Anda di halaman 1dari 2

Pada Ogos 2017, genap 60 tahun usia kemerdekaan Malaysia dan 60 tahun adalah satu angka

keramat. Jika dinisbahkan kepada manusia, maka usia itu adalah usia yang hadir dengan penuh
kematangan serta pengalaman hidup yang beragam. Namun begitu, dalam konteks pemikiran sosial
masyarakat Malaysia, umumnya masih terbelah dalam realiti untuk mempertahan kepentingan
kelompok etnik dan sukuan masing-masing.
Citra perpaduan dan pembinaan jati diri bangsa, masih menjadi isu polemik yang berterusan dan
menimbulkan situasi panas yang menggugat keharmonian sosial. Persoalan pokok dalam
menentukan petunjuk kepada perpaduan dan jati diri bangsa adalah bergantung kepada wujudnya
usaha yang bersungguh dan berterusan dalam melaksanakan segala unsur kandungan
Perlembagaan negara serta kesungguhan dalam melaksanakan dasar negara berteraskan aspirasi
pembangunan berterusan kesatuan pemikiran bangsa.
Oleh itu, persoalan dalam konteks proses pendidikan, meskipun berfokuskan kepada pendidikan
satu aliran, bukan satu jaminan kepada berlangsungnya kekuatan perpaduan serta kemantapan jati
diri bangsa. Hakikatnya, ketidakpatuhan terhadap peruntukan Perlembagaan, khususnya dalam
proses pembuatan dasar dan pelaksanaan dasar akan membuka ruang kepada wujudnya konflik
kepentingan.
Peruntukan Perlembagaan sewajarnya dijadikan asas kepada pembinaan perpaduan dan jati diri
bangsa. Kepentingan politik serta politik demokrasi adalah antara unsur di luar proses pendidikan
yang menjadi unsur kepada tercetusnya konflik sosial. Perjuangan politik yang didorong oleh
pertembungan pemikiran serta sikap memihak terhadap pihak yang bersikap curang dalam
tanggungjawab politik khususnya pelanggaran terhadap integriti moral, menjadi antara faktor yang
mengancam usaha untuk membina perpaduan.
Ini bererti matlamat pendidikan sebagaimana dihasratkan melalui dasar pendidikan kebangsaan
atau segala keperluan yang dinyatakan dalam peraturan pendidikan, tidak akan mencapai piawai
pelaksanaan. Ketajaman konflik politik yang membawa kepada polemik dan perdebatan terbuka
berkait dengan sesuatu isu, terutamanya sepanjang yang berkaitan dengan kuasa dan kekuasaan,
secara tidak langsung akan membuka ruang kepada wujudnya politik perkauman.
Politik kaum, keagamaan
Ruang politik Malaysia, meskipun sudah memasuki abad ke-21, masih berorientasikan politik kaum
dan keagamaan. Parti politik yang wujud berpartisipasi dalam pentas politik demokrasi masih
terbentuk berdasarkan ikatan perkauman. Pembinaan asas perpaduan sebenarnya sudah
dizahirkan secara tuntas berasaskan kepada perundangan dan peraturan yang ditetapkan.
Sepatutnya ia mampu untuk dijadikan kerangka yang kuat dalam mengikat pemikiran rakyat
terhadap idealisme kesatuan bangsa.
Kontrak sosial meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penerimaan semua bangsa
sebagai satu warga negara, sistem pendidikan dengan kandungan kurikulum yang seragam serta
sistem pembahagian kuasa dalam pentadbiran negara, adalah unsur yang sewajarnya menjadi
pemangkin kepada perpaduan negara dan pembinaan jati diri bangsa.
Proses pendidikan adalah unsur yang mendorong kepada pembinaan sosialisasi yang bersifat
terhad dalam dimensi berfokus dalam lingkungan waktu serta persekitaran yang terbatas. Dengan
perkataan lain, proses pendidikan bukan sesuatu yang bersifat mutlak untuk mempengaruhi
pembinaan serta pertumbuhan pemikiran yang berfokuskan perpaduan dan bertunjangkan jati diri
bangsa.
Faktor di luar proses pendidikan, tingkah laku umum masyarakat serta bentuk polemik sosial yang
diwujudkan oleh pihak berkepentingan menjadi antara dimensi yang mempengaruhi pola pemikiran
terhadap sentimen perpaduan serta penonjolan jati diri bangsa.
Isu berkaitan usaha memperkukuh perpaduan antara rakyat pelbagai latar belakang budaya dan
kepercayaan serta memantap jati diri bangsa, dalam aspek menonjolkan satu pengenalan konsepsi
bangsa yang berteraskan nilai, pemikiran serta komitmen terhadap ideologi bangsa, bukan satu
perkara yang tertakluk kepada proses pendidikan semata-mata.
Kebersamaan etnik
Proses pendidikan, sememangnya realiti yang subur untuk menanamkan doktrin kesatuan bangsa,
namun atas sifatnya berkelompok secara mikro, maka usaha itu perlu juga mendapat dokongan dan
sokongan yang kuat daripada pelaksanaan dasar kerajaan agar selaras dengan hasrat yang
terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama juga, isu kebersamaan etnik harus menjadi fokus dalam pembinaan proses sosial
antara masyarakat. Apa yang nyata, pemikiran masyarakat perlu dibentuk secara berstruktur bagi
mewujudkan sentimen penerimaan terhadap budaya teras Malaysia. Berdasarkan Perlembagaan
Persekutuan, maka budaya teras Malaysia itu adalah bersumberkan kepada falsafah pemikiran
tradisi kebumiputeraan, yakni selaras dengan apa yang diperakui dalam Dasar Kebudayaan
Kebangsaan serta idealisme yang tercatat dalam kandungan Rukun Negara.
Kekang politik korup
Berdasarkan hakikat ini, tingkah laku hubungan antara etnik yang bersifat makro, merentasi aktiviti
sosial dan pemikiran politik perlu disandarkan kepada budaya teras yang diperakui. Harus disedari
bahawa pertentangan politik dalam konteks prinsip demokrasi, seharusnya bersifat ideologi dalam
konteks mempertahankan integriti daripada berlakunya penyalahgunaan kuasa bagi menghalang
berlakunya tindakan politik yang bersifat korup.
Hakikatnya, landasan politik amalan politik korup dan melewati batas moral integriti, mempunyai
kecenderungan dalam merosakkan perpaduan serta jati diri bangsa. Proses pendidikan yang
berlangsung dalam persekitaran sosial berkonflik antara kepentingan budaya serta amalan politik
yang di luar batas integriti, mempunyai kecenderungan untuk membentuk sikap, pemikiran, tingkah
laku dan idealisme yang menjurus kepada wujudnya peningkatan sentimen memecahkan
perpaduan serta mematikan roh jati diri bangsa.

Anda mungkin juga menyukai