Anda di halaman 1dari 11

Pengenalan

Kejuruteraan genetik meliputi bidang penyelidikan dan pengubahsuaian genetik manusia,


haiwan dan tanaman. Sudah banyak kejayaan yang dicapai oleh penyelidik-penyelidik luar
negara dalam aspek ini sehingga ada yang mendapat liputan meluas media massa
antarabangsa. Namun, setiap teknologi itu pasti ada kesan baik dan buruknya.

Kemungkinan aspek positif kejuruteraan genetik ini adalah kepada pasangan suami isteri yang
tidak mempunyai anak. Kini, sudah ada teknologi dan kaedah yang membolehkan pasangan
yang sebegini mempunyai anak dengan mudah dan selamat. Kewujudan anak dalam sesuatu
keluarga itu sudah pasti mampu memberikan lebih suasana ceria yang diimpikan oleh
manusia.

Malah, teknologi sebegini juga boleh membuat penyelidikan awal untuk menentukan bahawa
anak yang bakal dilahirkan itu tidak mengalami sebarang kecacatan tertentu. Tindakan
membuat penentuan genetik sebegini sudah pasti mampu memberikan satu ketenangan
kepada ibu bapa yang bakal menerima anak dalam kehidupan mereka.

Malah, kejuruteraan genetik juga sudah mula memberi kesan positif dalam kes-kes jenayah
dan sivil. Kalau dahulu pihak polis sukar untuk menahan seseorang tanpa sebarang bukti yang
konkrit. Kini masalah itu semakin menghilang kerana penggunaan teknologi ini akan
memudahkan polis mengesan penjenayah. Dalam masa yang sama, penjenayah juga akan
berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang tindakan jahat kerana sedar sebarang tinggalan
genetik mereka pasti mampu dikesan oleh polis dengan mudah.

Impak yang paling menarik yang dibawa oleh teknologi ini ialah industri ternakan akan
mampu diperluaskan. Sudah pasti lebih banyak baka ternakan yang berkualiti tinggi mampu
dihasilkan dengan mudah dan cepat. Hasil ternakan yang sebegini memberikan manusia satu
sumber protein yang penting untuk memastikan keseinambungan kehidupan manusia.
Penternak tidak akan mengalami sebarang masalah kritikal untuk menghasilkan hasil yang
baik.

Isu makanan yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik atau pun genetically engineered
( GE ) bukan satu isu yang baru. Bagaimana pun isu berkenaan terus menarik kontroversi
apabila dikaitkan dengan tahap keselamatannya terhadap kesihatan pengguna. Tinjauan yang
dibuat oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa 92 peratus responden
di Kanada menyatakan kebimbangan mereka berhubung dengan kesan jangka panjang kepada
manusia, manakala 61 peratus responden di Britain menyatakan tahap kerisauan mereka
terhadap makanan yang terhasil daripada kaedah kejuruteraan genetik.Kejuruteraan genetik
adalah merupakan satu aktiviti utama di dalam bioteknologi. Tanaman yang telah terhasil
melalui kaedah kejuruteraan genetik dikenali dengan pelbagai nama termasuklah tumbuhan
kejuruteraan genetik, tumbuhan bio-kejuruteraan, organisma ubahsuai genetik, tanaman
ubahsuai genetik atau pun tumbuhan bio-tek.

Memetik satu penulisan daripada Agensi Pemakanan Kebangsaan Amerika Syarikat (USFDA)
yang bertajuk Sempadan Bioteknologi Mengikut Perspektif Kemanusiaan, tumbuh-tumbuhan
kejuruteraan genetik pada mulanya dihasilkan supaya wujud perubahan terhadap juzuk
kandungannya, atau keseluruhan makanan yang terhasil daripada penggunaannya, iaitu dari
aspek kualiti dan komposisi nutrien yang dapat diperbaiki ataupun sekaligus dipertingkatkan
lagi berbanding dengan tumbuh-tumbuhan tanaman organik. Sebagai contoh, terdapat
peningkatan kandungan mineral dan antioksidan seperti karotenoid, flavanoid, Vitamin A, C
dan E dalam tumbuh-tumbuhan jenis ini. Bahan-bahan ini membantu melambatkan atau
menurunkan kadar proses pengoksidan di samping melambatkan kerosakan yang disebabkan
tindak balas kimia. Hal ini bermakna sayur-sayuran dan buah-buahan yang dihasilkan melalui
proses kejuruteraan genetik akan tahan lebih lama ketika di pasaran jika dibandingkan dengan
sayur-sayuran atau buah-buahan yang terhasil melalui proses tanaman secara organik.

Namun begitu, penanaman secara komersil betik kejuruteraan genetik yang dilakukan dengan
meluas di beberapa wilayah di Hawaii Amerika Syarikat pada sekitar awal tahun 2000 telah
membawa kesan negatif kepada industri betik tanaman organik dan asli di sana. Begitu juga
dengan penemuan ejen trans-gen (sejenis gen yang berpotensi untuk memusnahkan seluruh
tanaman organik) dalam jagung hasil tanaman organik di Mexico yang dikatakan berpunca
daripada lima hingga enam juta tan jagung yang dibeli dari Amerika Syarikat untuk dijadikan
bantuan makanan kepada penduduk termiskin di Mexico.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh sebuah makmal di Jepun, gen asing yang digunakan
sebagai agen proses pemula dalam kejuruteraan genetik mungkin boleh mengubah kandungan
nutrien makanan dengan cara yang tidak dijangkakan. Misalnya mengurangkan kandungan
sesetengah nutrien dan meningkatkan kandungan nutrien yang lain. Kerintangan terhadap

antibiotik mungkin boleh berlaku kerana gen yang digunakan dalam sesetengah tanaman yang
diubahsuai mungkin boleh memindahkan penyakit yang disebabkan oleh mikrob, ke dalam
usus manusia atau haiwan yang menggunakan makanan kejuruteraan genetik. Proses ini
mungkin akan menyumbang kepada masalah perkembangan kesihatan umum kerana
rintangan terhadap antibiotik ini akan akhirnya terpindah kepada manusia melalui
pengambilan makanan yang terhasil melalui kaedah kejuruteraan genetik.

Penemuan terbaru hasil kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa
tanaman-tanaman ladang yang diubahsuai melalui proses kejuruteraan genetik telah
menunjukkan tahap kerintangan yang tinggi dan luar biasa terhadap racun pemusnah
tumbuhan seperti racun Herbisid, Pesticid dan lain-lain lagi. Kemungkinan jika dibiarkan,
akan berlaku hubungan silang dengan spesies-spesies yang lain dan akan menghasilkan satu
bentuk tanaman liar baru yang sukar untuk dimusnahkan. Keadaan ini sekaligus akan
memerlukan kita mencipta racun yang lebih kuat untuk mengawalnya dan secara tidak
langsung akan membahayakan alam sekitar kita.

Apabila menyentuh tentang isu ini, pelbagai pendapat dilontarkan daripada banyak pihak
tentang kebaikan dan keburukan kejuruteraan genetik. Dengan anggaran daripada Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa dunia perlu meningkatkan tahap pengeluaran makanan
sebanyak 50% lagi menjelang tahun 2030 demi mengelak berlakunya krisis makanan yang
lebih buruk, maka ada kemungkinnya juga bahawa penghasilan makanan melalui kaedah
kejuruteraan genetik ini adalah salah satunya jalan keluar terbaik untuk mengatasi kemelut
krisis bekalan makanan dunia hari ini. Seperti biasa pro dan kontra pasti menjadi noktah
perbincangan tanpa ada pihak yang benar-benar dapat memastikan atau menjamin setiap
makanan yang terhasil melalui kaedah kejuruteraan genetik adalah benar-benar selamat.
Justeru sebagai pilihan kepada pengguna, kita perlulah mengikut panduan yang disediakan
oleh kerajaan dan badan-badan yang berwajib di Malaysia mengenai isu ini.

Sumbangan Kejuruteraan Genetik Terhadap Ketamadunan Manusia
Kejuruteraan genetik merupakan salah satu cabang biologi yang berkaitan dengan penurunan
ciri-ciri daripada induk (ibu bapa) Kini, ilmu genetik merangkumi kajian tentang struktur dan
fungsi baka seperti kromosom, gen, DNA dalam makanisme keturunan. Tujuan ilmu ini
adalah untuk melahirkan zuriat yang sihat dan menjamin kelangsungan hidup manusia.
Diamalkan sejak zaman purba lagi, Negara Kota Yunani Sparta mengamalkan teknik
pembiakan secara pemilihan (bayi-bayi yang sihat daripada induk yang sihat) untuk dilatih
menjadi tentera yang gagah berani melawan Athens. Teknik pembiakan terpilih akan
melahirkan bangsa yang agung secara sistematik yang diamalkan oleh Athens dan seterusnya
Jerman, Amerika, Singapura dan lain-lain.

Bidang Perubatan

Perkembangan pesat teknologi genetik sejak awal 1900-an telah melahirkan ilmu baru iaitu
Kejuteraan Genetik (teknik manipulasi gen).Antara aplikasi terpenting yang terbit daripada
teknologi DNA rekombinan ialah pengubahsuaian sel bakteria supaya ia berfungsi sebagai
penjana protein manusia. Interferon, sejenis protein yang digunakan untuk merawat
jangkitan virus dan sesetengah barah, dan juga hormon insulin, merupakan antara produk
terawal DNA rekombinan. Kini, hormon tumbesaran boleh dihasilkan secara sintetik,
termasuk juga vaksin, protein pembeku darah untuk pengidap hemofilia, dan enzim-enzim
seperti kolesterol oksidase untuk mendiagnos masalah metabolisme kolesterol.
Penghasilan vaksin melalui proses DNA rekombinan bermakna ia lebih murah, tulen, spesifik,
dan tidak menyebabkan kesan sampingan yang banyak dan memudaratkan. Banyak
penyelidikan dilakukan untuk merawat penyakit genetik dengan memasukkan gen yang
berfungsi bagi menggantikan yang rosak. Ini adalah satu contoh terapi gen. Malah,
kemasukan gen dalam sel gamet yang kurang sempurna boleh mengelakkan pewarisan
penyakit oleh anak dalam kandungan.

Dalam Industri
Proses fermentasi berlaku dalam penghasilan minuman alkohol, antibiotik, dan roti. Tetapi
kesemua ini boleh diperbaiki lagi dengan kehadiran agen yang ada DNA rekombinan.
Contohnya, penambahan gen-gen tertentu kepada strain yis Saccharomyces untuk sintesis
amylase membolehkan penghasilan alkohol daripada kanji. Lain-lain kegunaan DNA
rekombinan dalam industri termasuklah degradasi sellulosa dan lignin, penjanaan bahan api,
dan pembersihan agen-agen pencemar alam sekitar. Strain Pseudomonas putida yang boleh
menghancur komponen-komponen minyak yang berlainan telah "dijuruterakan" untuk
mempertingkatkan upayanya untuk mendegradasi kesemua komponen minyak.

Dalam pertanian

Sesetengah strain bakteria telah dicipta untuk mengawal populasi serangga yang menyerang
tanaman. Syarikat Monsanto berjaya mengubahsuai strain bakteria Pseudomonas fluorescens
yang membolehkannya membunuh serangga perosak melalui penghasilan toksin yang berasal
daripada Bacillus thuringiensis. Toksin B. thuringiensis telah lama digunakan sebagai bahan
pembunuh haiwan perosak.

Kejuruteraan genetik tumbuhan membabitkan tiga aktiviti berikut: mendapatkan gen yang
diperlukan, proses kultur tisu dan memindahkan gengen berkenaan ke dalam tisu tumbuhan.
Pokok yang dihasilkan ini dipanggil pokok transgenik.Transgenik berasal daripada dua
perkataan dasar iaitu trans dan gen. Trans adalah singkatan kepada perkataan transfer
atau pemindahan, oleh itu pokok transgenik adalah pokok yang telah dipindahkan dengan gen
baru (asing).Pokok transgenik dengan gen yang baru akan seterusnya membawa suatu ciri
baru.Proses mendapatkan gen adalah berkaitan dengan kajian keseluruhan gen di dalam
sesuatu hidupan atau kajian genomik. Kajian genomik ini semakin popular dan akan
dijelaskan lebih lanjut di penghujung artikel ini. Kaedah mendapatkan gen amat kompleks dan
tidak akan dihuraikan dalam perbincangan ini. Gen ini tidak dapat ditentukan dengan mata
kasar, sebaliknya beberapa uji kaji khusus diperlukan untuk membuktikan gen yang kita
peroleh.Kultur tisu pula ialah kaedah penghasilan anak pokok lengkap di dalam tabung uji
menggunakan bahagian pokok seperti daun dan akar. Kultur tisu menggunakan agar-agar
yang mempunyai bahan makanan, vitamin dan bahan perangsang, akan mengubah kepingan
daun atau akar tadi menjadi kalus. Kalus seterusnya menghasilkan kalus embriogenik, embrio,
poliembriogenik, daun dan akhirnya akar (secara berperingkat, satu demi satu). Pada setiap
peringkat perubahan itu, jenis bahan perangsang akan diubah sesuai dengan bahagian pokok
yang akan dihasilkan. Semua proses ini dijalankan dalam keadaan bebas kuman
(steril).Transformasi pula adalah proses pemindahan gen asing, sama ada daripada tumbuhan
itu sendiri atau daripada hidupan lain ke dalam tumbuhan. Proses ini unik dan mustahil dapat
dilakukan melalui kacukan biasa. Proses pemindahan gen ini boleh dilakukan oleh bakteria
atau kaedah terus. Bakteria, Agrobacterium, berkebolehan memindahkan serpihan khusus gen
yang dibawanya ke dalam tumbuhan apabila ia menjangkitinya.Kaedah terus pula adalah
seperti penembakan zarah. Sel tumbuhan akan ditembak dengan zarah emas yang telah disalut
dengan gen.Gen yang dipindahkan itu akan masuk ke dalam sel tumbuhan yang kemudiannya
diganda dan dibesarkan menjadi pokok.Antara kejayaan yang dicapai dalam bidang
bioteknologi tumbuhan ialah penghasilan buah tomato yang membawa gen pengawal buah
masak. Pokok tomato ini menghasilkan buah yang lambat lembik dan segar. Penemuan ini
amat penting untuk mengeksport buah ke luar negara. Kejayaan ini menguntungkan penjual
dan pembeli kerana mendapat bekalan buah yang masih segar di pasaran.Kejayaan kedua
ialah pemindahan gen sejenis asid lemak menghasilkan biji jarak yang tinggi asid laurik (37
peratus) untuk kegunaan industri bahan pencuci, makanan dan penjagaan badan.Pemindahan
gen sejenis asid lemak lain telah meningkatkan kandungan asid stearik daripada dua peratus
kepada 40 peratus yang penting khususnya sebagai pengganti lemak koko.Pemindahan tiga
gen bakteria ke dalam beberapa pokok telah menghasilkan plastik mesra alam. Penemuan ini
penting kerana memberi pulangan lumayan dan memulihara alam sekitar. Plastik biasa
(daripada petroleum) akan kekal selama puluhan tahun yang menimbulkan kesan alam sekitar,
sebaliknya plastik mesra alam ini akan terurai dalam masa beberapa minggu atau bulan saja.
Antara kegunaan plastik mesra alam ialah sebagai benang jahitan selepas pembedahan dan
sedang dikaji sebagai injap jantung dan injap pembuluh darah.

Kesan Negatif Kejuruteraan Genetik
Persoalan mengenai kesan negatif kejuruteraan negatif berkisar mengenai etika, ancaman dan
penyalahgunaan kejuruteraan genetik. Inilah kelemahan manusia, berjayanya satu percubaan
akan membuatkan manusia lupa bahawa ada yang lebih berkuasa iaitu Allah S.W.T.
Sesempurna mana pun manusia mesti ada kekurangan, begitulah juga dengan ciptaan-ciptaan
yang dihasilkan oleh manusia. Kegagalan banyak berlaku sebelum menempuh kejayaan. Jika
berjaya sekalipun mesti ada kekurangan pada hasilnya. Jika bayi tabung uji, kemungkinan
memakan masa dan bukan sekali melakukannya terus berhasil. Begitulah jika dilakukan
terhadap tumbuhan dan binatang. Sebagai contoh, penanaman padi yang pada mulanya hanya
dapat dinikmati hasilnya setahun sekali. Kini, penghasilan padi boleh dikatakan lumayan
kerana sudah dapat dituai tiga kali setahun dan ini amat membantu terutama dari segi
pendapatan keperluan para petani. Jika haiwan, hasillan yang dapat kita nampak secara jelas
adalah ayam, lembu, kambing dan khinzir. Namun, setiap yang dilakukan secara kejuruteraan
genetik akan mempunyai impak yang memang tidak dapat dinafikan.Bak kata hikmah yang
sering kita dengar dan telah menjadi halwa telinga sejak lama dahulu iaitu, Manusia hanya
mampu merancang dan Tuhan yang maha esa yang akan menentukannya. Oleh itu, kita
digalakkan melakukan sesuatu berlandaskan etika dan keagamaan agar apa yang dilakukan
tidak melampaui landasan yang telah ditetapkan. Jika kita melakukan semua ini dengan
berlandaskan etika dan keagamaan maka kejayaan akan berada di tangan kita, lakukan perkara
yang logik diterima akal dan masyarakat. Janganlah melakukan di luar jangkauan akal dan
fikiran waras sebagai hamba Allah. Permohonan doa selepas berusaha adalah langkah terakhir
kita sebagai hamba Allah yang sentiasa perlu belajar dan mencari ilmu bukan mencari
kebenaran palsu untuk menyangkal hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Semakin
banyak yang hendak dilakukan oleh manusia maka semakin banyaklah kegagalan yang
terhasil kerana manusia tamak untuk mencari kemasyuran palsu dan kemewahan duniawi.

Etika dan keagamaan
Merujuk kepada ajaran Islam, manipulasi yang dilakukan terhadap genetik yang dilakukan
oleh pakar-pakar kejuruteraan genetik, khususnya yang melibatkan makhluk yang bernyawa
mempunyai pelbagai implikasi.Firman Allah s.w.t di dalam surah An Nisa' ayat yang ke 119,
yang berbunyi; yang bermaksud:
"Dan aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-
angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka memotong telinga-telinga binatang
ternak (iaitu untuk dipersembahkan kepada berhala), lalu mereka benar-benar memotongnya,
dan akan aku suruh mereka merobah ciptaan Allah, lalu mereka benar-benar merobahnya."

Menurut Abu Bakar Bin Yang (2008) bahawa secara umumnya, merobah ciptaan Allah
adalah merupakan sebahagian daripada amalan syaitan yang akan membawa bala bencana
kepada manusia. Setiap ciptaan Allah yang berada di alam ini adalah berada di dalam keadaan
yang cukup sempurna dan seimbang serta mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada
manusia.

Oleh itu sebarang bentuk pengubahsuian yang dilakukan, yang boleh mendatangkan mudarat
kepada manusia dan alam sekitar adalah dilarang di dalam Islam. Contohnya, seperti
eksperimen yang dilakukan di Russia tidak berapa lama dahulu, di mana benih manusia telah
dikacukkan dengan benih binatang, dengan harapan, kacukan ini akan dapat menghasilkan
satu spesis yang separuh manusia dan separuh binatang yang dapat digunakan sebagai tenaga
buruh di bidang industri ataupun pertanian. Tenaga-tenaga buruh ini diharapkan tidak akan
mendatangkan sebarang masalah kepada manusia kerana mereka senang diarah dan tidak
banyak kerenah seperti manusia biasa.

Sungguhpun begitu, larangan ini adalah tidak mutlak. Islam tetap lagi memberi ruang kepada
sains untuk menerokai bidang genetik ini, tetapi ianya hendaklah sesuai dengan prinsip
kemanusiaan dan tidak mendatangkan mudharat ataupun bahaya kepada manusia dan juga
alam sekitar.


Umpamanya, kemajuan sains dan teknologi dalam menghasilkan bayi tabung uji boleh
digunakan kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Di mana benih daripada suami
boleh disenyawakan dengan benih isteri dan kemudian dibesarkan di dalam kandungan isteri
itu sendiri. Oleh itu tidak timbul masalah mengambil benih daripada orang lain atau
mengambil upah mengandungkan anak orang lain, yang mana akibatnya mendatangkan
porak-peranda di dalam masyarakat.

Begitu juga dengan kaedah kacukan binatang ataupun tumbuh-tumbuhan yang boleh
menghasilkan baka yang lebih baik dan mendatangkan manfaat kepada manusia, ianya adalah
dibolehkan. Ini adalah sesuai dengan sebuah hadis yang menceritakan ada seorang sahabat
yang datang bertanya dengan Rasullullah s.a.w tentang kacukan pohon tamar yang telah
dilakukannya. Maka Rasullullah menjawab, "Engkau lebih mengetahui tentang itu." Ini
menjelaskan kepada kita bahawa kacukan yang membawa faedah kepada manusia dan tidak
memudharatkan kehidupan adalah dibolehkan.

Ketiadaan kawalan
Sekiranya kemajuan sains dan teknologi di bidang genetik ini tidak dibataskan, maka
bayangkanlah kerosakan yang akan dibawanya. Akan timbul masalah-masalah masyarakat,
seperti anak yang mempunyai dua ibubapa, wanita-wanita yang kerjanya hanyalah mengambil
upah untuk mengandungkan anak untuk orang lain, ataupun akan wujud pula binatang yang
mempunyai perasaan dan tabiat seperti manusia ataupun sebaliknya, dan berbagai-bagai
masalah lagi.

Bagi pihak yang mempunyai sumber kewangan yang tidak terbatas, kejuruteraan genetik akan
menjadi satu bentuk pelaburan untuk mereka menghasilkan produk genetik sebagai sokongan
kepada bidang perubatan. Misalannya, menghasilkan klon manusia khusus untuk
mendapatkan organ-organ penting untuk tujuan pemindahan kepada pesakit kronik atau
menjadi bahan uji kaji bagi produk kesihatan. Menyentuh soal ini Daniel Koshland (2000)
mencadangkan reka bentuk keselamatan yang standard bagi mengawal perkembangan
kejuruteraan genetik. Standard ini seharusnya menjadi panduan dan harus dipatuhi oleh setiap
saintis serta pakar-pakar yang terlibat dalam kejuruteraan genetik.



Sandard keselamatan
Terdapat juga persoalan mengenai keselamatan produk yang dihasilkan melalui kejuruteraan
genetik. Hal ini kerana pengubahsuaian yang dilakukan terhadap gen tumbuhan misalnya
melibatkan peningkatan dari segi mutu, serta daya tahan terhadap jangkitan penyakit. Dr.
Ricarda Steinbrecher (1998) menyatakan bahawa terdapat kecenderungan untuk virus
berintegrasi dalam sel tumbuhan yang baru dihasilkan. Keadaan ini akan menyebabkan
kurangnya daya tahan tumbuhan tersebut ke atas penyakit. Apa yang lebih bahaya lagi, sejauh
manakah kita mengetahui bahawa spesis tumbuhan yang dihasilkan bebas daripada toksin
yang baru atau mempunyai kesan alergik kepada pengguna? Apakah kesannya terhadap alam
sekitar dan hidupan liar?

Dalam soal ini juga., Dr. Patrick Dixon (2007) membangkitkan mengenai kesan yang timbul
yang membawa kepada kematian kambing klon Dolly. Menurut kajian, kambing tersebut
mungkin mengalami atritis kerana kesan penuaan sel yang tidak sepatutnya berlaku. Hal ini
berkait rapat dengan petunjuk daripada ujikaji yang merujuk penuaan sel berlaku kerana
secara genetiknya sel Dolly setua sel ibunya. Sehubungan dengan itu juga, proses
pengklonan manusia yang dilakukan oleh pakar genetik kemungkinan besar akan
mewujudkan ketidakseimbangan kepada insan yang dilahirkan dan akhirnya akan
mewujudkan kegagalan kepada proses tersebut.

Terdapat juga kemungkinan teknologi dalam kejuruteraan genetik digunakan oleh pihak yang
tidak bertanggung jawab untuk menghasilkan senjata biologi secara besar-besaran yang boleh
mengancam kesejahteraan dunia sejagat. Dalam soal ini Dr. Patrick Dixon (1995) menyatakan
kejuruteraan genetik membuka lebih banyak peluang untuk penghasilan senjata untuk tujuan
kemusnahan manusia. Reka bentuk virus baru akan dihasilkan untuk membunuh ribuan
nyawa yang tidak berdosa. Hal ini kerana, penggunaan senjata biologi sedemikian boleh
disebarkan dalam sekelip mata melalui udara atau sumber bekalan air. Terdapat juga
kecenderungan firma pembuat senjata biologi untuk menggunakan sekelompok manusia
sebagai sasaran ujian kerana dalam penghasilan senjata biologi, kesan virus yang disebarkan
mungkin tidak sama hasilnya antara satu kelompok dengan kelompok yang lain. Hal ini
berkaitan dengan kemampuan manusia untuk menghasilkan mutasi atau kekebalan terhadap
jangkitan virus. Selain itu juga, penyebaran virus sebagai senjata tidak akan mudah dikawal.
Kemungkinan untuk ia tersebar luas tidak dapat disangkal, menjadikan ia sebagai satu wabak
yang dapat mengancam pihak tentera sendiri mahupun orang awam.
Bibliografi

Gregory B Stock (2000). Engineering the Human Germline : An Exploration of the
Science and Ethics of Altering the Genes We Pass to Our Children. Cary, NC, USA.
Oxford University Press, Incorporated

Patrick Dixon, Dr. (1995) The Genetic Revolution. New York. Kingsway Publication.
Patrick Dixon , Dr. (2007), Jurnal,Future Trends,
http://www.globalchange.com /clonenews.htm

Abu Bakar Bin Yang(2008). Artikel, Kejuruteraan Genetik : Di Mana Batasannya.
www.ikim.gov.my

Ricarda Steinbrecher Dr. (1999). Synthesis/Regeneration: A Magazine of Green Social
Thought, Vol. 18

_________(2008).Artikel, Genetic engineering, recombinant DNA technology, genetic
modification/manipulation. http://en.wikipedia.org/wiki/Genetic_engineering

Anda mungkin juga menyukai