Anda di halaman 1dari 2

Media Sosial dan Etika Muslim

Sumbangan pemikir Muslim pada zaman kegemilangan tamadun Islam dalam penghasilan ilmu pelbagai yang begitu menyeluruh seperti
perubatan, astronomi, biologi, matematik, sastera dan bahasa, logik dan teologi. Di samping perbincangan tentang bidang-bidang tersebut,
sebahagian besar ilmu yang dihasilkan juga terfokus kepada bidang etika dan konsep adab dan moraliti. Dalam karya agung Imam AlGhazali, Ihya Ulumuddin, satu per empat dari 40 jilid yang ditulisnya difokuskan kepada konsep etika dan adab.
Ini tidaklah menghairankan kerana kitab al-Quran yang diturunkan Allah S.W.T. selain menerangkan tentang ilmu teologi, juga banyak
menimbulkan persoalan tentang konsep adab dan etika. Sebagai contoh, dalam Surah al Hujurat, Allah SWT menyatakan tentang adab
berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW:
Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi SAW, dan janganlah kamu berkata kepadanya
dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap yang lain, nanti (pahala) segala amalmu boleh
terhapus sedangkan kamu tidak menyedarinya.
(Surah Al-Hujurat:Ayat 2)
Malah, dalam sebuah hadis Rasulullah SAW pernah bersabda:
Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak-akhlak mulia.
(Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Jadi apa yang kita dapat lihat dalam sejarah Islam ialah kepentingan konsep adab dan etika dalam hidup seseorang Muslim. Perubahan dan
perkembangan dalam dunia hari ini sudah tentu melahirkan pelbagai pengalaman dan situasi baru bagi komuniti Muslim dalam setiap
zaman. Interaksi komuniti Muslim tersebut dengan zamannya seharusnya selari dengan konsep adab dan etika yang digariskan dalam Islam
biarpun situasi yang muncul itu baru dan berbeza.
Dalam masa sepuluh tahun yang lalu, situasi baru ini wujud melalui perkembangan bidang teknologi maklumat (IT) yang telah melahirkan
platform baru, yakni media sosial, yang membawa perhubungan antara manusia, penyebaran maklumat, serta memberi suara kepada
individu yang sebelum ini berada di luar skop awam. Facebook, Twitter dan Whatsapp menjadi sebahagian daripada hidup Muslim hari ini.

[ kredit ]

Platform-platform ini telah menjadi antara medium komunikasi yang terpenting kita dengan sahabat dan kenalan. Malah, platform-platform ini
sudah mula berfungsi sebagai sumber primer bagi mendapatkan maklumat dan berita semasa.
Sebagai seorang pengguna media sosial, perkembangan seperti ini sudah tentu memberi banyak kelebihan dan kemudahan untuk
mencapai maklumat terbaru. Namun, dengan perkembangan seperti ini juga, wujud pula suatu dilema sebagai Muslim apabila penggunaan
media sosial ini mencenderungkan kita melanggar etika dan adab yang membentuk identiti Muslim kita. Garis masa (timeline) media sosial
seringkali dipenuhi dengan post-post yang sama ada bersangka buruk, membuka aib, menokok tambah cerita mahupun ada yang jelas
sekali bersifat fitnah.
Yang lebih memalukan ialah apabila pelakunya bergelar Muslim. Apakah hilang segala adab dan etika yang kita praktikkan dan imani apabila

kita mendaftar masuk ke alam maya? Tidak dinafikan, perkara-perkara tersebut mungkin juga berlaku dalam kehidupan harian kita. Namun
kita harus sedar, bahawa dalam alam maya, audiens kita jauh lebih luas dan perlakuan sebegitu mempunyai kesan yang berganda lebih
teruk berbanding di dunia luar.
Mungkin kita perlu diingatkan dengan firman-firman Allah SWT seperti:
(Ingatlah) ketika kamu menerima (berita bohong) itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui
sedikit pun dan kamu mengganggapnya remeh, padahal dalam pandangan Allah itu soal yang besar.
(Surah An-Nur: 15)
Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah
kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain..
(Surah Al-Hujurat: 12)

Dalam isu membuka aib pula, pemerhatian penulis kebanyakannya berlaku dengan niat murni. Seringkali selepas berlakunya bencana atau
pun keganasan terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Palestin dan Syria, maka imej dan video dari kawasan tersebut akan disebarkan
dengan meluas. Dalam imej dan video yang disebarkan, sering juga mengandungi perkara seperti gambar mangsa dan mayat dalam
keadaan mengaibkan. Mungkin niat penyebaran seperti ini untuk melahirkan keinsafan dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu yang
penting sebegini.
Akan tetapi, kita juga harus sedar bahawa imej dan video mengaibkan sebegitu mengandungi insan-insan yang punya keluarga dan orang
tersayang. Mereka mempunyai perasaan dan tentu akan sedih dan terluka melihat imej saudara atau orang tersayang mereka dalam
keadaan sebegitu sewenang-wenangnya tersebar di media sosial. Situasi sebegini memerlukan sensitiviti tersendiri untuk kita tangani dan
perlunya kita mencari keseimbangan antara meningkatkan kesedaran dan menjaga maruah orang agar kita tidak menyebarkan aib orang
secara sedar atau sebaliknya.
Baru-baru ini media sosial hangat dengan pertelingkahan antara seorang mufti dan seorang pendakwah bebas. Pertelingkahan tersebut
banyak berkisar tentang interpretasi dan teknik dakwah yang digunakan sama ada sesuai atau pun sebaliknya. Walaupun perkara ini telah
pun selesai dengan baik, kita - pengguna media sosial - harus mengambil pengajaran daripada episod ini kerana sedar atau pun tidak,
perkara ini tidak akan menjadi hangat dan berlarutan tanpa tokok tambah dan sangkaan buruk yang disebarkan merentasi media-media
sosial. Ini jelas bagi sesiapa yang mengikuti sesi diskusi antara dua tokoh tersebut dalam sebuah rancangan televisyen selang beberapa
hari selepas mereka menyelesaikan isu tersebut dengan sesi diskusi tertutup.
Perkara-perkara yang dibangkitkan dalam tulisan ini bukanlah isu baru cuma bentuknya yang kita perlihatkan sekarang di media sosial ini
merupakan bentuk yang belum pernah terjadi sebelumnya dari segi skala dan kekerapannya. Ini seharusnya akan mengingatkan kita untuk
kembali kepada asas adab dan etika dalam Islam. Kita perlu melihat serius perkara sebegini supaya kita dapat menepati ciri Khairu
Ummah yang disebut dalam Al-Quran. Seperti sabda Baginda SAW:
Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.
(Riwayat At-Tirmidzi)
Wallahu alam.

Anda mungkin juga menyukai