Anda di halaman 1dari 3

KARANGAN CARA MEMELIHARA ALAM SEKITAR

Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama
dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti
sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan sampah di sungai-sungai,
penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi. Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar
bukan hanya digunakan pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun
lagi. Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga alam sekitar
perlulah diambil.

Langkah-langkah yang boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Media massa ini
termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar . Pada hari ini, media
massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Media
massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar,
terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik
yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian
kerana setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin
tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar. Surat
khabar dan majalah pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam
sekitar. Pihak-pihak berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih
luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut
berbanding media-media lain.

Selain itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara kempen-
kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam
dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang pentingnya
menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan sisa pembuangan
supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat
menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan
itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam sekitar.
Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan
membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan
sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu
tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini.

Sekolah dapat diibaratkan sebagai rumah kedua kepada para pelajar. Oleh itu, pihak sekolah juga
berperanan besar dalam usaha mengatasi pencemaran alam sekitar. Antara langkah yang boleh
dilakukan oleh pihak sekolah termasuklah mengadakan kem kesedaran untuk memupuk semangat
cinta akan alam sekitar dalam kalangan para pelajar. Melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik
dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Moral, pendidikan alam sekitar secara langsung dapat diberi
kepada para pelajar. Contohnya, guru-guru boleh memberi tugas tertentu kepada pelajar seperti
meminta mereka mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan isu pencemaran alam sekitar dan
menyuruh mereka membaca artikel tersebut di dalam kelas. Secara tidak langsung, mereka dapat
disedarkan tentang kesan buruk yang dibawa oleh pencemaran alam sekitar. Dengan wujudnya
kesedaran ini, barulah mereka akan mencurahkan usaha untuk menjaga alam sekitar ini. Semasa di
sekolah, usaha ini juga boleh dilakukan melalui penubuhan Kelab Alam Sekitar. Tamsilnya, Kelab Alam
Sekitar boleh mengadakan pelbagai program seperti ceramah dan gotong-royong membersihkan
kawasan sekolah dengan tujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti alam sekitar secara intensif.
Lantaran itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha pihak sekolah juga dapat membantu
mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik juga merupakan salah satu langkah yang dapat
mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dengan efektif. Masyarakat perlulah mempraktikkan
program 3R dalam kehidupan seharian iaitu program yang dikenali sebagai ‘Reduce, Reuse, Recycle’.
‘Reduce’ ialah usaha mengurangkan penggunaan bahan sumber yang terhad. Dalam erti kata lain,
masyarakat haruslah berjimat cermat dalam menggunakan bahan sumber yang saban hari kian
berkurangan seperti petroleum dan arang batu. ‘Reuse’ pula ialah usaha menggunakan semula
bahan-bahan buangan secara terus atau mengubah fungsi bahan tersebut dengan mereka cipta
barangan baru. Hal ini dilakukan untuk menjimatkan bahan sumber sekali gus mengurangkan
sampah sarap yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Dalam pada itu, masyarakat perlu
mempraktikkan amalan kitar semula iaitu mengguna semula bahan baru. Contohnya, masyarakat
boleh menjual surat khabar dan majalah lama untuk dikitar semula. Hal ini bukan sahaja dapat
mengurangkan sampah malah dapat menjimatkan kos untuk pelupusan sampah. Bak kata pepatah,
berjimat sebelum kena, ingat sebelum habis. Oleh itu, masyarakat haruslah sentiasa peka terhadap
isu-isu pencemaran alam sekitar untuk mengelakkan pencemaran daripada menjadi semakin serius.

Dalam pada itu, statistik menunjukkan bahawa pencemaran alam sekitar kebanyakannya berpunca
daripada pengeluaran asap ke udara dan sisa-sisa toksik ke dalam sungai. Menyedari kesan-kesan
negatif yang dibawa oleh pencemaran alam ini, pihak berkuasa telah menguatkuasakan undang-
undang untuk menangani masalah yang dibaratkan sebagai duri dalam daging negara yang sedang
membangun. Dengan ini, kabinet telah memutuskan bahawa hukuman mandatori lima tahun penjara
terhadap Ketua Pegawai Eksekutif dan presiden sesebuah syarikat yang melanggar undang-undang
alam sekitar. Mereka akan diberi amaran terlebih dahulu dan surat yang berkaitan dengan larangan
melepaskan asap hitam dan sisa toksik. Namun, jika keadaan mencurahkan air ke daun keladi
berlaku, tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mereka seperti yang diputuskan oleh kabinet.
Pengusaha-pengusaha kilang haruslah menapis asap hitam dan menggunakan alternatif lain untuk
menghapuskan sisa-sisa toksik kilang. Mereka tidak harus mengorbankan alam sekitar demi
kesenangan diri. Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuasa untuk mendakwa pihak yang mencemarkan
alam sekitar dan disyaki menjejaskan kualiti alam sekitar. Dengan itu, diharapkan pencemaran alam
sekitar dapat diatasi dengan penguatkuasaan akta dan undang-undang alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui kempen kesedaran sivik supaya
rakyat dapat menjaga alam sekitar. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat ditiup kesedaran
untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit demi sedikit masalah dan hal ini dapat
membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga.
Jadi, kempen kesedaran ini dapat diatasi apabila semua rakyat sedar kepentingan alam sekitar.

Tuntasnya, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan ini untuk mengekalkan kebersihan alam
sekitar. Kita tidak sepatutnya meletakkan masalah ini diatas bahu kerajaan dengan semata-matanya.
Kerjasama yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna dan
hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Sinomin dengan slogan negara “ Negara Bersih,
Rakyat Sihat ”

Anda mungkin juga menyukai