Anda di halaman 1dari 17

1

PENYELEWENGAN ANTI HADIS


1

S.S TAN SRI DATO SERI (DR) HAJI HARUSSANI HAJI ZAKARIA
MUFTI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN




1. PENDAHULUAN

Golongan anti hadis bukanlah satu yang asing dalam Islam, malah ia telah mula
bertapak sejak zaman awal Islam lagi. Secara umumnya, golongan ini cuba untuk
menangkis autoriti hadis sebagai sumber perundangan Islam yang kedua selepas al-
Quran. Justeru, mereka menyeru seluruh umat Islam agar berpegang dan beramal
dengan ajaran yang terdapat di dalam al-Quran semata-mata. Hal ini telah membawa
implikasi yang besar bukan sahaja kepada Syariah malah kepada akidah. Kepincangan
terhadap disiplin ilmu Islam juga jelas terbukti apabila tidak menerima sebarang bentuk
pentafsiran terhadap al-Quran melalui kitab-kitab tafsir muktabar. Bahkan, hanya
berasaskan penaakulan melalui akal serta turut mengambil kira realiti kehidupan
semasa dengan maksud bahawa tidak semua hukum-hakam yang terdapat di dalam al-
Quran dianggap bersesuaian dengan kehidupan umat Islam kini. Kertas ringkas ini
akan cuba menghuraikan berkenaan siri kemunculan fahaman ini, bermula dari zaman
Rasulullah S.A.W. sehingga abad ke 19, kemunculan golongan anti hadis di Malaysia
serta punca yang mempengaruhi fahaman ini, faktor-faktor penolakan hadis serta
hujah-hujah bagi menyanggahinya, seterusnya saranan dan kesimpulan terhadap
kertas kerja ringkas ini.




1
Kertas ini dibentangkan di Wacana Pengukuhan Nilai-Nilai Islam Bicara dan Khutbah bersama Mufti
pada 25 April 2014 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
2

2. SEJARAH KEMUNCULAN ANTI HADIS

Pada zaman Rasulullah S.A.W., bibit-bibit kemunculan golongan ini dapat ditinjau di
kalangan kaum Quraisy yang telah mendustakan ajaran Baginda serta melemparkan
tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Namun, mereka ini tidaklah dikategorikan sebagai
anti hadis kerana telah nyata akidah mereka yang tidak beriman terhadap ajaran Islam
itu sendiri.

Semasa zaman Sahabat r.a., terdapat seorang yang bernama Umaiyah bin Khalid yang
cuba mencari penyelesaian terhadap seluruh permasalahan dengan hanya merujuk
kepada al-Quran sahaja. Dia telah membincangkan hal tersebut dengan Abdullah bin
Umar r.a. Namun, Ibnu Umar telah mengingatkannya agar menerima dan
melaksanakan apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Sungguhpun begitu, ia
hanyalah dalam ruang lingkup pandangan peribadi seseorang dan tidaklah berkembang
dalam bentuk kumpulan atau gerakan.

Al-Hasan berkata, semasa Imran bin Husain sedang mengajar hadis, terdapat seorang
yang meminta agar tidak perlu mengajar hadis, memadai dengan al-Quran sahaja.
Imran menjawab, "Engkau dan sahabat-sahabat engkau boleh membaca al-Quran.
Mahukah engkau mengajarkanku sembahyang dan syarat-syaratnya kepadaku? Atau
zakat dan syarat-syaratnya? Engkau selalu tidak hadir. Sedangkan Rasulullah s.a.w.
telah mewajibkan zakat begini.. begini.." Orang itu menjawab, "Terima kasih, aku baru
sedar." Pada kemudian harinya, orang itu menjadi seorang ahli fikah.

Seterusnya, golongan ini telah muncul secara berkelompok dalam kurun kedua Hijrah.
Mereka ini berorientasikan kepada dua perkara iaitu penolakan terhadapa hadis yang
bersifat bukan Mutawatir seperti Hadis Ahad, seterusnya mereka yang mendakwa
bahawa hadis bukanlah penerang atau penguat kepada al-Quran bahkan dianggap
sebagai hukum yang terpisah daripada al-Quran.

3

Pada zaman berkenaan , orang yang mula-mula berdebat dengan golongan berkenaan
ialah al-Imam al-Syafie r.a. Beliau telah berjaya mematahkan idea-idea palsu yang
dikemukakan oleh anti hadis sehingga mereka kembali bersetuju dengan hujah-hujah
beliau seterusnya berpegang kepada hadis Rasulullah S.A.W.

Selepas kurun ke 11 Hijrah, muncul semula fahaman ini yang dipelopori oleh
segolongan Orientalis di Iraq dengan slogan menolak hadis. Situasi yang sama turut
berlaku di Mesir pada zaman Sheikh Muhammad Abduh (1849-1905).

Hal ini muncul ekoran rancaknya keraguan yang ditimbulkan oleh penjajah Barat di hati
sebahagian umat Islam ketika mana mereka menjajah negara mereka. Tujuan
utamanya ialah untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam yang ketika itu berada dalam
keadaan lemah.

Bertitik tolak daripada itu, Dr Tawfiq Sidqi telah menulis dua makalah di dalam majalah
al-Manar bilangan 7 dan 12 yang bertajuk Ajaran Islam ialah al-Quran sahaja. Beliau
telah mengemukakan dalil-dalil dari al-Quran dengan motif agar tidak berpegang
kepada hadis.

Pada tahun 1929, Dr Ahmad Amin telah menulis di dalam bukunya yang bertajuk Fajr
al-Islam yang menyentuh berkenaan hadis dan percampuran antara yang hak dan
yang batil mengenainya. Pendapat tersebut kekal sehinggalah beliau meninggal dunia.

Perihal berkenaan keraguan terhadap hadis ini telah disebarkan pula oleh seorang
yang bernama Ismail Adham di dalam risalahnya yang bertajuk Tarikh al-Sunnah pada
tahun 1934. Beliau menyebut bahawa hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab
hadis itu bukanlah ada asasnya bahkan boleh diragui bahawa terdapat padanya unsur-
unsur pemalsuan hadis.

Terdapat di kalangan cendekiawan Islam yang menuntut di Eropah yang telah
terpengaruh dengan ajaran anti hadis ini. Sebagai contoh, Rashad Khalifa yang
4

berkelulusan biokimia dari Amerika Syarikat dan berasal dari Mesir telah
memperkenalkan kod 19 yang merupakan satu penyelewengan besar dalam
pentafsiran al-Quran. Beliau turut menyatakan bahawa terdapat penambahan kepada
al-Quran pada surah al-Taubah iaitu pada dua ayat yang terakhir. Hal ini kerana
menurutnya ayat-ayat tersebut tidak dapat diselaraskan melalui kod 19 itu.

Menurut beliau lagi, hadis bukan sahaja dianggap palsu malah ia merupakan ciptaan
Iblis. Maka, sesiapa yang mempercayai hadis bermakna mempercayai ajaran Iblis.
Pendapat-pendapat beliau yang menyeleweng terhadap hadis itu dapat dilihat melalui
buku-buku tulisannya seperti Miracle of the Quran: Significance of the Mysterious
Alphabets, The Computer Speaks: God's Message to the World, Qur'an: The Final
Scripture, Qur'an: Visual Presentation of the Miracle, Qur'an, Hadith and Islam dan
Qur'an: The Final Testament.

3. KEMUNCULAN ANTI HADIS DI MALAYSIA

Pergerakan anti hadis di Malaysia telah dipelopori oleh Kassim Ahmad, seorang
pengasas Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Beliau bersama-sama rakan-rakannya seperti
Othman Ali dan Abdul Manan Harun mula mengembangkan fahaman ini pada tahun
1985. Mereka cuba menarik perhatian umat Islam dengan mengemukakan teori
bahawa ajaran Islam memadai dengan hanya berpandukan al-Quran serta kajian
saintifik menerusi akal.

Idea tersebut kemudiannya dikembangkan menerusi penulisan artikel yang bertajuk
Penolakan Teori Ahli-ahli Hadis di dalam ruangan Berani Kerana Benar dalam
akhbar Watan. Pada September 1985, beliau telah menganjurkan sebuah Majlis Diskusi
yang membahaskan berkenaan Teori Hadis di Pejabat ALIRAN (ALIRAN
KESEDARAN RAKYAT) di Jalan Sungai Nibong, Bayan Baru, Pulau Pinang dan juga di
rumah beliau sendiri di No. 8, Jalan Gajah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Berikutan itu,
beliau telah dikecam oleh para ulama atas doktrin sesatnya itu dan pihak kerajaan
5

telah membatalkan beberapa siri ceramah beliau yang telah dirancang untuk diadakan
di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Seterusnya pada bulan Mei 1986, Kassim Ahmad telah menulis sebuah buku yang
bertajuk Hadis: Satu Penilaian Semula terbitan Media Intelek Sdn. Bhd. Di dalam buku
tersebut, Kassim menceritakan bagaimana ia mendapat idea berkenaan penilaian
semula hadis berasaskan pembacaannya melalui buku-buku tulisan Dr. Rashad Khalifa
seperti The Computer Speaks: Gods Message to the World, Quran The Final
Scripture, Quran, Hadith and Islam dan Quran Visual Presentation of the Miracle.
Beliau juga cuba untuk membuktikan andaiannya bahawa hadis merupakan satu ajaran
palsu yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad S.A.W. dan dianggap sebagai salah satu
dari punca perpecahan dan kemunduran umat Islam. Atas faktor ini, maka kerajaan
telah mengharamkan buku tersebut melalui Warta Kerajaan bertarikh 10 Julai 1986.

Pada Oktober 1992, beliau dengan pendirian yang sama telah menulis sebuah buku
yang bertajuk Hadis Jawapan Kepada Pengkritik terbitan Media Intelek Sdn. Bhd.
Maka, kerajaan sekali lagi telah mengharamkan buku berkenaan melalui Warta
Kerajaan yang bertarikh 21 April 1994.

Dalam perkembangan yang lain, Othman Ali telah menghasilkan karyanya yang
bertajuk Bacaan yang merupakan terjemahan dari kalimah al-Quran. Keseluruhan
kandungan Bacaan ini adalah himpunan tafsiran selapis beliau terhadap setiap bilah
ayat al-Quran yang berbahasa Arab. Oleh itu, kerajaan telah mengharamkannya
melalui warta bertarikh 22 Julai 1995.

Seterusnya pada 11 Jun 1995, golongan anti hadis ini telah menubuhkan Jemaah al-
Quran Malaysia atau lebih dikenali sebagai JAM di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Motif penubuhannya ialah menyeru umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia
kembali kepada ajaran Tuhan dalam kitab suci-Nya iaitu al-Quran. Walau
bagaimanapun, pertubuhan ini gagal didaftarkan kerana tidak mendapat kebenaran
daripada Kerajaan Malaysia.
6

4. PUNCA YANG MEMPENGARUHI FAHAMAN INI

Antara faktor terpenting yang mempengaruhi perkembangan fahaman ini ialah
terpengaruh dengan idea-idea yang yang dikemukakan oleh orientalis Barat. Sebagai
contoh, Dr. Rashad Khalifa yang bukan berlatarbelakangkan Pengajian Islam telah
cuba untuk membahas isu-isu yang berkaitan dengan sumber perundangan hukum
Islam yang ternyata hanyalah berasaskan kajian saintifik beliau serta penaakulan akal
semata-mata. Walhal, hukum Islam bukanlah boleh diukur keberkesanannya
berdasarkan anggapan atau pemikiran yang bersifat terhad malah ia merupakan wahyu
daripada Allah S.W.T. yang tidak boleh dikritik apatah lagi untuk menafikannya secara
mutlak.

Malah, terdapat beberapa orientalis sebelum beliau seperti Ignaz Goldziher dan Joseph
Schacht yang telah mengkritik keautoritian hadis sebagai sumber hukum dengan
menyatakan bahawa hadis merupakan ajaran palsu yang muncul antara 200-250 tahun
selepas kewafatan Nabi S.A.W. dan kemudian dikaitkan dengan Baginda. Mereka juga
mendakwa kitab-kitab hadis sahih tidak mengandungi kata-kata atau perbuatan Nabi
S.A.W., bahkan ia mengandungi anggapan atau tekaan pengumpul-pengumpul hadis
seperti al-Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam al-Tirmizi, Imam Abu Daud, Imam al-
Nasai dan Imam Ibnu Majah sebagai hadis sahih atau riwayat-riwayat sahih mengenai
kata-kata dan perbuatan Nabi S.A.W.

Jelas di sini bahawa mereka cuba mengaitkan kebenaran fakta dengan akal pemikiran
dalam membuktikan bahawa sesuatu kebenaran yang tersimpan dan muncul semula
selepas beberapa ketika boleh terdedah dengan unsur-unsur kekurangan atau
penyelewengan. Dalam erti kata yang mudah, kebenaran itu tidak semestinya bersifat
kekal malah perlu dikaji semula akan kesahihannya agar bersesuaian dengan
keperluan akal dan keadaan kehidupan semasa.



7

5. FAKTOR-FAKTOR PENOLAKAN HADIS

Terdapat beberapa faktor tertentu yang dikemukakan bagi menolak autoriti hadis
sebagai sumber perundangan Islam. Namun, ia boleh ditinjau melalui tiga sudut
pandangan iaitu akidah, syariah dan akhlak. Antaranya ialah:

5.1 Akidah

a) Kassim Ahmad menganggap hadis merupakan satu penyelewengan daripada
ajaran-ajaran Nabi Muhammad S.A.W. dan tidak boleh diterima sebagai sumber
perundangan Islam. Malahan, ia dianggap muncul selepas kewafatan Rasulullah
S.A.W. lalu dikaitkan dengan Baginda.

b) Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W.
melalui Malaikat Jibril serta dianggap telah lengkap, sempurna dan terperinci.
Oleh itu, al-Quran tidak memerlukan sebarang bentuk penghuraian mahupun
pentafsiran.

c) Beliau juga beranggapan bahawa umat Islam telah menyeleweng dari ajaran
Tuhan yang sebenar. Ajaran Tuhan yang sebenar adalah semasa zaman Nabi
Muhammad S.A.W. sebagai Nabi terakhir serta yang dibawa oleh Baginda ialah
al-Quran dan tidak ada yang lain daripada itu.

d) Malahan, hadis dianggap sebagai satu catatan sejarah yang boleh dan perlu
dikaji oleh para penyelidik untuk memahami dan menilai zaman itu.

e) Lafaz dua Kalimah Syahadah yang diucapkan oleh umat Islam kini adalah
dilarang oleh al-Quran kerana syahadah yang diwajibkan hanyalah .

8

f) Beliau turut menolak kepercayaan kepada Qada dan Qadar yang merupakan
salah satu perkara terpenting dalam Rukun Iman. Hanya kerana ia dinyatakan
melalui hadis lalu dianggap bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam al-
Quran.

g) Tafsiran berkenaan kalimah (

) dalam surah al-Baqarah ayat 2 yang


ditafsirkan oleh al-Imam al-Syafie sebagai sunnah atau hadis adalah tidak
munasabah. Kassim Ahmad telah merujuk tafsiran oleh Maulana Muhammad Ali
yang menyatakan bahawa kalimah (

) adalah salah satu nama al-Quran.


h) Seterusnya, beliau menghuraikan maksud ayat al-Quran dalam surah al-Nisa
ayat 59 iaitu:


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan
taatlah kamu kepada Rasulullah

Beliau menyatakan bahawa kita disuruh mentaati Rasul ialah mentaati
perutusannya dan bukan mentaati Nabi Muhammad S.A.W.

i) Dengan merujuk surah al-Ahzab ayat 21:


Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu
contoh ikutan yang baik,..

Beliau menyatakan bahawa ayat ini tidak bermaksud untuk merujuk kepada
gerak geri dan kelakuan Nabi Muhammad S.A.W. seperti cara beliau makan,
pakai, tidur dan sebagainya. Ia sebenarnya merujuk kepada keyakinan,
pegangan, pendirian dan perjuangan. Malahan, semua kelakuan dan gerak geri
9

seseorang itu ditentukan oleh faktor-faktor seperti kebudayaan, pendidikan,
semasa, tempat dan perbuatan.


5.2 Syariah

a) Menolak sebarang bentuk kaifiat solat daripada hadis malahan beliau
menganggap amalan solat ini telah diwarisi sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi.
Seterusnya, bilangan waktu solat hanyalah tiga kali sehari semalam dan bukan
lima kali serta bilangan rakaat yang boleh dikerjakan dengan minimum satu
rakaat sahaja. Manakala, bahasa yang digunakan semasa mengerjakan solat
adalah tidak terhad kepada bahasa Arab sahaja bahkan boleh menggunakan
apa jua bahasa termasuk semasa membaca surah al-Fatihah.

b) Kassim Ahmad dalam satu kenyataannya di dalam akhbar Utusan Malaysia
bertarikh 14 Ogos 1995, telah menyatakan bahawa wanita Muslimah boleh
memakai apa sahaja pakaian walaupun hal keadaannya mendedahkan anggota
tubuh badan dengan syarat ia hendaklah bersopan dan tidak menyalahi adat
serta budaya masyarakat setempat. Menurutnya, aurat ialah menutup bahagian
sulit yang menjadi perkara sumbang kepada masyarakat jika didedahkan. Beliau
juga turut menyebut bahawa tanda pada aurat ialah wuduk. Dengan berasaskan
penaakulan beliau, sekiranya kepala itu ditutup nescaya Allah tidak menyuruh
agar menyapunya.

5.3 Akhlak

a) Menurut Kassim Ahmad lagi, apa-apa bentuk penghormatan, penghargaan
mahupun kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W. tidak bermakna untuk
mendewa-dewakan Baginda sehingga meletakkan kata-kata dan perbuatan
Baginda sebagai wahyu dan setaraf dengan al-Quran.

10

b) Seorang pengikut anti Hadis bernama Wadan Kassim dalam tulisannya di dalam
akhbar Berita Harian bertarikh 14 Julai 1995 telah meyamakan kedudukan
ulama dengan pendita-pendita berdasarkan pemahamannya terhadap ayat al-
Quran.

c) Puan Kalsom Abd. Rahman telah menulis sepucuk surat kepada BAHEIS
bertarikh 15 Disember 1994 yang antara lainnya menyatakan bahawa
kedudukan Rasulullah S.A.W. adalah sama seperti posmen yang hanya
menyampaikan ajaran al-Quran tanpa perlu kepada sebarang bentuk
penghuraian mengenainya.

d) Golongan anti hadis ini tidak menghuraikan penjelasan mereka menurut disiplin-
disiplin ilmu yang telah digariskan oleh Islam. Ia hanya menggunakan pendalilan
secara aqli dan kaedah saintifik semata-mata tanpa berpandukan al-Quran,
Hadis, Ijma Ulama dan Qiyas. Di samping itu, mereka juga tidak merujuk
kepada kitab-kitab muktabar dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan
perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah dan syariah. Malahan mereka
hanya merujuk kepada buku-buku yang ditulis oleh orientalis barat seperti Dr.
Rashad Khalifa, Ignaz Goldziher dan Joseph Schacht.


6. HUJAH-HUJAH PENYANGGAHAN

Terdapat beberapa hujah yang boleh dikemukakan di sini bagi menjawab beberapa
tuduhan palsu yang dilemparkan oleh golongan anti hadis mengenai peranan hadis
sebagai sumber kedua dalam perundangan Islam. Antaranya ialah:
a) Semua ayat-ayat al-Quran yang diturunkan ada yang bersifat mujmal, mutlak
dan umum dan bukanlah semua ayat didatangkan secara terperinci sepertimana
yang didakwa. Rasulullah S.A.W. telah diutuskan yang antaranya sebagai
penghurai dan pentafsir kepada ayat-ayat al-Quran yang bersifat mujmal dengan
ayat-ayat yang bersifat bayan serta ayat-ayat yang bersifat mutlak dengan ayat-
11

ayat yang bersifat muqayyad dan ayat-ayat yang bersifat umum dengan ayat-
ayat yang bersifat khusus. Segala bentuk ibadat tidak dapat dilaksanakan tanpa
bimbingan hadis. Sebagai contoh, kaifiat ibadat solat banyak diperolehi melalui
hadis sedangkan ayat yang terkandung di dalam al-Quran hanyalah perintah
untuk mengerjakan solat yang bersifat mujmal.

b) Terdapat beberapa tafsiran berkenaan kalimah (

) . Antaranya ialah
sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab Tafsir al-Khazin bahawa Qatadah
telah menafsirkan bahawa kalimah (

) ialah al-Sunnah iaitu hadis.


Manakala di dalam Tafsir al-Baghawi, Mujahid telah menafsirkannya sebagai
orang yang faham al-Quran. Muqatil pula menyatakan bahawa ia merupakan
beberapa peringatan dan hukum yang ada dalam al-Quran. Seterusnya,
Qutaibah pula menafsirkannya sebagai ilmu dan amal. Semua ini merupakan
tafsiran daripada Tabiin yang merupakan anak-anak murid kepada seorang
sahabat yang bernama Abdullah bin Abbas r.a.

c) Kalimah (

) dalam surah al-Nisa', ayat 59 adalah bersifat menyeluruh dan


bukanlah hanya dengan taat kepada perutusan Baginda semata-mata malah ia
turut mencakupi agar taat kepada perkataan, perbuatan dan persetujuan
Rasulullah S.A.W. yang dikategorikan sebagai Sunnah.

d) Kalimah (

) dalam surah al-Ahzab ayat 21 merujuk kepada segala


bentuk perbuatan Rasulullah S.A.W. yang bersifat ( ) sebagai contoh
ikutan kepada umatnya. Ia menjadi perundangan Islam yang wajib ditaati dan
dilaksanakan oleh umat Islam. Manakala, gerak-geri dan kelakuan Baginda yang
merupakan kebiasaan kepada manusia bukanlah dianggap sebagai Syariat
yang wajib untuk diikuti. Begitu juga perkara-perkara tertentu yang dikhususkan
12

kepada Baginda ( ) seperti mengahwini wanita tanpa mahar
adalah keizinan yang diberi oleh Allah S.W.T. khusus kepada Baginda.


7. SARANAN

Pada akhir kajian ini, dikemukakan beberapa saranan kepada pihak-pihak yang
berkenaan agar ia dapat dimanfaatkan seterusnya tindakan lanjut dapat diambil agar
fahaman anti hadis ini dapat dikekang daripada terus merebak ke dalam jiwa umat
Islam seluruhnya.

7.1 Individu

a) Pemantapan ilmu agama secara menyeluruh perlu dilipatgandakan dengan
menghadiri kelas-kelas pengajian agama sama ada di masjid mahupun di surau.

b) Sentiasa berhubung dengan institusi-institusi agama seperti Bahagian
Penyelidikan, di Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Jabatan Mufti, atau melalui
badan-badan bukan kerajaan atau NGO dan sebagainya bagi memperoleh
sumber maklumat yang tepat berkaitan dengan isu-isu agama seperti ini.

c) Memberi pendedahan awal berkaitan bahayanya anti hadis kepada ahli keluarga
dalam memastikan institusi keluarga tidak rapuh dek kegersangan akidah
seterusnya bagi melahirkan modal insan yang berjiwa murni dengan pegangan
rohani yang kukuh dan sejati.

d) Bekerjasama dengan pihak berkuasa agama melalui aduan maklumat sekiranya
terdapat gejala anti hadis yang berlaku agar ia dapat dibendung di peringkat
lebih awal.

13

7.2 Masyarakat

a) Sentiasa mengingatkan atau menasihati anggota setempat agar tidak terlibat
dalam apa-apa jua doktrin yang bertentangan dengan agama Islam.

b) Peranan komuniti setempat seperti JKKK , Rukun Tetangga juga tidak terkecuali
dalam memastikan setiap aktiviti yang dijalankan oleh penduduk setempat tidak
bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

c) Bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dalam menyalurkan maklumat
sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan ajaran Islam dari
semasa ke semasa agar tindakan awal dapat diambil seterusnya dapat
dilumpuhkan secara tuntas dan bersepadu.

7.3 Institusi-institusi Agama

a) Mengadakan program-program kesedaran tentang bahayanya gejala anti hadis
dan fahaman-fahaman lain yang menyeleweng kepada masyarakat sama ada
forum, seminar mahupun diskusi agar masyarakat dapat mengetahui hakikat
sebenar bahaya anti hadis.

b) Mengedarkan risalah dan buku kepada masyarakat ataupun melalui penulisan
artikel di akhbar-akhbar sebagai perkongsian maklumat mengenai bahaya anti
hadis serta fahaman-fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.

c) Memantapkan juga program-program tentang bahaya anti hadis ini di kalangan
pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi atau IPTA agar para pelajar tidak
terkeliru dengan unsur-unsur penolakan hadis sebagai sumber hukum dalam
Islam seterusnya memantapkan lagi kefahaman mereka tentang nilai-nilai ajaran
Islam yang sebenar.

14

d) Mengadakan program dialog dengan golongan anti hadis bagi mendedahkan
hakikat kebenaran mengenai peranan hadis sebagai sumber hukum dalam
perundangan Islam. Hal ini penting bagi memastikan agar mereka dapat menilai
semula pegangan mereka yang salah dan kembali kepada ajaran Islam yang
sebenar seterusnya dapat melumpuhkan lagi pergerakan ini daripada terus
tersebar di kalangan umat Islam.

7.4 Pihak Berkuasa Agama

a) Melakukan pemantauan secara berperingkat terhadap pergerakan dan
perkembangan golongan anti hadis dari semasa ke semasa.

b) Mengadakan sesi kaunseling bersama golongan anti hadis di Pusat Pemulihan
Akidah bagi memastikan agar mereka mendapat bimbingan dan gambaran yang
betul mengenai hadis dan kedudukan Baginda sebagai utusan Allah S.W.T.

c) Bekerjasama dengan pihak berkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia atau
PDRM dalam menjalankan siasatan dan melakukan tangkapan terhadap mereka
yang terlibat dengan fahaman anti hadis ini.


8. KESIMPULAN

Walaupun terdapat di kalangan pendokong fahaman ini yang telah dan sedang diambil
tindakan undang-undang ke atasnya namun tidaklah bermakna bahawa gerakan ini
akan lumpuh secara serta merta. Selagi ada pengikutnya, sudah tentu akan muncul
pula pendokong lain di kalangan mereka yang akan menghidupkannya serta cuba untuk
meracuni fikiran umat Islam dengan pendekatan yang berlainan. Dalam hal ini
Rasulullah S.A.W. telah menegaskan melalui hadis Baginda:

15

.
Maksudnya: Daripada Miqdam bin Madikariba r.a. berkata: Rasulullah S.A.W.
bersabda: Hampir tiba di suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk
bersanda di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada
hadisku maka ia berkata: Pegangan kami dan kamu hanyalah Kitabullah (al-Quran)
sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan dan apa yang ia haramkan
maka kami haramkan. Kemudian Nabi S.A.W. melanjutkan sabdanya: Padahal apa
yang diharamkan oleh Rasulullah S.A.W. samalah hukumnya dengan apa yang
diharamkan oleh Allah S.W.T. (Riwayat Abu Daud)

Namun begitu, kesedaran yang tinggi perlu ada dalam diri setiap Muslim terhadap peri
pentingnya peranan hadis dalam perundangan Islam bahkan dalam kehidupan manusia
itu sendiri. Hal ini kerana, ia bukan sahaja untuk tujuan perlaksanaan ibadah semata-
mata malah turut mempengaruhi pegangan iktikad terhadap ajaran Islam. Justeru,
semua umat Islam perlu berganding bahu dalam memastikan pegangan yang kukuh
terhadap al-Quran dan al-Sunnah dapat ditingkatkan demi menjaga kedaulatan ajaran
Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan.







16

RUJUKAN

Al-Quran al-Karim

1. Basmeih, Abdullah bin Muhammad. 1980. Pimpinan al-Rahman Kepada
Pengertian al-Quran. Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri.



Buku-buku

1. __________________. 1995. Penjelasan Terhadap Fahaman Anti Hadith. t.t.:
Jabatan Perdana Menteri.
2. __________________. 1986. Salah Faham Terhadap Hadith: Satu Penjelasan.
Kota Bharu: Majlis Ugama Islam Kelantan.
3. Ahmad, Kassim. 1986. Hadis Satu Penilaian Semula. Petaling Jaya: Media
Intelek.
4. Al-Adzamiyy, Muhammad Mustafa. 1980. Dirasat fi al-Hadith al-Nabawiyy wa
Tarikh Tadwinuhu. Beirut: al-Maktab al-Islamiyy. Jil. 1.
5. Al-Sibaiyy, Mustafa. t.t. Al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri al-Islamiyy. t.t.:
Dar al-Warraq.
6. Al-Syafii, Muhammad bin Idris. 2004. Al-Umm. Al-Mansurah: Dar al-Wafa. Jil. 9.
7. Ibrahim, Said. 1987. Penolakan Terhadap Penilaian Semula Hadith. Kuala
Lumpur: Media Hasda.
8. Muda, Ab. Latif & Ali @ Mat Zin, Rosmawati. 2013. Ulum al-Hadith. Kuala
Lumpur: Pustaka Salam.
9. Zainal, Mohd Ali. 2005. Himpunan Fatwa Warta Kerajaan Negeri Melaka (1986
2005). Melaka: Jabatan Mufti Negeri Melaka.
10. Zamzam, Ahmad Fahmi. 1998. 40 Hadith Tentang Peristiwa Akhir Zaman. Pokok
Sena: Khazanah Banjariyah.

17


Hadis

1. Al-Naysaburi, Muhammad bin Abdullah al-Hakim. t.t. Al-Mustadrak ala al-
Sahihayn. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Jil. 1.
2. Al-Qazwiniyy, Muhammad bin Yazid. t.t. Sunan Ibnu Majah. t.t.: Dar Ihya al-
Kutub al-Arabiyyah. Jil. 1.

Perisian

1. Al-Maktabah al-Syamilah. Versi 3.5.
Laman web

1. http://en.wikipedia.org/wiki/Rashad_Khalifa
2. http://www.dorar.net/hadith
3. http://www.oamweb.com/business/pineview/

Anda mungkin juga menyukai