Anda di halaman 1dari 28

APAKAH CIRI-CIRI SEORANG JURUKAMERA PROFESIONAL?

Dari segi makna profesional itu sendiri bermaksud jurukamera itu mendapat bayaran dari kerja
yang dilakukannya. Sudah tentu beliau mahir dengan tugasnya sehingga boleh dijadikan sumber
pendapatan. Beserta dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki, seseorang jurukamera
profesional akan menghasilkan kerja yang terbaik kerana produk yang dihasilkannya itulah akan
menentukan samada beliau akan mendapat pendapatan seterusnya pada masa akan datang.

MENGAPAKAH TERDAPAT PERBEZAAN HARGA YANG DITETAPKAN OLEH


JURUGAMBAR?

Seperti juga bidang pekerjaan yang lain, pengetahuan dan pengalaman kerja adalah satu faktor
yang menentukan tinggi atau rendah pendapatan yang layak dimiliki oleh seseorang itu. Begitu
juga dengan jurugambar. Seseorang jurugambar yang mempunyai pengetahuan luas dan
berpengalaman dalam bidang fotografi akan meletakkan harga yang lebih tinggi berbanding
jurugambar lain yang baru menceburi bidang fotografi. Selain dari itu, faktor kualiti peralatan
yang digunakan, kualiti produk dan perkhidmatan tambahan juga menyumbang kepada
perbezaan harga di antara jurugambar. Walau bagaimana pun, dari apa yang dinyatakan ini,
mungkin perkara yang sebaliknya berlaku.

BERAPA LAMAKAH MASA YANG AKAN DIAMBIL UNTUK MENYIAPKAN


KESEMUA GAMBAR MAJLIS PERKAHWINAN?

Biasanya, kebanyakan jurugambar menyiapkan gambar foto dan video dalam tempoh 2-3 bulan.
Tetapi, ini semua bergantung kepada kerumitan kerja sesuatu pakej yang dikehendaki oleh
pelanggan. Sekiranya anda inginkan gambar anda disiapkan dalam tempoh kurang dari 1 bulan,
boleh juga anda berbincang dengan jurugambar yang anda dapat perkhidmatan terlebih dahulu.

BAGAIMANA SEKIRANYA TEMPAHAN TELAH DIBUAT NAMUN JURUGAMBAR


TERSEBUT TIDAK HADIR, SAKIT ATAU BERLAKU KECEMASAN DAN
SEBAGAINYA?

Reputasi adalah amat penting bagi semua jurufoto. Setiap tugasan akan dilakukan dengan penuh
komitmen kerana biasanya pelanggan yang berpuas hati akan mencadangkan servis jurugambar
kepada rakannya yang lain. Kes jurugambar tidak hadir pada majlis perkahwinan jarang berlaku
dalam satu perkhidmatan ambil foto dalam perkahwinan. Kebanyakan studio mempunyai
rangkaian jurugambar yang luas. Ini bermakna, mereka sentiasa mempunyai sebilangan
jurugambar sokongan yang sentiasa bersedia untuk menggantikan jurugambar yang tidak dapat
melaksanakan tugasnya sekiranya berlaku perkara yang tidak dapat dielakkan.

BILAKAH SELEWAT-LEWATNYA SAYA PERLU MEMBAYAR DEPOSIT UNTUK


MENEMPAH PERKHIDMATAN ?

Tidak ada tarikh akhir yang ditetapkan untuk membuat tempahan. Kebanyakan jurufoto boleh
memberi perkhidmatan yang diperlukan selagi ada jurugambar yang boleh bertugas pada tarikh
yang diperlukan. Namun, untuk mengelakkan ketiadaan jurugambar pada saat akhir, tempahan
awal adalah amat digalakkan. Terutamanya pada musim cuti sekolah dan cuti umum, kesemua
jurugambar biasanya akan mempunyai jadual yang ketat. Namun, tempoh yang ideal untuk
menempah jurugambar adalah 6 bulan sebelum tarikh perkahwinan.

KEBANYAKAN JURUGAMBAR MEMINTA WANG DEPOSIT HARGA PAKEJ


UNTUK MENEMPAH PERKHIDMATAN MEREKA. MENGAPA?

Tempahan untuk perkhidmatan fotografi perkahwinan sebenarnya adalah tempahan ke atas


tarikh. Apabila anda telah menempah tarikh yang tertentu untuk sesuatu perkhidmatan,
jurukamera hanya boleh melaksanakan tugasan untuk anda sahaja pada tarikh dan masa yang
ditempah. Sebarang tugasan lain pada tarikh dan masa yang sama akan ditolak.

SAYA INGIN MENGADAKAN MAJLIS PERKAHWINAN SAYA SECARA RINGKAS


SAHAJA. APAKAH PAKEJ JURUGAMBAR YANG PALING MURAH YANG
TAWARKAN?

Jurufoto boleh memberikan pakej jurugambar mengikut kemampuan anda selain dari pakej biasa
yang mereka tawarkan. Anda boleh hubungi perkhidmatan jurufoto dan nyatakan maklumat
majlis anda dan mereka akan cuba memberikan harga yang terbaik dengan mengeluarkan
beberapa item yang tidak diperlukan oleh anda.
APAKAH PERBEZAAN ANTARA ALBUM STIKY,
ALBUM MOCKUP STIKY DAN MOCKUP COSTUME?
Album Sticky

Album Sticky adalah album dimana kita boleh melekatkan gambar di atas muka suratnya dan
kemudian gambar tersebut akan dilitupi oleh helaian plastik nipis. Kebiasaannya Album ini
bersaiz 15X10 inci.

Album Mockup Sticky

Album Mockup Sticky adalah album yang sama seperti Album Sticky tetapi di bahagian kulit
depan album tersebut dilitupi oleh gambar yang bertexture. Kebiasaan Album ini juga bersaiz
15X10 inci.

Album Mockup Costume

Album Mockup Costume adalah album yang sama seperti Album Mockup Sticky tetapi di
bahagian dalam album tersebut gambar-gambar akan disusun atur dan diedit untuk
menambahkan kecantikkan sesuatu album mengikut kretiviti jurugambar. Album ini akan terus
dicetak di atas kertas tebal agar dapat memberi ketahanan sesuatu album dari sebarang
kerosakan. Kebiasaan album ini bersaiz 8X12 atau 15X10 inci.
Kebanyakan perkhidmatan foto akan menyediakan perkhidmatan fotografi profesional untuk
majlis-majlis :-

 PERTUNANGAN
 MAJLIS PERKAHWINAN
 FOTO PRE-WEDDING
 POTRET KELUARGA
 BABY/KIDS POTRET
 BIRTHDAY PARTY
 FAMILY DAY
 SPORT OR ANY EVENT

APA NASIB MASA DEPAN BIDANG FOTOGRAFI DI MALAYSIA?


Assalamualaikum W.B.T

Alhamdullilah, Sudah lama juga rasanya saya tidak menjengah blog saya, pada
kali ini, hati saya tergerak untuk membincangkan satu perkara yang amat penting
dan perlu diberikan perhatian dari seluruh keluarga Fotografi. Tidak kisahlah dari
genre mana, tetapi artikal ini sebagai satu cara untuk saya meluahkan rasa hati
dan kegusaran mengenai masa depan bidang ini di Malaysia. Kegusaran ini
bermula setelah saya bersembang dengan sahabat-sahabat saya dari industri dan
ketika saya menyemak satu permohonan dokumen bagi tujuan akreditasi. Kali ini
saya tidak akan memetik atau sama sekali menyebut mana-mana nama individu
kerana saya tidak mahu disalah anggap menggunakan populariti beliau. Sebagai
satu penegasan, saya tidak berminat untuk mencari populariti,

Sebelum saya mengulas lebih lanjut lagi, satu persoalan yang bermain di fikiran
saya ialah dan mahu dikongsi bersama dengan para pembaca, apakah yang
membezakan seorang Jurugambar Profesional dengan Camera Operator?.
Adakah kita ini digelar profesional atau semata-mata menurut arahan dari pihak-
pihak tertentu. Adakah kita mampu membina konsep dan idea kita sendiri atau kita
hanya menurut arahan daripada agensi yang sudah menentukan konsep untuk
kita. Persoalan ini sebenarnya yang bermain difikiran saya. Sebelum saya
mengupas lebih lanjut lagi, apakah nasib pelajar-pelajar kita apabila sudah
graduated. Adakah mereka ini akan bergelar jurugambar profesional atau sekadar
camera operator?. Lambakan kursus fotografi yang ditawarkan di IPTA, Politeknik,
Kolej Komuniti dah IPTS, adakah ianya sudah menurut keperluan industri?.
Berbalik kepada persoalan ini, ingin saya tegaskan bahawa Saya dan semua
rakan-rakan pensyarah bukanlah dikira sebagai profesional photographer, kami
adalah ahli akademik. Ahli akademik merupakan tenaga pengajar untuk
melahirkan jurugambar. Kami bukan jurugambar, melainkan ada sesetengah ahli
akademik yang membuka studio sendiri. Mungkin mereka membuka studio adalah
untuk mengasah pengetahuan mereka dan ingin menimba pengalaman serba
sedikit dengan permainan industri. Secara ikhlas, saya juga ada kemahuan untuk
membuka studio dan merasai sendiri bagaimana untuk bekerja dan memahami
industri. Tetapi, saya tidak mampu membuat dua kerja serentak. Saya juga tidak
mampu keluar untuk mencari client kerana beban tugas sebagai ahli akademik.
Begitu juga dengan ahli industri, mereka tidak boleh menjadi ahli akademik.
Mereka tidak mempunyai pengetahuan atau memahami falsafah disebalik dunia
pendidikan. Mereka juga tidak memahami silibus dan keperluan akademik yang
lain seperti menulis journal, membuat penyelidikan dan tugas-tugas sebagai ahli
akademik. Jadi disini, kita ada timbal dan balas, ahli akademik memerlukan
industri dan industri memerlukan ahli akademik.

Saya kembali dengan asas perjalanan perbincangan kita. Di Malaysia, secara


terus terang saya katakan masih lagi tidak mengiktiraf sebenarnya peranan
jurugambar. Peranan jurugambar terlalu kecil. Industri kita masih lagi terlalu baru.
Rakyat Malaysia masih lagi memandang sinis tugas-tugas sebagai jurugambar.
Apa yang membuatkan seorang jurugambar itu diiktiraf sebagai profesional?.
Inilah isunya, kita tidak mempunyai sebarang badan yang diiktiraf oleh Kerajaan
yang tugasnya memberikan pengiktirafan kepada jurugambar. Apakah kriteria-
kriteria untuk menjadi profesional?. Jawapanya, tiada kriteria. Ianya masih
subjektif, Anda boleh mendapat banyak job dengan harga berjuta-juta ringgit atau
dijemput mengambil gambar VVIP atau sebagainya, tetapi selagi tiada badan yang
mengiktiraf, anda tetap tidak dikira sebagai profesional. Jadi apakah bezanya kita
dengan camera operator?. Ya, sebenarnya, hakikatnya, kebanyakkan jurugambar
merupakan camera operator. Mungkin pedih untuk ditelan, tetapi inilah kenyataan,
saya berikan contoh, seorang jurugambar advertising hanya menurut idea dan
konsep yang di buat oleh agensi. Jurugambar tugasnya hanyalah mengambil
gambar dan menurut sahaja arahan dan konsep yang ditentukan oleh agensi.
Jurugambar tiada autoriti. Begitu juga dengan jurugambar journalism. Tugas
memilih gambar untuk dimuatkan di dalam majalah dan suratkhabar dibuat oleh
editor. Jurugambar journalism tidak mempunyai autoriti memilih dan menentukan
gambar yang ingin dimuatkan. Saya bagi lagi satu contoh, jurugambar
perkahwinan bergantung kepada kehendak pasangan pengantin. Mereka hanya
menerima bayaran setelah tugas diambil. Yang membezakan mereka yang
bernilai tinggi atau tidak ditentukan dengan jumlah pakej yang ditawarkan. Lagi-
lagi sekarang ini, mereka yang baru sahaja membeli kamera, sudah boleh menjadi
seorang jurugambar perkahwinan, tidak perlu kursus, asalkan gambar diambil
cantik, pakej ditawarkan dirasakan berpatutan dan berada dalam kemampuan,
anda sudah boleh membuka perniagaan jurugambar perkahwinan. Adakah semua
contoh-contoh yang saya berikan tadi boleh dibidas dengan mengatakan yang
jurugambar kesemua bidang yang saya sebutkan tadi adalah profesional dan
bukannya camera operator?. Memang pedih untuk ditelan, tapi itulah hakikat yang
terpaksa kita terima.

Profesional yang dimaksudkan disini ialah, jurugambar itu mempunyai autoriti, Dia
yang mencadangkan konsep, dialah yang menberikan idea kepada client, dia
mempunyai kuasa untuk memilih dan menentukan gambar yang dikehendaki
untuk dimuatkan di majalah, billboard dan sebagainya. Keupayaan dan
kepakarannya diiktiraf oleh satu badan yang diiktiraf, dia diiktiraf memberikan talk
dan dan menerima awards bertaraf kebangsaan mahupun antarabangsa.
Sayangnya, kita tiada awards itu, Sedangkan artis atau selebriti mempunyai
banyak lapangan anugerah atau awards yang berpretij. tetapi jurugambar di
Malaysia, kita umpama terpinggir. Jika ada pun sebenarnya ia merupakan
pertandingan fotografi dan terpaksa bersaing dengan mereka yang menganggap
fotografi sebagai hobi. Tetapi disini, kita menganggap fotografi sebagai kerjaya,
disitulah periuk nasi kita. Dimanakah maruah kita? dimanakah penghormatan
kita?. Saya berikan contoh penyanyi. Semua orang boleh menyanyi. tetapi
menyanyi ini rupanya perlu mempunyai skill dan bijak mencari peluang. Bijak
mencari syarikat recording untuk memasarkan album mereka. Jadi begitu juga
jurugambar, semua orang boleh membeli kamera dan ada kamera. tetapi
sayangnya, tidak ramai masyarakat Malaysia menghormati dan menghargai hasil
kerja jurugambar...

Daripada isu ini, saya terfikir, apa sebenarnya nasib graduan-graduan yang bakal
menamatkan pengajian mereka baik diploma, degree mahupun master. Apa nasib
mereka?. Bagaimana mereka akan mengharungi dunia industri?. bagaimana
mereka akan bertahan dengan survivor yang memerlukan mereka bersaing?.
Bagaimana saingan mereka?. Saya cukup risau sekarang, lambakan kursus
menawarkan lebih banyak graduan tetapi industri kita tidak mempunyai banyak
tempat. Ini bermaksud penawaran melebihi keperluan. Industri kita masih lagi
kecil. Walau setinggi manapun kelulusan akademik mereka, hakikatnya, kita tidak
melahirkan jurugambar profesional, tetapi kita melahirkan camera operator.
Persoalan lagi yang sangat pedih, Kalau kita melahirkan camera operator,
mengapa kita perlu menawarkan degree dan peringkat yang lebih tinggi?.
Persoalan ini sejujurnya saya tidak ada jawapan yang konkrit.

Pada pandangan saya, realiti ini terjadi ialah, semua orang boleh jadi
photographer. lagi-lagi sekarang, dengan kamera digital yang semakin murah,
semakin banyak di pasaran, boleh dibeli dan boleh menghasilkan gambar. Dengan
hobi kini, anda tidak perlu sijil, diploma atau ijazah untuk mencari rezeki, malah
anda boleh menjadikannya sebagai kerja separuh masa. Banyak jurugambar
"Klon" merosakkan industri. Merosakkan periuk nasi mereka yang memang
bekerja sebagai jurugambar dimana rezekinya bergantung kepada kerjaya
sebagai jurgambar ini. Mengapa saya panggil mereka Jurugambar "Klon"?. Sebab
mereka mementingkan diri. Mereka yang merosakkan industri dan mereka juga
yang merupakan racun kepada industri, Kisahnya, Saya pernah terdengar ada
seorang rakan saya yang merupakan jurugambar tetap dan memiliki studio pada
mulanya ditawarkan dengan bayaran yang tinggi untuk mengambil gambar
korporat ahli lembaga pengarah sebuah syarikat yang terkemuka. Tetapi tidak
berapa lama kemudian, kawan saya memaklumkan yang dia kehilangan job
tersebut kerana ada seorang jurugambar "Klon" yang kita tidak tahu mempunyai
studio apa atau mempunyai daftar perniagaan yang sah telah mengambil job nya
dengan menawarkan bayaran yang sangat murah. malangnya, syarikat tersebut
mempercayai dan mengambil jurugambar "Klon" ini. Lihatlah disini, kebanyakkan
daripada client, tidak melihat kepada estetika, keindahan dan elemen kesenian
fotografi dan menghargai itu semua dengan membayar hasil seni itu dengan harga
yang sepatutnya. Mereka lebih rela mengambil hasil kerja yang murah dan nilai-
nilai estetika itu diletakkan ke tepi.

Kalau saya menceritakan mengenai perihal jurugambar perkahwinan, lagi perit


untuk diterima. Jujur dan hakikat, kebanyakkan pengantin melayu hanya mencari
jurugambar yang menawarkan harga yang terlalu murah. kalau boleh dengan
RM1,000.00, boleh dapat segalanya, dapat custom album, dapat outdoor shot dan
macam-macam lagi. Mereka tidak melihat gambar perkahwinan mereka dari sudut
estetika,mereka tidak menghiraukan walaupun gambar mereka senget benget dan
tidak mempunyai nilai seni. Mereka hanya beranggapan bahawa jurugambar
perkahwinan adalah sebagai syarat. mereka secara hakikatnya tidak menghargai
anda. Adakah kita sebagai ahli akademik mahu mengeluarkan graduan yang
hanya mengambil gambar perkahwinan?. Sudah tentu sekali tidak....

Sebenarnya, banyak lagi isu yang bermain difikiran saya. Apa yang mengusarkan
saya, apa nasib pelajar -pelajar saya atau mereka yang ingin mengambil kursus
fotografi pada masa akan datang. Apa nasib jurugambar kita mahupun nasib ahli
akademik sendiri dalam bidang fotografi 10 hingga 15 tahun akan datang?.
Bagaimana penerimaan masyarakat akan datang?. Adakah masih memandang
kita sinis atau memandang tinggi kepada kita semua. Maafkan saya, ada seorang
sahabat saya pernah bertanya kepada saya pada satu hari. Soalan yang tidak
pernah saya jangkakan. " Nadzri, adakah satu hari nanti apabila anak kau, Ikhwan
atau Sofia ingin menjadi Photographer, kau akan galakkan?" Saya rasa tuan-tuan
pasti terkejut dengan jawapan saya " Tidak. Saya tidak akan galakkan". Tuan-tuan
rasa mengapa saya menjawab sedemikian?. Apa yang bermain difikiran saya?.
Saya hanya akan berasa yakin apabila satu hari nanti Kerajaan membantu
golongan Jurugambar ini membenarkan penubuhan badan jurugambar
profesional. Saya akan yakin sekiranya ada diwujudkan jawatan dalam kerajaan
mahupun swasta mengikut kelulusan degree. saya meyakini jika masyarakat
memandang tinggi dan sanggup membayar lebih untuk mendapatkan hasil
gambar yang berkualiti. Saya merasa yakin jika jurugambar diajak berbincang
sama dengan agensi dan mempunyai autoriti. Saya merasa yakin jika badan
pemberi anugerah yang diwujudkan bagi mengiktiraf peranan dan tugas
jurugambar. Dan saya hanya merasa yakin apabila masyarakat satu hari nanti
beranggapan bahawa Jurugambar merupakan satu tugas profesional setanding
dengan profesional yang lain.

Maafkan sekiranya tulisan ini menyinggung mana-mana pihak. Tiada niat saya,
sekadar memberikan pandangan peribadi saya. Saya akan bincangkan isu
mengenai apa yang perlu dilakukan oleh jurugambar ini untuk bergelar profesional
pada entry saya akan datang, Saya menggalakkan segala komen untuk
memantapkan penulisan saya. Komen biarlah beretika ye....Wassalan

Foto elemen kehidupan – Yaman Ibrahim


22122010
Sumber : Kosmo

SUDAH hampir satu jam Yaman Ibrahim, 44, berdiri berhampiran sebuah gerai durian yang
terletak di kaki lima berhampiran Jalan Alor di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu.
Tangannya yang menggenggam erat kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) jenis Nikon D3
yang disangkut pada leher dirasakan sedikit kebas, kakinya juga tidak terkecuali. Bagaimanapun,
lelaki bertubuh rendah dan berbadan sasa ini, masih belum berganjak dari tempatnya.

Yaman sedar ada mata-mata liar yang memerhatikannya. Namun, dia tidak ambil pusing.
Perhatiannya masih tertumpu di hadapan gerai peniaga berketurunan Cina itu.

Dia tidak mahu terlepas sebarang aksi dan gelagat pelanggan yang singgah di gerai itu, jika tidak
sia-sia dia bergelumang dengan debu dan menghirup asap kenderaan yang lalu-lalang.

Jika beberapa tahun lalu, Yaman tidak bersusah-payah begitu. Selaku pengarah kanan kreatif dan
multimedia di sebuah syarikat penerbitan di ibu negara, dia mempunyai unit jurugambar yang
boleh diarahkan melakukan tugas itu.

Dia boleh duduk selesa di atas kerusi empuk ruang pejabatnya yang berhawa dingin, cukup bulan
terima gaji. Namun, kepuasan yang hilang dalam berkreativiti akhirnya menyebabkan lelaki itu
rela melepaskan keselesaan yang dikecapinya. Dia mahu mengejar impiannya menjadi seorang
jurufoto.

Mencipta gambar

Lamunannya terhenti secara tiba-tiba. Dua orang pelancong asing yang melintas di hadapan gerai
menarik perhatiannya. Tatkala si bapa berjalan tenang, si anak pula kelihatan seperti terseksa
menikmati aroma durian yang tajam.

Yaman tersenyum puas, itulah aksi yang ditunggu-tunggu. Reaksi spontan kanak-kanak itu
menutup hidung dengan bajunya, memegang perut dan mimik muka loya akhirnya tersimpan
rapi dalam memori kamera Yaman.

Biarpun ia dirakamkan kira-kira dua tahun lalu, namun ia sesuatu yang besar bagi Yaman.
Gambar yang menceritakan wajah-wajah di Kuala Lumpur itu telah diangkat sebagai pemenang
tempat pertama pertandingan fotografi Picture KL 2008.

“Gambar yang baik tidak selalu datang kepada kita. Kita perlu mencari, melihat dan mencipta
gambar, agar gambar yang dihasilkan tidak sama seperti orang lain,” katanya berfalsafah.
REPORT THIS AD

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, biarpun berkebolehan menghasilkan karya yang
mencakupi pelbagai tema, namun dia lebih selesa merakamkan fotografi berbentuk dokumentari
dan jalanan.

Ujarnya, elemen kehidupan dan kemanusiaan yang sering mendasari kedua-dua tema itu cukup
dekat dengan jiwanya dan menarik untuk diterjemahkan melalui lensa kamera. Merakamkan
gelagat manusia di jalanan menjadi kegemaran Yaman. Kata Yaman, fotografi di jalanan lebih
dekat untuk menggambarkan kehidupan sebenar rakyat Malaysia.

“Saya gemar merakam gambar-gambar yang mempunyai mesej cerita, ekspresi dan emosi kerana
ia mampu menghubungkan jiwa-jiwa manusia,” jelasnya yang menetap di Bukit Antarabangsa,
Kuala Lumpur.

Namun, kata Yaman, bermain dengan subjek hidup seperti manusia memerlukan seseorang
jurugambar memahami pelbagai faktor bagi menonjolkan subjek tersebut.

Tambah Yaman, faktor kedudukan subjek, pencahayaan dan teknik yang betul bagaimana untuk
berinteraksi dengan subjek penting bagi memastikan foto yang dirakamkan menarik dan tidak
kaku.
“Ia ibarat menghasilkan lukisan di atas kanvas kerana selain memerlukan pengetahuan tentang
fotografi, seseorang itu perlu kreatif dan sedikit sebanyak mempunyai jiwa seni,” katanya yang
berpengalaman bekerja di dalam bidang penerbitan lebih lapan tahun. Pengalaman tersebut
banyak membantunya memahami aspek dimensi dan pengimejan dengan lebih jelas.

Kebetulan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya
(UM) ini berdarah seni.

“Dulu saya sering melukis mural di sekolah. Malah, ketika bergelar guru sebelum ini pun saya
turut mengajar subjek pendidikan seni,” kata bapa kepada dua cahaya mata iaitu Farahanis, 19
dan Faris, 16.

Menurut Yaman, pembabitannya dalam bidang fotografi bermula kira-kira empat tahun lalu.

Dia mendekati anak-anak buahnya untuk belajar fungsi teknikal kamera DSLR. Internet dan
laman-laman rangkaian perkongsian sosial seperti Flikr juga membantunya. Malah, dia juga tidak
malu menyertai kelas fotografi.

“Saya berhenti kerja dua tahun lalu dan sejak itu saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi,”
katanya.

Perkenalannya dengan rakan-rakan sealiran seperti Bazuki Muhammad, seorang jurugambar


profesional yang terkenal di kalangan pengamal media dan peminat fotografi di negara ini banyak
membantunya mendalami bidang tersebut.
Bagaimanapun, perjalanannya penuh ranjau berduri. Bidang itu bukan sahaja menuntut
kesabaran yang tinggi malah pengorbanan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

Pengalaman diherdik oleh sekumpulan wanita ketika Yaman asyik mengambil gambar mereka
membeli-belah di sebuah pasar raya, pelanggan yang memperlekehkan karyanya sedikit pun
tidak melunturkan semangatnya.

“Itu merupakan asam garam yang perlu dilalui oleh seorang jurugambar. Saya positif, tiada istilah
kecewa sebaliknya hanya keinginan untuk memperbaiki diri,” kata Yaman.

Melihat karya yang tersimpan di studio miliknya, Neo Edition yang terletak di Taman Danau Kota,
Setapak, Kuala Lumpur jelas Yaman gemar menjadikan kanak-kanak dan warga emas sebagai
subjek utamanya.

Merakamkan gambar kanak-kanak satu kepuasan kerana ekspresi dan emosi yang dipamerkan
tulus dan ikhlas. Mereka tidak berpura-pura.

Terbitkan buku

“Begitu juga dengan warga emas, saya suka mendengar pengalaman hidup mereka. Sedikit
sebanyak kisah itu saya cuba tonjolkan melalui lensa kamera,” ujarnya sering mendapat galakan
isterinya, Rita Aziz, 30.

Sejak itu, Yaman aktif mengembara hampir ke seluruh pelosok negara bagi mendapatkan
rakaman terbaik di samping meneroka kepelbagaian masyarakat serta adat dan budayanya.
Kunjungannya di sebuah kedai buku kerana mahu mencari bahan rujukan mengenai fotografi
Malaysia membuatkan lelaki itu tersedar daripada lena.

Selama ini, kebanyakan bahan rujukan yang terjual dipasaran dihasilkan dari kaca mata orang
luar. Lidahnya kelu melihat nama-nama Inggeris tertera pada senarai nama penulis, jurugambar
dan penerbit. Rata-ratanya bukan anak tempatan.

Situasi itu menyemarakkan semangat Yaman untuk menerbitkan buku bertajuk, Malaysia The
Walk of Life yang diterbitkan bulan lalu.

Buku yang mengandungi 180 keping gambar koleksi peribadi Yaman yang dikumpulkannya sejak
lima tahun lalu itu dihasilkan dalam versi bahasa Inggeris.

“Saya harap buku ini mampu menceritakan perspektif budaya, adat resam dan masyarakat di
negara ini dengan lebih dekat kepada pelancong asing.

“Saya berharap untuk menjelajah ke negara-negara Asia dan bercadang menerbitkan buku yang
sama mengenainya,” jelasnya.

Bersempena pelancaran buku terbaru itu, Yaman turut mengadakan pameran fotografi bertajuk,
Malaysia The Walk of Life yang akan diadakan bermula 29 Disember 2010 hingga 14 Januari 2011
di Map KL, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Adakah Yaman menyesal meninggalkan dunia seni bina yang boleh memberikan masa depan
yang jauh lebih baik daripada menjadi seorang jurugambar?

Jawab Yaman, fotografi adalah kerjaya yang serasi dengan jiwanya dan mampu memberinya
kepuasan.

“Saya sering mengingatkan diri, jika orang lain boleh buat, kenapa tidak saya,” ujarnya penuh
makna.

Advertisements
REPORT THIS AD
REPORT THIS AD

Komen-komen : Leave a Comment »


Label: fotografi, jurugambar, Yaman Ibrahim
Kategori : Fotografi - Artikel, Fotografi - Interview

Video : Sukarnya Menjadi Seorang Jurugambar


28052009
Komen-komen : Leave a Comment »
Label: jurugambar, photographer, video klip
Kategori : Fotografi - Video

Spektrum Ikram
22032009

Tatkala kualiti dan kreativiti menyatu, lahirlah


pesona yang membuka 1,001 cerita…

TENTU ramai masih terkenang detik bersejarah persandingan penyanyi tersohor, Datuk Siti
Nurhaliza dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, dua tahun lalu.

Persandingan gilang-gemilang yang mendapat jolokan ‘Wedding of the Year’ itu mendapat
liputan luas media cetak dan elektronik rantau ini. Bukan saja seri mempelai menjadi topik hangat
di warung kopi mahupun lobi hotel, malah foto indah yang diabadikan personaliti XY – Ikon Lelaki
minggu ini mencuri perhatian.

Nyata majlis gilang-gemilang itu membuka ruang publisiti buat anak jati Kuala Lumpur ini dalam
dunia fotografi kreatif tanah air. Tempoh 18 tahun mengabdikan diri dalam bidang fotografi
nyata mematangkan Ikram.
Namun, biarpun sudah lama memegang lensa kamera, Ikram yang mencurahkan kreativitinya
dalam penghasilan potret, penggambaran fesyen, fotografi seni halus dan majlis perkahwinan
mengakui masih banyak yang perlu dilakukan.

“Bagi saya, setiap subjek fotografi adalah medium baru pelajaran. Tidak kiralah kita masih baru
ataupun sudah lama dalam bidang ini, pembelajaran berterusan itu perlu untuk kita mencuba
sesuatu yang baru.

“Bermula dari itu, pasti ada teknik terkini dan secara tidak langsung memberi idea baru serta
pengalaman untuk dimanfaatkan,” katanya penuh bersemangat.

Setia menggunakan empat kamera digital jenis Nikon iaitu D70, D100 serta dua model D200,
Ikram memulakan kerjaya awal sebagai pereka grafik pada 1989, sebelum berjinak-jinak menjadi
pembantu merangkap jurugambar, setahun kemudian.

Menyedari minatnya lebih terarah dalam seni fotografi, bapa kepada empat orang cahaya mata
ini memilih terus berkarya dalam dunia fotografi dengan sebuah syarikat penerbitan di ibu
negara. Selain terbabit dalam tenaga kerja kreatif untuk penggambaran kulit muka depan
majalah, Ikram juga terbabit dalam sesi fotografi fesyen dan grooming.

“Selepas 16 tahun bekerja untuk majalah, saya mengambil keputusan nekad bergerak sendiri dan
memberi tumpuan untuk fotografi perkahwinan. Sesekali saya membuat grooming dan
penggambaran fesyen jika ada tawaran.

“Alhamdulillah, setakat ini saya puas dengan apa yang saya lakukan. Saya juga mendapat maklum
balas baik daripada pelanggan yang kebanyakannya diperkenalkan pelanggan lain,” katanya yang
berhasrat mengadakan pameran fotografi seni halus ilham peribadinya suatu hari nanti.
Ditanya apakah beliau mewarisi bakat seni fotografi keluarganya,
tanpa berselindung Ikram mengakui bapanya, Ismail Abu Bakar pernah bertugas sebagai
penyunting untuk Filem Negara Malaysia.

Ikram teringat bilik gelap untuk memproses gambar di rumah yang dihuni keluarga ketika beliau
masih kecil.

“Bapa ada juga membangkitkan mengapa gambar album perkahwinan yang saya abadikan
mempunyai imej kasut, cincin, bunga dan banyak barangan lagi. Mengikut konteks sekarang,
objek terbabit dianggap elemen kreatif melengkapi jalan cerita sebuah perkahwinan.

“Jika dilihat foto perkahwinan zaman dulu, ia hanya membabitkan imej penuh pengantin tanpa
memfokuskan aksesori dan elemen penyeri lain,” katanya sambil tertawa mengenangkan
perbualan dengan bapanya mengenai dunia fotografi sekarang.

Panjang lebar cerita suka duka yang direncanakan Ikram sepanjang mencongak perjalanan
hidupnya sebagai jurugambar kreatif. Daripada kamera negatif filem hinggalah era digital,
pemuda berusia 38 tahun ini terus ligat menyusun kata untuk tatapan pembaca XY – Ikon Lelaki…

Ceritakan serba sedikit latar belakang Ikram?

Sebenarnya, saya terbabit dalam dunia fotografi secara tidak langsung. Bermula sebagai pereka
grafik, saya beralih kepada bidang fotografi kerana minat lebih ke bidang itu. Tetapi, saya
bersyukur kerana bidang grafik banyak membantu saya tampil lebih kreatif dan menyunting
gambar.

Berapa lama berkecimpung dalam bidang fotografi?


Sudah 18 tahun… Meskipun lama berkecimpung dalam bidang ini, saya tetap menganggap setiap
penggambaran fotografi sebagai medium baru pembelajaran.

Apakah Ikram mempunyai trademark tersendiri?

Seperti tugasan fotografi perkahwinan, saya lebih cenderung menghasilkan jalan cerita dalam
bentuk gambar yang dimuatkan dalam album perkahwinan. Selain itu, elemen kreatif sarat saya
muatkan sebagai pelengkap tarikan sesiapa yang menatap album itu.

Kepuasan merakamkan gambar bagi Ikram?

Kepuasan bagi saya apabila orang lain menghargai hasil penat lelah kita mengabadikan kreativiti
dalam bentuk gambar. Interaksi begitulah yang menyemarakkan lagi idea dan semangat untuk
terus bekerja keras.

Antara fotografi di studio dan penggambaran di luar, yang mana memberi lebih kepuasan?

Jujurnya penggambaran luar lebih memberi kepuasan. Selain lokasi dan mood pencahayaan, kita
dapat bermain pelbagai elemen untuk menghasilkan lebih cerita dalam gambar yang dirakamkan.
Berbanding studio, lampu yang banyak mencorak hasil gambar.

Senario fotografi di Malaysia mengikut perspektif anda?

Saya lihat semakin ramai ingin menjadi jurugambar. Apatah lagi, ketika ini mudah mendapatkan
hasil gambar kerana teknologi kamera digital yang membolehkan hasil foto terus dilihat. Ini suatu
persaingan sihat sekali gus menunjukkan ramai peminat fotografi di Malaysia.

Siapa jurufoto idola Ikram?

Jurugambar kelahiran Amerika Syarikat, Patrick Demarchlier yang banyak terbabit dalam
penggambaran fotografi fesyen. Beliau menerapkan elemen seni halus dalam foto yang
diabadikan.

Boleh anda terjemah keindahan sesuatu sesebuah foto?

Seperti sebuah lukisan, sesuatu foto akan meninggalkan kesan andai kita mampu
menterjemahkan perasaan, keindahan, kesedihan dari sudut pencahayaan dan warna untuk hasil
penuh subjektif.

Terangkan personaliti Iqram?

Saya seorang yang sederhana serta merendah diri dalam pelbagai perkara.

Tugasan paling meninggalkan kesan mendalam dan meningkatkan portfolio Ikram?


Banyak antaranya persandingan mega Datuk Siti Nurhaliza yang banyak membuka ruang publisiti
hasil kerja saya kepada selebriti lain seperti Nora Danish, Aleeza Kasim dan Erra Fazira. Banyak
juga tawaran untuk perkahwinan orang ternama diterima.

Impian fotografi Ikram?

Saya mengimpikan mengadakan galeri fotografi berkisarkan gambar seni halus yang jarang
diketengahkan di Malaysia. Ketika ini, masyarakat lebih tertumpu kepada galeri lukisan
berbanding fotografi.

Hobi Ikram waktu lapang?

Saya suka bersantai bersama keluarga serta merakamkan gambar subjek dan alam semula jadi.
Puas jika saya dapat merakamkan imej seni halus di mana sesuatu subjek itu dapat dicetuskan
melalui elemen kreatifi.

Siapa yang memberikan sumber inspirasi buat Ikram dalam dunia fotografi?

Arwah ibu saya, Rahmah Lasim. Saya sentiasa ingat, arwah banyak berjasa kerana faham minat
saya dalam dunia fotografi. Malah, beg kamera pertama milik saya bernilai RM60 adalah
pemberian arwah.

Di manakah lokasi penggambaran fotografi di Malaysia yang menjadi kegemaran?

Saya memilih Bako Island di Sarawak. Saya temui lokasi hebat ini ketika mengikuti rombongan
Tourism Malaysia ke Sarawak. Banyak lokasinya cukup menakjubkan untuk diterokai, apatah lagi
untuk penggambaran fotografi.

Perkara yang mungkin orang tidak tahu mengenai Ikram?

Selain terbabit dalam fotografi perkahwinan, saya sebenarnya berminat merakamkan gambar seni
halus. Saya mempunyai beberapa koleksi peribadi hasil penggambaran yang dilakukan pada
waktu lapang. Antara lokasi kegemaran ialah di pantai Pangkalan Balak, Melaka yang sering
dikunjungi ketika pulang kampung mentua.

Ikram dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Mungkin lebih banyak travel dan mengurangkan kerja seperti sekarang. Semestinya fotografi
tetap menjadi keutamaan.

Pesan Ikram kepada penggemar fotografi?

Pertama sekali, mesti banyak melihat hasil gambar, kerap bertanya kepada jurugambar
berpengalaman serta bijak mencuba sesuatu yang baru. Seperti kamera digital, dalam setahun
begitu banyak model baru dipasarkan menyebabkan kita harus ke depan.
Biodata

Nama: Mohd Ikram Ismail

Umur: 38 tahun

Tarikh lahir: 25 April 1970

Tempat lahir: Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur

Tinggi: 160 sentimeter

Berat: 78 kilogram

Emel: ikram_pro@yahoo.com

Laman web: http://www.IkramIsmail.net

Enam wajah fotogenik pilihan Ikram Ismail…

# Datuk Siti Nurhaliza # Erra Fazira # Sofea Jane # Tengku Azura # Ida Nerina # Amber Chia

Komen-komen : 1 Comment »
Label: fotografi, jurugambar
Kategori : Fotografi - Artikel, Fotografi - Biografi, Fotografi - Interview

Soraya Yusof Talismail : Gambar bagaikan lukisan


19122008
ANTARA foto kreatif yang dirakam oleh Soraya.

Soraya dedah rahsia jadi jurugambar tersohor

“SEKIRANYA ingin bergelar jurugambar berjaya, kita perlu menjadi jurugambar berbeza, tetapi
yang berbeza itulah yang selalunya menyebabkan orang betul-betul suka atau tidak. Ini bukan
satu masalah. Yang penting buat saja’, katanya, berkongsi resipi menjadi jurugambar tersohor
negara.

Sebagai seorang yang disleksik dan pesakit dibetik Type I, Soraya tidak menganggap ini adalah
halangan untuk beliau terus melanjutkan pelajarannya di pusat penggajian tinggi. Soraya
mengimbau zaman kuliahnya di ITM yang mana beliau seringkali diejek sebagai ‘ayam injek’ oleh
‘senior’ dan tidak disukai oleh sesetengah pelajar dan pensyarah kerana kerap bertanya dan
keinginan untuk membuat lebih dari apa yang dikehendaki. Beliau banyak membaca dan
mengkaji. Mengkaji adalah ‘trademark’ disleksik. Sekiranya seseorang disleksik minat tentang
sesuatu, dia akan mengkaji dengan lebih mendalam.

“Saya bukan pelajar yang disukai oleh penyarah, kerana saya sering bertanya dan ingin
mengetahui sesuatu perkara dengan mendalam. Disebabkan itulah kadangkala saya dilihat
kurang sopan, sedangkan saya inginkan sesuatu dengan alasan konkrit, bukan mengikut teori
semata-mata,” katanya tersenyum mengimbau kenangan semasa bergelar pelajar dulu.

Pembabitan dalam fotografi, permulaan agak ganjil. Ketika zaman remaja, meminati kumpulan
pop rock Inggeris, Duran Duran, khususnya pemain keybord, Nick Rhodes.
“Nick menggunakan kamera Nikon di dalam klip video James Bond bertemakan ‘A View to a Kill’
dan itulah kebetulannya. Tetapi apabila mula membabitkan diri dalam fotografi, saya mula
merasakan keperluan untuk serius,” katanya.

KARYA berjudul 'Where Is Chin Kon Yit'.

Bergerak sebagai jurugambar persendirian, bukan saja perlu ‘berbeza’ tetapi serentak dengan itu
memastikan kualiti persembahan, sementelah, menerima bayaran untuk setiap hasil kerja
dilangsaikan.

“Setiap gambar miliki jiwa, dan apabila jurugambar itu berjaya merakamkan perasaan orang yang
dirakam, itulah jiwa yang terpancar menerusinya. Sebelum melakukan tugasan, perlu kita ketahui
di mana ‘kekuatan’ subjek. Sama ada pada senyuman atau bundar mata pemiliknya. Individu
tidak perlu memberitahu hal ini, sebaliknya jurugambar seharusnya arif ‘membaca’,” katanya.

Menghasilkan sajian sedemikian’, kesabaran dan minat adalah rencah utama di dalamnya.
Baginya mood, individu dengan gaya bersahaja atau mungkin juga gaya spontan, boleh
melahirkan buah tangan mengagumkan, bukannya tempoh masa panjang untuk mengambil
gambar. Kerja pula bertambah mudah sekiranya individu berkenaan faham, dan menuruti arahan
diberikan.

Mengulas mengenai rentetan kehidupan jurugambar di negara ini, Soraya tidak menafikan ia
terlalu berbeza sekiranya dibandingkan di negara Barat umpamanya. Kebanyakan masyarakat kita
masih tidak mampu menghargai seni.

“Kerja orang seni sukar mendapat pengiktirafan.(ini adalah satu lagi penyebab saya menghasilkan
buku Imaging Selfs, Soraya Yusof Talismail, Portraits of Artists untuk mengiktiraf seniman-
seeniman Malaysia) Saya pernah dijemput sebagai tetamu majlis pelancaran buku SHE. Di sana
saya diperkenalkan sebagai jurugambar dan ada yang bertanya, ‘tak bawa kamera ke?’. Yang
bertanya ini bukanlah orang sebarangan, malah seorang yang telah diberi anugerah yang begitu
tinggi dan bergelar Tan Sri. Bukankah saya tetamu majlis, dan perlukah saya membawa kamera
untuk majlis yang sepatutnya saya dirai, untuk menunjukkan saya jurugambar? Orang sebegini,
bukan saja tidak memahami malah tidak menghormati profesion pihak lain,” katanya.

Jelasnya, memikirkan kerja mengambil gambar boleh dilakukan oleh sesiapa saja di antara sebab
‘membunuh’ kerjaya itu daripada terus mendapat pengiktirafan, tetapi itulah yang perlu ditelan
urugambar di Malaysia. Beliau sendiri tidak menafikan pada awal melangkah ke menara gading,
ada yang memandang sinis kursus yang diambil itu.

“Orang tidak melihat kerjaya ini sebagai penting, malah mencari contoh jurugambar hebat ketika
itu, pun payah, tetapi Alhamdulillah, keluarga tetap menyokong. Mungkin kerana saya disleksik
dan ‘difficult’ maka keluarga memberikan tumpuan yang lebih dan memberi kepercayaan dan
sokongan kepada saya,” katanya.

Menyentuh mengenai tawaran mengambil gambar bogel, beliau tidak menafikan ada menerima
tawaran sebegitu, bagaimanapun pada saat akhir menolakkan, atas pelbagai alasan.

“Pada peringkat awal saya menyatakan persetujuan, berlandaskan seni, profesion dan rakan,
tetapi Ariff memberikan alasan tertentu supaya berkata tidak untuk tawaran itu. Beliau
mengingatkan saya tiga perkara yang penting iaitu; Kita di mana? Bangsa kita apa? Dan Agama
kita apa? Kita di Malaysia. Kita bangsa Melayu. Agama kita Islam. Nokta!

“Saya memikirkan sekiranya menerima tawaran itu sekarang, mungkin empunya diri seronok dan
gembira, tetapi bagaimana pada masa akan datang? Pelbagai kemungkinan boleh berlaku justeru
saya memilih jalan terbaik belandaskan pesanan Ariff”, katanya.

Beliau bagaimanapun, menafikan faktor jantina mempengaruhi cara kerja sebaliknya, apabila
menghasilkan sesuatu yang berkualiti, sudah tentu ia menjadi sebutan.

Pemikiran yang berbeza itu mendorongnya bergerak sendiri dengan penubuhan syarikat
Talismail Inc. Beliau juga bertuah kerana suaminya Ariff Awaluddin mencintai bidang sama,
menjadikan gandingan itu mantap dan berjaya.

KENANGAN melancong diabadikan dalam buku skrap.


Bukan jurugambar istana

“SAYA bukan jurugambar istana atau Royal Photographer, sebaliknya bekerja untuk sesiapa saja.
Mungkin kerana kerap diundang, dan mendapat kepercayaan keluraga diRaja, maka saya menjadi
pilihan. Saya tidak menyalahkan gelaran diberikan itu tetapi menerusinya ramai memikirkan saya
meletakkan harga yang tinggi, dan ada pihak memberikan tanggapan negatif,” katanya.

Gelaran itu berasas, sungguhpun dinafikan. Manakan tidak kerana sejak daripada bergelar pelajar
lagi, pada 1989, beliau ‘dicari’ untuk mengambil gambar Permaisuri Agong, Tuanku Bainun.
Bagaimanapun, kerana mempunyai pameran bersama pelajar seni halus dan fotografi ITM di
Kuching, Sarawak, peluang itu terlepas begitu saja. Nyatakan itu petanda rezeki, kerana tidak
lama selepas itu namanya sekali lagi dicari untuk merakamkan gambar malam banquet CHOGM
yang dihadiri oleh Queen Elizabeth II di Istana Negara.

Mengulas mengenai pengalaman itu, katanya beliau amat seronok kerana minat mengikuti kisah
British Royal Family itu sejak remaja. Sungguhpun begitu tidak dapat menyembunyikan rasa
gementar, kerana kurang arif mengenai protokol, sebaliknya hanya bertawakal. Bertitik tolak
daripada itu, beliau semakin kerap menerima undangan istana untuk mengambil gambar rasmi
atau peribadi.

“Saya mempunyai prinsip sekiranya kita ikhlas melakukan sesuatu, maka hasilnya akan terserlah
juga. Saya tidak menyifatkan diri sudah berjaya sebaliknya akan terus belajar kerana setiap
tugasan baru adalah cabaran yang perlu ditempuh dengan sebaiknya,” katanya.

Profil
Soraya Yusof Talismail

Usia: 40 tahun

Asal: Petaling Jaya, Selangor.

Suami: Ariff Awaluddin

Usia: 53 tahun

Asal: Rembau, Negeri Sembilan

Anak: Ushuaia

Usia: 10 tahun

Info
 Selain gambar, pasangan itu turut berminat dalam bidang masakan apabila merealisasikan
impian membuka bistro, Kokopelli Travellers Bistro, berkonsepkan galeri seni, tidak jauh
daripada kediaman mereka di Petaling Jaya.
 Pameran solo: Imaging Selfs, Portrait of Artists, Galeri Petronas, KLCC, 2008, ‘Cindai’ di
Panggung Eksperimen (1995) – Bakai di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1996) – Sunflowers di
Galeri Skoob Book, Kuala Lumpur (1997)- Rubiah di Istana Budaya, Kuala Lumpur (1999).
 Pameran berkumpulan: Lebih 30 pameran berkumpulan di Malaysia, Singapura, UAE dan Itali
sejak 1989 hingga 2005.

* Khidmat: Pernah menjadi jurugambar peribadi Tuanku Bainun pada zaman

perkhidmatannya sebagai Raja Permaisuri Agong.

* Keahlian: Professional Photographers of American PPA

* Anugerah:

Pelajar terbaik jurusan fotografi ITM (UiTM) pada 1987 dan 1990.

Pingat Bentara Setia Diraja dikurniakan Tuanku Sultan Azlan Shah.

Tip ambil gambar potret terbaik

DALAM cabang fotografi, potret adalah genre paling digemari sama ada jurugambar, peminat
seni fotografi mahupun orang biasa.
Subjek untuk fotografi potret iaitu manusia lebih mudah dirakamkan namun emosi yang terpamer
pada wajah subjek mampu memberi impak mendalam kepada siapa saja yang melihatnya.

“Walaupun dengan ekspresi wajah bersahaja atau serius yang terpancar di wajah subjek sesebuah
potret, macam-macam interpretasi akan dilahirkan daripada setiap individu yang melihatnya,”
kata jurugambar profesional, Steven V L Lee.

Jurugambar kelahiran Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK) ini adalah antara
jurugambar yang sering memilih genre potret dalam karya fotografinya berbanding genre lain.

Lee memulakan karier dalam bidang fotografi sebagai jurugambar kembara dan dokumentari
pada lewat 1990-an serta menulis artikel kembara untuk beberapa majalah dan penerbitan.

Lee turut menghasilkan beberapa naskhah buku bergambar atau coffe-table book yang banyak
mengetengahkan ‘warna-warni’ Malaysia antaranya Outside Looking In : Kuala Lumpur pada
2000 dan terbaru, Malaysians yang diterbitkan tahun lalu.

Selepas sekian lama berkecimpung dalam kerjaya fotografi, Lee terpanggil berkongsi pengalaman
dan pengetahuan dengan penggemar seni fotografi.

Terbaru, Lee terbabit dalam menganjurkan pertandingan fotografi bertaraf dunia, KL


Photoawards 2009 yang antara lain bertujuan memperkenalkan Malaysia sebagai tumpuan seni
fotografi untuk peminat di serata dunia.

“Pertandingan ini tepat pada masanya kerana ramai antara kita memiliki kamera canggih dan
minat mendalam terhadap fotografi.

“Diharap perkongsian seperti ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada penggiat
dan peminat seni fotografi tempatan. Mereka boleh melihat karya fotografi penggiat luar negara
manakala orang luar pula dapat melihat karya kreatif dari Malaysia,” jelas beliau bersungguh-
sungguh.

Sambil menggalak penggemar dan penggiat fotografi tempatan menyertai Pertandingan KL


Photoawards 2009, Lee turut bercerita serta memberi panduan seni fotografi potret kepada
pembaca XY – Ikon Lelaki.

Secara umum, apa itu fotografi potret dan mengapa ia istimewa berbanding genre lain?

Pertamanya, fotografi potret berteraskan elemen manusia. Berbanding subjek lain yang kaku,
fotografi potret memerlukan jurugambar mewujudkan ‘hubungan’ dengan subjek, tanggapan
yang baik kepada mereka serta membuatkan mereka berasa selesa sebelum mengambil gambar
mereka.
Sebelum mengambil gambar potret, kita harus tahu tujuan kita mengambilnya dan siapakah
khalayak yang akan melihatnya. Potret tak semestinya memaparkan wajah saja tapi boleh
merangkumi tubuh seseorang keseluruhannya dan tidak semestinya seorang saja. Kita juga perlu
pastikan sama ada untuk mengambil potret mereka yang berada di tempat orang ramai atau
orang yang sedang bekerja atau melakukan sesuatu.

Apa elemen penting dalam fotografi potret?

Fotografi itu sendiri banyak membabitkan proses pemerhatian. Penting untuk mendapatkan
waktu, emosi dan teknik yang betul dalam mengambil gambar potret. Kita dapat lihat semakin
ramai yang mengambil gambar potret sekarang ini. Namun kebanyakannya tidak mempunyai
tujuan dalam fotografi yang dilakukan.

Maksudnya, mengambil gambar potret seseorang tanpa sebab atau tanpa mengambil tahu siapa
subjek mahupun latar belakang dirinya. Seperti yang saya katakan tadi, seelok-eloknya, bila
mengambil gambar potret, seseorang jurugambar perlu ada ‘hubungan’, sekurang-kurangnya
mengetahui siapa subjek yang diambil itu. Mungkin ia mempunyai nilai dari segi estetika namun
ia seolah-olah tidak lengkap.

Hubungan yang bagaimana yang anda maksudkan?

Hubungan yang ingin diwujudkan ini tidak semestinya menerusi kata-kata, pandangan mata
antara anda berdua (jurugambar dan subjek) pun mencukupi. Pendek kata, ada pelbagai cara dan
pendekatan dalam fotografi potret ini sebenarnya. Saya lebih suka memanggilnya sebagai ‘people
photography’.

Apakah ada sebarang kriteria diletakkan untuk memilih subjek yang ingin diambil gambar
potretnya itu?

Jika ia diambil untuk sesuatu tujuan tertentu, memang ada kriteria yang perlu dipenuhi. Misalnya,
dalam buku Malaysians yang pernah saya hasilkan dengan rakan wartawan di United Kingdom
(UK), Haliza Hashim-Doyle, saya perlu mencari subjek yang mempunyai wajah bercirikan
Malaysia.

Tapi untuk fotografi potret secara umum, sesiapa saja boleh menjadi subjek. Apabila saya keluar
membawa kamera dan ternampak seseorang yang menarik perhatian dan situasi yang
bersesuaian, saya akan rakamkan gambar mereka. Sudah tentu saya akan beritahu mereka
sebelum merakamkannya.

Bolehkah rakaman potret dilakukan secara spontan?

Rakaman boleh juga dilakukan secara spontan, tapi hasilnya mungkin berlainan. ‘Kuasa’
sesebuah potret banyak terletak kepada pandangan mata subjek, jadi jurugambar harus
mendapatkan pandangan berkenaan.
Dalam fotografi potret, saya lebih suka subjek memberikan wajah serius atau tanpa emosi kerana
ia lebih klasikal. Teringat ketika zaman penggunaan kamera dulu-dulu, foto lama biasanya
menunjukkan subjek di dalamnya dengan ekspresi wajah serius. Seperkara lagi, dengan ekspresi
serius ataupun ‘kosong’, ia mengundang pelbagai tanggapan mengenai emosi subjek itu.

Apa yang membuatkan sesebuah gambar potret itu bagus?

Bila sesebuah gambar potret dapat mencetuskan sesuatu perasaan dalam hati orang yang
melihatnya, ia hampir boleh disifatkan sebagai bagus. Selebihnya terletak kepada aspek teknikal
fotografi, baik dari segi pencahayaan dan banyak lagi.

Apa pula yang membuatkan seseorang jurugambar potret itu bagus?

Jurugambar potret mestilah mempunyai kebolehan memerhati Mereka juga perlu memahami sifat
semula jadi dan ekspresi manusia serta mampu merakamkan sesuatu yang berbeza.

Setiap kali hendak merakamkan potret seseorang, sebaik-baiknya anda memastikan ada jarak
antara anda dan subjek supaya mereka lebih selesa dan mempunyai ‘ruang’ untuk menjadi diri
sendiri.

Bagaimana anda membezakan nilai antara satu potret dengan potret yang lain dalam koleksi
anda?

Secara peribadi, saya tidak pernah meletakkan nilai kepada sesuatu kerja potret yang saya
hasilkan. Dalam erti kata lain, saya tidak mengatakan suatu potret itu lebih istimewa daripada
potret yang satu lagi.

Tapi saya tidak nafikan, potret orang terkenal yang kita sukar memperoleh peluang merakamkan
wajah mereka atau dengan ekspresi wajah mereka yang jarang dilihat akan membuatkan
sesebuah potret itu lebih berharga.

Adakah tajuk atau penerangan pada sesebuah potret memainkan peranan penting?

Ya, tajuk dan penerangan pada potret boleh dikatakan penting. Ia memberi arah kepada individu
yang melihatnya mengenai potret berkenaan. Secara tidak langsung, penerangan ini juga
memberikan pemahaman yang mendalam kepada mereka.

Perkara pertama yang anda pelajari mengenai fotografi potret?

Kita mesti tahu sabar. Kita tidak semestinya akan memperoleh emosi yang diinginkan pada subjek
dengan begitu cepat. Biasanya dalam sesuatu fotografi potret yang dilakukan, anda akan
mengambil potret pertama ataupun potret terakhir yang anda rakamkan sebagai pilihan.
Selain itu, kita tidak boleh jemu mencuba dan sentiasa memantapkan kemahiran teknikal dalam
fotografi. Perancangan juga adalah aspek penting dalam fotografi potret. Anda perlu rancang
konsep, pakaian dan pencahayaan bagaimana yang diinginkan untuk potret yang dirakamkan.

Pandangan anda mengenai penggunaan teknologi digital untuk memanipulasikan gambar?

Saya lebih suka jika sesuatu gambar yang dirakamkan itu tampak semula jadi dan tidak banyak
diubah dengan garapan perisian digital. Setakat menyelaraskan ‘saturation’ dan ‘aperture’ tidak
mengapalah. Kita adalah jurugambar, bukan artis grafik.

Kerja potret terbaik anda?

Sukar untuk saya nyatakan yang mana satu kerana banyak yang memberi kepuasan kepada saya.
Satu daripadanya adalah potret gadis tempatan yang dijadikan kulit buku Malaysians yang
dihasilkan sebelum ini. Ekspresi dan pengcahayaan pada potret itu cukup sempurna.

Info KL Photoawards 2009

 Pertandingan ini terbuka kepada semua jurugambar seluruh dunia baik amatur mahupun
profesional.
 Tema pertandingan yang pertama kali dianjurkan Explorenation.net dan Time Out KL ini adalah
‘Potrait’ (potret).
 Hadiah lumayan mencecah AS$3000 (kira-kira RM10,000) ditawarkan untuk pemenang.
 Tarikh akhir penyertaan 1 Mac 2009.
 Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web http://www.klphotoawards.com.

Anda mungkin juga menyukai