Anda di halaman 1dari 3

b) Sejauh mana cabaran globalisasi dari segi sosiobudaya terutama migrasi

buruh antarabangsa mempengaruhi hubungan etnik di Malaysia.



Seperti yang telah dibincangkan dalam esei di (a), dasar-dasar ekonomi yang
dinyatakan sememangnya menolong dalam meningkatkan ekonomi negara dan
pembangunan juga semakin maju. Akan tetapi dalam kemajuan pembangunan ini,
kita dapat merasai akan kesannya terutama terhadap siosiobudaya kita iaitu melalui
migrasi buruh antarabangsa. Berbicara dalam konteks migrasi buruh di negara kita
sendiri, migrasi buruh antarabangsa yang dimaksudkan adalah, perpindahan atau
pergerakkan pekerja dari negara lain ke negara kita bagi bagi tujuan memenuhi
keperluan hidup semasa mereka. Akan tetapi, bilangan mereka di negara kita
dianggap sebagai "cendawan yang tumbuh selepas hujan". Persoalannya, sejauh
manakah sosiobudaya dalam konteks migrasi buruh antarabangsa mempengaruhi
hubungan etnik di Malaysia?
Kemasukan buruh asing dalam negara kita menyebabkan timbulnya masalah
sosial yang ketara. Kebanyakan pekerja asing yang datang ke negara kita berasal
daripada Indonesia, Vietnam, Myammar, Filipina, Nepal, Bangladesh dan Thailand
mengasimilasikan budaya mereka ke dalam budaya kita. Sememangnya, mereka
datang dari latar belakang dan budaya yang berlainan yang jauh berbeza daripada
apa yang dipraktikkan di tempat kita. Sebagai contoh, dalam satu artikel yang ditulis
oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Mohd Zaidi Yaacob di dalam akhbar Metro
pada 19 November 2010 menyatakan Cara hidup negatif pekerja industri warga
asing dari Nepal, Bangladesh dan Vietnam yang menyewa rumah di Taman Ayer
Keroh Height, Ayer Keroh, menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk
tempatan. Selain berkongsi sehingga 20 orang dalam sebuah rumah yang dijadikan
asrama, pekerja asing terbabit tidak menjaga kebersihan selain kerap membuat
bising dan bergaduh. Keadaan bertambah buruk apabila mereka melakukan
perbuatan memalukan apabila mandi di luar rumah dalam keadaan separuh bogel
dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Difahamkan, masalah terbabit
berlarutan sejak sekian lama, namun belum diatasi sepenuhnya apabila pekerja
asing terbabit keras kepala dan enggan mematuhi peraturan pihak berkuasa
tempatan mahupun menghormati adab dan budaya masyarakat tempatan.
Daripada bukti di atas, boleh dikatakan bahawa sekiranya masalah ini tidak
dibenteras, sudah pasti akan menganggu kehidupan harmoni masyarakat. Cabaran
dari aspek budaya dapat dilihat apabila masyarakat berbilang etnik terdedah kepada
cara pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Apabila perkara sebegini mula
menular dalam kalangan masyarakat tempatan sudah pasti satu mereka akan mula
mempersalahkan satu dengan yang lain atas punca berlakunya kehidupan yang
tidak bermoral ini. Kesannya, sudah pasti hubungan baik diantara etnik boleh
terjejas.
Di samping itu juga, persaingan sengit penduduk tempatan dengan
pendatang asing dalam bidang pekerjaan juga terjadi. Sesetengah pihak
sememangnya cenderung untuk lebih mengutamakan buruh asing daripada buruh
tempatan. Contohnya, satu artikel yang bertajuk Implikasi Kebanjiran Warga Asing
di Sabah yang ditulis oleh Siti Salasiah Salamun dalam Detik Daily Suara
Reformasi Rakyat menyatakan bahawa di Sandakan, sebuah kilang pengeluar
papan lapis yang beroperasi di Batu Sapi telah membuang pekerja yang terdiri
daripada penduduk tempatan dan mengupah pekerja asing yang didakwa lebih
murah kadar gajinya. Jika kita kaji masalah ini dari sudut hubungan etnik, apabila
majikan membuang pekerja yang terdiri daripada penduduk tempatan, sudah pasti
akan berlakunya rasa tidak puas hati dan rasa benci terhadap si majikan. Ini sudah
pasti akan mengakibatkan permusuhan di antara etnik sekiranya para pekerja yang
diberhentikan dan si majikan adalah daripada etnik yang berbeza. Secara tidak
langsung, Konsep 1 Malaysia sukar untuk direalisasikan begitu juga dengan usaha
mencapai Wawasan 2020.
Namun begitu, terdapat juga kesan positif hasil daripada migrasi buruh ke
negara kita. Kehadiran buruh asing bukan saja mengubah iklim ekonomi dengan
penggantungan terhadap tenaga kerja dari luar dalam sektor-sektor tertentu malah
sedikit sebanyak mencorak sosiobudaya di kalangan masyarakat di negara kita ini.
Ini berlaku apabila ramai rakyat tempatan tidak kira lelaki mahupun wanita
berkahwin dengan warga asing dan sekali gus mewujudkan percampuran pelbagai
budaya. Perkara sebegini sememangnya telah berlaku sejak lama dahulu contohnya
pedagang Arab, Cina dan India, melalui proses asimilasi dan amalgamasi dengan
penduduk tempatan telah membawa kepada kewujudan masyarakat baharu, iaitu
masyarakat Baba Nyonya, Melayu berketurunan Arab dan juga Melayu
berketurunan India. Tidak dinafikan bahawa perkhawinan campur menyebabkan
kewujudan budaya baru di mana biasanya, mereka mengamalkan budaya campur
iaitu budaya berbeza si isteri dan si suami. Secara tidak langsung, generasi yang
lahir dari perkahwinan campur juga tidak bersikap prejudis terhadap bangsa atau
kaum lain dan berfikiran terbuka terhadap budaya yang mereka amalkan. Ini
sememangnya dapat menghindarkan dari berlakunya konflik diantara kaum atau
bangsa.
Kesimpulannya, migrasi buruh antarabangsa mempengaruhi hubungan etnik
dalam negara kita secara negatif dan positif. Dalam aspek negatif, budaya berbeza
yang dibawa dan dipraktikkan ke negara kita tanpa mengambil tahu tentang budaya
kita dan melalui peluang pekerjaan yang berpihak kepada pekerja asing
menyebabkan boleh berlaku masalah diantara etnik. Kesan positif pula dapat dilihat
melalui amalan perkhawinan campur. Sesungguhnya, migrasi buruh ke negara kita
perlu diambil serius agar kesan-kesan wujud hasil daripada kedatangan mereka
tidaklah bersifat negatif. Oleh yang demikian, semua masyarakat perlulah bersikap
bijak dalam hal ini agar hubungan ethnik yang baik dalam negara kita dapat
dikekalkan.

Anda mungkin juga menyukai