Anda di halaman 1dari 10

1

1.0 Pendahuluan
Menurut Nurul Ezzati Binti Azizi, konsep kendiri boleh dianggap sebagai cara seseorang
melihat dirinya sendiri serta keupayaannya untuk menilai kekuatan dan kelemahan yang
dimilikinya. Individu ini konsep kendiri dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu konsep kendiri
positif dan konsep kendiri negatif. Kejayaan seseorang dalam kehidupannya sangat berkait
rapat dengan konsep kendiri positif yang dibina dalam diri seseorang. Mereka yang mempunyai
konsep kendiri yang positif ini sentiasa menerima layanan dan perhatian yang baik sama ada
daripada ibu bapa sendiri, keluarga, guru, rakan-rakan mahupun orang yang berada di
persekitarannya. Sebaliknya, individu yang mempunyai konsep kendiri negatif akan sentiasa
berasa tidak puas hati, tidak gembira, cepat merajuk serta perasaannya mudah tersinggung,
seterusnya mereka akan mengalami kegagalan dalam kehidupan. Teori-teori etika iaitu teori
deontologikal dan teori keperibadian mulia dapat membentuk konsep kendiri seseorang murid.
Seseorang murid yang cemerlang selain daripada mempunyai keputusan akademik
yang cemerlang, dia juga harus mempunyai sahsiah yang baik. Teori-teori etika yang terdapat
dalam Pendidikan Moral dapat membentuk konsep kendiri positif seseorang murid iaitu
pembinaan sahsiah murid sekolah supaya menjadi seorang murid yang bermoral. Teori etika
memberikan sebab-sebab atau norma untuk menimbangkan sama ada satu tindakan betul atau
salah dan cuba memberi justifikasi atas norma itu. la memberikan asas kepada prinsip moral
atau garis panduan yang meliputi beberapa nilai yang tertentu. Prinsip ini pula boleh digunakan
untuk menentukan apakah tindakan harus dipilih dan lakukan dalam sesuatu situasi yang
tertentu. Oleh itu, tugas teori etika adalah menyediakan garis panduan kepada tindakan yang
tekal dengan anggapan umum tentang maksud etika atau moral. Seseorang murid harus
mempraktiskan teori etika dalam kehidupan mereka bagi pembentukan konsep kendiri positif.
2.0 Teori Deontologikal dapat membentuk konsep kendiri seseorang murid
Dalam membentuk konsep kendiri positif seseorang murid, teori deontologikal boleh
digunakan dalam kehidupan seharian. Teori deontologi menumpukan tindakan atau jenis
tindakan itu. Teori ini berasal dari perkataan Yunani deon yang bermaksud yang diharuskan
atau diwajibkan, ia menyatakan bahawa sesuatu perlakuan sama ada baik atau buruk, benar
atau salah adalah berdasarkan prinsip moral dan kewajipan moral yang bernilai intrinsik, tidak
berdasarkan atau ditentukan oleh akibat-akibat tindakan tersebut. Teori ini mempunyai dua
aspek iaitu tindakan dan peraturan. Ia juga menyatakan ada pertimbangan lain yang boleh
menentukan sesuatu tindakan atau peraturan menjadi baik, betul atau wajib secara moral
2

walaupun ia tidak menghasilkan banyak kebaikan daripada keburukan bagi individu,
masyarakat atau dunia. Sebagai contoh, seseorang murid perlu beribadah kepada Tuhan
kerana ini merupakan kewajipan mereka untuk menyembah Tuhan, bukan kerana perbuatan
tersebut akan mendapat ganjaran.
Teori Deontologi Tindakan menegaskan bahawa semua pertimbangan keputusan moral
bersifat spesifik, menitikberatkan apa yang telah berlaku atau bertindak dalam situasi tertentu.
Teori Deontologi Peraturan pula mengatakan bahawa kepiawaian tentang betul atau salah
sesuatu tindakan terdiri daripada satu atau lebih peraturan. Peraturan itu adalah asas dan tidak
berpunca daripada situasi tertentu.
Contoh yang berkaitan dengan kehidupan seharian yang boleh dikaitkan dengan
perintah mutlak ialah situasi semasa peperiksaan. Ramai murid yang mengetahui meniru atau
menipu di dalam peperiksaan merupakan satu tindakan yang salah, namun atas sifat
mementingkan diri dan ingin mencapai kejayaan dengan mudah, masih ramai murid yang
berani meniru atau menipu di dalam peperiksaan. Perlakuan ini akan sentiasa dihina kerana ia
merupakan satu perbuatan yang tidak adil bagi individu yang jujur dan berusaha untuk
mencapai kejayaan.

Perbezaan antara kedua-dua teori ini ialah teori deontologi peraturan menjelaskan
bahawa pertimbangan moral adalah ditentukan dengan merujuk kepada perkara-perkara umum
seperti peraturan masyarakat atau prinsip-prinsip tertentu manakala teori deontologi tindakan
pula menyatakan bahawa tidak perlu untuk membuat rujukan kepada prinsip-prinsip atau
peraturan tetapi menegaskan bahawa tindakan adalah satu persepsi yang terus terang sama
ada sesuatu tindakan itu betul atau salah.
Deontologi selalu dikaitkan dengan Immanuel Kant, seorang ahli falsafah German
(1724-1804) yang pernah mengajar di University of Konigsberg di bahagian barat Rusia. Kant
percaya bahawa apa yang memberi nilai moral kepada sesuatu tindakan bukan akibatnya
kerana akibat-akibat tindakan kita tidak sentiasa berada di bawah kawalan kita. Akan tetapi
motif (niat) tindakan kita adalah di bawah kawalan kita dan, oleh itu, kita harus
bertanggungjawab secara moral atas motif kita untuk membuat kebaikan atau keburukan. Teori
Deontologi boleh dibahagikan kepada dua prinsip utama, iaitu Prinsip Kewajipan dan Prinsip
Eksistensialisme.

3

2.1 Prinsip Kewajipan dalam teori deontologikal

Prinsip Kewajipan dikemukan oleh Immanuel Kant (1724-1804) yang menegaskan
pelaksanaan tanggungjawab semata-mata kerana pelaksanaan itu merupakan satu
tanggungjawab. Tanggungjawab merupakan satu nilai utama menentukan sama ada tindakan
itu bermoral atau tidak. Ramai ahli kemoralan merumuskan tanggungjawab kemoralan
berdasarkan keagamaan, tetapi terdapat tanggungjawab yang tidak berubah mengikut agama
atau adat resam, misalnya tidak membunuh, tidak berzina atau tidak menipu dalam apa jua
keadaan merupakan peraturan universal. Menurut Kant, sesuatu tindakan yang betul perlu
selari dengan kemoralan universal. Murid yang mengamalkan prinsip kewajipan akan
bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, agama dan negaranya.

Salah satu contoh prinsip kewajipan terhadap diri sendiri ialah seseorang pengawas
sekolah melapor kepada guru disiplin tentang perlakuan kawannya yang merokok di tandas dan
ponteng sekolah walaupun kawan-kawan tersebut merupakan kawan baiknya. Hal ini demikian
kerana ini merupakan kewajipannya sebagai seorang pengawas. Dari sudut kawannya, dia
telah mengkhianati kawan-kawannya kerana menyebabkan kawan-kawannya akan dihukum
oleh guru disiplin. Tetapi sebagai seorang pengawas, dia melaksanakan kewajipannya untuk
menjaga disiplin rakan-rakannya. Hal ini menunjukkan dia mengamalkan prinsip kewajipan
dalam kehidupan.

Pembinaan diri sahsiah murid sekolah amat tergantung terhadap guru-gurunya kerana
guru merupakan teladan kepada semua anak muridnya. Sebagai contoh, jika seseorang guru
boleh mengawal perasaannya maka anak muridnya akan mencontohinya. Misalnya, seseorang
guru yang telah marah dengan anak-anaknya di rumah, dia tidak membawa perasaan marah itu
ke dalam kelas. Dia dapat mengawal perasaannya dan emosinya untuk menjalankan
kewajipannya untuk mengajar anak-anak muridnya. Dengan itu, seseorang murid akan
mencontohi sikap baik gurunya dengan menjalankan kewajipannya sebagai seorang murid
contohnya walaupun dimarahi oleh ibu bapa di rumah, murid tersebut masih menyiapkan kerja
rumah dengan sempurna kerana dia tahu bahawa ini merupakan kewajipannya.

Secara tidak formal, pembinaan diri sahsiah seseorang murid juga berkait dengan ibu
bapanya. Contoh yang kedua bagi prinsip kewajipan ialah walaupun hujan turun dengan lebat,
sebagai seorang murid yang mengamalkan prinsip kewajipan, dia akan hadir ke sekolah tidak
4

kira cuaca buruk. Dalam keadaan ini, ibu bapa perlu memberi sokongan kepada anaknya
dengan membawa anaknya pergi ke sekolah. Jika tiada sokongan daripada ibu bapa maka
pelajar itu mungkin tidak akan menjalankan kewajipannya sebagai seorang murid untuk
menghadiri sekolah.

2.2 Prinsip Eksistentialisme dalam teori deontologikal

Prinsip Eksistentialisme yang merupakan sebahagian daripada Teori Deontologikal
menyatakan bahawa nilai baik dan buruk berasaskan kepada pilihan individu secara bebas.
Sartre (1905-1980), seorang ahli falsafah Perancis yang banyak menyumbang terhadap Prinsip
Eksistentialsme menyatakan bagaimana manusia itu menjadi bermoral atau tidak bermoral
bergantung kepada pilihan yang dibuatnya dalam pelbagai peringkat kehidupannya.
(Vishalache Balakrishnan,2009)

Dua orang murid telah diagihkan dengan kerja rumah yang sama oleh cikgu Pendidikan
Moral mereka. Murid A telah melakukan kerja rumah yang telah diagihkan dengan rela hati.
Oleh itu, tindakan murid tersebut dianggap nilai baik. Namun demikian, murid B menonton
televisyen sehingga mengabaikan kerja rumah. Hal ini diketahui oleh ibunya dan murid tersebut
dimarahi oleh ibunya. Murid tersebut membuat kerja rumah secara terpaksa. Tindakan ini
dianggap buruk kerana murid tersebut tidak membuat sesuatu dengan pilihan individu secara
bebas.

Daripada contoh di atas, murid A membuat pilihannya dengan baik manakala bagi murid
B membuat pilihan yang tidak memberi manfaat terhadap pelajarannya. Sebagai seorang murid,
dia perlu menggunakan prinsip eksistentialsme dengan baik iaitu membuat pilihan dengan bijak
dalam kehidupan.

3.0 Teori keperibadian mulia dapat membentuk konsep kendiri seseorang murid

Teori Keperibadian Mulia merujuk kepada sifat peribadi mulia yang membuat
seseorang individu menjadi agen moral dan diterima dalam masyarakat setempat dan
global. Teori Keperibadian Mulia sentiasa membuat seseorang individu bertanya
kepada diri sendiri Apakah yang patut saya lakukan dan mengapakah saya patut
5

bertindak sedemikian rupa? Teori ini dianjurkan oleh Aristotle (384 BC 322 BC) yang
telah meletakkan moral sebagai sesuatu yang sederhana. Ini bermakna sesuatu yang
bermoral adalah sesuatu yang tidak keterlaluan dan mengambil jalan tengah. Bagi
pandangan Aristotle, melakukan sesuatu dengan berlebihan atau berkurangan adalah
jahat dan tercela. Islam dalam pada masa yang sama juga telah menegaskan bahawa
umat Islam yang baik adalah umat Islam yang sederhana. Keperibadian mulia
didefinisikan sebagai kualiti terbaik atau istimewa. Terdapat dua jenis keperibadian
mulia iaitu keperibadian mulia intelektual dan keperibadian mulia moral. Keperibadian
mulia intelektual dikaitkan dengan kecemerlangan minda untuk memahami, menaakul
dan membuat penilaian dengan baik. Manakala keperibadian mulia yang bersifat moral
menekankan kepada tuntutan berkelakuan baik dengan menjalankan proses
pengulangan dan pelaziman.
Aristotle menjelaskan bahawa keperibadian mulia adalah suatu kecenderungan
untuk melakunya dengan sesuatu tujuan. Bagi beliau lagi, keperibadian mulia ini tidak
dihasilkan secara semula jadi kerana sesorang individu itu tidak dikudratkan dengan
sifat mulia atau jahat. Cara yang terbaik untuk memperolehi keperibadian mulia ialah
melalui latihan dan mengamalkannya sehingga menjadi kebiasaan dan menyenangkan
diri sendiri. Sebagai contoh, seorang murid yang mengamalkan sifat jujur akan
cenderung menjadi insan yang jujur dalam hidupnya. Terdapat beberapa ciri-ciri dalam
keperibadian mulia telah dikenal pasti.
Salah satu ciri keperibadian mulia ialah semua keperibadian mulia diperolehi
oleh seseorang melalui pengajaran dan pembelajaran atau latihan serta dijadikan
amalan kehidupan seharian. Contohnya, seorang murid yang diberikan didikan tentang
adab memberi salam dan menghormati orang tua, mereka akan sentiasa mengamalkan
budaya dan sikap positif itu dalam kehidupan seharian mereka sehingga dewasa.
Keperibadian mulia adalah tabiat yang membawa maksud mereka adalah kelakuan
biasa yang ditetapkan dan ditonjolkan. Apabila tabiat dibentuk, sesuatu kecenderungan
yang stabil wujud dalam individu dan ia boleh dipanggil sifat orang itu. Oleh itu, apa
yang ditunjukkan oleh tabiat bukan satu kebetulan, tetapi adalah satu penjelasan
tentang peribadi bagi seseorang individu.
6

Keperibadian mulia adalah sesuatu yang membolehkan kita menetapkan
bagaimana untuk berkelakuan dan bertindak dalam cara tertentu. Operasi ini boleh
berlaku secara dalaman seperti aktiviti pemikiran tentang satu masalah matematik, atau
secara luaran seperti kita memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan.
Keperibadian mulia adalah baik, ia berbeza dengan tabiat buruk dan perangai buruk
atau jahat. Keperibadian mulia adalah sempurna dan membenarkan kita bertindak
dalam cara yang terbaik.
Dengan perolehan keperibadian mulia, kita dapat membentuk kendiri insan yang
baik, manakala perangai buruk atau jahat mempunyai kesan yang berlawanan.
Misalnya, seseorang itu hanya akan meniru dan mencontohi sesuatu tingkah laku yang
apabila difikirkan akan mendatangkan kesan baik kepada dirinya. Sebelum meniru dan
mengaplikasikan sesuatu tingkah laku, dia akan memikirkan kesan baik dan buruknya
terlebih dahulu. Walaupun individu tersebut mudah dan boleh dipengaruhi oleh sosial
masyarakat, perkembangan ekonomi dan rakan sebaya, namun ketaakulan akan
menyebabkan individu itu menilai dengan cara pemerhatian dan pergaulan dengan
mereka yang mempunyai sifat-sifat mulia dan budi pekerti yang baik.
Konsep jalan tengah atau virtues Aristotle telah ditegaskan dalam teori
keperibadian mulia. Seseorang murid patut mengamalkan konsep jalan tengah sama
ada dari segi pertuturan, perlakuan dan pemikiran. Terdapat banyak situasi dalam
kehidupan yang akan dihadapi oleh murid-murid seperti semasa berlakunya konflik,
menjalankan kerja kumpulan, dalam keadaan takut, malu, marah dan sebagainya.
Salah satu contoh bagi murid-murid sekolah mengaplikasikan teori keperibadian mulia
untuk pembinaan sahsiah diri ialah semasa menghadapi sesuatu konflik, kelakuan
sosial bagi seseorang murid yang mengamalkan konsep jalan tengah, dia akan
bersikap ramah tamah, bagi seseorang murid yang berlebihan, dia akan bersikap
hamba diri manakala bagi seseorang murid yang terlalu kurang, dia akan bersikap suka
bergaduh. Jadi, murid yang ramah-tamah dapat menyelesaikan konflik itu dengan aman
dan berkesan. Hal ini demikian kerana murid yang terlalu hamba diri itu akan
menyebabkan ketidakadilan kepada diri sendiri manakala bagi murid yang bersikap
suka bergaduh pula, ini hanya akan menyebabkan konflik menjadi lebih serius.
7

Dari segi ucapan diri, semasa menjalankan kerja kumpulan, bagi seseorang
murid yang mengamalkan konsep jalan tengah, dia akan bersikap ketulusan atau
kebenaran. Dia akan menyuarakan pandangannya walaupun terdapat percanggahan
pandangan dengan rakan-rakannya. Sikap ketulusan atau kebenaran ini dapat
membantu seseorang murid semasa menjalankan kerja kumpulan bagi menghasilkan
hasil kerja yang terbaik. Dari sudut yang lain, bagi seseorang murid yang berlebihan,
dia akan bersikap sombong. Seseorang murid yang sombong tidak akan menerima
pandangan orang lain dan hanya menganggap hanya dirinya yang betul. Keadaan ini
akan menyebabkan timbulnya rasa tidak puas orang lain terhadap individu yang
sombong itu. Jika berlakunya pertelingkahan, sesuatu kerja tidak akan dijalankan
dengan sempurna. Di sebaliknya, bagi seseorang murid yang terlalu kurang, dia akan
bercakap sesuatu yang merendahkan diri. Sikap yang terlalu merendah diri ini akan
menyebabkan murid tersebut tidak berani menyuarakan pandangannya, seterusnya dia
tidak dapat belajar sesuatu daripada kerja kumpulan itu.
Dalam keadaan kegentaran atau ketakutan dan keyakinan pula, misalnya,
semasa menyertai pertandingan bercerita, seseorang murid yang mengamalkan konsep
jalan tengah, dia akan menunjukkan keberanian dengan menyampaikan ceritanya
dengan tenang dan penuh keyakinan. Bagi seseorang murid yang berlebihan, dia akan
bersikap gopoh iaitu dia akan mudah lupa skrip yang telah dihafal dan tidak dapat
bercerita dengan lancar. Seterusnya, bagi seseorang murid yang terlalu kurang, dia
merupakan seorang pengecut atau penakut, berkemungkinan besar dia tidak akan
menerima cabaran untuk melibatkan diri dalam pertandingan tersebut kerana tidak
mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri. Hal ini menyebabkannya kurang
pengalaman dan pengetahuan tentang teknik bercerita.
Dalam kehidupan, seseorang murid pasti akan menghadapi keadaan marah.
Dalam ketika itu, seseorang murid yang mengamalkan konsep jalan tengah, dia akan
bersikap sabar. Dia akan mendengar alasan rakan-rakannya dan menegur secara
sopan jika rakannya melakukan kesalahan. Bagi seseorang murid yang berlebihan, dia
akan bersikap mudah marah, dia tidak akan mendengar alasan orang lain dan
memarahi orang lain dengan nada suara yang kuat, manakala bagi seseorang murid
8

yang terlalu kurang, dia merupakan seorang yang kurang semangat. Dia sentiasa akan
menjadi pihak yang kalah dalam sesuatu pertengakahan.
Dalam keadaan malu, contohnya situasi semasa seseorang murid ingin bertanya
soalan kepada guru di pejabat. Bagi seseorang murid yang mengamalkan konsep jalan
tengah, dia akan bersikap sopan semasa berjumpa dengan guru berkenaan, dia akan
mengetuk pintu sebelum masuk ke pejabat dan memberi salam kepada guru-guru. Bagi
seseorang murid yang berlebihan, dia akan bersikap terlalu malu, ini menyebabkan dia
malu bertanya dengan guru dan malu untuk memberi salam dengan guru, manakala
bagi seseorang murid yang terlalu kurang dia merupakan seorang yang bermuka tebal
iaitu dia akan terus bertanya kepada guru walaupun guru itu sedang sibuk membuat
kerja yang lain.
Kadang-kala murid-murid di sekolah akan menghadapi perkara yang tidak adil
dan timbullah perasaan marah kerana ketidakadilan. Sebagai contoh, jika seseorang
murid mendapati bahawa seseseorang murid yang mengamalkan konsep jalan tengah,
dia akan menunjukkan kemarahan yang wajar. Dia akan memberitahu pihak yang tidak
adil dengan sopan dan memberikan pandangannya. Bagi seseorang murid yang
berlebihan, dia akan mencemburui orang yang lebih baik daripadanya manakala bagi
seseorang murid yang terlalu kurang dia menunjukkan kesukaan yang jahat.
Dari segi pendapatan dan perbelanjaan, salah satu contoh ialah semasa aktiviti
menderma wang kepada rakan-rakan yang memerlukan bantuan yang dijalankan di
setiap sekolah. Melalui aktiviti ini, kita dapat lihat seseorang murid yang mengamalkan
konsep jalan tengah, dia akan menjadi seorang dermawan. Walaupun jumlah wang
yang didermanya tidak banyak tetapi itu merupakan segala yang dia mampu. Di
samping itu, contoh yang lain ialah semasa membeli barangan, bagi seseorang murid
yang berlebihan, dia akan menjadi seorang pemboros iaitu dia sering membeli
barangan yang tidak diperlukan manakala bagi seseorang murid yang terlalu kurang dia
akan bersikap kedekut iaitu dia tidak mahu membeli sesuatu barangan walaupun
barangan itu merupakan keperluan hariannya.
9

Seorang murid dianggap berkeperibadian mulia sekiranya mempunyai ciri-ciri
berikut, seseorang murid itu menyedari moral adalah satu kewajipan yang tidak boleh
dipersoalkan dan mempunyai keikhlasan dan kejujuran dari segi nilai. Dia sentiasa
berusaha bersungguh-sungguh melakukan kebaikan dan mengelakkan keburukan.
Selain itu, dia akan sentiasa berpegang kepada prinsip dan tidak mengharapkan
balasan atas apa yang dilakukan. Dalam kehidupan seharian, dia akan sedia menerima
dengan tenang sesuatu yang dianggap kesusahan dan kesengsaraan.
Sebenarnya, terdapat juga beberapa faktor luar yang mempengaruhi seseorang
murid sama ada dia mengamalkan teori keperibadian mulia atau tidak dalam
kehidupannya. Guru merupakan salah satu agen moral bagi seseorang murid untuk
menjadikannya sebagai teladan. Sebagai contoh, jika seseorang guru mempunyai
tabiat merokok, tetapi dia menyuruh anak muridnya supaya jangan merokok, sudah
pasti anak muridnya tidak akan mendengar nasihatnya malah akan merokok juga.
Selain pengaruh daripada guru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
membentuk keperibadian mulia dalam seseorang murid. Hal ini demikian kerana ibu
bapa merupakan orang yang paling dekat dan rapat dengan murid-murid. Bak kata
pepatah bapa borek, anak rintik, jadi, sebagai contohnya, jika seseorang murid
mempunyai ayah yang suka berjudi, maka dia akan belajar tabiat buruk ayahnya.
Rakan sebaya juga mempengaruhi seseorang murid. Murid-murid yang masih
berfikiran mentah sentiasa terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya mereka. Mereka
lebih mendengar kata-kata kawan mereka berbanding dengan nasihat ibu bapa dan
guru mereka. Misalnya, seseorang murid yang rajin membuat kerja rumah berkawan
dengan rakan sebayanya yang tidak membuat kerja rumah. Lama-kelamaan, dia juga
akan terpengaruh dengan tabiat buruk rakan-rakan sebayanya yang pemalas itu,
kerana jika dia rajin, dia akan dipinggirkan oleh mereka. Sebaliknya, jika seseorang
murid yang pemalas berkawan dengan rakan-rakan yang rajin, maka lama-kelamaan,
dia juga akan menjadi rajin kerana terpengaruh dengan sikap baik rakannya. Jadi,
seseorang murid yang rakan sebayanya mengamalkan teori-teori etika maka murid
tersebut juga akan menjadi seorang yang bermoral.

10

4.0 Kesimpulan
Secara tuntasnya, melentur buluh biarlah daripada rebungnya, murid-murid sekolah
harus diperkenalkan dengan teori-teori etika sama ada secara formal atau tidak formal sejak
kecil lagi agar dapat membina sahsiah diri murid tersebut dan juga membentuk konsep kendiri
dalam diri seseorang murid. Dengan mengamalkan teori-teori etika tersebut, mereka akan
menjadi insan yang cemerlang dalam kehidupan mereka. Selain itu, konsep kendiri juga dapat
dibentuk dalam murid itu sendiri.

Anda mungkin juga menyukai