Anda di halaman 1dari 1

REFLEKSI

Berdasarkan pengalaman merancang aktiviti muzikal dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP)
muzik, terdapat beberapa kekuatan dan kelemahan yang dikenalpasti. Pengintegrasian
pendekatan oleh Kodayl, Orff dan Dalcroze dalam pengajaran guru adalah sukar kerana setiap
pendekatan mempunyai kaedah dan penekanan terhadap aspek yang berbeza. Pendekatan
Kodayl lebih cenderung kepada suara sebagai alat muzik semula jadi dan aktiviti nyanyian
menyebabkan penggunaan alat muzik dalam pengajaran diketepikan. Pendekatan Orff pula
menyarankan penggunaan alat muzik seperti perkusi dan rekoder dalam pengajaran manakala
Dalcroze menekankan pergerakan tubuh badan bagi meningkatkan kefahaman terhadap elemen
muzik.

Penekanan aspek atau aktiviti yang berbeza dalam setiap pendekatan menyebabkan guru
sukar untuk mengintegrasi kesemua kaedah dalam pengajaran mereka. Malah, masa pengajaran
selama 30 minit adalah tidak mencukupi untuk melaksanakan kesemua aktiviti tersebut.
Tambahan pula, guru perlu memastikan standard pembelajaran dan objektif yang ditetapkan
dapat dicapai dalam proses PdP. Keadaan ini menyebabkan pengintegrasian pelbagai
pendekatan diabaikan oleh guru kerana terlalu memberi fokus kepada standard pembelajaran
dan objektif yang telah ditetapkan. Selain itu, terdapat juga pendekatan yang kurang sesuai untuk
digunakan dalam standard pembelajaran tertentu. Biarpun begitu, guru tetap perlu berusaha
untuk mengintegrasi pelbagai kaedah dan pendekatan dalam pengajaran mereka dengan bijak.
Oleh itu, guru perlu mengenalpasti perbezaan, persamaan, kelebihan dan kekurangan yang
terdapat dalam setiap pendekatan. Melalui analisis ini, guru dapat menggabungkan pendekatan-
pendekatan tersebut dengan lebih efektif. Misalnya, aspek pergerakan yang kurang ditekankan
dalam pendekatan Kodayl dapat ditampung dengan mengaplikasi pendekatan Dalcroze. Guru
juga perlu mengenalpasti dan memilih pendekatan yang sesuai dengan standard pembelajaran
bagi mencapai objektif pembelajaran.

Pengintegrasian kaedah yang dicadangkan oleh tokoh pendidik muzik perlu dilaksanakan
dengan kreatif oleh guru bagi memenuhi domain kognitif, psikomotor dan afektif murid. Hal ini
selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara, iaitu melahirkan individu yang seimbang dari
pelbagai aspek. Justeru, kejayaan guru melaksanakan PdP yang mengintegrasi pelbagai
pendekatan akan merealisasikan hasrat negara bagi membentuk modal insan kelas pertama.
Melalui pengintegrasian ini juga akan menjadikan pembelajaran muzik lebih bermakna apabila
murid berasa seronok untuk mengikuti proses PdP dan memahami konsep muzik dengan
mendalam.

Anda mungkin juga menyukai