Anda di halaman 1dari 9

1.

0 PENGENALAN

Tujuan tugasan ini adalah untuk mengupas tentang langkah-langkah pengurusan bilik darjah
yang mesra budaya. Langkah-langkah pengurusan ini merangkumi empat aspek utama iaitu
dari segi aspek fizikal, emosi, sosial dan sosiolinguistik. Tugasan ini juga bersandarkan
kepada sumber dan pendapat tokoh- tokoh yang berkaitan dengan topik perbincangan.
Kesimpulan akhir tugasan ini akan disimpulkan dalam rumusan.
Pertama sekali, pengurusan bilik darjah merupakan elemen yang perlu diambil
perhatian dalam meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Pengurusan ini
melibatkan pembinaan suasana pembelajaran yang kondusif dan efisien dalam bilik darjah
bagi meningkatkan motivasi murid terhadap semua aspek. Seterusnya, pengurusan bilik
darjah yang mesra budaya pula adalah satu cara kolaboratif dimana guru dan murid
menguruskan segala aspek yang terdapat dalam bilik darjah yang melibatkan pengurusan
fizikal, emosi, sosial serta sosiolinguistik. Hal ini adalah untuk mewujudkan satu alam belajar
yang kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.
Syed Ismail Syed Mustafa dan Ahmad Subki Miskon (2010) berpendapat bahawa
persekitaran pembelajaran yang mesra budaya akan mengembangkan nilai sivik yang
menjadi nadi bagi kehidupan masyarakat yang harmonis dan aman di peringkat nasional
dan global. Oleh itu, bagi negara kita yang terdiri daripada masyarakat yang pelbagai kaum,
penerapan nilai-nilai sivik dalam diri setiap individu adalah sangat signifikan untuk
memelihara keamanan dan keharmonian negara kita. Guru perlu mengorak langkah bagi
menyusun strategi dalam pengurusan bilik darjah yang mesra budaya.

2.0 LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN BILIK DARJAH YANG MESRA BUDAYA

2.1 ASPEK PENGURUSAN FIZIKAL


Berdasarkan penyataan Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel (2014), bilik
darjah merupakan tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh
itu, pengurusan fizikal harus mengambil kira semua aspek bukan hanya dari aspek
kemudahan prasarana serta kemudahan fizikal sahaja tetapi dari segi
pengurusan persekitaran fizikal akan dapat mewujudkan satu suasana
pembelajaran yang kondusif dengan menitik beratkan keunikan perspektif dari
pelbagai latar belakang budaya dan sosial.
Rentetan itu, susunan kerusi dan meja murid perlulah kondusif di samping
menggalakkan pencampuran budaya. Shahabuddin Hashim et. al. (2011),
kedudukan susun atur meja yang kondusif adalah dalam bentuk kumpulan, yakni sesuai
dengan aktiviti pembelajaran abad ke-21 yang memerlukan murid-murid saling
berbincang dan berkongsi pendapat. Pembelajaran abad ke-21 kini lebih
mementingkan pendekatan berpusatkan murid. Oleh yang demikian, guru perlulah
menyusun kedudukan murid secara berkumpulan dengan mencampurkan murid-murid
yang berlainan kaum seperti rajah 1 dibawah.
PETUNJUK : INDIA MELAYU CINA

Rajah 1 Contoh kedudukan murid

Melalui alternatif ini, murid-murid dapat berinteraksi, bekerjasama dan saling


menghormati antara satu sama lain dengan lebih baik. Mereka akan lebih mengenali
budaya dan adat setiap kaum. Tambahan pula, proses pengakomodasian antara
budaya yang berbeza juga dapat diserap seperti budaya makan nasi lemak lantas
membentuk budaya satu Malaysia yang harmoni (Noriati A. Rashid et. al., 2017).

2.2 ASPEK PENGURUSAN EMOSI


Menurut Kamus Dewan edisi Keempat mendefinisikan emosi sebagai tindak balas
atau kebangkitan yang ditonjol keluar sebagai rangsangan kepada perasaan emosi.
Sekiranya emosi seseorang murid di dalam kelas adalah positif, maka ianya secara
tidak langsung akan menjadi perangsang untuk membangkitkan semangat murid
untuk melibatkan diri dalam aktiviti PdP.
Berdasarkan pendapat Noriati A Rashid et. al. (2011), guru perlu
melaksanakan peraturan yang dapat membentuk tingkah laku positif murid. Hal ini
demikian kerana tingkah laku positif dapat memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran di samping menjamin hubungan murid dengan murid serta hubungan
guru dengan murid. Melalui penetapan peraturan ini, murid-murid akan lebih
menghormati budaya kaum yang berbilang bangsa.
Misalnya, guru perlu menetapkan peraturan bahawa murid tidak dibenarkan
memperlekeh pendapat rakan-rakannya yang lain. Oleh yang demikian, murid-murid
akan bekerjasama sebagai rakan sepasukan. Pengalaman ini akan memberikan
pendedahan kepada mereka agar menghormati dan menerima pendapat rakan-
rakan yang berlainan kaum, sekiranya mereka tidak mengikuti peraturan yang
ditetapkan, maka hukuman akan diberikan. Contohnya, guru memberi kerja
tambahan kepada kumpulan yang tidak mematuhi peraturan.
Melalui cara tersebut juga, Murid akan terbimbing untuk berinteraksi dengan
semua kaum tanpa mengira kelas sosial dan budaya. Mereka perlu diberi
pendedahan tentang adat resam dan amalan budaya setiap kaum di Malaysia.
Dengan cara ini, guru dapat mengurangkan sikap perkauman di antara murid. Hal ini
juga dapat menjamin suasana emosi kelas sekaligus mewujudkan suasana bilik
darjah yang mesra budaya.

2.3 ASPEK PENGURUSAN SOSIAL


Menurut Kamus Dewan edisi Keempat, sosial ditakrif sebagai segala yang berkaitan
dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, dalam
pengurusan bilik darjah dari aspek sosial, guru boleh menggunakan Bahan Bantu
Belajar (BBB) yang mampu mempamerkan nilai budaya pelbagai kaum di dalam
kelas.
Berdasarkan teori Piaget, murid yang masih dalam peringkat operasi konkrit,
iaitu berusia tujuh hingga sebelas tahun, mereka melakukan penaakulan logik tetapi
masih lagi terikat kepada objek konkrit (Wong Kiet Wah et. al, 2016). Oleh itu,
pengajaran haruslah diikuti dengan BBB yang dapat melancarkan proses
penerimaan maklumat dan pemahaman dalam diri murid (Noraini Ahmad, 1993).
Tambahan pula, Rosinah Edinin (2014) berpendapat bahawa BBB yang
menggunakan kesemua deria adalah lebih baik untuk membantu pemahaman murid-
murid terhadap pembelajarannya. Rentetan itu, guru perlulah cakna akan
kepentingan penggunaan BBB dalam merealisasikan bilik darjah mesra budaya.
Tamsilnya, dalam pengajaran aspek seni bahasa, Bahasa Melayu, guru
menggunakan bahulu, kuih bulan dan muruku sebagai BBB dalam pengajaran
seperti rajah 2.
Rajah 2 Jenis-jenis Makanan Tradisional

Kemudian, murid diminta membina ayat berdasarkan makanan tradisional


tersebut. Selepas itu, murid-murid turut diperkenalkan mengenai makanan tradisional
tersebut. Guru juga memberi peluang kepada murid untuk merasai makanan
tradisional setiap kaum tersebut. Amran Aris (2017), berpendapat bahawa, melalui
penggunaan BBB yang mampu mempamerkan nilai budaya ini, maka interaksi murid
dan guru akan menjadi lebih erat di samping dapat mengenali budaya masyarakat
berbilang kaum. Oleh itu, dapatlah dibuktikan bahawa BBB juga mampu
merealisasikan bilik darjah mesra budaya dari aspek sosial.

2.4 ASPEK PENGURUSAN SOSIOLINGUISTIK


Sosiolinguistik adalah satu bidang ilmu yang mengkaji ciri-ciri dan fungsi variasi
bahasa serta turut mengkaji pengaruh budaya terhadap sesuatu bahasa yang
digunakan. Bahasa merupakan satu alat perhubungan dan perantaraan sesuatu
budaya. Salah satu cara untuk membina bilik darjah yang mesra budaya adalah
melalui pertuturan. Guru memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri
murid yang menghayati bahasa rasmi dan budaya di samping menerap nilai-nilai
menghormati perbezaan bahasa dan budaya semua etnik.
Cho Minsung dan Puteri Roslina Abdul Wahid (2016) menyatakan bahawa
penggunaan Bahasa Melayu menjadi lambang kesepaduan budaya masyarakat
majmuk di Malaysia. Hal ini demikian kerana pengajaran dan pembelajaran dalam
bahasa Melayu dapat menyediakan ruang yang lebih luas kepada murid untuk saling
mengenali selain dapat bertindak sebagai penghubung antara murid berlainan
budaya. Oleh itu, guru perlulah mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu ketika
berhubung di dalam kelas.
Tamsilnya, guru akan menggunakan bahasa Melayu semasa proses
pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik atau Sains. Guru juga akan
menegur murid-murid yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa Melayu
semasa proses pengajaran berlangsung. Selain itu juga, guru boleh mengadakan
aktiviti bahasa, sastera dan budaya dalam kalangan murid-murid. Selain itu, aktiviti
yang memartabatkan bahasa Kebangsaan boleh dijalankan di dalam bilik darjah atau
di luar bilik darjah. Tambahan, aktiviti kokurikulum merupakan saluran terbaik dalam
memertabatkan Bahasa Kebangsaan melalui kepelbagaian aktiviti dan projek yang
kreatif, menyeronokkan dan bermanfaat.
Melalui pendekatan yang digunakan, murid-murid akan lebih memahami
antara satu sama lain di samping dapat memperkukuh perpaduan masyarakat
majmuk. Usaha murni ini juga akan mambantu mencapai hasrat kerajaan Malaysia
iaitu menyokong dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa
Inggeris (MBMMBI) (Nadzari Baharom, 2012).

3.0 KESIMPULAN

Ghaliblah disini bahawa, pembentukan bilik darjah mesra budaya dapat menjadi landasan
asas kepada pembentukan perpaduan kaum di Malaysia. Guru perlulah menguasai sistem
pengurusan bilik darjah mesra budaya agar nilai saling menghormati budaya lain wujud
sedari sekolah rendah lagi. Penekanan terhadap aspek fizikal, emosi, sosial dan
sosialinguistik perlulah diberikan perhatian dalam pembentukan bilik darjah mesra budaya
ini.
Melalui kepelbagaian teknik dan kaedah dalam PdP ini, murid-murid lebih selesa
bekerja sebagai sebuah kumpulan di samping dapat menerima maklumat dengan lebih
pantas. Suasana bilik darjah yang mesra budaya sememangnya merupakan suatu medium
yang terbaik yang perlu disediakan kepada murid-murid agar mereka boleh
memaksimumkan penglibatan semasa PdP. Justeru, guru-guru perlulah proaktif untuk
memastikan konsep bilik darjah mesra budaya boleh dicapai dan seterusnya mampu
melahirkan modal insan minda kelas pertama.
4.0 RUJUKAN

Amran Aris. (2017, Jun). Pendekatan Pengajaran Muzik. Dimuat turun daripada

https://www.slideshare.net/amranaris67/pendekatan-pengajaran-muzikmuzk3093

Cho Minsung dan Puteri Roslina Abd. Wahid. (2016). Penterjemahan Budaya Bukan

Kebendaan Dalam Teks Terjemahan Bahasa Korea-Bahasa Melayu. Jurnal Melayu,

15(2), 161-175.

Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. (2014). Pengurusan Bilik Darjah dan

Tingkah Laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Kamus dewan edisi keempat. (2008). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

2013-2025 (Pendidikan Prasekolah Hingga Lepas Menengah). Putrajaya:

Kementerian Pendidikan Malaysia.

Nadzari Baharom. (2012, May). Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh

Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dimuat turun daripada

https://www.slideshare.net/tokneban/mbmmbi-12934317

Noraini Ahmad. (1993). Mengekalkan Daya Ingatan. Kuala Lumpur: Berita Publishing

Sdn. Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Syarifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). Murid dan

Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying Sharifah Fakhriah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid.

(2011). Budaya dan Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Rosinah Edinin. (2014). Kemahiran Belajar. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.

Sapir, E. (2000). The Status of Linguistics as a Science in Burke, Lucy (Eds). The

Routledge Language and Cultural Theory Reader. London: Routledge.

Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2011). Pedagogi Strategi

dan Teknik Mengajar dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Publication &

Distributors Sdn. Bhd.

Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskom. (2010). Budaya dan

Pembelajaran. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Wong Kiet Wah, Mohamad Isa Azis & Rafidah Ruhani. (2016). Perkembangan Kanak-

kanak Edisi Kedua. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai