Anda di halaman 1dari 12

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu

Adat, peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga
menjadi hukum yang harus dipatuhi. Perkataan adat berasal daripada bahasa Arab
bermaksud kebiasaan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu membawa konsep ini dengan
makna yang lebih luas dan mendalam sehingga merangkumi keseluruhan cara hidup yang
kini ditakrif sebagai kebudayaan, undang-undang, sistem masyarakat, upacara, dan segala
kebiasaan yang sering dilakukan, seperti cara makan atau cara duduk.
Kini, makna adat dalam masyarakat Melayu sudah menjadi semakin khusus dan
semakin mengecil, yakni upacara kebiasaan serta unsur-unsur masyarakat yang tidak
digolongkan sebagai unsur Islam. Evolusi konsep adat ini dapat dilihat dalam kepelbagaian
takrif oleh pelbagai masyarakat di Alam Melayu.

Bagi masyarakat Melayu tradisional,

konsep adat sering kali dimaksudkan dengan beberapa tahap makna yang berlainan.
Konsep Adat Antara konsep yang berkait dengan adat termasuklah:

Adat sebagai kelakuan dan kebiasaan yang betul seperti menghormati orang yang

lebih tua dengan menggunakan istilah panggilan pangkat kelahiran atau kekeluargaannya.

Adat dengan makna khusus, seperti bayaran mas kahwin di Negeri Sembilan atau

belanja hangus di utara Melaka, iaitu belanja yang diberikan oleh pihak lelaki bagi suatu
istiadat perkahwinan yang dilaksanakan oleh pihak perempuan.

Adat sebagai prinsip semula jadi alam. Misalnya, adat api membakar, adat air

membasa, dan hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.

Adat sebagai hukum dan undang-undang dalam negara dan masyarakat umum.

Misalnya, hukuman yang dikenakan terhadap pelbagai kesalahan dalam masyarakat


ataupun undang-undang adat dalam masyarakat adat perpatih serta pelbagai hukum kanun
lama dari zaman Melaka hingga abad ke-20.

Adat sebagai segala perlakuan upacara yang sering kali disebut sebagai adat

istiadat. Dalam bentuk ini, adat itu termasuk dalam lingkungan bidang kepercayaan dan

perlakuan agama, serta juga magis. Dalam hal ini, berlaku pertindihan bidang antara adat
istiadat dengan upacara, sekali gus menjadikan upacara sebagai sebahagian daripada
konsep adat yang lebih luas.

Adat dengan erti susunan masyarakat dan segala lembaga kemasyarakatannya,

seperti sistem kekeluargaan, sistem politik mahupun sistem ekonomi, seperti pemilikan
tanah dan pembahagian harta. Institusi kekeluargaan yang lazim dilaksanakan dalam
pelbagai masyarakat ialah adat masyarakat itu. Ada masyarakat yang biasa mengamalkan
sistem kekeluargaan matrilokal dan ada yang neolokal. Demikian juga, ada masyarakat
yang membahagikan harta serta pemilikan secara faraid dan ada yang secara sama rata.
Institusi dan organisasi kemasyarakatan sebagai prinsip penyusunan masyarakat
merupakan makna terunggul dalam konsep adat di seluruh Alam Melayu.
Bagi pelbagai masyarakat di seluruh Alam Melayu seperti Iban, Dusun, Dayak,
Batak, Toraja, adat masih membawa makna yang amat luas dan serba merangkumi, iaitu
adat sebagai suatu kebudayaan. Dalam konsep ini, adat adalah keseluruhan corak hidup
atau kebudayaan manusia di alam nyata dan juga menghubungkan manusia dengan alam
kosmik yang simbolis dan sejagat. Adat menjadi ciri kehidupan, bukan sahaja manusia
dalam lingkungan alam tabiinya, bahkan dalam kalangan semua makhluk seperti haiwan
dan tumbuh-tumbuhan. Malah, ciri adat terdapat dalam pergerakan alam tabii itu sendiri,
seperti kejadian semula jadi, ribut dan petir, serta segala-galanya dalam kosmos adalah
kerana mengikut adat alam. Maka, hukum alam adalah juga adat.
Pengertian yang amat luas dan mendalam ini tidak lagi berlaku dalam keseluruhan
tanggapan masyarakat Melayu kini. Bidang tanggapan menyeluruh konsep adat secara
tradisional itu sudah dipecahkan oleh pelbagai pengertian khusus dan tepat, yang setiap
satunya ditanggapi pula secara khusus.

Hukum adat sudah menjadi undang-undang,

hukum alam sudah menjadi sains, dan bidang kepercayaan sudah menjadi agama. Dengan
demikian, pengertian adat kini menjadi sempit dan sering kali dikhususkan kepada upacara
sahaja, serta dipertentangkan pula dengan pengertian khusus pada bidang-bidang lain
seperti pertentangan dengan agama Islam.

Kini, adat sering dimaksudkan hanya sebagai adat istiadat atau upacara tradisional
dalam tahap upacara peralihan edaran hidup seseorang manusia dan juga dalam
pengertian undang-undang adat.
Adat sebagai Upacara Dalam pengertian ini, adat sudah mendapat makna yang amat
sempit. Upacara merangkumi segala perbuatan, kegiatan, peralatan, acara dan perlakuan
yang teratur dan tersusun berkait dengan makna kesucian atau kekudusan dalam sesuatu
kepercayaan. Upacara atau adat istiadat ini termasuklah segala kegiatan kudus dalam
setiap peringkat edaran hidup manusia; daripada kelahiran, remaja, perkahwinan, hingga
kematian. Dalam pengertian ini, adat merupakan pengucapan lambang terhadap makna
dalaman daripada kehidupan individu dan masyarakatnya.

Misalnya, sebaik sahaja

seseorang bayi dilahirkan, bayi lelaki akan diazankan manakala bayi perempuan akan
diiqamatkan selaras dengan ajaran agama.

Makna daripada pengucapan ini ialah

pengenalan terhadap ketuhanan dari saat kelahiran seorang bayi ke dunia. Demikian pula
diadakan kemudiannya upacara cukur jambul ataupun naik buai. Kedua-dua ini ialah
lambang permulaan perjalanan manusia dalam edaran kehidupannya.
Pelbagai upacara ini dianggap sebagai adat dan bukan merupakan ajaran agama.
Adat juga sering dipertentangkan dengan perlakuan Islam sehingga banyak perlakuan adat
dikatakan sebagai tidak Islam, ataupun melanggar akidah Islam. Perlakuan adat di sini
sering juga disamakan dengan upacara Hindu dan sekali gus membawa maksud perbuatan
bidaah. Misalnya, perlakuan adat bersanding, menggunakan nasi kunyit, bersuap-suapan,
berarak, mandi sampat, lenggang perut, dan perarakan ketika berkhatan.
Dari segi kebudayaan Melayu, perlakuan itu ialah sistem adat istiadat dalam bentuk
upacara. Perlakuan itu ialah pengucapan konkrit terhadap nilai yang mahu dinyatakan oleh
masyarakat Melayu terhadap tahap penghargaan masyarakat kepada anggotanya. Anakanak yang baru lahir dihargai dan dinilai tinggi dengan pengajaran mulia serta doa kebaikan.
Nilai ini kelihatan pada benda yang dipergunakan dalam upacara adat itu. Misalnya, emas,

gula, dan garam yang digunakan dalam upacara cukur jambul merupakan nilai dan harapan
agar anak akan mewah, senang serta berjaya.
Undang-undang Adat Dalam bidang ini, terdapat pengertian adat yang masih luas tetapi
amat khusus sebagai peraturan serta undang-undang yang dilaksanakan bagi melengkapi
seluruh sistem perundangan moden dalam masyarakat dan negara. Namun, tidak terdapat
suatu usaha untuk mentakrif apakah yang dimaksudkan sebagai undang-undang dalam
sistem adat.
Di Indonesia, telah didebatkan takrif undang-undang atau hukum dalam adat oleh
para sarjana Belanda dan Indonesia dalam pelaksanaan undang-undang moden. Ada dua
aliran pemikiran tentang pengertian hukum (undang-undang) ini.

Pertama, takrif yang

diberikan oleh sarjana utama pengajian hukum adat, Van Vollenhoven, iaitu hukum adat
sebagai segala peraturan yang dipertahankan dengan adanya hukuman atau isbat. Apabila
segala perbuatan itu dikenakan hukuman oleh masyarakat, jadilah peraturan atau adat itu
hukum atau undang-undang dalam pengertian moden.
hanya kebiasaan.

Tanpa hukuman, peraturan itu

Jadi, undang-undang adat ialah segala peraturan yang mempunyai

kesan hukuman dan diakui oleh anggota masyarakat.


Pengertian kedua diberikan oleh murid Van Vollenhoven, Ter Haar, yang mentakrif
hukum adat sebagai keadaan apabila penguasa adat menjatuhkan keputusan hukuman ke
atas pelanggar adat. Dengan hukuman yang dijatuhkan oleh seorang ketua masyarakat,
peraturan itu menjadi suatu hukum adat. Pengertian ini menekankan kuasa penjawat
perundangan yang menjatuhkan hukuman. Jika penguasa adat itu tidak menghukum
sesuatu perbuatan, peraturan itu bukan undang-undang adat.
Antara kedua-dua pengertian di atas, ternyata takrif Van Vollenhoven menjadi
pegangan ramai ahli hukum adat. Kesan atau akibat hukuman daripada suatu peraturan,
kebiasaan ataupun norma masyarakat, menjadikan ia suatu undang-undang, meskipun
peraturan itu atau hukumannya merupakan suatu tindakan yang paling ringan dikenakan
terhadap suatu kesalahan.

Kedua-dua pengertian adat di atas telah berlaku sejak zaman kegemilangan Melayu
di Melaka hingga kini.

Manuskrip undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka atau

Undang-Undang Laut Melaka, Adat Aceh, Adat Palembang, Undang-Undang 12, UndangUndang Kedah, dan Undang-Undang 99 Perak ialah perkanunan hukum adat dan undangundang Islam yang dipercayai digunakan dalam pemerintahan negeri pada zamannya. Adat
dalam bentuk hukum dan undang-undang mencapai tahap lebih rasmi dan berkuat kuasa
dalam pentadbiran negeri dan masyarakat.
Pada zaman penjajahan Belanda di Indonesia dan zaman naungan British di Tanah
Melayu serta Pulau Borneo, undang-undang adat dilaksanakan sebagai sebahagian
daripada sistem perundangan yang membezakan orang Eropah daripada penduduk
peribumi rantau ini. Setiap kelompok peribumi serta orang Asia diaturkan kehidupan mereka
melalui undang-undang adat masing-masing.
Di Sabah dan Sarawak, setiap kelompok masyarakat peribumi mempunyai undangundang adat mereka serta ditadbir oleh sistem ketua yang pelbagai bentuk. Di seluruh
Indonesia, pemerintah Belanda menubuhkan wilayah pelbagai suku bangsa yang dibahagi
kepada 19 buah wilayah adat. Setiap wilayah adat merupakan suatu kawasan persamaan
adat bagi satu suku bangsa yang sama kebudayaannya. Pentadbiran setiap wilayah adat
dilakukan, sama ada dengan meletakkan hakim Belanda dengan bantuan penasihat ketua
adat (penghulu) anak negeri ataupun ketua anak negeri itu sendiri yang menjalankan
pengadilan, tetapi hanya pada tahap rendah.

Para pentadbir undang-undang terdiri

daripada keturunan bangsawan ataupun ketua tempatan bagi satu-satu kawasan.

Kategori Adat Dalam masyarakat Melayu kini, pengertian adat sebagai satu bidang yang
serba merangkum atau sebagai kebudayaan masih terdapat di wilayah Melayu pesisiran
Sumatera Timur dan juga dalam kalangan masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat.
Adat di sini ditakrif dalam empat jenis perlakuan; antara manusia dengan alam tabii dan
antara manusia dengan manusia. Empat kategori adat tersebut ialah:

Adat nan sabana adat, iaitu hukum tabii alam yang tidak dapat dipinda oleh manusia

serta menjadi asas perjalanan proses alam itu sendiri. Hukum alam adalah adat hakiki.
Adat yang sebenar adat juga ialah sebahagian daripada hukum Tuhan yang
dipadukan oleh masyarakat dalam adat mereka. Justeru, punca kehidupan adat ialah alam
alam terkembang menjadi guru dan juga syariat Tuhan adat bersendi syarak, syarak
bersendi kitabullah.

Adat nan diadatkan ialah segala peraturan, lembaga masyarakat dan keputusan

hukum yang dimuafakatkan untuk dilaksanakan dalam masyarakat. Maka, bahagian adat ini
merupakan segala macam bentuk dan susunan masyarakat, lembaga masyarakat, undangundang dan juga hukum adat, dan boleh mengalami perubahan jika dimuafakati sedemikian,
iaitu berasaskan prinsip adat: jika dicabut mati, jika dianjak layu.

Adat nan teradat ialah segala peraturan yang sedia berlaku melalui penerimaan

masyarakat umum tanpa perlu muafakat yang formal. Peraturan seperti ini ialah norma
masyarakat umum seperti kepatuhan terhadap orang tua, cara-cara menggunakan segala
macam alatan budaya ataupun segala macam kelakuan yang biasa. Adat dianggap sebagai
proses dinamik dalam masyarakat yang sentiasa berubah sendirinya.

Adat istiadat ialah bahagian adat yang mengatur segala macam upacara dan

kegiatan suci yang perlu menerima penghormatan awam. Adat istiadat berlaku kerana
diamalkan dan dijaga sebaiknya. Jika ditinggalkan, adat istiadat akan pupus. Namun, adat
istiadat juga tertakluk pada prinsip perubahan melalui muafakat dan perundingan ataupun
kesan pengaruh dari luar. Ini banyak kelihatan dalam peringkat upacara edaran hidup
manusia.
Jadi, seluruh sistem adat sentiasa tertakluk kepada pindaan dan perubahan melalui
muafakat dan persetujuan serta amalan terhadapnya. Dengan demikian, kekekalan dan
perubahan ialah proses yang diakui sentiasa berlaku dalam semua ciri kehidupan manusia
dan ini menjadi prinsip asas sistem adat.

Adat Perpatih dan Adat Temenggung Di Malaysia, adat dianggap sebagai terbahagi
kepada dua jenis, iaitu adat perpatih dan adat temenggung.
Sekali imbas pembahagian ini seolah-olah tanggapan asli masyarakat Melayu di
Malaysia. Namun, penelitian yang mendalam menunjukkan pembahagian ini lebih
merupakan penggolongan oleh pengkaji Inggeris yang membezakan antara peraturan adat
di Negeri Sembilan dan Naning, di utara Melaka, daripada negeri lain di Malaysia.
Pembahagian kepada kedua-dua jenis ini tidak terdapat dalam manuskrip undangundang Melayu tetapi hanya tersebut dalam teromba atau legenda asal usul adat perpatih.
Dalam teromba ini disebutkan bahawa adat itu bermula di Minangkabau, Sumatera. Dalam
tambo (romba) adat di Minangkabau, keadaan berbahagi dua ini disebutkan sebagai laras
nan dua, iaitu penggolongan dua wilayah Minangkabau kepada dua orang pemerintah:
wilayah Koto Piliang di bawah Datuk Katamanggungan dan wilayah Bodi Caniago di bawah
Datuk Perpatih Nan Sebatang.
Di Malaysia, perbezaan itu diterjemahkan sebagai perbezaan antara undang-udang
adat perpatih di Negeri Sembilan dan Naning daripada adat temenggung di negeri-negeri
yang lain. Dibandingkan dengan tradisi di Minangkabau, nyatalah perbezaan seperti di
Malaysia tidak pernah ada. Malah naskhah undang-undang adat dan Hukum Kanun Melaka
juga tidak pernah menyebut bahawa undang-undang itu ialah adat temenggung. Maka,
mungkin diandaikan pembahagian adat temenggung dan adat perpatih di Malaysia ini ialah
hasil penggolongan undang-undang adat oleh pengkaji dan pentadbiran Inggeris, dan
diterima pula sepenuhnya oleh masyarakat Melayu hingga kini.
Di Sabah dan Sarawak, ternyata berlaku pengertian konsep adat yang lebih luas
seperti yang telah disebutkan dalam kalangan orang Iban. Bukti yang sama kelihatan pada
tanggapan bahawa agama tradisional sentiasa disebut sebagai adat lama, dan agama
baharu terutama Kristian, disebut sebagai adat baharu. Di samping itu, pengalaman sejarah
di Sarawak pada ketika penyerahan kuasa pemerintahan Brooke kepada pemerintahan
British pada tahun 1946 juga ditanggapi oleh penduduknya sebagai perubahan daripada
adat lama kepada adat baharu.

Pada masa ini, pengertian dan amalan adat telah berubah menurut perkembangan
pengetahuan dan ilmu dalam masyarakat. Semakin berkembang ilmu dan pengetahuan atau
aspek kognisi dalam masyarakat, semakin tepat dan khusus pula pengertian adat yang
dahulunya adalah keseluruhan cara hidup. Kini, konsep serba lengkap adat itu telah
digantikan oleh konsep kebudayaan, dan adat ialah satu bidang dalam seluruh kebudayaan
Melayu. Bidang-bidang khusus kebudayaan itu ditanggapi pula dengan konsep tertentu
seperti ekonomi, agama, politik, kekerabatan atau sebagainya. Maka tinggallah adat itu
sebagai suatu warisan budaya zaman lama yang semakin kabur dan sempit pengertiannya,
dan sering disamakan sebagai warisan kuno dan kolot dalam kebudayaan Melayu yang
harus diubah atau ditinggalkan sahaja.

Sumber: http://bmus.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/Ensiklopedia-Sejarah-dan-Kebudayaan-Melayu.pdf

SEJARAH MELAYU, karya persejarahan Melayu klasik. Sejarah Melayu adalah antara teks
Melayu yang tertua dan karya terpenting antara beberapa teks klasik seperti Hikayat Rajaraja Pasai, Hikayat Banjar, Hikayat Acheh, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Patani
dan Tuhfat al-Nafis.
Sejarah Melayu telah disalin atau diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa seperti
bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Belanda, Jepun, Tamil dan Cina. Teks ini juga telah
menjadi bahan rujukan dan penelitian para sarjana dari seluruh dunia yang mahu mengkaji
sejarah dan kebudayaan masyarakat Melayu yang awal. Kajian yang dilakukan oleh para
sarjana ini meliputi pelbagai disiplin ilmu seperti bahasa, sastera, sosiologi, antropologi,
budaya dan juga politik.
Terdapat 29 versi Sejarah Melayu yang tersimpan di beberapa institusi di seluruh
dunia, antaranya 12 versi tersimpan di Belanda, 11 versi di United Kingdom, lima versi di
Indonesia dan satu versi di Rusia. Daripada jumlah tersebut, terdapat sekurang-kurangnya
enam naskhah yang telah dikaji dan diselenggarakan oleh para pengkaji, iaitu Edisi Munsyi
Abdullah bin Abdul Kadir (1831), Edisi Dulaurier (1849-1856), Edisi W.G. Shellabear (1896),
Edisi R.O. Winstedt (1938), Edisi Dato Madjoindo (1959) dan Edisi A. Samad Ahmad
(1979). Bagaimanapun naskhah-naskhah tersebut hanyalah dikaji pada peringkat yang
mudah seperti melibatkan kerja-kerja merumikan, memberi kata pengantar dan membuat
anotasi. Tidak banyak kajian yang dilakukan terhadap teks Sejarah Melayu untuk peringkat
sarjana ataupun kedoktoran.
Tidak ada satu sumber yang tepat yang dapat menyatakan tarikh sebenar Sejarah
Melayu ditulis. Yang pasti nama Sulalatus Salatin ada disebut oleh Francois Velentijn dalam
bukunya, Oud En New Oost-Indien (Sejarah Ringkas Hindia Timur) yang diterbitkan pada
tahun 1726. Sejarah Melayu telah menjadi sumber rujukannya apabila dia menulis mengenai
raja-raja Melaka. Ini bermakna Sejarah Melayu telah ditulis lebih awal dari tahun 1726. Pada
tahun 1811, William Marsden juga menggunakan Sejarah Melayu apabila dia menulis
bukunya yang berjudul History of Sumatera. Mengenai pengarangnya pula, pada bahagian
mukadimah Sejarah Melayu ada disebut Tun Seri Lanang yang bertanggungjawab

mengarang (menyusun) teks berkenaan. Dia menyusun teks ini atas perintah raja untuk
dijadikan panduan atau ikutan anak cucunya pada masa akan datang.
Antara versi yang pernah diselenggarakan, versi Shellabear adalah yang paling
popular di Malaysia. Shellabear telah menggunakan beberapa versi Sejarah Melayu yang
ada untuk menghasilkan versinya yang tersendiri. Shellabear merujuk versi Abdullah Munsyi
dan Versi Daulaurieer. Dia melakukan banyak perubahan iaitu dengan mengambil beberapa
episod daripada versi lain. Ini kerana kalau mengikut versi Abdullah Munsyi dan Dulaurier,
isi cerita Sejarah Melayu berakhir setakat episod pembunuhan Tun Ali. Bagaimanapun
dalam versi Shellabear, ceritanya tamat dengan perpindahan Sultan Alauddin Riayat Syah
ke Pasar Raja yang terletak di hulu Sungai Riun. Justeru, edisi Shellabear bukanlah satu
edisi yang boleh dipertanggungjawabkan berdasarkan disiplin filologi. Ini kerana Shellabear
ternyata telah membina sebuah teks Sejarah Melayu yang baharu dengan cara mengambil
beberapa episod daripada teks yang lain dan menambah kepada teks selenggaraannya
tanpa memberikan apa-apa catatan.
Para sejarawan juga percaya bahawa versi Winstedt (naskhah Raffles MS 18) ialah
versi yang tertua atau paling hampir dengan naskhah asal kerana penyalinnya berjaya
mengekalkan keaslian naskhah berkenaan. Ini bermakna penyalin tidak melakukan
sebarang pengurangan atau menambah semasa mengerjakan teks Sejarah Melayu. Mereka
menolak versi-versi yang lain dengan alasan bahawa teks tersebut rosak akibat terlalu
banyak

penambahan,

pengguguran

dan

sebagainya.

Pendapat

ini

ternyata

ada

kebenarannya jika dilihat Sejarah Melayu yang dikerjakan oleh Shellabear.


Teks Sejarah Melayu yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad, menggunakan
tiga naskhah yang tersimpan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia menamakan
naskhah tersebut sebagai naskhah A, B dan C. Naskhah A mengandungi 418 halaman.
Pada halaman pertamanya tercatat nama pemilik asal naskhah iaitu Munsyi S. Md. Ally.
Naskhah ini diperoleh oleh Dewan Bahasa dan Pustaka daripada Tuan Omar bin Masajee
pada tahun 1977. Naskhah ini juga pernah dijadikan sebagai bahan perbandingan oleh
Shellabear. Naskhah B diperoleh daripada Haji Othman Abdullah pada tahun 1963.

Naskhah ini berjumlah 321 halaman. Naskhah C pula tidak ada sebarang catatan yang
dapat menerangkan tentang penulis atau penyalin, tarikh tamat kerja-kerja penyalinan dan
sebagainya. Naskhah ini sudah uzur kerana kertasnya hampir reput.
Dari segi isi cerita, keseluruhan teks Sejarah Melayu bukan hanya menceritakan
tentang negeri Melaka sahaja, malah ia juga menceritakan hubungan Melaka dengan
negeri-negeri lain di sekitarnya. Umpamanya negeri Pahang, Kelantan, Pasai, Haru, Siak,
Siam, Majapahit dan China. Hubungan Melaka dengan negeri-negeri tersebut wujud dalam
bentuk hubungan diplomatik, ikatan perkahwinan dan juga penaklukan. Misalnya hubungan
antara Melaka dengan Majapahit dan China wujud dalam bentuk ikatan perkahwinan. Ini
terjadi setelah Sultan Mansor Syah berkahwin dengan Galoh Candera Kirana dari Majapahit
dan juga Puteri Hang Li Po dari China. Manakala hubungan dengan Kelantan, Pahang dan
Siak pula wujud dalam bentuk jajahan.
Dari segi kepentingan teks, Sejarah Melayu, adalah teks yang terpenting untuk
dijadikan bahan rujukan tentang pemerintahan raja-raja Melayu pada zaman tersebut.
Walaupun pada bahagian awal teks terdapat beberapa mitos terutama tentang asal usul
raja-raja Melaka, tetapi fakta sejarah yang terkandung dalamnya seperti nama-nama raja
dan bendahara yang memerintah Melaka menyebabkan teks ini sentiasa dirujuk oleh para
sarjana. Begitu juga beberapa peristiwa seperti serangan yang dilakukan oleh Melaka
terhadap negeri-negeri jirannya ternyata ada benarnya kerana peristiwa itu tercatat juga
dalam teks-teks yang lain. Misalnya serangan Melaka ke atas Kelantan pada masa
pemerintahan Sultan Mahmud Syah yang membawa kepada penawanan tiga orang puteri
raja Kelantan, ada dicatatkan dalam teks sejarah Kelantan.
Paling penting berdasarkan teks Sejarah Melayu ialah struktur sosial masyarakat
Melayu pada zaman itu. Raja-raja dikatakan berada pada kedudukan yang paling atas
sekali, diikuti oleh para pembesar negeri dan juga rakyat negeri yang merdeka. Manakala
golongan hamba berada pada kedudukan yang paling bawah. Mobiliti sosial amat jarang
berlaku. Kalau adapun hanyalah melibatkan golongan pembesar atau golongan rakyat yang
mempunyai kebolehan yang luar biasa. Umpamanya Hang Tuah dan Badang hanyalah

rakyat biasa telah berubah kepada golongan pembesar negeri kerana mempunyai kelebihan
yang tersendiri. Begitu juga dengan Tun Fatimah, oleh sebab mempunyai rupa paras yang
cantik, dia telah dikahwini oleh Sultan Mahmud Syah. Oleh sebab itu status sosialnya telah
berubah daripada golongan pembesar kepada golongan raja.
Cerita dalam Sejarah Melayu diakhiri dengan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis.
Melaka diserang buat kali kedua oleh Portugis. Akibatnya, Sultan Mahmud Syah dan
keluarganya berundur ke Batu Hampar, manakala Sultan Ahmad pula lari ke Pagoh.
Akhirnya, Sultan Mahmud Syah mangkat di Kampar.
Berdasarkan naskhah Sejarah Melayu juga para sejarawan telah berusaha menulis
kembali sejarah negeri Melaka. Antaranya seperti Mohammad Yusof Hashim yang telah
menulis buku Persejarahan Melayu Melaka. Malah Sejarah Melayu juga telah dijadikan buku
bacaan terpenting bagi pelajar Tingkatan Enam. Dalam sukatan pelajaran yang baharu, teks
Sejarah Melayu telah diletakkan bersama-sama teks Hikayat Hang Tuah sebagai sastera
agung.

Anda mungkin juga menyukai