Anda di halaman 1dari 2

1.

0 Refleksi Kendiri

Saya telah melanjutkan pengajian saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selama 4
tahun di peringkat ijazah pertama. Hakikatnya, UPSI bukanlah satu pilihan dan tidak terlintas di
fikiran saya untuk melanjutkan pengajian di institut ini sungguhpun saya tetap memilih bidang
pendidikan untuk meneruskan pengajian. Nama UPSI yang diletakkan dalam senarai
permohonan hanya berperanan sebagai syarat untuk memenuhi kekosongan senarai permohonan
ke universiti. Namun begitu, saya akhirnya telah juga dipilih untuk meneruskan kehidupan
sebagai mahasiswa di UPSI. Pengajian selama 4 tahun bermula pada September 2012 ini
merupakan detik permulaan saya untuk meneroka ilmu-ilmu baharu. Di UPSI, saya telah terpilih
untuk mengikuti kursus dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah (ISMP).
Sepanjang pengajian saya di UPSI, pelbagai pengalaman telah saya lalui sama ada cabaran
mahupun pengalaman manis semasa bergelar mahasiswa. Pengajian di UPSI telah mengajar saya
tentang asas-asas pengetahuan dan latihan terbaik untuk bergelar seorang pendidik.

UPSI juga turut menyediakan pelbagai kursus pedagogi pendidikan untuk melahirkan
golongan pendidik yang mempunyai kredibiliti yang tinggi. Pengajian di UPSI telah memberikan
saya tentang pengetahuan asas untuk membentuk ciri dan personaliti sebagai seorang bakal guru
apabila tamat pengajian. Banyak pengetahuan yang pada asalnya hanya terbatas di peringkat
sekolah telah diperoleh sepanjang pengajian saya di UPSI. Di sini juga saya berpeluang untuk
mengenali dunia akademik peringkat tinggi, mengenali pensyarah, rakan-rakan seperjuangan dan
berkongsi pendapat serta idea dalam hal melaksanakan sesuatu tugasan. Pengajian dalam bidang
Sejarah di UPSI memerlukan ketahanan fizikal dan mental berikutan jurusan ini memerlukan
penuntutnya untuk menjalankan kajian lapangan dan menjelajah universiti lain untuk
mendapatkan sumber serta bahan sejarah yang tidak terdapat di perpustakaan UPSI. Selain itu,
saya juga dapat melatih diri untuk berhadapan di khalayak ramai melalui pengalaman mengikuti
pelbagai program universiti dan juga program jabatan Sejarah. Saya berjaya mengikis sikap dan
perasaan malu apabila mula belajar bergaul dan bersosial dengan rakan-rakan. Hal ini
menyebabkan tahap keyakinan saya mula bertambah melalui pelbagai pembentangan tugasan
serta penglibatan aktif dalam sesuatu aktiviti yang dianjurkan.

Kritikan dan sokongan pensyarah dan rakan-rakan telah membantu saya untuk sentiasa
berazam agar dapat menjadi seorang pendidik yang berperanan menyampaikan ilmu kepada
orang lain suatu hari nanti. Saya juga sering didedahkan dengan latihan-latihan asas, teknik,
strategi pendidikan, kaedah pengajaran serta pelbagai kemahiran teori dan praktikal sebagai salah
satu persediaan asas untuk saya melangkah ke alam pekerjaan sebagai seorang bakal guru. Ilmu
pengetahuan ini telah membantu saya dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Latihan mengajar yang dijalankan selama lebih kurang 4 bulan juga telah mendedahkan saya
kepada alam pekerjaan yang sebenar. Di sini juga saya telah menjalani latihan makro dan mikro
yang bertujuan untuk saya merasai latihan pra pengajaran seakan-akan mengajar di sekolah.
Tanggungjawab sebagai seorang pendidik bukanlah suatu pekerjaan yang mudah dan sangat
memerlukan ketahanan serta keupayaan mental dan fizikal yang tinggi. Guru seharusnya sentiasa
memiliki sikap kreatif, lontaran idea-idea bernas dalam menarik perhatian pelajar serta memupuk
minat dan keseronokan mereka ke arah pembelajaran. Oleh itu, di UPSI saya telah didedahkan
dengan pelbagai kaedah untuk menghasilkan bahan bantu mengajar yang menarik.
Sesungguhnya pengalaman belajar di UPSI merupakan satu pengalaman yang paling manis bagi
saya.

Anda mungkin juga menyukai