Anda di halaman 1dari 13

PERANG 1511: MELAKA KALAH DENGAN MUDAH?

Gambaran kemegahan Istana Melaka. Adakah Melaka sekadar jeti pelabuhan ala-ala kampung?
Masih terngiang-ngiang di telinga saya, beberapa orang rakan malah guru yang mengejek dan
mencemuh dengan kata-kata alahapalah hebat sangat pada Melaka, Portugis serang tak sampai
seminggu terus kalah teruk, lari lintang pukang...Melaka kalah dengan mudah kerana teknologi
persenjataan yang sangat lemah, bayangkanlah orang kita berperang hanya guna keris, sumpit dan
tombak, padahal Portugis guna meriam dan senapang, mana tak kalahnyaOrang Melaka semua jakun
sebab tak pernah tengok Meriam lalu lari lintang pukang. Kalaulah mereka tahu hakikat yang sebenar,
kalaulah. Sebenarnya apakah yang berlaku dalam peristiwa 1511 ini dan bagaimanakah gambaran
sebenar detik-detik Melaka mempertahankan dirinya dari diperkosa Portugis?
Gambaran pelukis Portugis akan serangan terhadap Kota Melaka.
Hakikat yang sebenarnya ramai tidak tahu adalah Melaka sudah mencapai kedudukan politik yang
unggul sementara perdagangannya juga terus berkembang, dan pelabuhannya menggamit pelbagai
bangsa datang singgah dari segenap pelusuk dunia. Imej bandar terapung seperti Venice dan Genoa
serta pasar dan rumah yang tidak berputusan hingga Muar bukanlah satu khayalan atau cakap-cakap
kosong sahaja. Walaupun memang wujud kepincangan dalam pemerintahan, pergeseran, perebutan dan
pelbagai lagi konik dalaman yang sering kita dengar namun ianya belum cukup parah untuk
menjatuhkan Melaka jika dibandingkan dengan serangan Portugis. Tambahan lagi oleh sebab begitu
makmurnya Melaka maka banyaklah kaum-kaum asing yang mula dengki, hasad dan cemburu akan
kekayaan Melaka. Pembelotan kaum-kaum asing ini juga ibarat gunting dalam lipatan yang memudahkan
lagi kemaraan Portugis.
Sudah tiba masanya untuk kita cuba merubah pemikiran kita mengenai Kota Melaka. Melaka diakui
sendiri oleh penulis barat sebagai bandar pelabuhan yang terkaya di timur dan setanding dengan Venice.
Oleh itu gambaran Melaka dalam lukisan diatas adalah munasabah.
Sesungguhnya tidak semua persoalan tentang kejatuhan Melaka dapat kita rungkaikan disini. Namun
memadai rasanya untuk kita membuka perbincangan dalam hal kesungguhan dan semangat juang
Melaka bagi mempertahankan maruah dan kedaulatannya daripada dinodai oleh Portugis. Sebelum itu
yang paling penting ialah pandangan kita bahawa Melaka ketinggalan dari segi teknologi meriam,
senapang atau istinggar dan peluru serta lain-lain senjata api perlu diubah dan dibuang sejauh mungkin.
Seperti yang saya pernah sebut dahulu angkatan Portugis dicatatkan membawa pulang ribuan pucuk
meriam dan senapang yang dirampas dari Melaka. Teknologi pembuatan dan penggunaannya juga
adalah standing dengan teknologi barat.
Menurut catatan yang dibuat oleh Godinho Eredia, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah
meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. 3,000 pucuk meriam besar telah dijumpai
di dalam kota Melaka sementara 5,000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila
kota itu tumbang. Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2,000 pucuk meriam yang diperbuat
daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi.
Tentera Melaka dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata api menurut catatan Portugis sendiri.
Walaupun dalam naskah Sulalatus Salatin ada ditulis yang serangan meriam Portugis menggemparkan
orang Melaka bagai bertih digoreng, namun petikan tersebut harus ditafsir sebagai penyedap cerita untuk
khalayak pembaca atau pendengar. Jambatan Melaka yang kita lihat dalam lukisan seperti di muzium
atau dalam buku-buku teks sejarah yang sering digambarkan dengan penuh daif dan uzur juga perlu kita
buang jauh-jauh. Catatan Portugis sendiri mendapati jambatan tersebut terbina dengan sangat kukuh,
malah rekod-rekod China beberapa dekad sebelum serangan Portugis melaporkan bahawa ada lebih
kurang 20 buah kedai di atas jambatan tersebut. Saya menggambarkan jambatan ini seperti jambatan
London Bridge yang pada zaman pertengahan penuh dengan kedai-kedai. Pihak Portugis juga
mengalami kesukaran dan mengambil masa untuk merobohkan jambatan tersebut atas maklumat risikan
dari Rui Aroujo.
Catatan Portugis juga menyebut tentang senjata api yang boleh dipikul dengan bahu serta meriam
gergasi milik Sultan Melaka.
Selain itu jambatan Melaka juga dilengkapi dengan sistem pertahanan yang jitu dimana diletakkan
meriam-meriam besar dan kecil bagi menangkis serangan dari arah laut. Dicatatkan bahawa sebaik
sahaja meriam-meriam Melaka yang terdapat di atas jambatan dirampas oleh Portugis dalam serangan
mereka, askar-askar Melaka yang berjaya mengusir semula tentera Portugis dari jambatan telah
mengeluarkan meriam-meriam baru untuk menggantikan meriam yang telah dirampas tadi. Hal ini
menunjukkan simpanan senjata api Kerajaan Melaka adalah banyak. Dicatatkan juga bahawa
sebahagian besar daripada meriam Kerajaan Melaka sebenarnya tidak digunakan langsung sepanjang
peperangan tersebut kerana jumlahnya yang terlalu banyak.
Di dalam buku teks sekolah juga kita diberitahu atau digambarkan pertempuran berlaku di daratan kota
Melaka sahaja, namun dari catatan Portugis didapati pertempuran sebenarnya telah bermula sejak di laut
lagi. Sebelum pihak Portugis berjaya mendarat, mereka dilaporkan telah diserang tentera Melaka di
perairan yang mengakibatkan kehilangan 100 nyawa di pihak Portugis. Pihak Melaka menggunakan
perahu atau lancara yang diisi dengan minyak dan bahan pembakar kayu serta dihalakan ke kapal-kapal
Portugis. Taktik Fire Ship ini sering digunakan di Eropah juga seperti dalam perang Inggeris dengan
Sepanyol pada zaman ratu Elizabeth. Selain itu tembakan meriam dari Melaka menghala ke kapal-kapal
Portugis juga turut mendatangkan kecelakaan. Oleh itu pendapat yang mengatakan meriam Melaka tidak
boleh menembak jauh juga harus dibuang kelaut.
Taktik 're ships' telah digunakan sejak zaman Yunani kuno lagi.
Melaka juga melaksanakan strategi menggertak dan tindakan perang psikologi untuk menakutkan pihak
lawan dengan mengeluarkan sejumlah perahu perang, lancara, tongkang, sampan dan sebagainya yang
lengkap bersenjata untuk menunjukkan kekuatannya kepada Portugis. Walaupun begitu kekuatan
sebenar Melaka yakni armada jong perang gergasinya yang diketuai laksamana pada waktu itu tiada di
perairan. Maklumat daripada catatan Giovani Da Empoli mengesahkan bahawa tentera Melaka telah
menggunakan lancara serta perahu berapi untuk memusnahkan kapal Portugis. Di kawasan pantai pula
pertahanan dikukuhkan dengan pancangan kayu dan besi-besi tajam atau kawat beracun serta meriam-
meriam pelbagai jenis besar dan kecil beserta dengan peti-peti berisi serbuk peluru.
Sebenarnya saudara sekalian perang Melaka bukan berlaku dalam jangka masa yang singkat. Pada
masa ketibaan Portugis pada 28 Jun 1511 pertempuran tidak terus terjadi sebaliknya kedua-dua belah
pihak menggunakan taktik tunggu dan lihat, masing-masing menunggu siapa yang akan menyerang
dahulu. Hal ini diselangi dengan sesi perundingan dan diplomasi yang tidak kemana. Pihak Portugis
mahu tawanan Portugis termasuk Rui Aroujo dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu keadaan mula
semakin tegang. Beberapa siri pertempuran kecil berlaku di laut dan dikawasan penginapan para
pedagang berdekatan pantai. Portugis menyerang empat kapal Jawa dan sebuah kapal Sumatera.
Kemudian kapal-kapal saudagar Gujarat di pelabuhan juga dibakar termasuk rumah penduduk di pantai.
Walaupun Sultan kemudiannya membebaskan tawanan, namun perang tetap tidak dapat dielakkan lagi.
Pihak Portugis sebenarnya sangat tahu akan kelemahan Melaka. Hal ini kerana mereka telah mempunyai
perancangan yang jitu. Mereka mempunyai kelebihan dari segi risikan atau maklumat yang diberi oleh
Rui Aroujo dan orang-orang dalaman Melaka sendiri seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan
Nainachittu. Melaka mempunyai musuh di setiap penjuru malah didalam kelambunya sendiri. Namun
demikian Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan pertahanan Melaka. Albuquerque sendiri
pernah menyebut bahawa Kita tidak akan dapat menawan melaka dengan hanya dua batang
pedang yang berkarat! Di waktu subuh sebelum serangan habis-habisan dilancarkan, Albuquerque
memberi ucapan bahawa Melaka harus ditundukkan supaya aliran rempah tidak akan sampai ke Makkah
dan Kaherah dan sinar Islam disini akan padam! Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat sebenar
mereka.
Barisan ketenteraan Portugis sebenarnya lebih ramai dari yang kita ketahui. Namun kita sering
mendengar jumlah tentera Portugis hanyalah 1200 orang termasuk 600 tentera upahan Malabari dan
kapalnya lebih kurang 19 buah. Maklumat daripada catatan Giovanni menunjukkan bahawa sewaktu tiba
di Pedir, jumlah kapal termasuk yang ditawan di perjalanan mencecah angka 25 buah. Di Pasai, lapan
buah kapal dari Cambay lagi menjadi mangsa tawanan atau dirosakkan. Dengan demikian kita
menganggarkan lebih kurang 27 buah kapal telah tiba di perairan Melaka, tetapi menurut Hamka pula
lebih dari 60 buah kapal ada dalam angkatan Portugis, termasuk kapal-kapal kecil seperti fusta dan
galias. Malahan terdapat beberapa buah kapal lagi di Melaka yang ditawan dan tawanannya dijadikan
barisan sokongan dalam serangan keatas Melaka.
Giovanni turut melaporkan bahawa dalam serangan pada 25 julai 1511 terdapat 1500 orang tentera
Portugis yang terlibat, dengan pasukan bantuan daripada orang Cina sebanyak 400 orang dan bantuan
dari seorang putera Sumatera (Raja Kampar menantu Sultan Mahmud sendiri) juga lebih kurang 400
orang. Ini semua belum termasuk tentera bantuan dari orang Pegu, Siam, malah orang-orang Keling
dibawah Nainachittu dan tentera upahan Jawa yang sengaja berperang dengan tidak bersungguh-
sungguh setelah ketua mereka Utimutiraja disogok Portugis.
Pertempuran berlaku dengan sengit di beberapa lokasi seperti di Jambatan, bukit Melaka, Bandar
pelabuhan, Istana dan Masjid sultan. Pertahanan Melaka turut diperkuatkan oleh ribuan tentera Jawa
yang pada permulaan ogos dibayar tiga bulan gaji terkehadapan disamping barisan pejuang Turki dan
Khorusones atau Parsi sejumlah 3000 orang. Seperti yang saya telah sebutkan tadi, walaupun tentera
Jawa ini telah dibayar gaji awal untuk tiga bulan, mereka tetap belot dan tidak bersungguh-sungguh
mempertahankan Melaka kerana penghulu mereka Utimutiraja telah membuat pakatan dengan Alfonso
de Albuquerque dan memberitahu anak-anak buahnya agar tidak perlu bersusah payah
menggadaikan nyawa sendiri untuk mempertahankan harta benda orang lain.
Tentera Jawa.
Persoalannya adakah kekuatan Melaka yang sebenar telah digunakan sepenuhnya? Sebenarnya
kekuatan Melaka yang sebenar adalah terletak pada armada lautnya. Namun demikian armada laut
Melaka yang terdiri daripada jong-jong yang besar tidak berada di perairan Melaka pada ketika itu.
Sebelum mulanya serangan yang penghabisan oleh Portugis, Sultan sengaja melambat-lambatkan
pelepasan tawanan dan cuba berdiplomasi kerana menunggu armada lautnya bersama Laksamana.
Namun tindakan Sultan yang sengaja melengah-lengahkan masa tersebut diketahui Portugis yang
menyebabkan serangan total dilakukan sebelum sempat armada itu sampai. Hal ini disebabkan pihak
Portugis sangat takut dengan risikan yang diberikan oleh Rui Aroujo yang mengatakan bahawa Sultan
Melaka mempunyai satu armada laut yang sangat kuat yang diketuai oleh seseorang yang bernama
Laksamana yang dapat membakar hangus seluruh armada Portugis jika mereka lambat bertindak.
Terdapat catatan dari Portugis yang menyebut bahawa sewaktu Melaka diserang, Laksamana bersama
armada Melaka sedang mengadakan rondaan di kawasan perairan jajahan takluk Melaka, mungkin
sekitar Riau-Lingga. Ini kerana dalam catatan tersebut diberitahu bahawa Raja Lingga bersama
Laksamana telah berpatah balik apabila mengetahui bahawa Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis dan
Sultan berundur ke Muar. Pada pendapat saya Raja Lingga dan Laksamana tahu bahawa kejatuhan
Melaka bukanlah bermakna kejatuhan empayar Melaka kerana adat Melayu itu 10 negeri boleh dicari,
selagi ada raja berdaulat. Jadi jika raja berundur maka pembesar dan raja-raja taklukannya tidak akan
membuat keputusan sendiri untuk terus menyerang Melaka, sebaliknya berundur bersama Sultan untuk
mengatur strategi baru. Sultan Mahmud juga dikatakan bertitah, adat kita raja Melayu, negeri alah raja
mati, yang melambangkan bahawa perjuangan Melaka sebenarnya belum tamat selagi baginda dan
waris-warisnya belum mati.
Apa yang dapat saya simpulkan disini ialah kekalahan Melaka kepada Portugis bukanlah satu kekalahan
yang mudah seperti yang sering disebut-sebut. Bukan disebabkan teknologi persenjataan yang lemah
dan bukan kerana kejakunan tentera Melaka terhadap tembakan meriam tentera Portugis. Barisan
pertahanan Melaka telah berjuang berhabis-habisan baik dari segi diplomasi, pertanahan, taktik dan
strategi pertempuran. Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa pejuang-pejuang Melayu Melaka
adalah gagah perkasa dan terlatih dalam ilmu peperangan serta dilengkapi dengan pelbagai jenis
senjata berpotensi. Namun begitu kita tidak boleh pandang rendah pada kekuatan Portugis. Orang
Portugis mempunyai pengalaman tempur dan kepungan laut yang sama hebatnya dengan bangsa
Melayu. Sebelum mereka menyerang Melaka banyak kota pelabuhan lain seperti di India dan Teluk Parsi
yang berjaya mereka tawan, malah mereka pernah bertempur dengan armada Turki yang terkenal hebat
itu.
Kekalahan Melaka adalah sebab kurangnya kesepaduan dan kesepakatan diantara Anakvanua, dan
sikap terlalu memberi kepercayaan kepada anak dagang atau bangsa asing. Bak kata pepatah apalah
diharap pada dagang, bertukar musim berlalulah ia. Sikap terlalu bertoleransi yang ditunjukkan oleh
orang Melayu sejak zaman berzaman ini akhirnya memakan diri sendiri apabila golongan-golongan
dagang ini mula menunjukkan belang mereka dan menikam dari belakang! Baik dagang Kalingga,
dagang Ming, dagang Burma, maupun dagang Kampar dan Mojo yang serumpun sebangsa, semuanya
menjadi duri dalam daging. Harapkan pagar-pagar makan padi. Peristiwa ini seharusnya menjadi
pengajaran kepada anak-anak vanua pada hari ini, dan bukannya kisah Melaka kalah berperang kerana
menggunakan keris dan sumpit semata-mata yang ternyata tidak benar. Sekian, wallah hu alam.
~ASJ~
Prof Emeritus Dr. Muhammad Yusof Hj. Hashim , Kisah Melaka 1511, Institute Kajian Sejarah Dan
Patriotism Malaysia, 2006.
Abdul Aziz Zakaria, Portugis Dalam Sejarah Melaka, DBP, 1963.
Portuguese Documents on Malacca: 1509-1511, National Archives of Malaysia, 1993.
Muhammad Yusoff Hashim, Muzaffar Desmond John Tate, The Malay Sultanate of Malacca: A Study
of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Centuries in Malaysian History, Dewan Bahasa &
Pustaka, 1992.
Dicatat oleh Al Semantani di 10:50 PTG 82 ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi ke TwitterKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Anda mungkin juga menyukai