Anda di halaman 1dari 2

Peringkat Pemikiran Geometri Model van Hiele

Model van Hiele menjelaskan bahawa terdapat lima peringkat berhirarki bagaimana individu
memahami konsep atau idea ruang. Lima peringkat tersebut ialah penggambaran (visualization),
analisis, deduksi tak formal, deduksi, dan rapi (rigor) Setiap lima peringkat menjelaskan proses
bagaimana seseorang itu berfikir, dan apakah jenis idea geometri yang dimiliki.
Peringkat 0: Penggambaran (Visualization)
Idea pemikiran pada peringkat 0 ialah tentang bentuk dan bagaimana rupa sesuatu bentuk. Pada
peringkat ini, seseorang dapat mengenali dan menamakan bentuk berdasarkan pandangan dan ciricirinya yang umum. Hasil daripada pemikiran peringkat 0 ialah seseorang dapat kelompokkan
bentuk yang dilihatnya sebagai serupa.
Peringkat 1: Analisis
Idea pemikiran pada peringkat 1 ialah kemampuan melihat bentuk secara berkelompok dan
bukannya secara berasingan. Pada peringkat analisis, seseorang berupaya untuk memikirkan semua
bentuk dalam kategori yang sama, dan tidak terhad kepada satu bentuk sahaja. Sebagai contoh, dia
bukan sahaja dapat memberi tumpuan kepada hanya satu bentuk segiempat tepat, tetapi beberapa
jenis segiempat tepat yang berlainan saiz dan posisi. Justeru dia dapat membuat perbandingan
mengapa sesuatu bentuk itu dikatakan segiempat tepat dengan melihat kepada bilangan sisi, sisi
bertentangan yang selari dan sama panjang, mempunyai empat sudut tegak, dan lain-lain.
Hasil daripada pemikiran peringkat 1 ialah seseorang dapat memperihalkan ciri-ciri sesuatu bentuk.
Peringkat 2: Deduksi Tak Formal
Idea pemikiran pada peringkat 2 ialah ciri-ciri bentuk. Setelah dapat berfikir tentang ciri-ciri objek
geometri, seseorang akan dapat mengembangkan pemikirannya berkaitan dengan hubungan antara
ciri-ciri bentuk, dan juga dalam kalangan ciri-ciri bentuk. Dia berupaya untuk membuat penaakulan
jika ... maka. Sebagai contoh, Jika semua sudut bagi suatu bentuk adalah bersudut tegak, maka
bentuk itu mestilah segiempat tepat. Jika suatu bentuk adalah segiempat sama, maka bentuk itu
juga adalah segiempat tepat.
Hasil daripada pemikiran peringkat 2 ialah seseorang dapat memperihalkan hubungan antara ciri-ciri
geometri sesuatu bentuk
Peringkat 3: Deduksi
Idea pemikiran pada peringkat 3 ialah kemampuan memperihalkan hubungan antara ciri-ciri
geometri sesuatu bentuk. Pada peringkat deduksi, seseorang dapat meneroka lebih daripada ciri-ciri
geometri sesuatu bentuk. Individu mula berfikir tentang struktur sistem yang terdiri daripada
aksiom, definisi, teorem, dan postulat. Pemikiran begini akan beransur matang menggantikan
pemikiran sebelumnya yang hanya konjektur tentang hubungan antara ciri-ciri geometri. Pada
peringkat deduksi, individu boleh menggunakan pernyataan yang abstrak tentang ciri-ciri geometri
yang berasaskan logik, bukan lagi sekadar intuisi. Sebagai contoh, ia boleh melihat dengan mudah
bahawa pepenjuru-pepenjuru segiempat tepat, membahagi dua sama antaranya, dan dalam masa
yang sama menghargai pembuktiaannya melalui hujah-hujah deduksian.

Hasil daripada pemikiran peringkat 3 ialah sistem deduksian aksiom tentang geometri.
Peringkat 4: Rapi (Rigor)
Idea pemikiran pada peringkat 4 ialah sistem deduksian aksiom tentang geometri.
Pada peringkat paling tinggi dalam hirarki van Hiele, tumpuan adalah tentang sistem aksiom.
Individu boleh membanding dan melihat hubungan antara sistem aksiom yang berbeza.
Sebagai contoh, geometri sfera adalah berasaskan garisan yang dibina atas sfera, berbeza dengan
geometri satah.
Hasil daripada pemikiran peringkat 4 ialah membanding dan membezakan sistem aksiom yang
berbeza tentang geometri.
Berdasarkan teori van Hiele, pemikiran geometri pelajar sekolah rendah perlu dibangunkan
sekurang-kurangnya hingga ke peringkat 2. Sebagai guru, pelajar perlu dibantu dengan memberi
pengalaman dan aktiviti yang bersesuaian supaya mereka mempunyai kesediaan yang baik apabila
belajar tentang geometri di peringkat kolej atau universiti.

Anda mungkin juga menyukai