Anda di halaman 1dari 4

Kesan bahasa slanga Pengunaan bahasa slanga yang meluas dikalangan remaja menyebabkan wujudnya bahasa slanga yang

bukan sahaja digunakan dalam percakapan tetapi juga dalam penulisan. Penulisan-penulisan yang digunakan dalam sesebuah buku terutama dalam bacaan ringan seperti komik telah terpengaruh dengan bahasa slanga. Penggunaan bahasa slanga dalam penulisan sesebuah buku atau karya dan diterbitkan boleh menjejaskan kedaulatan bahasa. Penggunaan bahasa slanga dalam sesebuah buku juga menyebabkan ramai remaja dan kanak-kanak akan terpengaruh dan menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian. Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dikalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan kenbanjiran komik berbahasa slanga di pasaran. Kesan penggunaan bahasa yang serba mudah dan meluas ini banyak istilah baru yang muncul bagi memudah ekspresi. Contoh istilah-istilah baru yang muncul kesan daripada penggunaan bahasa slanga ialah caye(percaya), camni(macam ini) dan teypon(telefon). Istilah-istilah ini pada peringkat awal digunakan hanya untuk memerihkan suasana sahaja, namun demikian lama kelamaan istilah ini menjadi budaya dalam percakapan. Hal ini menyebabkan generasi-genarasi muda yang akan datang akan terpengaruh dengan budaya bahasa slanga yanga digunakan pada masa kini. Jika direnungkan sejenak apakah kesan jaka panjang jika bahasa slanga masih terus digunakan oleh generasi kini, maka dapat disimpulkan bahawa generasi akan datang akan mewarisi bahasa melayu yang telah menggunakan istilah-istilah baru. Sekiranya kita menerima kebiasaan pengunaan bahasa slanga bagi penggunaan di alam realiti maka akan lenyap bahasa Melayu yang gramatis dan murni. Penggunaan bahasa slanga yang berleluasa pada masa kini akan menyebabkan bahasa melayu yang asal akan terhakis sedikit demi sedikit. Hal ini juga akan menyebabkan bahasa asal sesuatu bahasa juga akan hilang serinya. Penggunaan bahasa slanga tidak akan terhenti setakat semasa remaja sahaja, akan tetapi penggunaannya akan tetap digunakan oleh seseorang selapas melangkah kea lam pekerjaan. Sebagai contoh penggunaan bahasa slanga juga digunakan oleh guru-guru yang mengajar di sekolah. Hal ini menyebabkan penyebaran bahasa slanga akan berterusan sehinggakan menyebabkan bahasa melayu terus dicemari. Jika hal ini berterusan, tidak dapat tidak bahasa asal sesuatu bahasa akan megalami perubahan ketara pada masa depan. Matlamat untuk mengembangkan bahasa Melayu akan terhalang akibat terlalu banyak elemen yang merosakkan bahasa diperkenalkan oleh pengguna bahasa slanga. Bahasa melambangkan bangsa, jika bahasa slanga terus merabak generasi akan datang akan lupa akan bahasa mereka sendiri. Usaha untuk mengembangkan bahasa melayu diperingkat antarabangsa misalnya tidak akan dicapai sekiranya pengguna bahasa itu sendiri tidak mengunakan bahasa mereka dengan betul. oleh: hcsmas Pengarang : hcsmas Source: http://ms.shvoong.com/socialsciences/1869010-kesan-bahasa-slanga/#ixzz1aWQ1yKHQ Diterbitkan pada: 19 Februari, 2009

Penggunaan Slanga Dalam Kalangan Remaja.


Hari ini saya mengajarkan tajuk Dinamika Bahasa Melayu iaitu Variasi Bahasa kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 Bawah. Salah satu daripada jenis bahasa tak formal ialah bahasa slanga. Apabila diajukan pertanyaan kepada mereka apakah yang dimaksudkan dengan 'slanga', pelbagai jawapan diberikan. Ada yang menyatakan bahawa slanga ialah dialek, ada yang mengaitkan slanga dengan cara pertuturan (saya fikir pelajar itu merujuk kepada telor percakapan)dan ada juga yang menyatakan slanga sebagai bahasa mesra. Walaupun bentuk bahasa slanga termasuk dalam jenis bahasa bahasa tak formal yang digunakan untuk perbualan biasa, pengaruh bahasa slanga ini kepada remaja agak membimbangkan. Sebenarnya slanga menurut Kamus Dewan, didefinisikan sebagai "kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi". Menurut The Oxford Companion to the English Language oleh Tom McArthur (1996) istilah slanga ini berasal dari abad ke-18 yang bermaksud origin uncertain iaitu ketidaktentuan sebenarnya. Secara etimologi kata, slanga berasal dari kata sling iaitu sebahagian daripada ungkapan yang dihubungkaitkan dengan beggar language and rogues language iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali berubah dan secara umum berbeda dengan kata kosa kata lainnya. Slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja. Golongan remaja yang mempopularkan bahasa slanga selalunya memanipulasikan ungkapan atau perkataan dengan memberi makna baharu kepada perkataan tersebut, contohnya mengancam, cun, cintan, balak, kacang, ayat, awek, pakwe, skima, jambu, sekodeng, member sound dsb Penggunaan bahasa bahasa slanga bukanlah fenomena baru yang melanda bahasa Melayu. Semasa saya belajar di universiti lebih 20 tahun yang lalu, penggunaan bahasa slanga telahpun digunakan. Seingat saya, perkataan 'kacang je' (mudah sahaja), 'ayam' (gadis) dan 'jambu'(cantik) sudah menjadi mainan mulut para mahasiswa pada masa itu. Bahasa slanga juga turut dipopularkan oleh penyanyi rock. Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama 'lu' dan 'gua'. Pada hari ni penggunaan bahasa slanga semakin popular terutama pada era teknologi maklumat dan juga melalui penggunaan SMS. Kadang-kadang pening juga kepala saya memikirkan maksud perkataan cikaro, usya, hampeh,kantoi, skema, meletup, poyo, cengkodok, dan banyak lagi. Dalam bentuk tulisan, bahasa slanga bukan saja digunakan dalam bahan bacaan ringan seperti komik, malah majalah hiburan turut mempopularkan bahasa slanga ini. Melalui ruangan 'chatting' dalam internet pula pelbagai bentuk slanga terhasil, antaranya, slanga yang terbentuk daripada percantuman dua perkataan seperti pekabor (daripada apa khabar), askum (assalamualaikum), saya menjadi sayer, mana menjadi maner dan banyak lagi. Kalau memberi salam sudahpun salah, saya bimbang masyarakat kita pada hari ini tidak lagi sejahtera kerana diberi salam yang entah apa-apa

maksudnya (askum ???) Saya juga tersenyum apabila pelajar saya bertanya, "Mengapa cikgu guna bahasa skima sangat dalam blog dan friendster cikgu?" Jawapan saya, sebagai guru, saya perlu jadi model penggunaan bahasa yang baik dan tepat. Kalau guru sendiri yang turut menggunakan bentuk slanga, murid-muridnya apatah lagi. Kata pepatah, kalau guru kencing, berdiri, murid-muridnya akan kencing berlari" Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan pengaruh bahasa slanga ini. Pada saya, walaupun perkembangan bentuk slanga tidaklah begitu membimbangkan, saya khuatir penggunaannya akan menular daripada bentuk lisan kepada bentuk penulisan. Penggunaan bahasa slanga jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini, lebih-lebih lagi dengan kedudukan bahasa kita yang seolah-olah makin tiada tempat lagi di negara sendiri. Peranan kita para guru, kita perlu menjelaskan perkara ini kepada pelajar agar pelajar dapat membezakan penggunaannya dalam variasi formal dan tidak formal. Gunakanlah jenis bahasa yang betul pada tempat yang betul! Susunan Fariza Nurbaya pada 10:29 PM ceritera Dinamika Bahasa Melayu

Jumaat, 1 Ogos 2008


http://bmstpm.blogspot.com/2008/08/penggunaan-slanga-dalam-kalangan-remaja.html

AGENDA BAHASA
SLANGA MILIK SIAPA? ZAITUL AZMA ZAINON HAMZAH BAHASA IALAH ALAT KOMUNIKASI MANUSIA. BAHASA JUGA menjadi alat ekspresi yang dimiliki oleh semua manusia yang kadang kala menyerlahkan unsur kolokial dan gelombang bunyi umpama gelombang ombak di lautan. Sejauh mana arus gelombang ombak itu sampai, sejauh itu jugalah penyebaran dan penggunaan bahasa slanga ini. Bahasa slanga wujud dalam semua bahasa dan bangsa dan dituturkan oleh semua orang yang mengetahuinya termasuklah mereka yang berpendidikan tinggi. Kadang kala, penggunaan bahasa slanga berlaku tanpa sedar, mungkin disebabkan keasyikan atau keperluan seseorang untuk berbahasa dengan golongan yang menggunakan bahasa slanga ini. Selain berminat menggunakan bahasa slanga, terdapat juga ahli bahasa yang cenderung untuk mengkaji dan ingin mengetahui makna dan rujukannya. Slanga berasal daripada perkataan Inggeris, iaitu slang. Kamus Oxford memberikan beberapa definisi slanga. Antaranya termasuklah: a. slanga ialah satu perbendaharaan kata khusus yang digunakan oleh sekumpulan manusia yang rendah kedudukannya, jenis ini merupakan jenis bahasa yang rendah; b. satu perbendaharaan kata atau cara menggunakan bahasa khusus bagi golongan manusia yang sama pekerjaannya; penggunaan bahasa sesuatu kelas dalam sesuatu masa; c. Bahasa yang bersifat kolokial, rendah daripada pertuturan standard dan terdiri daripada perkataan baru atau perkataan-perkataan biasa yang digunakan dengan pengertian tertentu. Kamus Dewan pula mendefinisikan slanga sebagai kata-kata yang bukan daripada golongan bahasa baku atau standard. Kata-kata tersebut biasanya digunakan dalam percakapan tidak formal dan tidak boleh digunakan

dalam penulisan atau keadaan yang formal. Partridge dalam bukunya, Slang Today and Yesterday mendefinisikan slanga sebagai bahasa pengembara yang pelik dan selalu digunakan dalam pengucapan yang tidak formal. Patridge membuat kajian yang terperinci tentang slanga meliputi sejarah ringkas, perbendaharaan kata slanga Inggeris, Amerika dan Australia. Patridge juga menyenaraikan beberapa tujuan penggunaan slanga oleh semua golongan masyarakat. Antaranya termasuklah slanga digunakan untuk berjenaka; untuk menyatakan sesuatu yang abstrak; untuk menjelaskan sesuatu perkara dengan tepat dan jelas; menunjukkan keintiman dalam kalangan ahli, dan menyembunyikan sesuatu perkataan yang menjadi rahsia, daripada pengetahuan umum. Selain Patridge, Drake turut berpendapat bahawa slanga ialah tabiat berbahasa dalam konteks biasa. Kenyataan Drake ini dilahirkan dalam persidangan di Universiti of Bristol, England. Dalam kajian beliau yang bertajuk The Social Role of Slang, Drake mengemukakan pendapatnya bahawa slanga ialah fenomena berbahasa dalam kumpulan tertentu dan fenomena ini ada kaitannya dengan identiti kumpulan penutur slanga tersebut. Selain itu, slanga juga menggambarkan status sosial dan sebagai fungsi pengucapan sekumpulan penutur. Hal ini telah dibuktikan dalam kategori leksikon atau kosa kata yang digunakan mengikut kawasan geografi. Sementara itu, ada pendapat yang mengatakan bahasa slanga dikelompokkan dalam bahasa eksklusif, iaitu bahasa yang tidak ditempatkan di atas bahasa lain. Hal ini bermaksud bahasa ini mempunyai bentuk yang tersendiri, terbatas serta serba unik. Bahasa ini digunakan oleh penutur dalam kelompok dalaman mereka sendiri, sama ada dari segi usia, kelas sosial, kumpulan, ataupun daerah. Dalam masyarakat Melayu, bahasa slanga sering digunakan oleh golongan remaja dan kaum belia untuk berkomunikasi secara dalaman. Penggunaan bahasa slanga ini dapat menghindarkan rahsia mereka daripada diketahui oleh anggota komuniti bahasa yang lain. Tetapi sejauh manakah rahsia mereka dapat dipertahankan? Sebagai contoh, kata slanga Mat Rempit. Istilah Mat Rempit yang berasal daripada kata slanga digunakan oleh golongan remaja dan belia untuk memerihalkan lelaki remaja atau dewasa yang suka berlumba motosikal di jalan raya tanpa mempedulikan undang-undang jalan raya dan keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. Pada hari ini istilah Mat Rempit digunakan secara meluas dan semua peringkat usia tahu makna rujukan Mat Rempit. Oleh hal demikian, tidak hairanlah jika bahasa slanga seperti ini turut membantu menambah istilah dalam kamus bahasa Melayu. Malah, istilah Mat Rempit juga boleh dikategorikan sebagai simpulan bahasa yang baharu wujud dalam bahasa Melayu dan boleh disamakan dengan simpulan bahasa lain yang sudah mantap seperti Mat Jenin, kutu embun, buaya darat, dan sebagainya. Oleh sebab bahasa slanga ini merupakan satu bahasa yang agak unik, popular, dan digunakan dengan meluas oleh kumpulan-kumpulan tertentu, hal ini telah menarik minat banyak ahli bahasa dari dalam dan luar negara untuk membuat kajian tentang bahasa...

http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=952 Dikemaskini pada 2 Dis 2008

Anda mungkin juga menyukai