Anda di halaman 1dari 3

Cara ASEAN hadapi keganasan

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR dan NIZAM YATIM (WARTAWAN UTUSAN)


MALAYSIA sejak akhir-akhir ini sering diberi kepercayaan oleh negara-negara lain sebagai
`wakil utama' dalam memperjuangkan soal keamanan dan keselamatan dunia.
Ini dapat dilihat dengan pengiktirafan Malaysia sebagai tuan rumah beberapa mesyuarat utama
seperti mesyuarat Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dan Mesyuarat Agung
Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC) yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Semasa persidangan OIC pada 1 hingga 3 April lalu, Malaysia telah mengambil langkah tegas
dalam menangani jenayah keganasan antarabangsa, khususnya dalam menghadapi isu Palestin.
Kenyataan Datuk Seri Dr. Ma-hathir Mohamad semasa persidangan itu dilihat telah membuka
mata beberapa kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri telah memperlihatkan sikap Malaysia dengan mengambil pendirian yang tegas
iaitu serangan ke atas orang awam, biar atas alasan apa sekalipun, adalah keganasan dan tidak
boleh diterima.
Beliau merujuk kepada tindakan-tindakan berani mati yang dilakukan oleh rakyat Palestin
terhadap rakyat Israel.
Pendirian ini seterusnya mendapat perhatian AS dan memperkukuhkan imej Malaysia sebagai
suara sederhana Islam.
Semua ini menyedarkan AS bahawa Malaysia bukan seperti apa yang disangkakan, kerana kita
mempunyai pemimpin yang tegas dan pada masa yang sama menyeru kepada keamanan.
Malaysia bukanlah sarang pengganas. Malah, negara kita adalah antara yang pertama bertindak
ke atas golongan yang ternyata memiliki kecenderungan menjadi ganas meskipun langkah itu
mendapat kritikan dari dalam dan luar negara termasuk dari AS sendiri.
Lawatan Dr. Mahathir selama tiga hari ke AS yang berakhir baru-baru ini juga telah mencipta
satu hubungan baru antara Kuala Lumpur dan Washington.
Perdana Menteri melawat Washington kali ini sebagai pemimpin yang semakin berpengaruh
dalam dunia Islam.
Lebih daripada itu, beliau dilihat oleh AS dan Eropah sebagai pendukung utama Islam
sederhana, menjadikan beliau sekutu penting dalam perang terhadap keganasan.
Dilihat dalam ruang lingkup yang lebih kecil, usaha yang dijalankan oleh Malaysia di peringkat
ASEAN ialah mewujudkan kerjasama sebaik mungkin antara 10 negara serantau dalam
menangani keganasan sedia ada.
Antara beberapa siri pergolakan serantau yang terjadi ialah penculikan oleh Abu Sayyaf di
Filipina, aktiviti lanun di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan, penculikan pelancong di
Pulau Sipadan, Malaysia serta kemasukan pendatang asing tanpa izin di beberapa negara
ASEAN.
Ketika bercakap mengenai langkah memerangi keganasan dan jenayah serantau, maka Malaysia
telah diberi penghormatan sekali lagi untuk menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Khas
Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Keganasan yang akan diadakan di Hotel Renaissance, Kuala
Lumpur bermula hari ini.
Mesyuarat itu bertujuan membentuk program kerja bagi menangani masalah keganasan di
rantau Asia Tenggara.
Timbalan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Ahmad Mokhtar Selat pada taklimat media sempena
mesyuarat itu baru-baru ini berkata, mesyuarat tersebut membabitkan kesemua 10 buah negara
ASEAN.
Ia akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
selaku Menteri Dalam Negeri selain dihadiri oleh menteri-menteri yang berkaitan keselamatan
dalam negeri.
Antara yang telah mengesahkan kehadiran mereka ialah Menteri Dalam Negeri Brunei, Pehin
Datuk Isa Ibrahim; Naib Menteri Keselamatan Awam Vietnam, Leftenan Jeneral Le The Tiem;
Menteri Dalam Negeri Singapura, Wong Kan Seng dan Menteri Dalam Negeri Laos, Mejar
Jeneral Soutchay Thammasith.
Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri Myanmar, Kolonel Tin Hlaing; Setiausaha Kerajaan
Tempatan dan Dalaman Filipina, Jose D. Lina JR; Ketua Polis Indonesia, Jeneral Drs. Dai
Bachtiar dan Setiausaha Dalam Negeri Kemboja, Em Sam An.
``Mesyuarat ini bertujuan mendapat persetujuan negara-negara anggota berhubung satu draf
program kerja memerangi keganasan yang telah disiapkan sebagai rujukan awal,'' kata beliau.
Bagaimanapun, Ahmad Mokhtar enggan mendedahkan lebih lanjut kandungan draf terbabit
dengan alasan ia belum diluluskan oleh menteri ASEAN.
Beberapa diplomat ASEAN yang ditanya mengenai mesyuarat tersebut memberitahu antara isu
utama yang mungkin dibincangkan ialah berhubung langkah meningkatkan pertukaran
maklumat perisikan berkaitan kegiatan kumpulan pengganas yang bergiat di negara masing-
masing.
Mereka menjangkakan Malaysia mungkin membuat desakan supaya mesyuarat mengeluarkan
satu persetujuan bersama mengenai takrif pengganas dan keganasan secara jelas yang boleh
diguna pakai di setiap negara anggota.
Malaysia turut diramal akan meminta ASEAN mendesak masyarakat dunia supaya mengadakan
persidangan antarabangsa bagi mengenal pasti punca-punca berlakunya keganasan.
Bersempena dengan mesyuarat peringkat menteri itu, maka Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan
ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan Ke-2 (SOMTC) juga telah diadakan selama dua
hari pada Khamis dan Jumaat lalu.
Mesyuarat tahunan pegawai-pegawai kanan ASEAN yang terlibat dalam usaha membanteras
jenayah rentas sempadan itu telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam
Negeri, Datuk Seri Aseh Che Mat.
Menurut Ahmad Mokhtar, mesyuarat telah membincangkan lapan perkara iaitu usaha
menangani pengedaran dadah, ancaman pengganas, penyeludupan senjata, pelaburan wang
haram, kemasukan pendatang asing tanpa izin, kegiatan lanun, jenayah ekonomi antarabangsa
dan jenayah siber.
Pegawai-pegawai kanan ASEAN juga telah mengadakan mesyuarat susulan selama sehari pada
Sabtu lalu yang membincangkan secara mendalam mengenai langkah-langkah menangani
keganasan.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam
Negeri, Hamzah Md. Rus berkata, selain kerjasama di peringkat ASEAN, negara-negara anggota
juga akan meneruskan inisiatif masing-masing untuk mengadakan kerjasama di peringkat dua
hala dan pelbagai hala.
Kata beliau, Malaysia, Indonesia dan Filipina contohnya, telah mengambil inisiatif sesama
mereka untuk meningkatkan lagi kerjasama khususnya dalam bidang pertukaran maklumat dan
kepakaran.
Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam dan rakan dialog ASEAN iaitu China juga telah
mewujudkan hubungan kerjasama bagi mengawal pengedaran dadah di Lembah Mekong.
Program kerja itu juga merangkumi langkah dan inisiatif berdasarkan enam tonggak strategik,
khasnya pertukaran maklumat, kerjasama hal perundangan dan penguatkuasaan undang-
undang, pembinaan kapasiti institusi serta kerjasama latihan.
Selain itu, forum lain dalam ASEAN yang terbabit dalam memerangi jenayah merentasi
sempadan ialah mesyuarat Ketua-Ketua Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL), Pegawai-Pegawai
Kanan ASEAN Mengenai Hal-Hal Dadah (ASOD) serta Ketua-Ketua Pengarah Imigresen ASEAN
dan Ketua-Ketua Bahagian Hal Ehwal Konsul Kementerian-Kementerian Luar (DGICM).
ASEANAPOL akan membincangkan aspek menangani pencegahan, penguatkuasaan dan operasi
terhadap jenayah rentas sempadan.
Ia mempunyai pangkalan datanya bagi membolehkan negara anggota bertukar maklumat lebih
cepat dan lebih terjamin untuk menawarkan laluan tambahan bagi mencapai sistem komputer di
Sekretariat Am Interpol.
ASOD pula berperanan merangka strategi bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah,
sementara DGICM adalah rangkaian pihak berkuasa imigresen ASEAN yang bertanggungjawab
menangani penyeludupan manusia merentas sempadan.


Artikel
Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia
&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz3CgdWCpCW
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai