepada pengalaman menyayangi seseorang yang cukup dalam. Berdasarkan kepada komponen ini dalam pendekatan kepedulian, sekiranya guru mengamalkannya dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru akan dapat menamkan perasaan sayangkan murid-muridnya. Perasaan sayang ini pula akan membolehkan guru mengambil berat terhadap setiap permasalahan yang dihadapi oleh murid-muridnya. Sebagai contoh, seorang guru yang sedang mengajar, terlihat seorang muridnya sedang murung dan kelihatan pucat. Guru yang memiliki perasaan kasih sayang terhadap muridnya sudah tentu akan bertanya kepada murid berkenaan sama ada dia mempunyai masalah atau sebaliknya. Sikap guru sedemikian akan dijadikan contoh oleh murid lain di kelas itu. Mereka juga sudah tentu akan lebih menyayangi dan mengambil berat perihal rakan sekelas. Keadaan seumpama ini sudah tentu akan dapat menjalinkan hubungan rapat di antara guru dan murid. Komponen: Dialog Komponen ini bukan sahaja percakapan atau perbualan semata-mata, tetapi ianya mempunyai pembuka dan penutup, dimana kedua-dua pihak mengetahui keputusan atau matlamat yang akan dicapai melalui akiviti berdialog. Apabila dialog dijalankan murid akan berpeluang untuk bertanya dan membantu kedua-dua pihak mencapai keputusan yang seimbang dan dipersetujui bersama. Guru yang mengamalkan komponen ini pula akan sentiasa mewujudkan komunikasi di dalam kelasnya. Komunikasi yang baik di antara guru dan murid sudah tentu akan meningkatkan penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran di mana ianya akan dapat meningkatkan lagi kualiti pengajaran guru. Kompenen: Praktis / Amali Komponen yang ketiga ini menyatakan bahawa sikap dan mentaliti sedikit sebanyak dihasilkan oleh pengalaman. Praktis yang diberikan mesti dengan orang yang boleh menunjukkan sikap penyayang, kerana kita tidak mahu anak-anak kita mempelajari kemahiran menyayangi dan mengambil berat tanpa adanya ciri-ciri sikap penyayang. Komponen ini juga hampir sama dengan komponen modeling di mana guru akan mempraktikkan bagaimana untuk menunjukkan kasih sayang di antara guru dan murid. Sebagai contoh, guru bertanya khabar kepada seorang murid. Apabila guru berbuat demikian, murid itu akan mengucapkan terima kasih. Pertanyaan guru dan maklum balas murid itu merupakan salah satu praktis / amali. Praktis yang dilakukan secara bersungguh-sungguh juga akan dapat menggalakkan hubungan baik di antara guru dan murid.

10 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Komponen: Kepastian Komponen ini boleh didefinisikan sebagai perlakuan yang menggalakkan sesuatu yang terbaik daripada orang lain (Martin Buber, 1965). Apabila kita pasti seseorang itu mampu melakukan yang terbaik, kita dapat meningkatkan dan menggalakkan perkembangan mereka. Kita boleh melakukan ini hanya sekiranya kita mengenali seseorang itu dengan cukup rapat bagi mengenal pasti apa yang mereka hendak capai. Sebagai contoh, jika guru tahu bahawa minat murid-murid di kelas berkenaan adalah lebih kepada belajar menggunakan teknologi maklumat, misalnya komputer, guru perlu menggalakkan aktiviti tersebut. Langkah guru ini sudah tentu akan mewujudkan rasa penghargaan di kalangan murid-murid dan mereka sudah tentu akan melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran guru. Malah, seseorang guru juga boleh menunjukkan sikap kepedulian dengan mengamalkan komunikasi secara berkesan.

Berdasarkan pendekatan penyayang / kepedulian dalam pengajaran pendidikan moral, bincangkan implikasi pendekatan kepedulian / penyayang ini kepada murid dan masyarakat.

1.2.4 Pendekatan Berasaskan Kemahiran (Skills Based Apporach) Pendekatan berasaskan kemahiran ini memberikan keutamaan kepada proses sensitiviti beretika, pertimbangan beretika, motivasi beretika dan tindakan beretika. Guru perlu membimbang murid menguasai kemahiran dalam empat proses bertingkah laku moral; iaitu: Proses 1: Sensitiviti beretika - proses kesedaran Proses 2: Pertimbangan beretika - proses membuat keputusan Proses 3: Motivasi beretika - mengikut situasi secara spesifik dan am Proses 4: Tindakan beretika - kekuatan ego dan kemahiran untuk melaksanakan Pendekatan ini boleh dilaksanakan dalam bilik darjah menggunakan keadah seperti simulasi, perbincangan, sesi refleksi dan permainan. Dalam menggunakan pendekatan ini, seorang guru harus menerima pendapat murid dengan fikiran terbuka dan membimbing mereka mempertingkatkan tahap penaakulan moral mereka. Perkara yang menjadikan focus utama dalam pendekatan ini ialah proses (struktur) bukan keputusan (kandungan) penaakulan / pertimbangan. Oleh kerana pendekatan ini lebih focus kepada aspek kognitif moral, maka guru perlu juga menggunakan pendekatan lain supaya aspek emosi moral dan perlakuan moral murid diberikan penekanan yang setara.

11 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Pendekatan berasaskan kemahiran yang dipelopori oleh Narvaez (2001) adalah untuk meningkatkan semangat kerakyatan global, pengetahuan psikologikal, falsafah moral dan moraliti saksama. Melalui pendekatan berasaskan kemahiran ini, antara ciri-ciri individu masyarakat abad ke 21 yang boleh dihasilkan adalah seperti berikut: menyelesaikan masalah sebagai seorg drp ahli masyarakat; bekerja secara kooperatif dgn orang lain; memahami, menerima dan bertolerasi terhadap berbeza budaya; berfikir secara kritikal dan sistematik; menyelesaikan sesuatu konflik bukan dengan cara keganasan; mengadaptasi cara hidup yang memelihara persekitaran alam; menghormati dan mpertahankan hak kemanusiaan; mengikuti kehidupan bersosial pada semua peringkat; dan menggunakan sebaik-baiknya ilmu pengetahuan berasaskan teknologi. Mengikut Chang Lee Hoon (2004), pendekatan berasaskan kemahiran boleh dikembangkan melalui tiga cara iaitu, dengan mengembangkan keempat-empat proses tingkah laku yang beretika atau bermoral, mengembangkan kemahiran dan sub-kemahiran setiap proses dalam model dan membimbing murid mengkonstruk empat tahap perkembangan kepakaran. Empat tahap perkembangan kepakaran adalah:

Pada Tahap 1, perhatian diberikan terhadap gambaran yang luas dan mempelajari untuk mengenal pasti corak yang umum. Tahap 2 pula, tumpuan diberikan terhadap fakta dan kemahiran serta fokus kepada butir secara terperinci dan contoh yang prototaip; membina pengetahuan. Manakala Tahap 3 adalah menentukan matlamat, merancang langkah untuk menyelesaikan masalah dan mempraktis kemahiran. Pada Tahap 4, melibatkan pelaksanaan rancangan dan menyelesaikan masalah. Pendekatan berasaskan kemahiran adalah relevan untuk pengajaran Pendidikan Moral kerana ia agak komprehensif dan integratif serta praktikal yang melibatkan pelbagai cadangan aktiviti.

12 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

1.2.4 Pendekatan Berasaskan Domain Pendekatan berasaskan domain dalam pengajaran Pendidikan Moral merangsang perkembangan konsepi moral dan konvensi sosial murid dalam konteks masyarakat. Pendekatan ini boleh dijalankan dengan mewujudkan perbincangan secara berkomunikasi dengan menarik minat murid dan perbincangan transaktif yang berbentuk permainan penerangan, permainain penyangkalan dan resolusi integratif. Pendekatan domain diperkenalkan oleh Larry Nucci pada tahun 2001 berdasarkan kepada Teori Domain Turiel (1983) (dalam Chang Lee Hoon, 2004). Pendekatan ini mempunyai perbezaan kualitatif dalam perkembangan domain moral dan konvensi sosial. Dalam domain moral perkembangannya tidak tergantung kepada norma atau peraturan sosial. Ia memberi kesan intrinsik terhadap kebajikan orang lain berdasarkan kepada konsep mudarat, kebajikan manusia, keadilan dan hak dalam perhubungan antara individu serta sesuatu standard yang objektif, preskriptif dan boleh digeneralisasikan. Contohnya, adalah salah mendera seseorang atau membunuh seseorang sewenangwenang. Domain konvensi sosial pula dipersetujui dan diterima oleh sistem sosial yang menentukannya. Ia bersifat arbitrari dan tidak mempunyai kesan intrinsik terhadap hubungan antara individu. Manakala sesuatu set tingkah laku yang diharapkan dan berpatutan dalam interaksi antara individu dalam masyarakat akan mengekalkan sistem sosial dalam sesuatu masyarakat seperti bersopan santun dan bergotong royong. Domain moral dan konvensi sosial adalah sebahagian dalam sistem sosial yang merupakan konsepsi yang berlainan dan tidak boleh disaling ganti. Ia bersama-sama dengan aspek peribadi berkait dalam kegiatan sosial harian seseorang individu dalam membuat refleksi moral terhadap kehidupan sosialnya supaya membolehkan mereka hidup sebagai seorang individu dalam struktur dan norma masyarakat yang diwarisi. Tegasnya, pendekatan domain merangkumi perkembangan amalan yang bersesuaian dengan domain (domain appropriate practice), manakala perkembangan domain moral dan domain konvensi sosial pula berbeza mengikut umur. Pendekatan domain boleh digunakan dengan dua cara jenis perbincangan transaktif iaitu, secara strategik seperti perbahasan dan secara berkomunikasi seperti perbincangan. Pendekatan domain relevan untuk Pendidikan Moral kerana ia melibatkan aktiviti menyiasat secara kritikal isu sosial daripada domain konvensi sosial dan domain moral. Ia juga dapat melibatkan diri seseorang pelajar sebagai warga negara yang konstruktif dan insan yang bermoral. Dalam Pendidikan Moral KSSR, terdapatnya kedua-dua domain konvensi sosial dan moral yang menggalakkan penggunaan kandungan akademik dalam perbincangan nilai serta kepentingan suasana moral yang positif.

13 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Tujuan pendekatan domain antaranya adalah untuk merangsang perkembangan konsepsi moral, mengembangkan konsepi konvensi sosial dan organisasi sosial, melibatkan diri sebagai warga negara yang konstruktif dan insan yang bermoral. Ia juga dapat mengembangkan orientasi moral yang kritikal terhadap tingkah laku diri sendiri serta norma dan moral masyarakat. Pendekatan domain perlu menganalisis daripada perspektif moral, kaitan antara moral, konvensi sosial dan tuntutan peribadi terhadap pilihan serta diri sendiri dengan menyertakan bukti yang relevan terhadap sesuatu andaian. Proses dalam pendekatan domain boleh dilakukan melalui kandungan kurikulum akademik. Pendekatan-pendekatan terkini yang telah dibincagkan dalam bab ini bagi mata pelajaran Pendidikan Moral telah memberi peluang yang lebih kepada guru Pendidikan Moral mempraktikkannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan-pendekatan ini menjadi pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yangdibincagkan dalam Bab 2 untuk membolehkan murid berfikir, beremosi dan bertingkah laku selaras dengan rangka konsep KSSR Pendidikan Moral untuk membina seorang insan yang menyeluruh.

1.3 PERANAN GURU DAN MURID DALAM MENJAYAKAN PENDEKATAN

Proses pendidikan adalah untuk mendedahkan serta menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada murid dengan cara yang cekap lagi berkesan. Ia selaras dengan kenyataan Walker dalam Ambrose (2002), segala yang hendak dibentuk oleh seseorang di dalam bidang pendidikan adalah bertujuan memberi peluang untuk belajar sesuatu. Brophy (1998), mengatakan bahawa proses pembelajaran merupakan sesuatu yang menyeronokkan sekiranya kurikulum yang digubal dan guru yang melaksanakan aktiviti yang selari dengan kehendak dan minat murid. Sekira ini terjadi guru dapat mencetus pencapaian murid kepada tahap yang cemerlang dan membanggakan. Pencapaian seorang murid adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang kompleks. Antaranya adalah pendekatan pengajaran yang digunakan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Tambahan pula, sekiranya seorang pelajar berminat untuk belajar, dia pasti akan mempunyai kesungguhan yang tinggi terhadap pelajaran dan begitulah juga sebaliknya. Guru merupakan salah satu daripada ejen dalam penentuan tahap pencapaian murid. Atan Long (1978), menyatakan bahawa untuk menghasilkan pengajaran yang baik keupayaan guru penting untuk merangsangkan murid supaya menimbulkan minat mereka melibatkan diri di dalam proses pembelajaran. Dengan lain perkataan, pendekatan pengajaran guru akan memberi kesan semasa proses pengajaran dan pembelajaran murid dalam mencorak pencapaian murid.

14 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Menurut Brophy dan Good dalam Shahril (2001), keberkesanan sesuatu pengajaran bergantung kepada kepelbagaian cara memperkenalkan sesuatu isi pelajaran. Di samping itu, ianya harus meliputi penyampaian guru, perbincangan dan soal jawab. Ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan pengajaran sememangnya memainkan peranan dalam pembentukan tahap pencapaian murid. Pendidikan masa kini mengalami pelbagai gelombang perubahan yang semakin ketara dan mencabar. Pelbagai pendekatan pengajaran perlu dilaksanakan oleh guru agar dapat menarik minat pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Tidak dapat dinafikan bahawa pendekatan pengajaran guru sebenarnya turut memainkan peranan di dalam faktor pencapaian murid. Malah, menurut Musa Mohammad dalam Shahril (2001), guru perlu membuat perubahan dan inovasi dalam amalan bilik darjah untuk memungkinkan mereka mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan cabaran pendidikan masa kini. Pendekatan pengajaran guru mungkin dapat mempengaruhi sikap dan minat seseorang murid semasa proses pembelajaran. Sekiranya berlaku ia mungkin dapat mempengaruhi pencapaian. Kenyataan tersebut dikuatkan lagi dengan pandangan Brookfield dalam Ambrose (2002), bahawa guru yang berkarisma biasanya mampu memberi dorongan dan memberi sumber ilham kepada para muridnya. Pendekatan pengajaran yang digunakan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan berubah seiring dengan kemajuan murid di dalam sesuatu mata pelajaran. Pembelajaran pada mulanya adalah untuk mengaitkan pengetahuan sedia ada pelajar terhadap apa yang akan disampaikan oleh guru. Abd. Rahman dalam Sayuti (2000), menyatakan adalah penting untuk kita menyedari bahawa manusia berbeza dalam beberapa segi, begitu juga dengan pelajar. Perbezaan di antara setiap pelajar menjelaskan kepada kita bahawa gaya atau stail pembelajaran individu atau pelajar pastinya berbeza begitu juga dengan cara pendekatan pengajaran guru. Guru-guru akan dapat menimbulkan minat murid-murid terhadap pelajaran yang disampaikan jika pengajaran mereka menggunakan pelbagai rangsangan seperti nada suara yang berubah-ubah, carta yang menarik, pita rakaman, video dan permainan. Melalui aktiviti ini guru akan dapat menimbulkan dan mengekalkan minat murid-murid terhadap pengajarannya. Guru juga seharusnya pandai mengaitkan pelajaran dengan minat, perasaan ingin tahu dan ingin meneroka pada murid-murid. Menurut Smith (1969), untuk melahirkan pengajaran yang berkesan, guru mestilah memahami tentang isi kandungan mata pelajaran yang akan di ajar dan yang seterusnya kefahaman mengenai displin-displin yang telah melahirkan mata pelajaran yang diajar. Dalam erti kata lain kefahaman yang pertama adalah perlu untuk mengajar apa jua mata pelajaran, manakala kefahaman kedua adalah untuk mendalami pengetahuan yang perlu dari segi intelek dan kebolehan menggunakan isi kandungan pengajaran tersebut. Pengajaran guru mestilah jelas dan mudah difahami pelajar agar dapat menarik minat pelajar untuk terus mengikuti pengajaran guru.

15 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

1.4 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PEMILIHAN PENDEKATAN

Pengajaran yang berkesan adalah hasil usaha seorang guru yang berjaya dalam mengaplikasikan pelbagai pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Pemilihan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang sesuai adalah penting untuk menghasilkan persediaan mengajar mata pelajaran Pendidikan Moral yang lengkap dan berkesan. Pemilihan kaedah yang betul umpamanya memainkan peranan yang penting bagi menjamin kelancaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian seorang guru. Faktor yang pertama ialah isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru kepada muridnya. Isi kandungan pelajaran mempengaruhi pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan kerana tidak semua isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan sesuai dengan hanya satu pendekatan. Jika pemilihan sesuatu pendekatan itu tidak sesuai dengan isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan, ia boleh menyebabkan objektif pelajaran yang hendak dicapai tidak tercapai. Selain itu, faktor kesediaan murid juga mempengaruhi pemilihan pendekatan pengajaran oleh guru. Dalam hal ini, guru harus memastikan tahap kesediaan pelajarnya untuk mengikuti proses pembelajaran yang akan datang. Justeru itu, guru harus bijak memilih pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai berdasarkan tahap kesediaan pelajar. Jika tahap kesediaan pelajar tidak diambil peduli oleh guru, pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dipilih tersebut tidak akan berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya. Secara tidak langsung, ia akan mewujudkan pelbagai kekangan semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berjalan di dalam bilik darjah. Faktor yang ketiga ialah pengetahuan dan kemahiran pedagogi guru juga mempengaruhi pemilihan sesuatu pendekatan tersebut. Sebagai contoh, jika seseorang guru itu tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam menggunakan sesuatu pendekatan pengajaran tersebut, objektif pelajaran yang hendak dicapai mungkin akan terjejas. Oleh yang demikian, guru seharusnya memperlengkapkan dan mempertingkatkan diri dari segi pengetahuan dan kemahiran pedagogi bagi memudahkan seseorang guru tersebut menyampaikan ilmu pengetahuan di dalam bilik darjah.

16 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Seterusnya ialah penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran merupakan antara faktor yang mempengaruhi pemilihan pendekatan pengajaran oleh guru. Bahan pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran menentukan pendekatan yang sesuai yang hendak digunakan oleh guru. Ini kerana penghasilan bahan pengajaran dan pembelajaran seharusnya berkualiti dan berupaya menarik minat pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran. Bahan pengajaran dan pembelajaran mampu memastikan kejayaan pendekatan pengajaran yang dipilih terlaksana dengan berkesan. Faktor bentuk penilaian pencapaian pelajar juga banyak mempengaruhi pemilihan pendekatan pengajaran oleh guru. Misalnya, jika seseorang guru ingin menilai pencapaian murid dalam sikap tolong-menolong, penilaian berbentuk projek lebih sesuai digunakan jika dibandingkan dengan penilaian berbentuk ujian bertulis. Ini kerana setiap pendekatan pengajaran mempunyai bentuk penilaiannya yang tersendiri. Walau bagaimana pun, terpulang kepada seseorang guru itu bagaimana bentuk penilaian yang hendak dibuat asalkan ia sesuai dengan pendekatan yang dipilih tersebut. Kesimpulannya, adalah amat jelas bahawa pemilihan pendekatan pengajaran oleh guru ditentukan oleh beberapa faktor tertentu. Ini bermakna pemilihan sesuatu pendekatan bukannya dipilih sesuka hati. 1.5 CABARAN GURU DALAM PENGAJARAN PENDIDIKAN MORAL

Pendidikan moral ialah satu perkara yang kompleks dan telah mengundang banyak kekeliruan. Ia bukan saja menjadi tugas pendidik yang mengajar Pendidikan Moral di sekolah malah perlu kerjasama dari semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat sekolah khususnya untuk mempromosikan suasana moral. Menurut Puka (1976), jika pendidik tidak tahu apa itu moral maka dia tidak boleh mengajarnya (Abdul Rahman Aroff,1986). Pendidik yang diamanahkan untuk mengajar Pendidikan Moral perlu mempunyai asas ilmu pengetahuan dan kemahiran yang luas terutamanya berkaitan keperluan dalam diri dan pendekatan atau kaedah yang digunakan. Oleh itu soal penyediaan guru Pendidikan Moral perlu dipandang serius kerana realitinya pendidikan moral tidak semudah seperti yang ditanggapi dan dilafazkan. Sebenarnya konsep moral yang dipegang oleh pendidik akan mempengaruhi matlamat, kandungan dan terutamanya kaedah mengajar Pendidikan Moral. Contohnya seorang pendidik yang memahami Pendidikan Moral sebagai kepatuhan terhadap peraturan yang mutlak akan bertindak secara autoritarian dan program Pendidikan Moralnya akan menjadi bersifat indoktrinasi yang implikasinya akan membantutkan proses perkembangan moral yang matang. Tambahan pula, kita juga perlu sedar bahawa suasana di luar bahkan di dalam sekolah sendiri samada dari segi praktik dan polisi banyak memberi implikasi terhadap kemoralan seseorang individu. Sebagaimana pentingnya Pendidikan Moral secara formal, proses pendidikan secara tidak formal melalui aktiviti-aktiviti dan suasana alam persekolahan meliputi masyarakat dan polisinya perlu mempunyai kualiti yang boleh mempromosikan suasana moral. Sememangnya ia bukanlah satu usaha yang mudah dan memerlukan tekad yang jitu tetapi tanggungjawab ini perlu kita galas untuk menyiapkan anak didik kita supaya boleh berfungsi dengan baik dan berkesan dalam pelbagai segi.

17 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

Tidak dinafikan kita kekurangan rujukan dan model yang jelas dan nyata berkaitan Pendidikan Moral. Namun kita mesti berhadapan dengan realiti bahawa kita adalah pendidik moral, institusi pendidikan kita adalah ibarat moral enterprise dan kita adalah ahli yang perlu aktif dalam enterprise tersebut. Oleh itu janganlah kekurangan itu dijadikan alasan untuk melemahkan atau melumpuhkan komitmen kita sebagai guru Pendidikan Moral.

Anda baru sahaja selesai membaca dan memahami beberapa kandungan tajuk pendekatan-pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral. Berdasarkan kefahaman anda jelaskan dengan mendalam peranan anda sebagai seorang guru untuk menjayakan pendekatan-pendekatan pengajaran yang telah dibincangkan.

RINGKASAN: Pendekatan penjelasan nilai membimbing pelajar menyedari dan mengenal pasti tentang perasaan dan nilai peribadi dan orang lain disertai pula dengan berkomunikasi secara terbuka nilainya kepada orang lain. Pendekatan ini melibatkan penggunaan pemikiran rasional dan kesedaran emosi diri dan orang lain dalam pembentukan sesuatu set nilai peribadinya. Pendekatan analisis nilai menawarkan suatu proses berfikir secara rasional dalam mengkonsepsikan dan menghubungkaitkan nilai-nilai dalam menghadapi isu moral yang kontroversial. Pendekatan ini lebih kepada penggunaan pemikiran saintifik dan logik dalam membuat keputusan. Oleh itu, pendekatan ini dapat membantu murid mengumpul dan menimbangkan fakta yang terlibat dalam pertimbangan moral. Pendekatan penyayang / kepedulian dalam pengajaran pendidikan moral berasaskan kepada kritikan pendekatan yang memberi tumpuan kepada konsep saling pergantungan dan prihatin dalam sesuatu perhubungan dan pertalian dengan orang lain. Pendekatan berasaskan kemahiran ini memberikan keutamaan kepada proses sensitiviti beretika, pertimbangan beretika, motivasi beretika dan tindakan beretika. Pendekatan berasaskan domain dalam pengajaran Pendidikan Moral merangsang perkembangan konsepi moral dan konvensi sosial murid dalam konteks masyarakat. Pendekatan pengajaran yang dipilih oleh guru mempengaruhi pencapaian seorang murid. Pendidik yang diamanahkan untuk mengajar Pendidikan Moral perlu mempunyai asas ilmu pengetahuan dan kemahiran yang luas terutamanya berkaitan keperluan dalam diri dan pendekatan atau kaedah yang digunakan.

18 Bab 3: Pendekatan Mengajar Pendidikan Moral 2

RUJUKAN: Abdul Rahman Aroff. (1986). Pengenalan pendidikan moral. Petaling Jaya, Selangor: Fajar Bakti. Abdul Rahman Md. Aroff (1999). Pendidikan moral: Teori etika dan amalan moral. Serdang: University Putra Malaysia. Chang Lee Hoon. (2001). Penggunaan vignette dalam kajian penaakulan moral di kalangan pelajar tingkatan empat. Dalam Marohaini Yusoff (ed.). Penyelidikan kualitatif: pengalaman kerja lapangan kajian (m.s. 155 187). Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya. Eow, B.H. (2000). Pendidikan moral: Siri pendidikan tinggi. Petaling Jaya: Pearson Education Malaysia. Gilligan, C. (1982). In a different voice: Psychological theory and womens development. Cambridge, MA: Harvard University Press. Koo, K.P. dan Tang, C.Y. (1990). Pendidikan moral. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman. Narvaez, D. (2001). Community voices and character education. Minnesota, Department of Children, Families & Learning and University of Minnesota. Noddings, N. (1984). Caring: a feminine approach to ethics and moral education. Berkeley: University of California Press. Nucci, L. P. (2001). Education in the moral domain. Cambridge: Cambridge University Press.

Anda mungkin juga menyukai