Anda di halaman 1dari 25

1.

0 Refleksi Kendiri

Saya telah melanjutkan pengajian saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selama 4
tahun di peringkat ijazah pertama. Hakikatnya, UPSI bukanlah satu pilihan dan tidak terlintas di
fikiran saya untuk melanjutkan pengajian di institut ini sungguhpun saya tetap memilih bidang
pendidikan untuk meneruskan pengajian. Nama UPSI yang diletakkan dalam senarai
permohonan hanya berperanan sebagai syarat untuk memenuhi kekosongan senarai permohonan
ke universiti. Namun begitu, saya akhirnya telah juga dipilih untuk meneruskan kehidupan
sebagai mahasiswa di UPSI. Pengajian selama 4 tahun bermula pada September 2012 ini
merupakan detik permulaan saya untuk meneroka ilmu-ilmu baharu. Di UPSI, saya telah terpilih
untuk mengikuti kursus dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah (ISMP).
Sepanjang pengajian saya di UPSI, pelbagai pengalaman telah saya lalui sama ada cabaran
mahupun pengalaman manis semasa bergelar mahasiswa. Pengajian di UPSI telah mengajar saya
tentang asas-asas pengetahuan dan latihan terbaik untuk bergelar seorang pendidik.
UPSI juga turut menyediakan pelbagai kursus pedagogi pendidikan untuk melahirkan
golongan pendidik yang mempunyai kredibiliti yang tinggi. Pengajian di UPSI telah memberikan
saya tentang pengetahuan asas untuk membentuk ciri dan personaliti sebagai seorang bakal guru
apabila tamat pengajian. Banyak pengetahuan yang pada asalnya hanya terbatas di peringkat
sekolah telah diperoleh sepanjang pengajian saya di UPSI. Di sini juga saya berpeluang untuk
mengenali dunia akademik peringkat tinggi, mengenali pensyarah, rakan-rakan seperjuangan dan
berkongsi pendapat serta idea dalam hal melaksanakan sesuatu tugasan. Pengajian dalam bidang
Sejarah di UPSI memerlukan ketahanan fizikal dan mental berikutan jurusan ini memerlukan
penuntutnya untuk menjalankan kajian lapangan dan menjelajah universiti lain untuk
mendapatkan sumber serta bahan sejarah yang tidak terdapat di perpustakaan UPSI. Selain itu,
saya juga dapat melatih diri untuk berhadapan di khalayak ramai melalui pengalaman mengikuti
pelbagai program universiti dan juga program jabatan Sejarah. Saya berjaya mengikis sikap dan
perasaan malu apabila mula belajar bergaul dan bersosial dengan rakan-rakan. Hal ini
menyebabkan tahap keyakinan saya mula bertambah melalui pelbagai pembentangan tugasan
serta penglibatan aktif dalam sesuatu aktiviti yang dianjurkan.
Kritikan dan sokongan pensyarah dan rakan-rakan telah membantu saya untuk sentiasa
berazam agar dapat menjadi seorang pendidik yang berperanan menyampaikan ilmu kepada
orang lain suatu hari nanti. Saya juga sering didedahkan dengan latihan-latihan asas, teknik,
strategi pendidikan, kaedah pengajaran serta pelbagai kemahiran teori dan praktikal sebagai salah
satu persediaan asas untuk saya melangkah ke alam pekerjaan sebagai seorang bakal guru. Ilmu
pengetahuan ini telah membantu saya dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Latihan mengajar yang dijalankan selama lebih kurang 4 bulan juga telah mendedahkan saya
kepada alam pekerjaan yang sebenar. Di sini juga saya telah menjalani latihan makro dan mikro
yang bertujuan untuk saya merasai latihan pra pengajaran seakan-akan mengajar di sekolah.
Tanggungjawab sebagai seorang pendidik bukanlah suatu pekerjaan yang mudah dan sangat
memerlukan ketahanan serta keupayaan mental dan fizikal yang tinggi. Guru seharusnya sentiasa
memiliki sikap kreatif, lontaran idea-idea bernas dalam menarik perhatian pelajar serta memupuk
minat dan keseronokan mereka ke arah pembelajaran. Oleh itu, di UPSI saya telah didedahkan
dengan pelbagai kaedah untuk menghasilkan bahan bantu mengajar yang menarik.
Sesungguhnya pengalaman belajar di UPSI merupakan satu pengalaman yang paling manis bagi
saya.
2.0 Refleksi praktikum
2.1 Pendahuluan

Saya Azimah Binti Hamzah telah menjalani sesi Latihan Mengajar (LM) sebagai guru pelatih di
Sekolah Menengah Kebangsaan Gedangsa (SMKG), Kuala Kubu Bahru, Selangor. Tempoh sesi
latihan mengajar ini adalah selama 16 minggu, iaitu lebih 4 bulan dari 6 Julai 2015 hingga 30
Oktober 2015. Sepanjang tempoh latihan mengajar, saya telah diajar dan dibimbing oleh seorang
guru pembimbing, iaitu En. Abd Halim Bin Abd Karim yang merupakan seorang guru Sejarah
bagi Menengah Rendah. Selain itu, sesi latihan mengajar saya juga turut diselia oleh pensyarah
kanan dalam Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, iaitu Dr. Ramli Saadon. Saya telah
ditugaskan untuk mengajar kelas tingkatan 1 Ibnu Sina bagi subjek Bahasa Malaysia, tingkatan 2
Ibnu Sina dan 2 Ibnu Khaldun bagi subjek Sejarah.

Secara keseluruhannya, saya tidak menghadapi sebarang masalah besar semasa menjalani
latihan mengajar di sekolah tersebut. Namun begitu, terdapat beberapa masalah kecil berkaitan
pengajaran dan pembelajaran. Oleh hal yang demikian, saya sering merujuk kepada guru
pembimbing dan pensyarah penyelia bagi mendapatkan nasihat dan saranan supaya masalah-
masalah tersebut dapat diatasi. Dalam perbincangan saya antara guru pembimbing dan pensyarah
penyelia, saya telah disarankan mengaplikasikan pelbagai pendekatan pengajaran yang berupaya
menarik perhatian pelajar supaya lebih fokus terhadap sesuatu topik pengajaran dan
pembelajaran. Penggunaan pendekatan dan strategi pengajaran yang pelbagai juga dapat
membentu saya mengatasi masalah yang dihadapi semasa menjalankan sesi pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas. Hal ini juga turut membantu saya dalam memainkan peranan
sebagai fasilitator kepada pelajar di samping memperbaiki penggunaan kaedah pengajaran yang
sesuai dengan topik pembelajaran.

Antara kaedah pengajaran yang sering dititikberatkan oleh guru pembimbing dan
pensyarah penyelia adalah aplikasi model pembelajaran koperatif dalam pengajaran dan
pembelajaran dengan menerapkan pelbagai jenis teori pembelajaran koperatif. Secara
ringkasnya, teori ini dapat didefinisikan sebagai kaedah pengajaran yang melibatkan peranan
semua pelajar untuk sentiasa bekerjasama dalam kumpulan kecil bagi mencapai sesuatu
matlamat. Teori ini menitikberatkan peranan pelajar yang cemerlang dalam membantu rakan-
rakan lain yang lemah terhadap sesuatu topik pembelajaran bagi memastikan sesuatu topik
pembelajaran dapat dikuasai oleh semua pelajar. Teori ini juga turut memberi fokus kepada
komunikasi pembelajaran secara dua hala yang memerlukan guru hanya bertindak sebagai
fasilitator, manakala pelajar cemerlang sebagai guru kepada pelajar yang lain melalui kumpulan-
kumpulan kecil (Slavin: 1982, Johnson, Johnson & Holubec: 1990, Kagan: 1992). Pembelajaran
koperatif menurut Effandi Zakaria (1998) juga adalah strategi pengajaran yang melibatkan
kerjasama pelajar dalam membantu antara satu sama lain dalam kumpulan kecil. Berdasarkan
model pembelajaran ini, pelajar akan bekerja secara kumpulan, berkongsi idea dan saling
membantu dalam menyelesaikan sesuatu masalah, serta memastikan semua ahli kumpulan
menguasai isi pembelajaran melalui bantuan guru. Guru pula akan menguji tahap keupayaan
pelajar dan memberi gred pencapaian berdasarkan prestasi pencapaian kumpulan atau individu.

Pada peringkat awal sesi latihan mengajar, saya sengaja menggunakan kaedah pengajaran
tradisional dengan memberi fokus kepada pengajara guru dan komunikasi sehala tanpa wujudnya
perkembangan idea antara pelajar. Tujuan saya menggunakan kaedah ini adalah untuk
mendapatkan respons pelajar secara teliti serta menentukan kaedah pengajaran yang sesuai
dengan kehendak dan keperluan pelajar terhadap penerimaan mereka dalam sesuatu topik
pengajaran. Hal ini demikian kerana, sungguhpun kaedah pengajaran tradisional agak kurang
bersesuaian dalam pengajaran dan pembelajaran, namun saya tidak dapat menafikan bahawa
masih terdapat beberapa orang pelajar yang hanya boleh menerima pembelajaran melalui
pendekatan kaedah tersebut. Namun begitu, saya mula mengubah kaedah pengajaran saya
apabila mendapati hasil pencapaian prestasi pelajar dalam kebanyakan kuiz yang dilaksanakan
memperlihatkan keputusan yang agak mengecewakan. Keadaan ini turut melibatkan sebilangan
pelajar yang pada awalnya lebih meminati kaedah pengajaran tradisional tersebut. Walau
bagaimanapun, masalah-masalah tersebut telah berjaya diatasi dengan baik hasil dorongan dan
sokongan yang diberikan oleh guru pembimbing dan pensyarah penyelia.

3.0 Isu 1: Kaedah Pengajaran Berpusatkan Guru (Chalk and Talk)


3.1 Bahagian I: Mengenalpasti Isu Atau Masalah Semasa PdP

Pada hari Jumaat bertarikh 30 Julai 2015, saya telah menjalankan pengajaran dan pembelajaran
bagi Subjek Sejarah Tingkatan 2 Ibnu Sina. Pada hari tersebut, saya telah mengajar topik 6, iaitu
British Mengeksploit Ekonomi dengan memberi fokus kepada subtopik Kegiatan Pertanian
Dagangan dan Tanaman Baru Memantapkan Ekonomi British. Sebelum proses pengajaran dan
pembelajaran bermula, saya telah menyediakan rancangan pengajaran harian bagi memudahkan
dan melancarkan perjalanan pengajaran saya. Saya juga telah membuat persediaan dengan
menyediakan beberapa bahan bantu mengajar yang bertujuan untuk memudahkan pemahaman
pelajar semasa aktiviti PdP sedang berlangsung.

Antara bahan bantu mengajar yang disediakan adalah beberapa kepingan gambar
berkaitan subtopik dan slide power point. Strategi pengajaran saya pada hari ini adalah
berpusatkan guru dengan memberi fokus kepada penerangan di papan putih (chalk and talk) di
samping slide power point sebagai bahan sampingan. Penggunaan strategi ‘chalk and talk’ telah
mendorong saya untuk menganggap bahawa tahap pemahaman pelajar mampu ditingkatkan
melalui penjelasan dan penerangan guru tanpa memikirkan kesan kepada tumpuan pelajar
terhadap proses pembelajaran. Dalam sesi pengajaran kali ini, pada mulanya proses pengajaran
berjalan dengan lancar. Walau bagaimanapun, persembahan pengajaran saya menunjukkan
respon pelajar yang kurang memuaskan dan suasana pengajaran agak suram. Hal ini mendorong
saya untuk mengenal pasti masalah yang wujud semasa pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Oleh itu, masalah saya yang wujud semasa pengajaran dan pembelajaran kali ini
adalah pendekatan kaedah pengajaran berpusatkan guru.

3.2 Bahagian II: Mengenalpasti Mengapa Isu Atau Masalah Tersebut Berlaku.

Pada hari Khamis bertarikh 10 Julai 2015, pelajar 2 Ibnu Sina yang hadir adalah seramai 20
orang. Jumlah kehadiran ini menepati sasaran pengajaran saya pada hari tersebut. Kelas
Tingkatan 2 Ibnu Sina merupakan kelas pertama daripada dua buah kelas tingkatan 2 di SMK
Gedangsa. Para pelajarnya pula terdiri daripada 8 orang pelajar lelaki dan 12 orang pelajar
perempuan. Dari segi latar belakang akademik pelajar 2 Ibnu Sina pula, majoriti mereka terdiri
daripada kumpulan pelajar yang mempunyai tahap keupayaan intelek yang sederhana baik.
Namun begitu, mereka merupakan antara pelajar harapan sekolah khususnya dalam hal
pencapaian prestasi akademik.
Secara tidak langsung, hal ini memberi tanggapan awal kepada saya bahawa mereka
merupakan kelompok pelajar yang lebih meminati pengajaran secara teori berbanding pengajaran
secara praktikal berikutan kriteria diri mereka yang lebih suka untuk belajar secara bersendirian.
Pengajaran saya pada hari tersebut bermula pada jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari yang
bermula dengan set induksi. Saya telah mengedarkan gambar rempah ratus serta meminta pelajar
untuk memberi pernyataan berkaitan berdasarkan pengetahuan sedia ada pelajar. Pada mulanya,
pelajar memberikan respon yang baik. Majoriti mereka dapat menyatakan dan menghuraikan
maklumat berkaitan gambar-gambar tersebut. Pada bahagian set induksi, secara keseluruhan
pelajar dapat menumpukan perhatian serta memberikan respon yang baik terhadap pengajaran
guru. Saya memulakan langkah pertama pengajaran dengan bantuan buku teks.

Pada peringkat pertama ini, saya telah menjelaskan serba sedikit tentang topik pengajaran
dan objektif pengajaran bagi memastikan pelajar mendapat gambaran awal tentang topik yang
diajarkan. Saya juga telah mengarahkan pelajar untuk sentiasa merujuk buku teks Sejarah
Tingkatan 2. Hal ini demikian kerana, buku teks merupakan salah satu sumber rujukan utama
pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, saya juga turut
mengedarkan beberapa helaian nota ringkas berkaitan topik pembelajaran dan meminta pelajar
menampal nota tersebut di dalam buku nota Sejarah mereka. Hal ini bertujuan untuk
memudahkan pelajar daripada menggunakan masa mereka dengan hanya membuat nota sehingga
leka dan lupa untuk menyiapkan latihan-latihan lain. Namun begitu, tindakan saya telah
memberikan kesan negatif kepada pelajar apabila mereka seakan ‘dimanjakan’ dan akhirnya
malas untuk mengulangkaji pelajaran dengan menggunakan kemudahan yang diberikan, iaitu
merujuk nota-nota Sejarah yang diberikan.

Pengajaran saya diteruskan dengan memberi penerangan berkaitan topik pembelajaran


tanpa mewujudkan suasana yang kondusif serta komunikasi dua hala antara pelajar. Hal ini turut
ditambah dengan sifat sedia ada pelajar, iaitu pasif dalam hal melibatkan diri dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sifat ini juga diakui oleh guru pembimbing. Oleh
itu, saya seharusnya bertindak lebih agresif dengan mewujudkan suasana pengajaran yang dapat
menarik perhatian pelajar untuk lebih aktif supaya proses perkembangan idea dapat dijalankan
dengan baik dan lancar. Sikap pelajar yang pasif dalam komunikasi dan pembelajaran
menyebabkan pelajar sering mengelakkan diri daripada menjawab soalan-soalan yang diberikan.
Apabila saya mendapati hal ini berlaku, saya mengambil keputusan untuk meneruskan
pengajaran berikutan tidak mahu masa yang diperuntukkan habis dan mengakibatkan objektif
pembelajaran tidak dapat dicapai. Saya juga sering menggunakan nada intonasi yang serius tanpa
menyelitkan unsur-unsur humor dalam sesi pengajaran. Hal ini bertujuan untuk memastikan
pelajar memberi tumpuan dan fokus terhadap topik yang dipelajari.

Namun begitu, kebanyakan pendekatan yang digunakan secara keseluruhannya tidak


mampu membantu pelajar menguasai keseluruhan isi kandungan pelajaran yang akhirnya
memberi kesan kepada pencapaian akademik pelajar dalam subjek Sejarah. Melalui strategi dan
pendekatan pengajaran yang digunakan, saya dapati pelajar gagal untuk mengingati fakta-fakta
atau peristiwa sejarah yang telah diajarkan. Kurangnya interaksi yang berkesan serta komunikasi
bersifat sehala disebabkan kegagalan saya merancang peruntukan masa yang diberikan
menyebabkan pelajar kurang memberi tumpuan terhadap proses pembelajaran. Sungguhpun saya
menggunakan slide power point, namun pendekatan ini juga gagal berikutan konsep paparan
nota yang terdapat dalam slide power point tersebut tidak dapat menarik perhatian murid.

Kesilapam teknikal dari segi penggunaan warna dan cahaya, saiz tulisan yang kecil telah
menyukarkan pelajar untuk membaca maklumat yang terlalu padat. Apabila pelajar sukar untuk
memberi tumpuan, pelajar mula hilang fokus dan mengambil tindakan yang tidak sepatutnya
dilakukan semasa proses pengajaran dan pembelajaran seperti berbual-bual, tidur, dan membuat
aktiviti yang tidak berkaitan dengan pembelajaran. Unsur humor yang kurang diselitkan dalam
pengajaran juga menyebabkan pelajar berasa bosan untuk mengikuti sesi pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu, secara tidak langsung objektif yang seharusnya ingin dicapai dalam
pengajaran saya pada hari tersebut adalah tidak berjaya. Oleh sebab itu, saya berasa tindakan
perlu diambil supaya masalah yang dihadapi dapat diselesaikan sekaligus memberi ruang kepada
untuk meneruskan sesi PdP dengan lancar di samping penglibatan aktif pelajar.

3.3 Bahagian III: Langkah Penambahbaikan Yang Disarankan Oleh Pensyarah


Penyelia Dan Guru Pembimbing Berdasarkan Isu Atau Masalah Tersebut.

Bagi mengatasi beberapa kelemahan dan masalah yang wujud dalam pengajaran saya, saya telah
menemui guru pembimbing untuk mendapatkan beberapa pandangan. Guru pembimbing telah
memberikan respon dan komen terhadap kaedah pengajaran saya. Antaranya, saya perlu
memperbaiki cara pengajaran saya dan menyediakan bahan bantu mengajar yang lebih praktikal
berbanding teori seperti bahan-bahan berbentuk maujud dan konkrit. Menurut Brown J. W
(1983), bahan bantu mengajar merupakan alat kelengkapan yang perlu digunakan oleh guru dan
pelajar sebagai bantuan dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik
darjah. Berdasarkan kepada definisi tersebut, jelaslah bahawa saya seharusnya menggunakan
bahan bantu mengajar semasa melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Persediaan
pengajaran yang rapi serta mempunyai bahan bantu mengajar yang pelbagai dapat membantu
pelajar untuk memahami konteks pengajaran dan pembelajaran guru.

Oleh itu, saya harus bijak mengawal keadaan kelas yang pasif dan mewujudkan suasana
pengajaran dan pembelajaran yang kondusif. Saya juga perlu mengelakkan penggunaan
pendekatan pengajaran berpusatkan guru memandangkan kaedah ini kurang memberi kesan
kepada pemahaman dan pencapaian prestasi pelajar dalam subjek Sejarah. Dalam sesi
perbincangan tersebut, guru pembimbing juga menyatakan bahawa saya perlu sentiasa mengawal
imaginasi pelajar daripada leka dan khayal seterusnya tidak membuat kerja sendiri semasa
pengajaran sedang dilaksanakan. Hal ini termasuklah sentiasa bertanyakan soalan atau
mengadakan perbincangan dengan menyelitkan unsur-unsur humor atau analogi yang berkaitan
dengan kehidupan dan pengalaman pelajar. Hal ini bertujuan untuk memberi gambaran kepada
pelajar terhadap sesuatu isu atau topik pembelajaran di samping mengekalkan fokus pelajar
daripada membuat kerja sendiri.

3.4 Bahagian IV: Rancang semula pengajaran/ ubah suai tindakan bagi mengatasi isu
atau masalah tersebut.

Pada sesi pengajaran yang seterusnya, saya telah mengambil tindakan dengan merancang semula
pengajaran bagi mengatasi masalah yang dialami. Saya telah menyediakan bahan bantu mengajar
yang dapat membantu penglibatan pelajar secara aktif semasa pengajaran dan pembelajaran.
Antaranya, saya melaksanakan aktiviti simulasi, kuiz berkumpulan, susunan kad kronologi, teka-
teki fakta sejarah, dan label gambar berdasarkan video atau lagu. Penggunaan bahan bantu
mengajar secara tidak langsung dapat mengawal keadaan pelajar yang pasif dan malu untuk
bergerak aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Pada kali ini, strategi pendekatan
pengajaran saya adalah berpusatkan murid dengan guru hanya bertindak sebagai fasilitator.

Dalam konsep fasilitator ini, saya menekankan penerangan topik pembelajaran haruslah
dilakukan oleh pelajar sepenuhnya dalam sesuatu kumpulan kecil. Guru hanya berperanan
sekiranya maklumat yang disampaikan oleh pelajar tidak mencukupi atau mengalami
percanggahan idea. Melalui perbincangan idea antara kumpulan pelajar juga, saya dapat
mengawal keadaan dan suasana pembelajaran yang kondusif dengan menyelitkan unsur-unsur
humor. Hal ini telah menjadikan keadaan kelas tidak berada dalam suasana yang tegang dan
serius. Pelajar pula dilihat berasa seronok untuk mengikuti sesi pembelajaran. Secara tidak
langsung saya berjaya mengawal imaginasi pelajar daripada khayal sesama sendiri atau membuat
kerja sendiri yang sememangnya mengganggu pengajaran saya.

4.0 Isu 2: Penggunaan Bahan Bantu Mengajar yang Kurang Pelbagai


4.1 Bahagian I: Mengenalpasti Isu Atau Masalah Semasa PdP.

Pada hari Jumaat bertarikh 30 Julai 2015, saya telah menjalankan pengajaran dan pembelajaran
bagi subjek Sejarah Tingkatan 2 Ibnu Sina. Pada hari tersebut, saya telah mengajar topik British
Mengeksploit Ekonomi. Fokus subtopik kali ini ialah Kegiatan Pertanian Dagangan dan
Tanaman Baru Memantapkan Ekonomi British. Seperti biasa, saya telah menyediakan rancangan
pengajaran harian bagi memudahkan dan melancarkan pengajaran saya. Masalah yang kedua ini
berlaku pada hari yang sama berlakunya masalah pertama. Pengajaran dan pembelajaran yang
berlangsung pada 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ini merupakan waktu terakhir dalam sesi
waktu persekolahan di SMK Gedangsa.

Waktu sebegini sememangnya merupakan antara cabaran utama saya dalam hal
mengendalikan pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, pada waktu terakhir sesi
persekolahan, tahap keupayaan pelajar mula berkurangan menyebabkan pelajar tidak dapat
memberi fokus terhadap silibus pembelajaran. Pemikiran pelajar akan mula terdorong untuk
menunggu loceng terakhir dibunyikan. Hal ini memberi kesan kepada pengajaran dan
pembelajaran saya terutama subjek yang diajarkan adalah subjek Sejarah. Semasa perbincangan
dengan guru pembimbing melalui pemantauan beliau, saya dapat mengenal pasti masalah dan
kelemahan yang dilakukan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan kaedah
tradisional. Oleh itu, masalah yang saya hadapi adalah dari segi penggunaan bahan bantu
mengajar yang pelbagai.

4.2 Bahagian II: Mengenalpasti Mengapa Isu Atau Masalah Tersebut Berlaku.

Sejak awal lagi, pelajar tingkatan 2 Ibnu Sina mengaku bahawa mereka tidak meminati subjek
Sejarah disebabkan terlalu banyak kerja dan mereka perlu menghafal setiap fakta sejarah. Saya
berpendapat bahawa minat mereka boleh dipupuk melalui strategi guru dalam mempengaruhi
pelajar supaya fokus, menanam rasa minat terhadap subjek Sejarah dan mampu mengingat fakta-
fakta sejarah melalui beberapa kaedah pengajaran yang lebih menarik. Namun begitu, pengajaran
dan pembelajaran kali ini menggunakan pendekatan tradisional yang berpusatkan guru. Pada kali
ini juga, saya diselia oleh guru pembimbing. Pada awalnya, saya bercadang untuk menggunakan
makmal komputer. Bahan bantu mengajar yang sepatutnya juga telah disediakan lebih awal.
Walau bagaimanapun, beberapa hari sebelumnya saya telah diberitahu bahawa pada hari tersebut
pihak sekolah akan mengadakan satu program bersama semua pelajar SMK Gedangsa. Oleh itu,
saya juga diberitahu oleh guru pembimbing bahawa sesi penyeliaan pada hari itu dibatalkan.
Guru pembimbing juga menyatakan bahawa saya tidak perlu bersedia atau membawa bahan
persediaan penyeliaan pada hari tersebut.

Namun begitu, program tersebut telah tamat sebelum waktu pengajaran dan pembelajaran
saya bermula. Hal ini menyebabkan penyeliaan kali pertama dijalankan seperti perancangan
sebelumnya. Oleh itu, saya terpaksa menggunakan kelas untuk menjalankan sesi penyeliaan kali
pertama memandangkan secara kebetulan pada waktu itu makmal telah digunakan oleh guru lain.
Sungguhpun alat bantu mengajar seperti lcd projector boleh digunakan di dalam kelas, namun
keadaan ini masih tidak dapat mewujudkan suasana yang kondusif disebabkan wujudnya
masalah-masalah lain. Walaupun saya masih mempunyai beberapa bahan bantu mengajar yang
sempat dibuat sebelum waktu pengajaran dan pembelajaran bermula, namun saya masih tidak
dapat menggunakan pendekatan berpusatkan murid berikutan kekurangan bahan bantu mengajar
yang mencukupi. Saya berpendapat keadaan ini mungkin boleh dijadikan sebagai proses untuk
menghasilkan kajian tindakan.
Semasa perbincangan dengan guru pembimbing juga, beliau telah menekankan
penggunaan bahan bantu mengajar yang pelbagai. Menurut beliau lagi, bahan bantu mengajar
sangat mempengaruhi penglibatan pelajar dan berupaya mengalih fokus dan perhatian daripada
leka untuk melakukan aktiviti sendiri. Hal ini ditambah dengan waktu pengajaran dan
pembelajaran yang berlangsung di akhir waktu sesi persekolahan. Pelajar pada ketika ini akan
mula berasa bosan dan malas untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di samping
suasana kelas yang agak panas pada waktu tengah hari. Oleh itu, saya seharusnya lebih kreatif
dalam menerapkan kaedah dan strategi pengajaran sekiranya mendapat waktu pengajaran di
akhir sesi waktu persekolahan. Pada hari tersebut, saya hanya menggunakan beberapa gambar
dan slaid power point. Saya menghadapi kekangan untuk menggunakan internet memandangkan
aplikasi tersebut hanya dapat digunakan di dalam makmal komputer. Oleh itu, saya hanya
menggunakan bahan bantu mengajar tanpa memberi pelbagai contoh daripada internet.

Sungguhpun saya menggunakan slide power point, namun pendekatan ini juga gagal
berikutan konsep paparan nota yang terdapat dalam slide power point tersebut tidak dapat
menarik perhatian murid. Hal ini disebabkan oleh kesilapan teknikal dari segi penggunaan warna
dan cahaya, saiz tulisan yang kecil dan menyukarkan pelajar untuk membaca serta maklumat
yang terlalu padat. Apabila pelajar sukar untuk memberi tumpuan, pelajar mula hilang fokus dan
mengambil tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran seperti berbual-bual, tidur, dan membuat aktiviti yang tidak berkaitan dengan
pembelajaran. Unsur humor yang kurang diselitkan dalam pengajaran juga menyebabkan pelajar
berasa bosan untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Kekurangan penggunaan bahan
bantu mengajar ini menyebabkan objektif pembelajaran dalam PdP saya pada hari tersebut tidak
dapat dicapai sepenuhnya. Oleh itu, secara tidak langsung objektif yang seharusnya ingin dicapai
dalam pengajaran saya pada hari tersebut adalah tidak berjaya.

4.3 Bahagian III: Langkah Penambahbaikan Yang Disarankan Oleh Pensyarah


Penyelia Dan Guru Pembimbing Berdasarkan Isu Atau Masalah Tersebut.

Langkah penambahbaikan yang telah disarankan oleh guru pembimbing kepada saya ialah saya
perlu menyediakan bahan bantu mengajar yang pelbagai dan berupaya menarik perhatian dan
fokus pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Bahan
bantu mengajar merupakan kelengkapan yang digunakan oleh guru atau pelajar untuk membantu
guru atau pelajar tersebut menyampaikan pengajaran di dalam kelas di samping sebagai daya
penarik yang penting kepada seseorang pelajar. Bahan bantu mengajar ini bukan sahaja
merangkumi buku teks, gambar-gambar dan papan putih serta whiteboard marker sahaja, malah
turut melibatkan segala pancaindera melihat, mendengar, merasa dan apa-apa sahaja yang
dialami oleh pelajar. Noraziah Abdul Hamid (1981) telah membahagikan bahan bantu mengajar
kepada dua, iaitu media elektronik dan media bukan elektronik. Oleh itu, guru pembimbing juga
telah menyarankan supaya saya menggunakan bahan bantu mengajar yang mempunyai kaitan
dengan pengalaman pelajar seperti lakonan dan simulasi. Penggunaan bahan bantu mengajar
pelbagai dan menarik dapat memberi kesan positif kepada penglibatan pelajar dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, bahan bantu mengajar juga dapat memberi pengalaman baru yang boleh
merangsangkan aktiviti-aktiviti sendiri dalam kalangan pelajar yang akhir berupaya
menghasilkan pembelajaran yang kekal dan pemikiran yang berterusan. Menurut Kamarudin Hj.
Husin (1988), penggunaan bahan bantu mengajar bertujuan untuk mempengaruhi dan
menghibur. Hal ini dapat dijelaskan bahawa minat dan perhatian pelajar dapat dipengaruhi
melalui bantuan bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru. Dalam konteks penggunaan
bahan bantu mengajar, saya turut disarankan untuk mengubah dan memperbetulkan masalah-
masalah teknikal yang wujud semasa pembentangan slaid power point. Aktiviti berkumpulan
perlu sentiasa diadakan bagi memastikan pelajar minat untuk mengikuti sesi pembelajaran,
mampu untuk menghasilkan idea-idea yang bernas dan kritis dalam sesuatu perbincangan
kumpulan. Sebagai persediaan awal, saya juga perlu sentiasa membawa kertas mahjong bagi
memastikan penggunaan bahan bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran.

4.4 Bahagian IV: Rancang semula pengajaran/ ubah suai tindakan bagi mengatasi isu
atau masalah tersebut.

Pada sesi pengajaran seterusnya, saya telah menggunakan pendekatan koperatif dengan
menekankan bahan bantu mengajar yang lebih menarik. Persediaan awal sebelum pengajaran
bermula telah diatur dengan sebaik mungkin. Paparan slaid power point pada pengajaran kali
telah diubah supaya dapat memudahkan pelajar untuk memahami isi kandungan pembelajaran.
Di samping itu, saya juga telah menyelitkan beberapa video atau filem bergerak bagi memastikan
topik yang dipelajari dapat dikuasai sepenuhnya oleh pelajar. Soalan-soalan atau pendapat juga
sering diajukan kepada pelajar bagi mewujudkan perkongsian idea antara pelajar dan guru.
Kesan daripada beberapa tayangan video pendek, pelajar didapati berminat untuk memberi
perhatian dan fokus terhadap topik yang dibincangkan. Pelajar juga memberi respon terhadap
sesuatu isu perbincangan apabila terdapatnya pertindihan pendapat dengan rakan pelajar yang
lain.

Dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, saya telah membentuk empat
kumpulan dengan setiap kumpulan diwakili oleh 4 hingga 5 orang. Aktiviti berkumpulan ini
dijalankan dengan membuat simulasi berdasarkan isi kandungan yang dipelajari. Klu atau arahan
pembentangan simulasi diberikan secara undian. Setiap kumpulan pelajar dikehendaki untuk
memainkan peranan berdasarkan watak-watak yang dinyatakan dalam klu atau arahan
pembentangan. Selain aktiviti simulasi, pelajar juga diarah untu melabel peta yang berkaitan
dengan topik pembelajaran. Kesan daripada pelaksanaan aktiviti dan penggunaan bahan bantu
mengajar yang pelbagai, saya dapati pelajar melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran dan
pembelajaran. perubahan yang ketara dapat dilihat apabila pelajar lebih fokus dan memberi
perhatian terhadap topik pengajaran guru. Objektif pembelajaran pada kali ini dapat dicapai
apabila saya mendapati keseluruhan pelajar dapat menguasai hasil pembelajaran melalui kuiz
ringkas yang dijalankan. Berikut merupakan contoh paparan slaid power point yang telah
dipelbagaikan berbanding slaid power point yang digunakan semasa pengajaran kali pertama
yang berpusatkan guru.
5.0 Isu 3: Kesukaran Pelajar untuk Membezakan Bab yang Dipelajari
5.1 Bahagian I: Mengenalpasti Isu Atau Masalah Semasa PdP.

Sesi penyeliaan seterusnya dilaksanakan pada 7 Ogos 2015. Pada pengajaran kali ini, saya telah
diselia oleh pensyarah penyelia buat kali kedua. Saya telah menjalankan pengajaran dan
pembelajaran bagi subjek Sejarah Tingkatan 2 Ibnu Sina. Pada hari tersebut, saya telah mengajar
topik Perjuangan Rakyat Tempatan Mengembalikan Kedaulatan Bangsa. Fokus subtopik kali ini
ialah Perjuangan Mengembalikan Kedaulatan Kedah dan Dol Said Pahlawan Naning. Seperti
biasa, saya telah menyediakan rancangan pengajaran harian bagi memudahkan dan melancarkan
pengajaran saya. Pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung pada jam 8.50 pagi hingga
10.10 pagi. Sebelum saya memulakan pengajaran dan pembelajaran, saya telah menyediakan
beberapa bahan bantu mengajar seperti lakaran peta negeri Kedah dan Melaka, gambar tokoh
pejuang tempatan, dan latihan pengukuhan. Penyediaan ini bertujuan untuk memudahkan
pemahaman pelajar secara ringkas berkaitan topik pembelajaran yang akan dipelajari sebelum
pengajaran secara terperinci dilaksanakan. Saya telah menggunakan strategi pengajaran
berpusatkan guru.

Namun begitu, pada sesi pengajaran kali ini saya telah menghadapi masalah. Semasa saya
mengemukakan soalan kepada pelajar, pelajar kelihatan agak sukar untuk memberikan jawapan
yang tepat. Mereka lebih terdorong untuk memberi jawapan berkaitan topik lain yang telah
dipelajari. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa mereka telah keliru untuk membezakan jawapan
antara bab yang sedang dipelajari dengan bab yang telah dipelari. Hal ini memberi kesan kepada
pengajaran dan pembelajaran saya dalam subjek yang diajarkan, iaitu subjek Sejarah. Semasa
perbincangan dengan guru pembimbing melalui pemantauan beliau, saya dapat mengenal pasti
masalah dan kelemahan yang dilakukan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan
kaedah tradisional. Oleh itu, masalah yang saya hadapi adalah dari segi kesukaran pelajar untuk
membezakan pengajaran yang sedang dipelajari dengan pengajaran yang telah dipelajari pada
sesi pengajaran dan pembelajaran yang lepas.
5.2 Bahagian II: Mengenalpasti Mengapa Isu Atau Masalah Tersebut Berlaku.

Dalam pengajaran saya pada hari tersebut, saya telah memaparkan lakaran peta negeri Kedah dan
Melaka serta gambar tokoh pejuang tempatan bagi kedua-dua negeri tersebut. Saya telah
meminta pelajar untuk meneliti lakaran peta dan gambar tokoh pejuang tempatan tersebut. Saya
memulakan pengajaran dengan set induksi. Dalam set induksi, saya mengadakan sesi soal jawab
dengan pelajar dan bertanya kepada mereka berkaitan apa-apa yang boleh dikaitkan dengan
pembelajaran pada hari tersebut. Semasa sesi soal jawab dalam set induksi, saya mendapati
pelbagai jawapan dan pendapat yang telah dinyatakan oleh pelajar. Apabila saya mula meminta
pelajar untuk cuba memadankan lakaran peta dengan gambar tokoh pejuang tempatan, mereka
tidak tahu untuk memadankannya. Suasana kelas selepas itu menjadi sunyi untuk seketika
apabila pelajar dengan sendirinya mula menyelak buku teks untuk mendapatkan jawapan yang
betul pada helaian bab yang sebelumnya.

Melalui tindakan pelajar, saya dapati bahawa pelajar tingkatan 2 Ibnu Sina telah keliru
untuk memberikan jawapan yang betul berikutan kesukaran mereka untuk membezakan jawapan
antara bab yang sedang dipelajari dengan bab yang telah dipelajari. Keadaan ini secara tidak
langsung telah mendorong mereka untuk mengambil masa yang lama bagi menjawab soalan
yang diutarakan oleh guru. Saya menenangkan suasana hingar-bingar kemudiannya apabila
pelajar tidak berjaya mendapatkan jawapan dan mula membuat bising. Saya mula meneruskan
pengajaran saya ke langkah yang seterusnya. Saya telah menjelaskan topik pembelajaran dan
objektif yang ingin dicapai. Penerangan saya pada kali ini berdasarkan kepada slaid power point.
Apabila saya mula mengaitkan aspek mengembalikan kedaulatan, saya dapati pelajar
menunjukkan reaksi keliru, tidak faham tetapi mengaku faham apabila saya cuba menguji
mereka. Saya tidak berpuas hati dengan reaksi yang diberikan. Saya cuba bertanya kepada
pelajar tentang kronologi peristiwa dan meminta mereka untuk menyusun kad kronologi
peristiwa pada papan putih. Saya dapati sekali lagi pelajar mula menyelak buku teks untuk
mendapatkan jawapan yang betul. Namun, pada kali ini mereka menyelak dari helaian bab kedua
yang berkaitan dengan Kekayaan Hasil Bumi Mendorong Campur Tangan British hingga ke bab
yang sedang dipelajari.

Hal ini menguatkan lagi tanggapan saya bahawa pelajar tingkatan 2 Ibnu Sina mengalami
masalah kesukaran untuk membezakan maklumat dan jawapan antara Bab 2 dan Bab 7 sehingga
mendorong mereka untuk sering tertukar jawapan antara kedua-dua bab ini. Oleh hal yang
demikian, saya perlu mengambil tindakan serius dan memikirkan langkah terbaik untuk
mengatasi masalah ini. Keadaan ini turut menyebabkan objektif pembelajaran saya tidak tercapai
berikutan masa yang telah diperuntukkan untuk meneruskan pengajaran ke langkah seterusnya
tidak dapat berjalan lancar apabila saya perlu menerangkan semula pengajaran saya. Saya telah
mengajukan masalah ini kepada pensyarah penyelia bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang
sesuai agar masalah ini dapat diatasi.

5.3 Bahagian III: Langkah Penambahbaikan Yang Disarankan Oleh Pensyarah


Penyelia Dan Guru Pembimbing Berdasarkan Isu Atau Masalah Tersebut.

Dalam perbincangan dengan pensyarah penyelia, beliau telah menegur dan memberikan
beberapa komen. Memandangkan masalah utama yang dihadapi oleh saya adalah berkaitan
kesukaran pelajar untuk membezakan jawapan bagi bab yang dipelajari, pensyarah penyelia telah
memberikan beberapa cadangan. Antaranya, saya perlu memberikan penerangan yang jelas bagi
jawapan terhadap soalan-soalan yang dilontarkan. Penerangan guru yang jelas akan mendorong
pelajar untuk mudah memahami topik pembelajaran. Saya juga harus bersedia untuk
memberikan lembaran nota ringkas sama ada berbentuk peta konsep, peta minda, atau bentuk-
bentuk yang mudah difahami oleh pelajar. Di samping itu, saya juga harus sentiasa menerangkan
lembaran nota ringkas tersebut supaya pelajar dapat mempelajari tentang cara untuk mendalami
dan menganalisis nota tanpa bantuan guru. Hal ini juga sekurang-kurangnya dapat mengelakkan
masalah kekeliruan bab berupaya diatasi.

Pensyarah penyelia juga menyarankan bahawa saya perlu menggunakan beberapa kaedah
dan pendekatan seperti pendekatan induktif, pendekatan komunikatif dan model Pembelajaran
Masteri dalam pengajaran dan pembelajaran. Bahagian Pendidikan Guru (2004) menjelaskan
bahawa pendekatan komunikatif ini amat mengutamakan kecekapan berkomunikasi. Guru perlu
mempunyai kecekapan dalam menyampaikan sesuatu hujah berkaitan fakta sejarah. Kaedah
induktif pula boleh diterapkan bagi mengukuhkan lagi penerangan dan komunikasi antara guru
dan pelajar. Dalam memastikan penguasaan pelajar terhadap sesuatu topik pembelajaran,
pensyarah penyelia menyarankan lagi bahawa model Pembelajaran Masteri sesuai digunakan.
Menurut Bloom (1968), Pembelajaran Masteri merupakan pendekatan pengajaran dan
pembelajaran yang berfokuskan penguasaan pelajar dalam sesuatu perkara yang diajar. Anderson
dan Block (1975) pula menyatakan Pembelajaran Masteri adalah satu set idea dan amalan
pengajaran secara individu yang dapat membantu untuk belajar secara konsisten. Saya juga perlu
sentiasa mengaitkan aspek-aspek merentas masa seperti abad atau tahun, kronologi dan konflik
dalam sesuatu peristiwa bagi memudahkan pelajar membuat perbezaan bab yang telah dipelajari
dan bab yang sedang dipelajari.

5.4 Bahagian IV: Rancang semula pengajaran/ ubah suai tindakan bagi mengatasi isu
atau masalah tersebut.

Pada sesi pengajaran seterusnya, saya telah mengubah cara menyampaikan sesuatu fakta dalam
pengajaran saya. Bagi mengatasi masalah kesukaran pelajar untuk membezakan bab yang telah
dipelajari dan bab yang sedang dipelajari, saya telah memberi penerangan secara ringkas setiap
kali saya hendak memulakan sesi pengajaran. Saya juga turut membandingkan fakta-fakta yang
terdapat dalam bab terdahulu dan fakta yang terdapat dalam bab yang sedang dipelajari. Hal ini
bertujuan untuk memberi ruang kepada pelajar bagi mengatasi masalah mereka. Setiap kali
pelajar mengajukan soalan, saya telah menjawab soalan mereka dengan memberi penerangan
tentang perbezaan bab-bab yang lepas. Hal ini saya lakukan secara berulang kali sehingga pelajar
tidak lagi keliru dengan masalah perbezaan fakta bagi setiap bab. Saya juga telah mengatasi
masalah tersebut dengan mengedarkan nota-nota ringkas yang menarik dan dihasilkan melalui
pelbagai bentuk. Hal ini demikian kerana, susunan ayat atau fakta topik pembelajaran yang
terdapat dalam buku teks telah mengelirukan mereka untuk mendapatkan jawapan yang betul.

Dengan edaran nota ringkas, pelajar tidak lagi keliru dan hanya merujuk nota-nota
tersebut sekiranya ingin mendapatkan jawapan bagi sesuatu perbincangan. Selain itu, saya juga
telah mengaplikasi kaedah induktif, pendekatan komunikatif dan model Pembelajaran Masteri
pada setiap sesi pengajaran seperti yang telah disarankan oleh pensyarah penyelia. Aplikasi
kaedah-kaedah ini ternyata memberi kesan positif kepada pengajaran saya apabila pelajar dilihat
telah dapat membezakan sesuatu maklumat dan fakta sejarah. Pelajar juga dilihat lebih bersedia
untuk mengikuti sesi pengajaran apabila saya sentiasa mengaitkan sesuatu isu dengan
pengalaman pelajar. Pelajar juga telah berjaya mengingat fakta-fakta sejarah terutama yang
berkaitan dengan tahun berlakunya sesuatu perintiwa berikutan penekanan saya terhadap aspek
merentas masa, kronologi dan konflik sesuatu peristiwa. Hal ini secara tidak langsung
memudahkan pelajar untu faham seterusnya berupaya memupuk minat pelajar untuk terus
mendalami ilmu sejarah.

6.0 Isu 4: Guru Kurang Bijak dalam Mengatasi Kawalan Kelas


6.1 Bahagian I: Mengenalpasti Isu Atau Masalah Semasa PdP.

Pada hari Khamis bertarikh 27 Ogos 2015, saya telah menjalankan pengajaran dan pembelajaran
bagi subjek Sejarah Tingkatan 2 Ibnu Khaldun. Pelajar kelas 2 Ibnu Khaldun merupakan pelajar
kelas kedua dan terakhir dalam keseluruhan kelas tingkatan 2. Waktu pengajaran dan
pembelajaran berlangsung daripada jam 12.30 tengah hari hingga 1.50 petang dan merupakan
waktu terakhir dalam sesi waktu persekolahan di SMK Gedangsa. Pada hari tersebut, saya telah
mengajar topik dalam Bab 7, iaitu Perjuangan Mengembalikan Kedaulatan Bangsa. Fokus
subtopik kali ini ialah berkaitan perjuangan tokoh tempatan seperti Antanom, Mat Salleh dan
Tok Janggut. Sebelum pengajaran bermula, saya telah menyediakan rancangan pengajaran harian
dan bahan bantu mengajar berbentuk elektronik dan bukan elektronik.

Tujuan persediaan bahan bantu mengajar ini adalah untuk memberikan pemahaman yang
lebih baik kepada pelajar berkaitan topik yang akan dipelajari memandangkan tahap keupayaan
intelek pelajar 2 Ibnu Khaldun adalah lemah dan memerlukan konsep pengajaran yang lebih
mendalam. Strategi pengajaran saya kali ini adalah berpusatkan guru dan pelajar di samping
aktiviti pelajar secara berkumpulan. Dari segi latar belakang secara ringkas, pelajar 2 Ibnu
Khaldun terdiri daripada pelajar yang agak nakal dan mempunyai masalah disiplin. Setiap kali
proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung, pelbagai masalah yang saya hadapi sehingga
kadangkala saya menjadi buntu untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Oleh itu, saya
rumuskan bahawa masalah yang dihadapi semasa melaksanakan pengajaran terhadap pelajar 2
Ibnu Khaldun adalah dari segi kawalan kelas semasa pengajaran dan pembelajaran.
6.2 Bahagian II: Mengenalpasti Mengapa Isu Atau Masalah Tersebut Berlaku.

Sikap dan disiplin pelajar tingkatan 2 Ibnu Khaldun seringkali menyebabkan pengajaran guru
tertanggu. Hal ini sememangnya turut diakui oleh guru-guru tetap di sekolah tersebut. Oleh itu,
saya telah menggunakan satu teknik pengajaran yang praktikal berbanding teknik pengajaran
teori bagi memastikan pelajar 2 Ibnu Khaldun dapat melibatkan diri dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran guru. Namun, saya dapati terdapat beberapa orang pelajar yang tidak membawa
buku teks. Oleh itu, saya mengarahkan pelajar tersebut untuk berkongsi dengan rakan mereka
yang membawa buku teks. Namun, hal yang sebaliknya telah berlaku apabila mereka tidak
mengendahkan arahan saya. Saya tetap meneruskan pengajaran setelah nota ringkas berbentuk
peta minda diedarkan kepada pelajar. Saya memulakan pengajaran dengan set induksi dan
meminta pelajar yang tidak membawa buku teks untuk memberi respon atau jawapan kepada
soalan saya. Walau bagaimanapun, pelajar tersebut telah mempersendakan saya.

Saya terus bersikap dengan tegas dan serius berikutan tindakan pelajar tersebut yang
langsung tidak menghormati guru. Semasa pengajaran saya yang seterusnya, secara tiba-tiba
salah seorang pelajar tersebut telah keluar daripada kelas tanpa meminta izin kepada saya. Hal
ini telah mendorong saya untuk memberhentikan pengajaran buat seketika dan meminta pelajar
tersebut masuk kembali ke dalam kelas. Pengajaran pada langkah yang seterusnya turut
terganggu apabila pelajar mula membuat bising dan bersembang untuk pulang sekolah walhal
ketika itu jam baru sahaja menunjukkan pukul 1.00 petang. Saya terus mengambil tindakan yang
tegas kepada pelajar dengan meminta pelajar membuat latihan. Arahan diberikan sekiranya
mereka gagal menyiapkan kerja yang diberikan, mereka akan ditahan daripada pulang sekolah
tepat pada masanya. Tindakan ini membuahkan hasil apabila saya berjaya mengawal semula
keadaan kelas. Pelajar dilihat membuat kerja yang diberikan dengan senyap. Namun begitu, saya
mendapati pelajar yang tidak membawa bukur teks sekali membuat masalah dan kesalahan
apabila mereka juga tidak membawa buku nota Sejarah.

Semasa saya sedang memberi penerangan kepada pelajar perempuan berkaitan topik
pembelajaran, penerangan saya telah terganggu apabila seorang pelajar India telah menjerit dari
dalam kelas kerana terlihat rakannya yang berjalan di koridor luar kelas. Pelajar tersebut terus
memanggil rakannya dengan melontarkan kata-kata yang agak kurang sopan seakan mahu
menunjukkan ekspresi perasaannya. Akhirnya waktu yang diperuntukkan dalam pengajaran saya
telah habis dengan sia-sia apabila loceng terakhir persekolahan dibunyikan. Secara
keseluruhannya, pengajaran saya pada hari itu tidak tercapai. Hal ini mendorong saya untuk
mengambil serius masalah ini dan mendapatkan bantuan serta nasihat daripada guru
pembimbing.

6.3 Bahagian III: Langkah Penambahbaikan Yang Disarankan Oleh Pensyarah


Penyelia Dan Guru Pembimbing Berdasarkan Isu Atau Masalah Tersebut.

Guru pembimbing telah menyarankan kepada saya supaya bersedia secara fizikal dan mental
setiap kali mengajar di kelas 2 Ibnu Khaldun. Beliau juga menyatakan bahawa guru seharusnya
bijak mengawal keadaan pelajar dan suasana kelas semasa pengajaran sedang dilaksanakan.
Tindakan saya yang kurang bijak dalam mengawal keadaan kelas secara tegas telah membuatkan
pelajar lebih berani dan tidak menghormati guru. Oleh itu, antara salah satu kaedah yang perlu
dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini ialah peneguhan positif dan negatif. Hal ini bertujuan
untuk membentuk tingkah laku pelajar yang kurang menghormati pengajaran guru dengan
memberi denda atau kata-kata pujian kepada pelajar bermasalah. Dalam penggunaan kaedah
peneguhan positif dan negatif, guru pembimbing telah memberikan beberapa contoh supaya saya
boleh mempraktikkannya dalam sesi pengajaran yang seterusnya di kelas tingkatan 2 Ibnu
Khaldun. Antaranya ialah memberi kata-kata pujian selepas pelajar melakukan sesuatu kerja dan
menepuk bahu pelajar di samping menasihatinya secara elok. Saya juga perlu menambahkan
waktu pembelajaran atau melepaskan pelajar tersebut lebih lambat berbanding rakan-rakannya
kerana membuat bising dan menganggu pengajaran guru. Menurut B. F Skinner (1904-1990),
teori peneguhan perlakuan adalah berdasarkan pembentukan kelakuan manusia melalui
peneguhan.

Peneguhan merupakan perkara yang dilakukan bagi menggalakkan sesuatu perlakuan itu
diulangi. Dalam hal ini, Skinner telah membahagikan peneguhan ini kepada peneguhan positif
dan peneguhan negatif. Menurut teori ini, guru dapat memotivasikan pelajar dengan memberikan
peneguhan secara positif. Manakala, peneguhan negatif seperti hukuman dan denda pula boleh
diberikan pelajar yang sering membuat kesalahan. Kaedah peneguhan positif dan negatif dapat
membantu guru dalam menghalang pelajar berkenaan daripada mengulangi kesalahan yang
sama. Robert H Woody (1969) dalam bukunya ‘The School and The Behaviour Problem Child’
menyatakan bahawa semua tingkah laku di sekolah dapat diperhatikan dalam pelbagai ragam dan
bentuk. Pelajar tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan dan suasana pembelajaran
sehingga mendorong membuat pelbagai kerenah yang mengganggu pengajaran guru. Oleh itu,
saya perlu memainkan peranan yang penting di samping sentiasa kreatif dalam menarik perhatian
pelajar melalui peneguhan positif bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku
dalam pembelajaran seterusnya.

6.4 Bahagian IV: Rancang semula pengajaran/ ubah suai tindakan bagi mengatasi isu
atau masalah tersebut.

Pada sesi pengajaran seterusnya, saya telah mengubah penambilan saya dengan menjadi lebih
tegas apabila setiap kali melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di kelas tingkatan 2 Ibnu
Khaldun. Saya telah memotivasikan diri dengan persediaan dari segi mental dan fizikal. Pada
kali ini, saya telah berjaya mengawal keadaan kelas dan pelajar yang sering membuat masalah
serta mengganggu pengajaran guru dengan mempraktikkan teori peneguhan dan perlakuan yang
dikembangkan oleh B.F Skinner. Setiap kali saya mendapati pelajar membuat masalah, saya
mulakan dengan menegur mereka secara baik di samping memberikan kata-kata pujian. Hal ini
bertujuan untuk mempengaruhi fikiran dan emosi mereka supaya mereka seakan rasa dihormati
dan disayangi oleh guru.

Kesannya, pelajar yang membuat masalah tersebut sedikit sebanyak telah mengubah
sikapnya daripada kurang menghormati pengajaran guru kepada pelajar yang sering mendengar
kata guru. Peneguhan positif pula dilakukan apabila setiap kali pelajar mendapat keputusan yang
baik dalam sesuatu ujian atau berjaya menjawab soalan dengan baik dalam sesuatu kuiz yang
diadakan oleh guru. Antara kaedah peneguhan positif yang saya praktikkan adalah memberi
ganjaran kepada pelajar-pelajar tersebut, kata-kata pujian dan perangsang. Peneguhan negatif
pula diberikan kepada pelajar yang membuat kesalahan semasa pengajaran guru melalui denda
seperti berdiri di hadapan kelas, menerangkan pengajaran guru kepada rakan sekelas dan
beberapa denda yang telah berjaya memotivasikan pelajar.
7.0 Isu 5: Masalah Disiplin Pelajar
7.1 Bahagian I: Mengenalpasti Isu Atau Masalah Semasa PdP.

Pada hari Rabu bertarikh 5 Ogos 2015, saya telah menjalankan pengajaran dan pembelajaran
bagi subjek Bahasa Malaysia tingkatan 1 Ibnu Sina. Pada hari tersebut, saya telah mengajar topik
tatabahasa, iaitu ayat tunggal. Sesi pengajaran itu berlangsung pada jam 10.30 pagi hingga 11.50
pagi. Sebelum memulakan pengajaran, saya telah menyediakan rancangan pengajaran harian
bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan pengajaran saya. Saya juga telah membuat
persediaan dengan menyediakan beberapa bahan bantu mengajar yang bertujuan untuk
memudahkan pemahaman pelajar semasa aktiviti PdP sedang berlangsung. Namun, sesi
pengajaran kali ini telah terganggu akibat masalah yang wujud daripada disiplin dan sikap
pelajar. Oleh itu, saya merumuskan bahawa masalah yang dihadapi oleh saya pada pengajaran
kali ini adalah disiplin pelajar terhadap keperluan pengajaran guru.

7.2 Bahagian II: Mengenalpasti Mengapa Isu Atau Masalah Tersebut Berlaku.

Dari segi latar belakang pelajar 1 Ibnu Sina, mereka terdiri daripada golongan pelajar yang aktif,
mudah menyesuaikan diri dengan pengajaran guru dan kebanyakannya terdiri daripada pelajar
yang mempunyai tahap pencapaian prestasi yang baik. Namun, mereka mempunyai masalah
disiplin yang melibatkan pengajaran guru di dalam kelas. Antara masalah disiplin yang seriang
dilakukan adalah tidak membawa buku teks dan bukut latihan, mencampuradukkan latihan
pelbagai subjek dalam satu buku, sering ponteng kelas walaupun hadir ke sekolah, sering keluar
kelas dengan alasan untuk ke tandas dan sebagainya. Masalah-masalah disiplin ini sememangnya
telah mengganggu konsentrasi saya semasa melaksanakan pengajaran. Hal ini juga turut
memberikan kesan apabila pelajar terbabit tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran akibat sering
keluar ke tandas. Pada mulanya, saya dapat mengawal keadaan kelas daripada hal tersebut
berlaku. Namun, lama kelamaan apabila mereka mula mengenali saya secara rapat mereka mula
menonjolkan sikap sedekimian sehingga menyebabkan saya menjadi buntu untuk memikirkan
jalan penyelesaian yang sesuai.

Dari segi pemberian latihan dan kerja sekolah pula, saya sememangnya suka memberikan
tarikh akhir atau ‘deadline’ kepada pelajar berikutan tidak mahu pelajar tersebut gagal
menyiapkan tugasan yang diberikan. Namun begitu, saya dapati bahawa pelajar masih gagal
menyiapkan tugasan. Hal ini ditambah dengan reaksi mereka yang tidak takut atau serik setiap
kali didenda oleh guru. Semasa saya melaksanakan pengajaran saya, pelajar juga didapati sering
membuat bising. Kadang kala terdapat seorang pelajar perempuan yang ingin ke tandas. Apabila
saya tidak mengendahkan permintaannya, pelajar perempuan tersebut kembali ke tempat
duduknya dan terus menangis. Sungguhpun saya masih tidak mengendahkan tingkah lakunya itu,
namun pengajaran saya tetap terganggu apabila pelajar lelaki mengusik rakan mereka yang
sedang menangis. Hal ini menyebabkan keadaan kelas mula menjadi huru-hara. Gangguan-
gangguan tersebut menyebabkan objektif pengajaran saya tidak tercapai sehingga memaksa saya
untuk mengulangi topik pembelajaran yang sama pada sesi pengajaran seterusnya. Hal ini
mengakibatkan saya mengalami masalah untuk menghabiskan silibus pengajaran sepanjang
tempoh latihan mengajar.

7.3 Bahagian III: Langkah Penambahbaikan Yang Disarankan Oleh Pensyarah


Penyelia Dan Guru Pembimbing Berdasarkan Isu Atau Masalah Tersebut.

Berdasarkan masalah yang dihadapi, saya telah menemui guru pembimbing bagi mendapatkan
jalan penyelesaian berkaitan masalah disiplin pelajar semasa pengajaran guru. Ee Ah Meng
(1990) menyatakan bahawa disiplin merupakan tingkah laku yang dipersetujui oleh sesuatu
kelompok masyarakat bagi mewujudkan tingkah laku yang baik demi kesejahteraan masyarakat
itu sendiri. Foucault (1977) pula menjelas bahawa disiplin merupakan satu bentuk pengawasan
dan membiasakan amalan yang dikehendaki. Pandangan beliau melihat sekolah sebuah ‘mesin
pedagogi’ dan pelajar didisiplinkan untuk mematuhi peraturan-peraturan. Hakikatnya,
permasalahan yang timbul membabitkan masalah disiplin pelajar sekolah telah membimbangkan
bayak pihak. Hal ini termasuklah masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar tingkatan 1 Ibnu
Sina sungguhpun masalah disiplin yang dilakukan tidak begitu ketara. Oleh itu, guru
pembimbing telah memberi beberapa komen dan saranan. Antaranya, saya telah disarankan
supaya tidak ‘memanjakan’ pelajar 1 Ibu Sina memandangkan saya dilihat lebih rapat dengan
mereka. Hal ini sememangnya menyebabkan pelajar kurang menghormati guru dan menganggap
bahawa mereka tidak mempunyai jurang hubungan sosial antara guru dan pelajar.
Apabila seseorang guru membuat pelajar sebagai kawan dengan alasan untuk memahami
dan mendekati masalah pembelajaran pelajar, pelajar akan lebih suka menyalahgunakan
hubungan tersebut. Keadaan ini adalah seperti yang sedang dilakukan oleh pelajar 1 Ibnu Sina
apabila mereka sering menyalahgunakan hubungan rapat dengan guru melalui tingkah laku yang
kurang disenangi oleh guru. Guru pembimbing juga menyarankan saya supaya bersikap lebih
tegas kepada pelajar bagi memastikan pelajar sedar bahawa mereka sedang berhubungan dengan
seorang guru dan bukan rakan mereka. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang
berlangsung, saya juga seharusnya memberi amaran berkaitan perkara-perkara yang melibatkan
keluar masuk pelajar, konsentrasi semasa pembelajaran serta hormat kepada guru. Bagi
mengelakkan masalah disiplin lain seperti tidak membawa buku teks dan latihan,
mencampuradukkan pelbagai subjek dalam satu buku atau ponteng kelas daripada terus berlaku,
saya perlulah mempraktikkan kaedah peneguhan positif dan negatif. Kaedah ini merupakan salah
satu cara yang berkesan dan sesuai digunakan terhadap pelajar yang sering melakukan masalah
disiplin semasa pengajaran guru.

7.4 Bahagian IV: Rancang semula pengajaran/ ubah suai tindakan bagi mengatasi isu
atau masalah tersebut.

Pada sesi pengajaran yang seterusnya, saya telah mengubah layanan dan tingkah laku saya
terhadap pelajar tingkatan 1 Ibnu Sina. Pendirian saya yang tegas sehingga dilabel sebagai ‘cikgu
garang’ telah memberi kesan baik kepada pengajaran saya apabila pelajar mulai berasa takut
untu membuat kesalahan disiplin. Pelajar juga dilihat tidak lagi menyalahgunakan hubungan
rapat dengan guru melalui tingkah laku yang kurang disenangi oleh guru atau membuat
kesalahan disiplin. Saya juga sering memberi amaran dan peringatan kepada pelajar agar tidak
lagi keluar masuk kelas, ponteng kelas sewktu saya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
penglibatan pelajar dalam sesi pengajaran adalah perkara utama yang dititikberatkan oleh saya.
Saya juga telah mengaplikasikan kaedah peneguhan positif dan negatif dalam pengajaran saya.
Penggunaan kaedah ini telah berjaya membentuk dan mengurangkan masalah disiplin pelajar
semasa di dalam kelas di samping berupaya memotivasikan pelajar untuk bersaing dalam
pembelajaran.
8.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, saya telah mengalami beberapa masalah yang melibatkan pengajaran
saya di dalam kelas. Hal ini demikian kerana, masalah-masalah ini wujud disebabkan keadaan
diri saya yang kurang bersedia terutamanya dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi
kerenah dan ragam pelajar yang pelbagai. Walau bagaimanapun, setelah diberi dorongan dan
sokongan oleh guru pembimbing dan pensyarah penyelia saya berjaya mengikis kelemahan-
kelemahan dan melakukan beberapa perubahan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran.
Saya menyedari bahawa tugas sebagai seorang memerlukan kredibiliti yang mampu
menghasilkan modal insan yang berguna atau berwawasan. Oleh itu, sesi latihan mengajar di
SMK Gedangsa telah memberi banyak pengalaman kepada saya dari segi budaya pelajar dan
persekitaran serta integriti dan keupayaan intelektual pelajar yang memerlukan persediaan yang
cukup sebagai seorang pendidik. Pengalaman ini turut didorong oleh tahap penglibatan sosial
antara guru dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti atau program sekolah yang memberi banyak
input kepada saya khususnya dalam hal menguruskan sesuatu aturcara program sama ada
akademik mahupun kokurikulum.
Rujukan

Effendi Zakaria. 1998. Pembelajaran Koperatif. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Johnson, D. W. Johnson, R. T & Holubec, E. J. 1988. Cooperative in the Classroom. Edina,


Minnesota: Interaction Book.

Kagan, S. 1992. Cooperative Learning. San Juan Capistrano, CA: Kagan Cooperative Learning.

Robert H Woody. 1969. The School and The Behaviour Problem Child. New York: Appleton
Century-Crofts.

Slavin, R. E. 1982. Cooperative Learning: Student Teams, What Research Says to the Teacher.
Washington, D. C: National Education Association.

Anda mungkin juga menyukai