Anda di halaman 1dari 8

1.

MENYUDAH/MENGAKHIRI CERITA

Aku baru sahaja menerima berita sedih yang menimpa seorang guruku. Tanpa
membuang masa aku mengatur langkah dan merancang mengadakan …
(Mulakan karangan anda dengan “ Tanpa membuang masa aku mengatur langkah
dan merancang mengadakan …”)

Tanpa membuang masa aku mengatur langkah dan merancang mengadakan


kutipan dan derma kilat daripada murid-murid yang lain. Sebelum berbuat demikian,
aku dan Arni meminta persetujuan daripada guru besar.

Setelah memberitahu niat kami, guru besar bukan sahaja bersetuju, malahan
memuji langkah yang kami lakukan.

“Rancangan kamu bagus danperlu disegerakan. Pihak guru dan kakitangan


sekolah telah pun membuat derma kilat. Memang baiklah kalau murid-murid sekolah ini
turut serta,” kata Encik Tamrin.

Kata-kata guru besar itu merangsang kami untuk membuat kutipan itu seberapa
segera. Semasa membuat kutipan , kami tidak menghadapi masalah. Semua murid
memberi kerjasama.

Setelah mengira kutipan, kami berjaya mengumpul sebanyak RM375.15. Wang


yang diderma oleh murid-murid itu kami serahkan kepada Encik Tamrin.
Sewaktu perhimpunan pagi, setelah menyampaikan amanatnya, Encik Tamrin
menyatakan sesuatu.

“Murid-murid hendaklah mencontohi Adli dan Arni. Mereka adalah murid yang
prihatin,” kata Encik Tamrin.

Aku dan Arni kemudian dipanggil ke hadapan. Guru besar menyerahkan satu
sampul surat kepadaku. Setelah itu Cikgu Rasilah pun dipanggil tampil ke hadapan.
Aku diminta menyampaikan sampul surat itu.

Aku tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat air mata mengalir di pipi
Cikgu Rasilah. Pada ketika itu keadaan sepi. Semua murid bersimpati dan mendoakan
semoga roh suami Cikgu Rasilah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
2. MENYUDAHKAN CERITA

Lengkapkan perenggan ini sehingga menjadi sebuah cerita yang menarik.

Ibu bapaku telah meninggal dunia sewaktu aku berusia tiga tahun. Mereka
menemui ajal dalam tragedi kebakaran di salah sebuah kilang di Petaling Jaya.
Sebagai anak yatim piatu aku dijaga……………..
(Mulakankarangan anda dengan “Sebagai anak yatim piatu aku dijaga………”)

Sebagai nak yatim piatu aku dijaga oleh nenek dan juga keluarga Pak Ngah.
Nenekku menjagaku dengan penuh kasih sayang. Begitu juga dengan Pak Ngah dan
keluarganya. Mereka sering membawaku melawat ke tempat-tempat peranginan dan
bersejarah.

Aku mebesar seperti kanak-kanak yang lain. Walaupun sesekali aku teringatkan
ibu bapaku, aku dinasihati oleh nenek supaya bersabar. Nenek pernah berkata,”Setiap
yang hidup kan mati.”

Setelah usiaku menjangkau 15 tahun, nenekku telah meninggal dunia. Aku


terpaksa tinggal di rumah pak Ngah. Sejak itu, kehidupanku berubah seperti kata
orang,”Sekali air bah, sekali pantai berubah”.

Aku sama sekali tidak menyanka sikap Pak Ngah yang selama ini baik
kepadaku berubah. Sungguhpun begitu , aku tetap bersabar. Perasaan sedih
yang kualami kucurahkan kepada Cikgu Rahim, guru kelasku.

Oleh sebab aku tidak dapat menahankan perasaan lagi, aku mengambil
keputusan keluar dari rumah Pak Ngah. Dengan persetujuan Pak Ngah juga, aku
kemudian tinggal bersama Cikgu Rahim dan isterinya.

Nasibku sungguh baik kerana Cikgu Rahim dan isterinya menjagaku dengan
baik. Aku diberi pendidikan yang cukup sehingga berjaya ke menara gading.
Kehidupanku bersama Cikgu Rahim dan isterinya sungguh bahagia.
3.MENGAKHIRI CERITA

Karangkan sebuah cerita yang berakhir dengan petikan berikut.

… aku mendapat kejayaan dan aku bersyukur kepada Ilahi di atas rahmatNya.

Walaupun hidup susah, aku menyanjungi sikap dan semangat bapaku.


Bapaku tidak pernah mengalah. Dia memegang prinsip “Mengapa aku tidak boleh
jika orang lain boleh”. Oleh yang demikian, bapaku sentiasa berusaha untuk
memberi pendidikan kepadaku.

Aku dihantar ke sekolah Inggeris sejak sekolah rendah. Walaupun tidak mampu,
bapaku tetap berusaha. Bebanan bapaku ringan sedikit apabila aku mendapat bantuan
kewangan daripada Jabatan Pendidikan.

Semasa di sekolah menengah, aku sekali lagi menghadapi kesulitan kewangan,


terutama untuk membeli buku-buku teks. Bapaku tidak mengalah, malahan terus
berusaha bagi membiayai pelajaranku.

Akhirnya aku dapat juga belajar sehingga tingkatan lima. Semasa di tingkatan
lima, aku menghadapi masalah besar. Bapaku tidak mempunyai wang untuk membayar
yuran peperiksaan.

Bapaku berusaha meminjam wang yang diperlukan daripada saudara-mara


tetapi tidak berjaya. Bapaku tidak berputus asa. Dia kemudian berjumpa dengan tuan
tanah tempat bapaku menoreh getah.

Setelah menceritakan kesulitan yang dialami, tuan tanah itu dengan murah hati
membayar wang peperiksaanku. Usaha gigih bapa mendorongku belajar bersungguh-
sungguh. Akhirnya aku mendapat kejayaan dan aku bersyukur kepada Ilahi di atas
rahmatNya.
4.MENGAKHIRI CERITA

Karangkan sebuah cerita yang berakhir dengan petikan berikut :


( … kerana dapat berbudi kepada keluarga kawanku.)

Pada cuti semester yang lalu, aku pergi ke rumah kawanku. Rumah kawanku itu
terletak di sebuah kampung nelayan. Sungguh indah pemandangan kampung itu
terutamanya pada waktu senja.

Bapa kawanku bekerja sebagai nelayan. Setiap pagi dia turun ke laut
menangkap ikan dan pulang pada waktu petang bersama hasil tangkapan. Kadangkala
tangkapannya banyak, manakala waktu lain pula sedikit.

Pada suatu malam, badanku berasa panas. Aku tidak dapat melelapkan mata,
lalu aku bersantai di halaman rumah kawanku itu. Tiupan angin laut membuatkan
suasana di halaman rumah kawanku itu dingin.

Tiba-tiba aku terdengar suara orang berbisik. Aku mendiamkan diri dan berasa
takut. Sungguhpun begitu aku mencari-cari arah bunyi suara bisikan itu. Tidak jauh dari
tempatku duduk kelihatan dua lembaga menghampiri motobot bapa kawanku.

Aku segera naik ke rumah dan memberitahu apa yang kulihat itu kepada bapa
kawanku. Dua lembaga itu sebenarnya pencuri. Mereka telah ditangkap oleh bapa
kawanku.

Bapa kawanku mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku sungguh gembira dan
berbangga kerana dapat berbudi kepada keluarga kawanku.
KARANGAN GAMBARAN

1.Kamu sedang menunggu sahabat kamu Azrin di sebuah stesen bas. Sementara
menunggu sahabat kamu itu sampai, kamu memerhati suasana di stesen bas
tersebut. Tuliskan sebuah karangan berdasarkan apa yang kamu lihat.

Perjanjianku dengan Azrin pada pukul 2.00 petang. Namun begitu kini sudah
melewati 15 minit. Azrin belum juga muncul. Perasaan resah dan cemas mula
menghantui fikiranku.

Sementara menunggu Azrin tiba, tidak jauh dari tempatku berdiri kelihatan
penjual tiket bas haram dengan gelagatnya. Laku juga tiket yang mereka jual sekalipun
harganya lebih mahal.

Beberapa penjaja minuman dan makanan ringan pula sibuk dengan tugas
masing-masing. Mereka naik turun bas sambil menjaja. Walaupun tindakan itu tidak
dibenarkan, mereka tetap juga melakukannya.

Dua buah bas masuk ke kawasan stesen. Belum sempat enjin bas itu dimatikan
dan penumpang belum pun turun, sekumpulan pemuda berebut-rebut menaiki bas itu.
Ini menyebabkan berlaku pertengkaran dan suasana bertukar menjadi riuh-rendah.

Di tempat lain pula, kelihatan beberapa orang kanak-kanak membuang kertas


pembungkus makanan dan tin minuman kosong sesuka hati. Sekalipun beberapa buah
tong sampah ada di sekitar stesen bas itu, mereka tidak menggunakannya.

Tekakku sudah berasa kering. Perutku pula mula berkeroncong kerana lapar.
Aku bingkas bangun dari tempat dudukku ke gerai berdekatan. Belum sempat aku
membuat pesanan, aku terdengar ada orang menyapa. Rupa-rupanya Azrin telahpun
sampai.
2.KARANGAN GAMBARAN

Gambarkan hari pertama persekolahan bagi murid tahun satu di sekolah anda.

Persekolahan bagi sesi tahun ini dibuka pada 3 Januari. Murid-murid tahun satu
buat pertama kali memasuki alam persekolahan. Mereka kelihatan kemas memakai
pakaian seragam baru.

Pelbagai gelagat mereka dapat dilihat pada hari pertama itu. Ada yang gembira,
menangis dan tidak kurang pula yang mendiamkan diri. Mereka juga ditemani ibu bapa
atau penjaga masing-masing.

Suasana pada pagi hari itu agak sibuk. Ada di antara ibu bapa atau penjaga
yang berdiri menunggu anak, membayar yuran dan membeli peralatan sekolah yang
perlu, termasuk buku dan alat tulis.

Murid-murid tahun satu diarahkan supaya bersiri dalam barisan di tempat


perhimpunan. Mereka kemudian diminta memasuki dewan untuk mendengar
penerangan dan kata-kata nasihat daripada guru besar.

Setelah selesai, mereka dibawa oleh guru kelas masing-masing berjalan di


sekitar sekolah, termasuk pusat sumber, bilik komputer dan tandas. Tujuannya adalah
agar mereka mengetahui tempat-tempat tersebut.

Loceng dibunyikan. Murid-murid tahun satu dibenarkan pulang. Mereka


kelihatan sungguh gembira. Namun ada segelintir murid yang masih bermuram kerana
terpaksa ke sekolah lagi pada pagi esoknya.
3.KARANGAN GAMBARAN (BERDASARKAN PENGALAMAN)

Selepas UPSR, sekolah anda telah mengadakan perkhemahan di sebuah


hutan. Kamu telah menyertai perkhemahan itu. Gambarkan keadaan hutan yang
kamu lihat.

Pada hari pertama di tempat perkhemahan pelbagai pengalaman yang amat


dahsyat kurasakan. Aku berasa terasing apabila mengingatkan keadaan di rumahku
yang serba mewah tetapi tinggal di hutan apa yang ada?

Aku teringat kata-kata ayah sebelum menyertai perkhemahan ini. “Pergilah


untuk menambah pengetahuan dan pengalaman hidup berdikari.” Kata-kata ayah
membuatku bersemangat untuk meneruskan perkhemahan.

Teman-temanku makan dengan berselera tetapi aku hanya mampu mengisi


perut ala kadar sahaja. Aku lebih senang duduk di atas sebatang kayu tumbang sambil
memandang persekitaran. Di sekitar kulihat pokok-pokok cengal dan meranti sebesar
sepemeluk menjulang tinggi bagai menyentuh awan.

Siulan burung-burung hutan kudengar bersahut-sahutan. Demikian juga bunyi


cengkerik. Aku kagum mendengar dan melihat keadaan hutan yang sebenarnya.
Keadaan itu menyebabkan aku berasa tenang sekalipun badan letih setelah seharian
berkawad.

Hutan di pinggir bukit itu kelihatan dijaga dengan rapi dan terpelihara. Kulihat
kehijauan daun-daun pokoknya. Di sana-sini oula kelihatan daun-daun kering
berguguran apabila ditiup angin.

“Apa yang difikirkan tu?” tanya Jamil. Pertanyaan Jamil itu membuatkan
lamunanku terhenti. Aku tersenyum sambil berkata,”Hutan ini perlu terus dipelihara.”
Jamil mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kataku.
4.KARANGAN GAMBARAN (BERDASARKAN PENGALAMAN)

Hujan turun dengan lebatnya. Waktu persekolahan pada hari itu sudah selesai.
Anda telah ketinggalan bassekolah. Tuliskan sebuah karangan tentang
“Pengalaman Anda Ketinggalan Bas Sekolah”.

Petang itu keadaan sungguh menakutkan. Petir sabung menyabung dengan


tiupan angin kencang. Hujan pula turun semakin lebat. Suasana gelap seperti malam.
Aku ke tandas untuk membuang air.

Ramai kawan-kawanku telah pulang. Mereka dijemput oleh ibu bapa masing-
masing. Aku masih belum pulang kerana menunggu bas sekolah. Malangnya ketika itu
semua kawanku yang menaiki bas sudah tiada. Aku ketinggalan bas sekolah.

Perasaanku semakin resah dan takut kerana aku keseorangan. Nasib baik
pakcik jaga sekolahku masih ada. Aku berjumpa dengannya dan menceritakan apa
yang telah berlaku.

Beliau mententeramkan fikiranku dan berjanji akan menolong. Lega rasa hatiku.
Jam tanganku menunjukkan hampir pukul lapan malam tetapi hujan masih juga tidak
berhenti.

Aku terfikir untuk menelefon jiranku. Aku segera meminta kebenaran pakcik jaga
menggunakan telefon sekolah untuk menelefon jiranku. Masalahku hampir selesai.
Bapaku akan datang mengambilku tidak lama lagi.

Tidak lama kemudian bapaku sampai. Aku bersyukur kerana dapat pulang
dengan selamat. Sesungguhnya pengalaman itu tidak dapat kulupakan.

Anda mungkin juga menyukai