Anda di halaman 1dari 15

BAB 2

TAKRIFAN DAN FUNGSI KOMUNIKASI

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Menghuraikan definisi komunikasi.
2. Menjelaskan konsep-konsep utama komunikasi.
3. Mengenal pasti fungsi komunikasi dalam kehidupan manusia.

2.1 PENGENALAN

Manusia dicipta oleh Tuhan untuk beribadat. Ibadat manusia adalah


suatu proses interaksi dengan Tuhan melalui sembahyang, doa dan
menghayati kitab-kitab suci. Kehidupan manusia tidak sepi dengan
interaksi sesama manusia. Setiap individu saling memerlukan antara satu
sama lain. Manusia bertukar maklumat dan berkongsi idea untuk terus
menangani survival yang penuh saingan. Di samping itu, manusia juga
berinteraksi dengan persekitaran yang dicipta oleh Tuhan. Pernahkah
anda bercakap dengan tumbuh-tumbuhan atau haiwan? Ramai petani
yang berjaya mengatakan bahawa kerakraban petani dengan tanaman
mereka dapat memberi hasil yang baik. Adakah pokok boleh bercakap?
Sebenarnya dalam diri manusia mempunyai naluri ingin tahu dan ambil
tahu. Jadi, apabila seorang petani mengambil tahu tentang tanaman
mereka sudah tentu tanaman sentiasa dijaga dengan baik. Begitu juga
dengan interaksi manusia dengan haiwan. Interaksi yang intim antara
manusia dengan haiwan peliharaan akan menyebabkan haiwan tersebut
memahami perlakuan tuannya. Apakah bentuk komunikasi yang
digunakan oleh manusia dalam hal ini? Manusia dianugerahkan akal
fikiran serta perasaan yang berbeza-beza. Justeru itu, manusia sentiasa
berkomunikasi antara satu sama lain untuk mencapai tujuan tertentu,
berkongsi maklumat dan menyatakan perasaan masing-masing.

Sejarah menunjukkan bahawa pada peringkat awal kehidupan manusia,


manusia berinteraksi antara satu sama lain dengan menggunakan simbol-
simbol yang dapat memberi makna dan kefahaman yang sama antara

19
mereka. Pada zaman batu, manusia melakar simbol pada dinding-dinding
gua untuk mendokumentasikan kehidupan mereka. Apakah bentuk
komunikasi lain yang digunakan oleh masyarakat pada zaman batu?
Adakah mereka mempunyai kod komunikasi seperti manusia hari ini?

Komunikasi adalah suatu proses interaksi antara manusia untuk


mencapai tujuan bersama dengan menggunakan saluran tertentu. Oleh
yang demikian, manusia perlu mempunyai kod komunikasi yang boleh
difahami dan diterima oleh semua ahli masyarakat. Kod komunikasi sama
ada bahasa lisan, kod penulisan mahupun kod bukan lisan adalah penting
untuk memastikan interaksi manusia berjalan lancar sesuai dengan tujuan
dan konteks komunikasi.

Dalam bab ini, anda akan didedahkan kepada beberapa takrifan


komunikasi daripada pelbagai konteks. Di samping itu, perbincangan kita
juga akan ditumpukan kepada mengenal pasti fungsi-fungsi umum
komunikasi. Di akhir bab ini, kita akan membincangkan secara ringkas
tentang proses komunikasi dalam kehidupan manusia.

Oleh kerana bab ini adalah pengenalan kepada asas komunikasi, maka
perhatian dan tumpuan anda amat diharapkan bagi memastikan anda
dapat memahami asas-asas komunikasi sebelum mengikuti bab-bab
seterusnya yang membincangkan aspek komunikasi secara terperinci.
Jadi, fokuskan tumpuan anda kepada pelajaran ini. Semoga anda dapat
berinteraksi dengan modul ini dengan mudah dan lancar.

2.2 APAKAH KOMUNIKASI?

Apakah yang anda faham dengan perkataan komunikasi? Mengapa anda


berminat mempelajari ilmu komunikasi? Adakah komunikasi suatu
kemahiran perhubungan yang mudah? Ya, mudah dengan syarat kita
dapat menguasai kemahiran komunikasi dan berketerampilan
menggunakan komunikasi dalam pelbagai situasi kehidupan. Komunikasi
adalah suatu bidang yang kompleks dan bersifat dinamik. Justeru itu, kita
perlu mempelajari dan mempertingkatkan kemahiran komunikasi sama
ada komunikasi sosial mahupun kemahiran menggunakan teknologi
komunikasi dari semasa ke semasa.

Kita berkomunikasi dengan ahli keluarga kita. Kita juga perlu berbincang
dengan rakan sekerja kita di pejabat. Tidak kurang juga kita sentiasa
berhubung dengan pelanggan kita. Jadi, fungsi-fungsi asas komunikasi ini
jika diteliti akan memandu kita kepada kepentingan komunikasi dalam
kehidupan kita seperti juga kita memerlukan makanan dan minuman.
Komunikasi juga merupakan satu keperluan biologi manusia. Tidak
lengkap kehidupan manusia tanpa komunikasi. Malah dunia akan sepi

20
tanpa komunikasi. Oleh yang demikian, bidang komunikasi adalah suatu
bidang kemahiran sosial yang perlu dipelajari, tidak cukup sekadar
mempunyai bakat semula jadi untuk menjadi komunikator yang
berkesan. Dalam erti kata lain kita perlu mendalami ilmu komunikasi dan
menguasai kepelbagaian bentuk komunikasi dalam menangani kehidupan
yang penuh cabaran.

Apakah pendapat anda tentang bidang komunikasi?


Bolehkah anda memikirkan beberapa takrifan komunikasi
yang ringkas?

Anda disyorkan melawat laman


web:www.ablongman.com/devito
www.mhhe.com/tubbsmoss yang
menyediakan latihan kemahiran
komunikasi, soalan latihan dan
tutorial online yang berguna untuk
anda menerokai asas ilmu
komunikasi kemanusiaan.

Pastikan anda mendaftar sebagai


‘pelajar’ bagi mendapat
kemudahan akses yang lengkap.
Pendaftaran adalah percuma.

2.3 TAKRIFAN KOMUNIKASI

Perkataan komunikasi berasal daripada terjemahan bahasa Inggeris, iaitu


communication yang diambil daripada perkataan Latin, iaitu communicare.
Communicare bermaksud to make common atau mewujudkan persamaan.
Justeru itu, apabila kita berkomunikasi kita sebenarnya cuba mencipta
persamaan kefahaman terhadap sesuatu makna.

Komunikasi adalah keperluan asas kehidupan manusia selain makanan,


minuman, pakaian dan tempat perlindungan. Komunikasi berlaku setiap
detik dalam kehidupan manusia sama ada berlaku secara sedar atau tidak
sedar, atau berlaku secara lisan atau menggunakan simbol yang mewakili
sesuatu mesej.

Setakat perbincangan ini, adakah anda faham tentang komunikasi?


Seterusnya kita akan cuba fokuskan perbincangan kepada beberapa
pendekatan dalam pentakrifan komunikasi. Umumnya, komunikasi

21
adalah suatu proses interaksi antara manusia yang berlaku pertukaran
maklumat, idea, makna, nilai, sikap dan sebagainya bagi mencapai
persetujuan bersama.

Ramai sarjana berpendapat bahawa tidak ada satu definisi komunikasi


yang boleh dianggap tepat. Semua orang boleh membentuk definisi
komunikasi mengikut tujuan masing-masing. Menurut Dance (1970)
terdapat 98 takrifan komunikasi yang berbeza-beza. Perkara ini berlaku
kerana kita mungkin memberi takrifan berdasarkan tujuan kita
berkomunikasi. Bidang komunikasi adalah satu bidang interdisiplin. Jadi,
sarjana daripada bidang lain melihat komunikasi dari perspektif bidang
mereka. Contohnya, ahli psikologi melihat komunikasi sebagai satu cara
untuk mendalami pengalaman dan maklumat peribadi seseorang. Bagi
mereka yang mendalami bidang sains politik pula melihat komunikasi
sebagai satu alat propaganda dan penyebaran maklumat yang bertujuan
untuk mempengaruhi pengundi. Oleh itu, jangan bimbang jika terdapat
pelbagai definisi komunikasi melalui pembacaan anda.

Cuba anda terangkan hubungan komunikasi dari


perspektif pemasaran, pendidikan dan sejarah. Tentu
anda akan dapat membentuk satu definisi komunikasi
dari perspektif bidang lain.

Umumnya takrifan komunikasi bergantung kepada tujuan komunikasi,


persekitaran, sumber yang terlibat dan kesan komunikasi. Bagi
memudahkan perbincangan kita, takrifan komunikasi boleh
dikategorikan kepada empat kelompok iaitu (Samsuddin A. Rahim,
1993):

(i) Takrifan yang menekan aspek penyampaian dan


penyebaran maklumat.
(ii) Takrifan yang menekan aspek perkongsian makna dan
kesefahaman.
(iii) Takrifan yang menekan aspek pembujukan dan
perubahan.
(iv) Takrifan yang menekan aspek tingkah laku.

2.3.1 Penekanan Aspek Penyampaian dan Penyebaran Maklumat

Lazimnya komunikasi adalah satu proses interaksi pengirim (sumber)


dengan penerima (khalayak) yang bertujuan untuk bertukar maklumat.
Dalam erti kata lain, masing-masing mencari ruang untuk menyampaikan
maklumat. Berikut adalah beberapa takrifan yang merujuk kepada
penekanan penyampaian dan penyebaran maklumat:

22
“Komunikasi adalah satu proses pertukaran dan penyebaran
pendapat, pandangan, atau maklumat melalui ucapan,
tulisan ataupun isyarat.”

(American College Dictionary)

“Komunikasi adalah pengiriman maklumat, pemikiran,


sikap atau emosi daripada seseorang individu kepada
kumpulan individu lain dengan menggunakan simbol-
simbol.”
(Theodorson & Theodorson, 1969)

“Komunikasi ialah seni memindahkan maklumat, idea, dan


sikap daripada seseorang kepada seseorang.”

(Emery, Ault & Agee, 1965)

“Komunikasi adalah satu proses penterjemahan maksud


antara individu atau berkumpulan.”
(Tubbs & Moss, 2000)

Berdasarkan takrifan komunikasi di atas, kita dapati bahawa kesan tindak


balas kepada pertukaran maklumat tidak diberi perhatian. Takrifan
tersebut adalah lebih kepada proses komunikasi sehala. Justeru itu, sukar
untuk kita mengetahui kesan penyampaian maklumat kepada penerima.
Jadi, kemahiran komunikasi bukan sekadar menyalurkan maklumat tetapi
yang lebih utama ialah memberi tumpuan kepada kesan penyampaian
sesuatu maklumat.

Ikuti contoh penyampaian maklumat berikut oleh


Pegawai UUM kepada pelajar baru: “Jabatan Hal Ehwal
Pelajar ada menyediakan sesi kaunseling kepada pelajar
yang menghadapi masalah kemurungan dan pelbagai
masalah peribadi…”.

Berdasarkan ucapan ini, proses penyampaian maklumat


berjaya dilakukan oleh pegawai tersebut. Tetapi apakah
kesan maklumat tersebut kepada pelajar baru? Adakah
proses penyampaian maklumat ini efektif? Bagaimana
anda mengukur kesan penyampaian maklumat tersebut?

2.3.2 Penekanan Aspek Perkongsian Makna dan Kesefahaman

Perkongsian makna dan kesefahaman yang ditekankan dalam takrifan ini


adalah persamaan mentafsir simbol dan orientasi komunikasi. Ini

23
bertujuan untuk mengelakkan sebarang salah faham atau ketidaktepatan
makna sesuatu mesej. Berikut adalah takrifan yang berkaitan perkongsian
makna:

“Komunikasi adalah suatu proses perkongsian sesuatu


orientasi terhadap satu set tanda-tanda maklumat.”

(Schramm & Robert, 1971)

“Komunikasi sebagai satu proses apabila kedua-dua pihak


yang terlibat membentuk dan berkongsi di antara satu sama
lain dengan tujuan untuk mencapai kesefahaman.”

(Rogers, 1969)

Persoalan utama yang timbul daripada takrifan di atas adalah sejauh mana
individu mempunyai orientasi yang sama terhadap sesuatu simbol
maklumat? Setiap individu mempunyai nilai, pengalaman, pendidikan dan
latar belakang yang berbeza. Adalah agak sukar untuk mencari titik
persamaan orientasi antara individu. Fenomena ini akan mewujudkan
jurang komunikasi. Jurang komunikasi yang wujud akan memberi kesan
kepada tujuan dan matlamat komunikasi walaupun takrifan ini
menyatakan tentang perkongsian makna.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘jurang komunikasi’?


Beri contoh ‘jurang komunikasi’ yang mungkin wujud di
antara anda dengan pelajar lain. Apakah kesan ‘jurang’ ini
kepada proses komunikasi?

2.3.3 Penekanan Aspek Tingkah Laku

Penekanan takrifan komunikasi ini tidak bergantung kepada peranan


maklumat untuk mengukur keberkesanan komunikasi. Sebaliknya,
keberkesanan komunikasi bergantung kepada tingkah laku individu
mencari maklumat yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah yang
dihadapi seperti yang dikemukakan oleh Carter (1973):

“Apabila individu berkomunikasi ia berusaha untuk


mencari maklumat yang boleh digunakan bagi mengatasi
masalah yang sedang dihadapinya supaya ia dapat satu
gambaran yang lebih tepat tentang persekitaran yang perlu
dihadapinya.”

24
Contohnya, apabila seseorang pelajar di‘pulau’kan oleh rakan-rakannya,
maka pelajar tersebut bertindak mengenal pasti sebab dia ‘dipulaukan’
dan cara untuk merapatkan lagi hubungan sosial dengan rakan-rakannya.

2.3.4 Penekanan Aspek Pembujukan dan Perubahan

Dalam konteks takrifan komunikasi yang menekankan aspek


pembujukan dan perubahan, kita dapati bahawa proses komunikasi
bukan hanya menyebarkan maklumat dan berkongsi makna malah lebih
daripada itu iaitu melihat kesan terhadap tingkah laku penerima selepas
menerima maklumat.

Pembujukan merujuk kepada proses mempengaruhi seseorang untuk


menerima pandangan dan pendapat serta mengubah sikap dan nilai
berdasarkan maklumat yang diterima. Komunikasi dikatakan berkesan
setelah berlakunya perubahan pada penerima. Berikut adalah contoh
takrifan yang menekankan pembujukan:

“Komunikasi adalah satu proses penyampaian rangsangan


dengan tujuan untuk menukar tingkah laku seseorang.”

(Hovland, 1953)

“Komunikasi berlaku apabila satu sistem atau sumber cuba


mempengaruhi sistem lain atau sasarannya, dengan
memanipulasikan beberapa simbol alternatif, yang boleh
disampaikan melalui saluran yang menghubungkan
mereka.”
(Osgood, 1954)

“Komunikasi adalah satu proses tindak balas terhadap


simbol atau tingkah laku manusia.”

(Adler & Elmhorst, 2002)

Contoh mudah bagi takrifan ini ialah kempen anti merokok yang
dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak beberapa tahun
dahulu. Pada pandangan anda, adakah mesej kempen anti merokok ini
berjaya dihayati oleh golongan sasaran? Adakah peratusan bilangan
perokok menurun atau meningkat selepas kempen seumpama ini
dilaksanakan?

25
SOALAN DALAM TEKS

1. Jelaskan maksud “komunikasi adalah proses


pertukaran makna”.
2. Apakah yang dimaksudkan dengan jurang
komunikasi?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.4 MODEL ASAS KOMUNIKASI

Berdasarkan takrifan komunikasi yang dibincang tadi, kita dapat


mengenal pasti beberapa komponen komunikasi iaitu pengirim-
penerima, mesej, saluran, dan maklum balas. Hubungan keempat-empat
komponen asas dalam proses komunikasi ini adalah penting bagi
memastikan kelangsungan komunikasi sesuai dengan sifat komunikasi
sebagai satu proses yang dinamik. Rajah 2.1 menunjukkan model asas
komunikasi.

Rajah 2.1
Model Asas Komunikasi

Persekitaran
Gangguan

Sumber Mesej Saluran Penerima

Maklum Balas

Proses komunikasi bermula apabila sumber (pengirim) menghantar mesej


kepada penerima (khalayak) dengan menggunakan saluran (medium)
tertentu. Proses penyampaian maklumat ini dikenali sebagai komunikasi
sehala. Manakala unsur maklum balas menunjukkan bahawa wujud
interaksi antara pengirim dengan penerima. Ini dikenali sebagai
komunikasi dua hala, iaitu berlakunya perkongsian makna di antara

26
pengirim – penerima. Selain itu, terdapat unsur gangguan (noise) dan
persekitaran. Gangguan merujuk kepada sesuatu perkara yang
menghalang serta mengganggu proses penerimaan dan pentafsiran mesej
seperti bunyi bising, sakit, gagap semasa bercakap dan sebagainya.
Manakala persekitaran komunikasi merupakan situasi di mana berlakunya
komunikasi. Contohnya, komunikasi yang berlaku di kompleks membeli
belah, dalam bilik kuliah, mesyuarat dan sebagainya. Faktor persekitaran
memainkan peranan penting dalam menentukan tujuan, gaya interaksi
dan keberkesanan komunikasi.

Setiap komponen seperti yang dinyatakan mempunyai ciri-ciri tersendiri.


Anda akan didedahkan dengan lebih terperinci tentang komponen-
komponen komunikasi dalam bab seterusnya.

Cuba anda kenal pasti bentuk-bentuk gangguan dan


persekitaran yang mempengaruhi keberkesanan proses
komunikasi?

SOALAN DALAM TEKS

3. Apakah yang dimaksudkan dengan komunikasi


sehala dan komunikasi dua hala?
4. Nyatakan empat komponen utama dalam proses
komunikasi.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.5 FUNGSI UMUM KOMUNIKASI

Kita mempunyai tujuan tertentu apabila memulakan proses komunikasi.


Seperti yang dinyatakan dalam perbincangan takrifan komunikasi tadi,
kita mempunyai tujuan untuk menyebarkan maklumat, berkongsi makna,
memujuk dan sebagainya. Menurut Laswell dan Wright (Baran & Davis,
2000), fungsi komunikasi boleh dikelompokkan kepada empat bahagian
iaitu penyebaran informasi dan amaran, jalinan hubungan antara
masyarakat, transmisi budaya dan hiburan. Komunikasi juga berfungsi
sebagai penentu agenda dan pembujukan (Gamble & Gamble, 1999).
Selain itu, fungsi komunikasi juga meliputi aspek pendidikan, ekonomi
dan politik (Pilgrim, 2001). Sememangnya terdapat pertindihan antara
fungsi-fungsi yang dinyatakan di atas.

27
2.5.1 Penyebaran Informasi dan Amaran

Maklumat adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan kita. Sebahagian


tujuan utama kita berkomunikasi adalah untuk menyebarkan maklumat
dan pengetahuan kepada orang lain. Oleh yang demikian, komunikasi
adalah proses memberitahu dan diberitahu sesuatu informasi. Informasi
mungkin untuk memperingatkan kita tentang sesuatu perkara atau
memberi amaran tentang sesuatu kejadian yang diramal akan berlaku.
Contohnya kejadian gempa bumi dan tragedi ombak besar tsunami yang
berlaku di Indonesia. Kita diberitahu tentang semua kejadian tsunami
dari semasa ke semasa. Dalam masa yang sama masyarakat juga diberi
ingatan dan amaran tentang bencana gempa bumi yang diramal akan
berlaku pada bila-bila masa. Jadi dengan maklumat yang disebarkan
melalui media massa membolehkan kita bertindak dan membuat
keputusan dalam kehidupan kita.

2.5.2 Transmisi Budaya Masyarakat

Komunikasi berfungsi sebagai medium penyebaran budaya sesebuah


masyarakat. Contohnya budaya masyarakat Latin Amerika, Filipina,
Indonesia dan Taiwan dapat diketahui oleh masyarakat Malaysia melalui
program telenovela yang popular dewasa ini. Di samping itu, media cetak
juga banyak menerbitkan tentang gaya hidup masyarakat tempatan dan
luar negara. Oleh yang demikian tidak hairanlah dikatakan media massa
mempunyai pengaruh yang besar merentasi global dalam menyebarkan
budaya masyarakat. Jika direnung motto FINAS, “Filem Kita Wajah
Kita” cukup jelas menggambarkan bahawa apa yang dipaparkan dalam
sesebuah filem (media massa) sebenarnya memaparkan kehidupan
sesebuah masyarakat sebenar. Justeru itu, media komunikasi memainkan
fungsi penting bukan sahaja memaparkan budaya tetapi juga
mendokumentasikan budaya masyarakat untuk tatapan generasi akan
datang. Contohnya filem-filem arahan dan lakonan Tan Sri P. Ramlee
yang sehingga kini disiar semula dan dijadikan bahan kajian tentang
budaya masyarakat Melayu semasa filem tersebut dirakam.

2.5.3 Hiburan

Komunikasi tidak semata-mata menitikberatkan maklumat sahaja.


Komunikasi juga adalah satu bentuk hiburan. Berinteraksi dengan rakan-
rakan dapat memberi ruang kepada kita berhibur dan mengelak daripada
berasa jemu serta keseorangan. Membaca surat khabar dan majalah juga
dapat memberi hiburan kepada kita. Dewasa ini banyak program hiburan
yang bermaklumat disediakan. Contohnya iklan di televisyen bukan
sahaja mengiklankan tentang produk tetapi juga diselitkan unsur muzik,
humor dan dalam masa yang sama diselitkan maklumat pendidikan.

28
Percampuran unsur hiburan dan maklumat kini menjadi
trend program-program hiburan seperti di RTM dan
TV3. Sejauh manakah anda bersetuju dengan konsep
‘infotainment’ ini?

2.5.4 Penentu Agenda

Dalam komunikasi massa, pihak akhbar dapat menentukan sesuatu


peristiwa atau berita yang hendak disiarkan kepada masyarakat umum.
Pemilihan berita, penumpuan dan gaya laporan sesuatu berita dilakukan
adalah atas arahan pihak pengurusan media. Justeru itu kita dapati
bahawa pihak media sebenarnya cuba menentukan agenda supaya mesej
yang diterima oleh masyarakat dapat membentuk sikap dan pengetahuan
seperti yang telah disasarkan oleh pihak media. Contoh mudah ialah
kenapa satu peristiwa yang sama dilaporkan berbeza oleh pihak akhbar?

Cuba anda kaji tentang falsafah penyiaran Radio dan


Televisyen Malaysia (RTM) berbanding dengan agenda
organisasi penyiaran lain. Adakah agenda penyiaran
kedua-dua organisasi ini sama?

2.5.5 Pembujukan

Apakah yang dimaksudkan dengan pembujukan (persuasive)? Dalam


takrifan komunikasi ada ditekankan tentang aspek pembujukan dan
perubahan tingkah laku. Cuba anda ingat kembali takrifan tersebut. Ya,
pembujukan adalah proses untuk mengubah sikap tingkah laku dan
pendirian seseorang berdasarkan tujuan maklumat yang disampaikan.
Contohnya seorang bapa secara berterusan menasihati anaknya supaya
tekun belajar di samping mengikuti aktiviti kokurikulum yang sangat
diminati oleh anaknya. Nasihat, dorongan dan proses pembujukan yang
berlaku dapat mengubah sikap si anak untuk sedar tentang kepentingan
akademik dan menyeimbangkan kegiatan luar sekolah. Begitu juga
dengan pihak media massa yang berusaha memujuk masyarakat umum
melalui maklumat yang disiarkan. Dalam media massa, mesej yang
disebarkan diandaikan diterima dan dapat mempengaruhi masyarakat.
Persoalannya, adakah secara realitinya masyarakat terpengaruh dengan
semua mesej yang disebarkan oleh media massa?

Cuba anda bandingkan antara media massa dan media


kemanusiaan, yang manakah tahap pembujukannya
tinggi? Kenapa?

29
2.5.6 Mendidik

Di samping menyebarkan maklumat, komunikasi juga berfungsi


mendidik masyarakat secara formal atau tidak formal. Lazimnya tugas
pengirim adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan penerima.
Mendidik berbeza dengan memberitahu. Mendidik adalah satu proses
komunikasi yang terancang dan mempunyai objektif tertentu.
Contohnya, tugas pensyarah bukan sekadar memberitahu maklumat baru
tetapi lebih lebih dari itu pensyarah menyampaikan maklumat agar pelajar
dapat memahami proses, sebab akibat tentang sesuatu perkara
berdasarkan objektif yang telah dirancang terlebih dahulu. Justeru itu,
proses komunikasi dalam konteks mendidik tidak berhenti selepas tamat
penyampaian maklumat oleh pengirim tetapi ada perbincangan
berterusan. Media massa juga dapat memenuhi tanggungjawab sosial
dengan mendidik masyarakat secara tidak formal dengan menerbitkan
program atau artikel yang menyumbang kepada pembangunan minda
masyarakat.

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas bahawa komunikasi mempunyai


fungsi yang luas dalam kehidupan kita. Justeru itu, komunikasi adalah
ilmu sosial yang perlu dipelajari oleh setiap manusia. Kemahiran
komunikasi juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa sesuai
dengan perkembangan teknologi.

Cuba anda kenal pasti fungsi komunikasi selain daripada


yang dinyatakan.

SOALAN DALAM TEKS

5. Apakah yang dimaksudkan dengan komunikasi


adalah dinamik?
6. Jelaskan EMPAT (4) fungsi komunikasi secara
ringkas.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

30
Lawati laman web
www.allthetests.com
www.queendom.com/test
yang menyediakan pelbagai
latihan dan ujian
kemahiran termasuklah
ujian personaliti,
kemahiran sosial,
kemahiran komunikasi,
pengetahuan, hubungan
dan emotional intelligence.
Melalui ujuan ini, anda
dapat melihat kekurangan
dan kekuatan anda dalam
setiap aspek yang diuji.

2.6 RUMUSAN

Dalam bab ini kita telah membincangkan tiga perkara utama iaitu
menghuraikan takrifan komunikasi dari pelbagai aspek; menjelaskan
secara ringkas komponen-komponen komunikasi; dan kita telah
mengenal pasti beberapa fungsi komunikasi. Kefahaman tentang asas
komunikasi ini adalah penting bagi memudahkan kita meneroka pelbagai
bidang komunikasi dengan lebih mendalam lagi. Pada masa yang sama
kita juga perlu mempertingkatkan kemahiran menyesuaikan diri dalam
persekitaran yang dinamik. Ini jelas apabila kita menghubungkaitkan
aspek penekanan takrifan komunikasi dengan fungsi komunikasi, ianya
menunjukkan bahawa komunikasi adalah berkaitan dengan diri dan
persekitaran kehidupan kita. Kita tidak dapat tidak perlu berkomunikasi
untuk mencapai tujuan masing-masing. Melalui komunikasi, berlaku
perkongsian maklumat dan perasaan antara manusia. Justeru itu, manusia
dapat membina diri, masyarakat, negara dan tamadun yang gemilang
melalui fungsi komunikasi yang merentasi sempadan disiplin ilmu dan
kehidupan manusia.

Dalam bab seterusnya, anda akan didedahkan dengan beberapa model


komunikasi. Model dapat memberi anda gambaran tentang proses
komunikasi sama ada komunikasi berlaku secara sehala ataupun dua hala.
Dalam perbincangan model juga, anda akan dapat mengkaji hubungan
dan fungsi komponen-komponen komunikasi dalam mewujudkan
komunikasi yang efektif.

31
SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Beri takrifan komunikasi berdasarkan penekanan berikut:

(i) Pembujukan dan perubahan


(ii) Perkongsian makna dan kesefahaman

2. Berdasarkan takrifan komunikasi, senaraikan komponen utama


yang perlu ada dalam proses komunikasi.

3. Huraikan TIGA (3) fungsi komunikasi berikut:

(i) Transmisi budaya


(ii) Pembujukan
(iii) Penentu Agenda

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Komunikasi adalah suatu proses pertukaran makna di antara


sumber dan penerima. Individu yang terlibat dalam konteks
komunikasi mempunyai maklumat tertentu untuk dikongsi
bersama dan melalui maklumat sedia ada mereka berbincang dan
membentuk suatu makna yang difahami bersama.

2. Jurang komunikasi ialah suatu keadaan di mana sumber dan


penerima tidak mempunyai persamaan pengetahuan, lapangan
pengalaman dan tujuan berkomunikasi yang berbeza antara satu
sama lain. Apabila keadaan ini berlaku maka proses komunikasi
untuk mencapai kefahaman bersama dan pertukaran makna tidak
tercapai.

3. Komunikasi sehala merujuk kepada proses pengaliran maklumat


daripada sumber kepada penerima berlaku tanpa maklum balas.
Proses penyampaian maklumat hanya aktif pada sumber
manakala penerima bersifat pasif. Manakala komunikasi dua hala
pula adalah proses pengaliran maklumat yang berlaku secara
timbal balik dan berlaku proses maklum balas. Interaksi dalam
konteks dua hala berlaku berterusan.

32
4. Empat komponen utama dalam proses komunikasi ialah sumber
(pengirim), saluran (media), mesej (maklumat) dan penerima
(khalayak).

5. Komunikasi adalah suatu yang dinamik merujuk kepada proses


komunikasi yang tidak henti dan sentiasa berlaku dalam apa jua
keadaan sekalipun sesuai dengan konteks serta maksud-tujuan-
niat individu.

6. Empat fungsi komunikasi [Rujuk bahagian 2.5 untuk huraian lanjut]:

(i) Penyebaran informasi dan amaran


(ii) Tranmisi budaya masyarakat
(iii) Penentuan agenda masyarakat
(iv) Pendidikan dan hiburan

33

Anda mungkin juga menyukai