Anda di halaman 1dari 17

TEKNIK FOTOGRAFI

1.0 PENGENALAN

Fotografi berasal daripada 2 perkataan iaitu PHOTO yang bererti cahaya dan GRAPH yang bererti tulisan/lukisan. Dari aspek
istilah seni, fotografi adalah proses melukis/menulis dengan menggunakan media cahaya.

Dalam erti kata lain, fotografi bererti proses atau kaedah untuk menghasilkan gambar dari suatu objek dengan merakam
pantulan cahaya yang mengenai objek tersebut pada alat yang peka cahaya. Alat paling sesuai untuk menangkap cahaya ini adalah
kamera.

Bagi menyempurnakan Tugasan 2 untuk subjek FTGK 3013, penulis telah menggunakan model kamera DSLR Nikon D3200.
Dalam tugasan ini, penulis dikehendaki untuk mengaplikasikan teknik-teknik fotografi yang telah dipelajari. Antara teknik tersebut ialah
Pendedahan Manual (M), Keutamaan Pengatup (S), Keutamaan Apertur (A) dan Penggunaan Kepekaan ISO.
2.0 TEKNIK-TEKNIK DALAM FOTOGRAFI

2.1 PENDEDAHAN MANUAL (M)

Mod manual pada kamera membolehkan jurugambar menentukan pendedahan imej dengan membiarkan mereka memilih nilai apertur
dan nilai kelajuan pengatup. Ini memberikan jurugambar kawalan mutlak terhadap hasil rupa foto. Contoh seperti berikut.
Foto 2.1.1 (S : 1/1000, A : f/22, ISO : 200)

Imej ini kelihatan gelap kerana kelajuan pengatup adalah tinggi dan saiz apertur adalah kecil. Kombinasi ini akan menghasilkan imej
yang gelap kerana kadar cahaya yang diterima oleh peranti adalah amat sedikit. Ia kelihatan seolah-olah imej ini ditangkap pada waktu
subuh.
Foto 2.1.2 (S : 1/100, A : f/4, ISO : 200)

Apabila kombinasi tersebut digunapakai, ia akan menghasilkan imej yang terlebih cerah. Hal ini demikian kerana peranti menerima
kadar cahaya yang banyak disebabkan oleh kelajuan pengatup yang rendah dan saiz apertur yang besar.
Foto 2.1.3 (S : 1/200, A : f/22, ISO : 200)

Imej yang cantik akan terhasil sekiranya kombinasi penggunaan kelajuan pengatup dan apertur yang digunakan adalah seimbang.
Peranti akan menerima kadar cahaya yang cukup iaitu tidak kurang atau lebih.
2.2 KEUTAMAAN PENGATUP (S)

Kelajuan pengatup merujuk kepada jumlah masa sensor kamera terdedah kepada cahaya. Setelah pengatup dibuka, cahaya
akan menangkap sensor, yang mencipta foto. Kelajuan pengatup yang lebih cepat bermakna penderia terdedah kepada cahaya untuk
masa yang kurang, yang menghadkan jumlah cahaya yang menyentuh sensor. Sebaliknya, kelajuan pengatup yang perlahan
memanjangkan masa penderia terdedah kepada cahaya, dengan itu memaksimumkan jumlah cahaya yang menyentuh sensor. Dalam
mod ini, pengguna hanya perlu mengatur kelajuan pengatup yang diingini dan peranti akan meletakkan kadar apertur yang sesuai
secara automatik.
Foto 2.2.1 (S : 1/1000, A : f/4, ISO : 400)

Kelajuan pengatup yang digunakan bagi menghasilkan imej ini ialah 1/1000 yang boleh dikategorikan tinggi. Perhatikan pada setiap
buih sabun yang terhasil. Setiap buih sabun yang terhasil dapat ditangkap dengan penuh teliti dan pegun.
Foto 2.2.2 (S : 1/5, A : f/22, ISO : 400)

Imej ini dihasilkan dengan kelajuan pengatup pada 1/5. Kelajuan pengatup yang rendah akan menangkap lebih banyak cahaya. Oleh
itu, kamera telah menetapkan apertur yang kecil secara automatik bagi mengurangkan kadar penembusan cahaya ke peranti. Pada
kadar kelajuan pengatup yang rendah ini, buih sabun yang dihasilkan menjadi satu bentuk yang memanjang dan bukannya bulat
seperti di Foto 2.2.1. Hal ini demikian kerana ia merakam corak pergerakan buih sabun dari titik awal ke akhir. Dalam kes ini, kelajuan
pengatup yang tinggi lebih sesuai digunakan bagi mendapatkan satu hasil yang lebih cantik dan menarik.
Foto 2.2.3 (S : 20, A : f/22, ISO : 200)

Kelajuan pengatup yang rendah boleh digunakan bagi menghasilkan Light Painting. Seni ini dihasilkan dengan menggerakkan cahaya
lampu suluh mengikut perkataan atau bentuk yang dikehendaki. Kamera akan merakam setiap bibit cahaya daripada awal sehingga
ke akhir rakaman imej. Ini akan menghasilkan sebuah imej yang mempunyai corak seni dengan menggunakan cahaya. Perkataan
“Che” dipilih sebagai dedikasi buat pensyarah yang telah memberi tunjuk ajar sepanjang kelas FTGK 3013 iaitu En. Che Yusoff Bin
Che Hasan.
2.3 KEUTAMAAN APERTUR (A)

Apertur mengawal jumlah cahaya yang mencapai sensor imej dan biasanya dinyatakan sebagai "nombor-f": f / 1.4, f / 2, f / 3.5,
f / 5.6, f / 8, f / 11, f / 16, f / 22, f / 32. Menukar nombor-f akan mengubah saiz pembukaan laluan cahaya memasuki kamera (apertur)
dan dengan itu mengubah jumlah cahaya melalui lensa. Nombor-f tinggi bermakna saiz apertur menjadi kecil, mengurangkan cahaya
yang diterima oleh peranti. Manakala nombor-f rendah meningkatkan saiz apertur dan lebih banyak cahaya diterima oleh peranti.

Apertur juga mengawal kedalaman kawasan di hadapan dan di belakang subjek yang berada di dalam fokus. Semakin tinggi
nombor-f, semakin besar kedalaman yang kelihatan menjadi fokus. Sebaliknya, menurunkan nombor-f akan mengurangkan fokus
pada latar belakang subjek dan akan menghasilkan bokeh. Ini dirujuk sebagai Depth of Field, DoF (kedalaman bidang).
Foto 2.3.1 (S : 1/500, A : f/5, ISO : 200)

Bukaan apertur yang besar atau nombor-f rendah akan menjadikan latar belakang subjek lebih kabur dan menghasilkan bokeh. Hal
ini akan menjadikan subjek lebih fokus dalam sesebuah imej. Teknik ini digunakan bagi memberi tumpuan utama kepada subjek.
Peranti telah mengubah kelajuan pengatup secara automatik bagi menyeimbangkan cahaya yang masuk ke dalam sensor kamera.
Hal ini akan menjadikan imej yang tidak terlalu cerah akibat apertur yang besar.
Foto 2.3.2 (S : 1/15, A : f/30, ISO : 200)

Apabila nombor-f tinggi digunakan, latar belakang subjek akan mempunyai fokus yang sama dengan subjek. Bangunan di latar
belakang jelas kelihatan berbanding pada Foto 2.3.1. Bukaan apertur yang kecil sesuai digunakan bagi menunjukkan mercu tanda
atau pemandangan latar belakang yang indah dalam sesebuah imej.
Foto 2.3.3 (S : 1/250, A : f/5.6, ISO : 200)

Bagi memberi tumpuan kepada seekor lebah yang sedang menghisap madu, apertur yang besar digunakan bagi
mengurangkan fokus pada latar belakang. Hal ini akan menjadikan subjek menjadi lebih fokus dan terperinci.
2.4 PENGGUNAAN KEPEKAAN ISO

Kepekaan ISO adalah suatu tetapan kamera yang akan membantu dalam mencerahkan atau menggelapkan foto. Apabila
nombor ISO ditingkatkan, imej yang diperoleh akan menjadi lebih cerah. Atas sebab itu, ISO dapat membantu untuk menangkap imej
dalam persekitaran yang lebih gelap. Walaubagaimanapun, meningkatkan ISO akan memberikan kesan sampingan. Imej yang
menggunakan nilai ISO yang tinggi akan mengandungi banyak butiran (grain) juga dikenali sebagai noise.
Foto 2.4.1 (S : 1/500, A : f/5.6, ISO : 200)

ISO yang rendah digunakan pada siang hari. Hal ini demikian kerana sumber cahaya matahari pada waktu siang sudah memadai
untuk mendapatkan imej yang terang dan cantik.
Foto 2.4.2 (S : 1/15, A : f/4, ISO : 200)

Gambar pada waktu malam akan menjadi gelap sekiranya kadar kepekaan ISO rendah. Bagi memberi laluan kepada cahaya yang
lebih untuk masuk ke sensor kamera, kelajuan pengatup yang rendah dan bukaan apertur yang besar digunapakai bagi mencerahkan
imej. Namun hal ini akan sedikit ‘mencacatkan’ imej akibat daripada sesuatu pergerakan objek yang terdapat dalam imej tidak menjadi
pegun.
Foto 2.4.3 (S : 3/10, A : f/3.5, ISO : 6400)

Walaupun kadar kepekaan ISO dapat membantu dalam mencerahkan imej, namun kesan sampingannya ialah terdapat banyak grain
yang terhasil pada imej. Hal ini sedikit sebanyak akan mengurangkan ketajaman (clarity) sesebuah imej.

Anda mungkin juga menyukai