Anda di halaman 1dari 13

CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 182)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al- Makkah)

Peristiwa ini merupakan satu peristiwa paling besar dalam sejarah dakwah Rasulullah s.a.w. Pembukaan
Kota Mekah bermakna pembebasan Kaabah dari segala amalan jahiliyah, penyembahan terhadap
berhala dan mengembalikan kesuciannya sebagaimana yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi
Ismail a.s.

Antara rentetan berlakunya peristiwa ini adalah pelanggaran oleh pihak Quraisy terhadap perjanjian
Hudaibiyah yang telah dipersetujui bersama Baginda pada tahun ke 6 Hijrah. Antara isi kandungan
perjanjian Hudaibiyah adalah mana-mana kabilah berhak untuk membuat kerjasama sama ada Quraisy
atau bersama Baginda. Maka tidak boleh mana-mana kabilah yang mengadakan kerjasama dengan
kedua-dua pihak ini diperangi dan dibunuh.

Sebelum perjanjian Hudaibiyah lagi terdapat dua kabilah yang telah lama bersengketa dan berperang
iaitu Bani Bakar dan Bani Khuzaah. Setelah termeterai perjanjian Hudaibiyah Bani Khuzaah telah
mengadakan kerjasama dengan Islam manakala Bani Bakar pula mengadakan kerjasama dengan pihak
kafir Quraisy. Hasil kerjasama Bani Khuzaah dengan Baginda ramai di antara mereka telah menerima
Islam. Manakala dari sudut kehebatan perang pula Bani Khuzaah sentiasa mendahului Bani Bakar dan
berjaya mengalahkan Bani Bakar dalam setiap peperangan sebelum ini.

Dendam Bani Bakar terhadap Bani Khuzaah tidak pernah padam walaupun setelah perjanjian
Hudaibiyah disepakati. Pada satu hari ketika Bani Khuzaah datang ke Mekah untuk beribadat, mereka
telah berkhemah di luar dari tanah haram. Pada waktu malam harinya beberapa orang dari Bani Bakar
telah menyerang dan membunuh Bani Khuzaah yang berada di dalam khemah. Manakala sebahagian
lagi orang Bani Khuzaah melarikan diri dan masuk ke kawasan Kaabah yang merupakan kawasan
larangan perang.

Namun seorang pemimpin Bani Bakar bernama Naufal yang telah dingatkan oleh kaumnya tentang
kawasan larangan ini bertindak diluar kawalan dengan mengejar orang-orang Bani Khuzaah yang
berlindung di rumah Budail bin Warqa’. Mereka menceroboh dan membunuh orang-orang Bani Khuzaah
dengan bantuan orang-orang Quraisy. Tindakan ini terang-terangan melanggari perjanjian Hudaibiyah.

Wakil Bani Khuzaah iaitu Amru bin Salim telah pergi bertemu Baginda dan memaklumkan kepada
Baginda dengan syairnya tentang peristiwa serangan ini. Baginda memahami dan memberi jaminan
untuk membelanya. Manakala selepas beberapa hari pula datangnya Budail bin Warqa’ memberitahu
kepada Baginda peristiwa yang berlaku. Baginda amat marah mendengarnya. Apakah yang berlaku
seterusnya? Tunggu sambungannya....
CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 183)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al- Makkah) : Abu Sufian Wakil Quraisy Menuju Ke Madinah

Tindakan kafir Quraisy membantu Bani Bakar membunuh orang-orang Bani Khuzaah adalah satu
tindakan yang mengundang masalah besar dengan Madinah. Penjanjian Hudaibiyah yang pada awalnya
dirangka dengan berat sebelah ini telah dirungkai pula oleh mereka. Kini tindakan mereka menyebabkan
ketakutan menyelubungi pimpinan kafir Quraisy. Ianya seolah-olah membuka pintu peperangan dengan
Madinah. Menjadi satu adat masyarakat Arab yang melanggar perjanjian adalah kesalahan yang besar.

Pimpinan Quraisy menyedari masalah pasti akan menyusul dari tindakan mereka. Baginda pasti tidak
akan berdiam diri dengan tindakan kafir Quraisy yang membantu pembunuhan orang-orang Bani
Khuzaah yang mengadakan kerjasama dengan Madinah. Tindakan segera telah diambil oleh pemimpin
kafir Quraisy dengan bermesyuarat. Keputusannya adalah mengirimkan Abu Sufian untuk bertemu
Baginda di Madinah untuk memperbaharui perjanjian damai.

Sebelum Abu Sufian tiba di Madinah, Budail bin Warqa’ dan Amru bin Salim telah meninggalkan kota
Madinah dan mereka cuba mengelak untuk berselisih dengan Abu Sufian yang dalam perjalanan ke
Madinah. Namun mereka terserempak juga dengan Abu Sufian. Mereka telah ditanya oleh Abu Sufian
adakah mereka datang dari Madinah tetapi telah dinafikan oleh Budail bin Warqa. Abu Sufian
mengesyaki sesuatu lalu dia telah mengarahkan pasukannya menyelusuri jalan yang dilalui oleh
rombongan Budail bin Warqa’. Beliau telah menemui biji kurma Madinah dalam najis unta rombongan
Budail bin Warqa’. Maka tahulah beliau bahawa Baginda sudah mendapat berita dari Bani Khuzaah apa
yang telah berlaku. Ini menyebabkan Abu Sufian menjadi risau.

Setibanya di Madinah Abu Sufian memikirkan siapa yang boleh membantunya untuk membawa beliau
menghadap Baginda. Malah Baginda pula sudah mengetahui wakil Quraisy pasti akan datang untuk
urusan perdamaian akibat pelanggaran perjanjian. Baginda juga telah maklumkan kepada para Sahabat
tentang kedatangan wakil pimpinan Quraisy ke Madinah nanti. Abu Sufian semakin resah sekiranya tiba
di Madinah beliau gagal bertemu Baginda maka Kota Mekah akan manghadapi peperangan yang sangat
sukar. Malah kabilah-kabilah lain pasti tidak akan bersama membantu kafir Quraisy menghadapi tentera
Madinah akibat sikap kafir Quraisy yang melanggar perjanjian yang mereka sendiri rangka dan persetujui
bersama dengan Baginda.
CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 184)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah) : Abu Sufian Gagal Dalam Rundingan

Abu Sufian menuju ke rumah anak perempuanya Ummu Habibah yang merupakan isteri Rasulullah
s.a.w. Setibanya di rumah Ummu Habibah beliau berharap akan mendapat maklumat dan bertemu
Baginda. Apabil beliau masuk dan hendak duduk di hamparan dalam rumah Ummu Habibah tiba-tiba
segera digulung oleh Ummu Habibah. Abu Sufian merasa pelik dan bertanya kenapa hamparan itu
digulung sedangkan beliau mahu duduk. Ummu Habibah berkata itu hamparan tempat duduk Baginda
dan tidak layak bagi seorang musyrik yang kotor duduk di atas hamparan tersebut. Berkata Abu Sufian
kepada anaknya setelah beliau meninggalkannya Ummu Habibah telah terkena sihir. Kemudian Abu
Sufian keluar meniggalkan Ummu Habibah dan beliau menyedari anaknya pasti tidak akan
membantunya bertemu Baginda.

Abu Sufian terus mencari Baginda dan bertemu dengan Baginda namun teguran Abu Sufian tidak
diendahkan oleh Baginda. Seterusnya Abu Sufian pergi mencari Abu Bakar As Siddiq dan beliau
mengetahui Abu Bakar paling rapat dengan Baginda. Permintaan Abu Sufian agar menyampaikan hasrat
Quraisy untuk memperbaharui perjanjian dengan Baginda dimaklumkan kepada Abu Bakar. Namun Abu
Bakar berkata beliau tidak boleh berbuat apa-apa untuk menolong Abu Sufian. Kecewa dengan jawapan
Abu Bakar beliau lantas pergi pula mencari Umar al-Khattab.

Setibanya di hadapan Umar al-Khattab maka Abu Sufian meminta tolong Umar untuk menyampaikan
hasratnya namun jawapan Umar lagi memedihkan hatinya. Umar berkata jika beliau tidak mempunyai
apa-apa senjata pun hanya debu-debu sahaja pasti beliau akan memerangi kafir Quraisy. Kini Abu Sufian
makin terdesak siapa lagi yang boleh membantunya. Kemudian beliau teringat kepada Ali bin Abi Talib
maka terus beliau mencarinya.

Abu Sufian meminta bantuan dari Ali bin Abi Talib yang berkahwin dengan Fatimah anak Rasulullah
s.a.w. Padanya Ali dan Fatimah antara yang paling rapat pasti mereka tidak akan mengecewakannya.
Lalu diminta kepada Ali supaya menyampaikan hasrat Quraisy untuk memperbaharui perjanjian dengan
Baginda. Ali dan Fatimah berkata urusan besar ini hanya hak Baginda dan tiada siapa yang berhak
memujuk dan meminta Baginda menerima pandangan mereka.

Seterusnya tanpa berputus asa Abu Sufian bertemu pula dengan Usman bin Affan meminta bantuan
beliau. Jawapan yang sama diperolehi oleh Abu Sufian iaitu urusan ini hak Baginda dan tiada siapa
sepatutnya mendahului Baginda. Kemudian Abu Sufian kembali meminta pandangan Ali bin Abi Talib.
Berkata Ali kepada Abu Sufian, sebagai pemimpin Mekah kamu istiharkanlah perdamaian di antara
manusia. Maka Abu Sufian pergi ke masjid dan mendapati Baginda dan para Sahabat berada di samping
Baginda. Lalu beliau pun berkata dengan kuat, “Aku Abu Sufian Ketua di Mekah. Aku Mengistiharkan
perdamaian antara manusia dan aku merasakan tiada orang yang akan membatalkan perdamaian ini.”

Mendengar kata-kata Abu Sufian, lalu Baginda membalasnya, “Kamu yang berkata begitu wahai Abu
Sufian tidak ada orang yang membatalkan perdamaian kamu. Namun kami tidak berkata begitu.”

Mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w maka berputus asalah Abu Sufian lalu beliau mengambil
keputusan kembali ke Mekah untuk melaporkan hasil rundingannya yang gagal. Apakah reaksi pemimpin
Quraisy? Bersambung esok. Insya Allah

CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 185)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah) : Persiapan Menggempur Mekah

Abu Sufian tiba di Mekah dan bertemu dengan pemimpin-pemimpin kafir Quraisy. Lalu mereka segera
bertanya kepada beliau apakah perkembangan setelah menuju ke Madinah. Abu Sufian menceritakan
kepada mereka beliau telah berjumpa setiap orang yang rapat dengan Baginda untuk menyampaikan
hasrat menyambung perdamaian namun tidak ada seorang pun yang mahu membantu beliau.

Akhirnya yang agak berlembut adalah Ali bin Abi Talib yang memberi cadangan agar beliau
mengistiharkan perdamaian secara terbuka. Mereka bertanya adakah berhasil nasihat Ali bin Abi Talib
itu? Dijawab oleh Abu Sufian tidak ada apa-apa kesan. Mendengar jawapan Abu Sufian mereka berkata
Abu Sufian telah dipermainkan oleh Ali bin Abi Talib. Namun Abu Sufian tidak bersetuju dengan kata-
kata mereka bahkan beliau menjelaskan itulah satu-satunya peluang yang beliau ada sebelum kembali
ke Mekah.

Pihak kafir Quraisy sudah buntu dan tidak tahu bagaimana mahu berdalih lagi akibat perlanggaran
perjanjian yang mereka sendiri rangka dan paksa ke atas Baginda untuk menerimanya. Kini perlanggaran
perjanjian merupakan musibah yang sedang menanti masa untuk sampai ke Mekah. Ketakutan mula
menyelubungi mereka.

Pada masa yang sama Rasulullah s.a.w telah terlebih dahulu meminta Aisyah menyiapkan kelengkapan
peralatan perang Baginda. Aisyah sendiri tidak mengetahui ke mana sebenarnya halatuju Baginda
apabila meminta beliau menyiapkan segala persiapan perang. Satu hari Abu Bakar datang ke rumah
Aisyah dan melihat anaknya sedang sibuk menyediakan peralatan perang. Beliau lantas bertanya untuk
apa persiapan perang ini dan ke mana sebenarnya Baginda hendak tuju. Abu Bakar bertanya dengan
Aisyah berteka teki adakah Baginda mahu memerangi Rom, kabilah Hawazin atau kafir Quraisy. Semua
pertanyaan Abu Bakar dijawab oleh Aisyah beliau tidak mengetahuinya.

Pada waktu subuh keesokkanya Amru Bin Salim bersama dengan 40 orang tiba menghadap Baginda
menceritakan pengkhianatan dan pembunuhan Bani Khuzaah oleh kafir Quraisy dan Bani Bakar.
Maknanya Baginda sememangnya sudah bersedia untuk menggempur Mekah sebelum kedatangan Abu
Sufian lagi ke Madinah. Cumanya tindakan yang akan diambil Baginda ini tidak dihebahkan kepada
sesiapa pun.

Abu Bakar bertanya kepada Baginda tujuan persiapan kelengkapan senjata perang dan dijawab oleh
Baginda sasarannya adalah kafir Quraisy. Abu Bakar berkata bagaimana boleh memerangi kafir Quraisy
sedangkan ada perjanjian yang telah dimeterai bersama. Baginda menjelaskan mereka telah melanggar
perjanjian tersebut maka isi kandungan perjanjian telah terbatal dengan sendirinya.

Seterusnya Baginda mengarahkan para Sahabat membuat persiapan perang dan merahsiakan lokasi
yang hendak dituju agar pihak kafir Quraisy tidak menyedari kedatangan Baginda dan tenteranya.
Berkata Baginda, “Rahsiakan berita ini agar tidak sampai ke pengetahuan Quraisy supaya dapat kita
gempur dan kejutkan mereka dengan kedatangan kita ke sana secara mendadak.”

Bersambung esok. Insya Allah.

CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 186)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah) : Persiapan Menggempur Mekah (samb)

Baginda menyusun strategi bagi mengelakkan maklumat sampai kepada kafir Quraisy dengan
menghantar satu pasukan yang dipimpin oleh Abu Qatadah bin Rabie beserta lapan orang menuju ke
penempatan Adham yang berada di antara Zi al-Khasyab dan Zi al-Maruah. Tujuannya bagi membuat
helah agar orang ramai menyangka Baginda membuat persiapan untuk menuju ke penempatan Adham.

Pada masa yang sama Baginda juga telah mengarahkan kabilah-kabilah yang telah menerima Islam
untuk membuat persiapan perang dan datang berkhemah di luar kota Madinah. Baginda juga memberi
arahan agar tidak dibenarkan mana-mana penduduk Madinah keluar dari kota dan hanya membenarkan
mereka masuk ke kota Madinah sahaja. Ianya dilakukan bagi menyekat maklumat sampai ke luar kota
Madinah tentang misi Baginda untuk menyerang Mekah.

Para Sahabat di kalangan Muhajirin dan Ansar semuanya tidak mengetahui strategi Baginda dan ke
mana sebenarnya sasaran peperangan kali ini. Jumlah yang telah berkumpul kini sudah menjangkau
melebihi 7500 orang tentera. Seorang pemimpin Bani Ghatafan iaitu Uyaynah bin Husn melihat jumlah
yang bersama dengan Islam sudah ramai maka beliaupun tidak mahu terlambat menyertai Islam
walaupun pada awalnya niatnya adalah mengharapkan harta rampasan perang. Beliau datang bertemu
Baginda dan mengistiharkan dirinya masuk Islam dan berkata semua Bani Ghatafan akan masuk Islam.

Manakala Aqra bin Habis pemimpin Bani Tamim juga bertemu Baginda dan mengistiharkan
keislamannya serta menyakinkan Baginda seluruh keturunan Bani Tamim juga akan masuk Islam.
Tindakan mereka telah mengembirakan Baginda. Kini dengan jumlah tentera yang ramai persiapan
sudah lengkap untuk menuju ke Mekah pada bulan Ramadan tahun ke 8 Hijrah.

Ketika semuanya sedang bersedia untuk berangkat tiba-tiba berlaku satu peristiwa iaitu seorang
Sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah telah mengupah seorang wanita untuk membawa surat yang
disembunyikan dalam sanggulnya memaklumkan kepada Quraisy tentang misi Baginda hendak
menyerang Mekah. Tindakan Hatib bin Abi Baltaah dimaklumkan Allah kepada Baginda.

Tindakan pantas diambil Baginda dengan mengutus Ali dan Miqdad untuk mengejar wanita tersebut dan
menghalangnya dari sampai ke Mekah. Baginda berkata wanita ini akan berhenti di satu tempat
bernama Raudhah Khakh dan mereka diminta untuk merampas surat tersebut. Apakah yang terjadi
seterusnya? Tunggu esok ya bersambung Insya Allah.

CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 187)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah) : Surat Ke Mekah Berjaya Dihalang

Setibanya Ali bin Abi Talib dan Miqdad di Raudhah Khak mereka bertemu wanita tersebut dan
memintanya turun dari kederaannya. Ali bin Abi Talib meminta wanita tersebut menyerahkan surat yang
hendak dibawa ke Mekah. Wanita tersebut menafikan dia membawa apa-apa surat untuk dibawa ke
Mekah. Lalu mereka berdua memeriksa kenderaan wanita itu dan tidak menjumpai apa-apa surat.
Tetapi Ali bin Abi Talib sangat yakin kepada kata-kata Baginda dan tidak berganjak dengan helah wanita
ini sehingga Ali bin Abi Talib berkata kalau dia tidak serahkan nescaya mereka berdua sanggup
menelanjangkan wanita tersebut untuk mencari surat itu. Wanita itu menjadi takut melihat
kesungguhan mereka berdua. Kemudian dia meminta mereka berpaling lalu beliau membuka
sanggulnya dan mengeluarkan surat yang di simpan di situ.

Surat tersebut diambil oleh Ali bin Abi Talib. Seterusnya mereka berdua terus menuju ke Madinah
membawa surat tersebut untuk diserahkan kepada Baginda. Baginda membaca surat tersebut yang
ditulis oleh Hatib bin Abi Baltaah untuk makluman Quraisy mengenai pergerakan Baginda ke Mekah.
Baginda memangil Hatib bin Abi Baltaah dan menunjukkan surat itu dan bertanya kepada beliau,

“Apakah tujuan kamu menulis surat ini kepada Quraisy?

Hatib bin abi Baltaah menjawab, “Wahai Rasulullah janganlah segera menghukum aku. Demi Allah aku
tetap beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Tidak sesekali aku murtad atau menukar agamaku. Kamu
semua mempunyai keluarga di Mekah dan ada yang melindungi mereka namun aku mempunyai
keluarga di Mekah tetapi tiada siapa yang melindungi mereka kecuali Quraisy. Aku mahu mereka
melindungi ahli keluargaku”

Mendengar kata-kata Hatib bin Abi Baltaah tiba-tiba Umar bersuara dengan berkata kepada Rasulullah
s.a.w,

“Wahai Rasulullah serahkan sahaja dia kepadaku biar aku pancung lehernya. Dia sudah mengkhianati
Allah dan Rasul-Nya. Dia sudah menjadi seorang munafik.”

Baginda lantas berkata, “Biarkan beliau wahai Umar. Beliau adalah ahli Badar (turut serta dalam perang
Badar) semuga Allah mengampuni semua ahli Badar dan aku telah mengampunkannya. Buatlah apa
yang kamu mahu.”

Hatib bin Abi Baltaah menangis mendengar kata-kata Baginda. Walaupun tindakannya satu bentuk
“pengkhianatan” namun sedikit pun Baginda tidak marah kerana mengenangkan beliau turut serta
dalam peperangan pertama umat Islam iaitu perang Badar. Baginda seorang yang fokus dengan apa
yang hendak dicapainya. Apabila Baginda sudah berjaya menghalang maklumat sampai ke Quraisy maka
tiada apa yang lebih utama melainkan meneruskan agenda yang lebih besar iaitu menawan Mekah.

Baginda dan para tentera mula bergerak meninggalkan Madinah menuju ke Mekah. Jumlah tentera yang
bersama Baginda sudah meningkat kepada 10,000 orang hasil gabungan beberapa lagi kabilah seperti
Bani Sulaim dan kabilah-kabilah yang lain. Kekuatan Islam semakin terserlah bayangkan jumlah ini
bergerak di padang pasir seperti lebah yang sedang bergerak dalam satu kawanannya.

CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 188)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah) : Pasukan Baginda Memasuki Mekah

Baginda menyusun kedudukan pasukan perang kepada beberapa kumpulan. Strategi ini diatur oleh
Baginda dengan terperinci sehinggakan setiap penjuru Mekah dikuasai oleh pasukan tentera muslimin.
Ketika ini kafir Quraisy masih belum menyedari kedatangan Baginda.

Di bahagian Utara di ketuai oleh Zubair bin al-Awwam dengan membawa bendera Rasulullah s.a.w.
Beliau akan memasuki Mekah melalui sebelah atas dengan dipacakkan d tempat bernama al-Hajjun dan
menanti kedatangan Baginda.

Di bahagian Selatan di ketuai oleh Khalid bin al-Walid dengan beberapa kabilah iaitu Aslam, Salim,
Ghaffar Muzainah, Juhainah dan lain-lain kabilah Arab. Pasukan ini akan memasuki Mekah dari bawah
dan Baginda memberi arahan jika ada yang menentang mereka maka bunuhlah sehingga mereka sampai
bertemu baginda di al-Safa.

Di bahagian Timur dipimpin oleh Abu Ubaidah al-Jarrah iaitu pasukan yang hanya berjalan kaki dan
diminta menuju ke Butul al-Wadi. Mereka juga diminta terus bergerak sehingga bertemu Baginda di
Mekah.

Manakala di bahagian Barat pula Baginda telah memilih Saad bin Ubadah dan Ali bin Abi Talib dengan
pasukan tenteranya. Kini Mekah sudah dikepung dengan bala tentera Baginda dengan panglima perang
yang terbaik di kalangan umat Islam.

Pada masa yang sama Abbas bin Abdul Mutalib dan keluarganya yang telah Islam keluar dari Mekah
untuk berhijrah ke Madinah untuk bersama Baginda tanpa beliau mengetahui kedatangan Baginda ke
Mekah. Apabila terserempak dengan tentera Islam lalu mereka membawanya bertemu Baginda.
Kegembiraan tampak jelas di wajah Baginda melihat kedatangan bapa saudaranya itu. Abbas bin Abdul
Mutalib adalah orang terakhir yang berhijrah selepas pembukaan kota Mekah tiada lagi hijrah selepas
itu.
Baginda meneruskan perjalanan setelah bertemu Abbas bin Abdul Mutalib yang kemudiannya beliau
turut serta mengikut Baginda kembali ke Mekah. Setibanya di satu tempat yang di kenali dengan nama
Mar al-Zahran atau di kenali juga sebagai Wadi Fatimah waktu sudah hampir Isya, Baginda mengarahkan
didirikan khemah dan menyalakan unggun api. Setiap khemah menyalakan unggun api hinggakan
kawasan menjadi terang dan memberi gambaran ramainya tentera yang bersama Baginda. Secara
perang sarafnya musuh akan memikirkan banyak kali sebelum berani bertindak.

Pada waktu malam hari Abu Sufian telah bergerak ke pinggir Mekah bagi mencari maklumat. Turut
bersamanya adalah Hakim bin Huzam. Budail bin Warqa juga keluar pada malam itu bagi meninjau jika
adanya kaum muslimin yang menuju ke Mekah. Tiba-tiba mereka terperanjat melihat jumlah unggun api
yang banyak yang tidak pernah dilihat olehnya sebelum ini. Mereka tertanya-tanya siapakah yang
datang dengan jumlah yang ramai ini. Jika ini adalah pasukan tentera pastinya tiada siapa yang boleh
menghadapinya.

Abu Sufian bertanya kepada Budail bin Warqa, “Siapakah kumpulan ini?”.

Jawab Budail bin Warqa, “Mungkin Bani Khuzaah yang ingin membalas semula serangan kepada
Quraisy.”

Kata Abu Sufian, “Tidak mungkin mereka seramai ini.”

Ketika Abu Sufian sedang binggung memikirkannya tiba-tiba muncullah Abbas bin Abdul Mutalib yang
telah mengecam suara Abu Sufian. Apa kata Abbas bin Abdul Mutalib kepada Abu Sufian?

CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 189)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah) : Pasukan Baginda Memasuki Mekah (samb)

Abu Sufian mengenali suara Abbas, kemudian beliau bertanya apa berita yang diketahui olehnya. Abbas
berkata kepada Abu Sufian,

“Aku membawa berita Muhammad dan tenteranya telah tiba untuk memerangi kamu. Demi Allah jika
Muhammad dihalang masuk Mekah dengan cara kekerasan pasti Quraisy akan musnah.”
Abu Sufian amat mempercayai Abbas maka beliau yakin setiap kata Abbas itu bukan satu perkara yang
boleh di pandang ringan. Maka Abu Sufian bertanya kepada Abbas,

“Apa pandangan kamu wahai Abbas apa yang perlu kita buat?”

Kata Abbas, “Mari ikut aku kita bertemu Muhammad.”

Abbas membawa Abu Sufian mengenderai baghal milik Baginda untuk menuju ke khemah Rasulullah
s.a.w. Dalam perjalanan ini mereka telah berselisih dengan Umar al-Khattab dan Umar melihat dan
mengenali Abu Sufian. Lalu berkata Umar kepada Abu Sufian,

“Abu Sufian ketua kafir Quraisy Mekah, tiada keamanan lagi buat kamu dan tiada lagi perjanjian.”

Abbas segera mempercepatkan baghal yang ditunggangi mereka agar segera melepasi Umar untuk
sampai ke khemah Baginda. Setibanya di khemah Baginda Umar segera masuk dan berkata kepada
Baginda,

“Wahai Rasulullah ini Abu Sufian biar aku pancung lehernya.”

Abbas segera berkata, “Wahai Rasulullah dia dibawah jaminan aku.”

Umar dihalang untuk membunuh Abu Sufian oleh Baginda walaupun pedang Umar sudah dihunus.

Rasulullah s.a.w bertanya kepada Abu Sufian, “ Wahai Abu Sufian masihkah kamu tiadak mahu mengakui
Tiada Tuhan Melainkan Allah?”

Jawab Abu Sufian, “Demi Allah sekiranya ada Tuhan selain Allah demi Allah dia akan menolong kami hari
ini.

Rasulullah s.a.w berkata pula, “Apakah belum masa untuk kamu mengakui aku sebagai seorang utusan
Allah?
Jawab Abu Sufian, “Aku masih ada keraguan tentang hal itu dalam hatiku.”

Kemudian berkata Abbas, “Masuklah Islam wahai Abu Sufian. Demi Allah Rasulullah s.a.w akan masuk
Mekah dengan kekerasan ianya akan jadi satu penghinaan buat Quraisy buat selama-lamanya dalam
lipatan sejarah. Islam sudah berkembang dan menang apakah kamu masih meraguinya?

Abu Sufian tidak ada pilihan lagi, akhirnya beliau mengucap syahadah masuk Islam namun masih belum
lagi sepenuhnya keyakinan masuk ke dalam hatinya. Baginda mengarahkan Abbas membawa Abu Sufian
bermalam di khemahnya dan keesokkan paginya Baginda meminta dibawa Abbas bertemu dengannya.

Apa pula yang berlaku keesokkanya? Bersambung. Insya Allah.

CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 192)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah) : Berhala Di Kaabah Dihancurkan

Baginda bertindak dengan memusnahkan kesemua 360 berhala yang disembah oleh orang-orang kafir
yang berada di keliling Kaabah. Satu persatu berhala dihancurkan termasuk berhala yang besar yang
bernama Hubal. Berhala besar di kemudian jatuh dan dipecahkan oleh para sahabat yang dahulunya
mereka jahiliyyah menyembah dan meminta pertolongan kepada berhala besar ini. Kini mereka
memecahkanya dengan tangan-tangan mereka.

Kemudian Baginda memangil Uthman bin Talhah yang telah masuk Islam bersama Khalid bin al-Walid
dan Amru bin al-As untuk mengambil kunci Kaabah. Uthman bin Talhah adalah dari keturunan Abdul Dar
iaitu keturunan yang memegang kunci Kaabah. Pada masa itu kunci Kaabah berada di rumah ibu
Uthman bin Talhah. Ibunya yang masih dalam kekufuran tidak mahu menyerahkan kunci tersebut
kepada anaknya kerana kemuliaan memiliki amanah memegang kunci Kaabah dari keturunan mereka
akan hilang. Ibunya khuatir Baginda tidak akan memberi semula kepada keturunan Abu Dar lagi amanah
untuk memegang kunci Kaabah.

Kelewatan Uthman bin Talhah membawa kunci telah disusuli oleh Umar al-Khattab dan Abu Bakar As-
Siddiq atas perintah Baginda. Apabila Umar al-Khattab mengetuk pintu rumah ibu Uthman bin Talhah,
ketakutan menyelubungi ibunya akhirnya kunci tersebut diserahkan juga kepada Uthman bin Talhah.

Uthman bin Talhah membawa kunci tersebut dan diserahkan kepada Baginda. Seterusnya Baginda
masuk dan memusnahkan ukiran dan lukisan-lukisan yang menyalahi mengambarkan keEsaan Allah.
Setelah selesai Baginda mengarahkan pintu Kaabah ditutup dari dalam. Ketika itu yang ada bersama
Baginda adalah Bilal dan Usamah di dalam Kaabah.

Baginda melakukan solat dua rakaat dengan membelakangkan tiga tiang dan dua tiang dihadapannya
serta satu tiang di kirinya. Setelah solat Baginda bertakbir dan mengungkap kalimah tauhid di setiap
penjuru dalam Kaabah. Setelah itu barulah pintu Kaabah dibuka. Kunci Kaabah tetap diberikan oleh
Baginda kepada keturunan Abdul Dar untuk memegang amanahnya sehingga hari Kiamat.

Setelah solat Baginda keluar dari Kaabah, pada waktu itu kaum muslimin dan Quraisy menanti apa yang
akan dilakukan oleh Baginda. Semuanya menanti apakah gagasan baru untuk Mekah? Bagaimana nasib
kaum Quraisy yang tinggal di Mekah? Apakah ada kemaafan atau ada yang akan dihukum? Semuannya
menanti penuh debaran melihat Baginda keluar dari pintu Kaabah. Setiap mata tertumpu pada Baginda
dalam keadaan senyap dan sunyi menanti mutiara kata-kata Baginda.

CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD (Siri 193)

Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah) : Ucapan Rasulullah s.a.w Di Hadapan Kaabah

Rasulullah s.a.w berdiri di muka pintu Kaabah kemudian bersabda,

Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, benar janji-Nya, membantu hamba-Nya,
mengalahkan golongan Ahzab sendiri-Nya,

“Wahai orang-orang Quraisy! Sesungguhnya Allah telah menghilangkan kesombongan jahiliyah dan
pengagungan terhadap nenek moyang. Manusia berasal dari Adam dan Adam berasal dari tanah.”

“Wahai orang-orang Quraisy! Apakah yang kamu bayangkan tentang apa yang akan aku lakukan
terhadap kamu?”

Mereka menjawab, “Yang baik-baik, sebagai saudara yang mulia, anak dari saudara yang mulia.”

Kemudian Baginda bersabda,


“Aku sampaikan kepada kamu sebagaimana perkataan Yusuf kepada saudaranya: ‘Pada hari ini tidak ada
cercaan atas kamu. Allah mengampuni kamu semua. Dia Maha Penyayang.’ Beredarlah kamu semua!
Sesungguhnya kamu semua telah bebas!”

Kemudian pada keesokkan harinya, Baginda menyampaikan khutbahnya setelah memuji Allah,

“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan Mekah. Maka tidak halal bagi orang yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat untuk menumpahkan darah dan mematahkan dahan-dahan pohon di sana.

Jika ada orang yang beralasan dengan perang yang dilakukan Nabi s.a.w, maka jawablah:

“Sesungguhnya Allah mengizinkan Rasul-Nya dan tidak mengizinkan kamu. Allah hanya mengizinkan
untukku beberapa saat di siang hari. Hari ini keharaman Mekah telah kembali sebagaimana
keharamannya sebelumnya. Maka hendaknya orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak
hadir.”

Ketika ketakutan menyelubungi Quraisy yang telah menghina, mencerca, menyakiti, mengusir serta
berusaha membunuh umat Islam dan Baginda sendiri, tiba-tiba Baginda memaafkan segala kesalahan
mereka. Alangkah hebatnya Baginda, kasih dan sayang untuk membimbing mereka agar tetap dalam
Tauhid telah menghilangkan segala ingatan kesulitan yang dihadapi Baginda.

Bagindan sedikit pun tidak berdendam kepada kafir Quraisy bahkan terus menyeru mereka untuk
mengakui Allah adalah satu-satunya Tuhan dan Baginda adalah utusan pembawa risalah-Nya.

Ada di kalangan Quraisy yang terus menerima Islam manakala ada yang masih menanti dan tidak
mengistiharkan untuk menerima Islam. Mereka bebas untuk hidup seperti biasa namun tiada lagi
sembahan berhala di Kaabah.

Bersambung esok. Insya Allah.

Anda mungkin juga menyukai