Anda di halaman 1dari 14

MENCARI GAYUNG : ANALISIS TAKMILAH

OLEH:

(Mohd Hanif Mat Nor)

1.0 PENGENALAN

Secara mudah ‘su’ dalam perkataan kesusasteraan itu merujuk kepada keindahan. Keindahan

dalam hasil karya sastera disebut juga sebagai estetika. Perbezaan nyata antara sastera dengan

penulisan lain seperti disiplin ilmu sejarah, geografi dan sebagainya terletak pada keindahan yang

dimiliki terutama dari segi isi dan bentuknya.

Manusia dijadikan Allah indah. Manusia juga suka akan keindahan. Antara jutaan manusia di dunia

ini, sebahagian daripadanya terdiri daripada seniman atau sasterawan. Para penulis dianugerahkan

Allah dengan kreativiti menerusi akal budi. Oleh yang demikian, tugas dan peranan penulis itu

sangat besar dalam mempengaruhi pembaca. Penulis juga dilihat berperanan dalam mengkritik

dan menegur masyarakat yang pincang agar masyarakat dapat kembali ke landasan yang benar.

Karya juga merupakan cerminan masyarakat. Apa sahaja yang berlaku dalam masyarakat akan

disentuh oleh penulis sebagai bahan tatapan pembaca.

Kajian tentang penulisan Islam dalam konteks sastera banyak dibincangkan oleh para sarjana

Islam yang boleh dijadikan dasar untuk penulisan dakwah antaranya ialah Mana Sikana dalam

bukunya Sastera Junjungan. Kajian beliau menggunakan pendekatan kritikan Islam yang merujuk

kepada fungsi sastera Islam ke arah pengukuhan akidah dan pembentukan akhlak Islam kerana

menurut beliau, Islam telah menumbuhkan dan

memperkayakan kesusasteraan Melayu (Mana Sikana 2005: 34).

Mana Sikana menekankan tentang keindahan Islam dan al-Quran sebagai teras dalam

kesusasteraan Islam dan menyarankan agar Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi Pusat

pengembangan Sastera Islam Sedunia (hal. 38). Melalui buku tersebut juga, Mana Sikana

menghurai beberapa teori yang berkaitan dengan penulisan Islam. Antara kandungannya, beliau

merujuk pendapat Shahnon Ahmad (1977) yang membincangkan tentang konsep sastera Islam

sebagai “Sastera kerana Allah, berhikmah untuk manusia”. Kesannya perbincangan tentang

penulisan Islam dibicarakan sehingga timbul saranan supaya pengarang menghasilkan karya

berunsur Islam dan menilainya juga harus menggunakan ukuran Islam juga. Pada tahun 1986,

teori berteraskan gagasan karya Islam diwujudkan dan dibincangkan (Mana Sikana, 2005: 43).

Antara gagasan yang dilahirkan ialah Teori Sastera Pengabdian (1986) oleh Mana Sikana yang
kemudian disebut sebagai Teori Taabudiyyah (1996), Teori Sastera Takmilah (2001) oleh Shafie

Abu Bakar, dan Teori Pemikiran Islam (2002) oleh Mohd Yusof Hassan (Mana Sikana, 2005: 43 –

51).

Sastera Islam seperti juga penulisan lain dalam kolum penulisan dakwah mestilah berukuran

ibadah, akhlak dan jelas (ilmu). Gagasan ini dibawa oleh Shahnon Ahmad di atas konsep pokok

‘Seni Untuk Allah.’ Sastera Islam menekankan sastera yang berhikmah kepada manusia dan ditulis

kerana Allah. Walaupun pelbagai polemik timbul apabila membincangkan sastera Islam, namun

semuanya menuju ke arah kebaikan untuk mencari karya atau penulis yang benar-benar menulis

untuk tujuan mencegah kemungkaran dan menegakkan kebaikan. Teori takmilah merupakan salah

satu teori yang dilahirkan oleh Shafei Abu Bakar yang bertitik tolak daripada prinsip-prinsip

keislaman.

Menurut Shafei Abu Bakar (1996:12), rangka teori takmilah dapatlah dikatakan bersifat holistik

yang melibatkan ketuhanan, kenabian, keislaman, keilmuan, karya, pengkarya dan khalayak.

Teori ini mempunyai jaringan yang diperkukuhkan dari berbagai-bagai prinsip keislaman dan

persuratan merupakan a part and parcel daripadanya. Tujuh prinsip yang digariskan menerusi

teori takmilah ialah prinsip ketuhanan yang bersifat kamal, Prinsip kerasulan sebagai insan kamil,

Prinsip keislaman bersifat akmal, Prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, Prinsip

sastera sendiri bersifat estetik, Prinsip pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri dan

prinsip khalayak bertujuan memupuk mereka ke arah insan kamil.

Kertas kerja ini bukan bertujuan untuk megupas semua cerpen karya Serunai Faqir dari sudut

analisis Takmilah. Sebanyak 23 buah cerpen termuat dalam Kumpulan Cerpen Mencari Gayung.

Setelah diteliti, hampir ke semua cerpen tulisan Serunai Faqir sesuai dan tergolong dalam tujuh

prinsip teori takmilah kerana kesemua cerpen mempunyai kekuatan tersendiri terutama dari sudut

kesannya kepada pembaca yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.

Oleh kerana teori Takmilah bersifat holistik segala yang dipaparkan Serunai Faqir mengajak

khalayak agar mentauhidkan pencipta, mengajak pembaca untuk menjadi insan terbaik, menuju

ke arah kesempurnaan, berupaya menzahirkan kesyumulan Islam dalam mendekatkan individu,

masyarakat dan umat menerusi karya. Sastera juga berperanan dari segi takamul iaitu

mempertingkatkan peranan akal dan hati, pembinaan karya secara kreatif, indah dan sempurna

dikira mampu menyempurnakan sastera itu sendiri, pengkarya juga dilihat memiliki ilmu-ilmu

Islam dan ilmu-ilmu sastera untuk diterapkan menerusi karyanya.


Kumpulan Cerpen Mencari Gayung juga dilihat mampu dan berfungsi untuk mendidik, berdakwah

kepada khalayak (pembaca). Prinsip ketujuh amat dominan sekali iaitu sebanyak sebelas buah

cerpen mewakili prinsip khalayak bertujuan memupuk mereka ke arah insan kamil. Prinsip yang

paling kurang sekali ialah Prinsip sastera berciri estetik dan bersifat takmilah. Namun demikian

penelitian ini tidaklah dilakukan secara rigid dan kemungkinan setiap cerpen itu boleh mewakili

prinsip-prinsip yang lain.

2.0 Prinsip tauhid dan hubungannya dengan sifat kamal Allah

Karya sastera berfungsi dalam melahirkan rasa keagungan terhadap pencipta (Allah).

Karya sastera juga dilihat berperanan menjadi alat dalam pelajaran dan berperanan mendidik

manusia ke arah menanamkan rasa keinsanan dan keislaman melalui membaca karya-karya

sastera.

Setelah diteliti, Mencari Gayung mempunyai fungsi yang cukup baik dalam menjadi alat untuk

mendidik jiwa pembaca agar memiliki rasa insaf dan mengetahui ilmu-ilmu dalam Islam apabila

membacanya. Berdasarkan jadual kekerapan 1 di bawah, dua buah cerpen iaitu Empat Penghulu

Alam dan Anagogi tergolong dalam kategori dalam prinsip Takmilah yang pertama iaitu Kamal sifat

Allah dalam hubungan dengan Takmilah.

Jadual Kekerapan 1

Bil Prinsip Takmilah Kekerapan Cerpen


1. Ketuhanan Yang Bersifat 2 – Empat Penghulu
kamal Alam

– Anagogi

Empat Penghulu Alam memberi peringatan kepada manusia betapa pentingnya peranan dan fungsi

alam terhadap manusia. Sebahagian manusia kadang-kala terlupa sumbangan yang terlalu besar

yang diberikan oleh empat penghulu alam iaitu suria, pawana, ardh dan astagina. Mereka bukan

sahaja melupakan tugas dan sumbangan empat penghulu alam itu bahkan mengolah alam dengan

begitu rakus sehingga melukakan hati keempat-empat penghulu alam tersebut.


”Bukan semua manusia yang bernafsu serakah. Ada yang baik,

Cuma segelintir sahaja yang menabrak ketetapan-Nya. Mungkin

Kau tidak memandang akan kebaikan mereka itu,” Astagina terus

Memujuk Ardh.

(Mencari Gayung,2009:25)

Tugas dan peranan empat penghulu alam sangat besar terhadap makhluk Allah di muka bumi ini.

Mereka juga setia dan amanah dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawab yang diamanahkan

Allah. Selain itu, penghulu alam juga sedar dan insaf akan tugas yang diberikan dan memahami

tugas manusia lebih besar lagi iaitu sebagai khalifah di bumi ini.

Dalam kehidupan ini juga manusia sentiasa mencari kewujudan Allah. Penciptaan alam yang

begitu lengkap dengan fungsi tersendiri sebenarnya mengajak manusia yang berfikir agar

mengagungkan kekuasan-Nya. Cerpen Anagogi pula mengajak pembaca merenung sejenak akan

kekuasaaan Allah dalam penciptaan alam ini. Aliff sentiasa merenung dan meneliti akan setiap apa

yang berlaku dan Ba cuba memandu Alif agar memahami akan hakikat kejadian alam ini dan

mencari hikmah di sebalik penciptaan alam ini dan menyeru agar mengkaji setiap sesuatu

kejadian ini dengan mendalam. Manusia juga sentiasa mencari kewujudan dan kekuasan Allah itu

sendiri.

”Jangan cari jauh-jauh kawan.Ada dekat dan rapat, tidak

Berenggang walau sesaat.Tidak bercerai tanggal barang

Sedetik. Jauh tetapi dekat. Jangan pergi jauh-jauh,” pesan

Ba mengingatkan Alif.

(Mencari Gayung,2009:70)
3.0 Prinsip Kerasulan sebagai insan kamil dan hubungannya dengan falsafah tauhid

Prinsip Kedua dalam Teori Takmilah menekankan prinsip Rasululullah sebagai Insan kamil. Dalam

falsafah pemikiran Islam terdapat tiga konsep ideal keinsanan yang terdiri daripada Insan kamil,

Insan Khalifah dan Insan Rabbani. Insan Khalifah dirujuk kepada kemampuan insan menjadi

pemimpin di bumi Allah apabila insan itu mencapai keperluan dan syarat-syarat sebagai khalifah

iaitu berilmu dan berkeperibadian tinggi. Insan Rabbani ialah insan yang meningkat dari segi

kerohanian dan mendekatkan diri kepada Allah. Gabungan antara Insan Khalifah dan Insan

Rabbani dapat membawa kepada peningkatan insan kepada tahap insan kamil yang idolanya ialah

Rasululullah s.a.w.

Dari sudut Takmilah, sastera dilihat berperanan sebagai pelengkap keinsanan dari segi intelektual

ke khalifahannya, kerohanian dan kerabbaniahnya. Meneliti Kumpulan Cerpen Mencari Gayung,

Jadual Kekerapan 2 memperlihatkan dua buah cerpen dapat mewakili prinsip kedua ini iaitu cerpen

Cinta Mistikus Seorang Banduan dan Legenda Kuda Hitam.

Jadual Kekerapan 2

Bil Prinsip Takmilah Kekerapan Cerpen


2. Kerasulan Sebagai Insan 2 – Cinta Mistikus
Kamil Seorang Banduan

– Legenda Kuda Hitam

Cinta Mistikus Seorang Banduan diolah oleh Serunai Faqir untuk menyedarkan pembaca agar tidak

menilai manusia dari segi zahirnya semata-mata. Penilaian Allah tentulah berbeza dengan

penilaian yang dibuat oleh manusia terhadap manusia yang lain. Pak Mat seorang bekas banduan

yang berkelakuan pelik malah dikatakan kurang waras tetapi mempunyai sifat kerohanian yang

tinggi dan mendekatkan diri kepada Allah. Dia bukan sahaja tidak meletakkan wang ringgit dan

materialistik sebagai asas utama dalam kehidupan malah lebih suka hidup dengan cara yang

sederhana walaupun beliau berkemampuan.

”Leman, penjara itu cantik, bagus dan indah untuk orang

Sepertiku. Aku menjadi banduan Ilahi.Datuk kau, Mat Lela

Juga seorang banduan sepertiku. Tertawan dek kasih dan


cinta-Nya yang Maha Lazat. Sebab itu, kami rela menjadi

banduan untuk selama-lamanya. Banduan cinta di penjara

kecintaan Allah.”

(Mencari gayung: 2009:40-41)

Legenda Kuda Hitam juga mengajak pembaca agar menyedari peri pentingnya iman dan nafsu.

Iman dan nafsu sentiasa bertentangan dalam jiwa seorang insan. Untuk melemahkan dan

menundukkan nafsu memerlukan kekuatan iman yang teguh. Jihad untuk memerangi nafsu lebih

penting dibandingkan dengan jihad menghadapi peperangan. Cerpen ini dilihat berjaya

mendekatkan diri pembaca kepada Allah dan mencapai tahap kerohanian yang tinggi.

4.0 Keislaman Bersifat Akmal

Islam disifatkan sebagai agama yang syumul (lengkap). Islam sebagai agama yang sempurna

adalah melengkapi berbagai-bagai aspek termasuklah aspek sastera yang memupuk budaya

masyarakat umatnya. Islam sebagai agama syumul semestinya memancarkan sastera yang

mencerminkan budaya masyarakat umat yang syumul (ideal). Dari segi praktiknya, sastera

berperanan membantu menyempurnakan kesyumulan Islam. Melalui karya diharapkan dapat

memupuk insan yang patuh kepada agama, berkeperibadian tinggi, berpengetahuan luas, lengkap

dengan nilai-nilai kekhalifahan, kerabbaniahan dan keinsanan.

Dalam penelitian terhadap Kumpulan Cerpen Mencari Gayung, terdapat dua buah cerpen yang

dapat menggambarkan prinsip kesilaman yang bersifat akmal. Syarah Perang Yang Terpinggir

mencerminkan Islam yang menekankan peri pentingnya jihad fi sabilillah dan jihad dalam

melawan hawa nafsu. Khalif dan Alam merupakan sebahagian pejuang Islam di Iraq dalam

menentang kekejaman Amerika Syarikat yang melabel Islam sebagai pengganas. Mereka terpaksa

hidup dalam suasana perang demi untuk menegakkan bumi Islam agar tidak terus jatuh ke tangan

kafir laknatullah. Oleh kerana niat mereka berjihad fi sabilillah dan berjihad hawa nafus, akhirnya

mereka diberi kemenangan oleh Allah dalam memusnahkan askar-askar Amerika.


Jadual kekerapan 3

Bil Prinsip Takmilah Kekerapan Cerpen


3. Keislaman Bersifat Akmal 2 – Syarah Perang Yang
Terpinggir

– Gemala Sakti

5.0 Ilmu dan sastera yang bersifat takamul

Konsep Takmilah juga menekankan hubungan yang erat antara sastera dengan ilmu. Hubungan

tersebut mempunyai pertalian yang erat dengan fakulti diri yang penting khususnya akal dan hati.

Akal dalam Islam merupakan alat yang paling utama untuk mencapai keilmuan khususnya sesuatu

ilmu yang bersifat alamiah dan rasional. Manakala hati berperanan sebagai saluran ke arah

keilmuan yang rohani sifatnya yang juga dikenali sebagai makrifat. Sastera dilihat berperanan dari

segi takamul untuk mempertingkatkan bidang alamiah dan rohaniah tersebut.

Cerpen juga berperanan menyampaikan ilmu dan mengetengahkan persoalan-persoalan tertentu

seperti ilmu tasawuf, sejarah dan sebagainya. Selain itu, peranan cerpen juga dilihat mampu

untuk menyampaikan pemikiran aras tinggi, menyelitkan unsur-unsur pendidikan melalui jalinan

cerita dan tidak kurang mempunyai unsur untuk menghibur. Oleh yang demikian, dapat dikatakan

bahawa sastera bersifat takamul kepada ilmu dan ilmu pula bersifat takamul dengan sastera.

Merujuk kepada Kumpulan Cerpen Mencari Gayung, jadual kekerapan 4 menunjukkan terdapat

tiga buah cerpen yang menggambarkan ilmu dan sastera bersifat takamul. Ketiga-tiga cerpen

tersebut ialah Mencari Gayung, Di bawah Langit Seni dan Mereka Yang Kecoh.

Jadual Kekerapan 4

Bil Prinsip Takmilah Kekerapan Cerpen


4. Ilmu dan Sastera Bersifat 3 – Mencari Gayung
Takamul
– Di Bawah Langit Seni

– Mereka Yang Kecoh


Meneliti cerpen Mencari Gayung, unsur ilmu persilatan dan ilmu agama jelas diadunkan dengan

ilmu sastera. Seni silat Melayu menekankan kepercayaan kepada Allah dalam setiap gerak

langkahnya. Dalam persilatan juga memerlukan diri pesilat yang mempunyai keyakinan diri yang

tinggi (haqqul yakin), pembersihan hati, memerlukan pesilat kenal diri sendiri akan kekuatan dan

kelemahannya, tahu akan hakikat kejadian manusia, tidak takbur dan sombong dengan ilmu yang

dimiliki. Selain itu ditekankan usaha mencari ilmu dan tata cara yang mudah untuk mendapatkan

ilmu iaitu;

”Ingatlah ilmu itu biasanya hadir dalam tiga keadaan.

Pertamanya, ketika lapar mencengkam rasa. Kedua,

Ketika kau mengurangkan mimpi-mimpi indahmu dan

Seterusnya apabila kurangnya perkataan yang diucapkan.”

(Mencari Gayung : 2009,59)

Di Bawah Langit Seni juga memperlihatkan peri pentingnya kita memahami akan maksud sebenar

seni dan budaya kita sendiri kerana dengan memahaminya akal budi kita tidak mudah terhakis

dan salah tanggap terhadap apa itu seni budaya tidak akan berlaku. Masih ramai orang yang keliru

dengan perkataan seni budaya seperti yang dipaparkan menerusi watak Madon yang cetek

terhadap ilmu berkaitan seni dan budaya Melayu itu sendiri.

6.0 Pengkarya yang mengistikmalkan diri

Pengkarya atau penulis hendaklah bertanggungjawab menyebarkan risalah tauhid menerusi

karyanya kepada masyarakat (pembaca). Seseorang penulis juga berperanan besar meneruskan

tugas perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w. Karya-karya yang dihasilkan hendaklah berlandaskan
kebenaran, keadilan dan kebaikan iaitu untuk menyeru manusia ke arah keimanan dan

ketakwaan. Selain itu, etika berkarya bagi penulis Islam mestilah bertunjangkan niat menulis

untuk mencari keredhaan Allah. Pengkarya yang beristikmal merujuk kepada pengkarya yang

perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama, sastera dan ilmu bantu yang lain. Ilmu

sastera boleh digabungkan dengan disiplin-disiplin ilmu yang lain seperti geografi, perubatan,

kejuruteraan, sains dan sebagainya ke arah penyempurnaan ilmu itu sendiri.

Dalam hal ini, Serunai Faqir menerusi karya-karyanya yang terkandung dalam Kumpulan Cerpen

Mencari Gayung dapat menggabungkan ilmu-ilmu lain dengan ilmu Islam dan sastera untuk

mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran lewat karya-karyanya.

Kesemua cerpen yang termuat dalam Mencari Gayung menganjurkan kebaikan dan

mengetengahkan keburukan agar dapat memberi panduan dan iktibar kepada pembaca. Jadual

Kekerapan 5 menunjukkan tiga buah cerpen mewakili prinsip pengkarya yang mengistikmalkan

diri.

Jadual Kekerapan 5

Bil Prinsip Takmilah Kekerapan Cerpen


6. Pengkarya Yang 3 – Taubat Seorang
Mengistikmalkan Diri Diktator

– Biodata Sang Pelakon

– Bayang di Tirai

Belulang

Menerusi Taubat Seorang Diktator, pengarang berjaya menyisipkan ilmu agama iaitu hakikat

kejadian manusia yang lebih baik daripada haiwan. Selain itu, turut diserapkan ilmu politik kotor

yang diamalkan terutama oleh negara Yahudi dalam memusnahkan negara-negara Islam dengan

pelbagai taktik kotor demi untuk memusnahkan orang-orang Islam di dunia ini.

Boidata Sang Pelakon juga mengetengahkan falsafah secara halus pertentangan antara dua insan

dalam membuat interpretasi terhadap perjuangan dalam hidup. In dan San dua orang rakan yang

berbeza tanggapan dalam soal pemikiran terhadap politik, ekonomi dan cara hidup. San lebih

condong kepada penglibatan dalam politik yang berpura-pura iaitu mengambil kesempatan
terhadap kuasa yang dimilki untuk menipu walaupun terhadap bangsanya sendiri.

Kesimpulannya, cerpen ini juga berjaya mengetengahkan ilmu-ilmu lain selain ilmu sastera dan

membuktikan bahawa pengarang mempunyai keupayaan dari segi menggabungkan ilmu-ilmu lain

dengan ilmu sastera dalam kerja-kerja kepengarangannya.

7.0 Khalayak ke arah insan Kamil

Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan hasil sastera mengajak manusia ke arah kebaikan.

Namun, menerusi Teori Takmilah harapan yang digantungkan terhadap karya ialah setiap

penciptaan karya itu perlu sampai kepada khalayak dan ia benar-benar serasi dengan kehendak

dan kepentingan Islam. Matlamat yang hendak dicapai ialah memupuk khalayak pembaca ke arah

pembentukan insan kamil iaitu mencontohi peribadi terpuji dan akhlak mulia Rasululullah s.a.w.

walaupun tidak secara seratus peratus.

Prinsip yang ketujuh dalam Teori Takmilah ini dilihat paling dominan dalam Kumpulan Cerpen

Mencari Gayung. Sebanyak sebelas buah cerpen dilihat mewakili prinsip khalayak bertujuan

memupuk mereka ke arah insan kamil. Jadual kekerapan 6 menunjukkan cerpen-cerpen yang

dimaksudkan mewakili prinsip khalayak ke arah insan kamil.

Jadual Kekerapan 6

Bil Prinsip Takmilah Kekerapan Cerpen


7. Khalayak ke arah Insan 11 – Hikayat Awang
Kamil Sebelah

– Adik, Pepatung dan

Kenangan

– Jihad Sang Hamba

– Cinta Suci di Ufuk

Mentari

– Kenjah malam

Merdeka

– Wira Mandala Hijau

– Orang Kata Atuk Gila


– Gadis Melayu

Terakhir

– Manusia Labah-Labah

– Dewangga Rohani

– Dialog

Prasakaratulmaut

Serunai Faqir menerusi Mencari Gayung dilihat mencipta karya bertujuan untuk mendidik dan

mengasuh khalayak menerusi cerpen-cerpen tulisan beliau. Mesej dan pengajaran yang diselitkan

secara tidak langsung menerusi cerpen-cerpen beliau cukup berkesan untuk memberi peringatan

yang cukup berilmu kepada khalayak pembaca.

Hikayat Awang Sebelah mengingatkan khalayak agar tidak takbur dengan tahap keimanan yang

dimiliki serta tidak memandang hina kepada manusia yang dicipta kurang sempurna berbanding

dengan manusia yang sempurna sifat-sifatnya. Allah tidak memandang kemuliaan seseorang insan

menerusi warna kulit, bangsa dan kesegakan diri tetapi apa yang lebih penting ialah tahap

ketakwaan terhadap Allah yang lebih penting.

Mesej tersebut disampaikan menerusi watak Awang Sebelah yang memiliki tubuh sebelah dan

ingin mencari hakikat kejadian dirinya. Namun usaha Awang itu dihina oleh seorang abid yang

sombong dan takbur dengan tahap amal dan ibadatnya yang mengharapkan syurga. Sebaliknya

Awang Sebelah bertemu pula dengan orang-orang kampung yang berjudi dan berlaga ayam tetapi

baik budinya. Orang kampung itu menginsafi akan kejahatan yang dilakukannya dan

mengharapkan Awang dapat bertanya Allah akan hukuman terhadap perbuatannya. Akhirnya

orang kampung yang merendah diri itu diterima Allah berbanding abid yang bongkak dan sombong

itu.

Kenjah Malam Merdeka juga mengajak khalayak berubah dari sikap yang tidak baik kepada

mengamalkan akhlak yang terpuji terutama dalam memahami erti sebuah kemerdekaan. Serunai

Faqir cuba mengkritik masyarakat yang salah dalam menyambut malam merdeka. Watak utama
Mat digambarkan seorang bekas askar yang berjuang mempertahankan nusa dan bangsanya. Mat

amat kecewa dengan aksi muda-mudi ketika menyambut detik jam dua belas malam. Lelaki dan

perempuan bercampur gaul tanpa batasannya dan mereka mabuk dengan arak dan dadah.

Cerpen ini juga mengkritik bangsa Melayu yang hanyut dek tidak menjaga maruah bangsanya.

Kritikan juga turut dilemparkan terhadap pemimpin yang tidak menjalankan tugasnya dan tidak

mempedulikan rakyat. Selain itu, turut ditegur golongan ulama yang sudah tidak berani untuk

menegur setiap kemungkaran yang berlaku.

Siapa yang mahu dipersalahkan. Dengan pemimpin

Yang tidak mempedulikan rakyat. Ulama-ulama

Sudah tidak berani menegur pemimpin. Semuanya

Kacau sekali.

(Mencari Gayung,2009:150)

Menerusi cerpen Adik, Pepatung dan Kenangan, pengarang mengajak khalayak agar menghargai

alam yang terdiri daripada flora dan faunanya. Cerpen Jihad Sang Hamba pula khalayak

dihidangkan dengan jihad yang lebih besar iaitu jihad untuk melawan hawa nafsu. Cinta yang suci

hanyalah kepada Allah sahaja dicetuskan oleh pengarang menerusi cerpen Cinta Suci di Ufuk

Mentari. Sikap manusia yang rakus dalam mengolah alam juga disentuh oleh penulis menerusi

Cerpen Wira Mandala Hijau. Kesimpulannya sebanyak sebelas buah cerpen yang mewakili

khalayak ke arah insan kamil berjaya mengajak masyarakat agar berubah untuk menuju menjadi

insan yang terbaik.

8.0 Penutup

Teori Takmilah hasil pemikiran Shafei Abu Bakar merupakan lanjutan daripada teori-teori Islam

sebelumnya. Teori tempatan ini amat sesuai terutamanya dalam meneliti dan mengaplikasikannya

terhadap hasil karya tempatan. Keserasian teori ini juga lebih terserlah apabila diaplikasikan

kepada karya-karya yang dihasilkan oleh pengkarya yang memiliki ilmu-ilmu agama yang kukuh
serta mempunyai kelebihan juga dalam menguasai disiplin ilmu bantu yang lain serta menguasai

ilmu sastera.

Sebanyak dua puluh tiga buah cerpen yang terkandung dalam Kumpulan Cerpen Mencari Gayung

merupakan karya-karya yang bercirikan Islam. Oleh itu, sebanyak enam prinsip yang terkandung

dalam Teori Takmilah dapat dipenuhi oleh cerpen-cerpen yang dikaji. Walaupun prinsip yang

kelima tidak diwakili oleh mana-mana cerpen yang terkandung dalam Kumpulan Cerpen Mencari

Gayung, namun tidak semestinya ciri-ciri cerpen tidak dapat memenuhi prinsip tersebut tetapi

berkemungkinan berlaku pertindihan antara prinsip kelima dengan prinsip-prinsip yang lain.

Prinsip yang paling dominan menguasai Kumpulan Cerpen Mencari Gayung ialah prinsip ketujuh

iaitu Khalayak ke arah insan kamil. Sebelas buah cerpen pada pandangan pengkaji tergolong

dalam prinsip ini. Oleh itu, fungsi karya untuk mengajak khalayak ke arah kebaikan atau untuk

mengajak khalayak ke arah menjadi insan kamil akan berjaya jika khalayak dihidangkan dengan

karya Serunai Faqir ini. Manakala prinsip yang kurang menyerlah ialah prinsip ketuhanan

yang bersifat akmal, Kerasulan sebagai insan kamil dan Keislaman bersifat akmal masing-masing

diwakili oleh dua buah cerpen bagi setiap prinsip yang dinyatakan.

Prinsip yang kedua menyerlah ialah prinsip ilmu dan sastera yang bersifat takamul dan pengkarya

yang mengistikmalkan diri yang masing-masing diwakili oleh tiga buah cerpen bagi setiap pinsip

yang dinyatakan. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa pengarang mengaplikasikan ilmu agama dan

ilmu-ilmu bantu yang lain serta ilmu sastera dalam penghasilan karyanya. Selain itu, diri

pengarang juga turut mengistikmalkan diri dengan kata lain pengarang telah menguasai

kepelbagaian ilmu bukan semata-mata ilmu sastera malah berjaya menggabungjalin ilmu-ilmu

untuk memantapkan karya yang dihasilkan ke arah memupuk masyarakat ke arah kesempurnaan.

Rujukan

Ab. Aziz Mohd Zin, 1997. Al-Quran dan Mesej Kesejahteraan Sejagat. Kuala Lumpur :

Jakim.

Danial Zainal Abidin.2002. Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden, Pahang : PTS

Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad, 1987. Polemik Sastera Islam, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana, 2005. Sastera Melayu Pascamodenisme. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka.

Mana Sikana, 2006. Teori Sastera Teksdealisme. Bangi: Pustaka Karya.

Mana Sikana, 2007. Tokoh-Tokoh Unggul dalam Sastera Melayu. Bangi: Pustaka Karya.

Muhammad Ahmad ar-Rasyid, 2000. Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah,

Kuala Lumpur : Penerbitan Teras Bakti.

Serunai Faqir, 2009. Mencari Gayung. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Shafei Abu Bakar, 1996. Takmilah : Teori, Falsafah dan Prinsip. Kertas Kerja Seminar

Pasca Sarjana Anjuran Jabatan Persuratan Melayu UKM pada 7-9 Jun 1996 di

Hotel Malaysia, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Anda mungkin juga menyukai