Anda di halaman 1dari 9

LAPORAN KURSUS KEKELUARGAAN ISLAM

1.0 PENGENALAN PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN


Satu kursus tentang fiqh kekeluargaan Islam telah dianjurkan oleh pihak Jabatan
Pendidikan Islam Dan Moral (JAPIM) Institut Pendidikan Kampus Ilmu Khas telah diadakan pada
16 Jun 2018 yang lalu. Kursus Kekeluargaan Islam ini telah disampaikan oleh dua orang
penceramah jemputan dari Jabatan Bantuan Guaman Selangor iaitu Tuan Atras bin Mohamad
Zin dan pensyarah kanan Jabatan Pengajian Islam dan Moral (JAPIM) Institut Pendidikan Guru
Kampus Ilmu Khas iaitu Ustaz Zaradi bin Sudin.
Perkahwinan adalah suatu ikatan yang terbentuk antara lelaki dan perempuan yang
berlandaskan syariat Islam dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam
melalui lafaz akad nikah yang sah bagi menjalani sebuah kehidupan berumah tangga iaitu
sebagai suami isteri. Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur.
Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara
lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, mengikut
peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkahwinan juga adalah suatu ikatan yang teguh antara
lelaki dengan perempuan melalui akad nikah yang sah untuk menjalani kehidupan
berumahtangga sebagai suami dan isteri menggunakan nama Allah SWT sebagai penguat ikatan
tersebut. Perkahwinan disyariatkan dalam Islam bertujuan untuk mengembangkan zuriat
manusia melalui cara yang halal sebagai penyambung keturunan untuk kesejahteraan hidup di
dunia dan di akhirat.

Firman Allah s.w.t


Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah
menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada
(Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat
keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu
selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan
(silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas)
kamu”.

AnNisaa' Ayat 1

Dalam Islam, perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah s.a.w. yang
merupakan perlaksanaan terhadap tuntutan fitrah manusia. Orang yang berkahwin akan dapat
mengatur suatu kehidupan yang baik, sempurna, dan penuh bertanggungjawab.
Walaubagaimanapun, tidak semua pasangan mampu mengharungi alam rumah tangga menurut
syariat Islam yang akhirnya gagal dan berakhir dengan sebuah perceraian.

Perceraian ialah perihal (kejadian) bercerai antara suami isteri. Perceraian bermaksud
menamatkan hubungan perkahwinan sama ada dengan pilihan suami atau dengan keputusan
mahkamah. Perceraian dari segi bahasa bermaksud berpisah. Dari segi istilah pula bermaksud
keruntuhan hubungan perkahwinan dan terputusnya hubungan suami isteri dengan bersebab.
Perceraian melibatkan kerosakan hubungan silaturahim antara dua keluarga, anak-anak,
mahkamah dan masyarakat. Ia bukan sesuatu yang manis. Tetapi sangat pahit dan perit bagi
mereka yang melaluinya. Perceraian yang biasa kita dengar atau yang diamalkan oleh orang
Malaysia ialah cerai melalui lafaz talak yang hanya boleh dibuat oleh suami. Talak adalah hak
suami kerana hanya suami yang boleh melafazkannya.

2.1 PROSEDUR PERKAHWINAN

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menetap satu prosedur atau garis
panduaan yang harus diikuti bagi setiap individiu muslim yang ingin mendirikan rumah tangga di
Malaysia. Prosedur yang telah ditetapkan adalah ditetapkan oleh majlis agama Islam di negeri
masing masing dan JAKIM hanya menggariskan panduan umum sahaja. Prosedur ini perlu diikuti
agar proses perkahwinan dan pernikahan tidak akan menimbulkan kesan kepada perkahwinan
kelak.
Perkara pertama yang perlu diambil kira oleh setiap pasangan islam yang ingin
berkahwin ialah telah menghadiri kursus pra perkahwinan Modul Bersepadu Kursus Pra
Perkahwinan Islam (MBKPPI) dan memiliki Sijil Kursus Pra Perkahwinan MBKPPI. Kursus
ini biasanya dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dengan kerjasama
daripada syarikat-syarikat yang berdaftar dibawah JAIN. Sijil yang diperolehi daripada
kursus ini akan dapat melayakkan pasangan tersebut untuk membuat permohonan
kahwin (Garis Panduan Bagi Prosedur Pentadbiran Perkahwinan Penceraian Dan Ruju’).

Langkah yang kedua ialah permohonan kebenaran berkahwin perlu melalui ujian
saringan hiv di klinik kesihatan kerajaan. pengesahan dari Penolong Pendaftar hendaklah
dihantar semula ke Jabatan Agama Islam ditempat masing-masing bersama dengan
keputusan Ujian Saringan HIV yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.
Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, maka proses permohonan kebenaran
berkahwin akan diteruskan.

Namun begitu, sekiranya keputusan HIV adalah positif, maka permohon perlu
menjalani sesi khidmat nasihat di Jabatan Agama sebelum meneruskan permohonan
kebenaran berkahwin. Seterusnya, pemohon, pasangan dan keluarga akan diberi
pendedahan tentang implikasi HIV. Kemudian, pemohon dan pasangan akan diminta
membuat keputusan sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.
Sekiranya pemohon dan pasangan membuat keputusan untuk meneruskan perkahwinan,
maka permohonan kebenaran berkahwin akan diproses. Setelah itu, pemohon dan
pasangan perlu merujuk kepada pakar perubatan untuk penjagaan kesihatan seterusnya.

Langkah ketiga ialah setiap pasangan perlu mengisi borang permohonan


kebenaran berkahwin yang ditetapkan oleh JAIN mengikut peraturan dan Undang-undang
keluarga Islam (JAKIM, 2008). Antara peruntukan undang-undang yang perlu dipatuhi
berkaitan Hal Ehwal Perkahwinan ialah kuasa mengurus perkahwinan, prosedur
perkahwinan, kebenaran berkahwin, tempat perkahwinan dan pendaftaran perkahwinan.

Terdapat banyak kes yang mana pasangan tidak mengikut prosedur kebenaran
perkahwinan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, setiap pasangan yang
bakal berkahwin perlu prihatin akan perkara ini untuk mengelakkan kekeliruan di masa
akan datang. Borang permohonan kebenaran berkahwin boleh diperolehi daripada JAIN,
Pejabat Agama Daerah atau Penolong Pendaftar Perkahwinan di tempat pasangan
bermastautin (Buku Panduan Proses Nikah, Cerai Ruju’,2010). Setelah itu, borang telah
lengkap diisi hendaklah dihantar ke Jabatan Agama Islam Negeri atau pun Pejabat Agama
Islam Daerah di tempat pemohon bermastautin beserta beberapa dokumen seperti
salinan sijil kelahiran, salinan kad pengenalan pemohon, sijil kursus Pra Perkahwinan
MBKPPI, keputusan saringan HIV, surat akuan teruna, surat perakuan cerai jika pemohon
bercerai hidup, surat perakuan mati jika pemohon bercerai mati, surat akuan memeluk
islam jika saudara baru dan surat kebenaran daripada Jabatan polis dan tentera jika
pemohon anggota polis dan tentera

Terdapat beberapa kes yang harus dilihat dan dipastikan oleh pendaftar
perkahwinan bagi mendapatkan kebenaran berkahwin dan harus dirujuk kepada
mahkamah. Antara kes tersebut adalah perempuan tidak mempunyai wali nasab atau wali
enggan, pasangan atau salah seorang kepada perkahwinan itu masih di bawah umur,
perkahwinan itu secara poligami dan perempuan yang bercerai dan belum disetubuhi oleh
suami.

Akad nikah haruslah dilakukan di tempat pemohon perempuan bermastautin


setelah selesai menyiapkan Surat Kebenaran untuk Berkahwin. Namun, tempat tersebut
boleh diubah mengikut permohonan pemohon sekiranya dibenarkan oleh Pendaftar
Perkahwinan, Cerai dan Rujuk. Pendaftar akan mendaftarkan pasangan tersebut setelah
akad nikah dilangsungkan sekiranya pernikahan mereka menepati syarak dan mematuhi
Undang-undang Keluarga Islam. Sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan
sepanjang proses perkahwinan, pasangan tersebut boleh dikenakan penalti seperti yang
telah ditetapkan oleh Undang-undang Keluarga Islam (JAKIM, 2008). Oleh itu penting
untuk setiap pasangan yang ingin berkahwin menyediakan persiapan yang rapi sebelum
berkahwin.

2.2 PROSEDUR PERCERAIAN

Sekiranya sebuah perkahwinan tidak dapat diteruskan dan boleh menimbulkan


kemudaratan kepada pasangan yang berkahwin, jalan penyelesaian terakhir adalah dengan
penceraian. Tidak dapat dinafikan banyak kes perceraian yang berlaku di Malaysia. Sebanyak
171,252 kes penceraian melibatkan pasangan Islam direkodkan dalam tempoh tidak sampai tiga
tahun, sekali gus menunjukkan institusi kekeluargaan kini semakin rapuh dan berdepan cabaran
yang perlu diatasi segera (Utusan Melayu,11 Oktober 2017). Berdasarkan kursus Kekeluargaan
Islam yang telah saya sertai, berikut merupakan prosedur perceraian dalam Islam.
Langkah pertama adalah pembubaran perkahwinan. Perkara ini berlaku apabila
suami melepaskan ikatan dengan menggunakan lafaz cerai, talak atau seumpamanya.
Terdapat tiga perkara yang boleh menyebabkan pembubaran perkahwinan iaitu talak iaitu
perceraian dengan kehendak suami sama ada talak satu, dua atau tiga. Yang kedua pula
ialah khuluk ataupun perceraian dengan persetujuan bersama serta mempunyai bayaran
kepada pihak suami dan akhir sekali fasakh iaitu perceraian dengan perintah mahkamah.

Langkah kedua ialah melakukan permohonan pembubaran perkahwinan. Setiap


pasangan yang ingin bercerai hendaklah melaporkan kes perceraian mereka kepada
Pejabat Agama Islam Daerah di tempat di mana dia telah bermastautin. Pemohon juga
diwajibkan membawa beberapa dokumen yang berkaitan. Antara dokumen Perunding
Cara kemudiannya akan mengenal pasti tuntutan berdasarkan peruntukan dalam Akta
dari Enakmen Udang-undang Keluarga Islam. Pemohon pula hendaklah mendapatkan
borang perceraian di Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah.

Langkah terakhir adalah pendaftaran kes cerai. Pemohon hendaklah


mendaftarkan tuntutan sama ada sendiri atau melalui peguamnya ke Mahkamah Syariah
berserta dokumen-dokumen yang perlu seperti kad pengenalan dan Sijil Nikah. Pendaftar
hanya boleh mengeluarkan Surat Perakuan Cerai setelah pemohon membuat
pembayaran pendaftaran cerai. Pendaftar juga hendaklah mengeluarkan Surat Perakuan
Cerai dalam tempoh 30 hari dari tarikh pendaftaran perceraian. Perdaftaran kes ini amat
penting bagi memastikan rekod dapat disimpan untuk kegunaan di masa akan datang.
3.0 PERKAHWINAN YANG MELANGGAR ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

Kes Perkahwinan Adun Paka Dengan Isteri Ketiga.

Mastura Othman, 47, mengemukakan permohonan cerai ke atas Adun Paka, Zakaria @
Ariffin Abdullah, 60, di Mahkamah Rendah Syariah Dungun pada 4 Februari 2013. Menurut
Mastura, isteri kedua Zakaria @ Ariffin, perkahwinan suaminya dengan isteri ketiga itu adalah
diluar pengetahuan beliau dan hanya mengetahuinya melalui gambar di sebuah majalah. Zakaria
@Ariffin juga telah berkahwin tanpa persetujuan daripada mahkamah dan ini jelas menunjukkan
kesalahan bagi kes undang-undang Syariah Malaysia.

Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) Seksyen 22 yang


melibatkan poligami adalah tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang
perempuan lain di mana-mana tempat dalam masa dia masih beristerikan isterinya yang sedia
ada kecuali dengan terlebih dahulu mendapat kebenaran secara bertulis dari Hakim Syarie.
Penalti boleh diberikan kepada si suami di bawah seksyen 125 dan 126 dalam perkara
perkahwinan tanpa kebenaran dan poligami tanpa kebenaran daripada mahkamah.

Perkahwinan tanpa kebenaran

125. Jika seseorang lelaki atau perempuan berkahwin di mana-mana tempat tanpa
mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Pendaftar atau Hakim
Syarie maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak
melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Poligami tanpa kebenaran Mahkamah

126. Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa
perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara
bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah maka dia adalah melakukan suatu kesalahan
dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi
satu tahun atau kedua-duanya.

Dalam kes Adun paka ini, beliau telah dikenakan denda bagi kedua dua pertuduhan
sebanyak rm1000 untuk setiap pertuduhan sebagai penalti oleh pihak mahkamah. Mastura juga
telah menfailkan tuntutan cerai kepada mahkamah.

Aeril Zafrel & Wawa Zainal Nikah Dua Kali.

Kes yang kedua pula melibatkan perkahwinan diantara Suhairil Suhari atau dikenali umum
Aeril Zafrel dan isterinya Wawa Zainal. Perkahwinan mereka menggemparkan Malaysia kerana
telah berkahwin sebanyak 2 kali. Pada 25 Februari 2012, pasangan itu telah bernikah secara
rahsia tanpa dihebohkan kepada pihak media. Aeril juga menjelaskan sebab-sebab mengapakah
mereka bernikah tanpa mengikut prosedur undang-undang yang sedia ada di negara ini, Aeril
menjelaskan yang dia mendahulukan undang-undang Allah daripada undang-undang manusia
kerana mahu sebuah hubungan yang halal di sisi Islam.

Namun selepas Wawa mengandung, mereka telah bernikah semula pada 4 Februari 2013
kerana mahu mengikut Undang-undang Keluarga Negeri Selangor. Hal ini bagi membolehkan
anak mereka di-binkan dengan nama Aeril. Punca lain mengapa mereka bernikah dua kali dan
merahsiakan pernikahan mereka adalahkerana pada ketika itu Wawa meminta Aeril merahsiakan
kerana pihak MIG, iaitu pihak pengurusan Wawa tidak membenarkan kami bercinta apatah lagi
berkahwin.

Dibawah seksyen 40(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (negeri Selangor) 2003
Aeril dan Wawa telah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga
RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.didenda maksimum RM1,000
atau penjara dua bulan atas kesalahan melakukan pernikahan tersebut tanpa kebenaran
Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk negeri Selangor, di rumah No. 2, Lorong 7A, Taman Datuk
Harun di sini pada pukul 8 malam, 25 Februari 2012.

Wawa Zainal atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 22, yang mengaku bersalah
atas tuduhan bersubahat melakukan upacara itu, didenda RM800 atau penjara 40 hari jika gagal
membayar denda.

Bapa angkat Aeril, Wahap Raob, 71, yang bertindak sebagai saksi semasa pernikahan
itu, dikenakan denda sama seperti Wawa manakala dua lagi tertuduh iaitu bapa Wawa, Zainal
Abidin Sulong yang bertindak sebagai wali juga dikenakan denda.

Inilah implikasi terhadap masyarakat sekiranya perihal nikah kahwin dan rujuk dipandang
enteng oleh masyarakat Malaysia. Masalah seperti wasiat, kedudukan status anak dan status
perkahwinan seseorang akan menjadi masalah sekiranya prosedur dan langkah perkahwinan
tidak diikuti oleh orang Islam kita.
Rujukan

Al-Quran al-Karim.

Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Ruju’, (2010), Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Kuala Lumpur.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 - Enakmen 2 Tahun 2003.
(n.d.). Retrieved from
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Upd.nsf/f831
ccddd195843f48256fc600141e84/ca9cc9e2f91e354748257115000d69dd?OpenDocume
nt

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005 - Enakmen 3 Tahun 2005. (n.d.). Retrieved from
http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/State_Enact_Ori.nsf/100ae
747c72508e748256faa00188094/851d2f82c8be850d4825711c00229d49?OpenDocume
nt

Garis Panduan Bagi Prosedur Pentadbiran Perkahwinan, Perceraian Dan Ruju' (2013) Bahagian
Keluarga, Sosial Dan Komuniti Jabatatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala
Lumpur

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, (2008) Panduan Pengurusan Nikah di Malaysia. Kuala
Lumpur,Alamedia Sdn Bhd

Kes Cerai Ziana Zain, Armin Zaharin Akan Disebut Semula Esok - Media Hiburan. (2018, July
11). Diakses pada 19 Julai 2018 di

https://www.mediahiburan.my/kes-cerai-ziana-zain-armin-zaharin-akan-disebut-semula-
esok/

Raihanah Abdullah (2001), Wanita dan Perundangan Islam. KualaLumpur: Ilmiah Publishers
Sdn.Bhd.

Syahidi Bakar. (n.d.). 171,252 Kes Cerai Pasangan Islam. Diakses pada 19 Julai 2018 di
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/171-252-kes-cerai-pasangan-
islam-1.536513

Anda mungkin juga menyukai