Anda di halaman 1dari 6

ANALISIS TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

1.0 KONSEP DAN PRINSIP PERKEMBANGAN

Perkembangan didefinisikan sebagai perubahan tingkah laku yang tersusun dan teratur.
Semua perubahan dalam perkembangan ini akan membantu individu dalam proses mencapai
kematangan. Perkembangan juga merupakan perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara
kuantitatif serta menunjukkan sifat yang berbeza daripada tahap perkembangan yang terdahulu
(Zainuddin Abu Bakar, 2008). Perkembangan mempunyai prinsip-prinsip tertentu, antaranya
adalah setiap perkembangan akan berlaku secara berperingkat iaitu daripada peringkat bayi,
kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua (Zainuddin Abu Bakar, 2008). Selain itu, prinsip
perkembangan memperlihatkan semua kanak-kanak mengikut perkembangan yang sama tetapi
dalam kadar yang berbeza. Oleh sebab itu, ada kanak-kanak yang cepat dalam menguasai suatu
perkara dan juga lambat dalam menguasai kemahiran baharu. Proses perkembangan juga
berterusan iaitu berlaku sepanjang hayat individu tersebut.

Pertumbuhan bermaksud suatu perubahan yang boleh dinilai atau diukur satu peringkat
ke satu peringkat perkembangan yang lain dari satu jangka masa ke satu jangka masa yang lain.
Selain itu, pertumbuhan juga melibatkan perubahan dari segi kuantiti seperti berat badan, tinggi,
lebar dada dan sebagainya yang dapat dilihat pada sesuatu organisma dengan jelas (Kamarudin
Husin, 1997). Kuantiti pertumbuhan tersebut dapat dilihat dengan jelas daripada pengukuran
yang dibuat dari semasa ke semasa. Pertumbuhan berlaku dari dua arah iaitu dari atas ke bawah
dan dari tepi ke tengah (Mok Soon Sang, 2012). Bidang kajian psikologi pertumbuhan dan
perkembangan amat penting bagi memahami mekanisme, proses dan meramal tingkah laku
(Sharifah Alwiah Alsagoff, 1987). Oleh itu, guru-guru atau bakal guru perlulah menguasai
pengetahuan mengenai perkembangan dan pertumbuhan.

2.0 PENGENALAN TEORI-TEORI PERKEMBANGAN

Jean Piaget merupakan seorang ahli psikologi dan pengasas kepada teori perkembangan
kognitif Piaget (Paul Suparno, 2006). Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, Piaget melihat
bahawa setiap kanak-kanak mempunyai cara berfikir yang berbeza dan hal ini mempengaruhi
pandangan Piaget terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak. Piaget menggunakan soalan
yang bersifat subjektif berbanding objektif untuk memberi kebebasan kepada kanak-kanak dalam
proses meneroka pemikiran mereka dan hal ini dapat menggambarkan sudut pandangan kanak-
kanak terhadap persekitaran mereka. Oleh itu, abstrak dan hipotesis menjadi ukuran tertinggi
Piaget dalam menentukan tahap perkembangan kognitif. Piaget juga percaya bahawa pemikiran
golongan dewasa dan kanak-kanak berbeza bukan kerana pemikiran kanak-kanak kurang
efisien, tetapi kedua2 golongan ini mempunyai sudut pandang yang berbeza terhadap sesuatu
perkara. Piaget juga melihat peranan tindakan kanak-kanak sebagai suatu sumber
perkembangan kognitif (Paul Suparno, 2016).

Lev Vygotsky (1896-1934) seorang ahli psikologi dari Belarus, Rusia merupakan pelopor
teori konstruktivisme sosial . Bermula dari asas kajian beliau mengenai teori perkembangan
kognitif, teori konstruktivisme berkembang dan kajiannya masih diguna pakai untuk penyelidikan
sehingga ke hari ini (Noriati et. al, 2012). Dari sudut perspektif perkembangan kanak-kanak,
Vygotsky berpendapat bahawa interaksi sosial dan kemahiran berbahasa merupakan faktor
utama dalam perkembangan kognitif. Hal ini kerana kanak-kanak tidak dapat membina
pengetahuannya sendiri tentang persekitaran dan pengetahuan tersebut hanya dapat dibina
melalui interaksi sosial dengan individu-individu yang berada di persekitarannya seperti ibu bapa,
guru, adik-beradik, keluarga terdekat dan rakan sebaya (Wan Rosliza dan Faridah, 2017). Sosial
dilihat penting kerana konsep perkembangan kanak-kanak berkembang dapat secara sistematik,
logikal serta rasional dengan bantuan dan bimbingan verbal orang lain.

Avram Noam Chomsky ialah ahli psikolinguistik dari Philadelphia, Amerika Syarikat
berpendapat bahawa kanak-kanak dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa yang dikenali
sebagai LAD (Language Acquisition Devise). Buktinya, sewaktu dalam lingkungan umur tiga
tahun, kanak-kanak sudah boleh bercakap dengan menggunakan tatabahasa secara semulajadi
kerana kebanyakan sistem bahasa di dunia mempunyai tatabahasa yang standard. Chomsky
juga berpendapat setiap manusia yang dilahirkan mempunyai keinginan untuk memahami dunia
Dan melalui keinginan ini inilah kanak-kanak dapat mengecam bunyi bahasa dan dapat
merumuskan maksud di sebaliknya agar dapat mencapai suatu kefahaman tentang
persekitarannya (Wong Kiet et. al, 2016).

3.0 PERINGKAT PERKEMBANGAN

Berdasarkan teori Piaget, pemikiran kanak-kanak berkembang melalui empat peringkat


iaitu peringkat sensori motor, peringkat praoperasi, peringkat operasi konkrit dan peringkat
operasi formal (Wong Kiet et. al, 2016). Peringkat sensori motor bermula sejak bayi dilahirkan
sehingga usia sekitar dua tahun di mana tahap kefahaman kanak-kanak adalah berdasarkan
penggunaan pancaindera dan kemahiran motor sedia ada tehadap persekitarannya (Paul
Suparno, 2016). Perkembangan sensori motor melibatkan proses asimilasi dan akomodasi
apabila pengalaman baru terhadap ransangan deria yang dialami oleh kanak-kanak perlahan-
lahan melengkapi skema atau pengetahuan sedia ada mereka. Pada peringkat praoperasi kanak-
kanak mula menunjukkan kebolehan mereka berbahasa dengan menggunakan simbol untuk
mewakili pemikiran mereka dan perkembangan kognitif tidak lagi terikat dengan aktiviti motor.
Kanak-kanak ketika ini juga mempunyai pemikiran intuitif iaitu penaakulan primitif dan bersifat
egosentrik (Wong Kiet et. al, 2016).

Pada peringkat operasi konkrit pula, kanak-kanak mula meninggalkan sifat egosentrisme
yang belum dapat membezakan pandangannya dengan pandangan orang lain kepada
penaakulan secara logik. Namun begitu, penaakulan secara logik terbatas kepada objek-objek
konkrit dan pengalaman lansung (Mok Soon Sang, 2012). Kanak-kanak juga mula mengekalkan
konsep padanan, konsep keterbalikan, konsep pengabdian dan juga dapat mengelaskan dan
menyusun objek mengikut kategori. Misalnya, konsep pengabdian, kanak-kanak sudah dapat
menyimpulkan bahawa kuantiti air dalam suatu bekas tidak akan berubah sekiranya air tersebut
dipindahkan ke dalam bekas yang lebih besar atau lebih kecil. Peringkat operasi formal bermula
selepas kanak-kanak mencapai umur 12 tahun di mana mereka mempunyai kemampuan untuk
berfikir secara abstrak dan berkebolehan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks (Mok
Soon Sang, 2012).

Berdasarkan teori konstruktivisme sosial oleh Vygotsky, terdapat tiga peringkat


perkembangan iaitu internalization, scaffolding dan zon perkembangan proksimal. Internalization
adalah suatu proses di mana seseorang beransur-ansur menyebatikan aktiviti-aktiviti sosial yang
dilaluinya ke dalam proses kognitif. Daripada proses ini, kanak-kanak akan mula untuk
menggunakan bicara kendiri (self talk) dan bicara hati (inner speech) (Wong Kiet et. al, 2016).
Dalam kehidupan seharian, kanak-kanak akan mengadaptasi persekitaran sekeliling mereka dan
menjadikan apa yang dilihatnya setiap hari sebagai suatu kebiasaan yang seterusnya melahirkan
budaya. Misalnya, seorang ibu yang sering menegur dan mendidik anaknya tentang bersopan
santun sejak dari kecil akan menjadikan kanak-kanak tersebut peka tentang tatasusilanya kerana
menjadi suatu kebiasaan bagi kanak-kanak tersebut untuk menjaga tingkah lakunya. Oleh itu,
didikan dari rumah oleh ibu bapa amat penting dalam membentuk peribadi individu yang
berakhlak mulia.

Seterusnya, scaffolding membawa maksud suatu kerangka yang menyokong proses


pembelajaran individu. Proses ini memperlihatkan perkembangan kognitif kanak-kanak akan
berlaku pada tahap tertinggi dengan tunjuk ajar orang yang lebih dewasa berbanding melakukan
suatu tugas secara bersendirian (Wong Kiet et. al, 2016). Kanak-kanak seringkali membuat
tafsiran sendiri berdasarkan pemahaman asas mereka terhadap situasi persekitaran dan hal ini
perlu diperbetulkan ataupun dipandu oleh orang yang lebih dewasa terutamanya tehadap
pemahaman yang negatif. Seterusnya, Vygotsky mengemukakan idea tentang zon
perkembangan proksimal (ZPP) iaitu perkembangan kognitif kanak-kanak dapat dipertingkatkan
dan diperkukuhkan melalui interaksi dengan individu yang berkebolehan (Wong Kiet et. al, 2016)

Teori perkembangan bahasa Chomsky mengemukakan dua andaian asas, pertama


manusia memiliki kapasiti kognitif yang spesifik untuk berbahasa, Hal ini merujuk kepada LAD
yang terdapat pada setiap bayi yang dilahirkan. Oleh sebab itu, seseorang individu cenderung
untuk berbahasa mengikut bahasa yang digunakan oleh individu di sekelilingnya. Kedua,
perkembangan bahasa kanak-kanak adalah mengikut suatu program biologikal dan kronologikal
yang telah dijadualkan (Wong Kiet et. al, 2016). Umur satu hingga lima tahun merupakan tempoh
penguasaan bahasa yang paling kritikal dan mereka mudah menerima pengaruh bahasa yang
pertama yang didedahkan kepada mereka (Wong Kiet et. al, 2016). Oleh itu amat penting untuk
ibu bapa serta ahli keluarga yang lain menggunakan tutur kata yang baik ketika tempoh ini supaya
perkembangan bahasa kanak-kanak itu menjurus kepada perkataan yang positif seterusnya
mencerminkan keperibadian mereka apabila dewasa.

3.0 ANALISIS TEORI

Ketiga-tiga teori ini dilihat mempunyai peringkat-peringkat tertentu dalam aspek perkembangan
kanak-kanak. Proses perkembangan bermula sejak dari bayi dilahirkan sehingga dewasa dan
mempunyai ciri-ciri tertentu mengikut tahap perkembangan. Peringkat perkembangan ini juga
bermula dari tahap yang mudah kepada yang lebih sukar menjadikan ia suatu pemeringkatan
yang sistematik dan teratur bagi individu. Tahap kesukaran setiap peringkat juga berdasarkan
keupayaan individu mengikut peringkat umur. Setiap peringkat tersebut tidak akan sama dengan
peringkat sebelumnya iaitu lebih sukar sesuai dengan umur yang semakin meningkat. Teori
Piaget dan Vygotsky menunjukkan persamaan apabila kedua-duanya menekankan teori
konstruktivisme cuma berbeza aspek di mana Piaget lebih cenderung kepada perkembangan
kognitif dan psikologi manakala Vygotsky memfokuskan kajian beliau terhadap hubungan sosial.
Piaget dan Vygotsky berpendapat kanak-kanak bersifat aktif dan memiliki kemampuan untuk
membangunkan pengetahuannya secara emosi melalui refleksi terhadap pengalaman
(Ernawulan, 2008).

Perbezaan yang dapat dilihat daripada teori-teori perkembangan adalah proses


perkembangan kanak-kanak itu berlaku. Chomsky berpendapat bahawa individu akan
menguasai bahasa secara genetik dan kronologikal kerana setiap manusia mempunyai
kecenderungan untuk berbahasa sejak dilahirkan. Piaget pula menekankan bahawa
perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berdasarkan pengalaman mereka dalam
memperolehi pengetahuan yang baharu. Manakala Vygotsky menekankan interaksi sosial dalam
setiap peringkat perkembangan kanak-kanak. Biarpun pelopor teori-teori ini membincangkan
tentang bahasa dalam proses perkembangan namun masih terdapat perbezaan dalam
penggunaan bahasa. Piaget percaya bahawa bahasa sebagai alat menajamkan fikiran manakala
Vygotsky menekankan bahasa sebagai elemen utama dalam pemikiran kerana manusia
memerlukan bahasa untuk berkomunikasi.

4.0 RUMUSAN

Pengetahuan tentang teori-teori perkembangan ini amat penting dalam memberi implikasi
untuk guru terutamanya dalam merancang kaedah pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan
teori Piaget, guru dapat menyediakan suasana pembelajaran yang interaktif dengan
menyediakan aktiviti permainan yang bersesuaian dengan peringkat umur. Melalui kaedah ini,
hasil pembelajaran yang diterima oleh kanak-kanak adalah lebih berkesan kerana menggunakan
sensori motor yang aktif pada peringkat umur tersebut. Guru perlu memperbanyakkan aktiviti
hands-on dan minds-on disamping memberi bimbingan, bantuan dan penjelasan untuk
memahami persekitaran sekeliling kanak-kanak. Teori Vygotsky memberi panduan kepada guru
untuk memberi bimbingan terarah supaya murid lebih yakin dalam suatu pembelajaran baharu.
Apabila murid bertambah yakin, guru perlu memberi peluang untuk kanak-kanak untuk melalui
proses pembelajaran kendiri. Teori Chomsky memudahkan guru untuk menyusun kaedah
pengajaran secara sistematik kerana perkembangan bahasa adalah mengikut kronologi, dari
tahap yang mudah kepada yang lebih sukar. Guru juga mudah untuk mengajar perkataan atau
bahasa yang baharu kerana setiap kanak-kanak mempunyai kecenderungan untuk menguasai
pelbagai bahasa namun pengenalan kepada kosa kata baharu masih memerlukan bimbingan
daripada guru.
Kesimpulannya, penguasaan dan penerapan ilmu berkaitan teori perkembangan kanak-
kanak amat penting supaya kaedah pengajaran di sekolah tidak lagi bersifat konvensional. Guru
perlulah peka terhadap perkembangan kanak-kanak agar kaedah pendekatan guru lebih
berkesan dan dapat mengatasi masalah dengan lebih efisien dan tidak menjejaskan emosi serta
fizikal kanak-kanak.

RUJUKAN

Ernawulan Syaodih. (2008). Model Bimbingan Perkembangan di Taman Kanak-kanak. Seminar


Internasional. Universitas Pendidikan Indonesia, 9 April.

Kamarudin Husin. (1997). Psikologi Bilik Darjah: Asas Pedagogi. Kuala Lumpur: Utusan
Publications.

Mok Soon Sang. (2012). Siri Ilmu Pendidikan: Perkembangan Kanak-kanak. Puchong:
Penerbitan Multimedia.

Noriati Abdul Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2012). Siri Pendidikan
Guru: Murid dan Alam Belajar. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Paul Suparno. (2006). Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget. Jogjakarta: Penerbit Kanisius.

Sharifah Alwiah Alsagoff. (1987). Psikologi Pendidikan 1 : konsep-konsep asas psikologi, dan
psikologi pendidikan, psikologi perkembangan. Kuala Lumpur: Heinemann Asia.

Wan Rosliza Wan A. Rahman & Faridah Yunus. (2017). Cabaran dalam meningkatkan
kemahiran kognitif kanak-kanak prasekolah: penaksiran autentik sebagai alternatif.
Diakses pada 27 Julai 2018 dari http://conference.kuis.edu.my/pasak2017/images/
prosiding/pendidikan/13-WAN-ROSLIZA--UKM.pdf

Wong Kiet Wah, Mohamad Isa Razis & Rafidah Ruhani. (2016). Siri Pendidikan Guru:
Perkembangan Kanak-kanak. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Zainuddin Abu Bakar. (2008). Bab 2: Teori-teori Perkembangan. In: Psikologi Pendidikan. Skudai:
Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai