Anda di halaman 1dari 4

Pencemaran Udara

Punca-punca Pencemaran Udara Dan Langkah Mengatasinya Baru-baru ini, negara kita dilanda jerebu yang teruk akibat pembakaran ladang kelapa sawit di negara Indonesia (selatan Sumatera dan Riau). Sebenarnya jerebu ini adalah satu fenomena pencemaran udara. Banyak punca yang menyebabkan pencemaran udara. Antaranya ialah

1. Pembebasan asap kilang yang mengandungi gas-gas beracun seperti karbon dioksida, karbon monoksida dan nitrogen oksida.Asap yang dikeluarkan juga bewarna hitam dan berjelaga yang boleh mencemarkan udara persekitarannya.

Langkah mengatasi : Meninggikan serombong asap sehingga 30 meter dan meletak penapis asap. Dengan ini asap yang dibebaskan telah dirawat. Pihak pengilang yang engkar, boleh diambil tindakan undang-undang seperti denda dan penjara.

2. Pembebasan asap kenderaan bermotor. Kenderaan awam seperti bas, lori dan teksi menggunakan minyak diesel kerana harganya yang lebih murah. Namun penggunaan minyak diesel ini menyebabkan asap yang terhasil dan dibebaskan adalah bewarna hitam dan mencemarkan udara, disamping baunya yang menyakitkan hidung.

Langkah mengatasi : Menggalakkan penggunaan petrol tanpa plumbun dan memasang alat catalytic converter pada enjin kenderaan untuk mengurangkan pengeluaran asap. Di Kuala Lumpur, penggunaan kereta api elektrik seperti LRT, ERL, Komuter dan Monorel berjaya mengurangkan pencemaran udara. Ini kerana kereta api elektrik ini merupakan sistem pengangkutan yang bersifat mesra alam sebab tidak mengeluarkan asap hitam!

3. Pembakaran bahan api fosil di stesyen jana kuasa elektrik terma. Apabila bahan api fosil yang terdiri dari petrolium, gas asli dan arang batu dibakar, asap hitam akan dilepaskan di stesyen jana kuasa berkenaan. Contohnya, pencemaran udara di Paka dan Bintulu adalah kerana pembakaran gas asli di stesyen jana kuasa terma di Paka dan Bintulu.

Langkah mengatasi : Penggunaan tenaga alternatif yang mesra alam seperti kuasa hidro elektrik, biomas dan tenaga suria. Negara kita telah menuju ke arah ini apabila beberapa pusat tenaga suria telah dibina di Teluk Ewa, Langkawi dan Ulu Tembeling, Pahang.

4. Pembakaran jerami di kawasan pertanian padi sawah. Bagi menjimatkan kos, kebanyakan pesawah membakar jerami padi setelah musim menuai. Keadaan ini menyebabkan pencemaran

udara di kawasan tersebut seperti yang sering berlaku di Dataran Kedah dan Dataran Kelantan suatu ketika dahulu.

Langkah mengatasi : Sisa pertanian seperti jerami padi boleh dijadikan sumber untuk tenaga biomas seperti yang digunakan oleh Kilang Beras di Alor Setar.

5. Pembakaran ladang kelapa sawit sebagaimana yang dilakukan oleh pemilik ladang di Sumatera dan Riau baru-baru ini. Kesannya bukan hanya menyebabkan pencemaran udara tetapi juga kejadian jerebu yang amat teruk.

Langkah mengatasi: Hampas kelapa sawit boleh dikitar semula seperti dijadikan baja kompos dan makanan ternakan. Lidinya boleh dijadikan penyapu.

6. Pembakaran terbuka di kawasan perumahan. Walaupun kegiatan ini tidak melibatkan kawasan yang luas, tetapi telah menyebabkan pencemaran udara di kawasan perumahan berkenaan.

Langkah mengatasi : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menetapkan hari-hari tertentu untuk mengangkut bahan-bahan buangan pepejal di kawasan perumahan. Diharap usaha ini dapat mengurangkan pembakaran terbuka yang dilakukan oleh penduduk perumahan.

KESAN-KESAN PENCEMARAN UDARA

Hujan asid Hujan asid berlaku disebabkan oleh penggabungan gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini akan terkumpul di dalam awan dan bergerak ke tempat-tempat lain. Asid tersebut akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia. Kesanya, ia membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Ia juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.

Haiwan Haiwan akan terancam atau mati akibat dari pencemaran udara. Ini disebabkan dari udara yang memasuki paru-paru haiwan dan makanan dari sumber tumbuhan yang tercemar kesan pencemaran udara.

Tumbuhan Kesan kepada tumbuhan adalah seperti mengalami kerosakan seperti nekrosis (keguguran daun), klorosis (pertukaran warna), dan pertumbuhan terbantut.

Kesan ini akan menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk juga terganggu.

Kesihatan manusia Kesan utama pencemaran udara kepada manusia adalah sistem pernafasan. Gas-gas seperti karbon monoksida akan meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah akan melambatkan tindak balas manusia dan kesan seterusnya menyebabkan mengantuk, penyakit lelah dan mengurangkan fungsi paru-paru.Bahan tercemar seperti nitrogen oksida boleh menyebabkan edema dan pendarahan pulmonari. Bahan tercemar seperti gas ozon boleh menimbulkan kerengsaan menyebabkan inflamasi paru-paru dan keupayaan bergerak. Habuk, asap, kabus, wap atau bahanbahan lain juga menghalang penglihatan mata dan juga menjejaskan mata manusia.Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sebanyak tiga juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara.

Anda mungkin juga menyukai