Anda di halaman 1dari 21

PENGENALAN

Istilah adat berasal daripada Bahasa Arab iaitu awadah. Awadah bermaksud kebiasaan. Setelah

istilah tersebut dijadikan istilah Melayu maka wujudlah perkataan adat. Adat kemudiannya telah diberikan

makna yang lebih luas dan mendalam. Secara tradisinya adat dapat disamakan dengan kebudayaan. Menurut

fahaman masyarakat Melayu, adat bukan sahaja bermaksud istiadat atau upacara. Bagi masyarakat Melayu,

adat dianggap sebagai satu sistem hidup yang menyeluruh. Hal ini termasuklah sistem-sistem sosial,

kepercayaan dan juga perundangan. Menurut Kamus Dewan pula, adat ialah peraturan yang lazim dilakukan

sejak dahulu kala. Dengan kata lain, dapatlah difahami bahawa adat merupakan peraturan yang diamalkan

oleh sesebuah masyarakat secara turun temurun.

Kemudian adat menjadi satu hukum yang perlu dipatuhi oleh semua dan perlulah diketahui bahawa

sesiapa yang melanggar hukum adat akan dikenakan hukuman. Menurut Hooker, adat didefinisikan sebagai

satu aspek kelakuan yang mendekati soal-soal etika atau moral sesuatu yang dianggap elok atau sesuai dan

dapat diterima oleh sesuatu masyarakat. 1 Menurut beliau lagi, adat dapat dikatakan sebagai undang-undang

kemasyarakatan, hukum alam atau keadaan semula jadi yang menerangkan tentang fenomena-fenomena

alam serta adat yang membawa pengertian undang-undang. Datuk Samad Idris pula menyatakan bahawa

adat adalah suatu sistem pentadbiran dan pemerintahan serta cara hidup berkeluarga, bermasyarakat dan

bernegara yang dikawal oleh peraturan-peraturan hidup seharian.2

Secara mudahnya, dapat difahami bahawa adat boleh diertikan sebagai satu amalan yang lazim

dilakukan sama ada dari segi pemikiran mahupun perbuatan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam

masyarakat sehingga kemudiannya membentuk hukum adat iaitu apabila adat-adat ini menjadi peraturan

yang mesti atau harus dipatuhi. Haruslah diketahui bahawa hukum adat muncul lebih awal daripada undang-

undang bertulis. Hal ini demikian kerana hukum adat ini tersimpan, terpelihara dan diwarisi secara lisan dan

hukum adat juga telah diterima dari satu generasi ke satu generasi. Sehingga ke hari ini dapat dilihat bahawa

hukum adat masih lagi dipegang kuat oleh sesetengah masyarakat di kawasan-kawasan tertentu seperti Alam

Melayu.
1
M.B, Hooker, Readings in Malay Adats Laws, Singapura: Singapura University Press, 1970, hlm. 11.
2
Samad Idris, Kemudian Dalam Adat Perpatih, Kertas Kerja Yang Dibentangkan Di Seminar Pensejarahan Dan Adat Perpatih,
Anjuran Majlis Belia Negeri Sembilan, Pada 10-12 April 1974, hlm. 3.
1
Umum mengetahui bahawa Alam Melayu sememangnya mempunyai pelbagai kelompok masyarakat

yang kaya dengan adat-adat yang unik dan tersendiri serta tidak terdapat di tempat-tempat lain. Hal ini

demikian kerana hampir semua kelompok masyarakat seperti masyarakat Melayu mempunyai konsep adat

bagi menyatakan sistem kehidupan mereka yang tersendiri, berbeza daripada sistem kehidupan kelompok

masyarakat lain. Setiap kelompok masyarakat juga biasanya mengguna pakai hukum adat tertentu dalam

menjalankan kehidupan seharian mereka. Begitu juga yang berlaku dalam masyarakat Melayu sendiri.

Terdapat dua jenis hukum adat yang masyhur diamalkan oleh masyarakat Melayu di negeri-negeri Melayu

khususnya sejak dari zaman awal lagi.

Dua jenis hukum adat yang diamalkan ialah Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Kedua-dua adat

ini dikatakan berasal dari Sumatera. Sejarah kewujudan Adat Perpatih dan Adat Temenggung dipercayai

bermula apabila seorang pembesar di Sumatera telah membahagikan kawasan pentadbirannya kepada dua

orang anak lelakinya. Anak lelakinya bernama Datuk Parapatieh Nan Sebatang (Datuk Perpatih Nan

Sebatang) dan Datuk Katumangguengan (Datuk Ketemenggungan). Mereka merupakan adik beradik yang

berlainan ibu tetapi ada juga pendapat yang menyatakan bahawa mereka merupakan adik beradik yang

berlainan bapa. Istilah Adat Perpatih dikatakan terbit daripada gelaran Datuk Perpatih Nan Sebatang

manakala istilah Adat Temenggung pula terbit daripada gelaran Datuk Ketemenggungan.3

Datuk Perpatih Nan Sebatang dikatakan mendapat wilayah kurniaan di kawasan pedalaman manakala

Datuk Ketemenggungan mendapat wilayah kurniaan di kawasan pesisir. Jika dilihat dengan teliti, kerajaan-

kerajaan Melayu pada zaman dahulu yang mengamalkan Adat Perpatih adalah berada di kawasan pedalaman

seperti di Minangkabau manakala kerajaan yang mengamalkan Adat Temenggung biasanya berada di

kawasan pesisir seperti Melaka. Dari segi penyebaran kedua-dua adat ini di Tanah Melayu, apa yang dapat

dilihat ialah Adat Temenggung diamalkan hampir seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Adat Perpatih pula

dilihat hanya diamalkan di Naning dan Negeri Sembilan sahaja. Walaupun kedua-dua adat ini berasal dari

tempat yang sama iaitu Sumatera namun ianya mengandungi banyak elemen yang berbeza baik dari segi

politik, ekonomi mahupun sosial. Dalam penulisan ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci tentang

3
Norhalim Hj. Ibrahim, Adat Perpatih Perbezaan Dan Persamaannya Dengan Adat Temenggung, Kuala Lumpur: Fajar Bakti
Sdn. Bhd., 1993, hlm. 5.

2
segala ketentuan peraturan yang terkandung di dalam Adat Perpatih dan Adat Temenggung yang dapat

dilihat menjadi satu ketentuan peraturan di dalam masyarakat Melayu sehingga ke hari ini.

SISTEM POLITIK ADAT PERPATIH DAN ADAT TEMENGGUNG

PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

Adat Perpatih dan Adat Temenggung mempunyai banyak perbezaan dari sudut pemerintahan dan

pentadbiran. Hal ini kemudiannya telah menyebabkan kerajaan yang mengamalkan kedua-dua adat ini

menjalankan pemerintahan dan pentadbiran mengikut gaya yang berbeza. Sistem pemerintahan dan

pentadbiran Adat Perpatih dapat dilihat lebih bersifat demokrasi.4 Sebagai buktinya, dalam Adat Perpatih

kuasa pemerintahan dapat dilihat bersifat dari bawah ke atas. Hal ini bermaksud, segala keputusan diambil

dari unit yang terbawah sehingga ke atas melalui sistem musyawarah iaitu sistem yang dilihat sebagai satu

sistem demokrasi. Jika kita ingin melihat amalan demokrasi yang diamalkan dalam Adat Perpatih, kita harus

memahami unit-unit pentadbirannya terlebih dahulu.

Unit pentadbiran Adat Perpatih dimulai dengan sebuah organisasi keluarga. Sesebuah keluarga adalah

berasaskan rumpun yang mempunyai keturunan sekurang-kurangnya tiga generasi dan tinggal setempat

ataupun serumah. Sesebuah keluarga akan diketuai oleh seorang mamak. Mamak merupakan saudara lelaki

yang tertua dari sebelah ibu. Gabungan beberapa buah keluarga inilah yang kemudiannya akan membentuk

perut. Perut biasanya adalah kelompok masyarakat yang berasal dari suku yang sama dan perut akan diketuai

oleh seorang ketua yang dipanggil Buapak. Buapak berfungsi sebagai ketua dalam hal-hal kekeluargaan

seperti perkahwinan, perceraian, pembahagian harta pusaka dan juga bertanggungjawab menyelesaikan

masalah serta pertelingkahan antara anak-anak buah dalam perutnya. Perut kemudiannya akan membentuk

unit pentadbiran iaitu suku yang mana akan diketuai oleh seorang yang dipanggil Lembaga. 5 Jawatan

Lembaga dilantik secara bergilir mengikut suku. Suku pula akan membentuk unit pentadbiran seterusnya

4
Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 110.

5
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 56.
3
iaitu luak atau daerah yang diketuai oleh Undang. Luak akan membentuk unit pentadbiran terakhir iaitu

negeri yang diketuai oleh Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan.

Pentadbiran dan pemerintahan Adat Perpatih dapat dilihat mengamalkan sistem demokrasi apabila

mamak akan melantik Buapak. Buapak pula berkuasa melantik Lembaga dan Lembaga kemudiannya

berkuasa melantik Undang. Undang kemudiannya berkuasa dalam melantik Yang Dipertuan Besar yang

terdiri daripada keluarga diraja sebagai wakil negeri. Hal ini jelas menunjukkan bahawa unit pentadbiran dan

pemerintahan Adat Perpatih bermula daripada unit terbawah sehinggalah unit yang tertinggi. Amalan

demokrasi ini di alam peribahasa Adat Perpatih dinyatakan seperti :

Raja menobat di dalam Alam,

Penghulu menobat di dalam luak,

Lembaga menobat di dalam lingkungannya,

Ibu bapa menobat pada anak buahnya,

Orang banyak menobat di dalam terataknya.6

Jika dilihat kepada Adat Temenggung pula, jelas sekali terdapat perbezaan yang sangat ketara. Hal ini

demikian kerana Adat Temenggung mengamalkan sistem autokratik dalam pemerintahan dan pentadbiran.7

Kuasa pemerintahan dan pentadbiran dalam Adat Temenggung adalah bersifat dari atas ke bawah yang mana

seorang raja atau sultan mempunyai kuasa penuh dalam membuat sebarang keputusan. Jika dilihat dari sudut

hierarki sosial Adat Temenggung pula, sultan atau raja berada di puncak. Golongan kedua selepas sultan

atau raja ialah pembesar dan bangsawan yang kebiasaannya terdiri daripada keluarga sultan atau raja itu

sendiri. Seterusnya ialah golongan rakyat biasa dan juga hamba. Kedudukan raja atau sultan begitu kukuh

dan sukar digugat berikutan beberapa keistimewaan yang diperuntukkan kepadanya.

Keistimewaan ini termasuklah dari segi bahasa, warna dan juga alat kebesaran diraja. Raja atau sultan

mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran selain berperanan sebagai ketua tentera, ketua agama serta

ketua dalam perundangan. Raja atau sultan juga berperanan sebagai lambang perpaduan bagi rakyat dan

takhta raja atau sultan hanya boleh diwarisi oleh anak lelaki mereka sahaja. Jika tidak mempunyai anak

lelaki, adik lelaki sultan atau raja yang akan mewarisi takhta tersebut. Dari segi sistem pemerintahan dan

Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 110.
6

ibid.
7

4
pentadbiran Adat Temenggung pula, sultan atau raja berkuasa melantik pembesar-pembesar yang berperanan

bagi membantu urusan pentadbiran negeri. Antara jawatan-jawatan yang dilantik oleh sultan atau raja

termasuklah seperti Bendahara, Laksamana dan juga Syahbandar. Setiap jawatan ini mempunyai tugas-tugas

tertentu yang telah ditetapkan.

Sultan atau raja turut berperanan melantik ketua bagi setiap unit pentadbiran yang terdapat dalam

negerinya. Antara unit pentadbiran tersebut ialah bermula dari peringkat paling kecil iaitu kampung.

Kampung pula akan membentuk mukim seterusnya membentuk sebuah negeri. Setiap kampung akan

diketuai oleh seorang ketua. Bagi mukim pula, penghulu adalah individu yang bertanggungjawab untuk

setiap mukim. Penghulu juga disebut sebagai mandulika. Kebiasaannya ketua kampung dan penghulu ini

dilantik oleh sultan atau raja dengan pemberian cap mohor sebagai tanda perlantikan. Selain daripada

kampung dan mukim terdapat juga unit pentadbiran lain seperti kawasan pegangan yang dikurniakan oleh

sultan atau raja kepada pembesar-pembesar tertentu seperti bendahara dan laksamana. Sebagai contoh,

semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, pembesar seperti Bendahara mendapat kawasan pegangan di

Bentan dan Muar manakala Laksamana pula mendapat kawasan Siantan dan Sungai Raya.8

PERUNDANGAN

Sistem perundangan yang diamalkan oleh Adat Perpatih dan Adat Temenggung juga mempunyai

perbezaan yang dapat dilihat dengan jelas. Dalam Adat perpatih, undang-undang jenayah adalah bersifat

pemulihan, berperikemanusiaan dan juga bertimbang rasa. Hukuman yang dikenakan bukanlah bertujuan

untuk menghukum pesalah semata-mata akan tetapi bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pesalah

yang terlibat. Undang-undang Adat Perpatih terbahagi kepada enam bahagian. Enam bahagian tersebut ialah

Undang-Undang Berkaitan Perlembagaan, Undang-Undang Jenayah, Undang-Undang Keterangan, Undang-

Undang Keluarga, Undang-Undang Harta dan juga Konflik Undang-Undang.

Menurut Adat Perpatih, orang yang melakukan kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan

mangsa akan dibayar ganti rugi. Sebagai contoh, seseorang yang cedera akan diberi ganti rugi dalam bentuk

ayam atau kambing bergantung kepada keadaan lukanya. Apabila berlaku kecurian pula, mangsa boleh
8
Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia, Shah Alam: Oxford Fajar, 2011, hlm. 8.
5
mendapatkan semula hartanya. Jika kesalahan membabitkan pembunuhan, maka si pembunuh perlu

menanggung kehidupan keluarga mangsa yang telah dibunuh olehnya. Hukuman yang dikenakan dalam

Adat Perpatih ini dilihat menjadikan seseorang itu bertanggungjawab di atas setiap kesalahan yang telah

dilakukan olehnya di samping mewujudkan sikap bertimbang rasa dan berperikemanusiaan. Dalam

perundangan Adat Perpatih juga telah ditetapkan bahawa hukuman mati hanya boleh dijatuhkan oleh Yang

Dipertuan Besar sahaja. Hukuman mati dijatuhkan ke atas kesalahan yang berat seperti penderhakaan.

Hukuman yang dikenakan berikutan kesalahan biasa pula akan ditentukan oleh Buapak atau Lembaga.

Walaupun telah ditetapkan hukuman bagi tiap-tiap kesalahan akan tetapi hukuman yang bakal dijalankan

masih lagi boleh dipertimbangkan ketua adat. Hal ini bermaksud ketua adat mempunyai kuasa budi bicara

dalam menjalankan sesuatu hukuman tersebut selaras dengan pantun Adat Perpatih sendiri iaitu :

Menyampak-nyampak jala ke hulu,

Dapatlah anak badar belang,

Apakah cupak dek penghulu,

Ialah mempermainkan undang-undang.9

Apa yang menarik dan unik tentang undang-undang Adat Perpatih ialah ianya dapat ditemui melalui kata-

kata, perumpamaan, bidalan, pantun dan juga teromba. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat pada

zaman dahulu sangat kreatif dalam mengekspresikan sesuatu termasuklah dari segi undang-undang.

Beralih kepada Adat Temenggung pula, bentuk dan pelaksanaan undang-undang yang dibuat adalah tegas

dan keras. Undang-undang Adat Temenggung juga kuat berpegang kepada konsep pembalasan dan bertujuan

untuk menghukum pihak yang bersalah. Konsep pembalasan ini terkenal dalam Bahasa Inggeris dengan

kata-kata tooth for a tooth, eye for an eye principal.10 Hukuman dijalankan dengan tegas supaya ianya akan

dijadikan iktibar serta amaran kepada masyarakat untuk tidak melakukan kesalahan. Dalam Adat

Temenggung, raja atau sultan mempunyai kuasa tertinggi dalam bidang perundangan. Undang-undang Adat

Temenggung juga dapat dilihat jelas lebih memihak kepada golongan pemerintah atau golongan atasan. Hal

ini bermaksud sekiranya golongan bawahan iaitu rakyat dan juga golongan pemerintah melakukan

9
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 136.

10
Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 110.
6
kesalahan, hukuman yang dikenakan tidak sama. Hukuman yang dikenakan kepada rakyat adalah lebih berat

berbanding dengan hukuman yang dikenakan ke atas golongan pemerintah.

Menurut Adat Temenggung, orang yang bersalah diumpamakan seekor burung, yang kalau mencotok

sesuatu yang bukan haknya, maka paruhnya dipotong dan kalau barang itu telah sampai ke dalam perutnya,

maka perutnya dibedah untuk mengambil kembali apa yang ditelan. 11 Hukuman berat seperti hukuman mati

akan dijatuhkan kepada pesalah yang terlibat dengan kesalahan seperti menderhaka kepada raja atau sultan.

Hukuman mati ini hanya boleh dilakukan oleh raja atau sultan sahaja. Pembesar tidak boleh menjalankan

hukuman ini. Pembesar hanya boleh menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan seperti mencuri,

mencederakan dan lain-lain. Di sini dapat dilihat persamaan antara Adat Temenggung dengan Adat Perpatih

yang mana hukuman mati hanya boleh dilakukan oleh ketua negeri sahaja iaitu Yang Dipertuan Besar bagi

Adat Perpatih dan raja atau sultan bagi Adat Temenggung.

SISTEM EKONOMI ADAT PERPATIH DAN ADAT TEMENGGUNG

EKONOMI SARA DIRI

Sistem ekonomi Adat Perpatih dan Adat Temenggung boleh dikatakan mempunyai ciri-ciri yang

lebih kurang sama. Cuma terdapat sedikit sahaja kelainan yang dapat dikenalpasti. Antara sistem ekonomi

yang sama antara kedua-dua adat ini ialah kedua-duanya mengamalkan sistem ekonomi sara diri. Sistem

ekonomi sara diri ini adalah sangat penting dan menjadi tulang belakang masyrakat Melayu yang

mengamalkan kedua-dua adat ini bagi meneruskan kehidupan. Sistem ekonomi sara diri juga

memperlihatkan bagaimana sesebuah masyarakat itu mengolah kehidupan dari alam sekitar dengan

menggunakan sumber-sumber di sekeliling mereka untuk menghasilkan sesuatu. Antara aktiviti yang

dijalankan termasuklah pertanian, menangkap ikan dan memungut hasil laut, berburu dan memungut hasil

hutan serta menternak binatang.

Aktiviti pertanian begitu penting dalam kedua-dua adat ini terutamanya Adat Perpatih. Hal ini

demikian kerana majoriti masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih adalah masyarakat tani. Oleh hal
11
ibid, hlm. 111.
7
yang demikian tanah merupakan aset penting kepada mereka. Tanah juga dilihat oleh masyarakat Adat

Perpatih sebagai ukuran lahiriah seseorang.12 Masyarakat Adat Temenggung pula tidak menganggap

tanah sebagai ukuran lahiriah seseorang akan tetapi kedua-dua masyarakat yang mengamalkan Adat

Perpatih mahupun Adat Temenggung menanam jenis tanaman yang sama iaitu padi sebagai tanaman

utama mereka. Bagi masyarakat Adat Perpatih, padi adalah tanaman terpenting dan ditanam dengan

meluas. Sebagai buktinya hampir semua keluarga dalam Adat Perpatih mempunyai tanah sawah sendiri. 13

Hal ini berbeza dengan masyarakat Adat Temenggung yang hanya menanam padi dengan tujuan untuk

menampung keperluan keluarga sahaja. Selain menanam padi terdapat juga tanaman lain yang ditanam

seperti ubi kayu, pisang, keledek dan kelapa bagi memenuhi keperluan harian.

Aktiviti ekonomi sara diri seterusnya ialah menangkap ikan dan memungut hasil laut. Seperti yang

diketahui, ikan merupakan sumber protein utama dalam masyarakat Melayu khususnya. Oleh itu, aktiviti

menangkap ikan dijalankan oleh kedua-dua masyarakat yang mengamalkan adat ini namun aktiviti

menangkap ikan adalah lebih sinonim dengan masyarakat Adat Temenggung berbanding Adat Perpatih.

Hal ini demikian kerana kedudukan geografi masyarakat Adat Temenggung itu sendiri yang berada di

pesisir membuatkan mereka menjadikan aktiviti menangkap ikan terutamanya di laut sebagai antara

aktiviti utama bagi menampung keperluan hidup. Mereka juga memungut hasil laut selain dari

menangkap ikan. Berbanding masyarakat Adat Perpatih yang tinggal jauh di pedalaman meraka hanya

menangkap ikan di sawah dan sungai yang berdekatan sahaja.

Selain itu, aktiviti berburu dan memungut hasil hutan juga adalah penting bagi kedua-dua adat.

Aktiviti berburu biasanya dilakukan di hutan. Antara haiwan buruan yang menjadi sasaran termasuklah

pelanduk, kijang dan juga rusa. Hasil buruan ini akan dijadikan makanan untuk ahli keluarga. Untuk

aktiviti memungut hasil hutan adalah tidak kurang pentingnya. Hal ini disebabkan oleh masyarakat Adat

Perpatih dan Adat Temenggung banyak bergantung hidup dengan sumber yang ada dipersekitaran mereka

termasuklah yang ada di hutan. Rotan dan damar merupakan antara hasil hutan yang dikutip untuk

kegunaan seharian. Rotan akan digunakan untuk membuat bakul dan tikar manakala damar pula

digunakan untuk menutup renggangan pada papan perahu.

12
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 84.
13
ibid, hlm. 85.
8
Aktiviti menternak binatang juga tidak ketinggalan dilakukan. Menternak binatang adalah aktiviti

ekonomi sara diri yang penting kepada Adat Perpatih begitu juga Adat Temenggung. Antara binatang

ternakan yang diternak termasuklah kerbau, lembu, kambing, ayam dan juga itik. Kepentingan menternak

ini dapat dilihat apabila Adat Perpatih menyifatkan kerbau sebagai “wang beku” dan begitu penting untuk

digunakan ketika membajak sawah.14 Daging kerbau juga akan dijadikan sebagai sumber makanan

menjelang perayaan atau majlis perkahwinan. Kepentingan penternakan kepada Adat Temenggung pula

dapat dilihat apabila Bendahara Seri Maharaja sendiri ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka membela

kerbau dan juga haiwan ternakan yang lain.

EKONOMI KOMERSIAL

Perdagangan merupakan ekonomi komersial sejak zaman dahulu lagi. Perdagangan dijalankan di

kawasan-kawasan pelabuhan pesisir pantai. Oleh itu, aktiviti perdagangan ini adalah lebih sinonim

dengan masyarakat Adat Temenggung yang biasanya mendiami kawasan pesisir. Perdagangan dijalankan

secara import dan juga eksport. Perdagangan biasanya dilakukan oleh golongan atasan seperti raja atau

sultan dan juga pembesar. Hal ini demikian kerana aktiviti perdagangan memerlukan modal yang tinggi

serta buruh yang ramai. Masyarakat bawahan seperti rakyat biasa tidak mampu untuk menjalankan

perdagangan sebaliknya mereka mengambil upah bekerja dengan pembesar atau raja yang menjalankan

aktiviti perdagangan tersebut.

Perdagangan dapat dilihat berkembang pesat dalam kerajaan-kerajaan yang mengamalkan Adat

Temenggung seperti kerajaan Melaka. Perdagangan dapat dikatakan sebagai tulang belakang dalam

pembangunan Melaka itu sendiri. Perdagangan yang dijalankan di Melaka melibatkan pedagang-

pedagang asing seperti dari China, Arab, Eropah dan juga India. Antara barang-barang yang diimport oleh

Melaka dari pedagang-pedagang tersebut termasuklah tembikar, kapas, kain sutera dan lain-lain. Melaka

juga mengeksport pelbagai barangan kepada pedagang asing seperti emas, timah, hasil hutan, rempah dan

juga lada hitam. Melaka pada ketika itu merupakan kerajaan yang sangat maju dengan pelabuhan

entrepotnya yang terkenal dalam kalangan pedagang-pedagang.


14
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 94.
9
Kerajaan Melaka menjadi contoh jelas sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan Adat

Temenggung dan menjadikan perdagangan sebagai ekonomi komersial utamanya. Kepesatan

perdagangan yang berlaku di Melaka adalah berikutan beberapa faktor. Antaranya seperti kemudahan

pelabuhan yang terdapat di Melaka itu sendiri. Kemudahan pelabuhan ini termasuklah tempat

penginapan, bekalan air bersih, gudang serta tempat perniagaan juga disediakan. Peranan Syahbandar

juga amat penting dalam memastikan segala urusan perdagangan berjalan dengan lancar. Syahbandar

adalah individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip cukai, menjaga kebajikan pedagang serta

menjadi hakim di pelabuhan. Tidak hanya Melaka, kerajaan-kerajaan lain yang mengamalkan Adat

Temenggung juga biasanya menjalankan aktiviti perniagaan sebagai ekonomi komersial mereka

termasuklah kerajaan Johor, Pahang, Acheh dan banyak lagi.

MERANTAU

Kamus Dewan mendefinisikan merantau sebagai berjalan, belayar atau mengembara mencari

penghidupan dan lain-lain. Merantau adalah sangat sinonim dengan kehidupan masyarakat Adat Perpatih.

Dalam Adat Perpatih, merantau diertikan sebagai fenomena sosial di mana anak-anak muda keluar

meninggalkan kampung ke kota-kota mengadu nasib dan mencari rezeki. 15 Tetapi, jika dilihat dari segi

maksud yang tersirat, merantau dapat difahami sebagai usaha mencari rezeki. Adat Perpatih menganggap

bahawa rezeki ada di mana-mana dan untuk tujuan mencari rezeki anak-anak muda perlu meninggalkan

kampung kelahirannya dan mengembara jauh dari sanak saudara. Mereka yang merantau akan dikenali

sebagai “anak dagang”.16 Anak dagang ini kemudiannya perlulah mencari ibu dan bapa angkat untuk

menolong mereka menggantikan keluarga.

Antara sebab-sebab seseorang itu merantau adalah kerana untuk menambah harta pusaka,

mendapatkan pekerjaan bergaji tetap, mendapat peluang meneruskan pelajaran dan juga disebabkan oleh

merajuk. Merajuk biasanya merujuk kepada salah faham yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga yang

selalunya dikaitkan dengan pembahagian tanah pusaka. Merantau lazimnya dilakukan oleh seseorang

15
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 97.
16
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 97.
10
yang masih bujang dan muda. Mereka yang masih bujang dan muda diharapkan akan mengirim wang

kepada keluarga yang berada di kampung.Namun begitu, terdapat juga pasangan suami isteri yang

merantau secara bersama. Ada juga suami yang meninggalkan isteri untuk pergi merantau. Walaupun

seseorang itu pergi merantau dalam jangka masa yang lama namun hubungan kekeluargaan akan tetap

dijalinkan dan tidak boleh diputuskan.

SISTEM SOSAL ADAT PERPATIH DAN ADAT TEMENGGUNG

SUSUNAN MASYARAKAT

Jika ditinjau dari susunan masyarakat, baik Adat Perpatih mahupun Adat Temenggung kedua-duanya

mempunyai sistem susunan masyarakat yang tersendiri. Susunan masyarakat Adat Perpatih adalah

bersendikan kepada sistem unilateral-matrilineal iaitu setiap orang baik lelaki atau perempuan menarik

garis keturunannya hanya melalui pihak perempuan sahaja iaitu dari ibu ke ibu sehingga semua

penghubung dalam garis keturunan adalah semata-mata perempuan.17 Dapat dilihat tegasnya di sini,

masyarakat Adat Perpatih mengutamakan keturunan kepada nisab sebelah ibu. Dengan bersandarkan

sistem unilateral-matrilineal ini, maka wujudlah yang dipanggil suku. Suku merupakan teras pegangan

utama dalam masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih.

Suku adalah satu kesatuan yang mana menggabungkan beberapa perut yang mengakui sama

keturunan nenek moyangnya. Setiap suku akan diketuai oleh seorang yang dipanggil Lembaga. Lembaga

bertanggungjawab terhadap kesemua ahli sukunya. Dalam Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri

Sembilan, terdapat 12 suku yang disenaraikan. 12 suku ini ialah Biduanda, Batu Hampar, Seri

Melenggang, Tanah Datar, Mungkal, Seri Lemak, Tiga Batu, Tiga Nenek, Paya Kumbuh, Anak Melaka,

Anak Acheh dan Batu Belang.18 Sistem bersuku ini menyebabkan setiap individu di dalam suku saling

bertanggungjawab membantu dan melindungi antara satu sama lain selaras dengan pepatah Adat Perpatih

iaitu :
Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 115.
17

Norhalim Hj. Ibrahim, Adat Perpatih Perbezaan Dan Persamaannya Dengan Adat Temenggung, Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn.
18

Bhd., 1993, hlm. 96.


11
Bersuku berwaris,

Jauh pun ada, dekat pun ada,

Jika jauh didengar-dengarkan,

Jika dekat dipandang-pandangkan.19

Menurut sejarah penganut-penganut Adat Perpatih di Semenanjung Tanah Melayu, suku Biduanda adalah

suku yang berada pada tempat paling tinggi dan istimewa. Hal ini demikian kerana suku Biduanda adalah

suku asal atau suku peribumi yang merupakan penduduk asal Negeri Sembilan manakala suku yang lain

adalah suku pendatang. Keistimewaan yang terdapat pada suku Biduanda ialah keturunan daripada suku

ini mempunyai hak mutlak untuk menjawat jawatan undang di sesebuah kawasan.

Susunan masyarakat Adat Temenggung pula adalah bersendikan kepada sistem unilateral-patrilneal

yang mana nasab keturunan seseorang dikira daripada sebelah bapa. 20 Hal ini sangat berbeza dengan Adat

Perpatih yang mana nasab seseorang itu dikira daripada sebelah ibu. Susunan masyarakat Adat

Temenggung dibahagikan kepada dua iaitu golongan pemerintah dan golongan yang diperintah.

Golongan pemerintah adalah terdiri daripada sultan atau raja, kerabat raja, pembesar, bangsawan dan juga

golongan agama. Golongan yang diperintah pula terdiri daripada rakyat biasa dan hamba. Setiap golongan

memainkan peranan yang berbeza akan tetapi melengkapi antara satu sama lain. Susunan masyarakat

Adat Temenggung dapat diambil contohnya daripada kerajaan Melaka yang dilihat jelas menggunakan

susunan masyarakat seperti yang dinyatakan.

SISTEM PERKAHWINAN

Adat Perpatih dan Adat Temenggung mempunyai sistem perkahwinan yang berbeza dari segi

konsepnya akan tetapi lebih kurang sama dari sudut inti sari perkahwinan. Sesuai dengan masyarakat

yang mengamalkan sistem kesukuan, maka Adat Perpatih menggunakan sistem eksogami. 21 Sistem

perkahwinan eksogami bererti perkahwinan sesama suku adalah dilarang. Sistem eksogami terbahagi

kepada dua iaitu kahwin jujur dan kahwin semenda. Kahwin jujur bermaksud apabila satu pasangan telah
19
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 29.
20
Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 110.
21
Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 133.
12
berkahwin, si isteri wajib tinggal di tempat suaminya atau setidaknya di tempat keluarga suaminya.

Konsep perkahwinan kahwin jujur ini dikenali sebagai eksogami dan patrilokal. Kahwin semenda pula

adalah sebaliknya iaitu si suami wajib tinggal di tempat isterinya atau setidak-tidaknya di tempat keluarga

isterinya. Konsep kahwin semenda ini dikenali sebagai eksogami dan matrilokal.

Dari segi sistem perkahwinan Adat Temenggung, ianya menggalakkan endogami. 22 Endogami adalah

sistem perkahwinan dalam kelompok sendiri. Sebagai contoh, kelompok kelas pemerintah seperti raja

atau sultan akan berkahwin sesama mereka dan begitu juga dengan kelompok masyarakat, mereka akan

berkahwin sesama kelompok masyarakat. Hal ini bukan bermaksud kelompok pemerintah tidak boleh

atau dilarang berkahwin dengan kelompok masyarakat, ianya dibolehkan tetapi agak jarang berlaku. Adat

Temenggung hanya melarang perkahwinan yang dilarang oleh hukum syarak. Sebagai contoh, seseorang

individu itu tidak boleh sama sekali berkahwin dengan adik beradik kandungnya serta saudara susuannya.

Hal ini demikian kerana telah dimaktubkan dalam hukum syarak bahawa perkahwinan seperti itu adalah

dilarang sama sekali.

Jika ditelusuri tentang inti sari perkahwinan pula, inti sari perkahwinan Adat Perpatih terdiri daripada

pernikahan dan hal ini sama dengan Adat Temenggung. Pernikahan dalam kedua-dua adat dijalankan

mengikut hukum syarak. Selepas pernikahan, jika mengikut Adat Perpatih pemberian hadiah kahwin akan

dilakukan. Hal ini dapat dilihat di Negeri Sembilan iaitu selain dari wang tunai, suami juga akan

memberikan hadiah kahwin kepada si isteri. Selepas pemberian hadiah kahwin, persandingan dan pesta

perkahwinan akan dijalankan. Persandingan dan pesta perkahwinan dijalankan oleh kedua-dua adat baik

Adat Perpatih mahupun Adat Temenggung.

PERTUNANGAN

Bagi kedua-dua adat baik Adat Perpatih mahupun Adat Temenggung, telah menjadi kelaziman

sebelum perkahwina, upacara merisik dan pertunangan akan dilangsungkan. Menurut Adat Perpatih pada

zaman dahulu, upacara merisik dilakukan oleh pihak perempuan. Namun setelah zaman beredar, upacara

merisik dilakukan oleh pihak lelaki sama seperti Adat Temenggung. Biasanya upacara merisik akan
22
ibid, hlm. 161
13
dilakukan di rumah pihak perempuan. Dalam Adat Perpatih, duai adalah individu yang bertanggungjawab

dalam upacara merisik. Duai atau secara mudahnya ialah match-maker biasanya terdiri daripada sanak

saudara perempuan pihak lelaki.23

Menurut Adat Perpatih juga, apabila risikan diterima maka utusan meminang akan dihantar. Begitu

juga dengan Adat Temenggung. Adat Temenggung memperlihatkan selepas risikan diterima, tarikh

perkahwinan, jumlah mas kahwin dan juga hantaran akan ditetapkan atas persetujuan kedua belah pihak.

Pada masa yang sama menurut Adat Perpatih, jika risikan diterima maka upacara mengembang cincin

akan dijalankan.24 Upacara ini dijalankan bagi memperlihatkan cincin yang diperoleh kepada sanak

saudara kedua belah pihak. Selepas upacara mengembang cincin dilakukan, barulah ianya akan disusuli

dengan pertunangan di mana sebentuk cincin lagi akan dihantar oleh pihak lelaki kepada pihak

perempuan. Adat Perpatih turut menyatakan bahawa seandainya risikan tidak diterima maka cincin

perlulah dipulang dalam masa tiga hari kepada pihak lelaki. Jika ditinjau dari Adat Temenggung pula,

sekiranya pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki maka lelaki tersebut perlulah membayar sebagai ganti

rugi jumlah wang mas kahwin dan jika pihak perempuan yang memutuskan pertunangan, maka hadiah

pertungan perlulah dipulangkan di samping ganti rugi lain yang telah dipersetujui.

PERCERAIAN

Mengenai perceraian, kedua-dua hukum adat ini berpegang kepada hukum syarak. Hal ini dapat

dilihat apabila kuasa untuk menjatuhkan talak terletak pada tangan suami. Pihak isteri tidak boleh

menjatuhkan talak sama sekali. Akan tetapi, isteri dibolehkan untuk memohon fasakh daripada suami

apabila berlakunya perkara-perkara tertentu. Namun begitu terdapat satu keunikan di dalam Adat Perpatih

apabila dibincangkan tentang perceraian. Menurut Adat Perpatih sebelum perceraian dilakukan, maka

satu proses timbang tara haruslah dilakukan. Proses inilah yang disebut dalam Adat Perpatih sebagai

bersuarang. Bersuarang adalah satu proses di mana suami akan mengadakan jamuan kecil dan

23
Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 135.
24
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 126.

14
menjemput keluarganya serta keluarga isterinya bagi merundingkan tentang perihal keretakan rumah

tangga yang dialami olehnya.25 Perkara ini selaras dengan kata-kata Adat Perpatih iaitu :

Kok kusut diselesaikan,

Kok keruh dijernihkan dan

Bersama-samalah mencari yang baik.

Dengan kehadiran kedua-dua belah keluarga adalah diharapkan supaya pertikaian kecil dalam sesebuah

rumah tangga dapat diselesaikan. Namun begitu, jika penyelesaian tidak dapat ditemui maka perceraian

merupakan jalan terakhir. Keputusan untuk bercerai adalah dianggap sebagai langkah yang terakhir

sekiranya perdamaian sudah tidak mungkin dicapai lagi antara kedua-dua belah pihak.

HARTA PERKAHWINAN

Adat Perpatih menetapkan bahawa harta perkahwinan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu harta

carian, harta pembawa dan harta dapatan.26 Harta carian membawa maksud harta yang diperoleh sepanjang

tempoh perkahwinan dengan usaha secara bersama antara suami dan juga isteri. Antara contoh harta carian

ialah ladang getah, alat-alat pertanian, simpanan bersama dan juga hasil padi. Harta pembawa pula ialah

harta yang dibawa oleh suami pada waktu perkahwinan manakala harta dapatan pula adalah harta yang

dimiliki oleh isteri pada waktu perkahwinan. Pembahagian harta perkahwinan kepada tiga bahagian ini

adalah disebabkan jika berlakunya perceraian maka pembahagian harta antara suami dan isteri dapat

dilakukan secara adil. Jika berlaku perceraian, harta yang dibawa pada permulaan perkahwinan wajib

diserahkan kembali kepada pihak masing-masing. Harta pembawa akan dikembalikan kepada suami

manakala harta dapatan tetap milik isteri jika mereka bercerai.

25
Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 141.

26
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 117.
15
Dalam Adat Temenggung pula, harta perkahwinan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu harta

sepencarian dan harta persendirian.27 Harta sepencarian dalam konteks Adat Temenggung adalah lebih

kurang sama dengan konsep harta carian Adat Perpatih yang mana bermaksud harta yang diperoleh secara

bersama sepanjang tempoh perkahwinan. Jikalau berlakunya perceraian maka harta sepencarian ini akan

dibahagi dua sama banyak antara suami dan isteri. Akan tetapi jika si isteri tidak bekerja, makan isteri hanya

berhak mendapat satu per tiga sahaja daripada keseluruhan harta sepencarian. Harta persendirian pula ialah

harta yang dimiliki sendiri oleh suami dan isteri sebelum berkahwin lagi. Jika berlakunya perceraian maka

harta ini akan dikembalikan kepada pemilik asalnya iaitu suami dan juga isteri.

SISTEM KEWARISAN DAN HARTA PUSAKA

Sistem kewarisan dan harta pusakan merupakan antara aspek sosial yang terpenting dalam kedua-dua

hukum adat iaitu Adat Perpatih dan juga Adat Temenggung. Jika diperhatikan dengan terperinci, dapat

dilihat bahawa sistem kewarisan Adat Perpatih adalah menggunakan sistem kewarisan yang kolektif. Hal ini

bermaksud harta peninggalan tidak boleh sama sekali dibahagikan pemilikannya di antara ahli waris. 28

Melalui sistem kewarisan yang bersifat kolektif ini, harta peninggalan akan kekal dalam keluarga serta suku

sendiri. Harta ini akan dijaga oleh mamak iaitu ketua keluarga supaya tidak berpindah kepada orang lain

yang berlainan keluarga serta suku. Jika dilihat dari sudut harta pusaka pula, harta pusaka menurut Adat

Perpatih terbahagi kepada dua iaitu pusaka benar dan pusaka sendiri.

Pusaka benar bermaksud harta kepunyaan suku seperti tanah-tanah kampung, sawah, dusun buah-

buahan dan juga rumah yang diwarisi dari ibu yang terletak di atas tanah pusaka. Pusaka sendiri atau juga

disebut pusaka pakaian sendiri pula diertikan sebagai harta yang diwarisi oleh seorang anak daripada orang

tuanya seperti barang kemas. Seterusnya dilihat kepada pembahagian harta pusaka dalam Adat Perpatih.

Pembahagian harta pusaka dalam Adat Perpatih telah menetapkan bahawa jika seseorang lelaki bujang

meninggal dunia maka hartanya akan turun kepada warisnya sendiri iaitu keluarga perempuannya yang

27
Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 169.
28
Norhalim Hj. Ibrahim, Adat Perpatih Perbezaan Dan Persamaannya Dengan Adat Temenggung, Kuala Lumpur: Fajar Bakti
Sdn. Bhd., 1993, hlm. 138.
16
terdekat. Dari segi harta dapatan pula, ianya akan dipulangkan kepada waris si mati yakni keluarga

perempuan terdekat si mati. Pembahagian harta pusaka yang melibatkan harta suami isteri pula dapat dilihat

seperti berikut. Jika pasangan suami isteri meninggal dunia dan tidak mempunyai anak maka harta mereka

adalah untuk keluarga yang masih hidup. Seandainya pula si suami yang meninggal dunia maka seluruh

harta jatuh kepada balu dan juga anak-anaknya. Jikalau berlaku sebaliknya iaitu apabila si isteri yang

meninggal dunia maka harta carian akan dibahagikan kepada suami dan juga anak-anaknya.

Adat Temenggung pula memperlihatkan sisi yang berbeza dalam sistem kewarisan dan harta pusaka.

Sistem kewarisan yang digunakan oleh Adat Temenggung adalah mengguna pakai sistem individu. 29 Hal ini

bermaksud harta peninggalan dapat dibahagi-bahagikan pemilikannya antara ahli waris. Pembahagian harta

pusaka dalam Adat Temenggung adalah berdasarkan hukum faraid. Melalui hukum faraid ini dapatlah

dijelaskan antaranya ialah seorang perempuan berhak mendapat setengah dari pembahagian seorang lelaki.

Seorang balu berhak mendapat seperempat dari harta peninggalan suaminya jika mereka tidak mempunyai

anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka si balu cuma berhak mendapat seperlapan sahaja dari harta

peninggalan suaminya. Jika seseorang itu meninggal dunia dan hanya mempunyai seorang sahaja anak

perempuan maka anak perempuan tersebut berhak mendapat setengah daripada harta peninggalan tersebut.

Akan tetapi jika seseorang itu meninggal dunia dan mempunyai dua orang atau lebih anak perempuan dan

tiada anak lelaki maka anak-anak perempuannya berhak mendapat dua pertiga daripada harta

peninggalannya dan dibahagi sama rata. Akhir sekali jika seorang anak meninggal dunia tanpa

meninggalkan waris maka ibu bapanya berhak mendapat seperenam dari harta peninggalan anak mereka itu.

Tetapi jika anaknya meninggalkan waris, maka ibunya hanya berhak mendapat sepertiga sahaja harta

peninggalan manakala ayahnya hanya berhak mendapat seperenam daripada harta peninggalan tersebut.

BERKEDIM

Berkedim merupakan satu upacara yang unik serta istimewa. Upacara berkedim hanya terdapat di

dalam Adat Perpatih sahaja. Adat Temenggung tidak mempunyai upacara berkedim. Apa yang dimaksudkan

dengan berkedim ialah upacara seseorang itu diterima masuk menjadi ahli sesuatu suku dalam masyarakat
29
Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975, hlm. 175.
17
Adat Perpatih. Biasanya upacara berkedim dijalankan atas beberapa sebab. Antara sebab-sebabnya ialah

keinginan orang luar yang bukan berketurunan daripada Adat perpatih tetapi ingin masuk ke dalam sesuatu

suku atas sebab-sebab perkahwinan. Sebab yang seterusnya, upacara berkedim akan dilakukan jika

seseorang dalam Adat Perpatih ingin menukar sukunya kepada suku lain atas sebab-sebab mahu berkahwin

dengan pasangannya yang sama suku dengannya serta ada juga yang ingin berkedim untuk mendapatkan

kepentingan dalam pembahagian harta pusaka.

Terdapat tiga kategori kedim yang dilakukan dalam Adat Perpatih. Tiga kategori tersebut ialah kedim

adat dan pusaka, kedim adat serta kedim tarik. Kedim adat dan pusaka dilakukan supaya anggota-anggota

yang berkedim mendapat hak penuh sebagai anggota-anggota biasa sesuatu suku itu. Jika yang berkedim

adat dan pusaka itu adalah perempuan maka dia boleh mewarisi harta pusaka dan jika lelaki maka dia boleh

memegang jawatan yang ada di dalam sukunya. 30 Kedim adat pula hanyalah untuk tujuan persaudaraan yang

mana tidak memberikan hak penuh kepada anggota yang berkedim. Jika yang berkedim adat itu perempuan

maka dia tidak boleh mewarisi harta pusaka dan jika lelaki maka dia tidak boleh memegang apa-apa jawatan

yang ada di dalam sukunya. Keistimewaan kedim adat ini diumpamakan dalam Adat Perpatih sebagai sakit

dibela, mati ditanam. Kedim tarik merupakan kedim yang jarang berlaku di mana ianya akan berlaku jika

terdapat ibu angkat daripada sesuatu suku ingin membawa masuk anak angkatnya ke dalam sukunya sendiri.

Harus diingati bahawa taraf kedim ditentukan oleh muafakat ketua-ketua adat dalam suku yang

terlibat. Upacara berkedim juga mestilah mendapat persetujuan waris dan Lembaga selaras dengan kata-kata

Adat Perpatih seperti :

Oso sekata,

Jangan bercicir,

Jangan ketinggalan.

Satu upacara kenduri menyembelih kerbau atau kambing akan diadakan berikutan upacara berkedim yang

telah dilakukan. Kenduri ini akan dihadiri oleh Lembaga, Buapak dan juga waris-waris yang terlibat. Turut

diadakan juga upacara mencecah darah di mana anggota yang masuk berkedim dan seorang dari anggota

keluarga yang menerimanya akan mencecah jari mereka ke dalam semangkuk darah kambing atau kerbau
30
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, 130.

18
yang telah disembelih.31 Kemudian akan direnjiskan tepung tawar dan diikuti dengan pengakuan bahawa

anggota yang terlibat sudah dikedimkan pada suku yang berkenaan.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, apabila dilihat secara mendalam berkaitan kedua-dua hukum adat ini, jelas

sekali baik Adat Perpatih mahupun Adat Temenggung sememangnya mempunyai nilai yang amat unik serta

menarik untuk dikaji. Walaupun terdapat banyak perbezaan di antara kedua-duanya dari aspek sistem politik,

ekonomi dan juga sosial tetapi tujuan kedua-dua hukum adat ini adalah sama. Segala ketentuan peraturan

yang terkandung di dalam Adat Perpatih dan Adat Temenggung turut dapat dilihat telah pun menjadi satu

ketentuan peraturan di dalam masyarakat Melayu sehingga ke hari ini khususnya di Tanah Melayu sendiri.

Ketentuan-ketentuan peraturan seperti dalam aspek politik iaitu melalui sistem pemerintahan masih lagi

digunakan hingga ke hari ini. Buktinya dapat dilihat di mana negeri-negeri yang mengamalkan Adat

Temenggung di Tanah Melayu selain Negeri Sembilan dan Naning masih lagi bertunjangkan sistem

pemerintahan yang bersifat autokrasi. Sebaliknya sistem demokrasi masih kekal utuh diamalkan di Negeri

Sembilan.

Jika beralih kepada sudut sistem ekonomi pula, ianya dapatlah dikatakan sudah berubah. Hal ini

demikian kerana walaupun Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang mengamalkan Adat

Perpatih di Tanah Melayu yang mana ekonominya berasaskan pertanian, namun pada hari ini dapat dilihat

ekonomi komersial seperti perdagangan dan perniagaan telah mengambil alih tempat tersebut. Hal ini

berlaku berikutan kesan terhadap pemodenan yang dibawa oleh pihak penjajah ke Tanah Melayu dan

perkara yang sama berlaku di negeri-negeri yang mengamalkan Adat Temenggung. Ekonomi berasaskan

kelautan seperti perdagangan di pelabuhan tidaklah lagi dijadikan sandaran utama sebagai ekonomi

komersial sebaliknya terdapat kegiatan lain seperti perlombongan dan perkilangan secara besar-besaran

dijalankan terutamanya selepas kedatangan penjajah ke Tanah Melayu.

Aspek sistem sosial bagi kedua-dua adat pula adalah sangat menarik untuk dibincangkan. Hal ini
31
Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976, hlm. 131.

19
kerana aspek sosial mengukuhkan lagi keunikan serta kelainan yang ada di antara kedua-dua adat tersebut.

Namun begitu, harus diakui bahawa aspek sistem sosial di dalam kedua-dua hukum adat ini semakin ditelan

zaman akibat cabaran yang hebat di era globalisasi ini. Hal ini dapat dilihat jelas dalam Adat Perpatih

khususnya kerana mereka yang mengamalkan Adat Perpatih merupakan golongan minoriti di Tanah Melayu.

Justeru, bagi mengekalkan keutuhan pengaruh Adat Perpatih dalam kalangan masyarakat, pemimpin Adat

Perpatih harus bertindak mengikut aliran zaman dan kehendak masa. Penglibatan golongan muda juga harus

dititik beratkan supaya boleh menyumbang ke arah perkembangan Adat Perpatih dan sekaligus

memartabatkan adat yang istimewa ini. Hal yang sama perlu dilakukan oleh pengamal Adat Temenggung.

Setiap hukum adat perlulah diberi pendedahan kepada generasi muda supaya kesinambungan adat tersebut

dapat diteruskan dan tidak luput ditelan zaman.

Hukum-hukum adat ini selain dapat mengawal tingkah laku individu dan menentukan hak individu

dalam masyarkat, ianya juga turut menjadi bukti bahawa masyarakat Melayu sudah mempunyai satu sistem

kehidupan yang teratur baik dari segi aspek politik, ekonomi dan juga sosial sejak dari awal lagi. Adat

Perpatih dan Adat Temenggung adalah amat unik dan komprehensif dan terbukti menjadi ketentuan

peraturan di dalam masyarakat Melayu serta dapat dilihat sehingga kini. Ianya patut dijaga dan diteruskan

demi kesinambungan warisan masyarakat Melayu khususnya yang penuh dengan adat resam dan budaya

ketimuran. Hukum-hukum adat ini sekiranya diamalkan pastinya akan menjadi satu identiti yang istimewa

dalam diri setiap pengamalnya dan harus diteruskan zaman berzaman selaras dengan kata perumpamaan :

Tak lekang dek panas,

Tak lapuk dek hujan,

Gemuk berpupuk segar bersiram,

Dianjak layu dicabut mati.

20
BIBLIOGRAFI

A.Samad Idris, Norhalim Hj. Ibrahim, Muhammad Tainu Dharmala N.S, Negeri Sembilan : Gemuk

Dipupuk, Segar Bersiram : Adat Merentas Zaman, Seremban: Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri

Sembilan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, 1994.

Abdullah Jumain Abu Samah, Asal Usul Adat Perpatih Dan Adat Temenggung: Suatu Analisis Tambo-

Tambo Minangkabau Berasaskan Strukturalisme, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1995.

Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 1975.

Norazit Selat, Negeri Sembilan dahulu dan sekarang, Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1990.

Nordin Selat, Sistem Sosial Adat Perpatih, Kuala Lumpur: Utusan Melayu (M) Berhad, 1976.

Norhalim Hj. Ibrahim, Adat Perpatih Perbezaan Dan Persamaannya Dengan Adat Temenggung, Kuala

Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1993.

Samad Idris, Kemudian Dalam Adat Perpatih, Kertas Kerja Yang Dibentangkan Di Seminar Pensejarahan

Dan Adat Perpatih, Anjuran Majlis Belia Negeri Sembilan, Pada 10-12 April 1974.

Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin, Pengajian Malaysia, Shah Alam: Oxford Fajar, 2011.
21

Anda mungkin juga menyukai