Anda di halaman 1dari 8

Dasar-Dasar Penjajahan British di Tanah Melayu

Sewaktu tempoh penjajahan, British telah membuat dan melaksanakan pelbagai dasar yang meliputi
aspek sosial, ekonomi, dan politik. Dalam melaksanakan dasar-dasar penjajahan, secara langsung
ataupun tidak langsung telah mengubah wajah asal Tanah Melayu. Justeru itu, pada bahagian ini saya
akan membincangkan dasar-dasar yang dilaksanakan British sehingga mengubah sistem kehidupan
masyarakat Melayu yang sedia ada.
Hakikatnya, semua dasar yang dilaksanakan oleh British adalah berasaskan dasar pecah dan perintah.
Walau bagaimanapun, berbeza dengan negara-negara lain, dasar pecah dan perintah yang dilakukan
oleh British di Tanah Melayu bukan melalui paksaan. Ia dilakukan secara berhati-hati dan perlahan-lahan
seolah-olah ianya berlaku secara semula jadi. Oleh kerana dasar-dasar yang dilaksanakan British di
Tanah Melayu terlalu banyak, saya hanya menumpukan kepada beberapa dasar penting yang
mempunyai kesan yang besar dan meliputi faktor-faktor penting kepada proses perubahan di Tanah
Melayu seperti dasar pelajaran, ekonomi, dan pentadbiran. Pembahagian ini dibuat bagi memudahkan
para pelajar untuk menghubungkaitkan dasar-dasar yang ada dengan dampak proses penjajahan yang
dibuat berasaskan dasar utama tersebut.

Sebelum perbincangan ini pergi lebih jauh, apa yang harus anda ingati ialah, perbincangan ini akan
hanya meliputi beberapa dasar British yang penting sahaja, dan tidak meliputi semua dasar British yang
telah dilaksanakan oleh mereka sepanjang tempoh penjajahan. Selain itu, saya harap anda semua
mengimbas kembali ingatan anda kepada apa yang telah anda pelajari dalam bab yang lepas berkenaan
Masyarakat Melayu Tradisi (MMT). Ini adalah perlu untuk membantu anda membuat perbandingan dan
juga membantu memberi gambaran yang lebih jelas kepada apa yang akan kita bincangkan dalam topik
ini dan topik berikutnya iaitu dasar-dasar penjajahan dan dampak-dampaknya dari segi sosial, ekonomi,
dan politik.

1.

Sosial

Dasar paling utama yang telah dilaksanakan oleh British ialah kemasukan imigran asing dari China dan
India ke Tanah Melayu. Mereka yang didatangkan sebagai buruh-buruh di lombong dan ladang telah
dibawa masuk tanpa had. Ini dilakukan oleh British bagi memenuhi matlamat penjajahan mereka yang
ingin mengaut sebanyak-banyak keuntungan dari Tanah Melayu tanpa memperdulikan keadaan
masyarakat Melayu pada masa tersebut. Jumlah migrasi yang ada pada suatu ketika telah hampir
mengatasi jumlah penduduk asal negara ini.

Kemasukan buruh-buruh asing yang dibawa khusus kerana tujuan melombong dan menoreh getah
kemudiannya telah membentuk masyarakat baru dalam negara ini. Mereka juga telah diletakkan di
kawasan-kawasan yang terpisah daripada kaum-kaum lain. Interaksi sememangnya tidak berlaku kerana

masing-masing bergerak dalam kawasan yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi masing-masing. Ini
adalah penting bagi British yang berusaha menghalang kewujudan perpaduan antara kaum. British amat
menyedari jika perpaduan antara kaum dapat dilaksanakan, boleh menyukarkan pentadbiran mereka.
Ini jelas merupakan gambaran pada tonggak dasar kolonialisme British sendiri iaitu dasar pecah dan
perintah.

Di samping itu, antara dasar lain yang harus di beri perhatian ialah dasar pendidikan British. Dasar ini
perlu ditekankan kerana pendidikan akan membentuk keadaan sosial masyarakat. Sistem pendidikan
British pada umumnya dilaksanakan berdasar sistem vernakular yang mana pendidikan dibuat
berdasarkan kaum masing-masing. Ini bermaksud sistem pendidikan tersebut adalah bergantung
sepenuhnya kepada bahasa dan sukatan pelajaran kaum masing-masing.

Justeru itu, wujud banyak sekolah yang berasaskan kaum, iaitu Sekolah Cina, Sekolah Tamil, Sekolah
British dan Sekolah Melayu. Sekolah-sekolah Cina dan Tamil menggunakan bahasa masing-masing
sebagai bahasa pengantar dan sukatan pelajaran yang diambil terus daripada negara asal mereka.
Sementara Sekolah British pula banyak dijalankan oleh mubaligh Kristian dan berasaskan pendidikan
British yang diambil daripada negara Britain sepenuhnya. Manakala sekolah Melayu pula masih
berasaskan pelajaran agama dan bercampur sedikit dengan pendidikan akademik yang mempunyai
pengaruh British.

Dasar ini secara umumnya ialah untuk memenuhi matlamat dasar penjajahan British yang cuba
memastikan taraf pendidikan di sekolah-sekolah sedia ada tidak akan seragam dan sekaligus
memastikan taraf pendidikan yang diterima oleh rakyat terutamanya orang-orang Melayu adalah di
tahap yang rendah. Ini bagi memastikan masyarakat Melayu terus ketinggalan dan memudahkan British
memberi alasan bahawa Tanah Melayu belum mampu untuk bebas dan mentadbir negara
bersendirian.23

Bagi memenuhi tujuan tersebut, ukuran rendah atau tinggi taraf pendidikan orang Melayu sering di
sukat bersama taraf pendidikan di negara Britain. Walaupun pada hakikatnya masyarakat Melayu adalah
rajin berasaskan pekerjaan dalam sistem ekonomi tradisi tetapi British sering menanamkan kata-kata
bahawa masyarakat Melayu adalah malas dan mudah berpuas hati. Sedangkan pada masa yang sama,
adalah jelas orang Melayu tidak diberi kesempatan mendapat pendidikan yang terbaik.24

Keadaan menjadi semakin parah lagi apabila British membawa imigran-imigran asing terutamanya dari
India untuk bekerja sebagai pendidik di Tanah Melayu. Secara umumnya, jelas memberi gambaran
bahawa taraf pendidikan di Tanah Melayu terutamanya kepada masyarakat Melayu akan terus kekal
tidak dapat melebihi taraf pendidikan Inggeris yang sebenar kerana mereka hanya dididik oleh pendidik
dari negara yang terjajah juga. Situasi di atas jelas menonjolkan ketidakikhlasan British dalam
memajukan pendidikan orang-orang yang mereka jajahi.

2.

Ekonomi

Dari aspek ekonomi, jelas menunjukkan penjajahan British telah mengubah hala tuju ekonomi tradisi di
Tanah Melayu yang pada asalnya berasaskan ekonomi sara diri kepada bentuk ekonomi moden yang
lebih bersifat komersial atau perdagangan dan keuntungan. Bolehkah anda memahami tujuan British
tersebut? Ini boleh di lihat dari sudut kehendak dasar kolonialisme yang telah kita bincangkan pada awal
bab ini.

Perkembangan ekonomi moden bermula dengan kewujudan hasil bijih timah di Perak yang
menghasilkan Perjanjian Pangkor 1874. Apa yang menarik, perlaksanaan ekonomi moden ini dilakukan
oleh British secara berhati-hati bagi memastikan tujuan asal dasar kolonialisme British untuk
mengenepikan masyarakat Melayu daripada sebarang kemajuan akan tercapai. Ini perlu kerana
masyarakat Melayu yang maju di lihat sebagai ancaman kepada pentadbiran penjajahan.

Justeru itu, orang-orang Melayu di sisih dengan tidak diajak atau digalakkan sama sekali untuk terlibat
dalam sektor perlombongan ini. Mereka yang dapat melibatkan diri hanyalah golongan pembesar yang
mempunyai pengaruh ke atas sesuatu kawasan. Ini dilakukan oleh British dengan menghebohkan
propaganda mereka yang kononnya menghormati sistem ekonomi tradisi masyarakat Melayu yang lebih
tertumpu kepada penanaman padi, penangkapan ikan dan penternakan selain mencari hasil hutan.25

Sebaliknya bagi memastikan sektor perlombongan ini terlaksana dengan lebih pesat, pihak British telah
membawa buruh-buruh asing dari negara China. British mengambil peluang mendapatkan buruh-buruh
yang murah dari negara China yang sedang menghadapi pelbagai masalah bencana alam seperti gempa
bumi, banjir, dan kebuluran. Begitu jugalah apabila sektor perladangan getah meningkat dengan
pesatnya di Tanah Melayu, pihak British terus mengenepikan orang-orang Melayu dengan membawa
masuk secara besar besaran buruh-buruh dari India.

Semua ini dilakukan oleh pihak British dengan matlamat supaya masyarakat Melayu terus kekal dengan
aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak menguntungkan, dan pada masa yang sama pihak British dapat juga
mempergunakan orang-orang Melayu bagi menghasilkan barang keperluan makanan kepada British dan
buruh-buruh asing yang di bawa masuk. Ini dilakukan dengan menggalakkan penanaman padi oleh orang
Melayu yang sekaligus membantu menyediakan makanan untuk penduduk di Tanah Melayu yang
semakin bertambah dengan kemasukan buruh asing yang tiada batasan.

Walau bagaimanapun, apabila segalanya telah diperolehi, konsep kolonialisme awal telah bertukar
menjadi lebih agresif hasil daripada sikap tamak untuk menguasai segala-galanya di Tanah Melayu.

Konsep imperialisme yang lebih campurtangan dan menguasai segalanya di tanah jajahan dilaksanakan.
Ini berdasarkan keperluan semasa di mana negara Eropah yang lain turut berlumba bukan sekadar
mendapatkan hasil tetapi menguasai negara dan rakyat di sesuatu tanah jajahan sebagai lambang
pengaruh dan kemegahan.

1. Politik

Dari segi politik, dasar penjajahan British cuba memastikan raja-raja Melayu atau sultan-sultan akan
berada di bawah telunjuk mereka. Ini dilakukan British atas kesedaran bahawa pengaruh raja dan sultan
ke atas rakyat jelata. Mereka bimbang seandainya raja dan sultan tidak di bawah kawalan mereka, akan
berlaku kekecohan yang akhirnya mendorong raja dan sultan bersama rakyat menentang penguasaan
mereka ke atas tanah Melayu. Anda boleh lihat dengan jelas apabila sistem residen British mula
perkenalkan di Perak, dan bagaimana Raja Abdullah yang merupakan salah seorang waris raja yang
berkuasa di negeri Perak bersama pembesar dan rakyat bangkit membunuh Residen J.W.W. Birch yang
dilantik kerana tidak berpuas hati.

Berasaskan kesedaran inilah, apabila British memulakan campur tangan mereka selepas Perjanjian
Pangkor 1874, mereka telah memperkenalkan sistem residen. Sistem residen yang merupakan sistem
penasihatan oleh British dalam urusan pentadbiran negeri Melayu telah dilaksanakan di negeri-negeri
yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu BersekutuPerak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Di dalam sistem ini, nasihat residen dalam hal-hal selain agama Islam dan adat istiadat orang Melayu
haruslah diikuti raja-raja.26

Walau bagaimanapun, sebenarnya langkah campur tangan dan penasihatan ke atas negeri Melayu telah
lebih awal di buat di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang dikenali sebagai NegeriNegeri Selat. Di negeri-negeri ini, British memerintah secara terus dari Pejabat Tanah Jajahan di London.
Hanya dalam konteks negeri-negeri Selat, British berkuasa penuh terhadap negeri-negeri tersebut
kerana sama ada ianya dijajah atau dipajak sepenuhnya dan ianya di tadbir oleh seorang gabenor bagi
negeri-negeri Selat.

Langkah penasihatan yang terakhir ialah sistem Penasihat Negeri di negeri-negeri Melayu yang lain iaitu
Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Johordikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak
Bersekutu. Di dalam negeri-negeri ini, Penasihat British akan membantu pentadbiran raja-raja dan
sultan-sultan Melayu melainkan dalam hal-hal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

Sistem pentadbiran kemudiannya telah berubah terus mengikut arus pemodenan yang di bawa penjajah
dan lebih mirip kepada suasana pemerintahan di negara asal mereka. Apabila semua negeri-negeri
Melayu telah dapat dikuasai British menerusi sistem Residen dan Penasihat, kemudiannya telah
mewujudkan persekutuan atau sistem kerajaan berpusat. Bermula dengan cadangan Malayan Union
dan kemudiannya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu diikuti pula sistem kabinet dan menteri
diperkenalkan. Selepas pilihanraya 1952 dan 1955 sistem kerajaan berketua Menteri dan kabinet untuk
pentadbiran telah dilaksanakan. Menerusi peringkat yang telah anda lihat, secara sedikit demi sedikit
raja-raja disisihkan dari rakyat dan tanggungjawab pemerintahan.

3.4.4 Kesan Gerakan Penjajahan Barat di Tanah Melayu

Tanah Melayu akhirnya telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Setelah lebih kurang 400
tahun di bawah cengkaman penjajah barat, Tanah Melayu akhirnya bebas dan merdeka. Biarpun telah
mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu pada hakikatnya tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa
Tanah Melayu yang ada setelah merdeka dan Tanah Melayu yang wujud sebelum era penjajahan kuasa
barat adalah dua suasana yang amat berbeza. Kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kepada negara ini
bukanlah sedikit dan meliputi pelbagai sudut kehidupan termasuk ekonomi, politik dan sosial
masyarakat di Tanah Melayu. Hasil penerapan dasar-dasar kolonialisme dan imperialisme barat yang
dijalankan, corak pemerintahan, kegiatan ekonomi juga cara bersosial masyarakat di Tanah Melayu telah
jauh berbeza. Hasil daripada itu dapatlah kita lihat dan gariskan tiga kesan utama yang wujud dalam
masyarakat di Tanah Melayu dari segi sosial, ekonomi, dan politik.

1. Sosial

Perubahan terbesar hasil dasar sosial British ialah kewujudan masyarakat berbilang kaum di Tanah
Melayu. Masyarakat ini yang juga kita kenali sebagai masyarakat majmuk adalah sebagai memenuhi
aspirasi dasar kolonialisme. British telah mewujudkan satu masyarakat baru di Tanah Melayu. Tanah
Melayu yang asalnya di diami masyarakat Melayu sahaja kemudiannya telah dipaksa menerima
kedatangan imigran asing bagi memenuhi hasrat British untuk mengaut sebanyak-banyak keuntungan di
Tanah Melayu. Imigran dari China dan India ini didatangkan khusus bagi memenuhi keperluan buruh
untuk ditempatkan di lombong-lombong bijih timah dan di ladang-ladang getah.

Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat majmuk telah lama wujud sewaktu kewujudan Empayar
Melayu Melaka yang menjadi pusat perdagangan terkenal pada sekitar kurun 13 - 15 Masihi. Namun
begitu, pentafsiran masyarakat majmuk di zaman Empayar Melayu Melaka adalah jelas berbeza dengan
masyarakat majmuk yang diwujudkan selepas kedatangan penjajah barat. Ini kerana masyarakat
majmuk yang wujud di waktu kerajaan Melayu Melaka adalah jelas bersifat sementara kerana
kebanyakan mereka adalah pedagang-pedagang asing yang datang untuk memperniagakan hasil mereka
sahaja. Biarpun wujud sebilangan daripada mereka yang kekal tinggal dan bermastautin atas sebab

perkahwinan atau sebagainya, jumlah mereka adalah kecil dan tidak mengubah suasana asal masyarakat
terutamanya disegi perubahan strukur politik, ekonomi, dan sosial. Ini terutamanya disebabkan
kesediaan mereka pada kebiasaannya untuk mengasimilasikan diri mereka ke dalam kebudayaan dan
adat resam masyarakat Melayu.

Masyarakat majmuk di Tanah Melayu selepas kedatangan kuasa barat dan imigran asing pula telah
mengubah hampir keseluruhan sistem masyarakat di Tanah Melayu. Di samping itu kedatangan
masyarakat imigran juga telah mengubah komposisi kaum yang selama ini dikuasai sepenuhnya oleh
orang Melayu. Jumlah kedatangan imigran yang tiada had telah hampir-hampir mengakibatkan jumlah
orang Melayu di atasi oleh imigran-imgran asing. Suasana ini jelas amat merbahaya kepada kedudukan
orang-orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu.27

Dari segi pendidikan pula sistem vernakular yang dilaksanakan oleh British telah mengakibatkan
perpecahan ketara di antara penduduk berbilang kaum. Anda sendiri boleh fahami apabila melihat
bagaimana sukatan pelajaran dan bahasa yang digunakan di sekolah-sekolah vernakular yang tidak
sedikit pun melambangkan suasana negara ini. Ini kerana dasar British tidak merangsang berlakunya
perpaduan di antara kaum.

Selain itu, sistem pendidikan yang wujud jelas telah mengenepikan orang-orang Melayu daripada
mencapai kemajuan. Pendidik bertaraf rendah dan sikap British yang tidak berhasrat membantu
kemajuan orang Melayu dalam pendidikan mengakibatkan orang-orang Melayu menjadi kaum yang
paling ketinggalan pada masa tersebut. Ini harus difahami kerana hasrat British sendiri yang tidak mahu
keupayaan orang-orang Melayu dalam pendidikan menjadi masalah kepada mereka apabila kesedaran
telah diterima.
2.

Ekonomi

Umumnya, dasar penjajahan British terhadap Tanah Melayu telah mengubah sistem ekonomi tradisi
yang sedia wujud di Tanah Melayu. Masihkah anda semua ingat lagi, apakah sistem ekonomi tradisi?
Sistem ekonomi tradisi, ialah sistem yang berasaskan ekonomi sara diri dan bertumpu kepada
penanaman padi, penangkapan ikan, dan penternakan ladang. Sistem ini telah berubah apabila British
menjalankan dasar ekonomi kolonialismenya dengan menjadikan sistem ekonomi yang wujud
bermatlamatkan keuntungan.

Dalam perlaksanaan dasar ekonomi, British secara langsung dan tidak langsung telah mengasingkan
kaum-kaum utama di Tanah Melayu iaitu orang-orang Cina, India dan Melayu mengikut kegiatan
ekonomi masing-masing. Kegiatan ekonomi telah memisahkan setiap kaum mengikut kegiatan ekonomi
dan sekaligus setiap kaum dikenali melalui kegiatan ekonomi mereka, sebagai contoh orang India
dikenali sebagai penoreh getah, orang Melayu sebagai nelayan atau penanam padi, manakala orang-

orang Cina sebagai pelombong. Hasil daripada pembahagian kaum mengikut kegiatan ekonomi,
masyarakat yang wujud di Tanah Melayu turut terasing mengikut lokaliti atau kawasan kegiatan
ekonomi masing-masing. Keadaan ini telah mengurangkan interaksi kaum dan akhirnya telah
mewujudkan masalah perpaduan dikalangan kaum-kaum di negara ini.

3.

Politik

Dari segi politik, sistem masyarakat yang pada asalnya taat dan hidup di bawah pemerintahan raja dan
sultan telah berubah sama sekali. Kekuasaan raja dan sultan Melayu telah dikurangkan ke peringkat
hanya menjadi lambang kepada negeri atau negara. Sistem pemerintahan yang dianjurkan oleh penjajah
terutama oleh British jelas condong dan mirip kepada corak pemerintahan di negara mereka. Bermula
dengan pengenalan sistem residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan kemudiannya diikuti pula
dengan sistem penasihat British di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Pengenalan kepada kedua-dua sistem ini telah mula mengurangkan kuasa pemerintahan raja-raja
Melayu dan juga pembesarnya, dan menyebabkan satu perubahan besar kepada corak pentadbiran
Melayu Tradisi. Fungsi residen dan penasihat British ini telah mengambil alih peranan yang dahulunya
dimainkan oleh pembesar-pembesar Melayu terutamanya dalam soal menasihati Sultan dan
mendapatkan hasil untuk negeri melalui cukai.

Selain itu, pada masa pemerintahan Melayu Tradisi segala kerja pentadbiran dijalankan oleh masyarakat
Melayu, tetapi setelah kedatangan kaum imigran asing proses pentadbiran telah turut melibatkan
mereka. Biarpun jumlah orang Melayu lebih ramai yang terlibat dalam proses pentadbiran, tetapi
penglibatan imigran asing dalam proses pentadbiran adalah satu dimensi baru dalam kehidupan
masyarakat di Tanah Melayu. Apa yang jelas, sedikit demi sedikit proses penjajahan telah mengubah
wajah asal sistem pentadbiran di Tanah Melayu, lebih-lebih lagi apabila sistem pilihanraya diperkenalkan
dan kuasa perdana menteri dan kabinet juga pegawai daerah mula mengambil alih segala tugasan
pentadbir Melayu Tradisi, iaitu sultan dan pembesar.

3.5

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan bab ini, bolehlah kita membuat beberapa rumusan berkenaan apa yang kita
kenali sebagai penjajahan. Di segi istilahnya secara umum dapatlah kita rumuskan bahawa gerakan
penjajahan itu sebagai kolonialisme atau imperialisme. Biarpun begitu, apabila dibincangkan secara
khusus kedua-dua istilah kolonialisme dan imperialisme pada hakikatnya adalah berlainan dari sudut
dasar, perlakuan atau aktiviti penjajahan.

Di sudut kolonialisme ianya jelas dipengaruhi faktor-faktor agama (god), kemegahan (glory), dan
keuntungan atau kekayaan (gold). Imperialisme pula jelas memperlihatkan aktiviti-aktiviti yang
menggambarkan kesinambungan sifat-sifat kolonialisme seperti kemegahan, kemudiannya dilanjutkan
oleh faham nasionalisme yang membawa aktiviti etnosentrisme yang memuliakan kaum sendiri.
Dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa gerakan penjajahan terutamanya dari barat yang
dilaksanakan British di negara ini adalah merupakan gabungan kedua-kedua dasar yang kita bincangkan
itu. Apa yang jelas ditonjolkan oleh kedua-dua dasar tersebut ke atas negara ini ialah bagaimana ianya
telah mengubah wajah kehidupan asal yang ada di negara ini meliputi aspek sosial, ekonomi, atau
politik. Dasar-dasar kemasukan imigran, pendidikan vernakular, pemecahan ekonomi mengikut kaum,
sistem residen dan dasar pemerintahan berpusat telah mengakibatkan cara hidup tradisi yang telah
dibincang dalam bab sebelum ini terhimpit dan tidak dihiraukan oleh penjajah British.

Sebuah masyarakat yang tunggal iaitu masyarakat Melayu tradisi yang mengamalkan ekonomi tradisi,
sara diri juga sistem pemerintahan bertunjangkan sistem beraja dan pembesar dan telah berjaya
mengharungi kehidupan ratusan tahun akhirnya hilang sedikit demi sedikit. Akhirnya satu masyarakat
baru muncul iaitu masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang kaum dan bangsa, satu sistem
ekonomi moden yang mementingkan keuntungan dan mengamalkan sistem pentadbiran berpusat yang
menggantikan kuasa raja dan pembesar-pembesar. Berdasarkan semua fakta-fakta tersebut, jelas
gabungan dasar-dasar kolonialisme dan imperialisme yang diamalkan British dalam gerakan
penjajahannya di negara ini akhirnya telah mewujudkan Tanah Melayu sebagai negara baru dengan
rakyat dan sistem kehidupan yang baru.

Anda mungkin juga menyukai