Anda di halaman 1dari 12

Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online

Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

BAB 1

PENGENALAN
PERAKAUNAN PENGURUSAN

OBJEKTIF

Selepas mempelajarai bab ini, pelajar akan dapat

Menerangkan perbezaan antara Perakaunan Kewangan dan Perakaunan Pengurusan

Menerangkan fungsi utama pengurusan

Menerangkan ciri-ciri maklumat perakaunan pengurusan

Menerangkan tugas utama akauntan pengurusan / pengawal kewangan

1
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

1.1 PENGENALAN

Kejayaan sesebuah organisasi adalah ditentukan oleh keupayaan dan kecekapan pihak
pengurusan. Kerana pihak pengurusan yang bertanggungjawab mencorakkan gaya kepimpinan
serta membuat dasar dan keputusan bagi mencapai objektif organisasi. Pihak pengurusan
berperanan memastikan perkembangan dan kemajuan organisasi. Organisasi di sini termasuklah
firma perdagangan, perkilangan, perkhidmatan agensi kerajaan dan organisasi bukan untung.

Pengurus yang bekerja di Abrar Finance Bhd, Proton, Mutiara Telekom, Permodalan Nasional dan
Universiti Utara Malaysia mempunyai persamaan tugas yang penting. Mereka perlu membuat
keputusan yang bijak dalam menangani soal-soal yang berkaitan dengan operasi syarikat. Aspek-
aspek yang bersangkutan dengan perolehan dan penggunaan sumber organisasi seperti wang
tunai, sumber manusia, stok, teknologi, hartanah, peralatan dan pelaburan perlu diuruskan dengan
berhemat. Ini adalah kerana setiap keputusan yang dibuat akan memberi kesan secara langsung
dan tidak langsung terhadap keuntungan syarikat. Sebagai contoh, pengurus perlu membuat
pilihan mengenai barang atau perkhidmatan yang hendak dijual, keluasan pasaran yang ingin
ditembusi serta menentukan harga yang kompetitif yang mampu bersaing di pasaran. Juga
persoalan bagaimana syarikat akan membiayai aktiviti-aktiviti operasi tersebut. Kesemua
persoalan ini memerlukan keputusan yang bijak dan tepat. Untuk membuat keputusan yang baik,
pengurus perlu mempunyai maklumat yang lengkap dan terkini mengenai sesuatu perkara. Dalam
konteks perniagaan, maklumat berhubung dengan kegiatan ekonomi dan kewangan ini dibekalkan
oleh akauntan. Untuk tujuan tersebut akauntan bertanggungjawab menyediakan satu sistem
maklumat perakaunan yang lengkap bagi menghasilkan maklumat di atas. Ini termasuklah
mengenal pasti, merekod, mengukur, menganalisis, mentafsir, dan menghubungkan maklumat
tersebut bagi membantu eksekutif dan pihak pengurusan membuat keputusan dalam memenuhi
matlamat syarikat.

Seperti yang telah kita pelajari di dalam perakaunan kewangan, pengguna maklumat perakaunan
adalah terdiri daripada pihak luaran dan pihak dalaman. Pihak luaran ialah mereka yang berada di
luar organisasi seperti pemiutang, pemegang saham, dan agensi kerajaan. Mereka tidak terlibat
dalam pengurusan sesebuah organisasi tersebut. Manakala pihak dalaman pula ialah mereka yang
terlibat secara langsung di dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi, iaitu pengarah,
pengurus, dan pegawai eksekutif.

1.1.1 Perakaunan Pengurusan (Management Accounting)

Perakaunan pengurusan merupakan cabang perakaunan yang menjurus kepada


penyediaan maklumat bagi kegunaan pihak dalaman. Oleh itu akauntan bagi sesebuah
organisasi bertanggungjawab untuk memberi maklumat yang berkaitan kepada pengurus-
pengurus jabatan untuk kegunaan mereka dalam proses membuat keputusan. Ini
termasuklah belanjawan, penyata pro forma, laporan prestasi, keputusan berkait dengan
perletakan harga, penembusan pasaran, membuat atau membeli produk atau keputusan
pembiayaan dan berbagai lagi bentuk laporan yang memerlukan kemahiran dan
pengalaman yang ada pada akauntan pengurusan. Tanpa perancangan yang betul
matlamat firma mungkin tidak tercapai. Oleh itu perakaunan pengurusan merupakan
bahagian yang penting dalam proses membuat keputusan kerana keseluruhan
perancangan yang melibatkan belanjawan dibina berdasarkan maklumat laporan
perakaunan.

2
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

KESAN
KEPUTUSAN

SISTEM
URUSNIAGA MAKLUMAT
PERNIAGAAN PERAKAUNAN PIHAK
LUARAN

PIHAK
PENGURUSAN
KESAN
KEPUTUSAN

Rajah 1 : Sistem Maklumat Perakaunan

Namun begitu akauntan bukanlah satu-satunya pihak yang menyumbangkan maklumat


untuk kegunaan pihak pengurusan. Maklumat dari luar juga digunakan oleh pihak
pengurusan seperti statistik tentang kedudukan ekonomi negara dan jumlah bilangan
penduduk di sesuatu kawasan tertentu yang boleh digunakan untuk menentukan samada
sesebuah cawangan perniagaan patut dibuka atau tidak. Rajah 1 menunjukkan bagaimana
laporan perakaunan pengurusan dihasilkan dari satu sistem perakaunan yang sama. Ini
adalah bertujuan untuk menjimatkan kos serta mengelakkan pengulangan memproses
data yang sama.

1.1.2 Perakaunan Kewangan (Financial Accounting)

Perakaunan kewangan pula melibatkan penyediaan penyata kewangan yang terdiri


daripada Penyata Pendapatan, Lembaran Imbangan dan Penyata Aliran Tunai. Ketiga-tiga
penyata ini adalah bertujuan untuk mendedah dan melaporkan prestasi syarikat serta
kedudukan kewangan syarikat bagi tahun kewangan tersebut. Laporan-laporan ini
ditujukan kepada pengguna seperti pemegang-pemegang syer dan kreditor-kreditor.

Di Malaysia, syarikat-syarikat perlu menyediakan laporan kewangan bagi setiap tahun


kepada pemegang-pemegang saham syarikat seperti yang diperuntukkan di dalam Akta
Syarikat 1965. Manakala bagi pemilik perniagaan berbentuk milikan tunggal dan
perkongsian pula, mereka perlu menyediakan penyata kewangan ini bagi tujuan cukai
serta sebagai satu feedback tentang prestasi perniagaan yang dijalankan. Perakaunan
kewangan boleh dirumuskan prosesnya dalam bentuk kitaran perakaunan seperti di
bawah.

3
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

DOKUMEN SUMBER

CATATAN PENUTUP CATATAN TUNGGAL

PENYEDIAAN
PENYATA KEWANGAN
PINDAHCATAT KE
LEJER

IMBANGAN DUGA PENYEDIAAN


TERSELARAS IMBANGAN DUGA

PELARASAN

Rajah 2 : Kitaran Perakaunan

Penyata kewangan yang dihasilkan merupakan satu laporan yang komprehensif yang
meliputi keseluruhan urusniaga-urusniaga yang berlaku disepanjang tempoh perakaunan
tersebut. Maklumat yang terpenting iaitu untung bersih memberitahu sejauh mana prestasi
operasi syarikat.

Jika digabungkan kitaran perakaunan di dalam sistem maklumat perakaunan, maka ia


akan kelihatan seperti di dalam Rajah 3 di bawah.

Dokumen Jurnal Lejer Imbangan Penyata


Sumber Duga Kewangan

Laporan
Analisa
Fail Prestasi

Rajah 3 : Pemprosesan Data Perakaunan

4
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

1.2 CIRI-CIRI YANG MEMBEZAKAN PERAKAUNAN KEWANGAN DAN PERAKAUNAN


PENGURUSAN

1.2.1 Pengguna Maklumat

Objektif utama penyediaan laporan kewangan melalui perakaunan kewangan ialah untuk
memberikan maklumat kepada pihak luaran. Ini termasuklah pemegang saham, bakal
pelabur, pemiutang, bank dan juga agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Sebagai contoh Suruhanjaya sekuriti (SC) akan menggunakan penyata kewangan
sesebuah syarikat bagi mengukur prestasi syarikat bagi tiga tahun terakhir sebelum
membuat keputusan sama ada saham syarikat tersebut layak disenaraikan di bursa
saham.

Berbeza dengan perakaunan kewangan, pengguna maklumat perakaunan pengurusan


merupakan pihak dalaman sesebuah syarikat. Mereka terdiri daripada pengarah dan
pengurus-pengurus. Sebagai contoh, seorang pengurus yang ingin meningkatkan
pengeluaran sesuatu produk bagi memenuhi permintaan pasaran perlu terlebih dahulu
mendapat maklumat tentang kos tambahan yang terlibat sebelum membuat sesuatu
keputusan. Dia perlu menimbang sama ada hasil yang diterima daripada jualan tambahan
tadi melebihi kos tambahan yang terlibat ataupun tidak.

1.2.2 Fokus Jangka Masa

Laporan yang dihasilkan melalui perakaunan kewangan lebih merupakan sesuatu yang
telah berlaku. Ia hanya berperanan meringkaskan kesan daripada kegiatan urusniaga
perniagaan bagi sesuatu tempoh perakaunan. Penyata pendapatan misalnya,
menunjukkan amaun keuntungan atau kerugian yang telah dialami oleh sesebuah
perniagaan.

Perakaunan pengurusan pula lebih menekankan kepada aspek masa hadapan. Oleh itu
objektif penyediaan laporan adalah merancang dan menjangka sesuatu yang masih belum
berlaku. Ini termasuklah membuat unjuran prestasi syarikat berdasarkan keadaan
sekeliling dan faktor semasa. Sebagai contoh laporan unjuran jualan yang ingin dicapai
adalah berdasarkan keupayaandan prestasi sebelumnya serta faktor lain seperti
pertambahan peruntukan pengiklanan dan bilangan jurujual.

1.2.3 Kebebasan Maklumat Laporan

Kebebasan maklumat laporan boleh dilihat dari dua perspektif iaitu :


Jenis Laporan (Kandungan)
Format Laporan

Laporan dan format yang terhasil daripada maklumat perakaunan adalah tertakluk kepada
piawai-piawai tertentu seperti yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Piawaian Perakaunan
Antarabangsa (IASC) yang perlu dipatuhi. Oleh itu setiap langkah dalam proses
penyediaan penyata kewangan perlulah memenuhi kehendak-kehendak yang ditetapkan.

Namun dalam perakaunan pengurusan, pihak pengguna iaitu pihak pengurusan akan
menentukan maklumat apakah yang perlu dilaporkan serta bentuknya. Laporan yang
dihasilkan perlulah menepati beberapa ciri seperti relevan, tepat, terkini, difahami dan
menjimatkan kos.

Laporan perakaunan kewangan mewakili keseluruhan firma manakala perakaunan


pengurusan melaporkan tentang bahagian atau jabatan tertentu dalam firma. Oleh itu
laporan yang dihasilkan oleh perakaunan pengurusan lebih terperinci.

5
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

1.2.4 Kekerapan Laporan

Dalam konteks perakaunan pengurusan, kekerapan membuat laporan adalah bergantung


kepada pihak pengurusan untuk menentukannya. Kekerapan ini berbeza antara satu
jabatan atau bahagian yang lain. Misalnya bahagian pengeluaran dalam sebuah firma
perkilangan mungkin memerlukan maklumat berhubung dengan kuantiti barang siap bagi
setiap hari. Ini berbeza dengan perakaunan kewangan yang hanya perlu menyediakan
laporan kewangan sekali dalam setahun. Namun begitu, untuk kegunaan pihak
pengurusan laporan interim suku tahunan juga mungkin disediakan.

1.2.5 Kehendak Undang-undang

Laporan kewangan yang diterbitkan kepada pemegang-pemegang syer di bawah


perakaunan kewangan adalah dimestikan oleh undang-undang seperti yang dikehendaki
oleh Akta Syarikat 1965. Tetapi, bagi perakaunan pengurusan, laporan kepada pihak
pengurusan tidak dimestikan oleh undang-undang. Walaubagaimanapun, demi menjamin
kejayaan sesebuah syarikat, laporan untuk pihak pengurusan adalah sangat penting dan
merupakan satu kemestian dalam dunia perniagaan hari ini.

1.2.6 Tumpuan laporan

Tumpuan laporan dalam perakaunan kewangan adalah kepada pencapaian keseluruhan


syarikat, sedangkan dalam perakaunan pengurusan, tumpuan laporan adalah kepada
bahagian-bahagian tertentu dalam syarikat. Contohnya, walaupun sesebuah syarikat itu
mengeluar dan menjual beberapa jenis produk atau mempunyai beberapa jabatan operasi,
laporan penyata kewangan tahunan yang diterbitkan, mungkin tidak menunjukkan dengan
jelas bagaimana prestasi setiap produk atau jabatan operasi tersebut. Sedangkan dalam
laporan kepada pengurusan, prestasi setiap produk atau jabatan operasi boleh didapati
kerana maklumat ini penting kepada pengurusan untuk menjalankan fungsi-fungsi
perancangan, pengawalan dan pembuat keputusan yang melibatkan produk atau jabatan
operasi tersebut.

1.2.7 Bentuk Maklumat

Maklumat dalam laporan yang disediakan dalam perakaunan adalah berbentuk kewangan
sahaja, sedangkan dalam perakaunan pengurusan, laporannya mengambil kira segala
maklumat, sama ada berbentuk kewangan atau bukan kewangan selagi ia dapat
membantu pihak pengurusan dalam menjalankan fungsi-fungsinya.

1.2.8 Bentuk Laporan

Perakaunan kewangan mempunyai bentuk laporan yang seragam bagi semua syarikat,
tetapi perakaunan pengurusan pengurusan mempunyai bentuk laporan yang mungkin
tidak seragam, lebih khusus dan bergantung kepada kegunaan dan kepentingannya
kepada pihak pengurusan.

Perlu diingatkan di sini bahawa walaupun wujud perbezaan-perbezaan di antara kedua-


dua cabang perakaunan ini, sebenarnya kedua-dua mempunyai fungsi yang saling
bergantung antara satu sama lain. Sebenarnya, tiada garis pemisah yang jelas antara
perakaunan kewangan dan perakaunan pengurusan.

6
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

Ringkasan ciri-ciri Perakaunan Pengurusan dan Perakaunan Kewangan

Perbezaan Ciri Perakaunan Pengurusan Perakaunan Kewangan


Penggunaan Maklumat Pihak Dalaman Pihak Luaran
Fokus Jangkamasa Masa Hadapan Masa Lepas
Lebih menumpukan kepada aktiviti Merupakan ringkasan kepada
yang mempengaruhi keputusan masa aktiviti yang telah lepas
depan.
Kebebasan Laporan Bebas Terikat (GAAP)
Melaporkan kepada pihak dalaman Melaporkan kepada pihak luaran
organisasi bagi melaksanakan fungsi organisasi seperti pelabur,
pengurusan seperti perancangan, pemegang saham, JHDN, pihak
pengorganisasian, pengawalan, perundangan.
penilaian prestasi dan pembuatan
keputusan.
Kekerapan Laporan Kerap (bergantung kepada Setahun sekali
keperluan). Mem[punyai mandatori Tiada mandatori iaitu tidak
iaitu mempunyai pilihan untuk mempunyai pilihan untuk
disediakan laporan atau tidak. disediakan laporan atau tidak.
Penguatkuasaan Tidak Terikat Terikat
Undang-undang Tidak perlu mengikut Prinsip Laporan perlu disediakan
Perakaunan Yang Diterima Umum mengikut Prinsip Perakaunan
(GAAP) Yang Diterima Umum (GAAP)
Tumpuan Laporan Pencapaian bahagian-bahagian Pencapaian keseluruhan syarikat
tertentu dalam syarikat
Bentuk Maklumat Kewangan dan bukan kewangan Kewangan sahaja
Lebih fleksibel dan relevan dan Lebih berobjektif dan pelbagai
menumpukan kepada ketepatan data dan melihat kepada data yang
berdasarkan masa ianya berlaku. tepat.
Bentuk Laporan Bergantung kepada kegunaan dan Seragam kepada semua syarikat
kepentingan pihak pengurusan. Hanya data-data yang telah
Laporan adalah terperinci dan diringkaskan yang dilaporkan
melaporkan mengikut bahagian, dalam laporan tahunan dan
produk, pelanggan atau segmen. mewakili keseluruhan organisasi.

1.3 PERSAMAAN CIRI PERAKAUNAN KEWANGAN DAN PERAKAUNAN PENGURUSAN

1. Penyediaan (mengumpul dan menyampai) maklumat bagi membantu pengguna


membuat keputusan. Ianya melalui proses mengenal pasti, mengukur, mengumpul,
meringkas, merekod, melapor, menganalisis dan mentafsir serta penggunaan sistem
catatan bergu.

2. Dari segi objektif keseluruhan juga, kedua-duanya mempunyai objektif yang sama iaitu
untuk menyampaikan maklumat perakaunan kepada pengguna.

3. Kedua-dua perakaunan ini juga memenuhi fungsi pengawasan. Ini kerana maklumat
perakaunan pengurusan juga akan diringkas dan digunakan oleh perakaunan
kewangan untuk dilaporkan dalam satu laporan kewangan yang diterbitkan. Dalam hal
ini, laporan kewangan bertindak sebagai pengawas kepada perjalanan operasi
syarikat.

4. Laporan kewangan ini sangat mustahak kepada para pemegang syer untuk mereka
mengetahui dan menilai pencapaian perniagaan yang mereka laburi.

7
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

1.4 FUNGSI PENGURUSAN

Fungsi pengurusan yang paling penting melibatkan perancangan dan kawalan. Pengurus
menetapkan matlamat atau objektif yang ingin dicapai oleh firma. Seterusnya merancang dan
mengawal operasi firma bagi memastikan matlamat tadi tercapai.

1.4.1 Perancangan (Planning)

Perancangan merupakan proses menetapkan matlamat serta membentuk cara ke arah


mencapai matlamat tersebut. Proses ini termasuklah membuat belanjawan yang
merupakan terjemahan perancangan ke dalam bentuk angka. Ini membantu dalam
penyelarasan, pelaksanaan dan perancangan. Sebagai contoh anggaran hasil dan belanja
bagi tempoh sebulan. Perancangan bertujuan membantu pihak pengurusan bersedia untuk
berhadapan dengan sesuatu yang akan berlaku. Ini termasuklah membuat tindakan dan
pilihan-pilihan yang wajar mengikut kesesuaian keadaan. Sebaliknya jika tiada
perancangan, pihak pengurusan terpaksa bertindak secara reaktif dan sudah tentu akan
mengalami kesulitan apabila sesuatu yang berlaku itu di luar jangkaan. Ringkasnya,
perancangan adalah berkaitan dengan menjawab persoalan berikut:

Menetapkan matlamat (objektif)


Menjangka dan meramal keputusan yang akan dicapai di masa hadapan
Bagaimanakah untuk mendapatkannya?
Menentukan beberapa cara (pemilihan alternatif)

Perancangan

Pembetulan dan Perlaksanaan


Pengubahsuaian Pembuatan (Pengorganisasian
tindakan Keputusan dan Pengarahan)

Pengawalan

Rajah 4 : Fungsi Pengurusan

1.4.2 Kawalan (Controlling)

Kawalan merupakan proses menentukan sama ada sesuatu matlamat itu tercapai atau
tidak. Jika tidak tercapai apakah tindakan susulan bagi mencapai matlamat tersebut.
Penilaian prestasi adalah penting bagi mengesan sebarang masalah serta membuat
tindakan susulan. Dalam perakaunan pengurusan, kawalan merupakan satu perbandingan
di antara keputusan yang dirancang dengan keputusan yang diperolehi. Keputusan ini
perlu dinilai dengan segera agar tindakan susulan boleh diambil jika keputusan yang
diperolehi tadi tidak menepati dengan perancangan yang di buat. Dengan cara ini,
pengurus akan sentiasa dapat mengawal aktiviti-aktiviti operasi bagi memastikan objektif
firma tercapai. Jika perlu, perancangan asal mungkin dirombak untuk disesuaikan
keadaan.

8
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

1.4.3 Pengorganisasian (Organizing)

Pengorganisasian melibatkan pembentukan dan penyusunan struktur organisasi iaitu


pengagihan dan penentuan tugas serta tanggungjawab diberi kepada setiap individu (ini
boleh didapati dalam carta organisasi)

1.4.4 Pengarahan (Directing)

Pengarahan melibatkan penyampaian perancangan kepada individu-individu yang akan


menjalankan kerja-kerja seperti yang telah ditetapkan dalam pengorganisasian di samping
memberi mereka tunjuk ajar dan latihan bagaimana untuk menjalankan kerja-kerja
tersebut. Dalam fungsi ini, pengurus memastikan semua aktiviti berjalan dengan lancar.

1.4.5 Pembuatan Keputusan (Decision Making)

Pembuatan keputusan melibatkan pemilihan alternatif dan tindakan yang perlu diambil.
Keempat-empat fungsi di atas semuanya melibatkan fungsi pembuatan keputusan seperti
memilih tindakan-tindaakn perlaksanaan yang dilakukan dalam pengorganisasian, memilih
latihan yang sesuai dalam pengarahan dan menentukan tindakan yang sesuai untuk
memperbetulkan perancangan dahulu yang dilakukan dalam pengawalan. Selain daripada
itu, pengurus juga memberi fokus kepada jenis-jenis keputusan yang lain yang lebih
spesifik.

1.5 PERANAN PERAKAUNAN PENGURUSAN DALAM PERANCANGAN DAN KAWALAN

Bagaimanakah seseorang akauntan dapat membantu pihak pengurusan menjalankan fungsi-fungsi


perancangan dan kawalan? Seperti yang dijelaskan sebelum ini, peranan seorang akauntan
pengurusan ialah membekalkan maklumat yang berkaitan kepada pihak pengurusan bagi
membantu mereka membuat keputusan dengan baik.

Sebagai contoh, seorang pengurus jualan yang merancang nilai jualan bagi sesuatu tempoh perlu
terlebih dahulu memastikan kedudukan inventori atau stok firma berupaya memenuhi permintaan
jualan tersebut. Untuk ini maklumat yang berkaitan diperlukan olehnya. Maklumat ini dikumpulkan
oleh akauntan, melalui sistem perakaunan, dan pelbagai jabatan iaitu jabatan perkilangan dan
gudang. Dalam topik Belanjawan nanti pelajar akan dapat melihat bagaimana maklumat yang
terkandung di dalam belanjawan diperolehi dari pelbagai pihak.

Seseorang akauntan juga seringkali perlu membuat analisis kesan ke atas keuntungan firma jika
perubahan harga dilakukan; belanja iklan ditingkatkan bagi mencapai 5% kenaikan dalam jualan
misalnya. Analisis ini perlu bagi tujuan membantu pihak pengurusan membuat keputusan samada
untuk menaikkan atau menurunkan harga sesuatu produk. Dan jika perlu, pada harga apakah yang
paling sesuai agar keuntungan firma tidak terjejas. Kesemua maklumat tersebut perlu disalurkan
dengan cepat dan tepat.

Akauntan, bersesuaian dengan kepakaran mereka dalam sistem maklumat, akan menentukan
maklumat apakah yang relevan serta bagaimana memperolehinya. Akhir sekali maklumat tersebut
diproses ke dalam bentuk yang boleh difahami untuk tujuan analisis dan membuat keputusan oleh
pihak pengurusan.

Maklumat pengurusan juga membantu pihak pengurusan dari segi kawalan. Seperti yang
diterangkan tadi, kawalan adalah berkaitan dengan menilai prestasi sesebuah firma bagi
memastikan apa yang dicapai menepati dengan matlamat yang telah ditetapkan dalam
perancangan.

9
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

1.6 KEGUNAAN MAKLUMAT PERAKAUNAN PENGURUSAN

Apakah jenis maklumat perakaunan yang diperlukan oleh pengurusan untuk mereka mengurus
perniagaan dengan baik? Jawapannya sudah pasti maklumat kos dan hasil kerana sebahagian
besar maklumat yang ada dan diperlukan oleh pengurusan berupa maklumat jenis ini. Selalunya,
maklumat kos lebih digunakan kerana maklumat kos lebih banyak terlibat berbanding dengan
maklumat hasil. Oleh itu, sepanjang bab ini perkataan maklumat kos akan digunakan secara umum
dan ia juga boleh dirujuk sebagai maklumat hasil.

Pihak pengurusan memerlukan maklumat kos bagi tujuan-tujuan yang berikut :

1.6.1 Membuat Keputusan

Membuat keputusan boleh ditakrifkan sebagai membuat pilihan antara alternatif-alternatif


yang ada. Maklumat kos (dan hasil) diperlukan untuk menilai implikasi kewangan ke atas
alternatif-alternatif. Di dalam membuat keputusan proses berikut harus dilalui:-

1. Penentuan objektif
2. Penentuan alternatif-alternatif yang ada,
3. Penilaian dan perbandingan antara alternatif-alternatif, dan
4. Pemilihan alternatif

Keputusan yang perlu dibuat oleh pengurusan boleh dikelaskan kepada tiga jenis iaitu:-

1. Keputusan jangka panjang atau keputusan strategik melibatkan keputusan


dalam polisi, struktur organisasi dan rancangan jangka panjang. Keputusan
jangka panjang sangat tidak rutin atau jarang dibuat dan mengambil tempoh lima
atau 10 tahun.
2. Keputusan khas atau tektikal keputusan ini timbul apabila keadaan-keadaan
tertentu terjadi seperti keputusan menerima atau menolak pesanan dan
keputusan membuat atau membeli. Keputusan khas ini juga tidak begitu rutin
dilakukan.
3. Keputusan operasi melibatkan keputusan yang sering dibuat setiap hari
mengenai operasi dan aktiviti-aktiviti normal syarikat seperti menentukan harga
jualan produk atau perkhidmatan, pembelian bahan mentah dan pengambilan
tenaga buruh.

1.6.2 Merancang

Maklumat kos (dan hasil) juga diperlukan oleh pihak pengurusan bagi tujuan merancang
operasi sesebuah syarikat. Biasanya, operasi sesebuah syarikat dibahagi-bahagikan
kepada beberapa bahagian mengikut fungsi masing-masing. Pengurus bagi setiap
bahagian bertanggungjawab untuk membuat perancangan bagi bahagiannya. Proses
merancang melibatkan penentuan objektif, polisi, strategi, dan tindakan yang perlu untuk
mencapai objektif tersebut.

1.6.3 Belanjawan

Belanjawan merupakan satu perancangan dalam bentuk kuantitatif (biasanya kewangan)


yang mengandungi maklumat-maklumat sumber kewangan untuk menjalankan sesuatu
objektif syarikat. Maklumat kos (dan hasil) dalam belanjawan ini dinyatakan dalam bentuk
anggaran. Setiap bahagian atau jabatan dalam syarikat selalunya dikehendaki
menyediakan belanjawan masing-masing.

10
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

1.6.4 Mengawal dan Menilai Pencapaian

Bagi tujuan mengawal operasi, pihak pengurusan harus mempastikan bahawa operasi dan
pencapaian sebenar adalah selari dengan apa yang dirancangkan seperti dalam
belanjawan.

Untuk tujuan ini, maklumat kos (dan hasil) dari keputusan sebenar akan dibandingkan
dengan maklumat kos (dan hasil) dari belanjawan. Ini dilakukan pada setiap tempoh yang
ditetapkan. Dari perbandingan ini dapatlah diketahui sama ada apa yang dirancangkan
seperti dalam belanjawan telah dicapai atau tidak dan penilaian pencapaian setiap
pengurus dapat dibuat. Sebarang perbezaan (varians) di antara keputusan sebenar dan
belanjawan memerlukan tindakan susulan diambil untuk mencari punca-punca berlakunya
perbezaan tersebut dan mungkin pembetulan dan penyemakan ke atas rancangan dan
matlamat asal syarikat perlu dilakukan. Sebarang varians yang signifikan dan bermasalah
perlu diambil tindakan supaya ianya tidak berlaku lagi di masa hadapan.

1.6.5 Penilaian Stok

Maklumat kos sangat penting bagi menilai stok untuk penyediaan penyata kewangan
(penyata pendapatan dan kunci kira-kira) mengikut prinsip-prinsip perakaunan yang
diterima umum.

1.6.6 Penentuan Kos Produk atau Perkhidmatan

Maklumat kos mengeluar sesuatu produk atau menyampaikan perkhidmatan sangat


penting untuk pengurus membuat keputusan mengenai harga jualan dan kos barang dijual
dan seterusnya mengetahui keuntungan sesuatu produk atau perkhidmatan tersebut.

1.7 CIRI-CIRI MAKLUMAT PERAKAUNAN PENGURUSAN

Kita telah maklum bahawa Perakaunan Pengurusan mempunyai matlamat untuk membantu pihak
pengurusan merancang, mengawal dan membuat keputusan tentang aktiviti organisasi. Oleh itu,
adalah penting untuk maklumat perakaunan pengurusan mempunyai ciri-ciri yang boleh menjamin
bahawa maklumat itu boleh digunakan dan dapat membantu membuat keputusan dengan tepat.

Di antara ciri-ciri yang boleh dikenal pasti untuk maklumat Perakaunan Pengurusan itu berguna
dalam membuat keputusan ialah:

1.7.1 Relevan

Maklumat Perakaunan Pengurusan mesti relevan bagi sesuatu keputusan yang dibuat.
Relevan bermaksud sesuatu pilihan maklumat mesti memberi keputusan yang berbeza
bagi satu aktiviti. Contoh : sebuah syarikat perlu mendapatkan keuntungan dengan
mengurangkan perbelanjaan. Syarikat terpaksa membuat pilihan sama ada membaiki
mesin lama atau membeli mesin baru untuk memproses produk yang dikeluarkan. Jika
membaiki mesin lama akan memberikan kos yang sama jika syarikat membeli mesin baru,
maka maklumat yang ada untuk membuat keputusan bagi mengurangkan belanja adalah
tidak relevan tetapi jika kos bagi kedua-dua keputusan di atas adalah berbeza, maka
maklumat di atas dikatakan relevan untuk membuat keputusan.

11
Koleksi Bahan STPM Cg Narzuki Online
Bab 1 : Pengenalan Perakaunan Pengurusan

1.7.2 Boleh Difahami

Maklumat mesti difahami oleh pengurus yang mana kebanyakan pengurus tidak
mempunyai latar belakang perakaunan atau kewangan. Oleh itu, adalah wajar untuk
akauntan pengurusan menggunakan istilah yang mudah difahami oleh pihak pengurusan
bagi memastikan maklumat yang dicapai dapat digunakan untuk membuat keputusan yang
tepat.

1.7.3 Tepat pada Masa

Jika maklumat perakaunan pengurusan diterima lewat daripada sepatutnya, maka


tindakan tidak boleh diambil dengan tepat atau keputusan yang dibuat tidak mempunyai
nilai lagi. Contohnya, belanjawan untuk tahun 2002, adalah penting untuk memastikan
maklumat tentang belanjawan 2002 diketahui sebelum tahun 2002 bermula. Ini bagi
memastikan yang tindakan yang perlu diambil bagi tahun 2002 tidak akan terlewat seperti
meningkatkan jualan atau merendahkan perbelanjaan.

1.7.4 Boleh Dibandingkan

Maklumat perakaunan pengurusan kerap digunakan untuk membuat perbandingan.


Contohnya, membandingkan di antara prestasi jabatan dengan jabatan dalam tempoh
yang sama ataupun membandingkan prestasi jabatan yang sama dalam tempoh. Jika
berlaku penurunan yang mendadak, mungkin tindakan pembetulan boleh diambil dengan
segera.

1.7.5 Boleh Dipercayai

Maklumat Perakaunan Pengurusan mesti berkait dengan masa depan. Walau


bagaimanapun, ia tidak semestinya 100% tepat. Ia hanya perlu tepat bagi sesuatu
keputusan.

1.7.6 Lengkap

Maklumat Perakaunan Pengurusan tidak boleh tertinggal maklumat yang penting dan
berguna.

1.7.7 Mempunyai ciri-ciri kos-benafaat

Menyediakan maklumat perlu melibatkan kos. Oleh itu, adalah penting untuk maklumat
tersebut boleh memulangkan pulangan yang dapat menampung kos tersebut. Maklumat itu
mesti berguna terlebih dahulu sebelum ia dapat memberikan hasil.

12

Anda mungkin juga menyukai