Anda di halaman 1dari 2

3.1.4.

1 Tujuan Penilaian Formatif

Pada asasnya, penilaian formatif bertujuan untuk memperbaiki pengajaran


pembelajaran. Di samping memperbaiki pengajaran dan pembelajaran, secara langsung
penilaian yang dijalankan dapat meningkatkan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu
pelajaran. Hal ini dapat direalisasikan melalui ujian-ujian yang dikendalikan dapat
memperlihatkan kelemahan-kelemahan yang wujud sama ada pada penyampaian guru
atau penguasaan murid dan seterusnya guru akan memperbaiki agar murid dapat
menguasai dengan lebih baik. Situasi ini akan menolong murid-murid menguasai
sesuatu unit atau topik pembelajaran dan ini memungkinkan mereka memperolehi
pencapaian yang lebih baik pada akhir penggal atau semester persekolahan.

Penilaian formatif juga dapat memperbaiki kualiti serta dapat meramal pencapaian
pelajar. Menjadi satu kepuasan kepada seseorang guru apabila beliau dapat
meningkatkan pencapaian murid-murid dari semasa ke semasa. Dengan mengadakan
ujian formatif, guru dapat meninggi pencapaian dan mengekalkan pencapaian yang
memuaskan. Hal ini melalui perbandingan yang boleh dibuat antara pencapaian murid
sekarang dengan pencapaian murid-murid lalu melalui rekod ujian formatif yang telah
dikendalikan dan mencatatkan masalah yang dihadapi oleh murid-murid dahulu serta
langkah penyelesaian yang telah diambil. Dengan cara ini, guru dapat mengekalkan
prestasi pelajar dan meramal pencapaian pada akhir penggal persekolahan.

Di samping itu, kegunaan penilaian formatif juga bertujuan mengubah suai pengajaran
seseorang guru. Hal ini kerana pencapaian yang rendah di kalangan murid-murid
barangkali disebabkan oleh kelemahan pengajaran guru itu sendiri. Pendekatan yang
diambil oleh guru berkenaan tidak semestinya sama dalam semua sesi pembelajaran
yang dikendalikan. Begitu juga murid-murid yang dihadapinya terdiri daripada pelbagai
peringkat kebolehan. Ada yang sederhana, lemah dan cemerlang. Keadaan ini
memerlukan pengubahsuaian dalam penyampaian guru agar pembelajaran lebih
berkesan. Berasaskan penilaian yang dijalankan guru dapat mengenal pasti aspek atau
topik yang menunjukkan kecenderungan murid-murid masih lemah dan topik yang telah
dikuasai oleh murid. Selain mengatasi kelemahan dalam pengajaran, guru juga dapat
menentukan pendekatan yang lebih baik dalam penyampaian. Misalnya, guru
menggunakan pendekatan syarahan dalam menyampaikan pengajaran. Pada akhir
topik berkenaan, satu ujian formatif dilakukan dan mendapati kebanyakan murid kurang
memahami topik yang diperkatakan. Dengan itu guru dapat memahami bahawa
pendekatan berkenaan tidak sesuai dan beliau boleh mengubah dengan menggunakan
pendekatan lain seperti perbincangan dan sebagainya.

Penilaian formatif juga bertujuan untuk memberikan bimbingan pembelajaran kepada


murid-murid. Maklumat yang diperolehi daripada siri ujian yang dijalankan dapat
digunakan oleh murid-murid untuk mengatasi kelemahan mereka. Mereka boleh
berbincang dan mendapat bimbingan serta khidmat nasihat daripada guru mereka.
Dengan cara itu, murid-murid berkenaan dapat mengatasi masalah mereka dan
seterusnya meningkatkan penguasaan pembelajaran. Mereka juga akan menjadi
sentiasa bersedia untuk menduduki siri ujian yang dijalankan dan dengan itu
memerlukan ketekunan dan tumpuan kepada topik-topik pembelajaran.

Kesimpulannya, penilaian atau ujian formatif adalah suatu strategi dalam proses
pengajaran dan pembelajaran yang bermanfaat dalam membantu pelajar dan guru.
Maklum balas yang diperolehi dapat digunakan oleh guru dan murid-murid serta merta
dalam memperbaiki kelemahan-kelemahan yang wujud. Ia memberikan motivasi kepada
guru untuk terus berusaha dengan gigih bagi memastikan kecemerlangan pelajar.
Manakala pada pihak murid-murid pula, ia memberikan harapan tinggi mereka untuk
mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Anda mungkin juga menyukai