Anda di halaman 1dari 4

Hubungan antara etnik adalah sesuatu yang dinamik.

Bincangkan konsep dengan lebih


jelas dan praktikal

i. Analisis kedinamikan hubungan etnik

Antara individu yang ada dalam sesebuah masyarakat tidak sekadar dipengaruhi oleh unsur etnik
semata-mata, tetapi juga seperti yang dinyatakan dipengaruhi oleh unsur-unsur sosial yang lain.
Dalam usaha mengenal pasti unsur-unsur sosial tersebut, dapat dilihat unsur sosial yang paling
mempengaruhi pembentukan identiti kumpulan. Seterusnya, unsur sosial yang manakah pula
mempengaruhi bentuk, tahap, tingkat mahupun intensiti hubungan antara etnik yang terhasil
daripadanya. Oleh hal demikian, dalam proses mengkaji ciri- ciri yang membentuk sesuatu
kumpulan etnik, aspek akar umbi kepada motivasi yang membentuk batas kumpulan perlu
difahami. Keadaan ini boleh mencairkan batas kumpulan etnik selain membina ikatan merentas
kumpulan dan seterusnya membina kesepaduan sosial dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

ii. Perpaduan atau Kesepaduan

Ungkapan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ – unity in diversity – , sudah menjadi mantra dalam
kehidupan seharian rakyat Malaysia. Namun jarang-jarang sekali kita bertanya apakah makna
ungkapan ini, adakah perkara itu benar, separuh benar, palsu atau retorik semata-mata apabila
digunakan untuk menyimpulkan wajah masyarakat Malaysia. Ungkapan atau slogan ini
mengangkat sekali gus memuji kemampuan kelompok manusia yang berbeza-beza hidup dalam
sebuah masyarakat. Dari sudut psikologi sosial keadaan ini mengungkapkan satu bentuk psyche
manusia, iaitu ‘rasa kesatuan’ yang merentas pemisahan fizikal dan psikologikal, yang meliputi
juga konteks metafizikal.

Dari persektif antropologi-sosiologi, khususnya dari aspek epistemologi, slogan unity in diversity
merupakan suatu rumusan yang menyimpulkan dan mengartikulasikan bagaimana manusia
mengurus dan menyusun, dari segi abstrak dan nyata, perbezaan sosial yang sedia ada dalam
kalangan mereka. Perbezaan ini boleh dicirikan oleh unsur agama, etnik, wilayah dan
sebagainya. Suasana ini dikaitkan juga dengan penciptaan identiti berdasarkan himpunan
sempadan abstrak dan nyata yang telah digarap cipta sesama manusia.
Dari sudut ontologikal pula, perlunya mengurus dan menyusun perbezaan ini adalah, pada
umumnya, atas keinginan untuk mewujudkan keadaan aman dan stabil dalam sesebuah
masyarakat yang rencam keanggotaan kelompok sosialnya agar dapat meraih kesenangan dan
mungkin juga kemewahan material. Namun, tidak semua yang mahukan keamanan dan
kestabilan. Ada pihak yang menggunakan perbezaan sosial itu sebagai pelantar ideologi untuk
memperjuangkan kesukuan dan chauvanisme melalui keganasan. Malah, mereka bersedia
mengorbankan ribuan nyawa demi menegakkan identiti dan perbezaan sosial. Untuk mendalami
kefahaman kita mengenai fenomena ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ menuntut imaginasi
sosiologikal yang bersifat global yang membayangkan sebuah idaman dan harapan.

Memang wujud suatu kesedaran nyata yang mempengaruhi psyche manusia sejak zaman-
berzaman bahawa mereka tidak ada pilihan, tetapi mesti hidup bersama-sama dengan manusia
dan kelompok sosial yang berbeza-beza. Oleh yang demikian, mereka mesti mencari jalan dan
mengatur berbagai-bagai cara supaya perbezaan ini tidak menjadi halangan untuk mereka terus
hidup aman damai dan produktif.

Hubungan etnik di Malaysia

Urutan sejarah Malaysia daripada selepas tamat Perang Dunia Kedua pada 1945 sehingga
sekarang memaparkan tiga era penting jika diukur berdasarkan pola konflik, keamanan dan
kestabilan dalam masyarakat pada setiap era tersebut yang membandingkan keadaan di Malaysia
dengan di Sri Lanka. Pola hubungan etnik di Malaysia sejak 1946 hingga kini memperlihatkan
pola turun naik dalam hubungan etnik, tetapi pada amnya keadaan di Malaysia adalah aman
damai dengan hubungan etnik yang harmoni sesuai dengan hakikat, sedangkan lidah lagi tergigit,
inikan pula masyarakat pelbagai etnik, pasti sekali-sekala akan tercetus konflik dan pertelagahan.
Memahami hubungan etnik daripada Perspektif Kesepaduan Sosial

Suatu paradigma alternatif yang mengambil kira aspek positif yang menyumbang kepada
keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang masih dalam proses pembikinannya, kini
adalah perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada cara pandang untuk memahami citra
hubungan etnik dengan lebih adil dan menyeluruh.

Paradigma alternatif ini bukan bertujuan untuk menafikan bahawa tiada konflik tetapi sebagai
satu cara pandang yang memberi tempat yang lebih wajar kepada sisi positif dalam menganalisis
dan memahami hubungan etnik. Pemahaman terhadap situasi ini adalah wajar kerana hakikatnya
aspek yang lebih dominan dalam kehidupan seharian dalam kalangan masyarakat awam di
Malaysia bukan berasaskan konflik tetapi didasari oleh kesepaduan sosial.

Menggunakan paradigma kesepaduan sosial untuk memahami hubungan etnik di Malaysia


bermula dengan premis bahawa kesepaduan sosial sudah sedia wujud sebagai tiang seri di
peringkat masyarakat awam. Usaha yang perlu dilakukan adalah mengukuhkannya lagi supaya
perpaduan yang dicita-citakan oleh masyarakat dan negara dapat dicapai. Kesepaduan sosial
yang dinikmati sekarang merupakan proses yang panjang dan berterusan sejak wujudnya
interaksi antara masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Kewujudan kesepaduan sosial
disumbangkan secara top-down atau hasil daripada tindakan kerajaan yang diterapkan kepada
masyarakat dan ada yang disumbangkan secara bottom-up iaitu hasil daripada interaksi dan
jalinan hubungan yang berlaku di peringkat masyarakat awam itu sendiri dalam kehidupan
sehari-hari tanpa campur tangan oleh pihak kerajaan.

Hubungan etnik saling terkait dan saling bergantungan

Jalinan hubungan sosial secara berterusan terbina dalam kalangan anggota masyarakat Malaysia
merentas etnik, agama, budaya dan bahasa menerusi interaksi sesama mereka. Umpamanya, nasi
yang dimakan oleh pelajar selepas keluar dari bilik kuliah hubungan etnik berkemungkinan besar
diperoleh daripada pesawah padi Melayu dari Kedah atau pesawah padi Cina dari Sekinchan,
Selangor. Padi tersebut kemudiannya dibawa ke kilang pemprosesan padi oleh pembawa lori
daripada etnik India dan diproses pula oleh pekerja dari peringkat buruh hingga ke peringkat
pengurusan mungkin terdiri daripada etnik Melayu, Cina atau India atau mungkin buruh imigran
dari Indonesia, Bangladesh atau Myanmar.
Kesimpulan

Semua pihak di negara kita berkerja keras secara sedar untuk memastikan kesepaduan sosial
yang sedia ada dikekalkan dan dipertahankan, biarpun perpaduan belum kelihatan. Oleh itu,
keamanan dan kestabilan masyarakat Malaysia, justeru kesepaduan sosialnya, tidak boleh
diambil seperti sesuatu yang alamiah, sedia ada dan tidak diambil peduli akan keadaan
sebenarnya. Kita mesti terus-menerus bekerja keras mengekalkan dan mempertahankannya.
Cuma bagaimanakah kita hendak melaksanakannya dalam jangka pendek dan jangka panjang.
Kita perlu memikirkan strategi jangka panjang yang lebih kekal sifatnya untuk bukan sahaja
menangani ‘api-api kecil’ bahkan juga menghindarinya daripada berlaku atau kalau sudah
berlaku, merebak ke sesuatu yang lebih besar dan tidak terkawal.

Anda mungkin juga menyukai