Anda di halaman 1dari 11

1

PENGURUSAN PEMAKANAN IKAN


Oleh
Hanan B. Mohd Yusof
Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT),
Glami Lemi, 71650 Titi, Negeri Sembilan
hananpppat@yahoo.com

Pengenalan
Pengurusan pemakanan ikan yang berkesan merupakan salah satu faktor utama dalam
menentukan kejayaan di dalam sistem akuakultur. Secara umumnya, pemakanan ikan
meliputi antara 40 hingga 60 peratus dari kos operasi sesuatu sistem ternakan dan
merupakan perkara yang kritikal dalam memastikan seseorang penternak mendapat
keuntungan yang optima.

Pemakanan ikan secara amnya dirujuk sebagai suatu proses pengambilan makanan
oleh ikan dan penukaran zat makanan untuk keperluan aktiviti fisiologi badan atau
asimilasi. Diet ikan hendaklah menyumbang nutrisi dan tenaga yang diperlukan oleh
ternakan untuk tujuan penyelenggaraan fungsi fisiologi yang penting iaitu pembesaran,
kesihatan atau pembiakan. Proses-proses di dalam aktiviti pemakanan ikan melibatkan
pengambilan makanan, penghadaman, penyerapan dan pengangkutan zat ke seluruh
badan ikan.

Ekologi dan tabiat semulajadi pemakanan ikan

Pemahaman berkenaan ekologi serta tabiat pemakanan semulajadi bagi sesuatu spesis
ikan merupakan perkara penting sebelum sesuatu makanan ikan yang sesuai dapat
diformulasikan dan kaedah pengurusan pemakanan dapat ditentukan bagi sesuatu
sistem ternakan. Di dalam sebuah ekosistem semulajadi, terdapat beberapa peringkat
rantaian makanan yang saling berkaitan antara satu sama lain. Peringkat-peringkat
rantaian makanan melibatkan pengeluar primer atau asas, pengguna primer, pengguna
sekunder dan pengguna tertier. Selain itu terdapat juga organisma pengurai atau
pereput seperti bakteria dan kulat yang membantu di dalam proses pereputan bahan
organik yang mati. Contoh rantaian makanan semulajadi di dalam sebuah kolam adalah
seperti dalam gambarajah 1.0.
krustasea
rumpair
ikan

serangga

siliata
Larva serangga

bakteria

fitoplankton zooplankton

Gambarajah 1.0: Rantaian makanan semulajadi di dalam ekosistem kolam


2

Secara fisologi, perbezaan tabiat pemakanan ikan adalah disebabkan terdapat


pengubahsuaian pada organ penghadaman seperti perut dan usus, khusunya dari segi
ukuran panjang bagi menyesuaikan jenis makanan yang diambil sebagai diet agar
proses penghadaman dapat bertindak dengan lebih efisien. Gambarajah 2.0
menunjukkan perbandingan sais perut ikan berdasarkan tabiat pemakanan.

Jenis ikan: Anatomi perut ikan

Omnivor

Karnivor

Herbivor

Pemakan
detritus

Gambarajah 2.0: Perbandingan sais sistem penghadaman ikan berdasarkan tabiat pemakanan

Secara amnya, Ikan dapat dikategori kepada empat kumpulan berdasarkan tabiat
pemakanan ikan secara semulajadi iaitu:

a) Herbivor (maun)
b) Pemakan detritus
c) Karnivor (maging)
d) Omnivor (maserba)

Walaubagaimanapun pada peringkat rega, ikan adalah bersifat karnivor disebabkan


keperluan protein yang tinggi pada peringkat tumbesaran tersebut.

Bagi ikan yang bersifat herbivor ia cenderung untuk mengambil tumbuhan atau
pengeluar primer sebagai diet. Organisma bersifat herbivor merupakan pengguna
tenaga yang paling efisien berbanding organisma lain disebabkan pengeluar primer
merupakan organisma yang dapat membina bahan organik sendiri sebagai makanan
yang terdiri daripada unsur utama karbohidrat, diikuti protin serta lemak melalui proses
fotosintesis. Spesis herbivor tidak mempunyai organ perut yang nyata tetapi mempunyai
usus yang panjang bagi membolehkan proses penghadaman makanan yang terdiri
daripada selulosa serta serat lebih berkesan. Contoh spesis ikan dalam kategori ini
adalah Kap Rumput dan Lampam.

Pemakan detritus pula merupakan spesis yang memakan sisa organik dari haiwan atau
tumbuhan pada dasar kolam dan ia termasuk bakteria dan kulat pengurai. Contoh
spesis ikan pada kategori ini adalah Kap Lumpur dan Rohu.

Ikan yang bersifat karnivor merupakan pengguna tertinggi dalam rantaian makanan pula
terdiri daripada spesis pemangsa seperti Haruan, Tapah, Toman dan sebagainya.
3

Spesis pada ketegori ini memerlukan diet berprotin tinggi disebabkan ia kurang effisien
dalam penggunaan tenaga bagi tujuan pembentukan tisu. Selain itu, pengubahsuaian
pada organ perut yang besar serta usus yang pendek berbanding organisma dalam
ketegori lain adalah bersesuaian bagi tujuan penghadaman tisu dari sumber haiwan.

Manakala, spesis omnivor pula merupakan pemakan serba serbi termasuk tumbuhan,
haiwan dan juga detritus. Spesis ikan di dalam ketegori ini adalah yang paling banyak
diternak bagi sistem akuakultur. Contoh spesis ini adalah seperti Keli, Tilapia dan Patin.

Jenis makanan ikan di dalam akuakultur

Terdapat tiga jenis makanan ikan bagi sesebuah system akuakultur iaitu:

a) Makanan semulajdi

Pembajaan kolam adalah satu cara memberi makan ikan dengan secara tidak
langsung. Baja dapat meningkatkan makanan semulajadi di dalam sesebuah kolam
ternakan. Makanan semulajadi merupakan sumber diet terbaik kerana ia mengandungi
keperluan nutrisi yang lengkap bagi ikan, khusunya protin. Pembajaan kolam boleh
dilakukan dengan beberapa cara iaitu:

i. Pembajaan dengan menggunakan bahan bukan organic seperti ‘Triple


superphosphate’ dsb.
ii. Pembajaan dengan menggunakan bahan organic seperti tahi ayam atau lembu
dsb.
iii. Pembajaan dengan menggunakan kedua-dua bahan diatas.

b) Makanan tambahan

Bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran ikan sesuatu kolam, kaedah lain


yang dilakukan adalah dengan memberi makanan tambahan yang tidak lengkap kepada
ternakan dan secara tidak dapat membaja kolam. Tujuannya adalah untuk
membekalkan sumber karbohidrat kepada ternakan bagi membolehkan penggunaan
protin dari sumber makanan semulajadi dapat digunakan secara efektif bagi tujuan
pembesaran ikan. Biasanya makanan tambahan terdiri daripada campuran satu atau
dua bahan makanan seperti dedak, jagung dan hampas kelapa.

c) Makanan lengkap

Makanan lengkap merupakan makanan bukan semulajadi(artificial) yang telah


diformulasi khusus untuk sesuatu jenis ternakan bagi tujuan pembesaran ikan secara
lebih berkesan dan praktikal. Makanan jenis ini mempunyai kandungan nutrisi seperti
protin, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral yang lengkap bagi keperluan ikan. Pada
masa ini, makanan lengkap telah diubahsuai dalam bentuk pellet bagi memudahkan
pengurusan pemakanan ikan. Keadaan yang memerlukan penggunaan makanan
lengkap adalah disebabkan ketiadaan baja atau makanan semulajadi, pembajaan yang
tidak berjaya, kadar penstokan yang tinggi atau intensif dan ternakan yang dilakukan
didalam sistem sangkar atau tangki.
4

Kebaikan penggunaan makanan lengkap atau rumusan adalah:

i. Dapat diaplikasi secara terus


ii. Kandungan nutrisi yang optimum
iii. Tidak menjejaskan kualiti air
iv. Kurang pembaziran (khususnya bagi sistem air bergerak, makanan tambahan
mudah hanyut)
v. Merendahkan risiko kehadiran penyakit
vi. Lebih bersih/higenik (berbanding penggunaan perut ayam dll.)
vii. Perancangan operasi (segi kos & masa tuaian) serta tahap keberkesanan
makanan dapat ditentukkan
viii. Status semasa ternakan mudah ditentukan (kesihatan, bilangan)
ix. Mempelbagai formulasi seperti bahan tambahan (ubat, hormon) untuk keperluan
semasa

Nutrisi dan komponen lain dalam makanan

Komponen utama formulasi makanan dan kepentingan:

1. Kelembapan

Kelembapan adalah berkaitan dengan air dan merupakan komponen penting di


dalam formulasi makanan ikan. Penentuan kadar kelembapan sesuatu bahan mentah
adalah perlu bagi tujuan menformulasi makanan berdasarkan keperluan nutrisi yang
diinginkan. Selain itu, penentuan kadar kelembapan selepas makanan diformulasikan
untuk diberi pada ternakan juga amat penting bagi mendapatkan jumlah keperluan
semasa ternakan berdasarkan pada berat kering makanan melalui pengiraan analitikal.
Keadaan fizikal makanan ikan juga dapat ditentukan melalui paras kelembapan iaitu
seperti berikut :

Jenis fizikal Kering Lembap Basah

Kadar kelembapan (%) < 11 30-45 >50

Makanan ikan dalam bentuk kering atau biasanya berbentuk pellet adalah digalakkan di
dalam amalan akuakultur. Ia mudah untuk dihasilkan dalam kuantiti yang banyak selain
mudah bagi tujuan simpanan yang lebih lama, penggangkutan dan pengurusan
makanan berbanding bentuk fizikal yang lain. Selain itu, ketahanan dari ditumbuhi kulat
dan tahap kestabilan dalam air adalah lebih tinggi berbanding bentuk lembap dan
basah.

2. Protin

Komponen protin merupakan sebatian organik yang kompleks dan terpenting


bagi tujuan pembinaan stuktur dan fungsi fisiologi haiwan dan tumbuhan. Selain itu, ia
juga bertindak sebagai sumber tenaga sampingan. Walaubagaimanapun ia merupakan
komponen nutsiri dalam makanan yang paling mahal dan ia perlu diformulasi dengan
betul berdasarkan keperluan dan tujuan ternakan agar kos pemakanan ikan menjadi
lebih ekonomik.
5

Protin terdiri dari unit asas asid-asid amino(a.a) yang dihubung oleh ikatan peptid.
Terdapat lebih kurang 23 jenis asid amino dan jenis asid amino pada sumber protin
tertentu adalah berbeza. Walaubagaimanapun hanya sebahagian asid amino sahaja
yang dapat disintesis oleh haiwan termasuk ikan dan selebihnya tidak dapat disintesis
atau dikenali sebagai asid amino perlu (EAA). Terdapat 10 jenis EAA bagi haiwan
akuatik seperti ikan dan udang iaitu arginine, histidine, isoleucine, leucine, lysine,
methionine, phenylalanine, threonine, tryptophan dan valine.

Secara ringkasnya fungsi-fungsi utama protin bagi ikan dan udang adalah seperti
berikut:
o Tumbesaran
o Pembaikan tisu
o Pengeluaran hormon dan enzim
o Pernafasan (metabolisma)
o Gamet untuk pembiakan

Contoh sumber protin haiwan adalah tepung ikan(fishmeal), ikan baja, tepung
sotong(squid meal) dan sebagainya. Manakala sumber protin utama dari tumbuhan
adalah soya, kacang tanah, kacang dal dan sebagainya.

3. Lemak

Lemak atau lipid merupakan punca tenaga yang paling pekat(concentrated) di


dalam komponen nutrisi makanan. Ia terhasil dari unit-unit asid lemak dan molekul
gliserol. Ia menyumbangkan 2.5 kali lebih banyak tenaga berbanding protin dan
karbohidrat. Selain itu, ia juga penting bagi keperluan biokimia badan bagi memastikan
fungsi fisiologi ikan berjalan baik. Seperti protin, lemak juga mengandungi unit-unit asid
lemak perlu (EFA) dan keperluannya adalah berdasarkan kepada jenis ikan. Jenis asid
lemak yang penting bagi ikan dan udang adalah dari siri linolenik atau omega-3 dan
linoleik atau omega 6.

Secara ringkasnya fungsi-fungsi utama lemak bagi ikan dan udang adalah seperti
berikut:
o Punca dan penyimpan tenaga
o Sebagai penebat (cushion) bagi organ penting
o Diperlu dalam beberapa proses tindakbalas kimia badan
o Melarutkan vitamin larut lemak
o Diperlukan dalam pembentukan gamet(pembiakan)

Contoh sumber lemak haiwan adalah minyak ikan, minyak sotong dan sebagainya.
Manakala sumber lemak dari tumbuhan adalah minyak kelapa sawit, minyak kacang
soya, minyak jagung dan sebagainya.

4. Karbohidrat

Karbohidrat merupakan punca asas tenaga bagi organisma. Ia dalam bentuk


kanji, gula, selulosa dan gam yang terdiri dari unsur karbon, oksigen dan hydrogen.
Selain dapat menghasilkan tenaga secara terus, ia juga dapat disimpan dalam bentuk
lemak sebagai tenaga simpanan. Tumbuhan hijau dengan bantuan tenaga matahari,
serta bahan asas kardon dioksida dan air dapat membentuk karbohidrat dan merupakan
pengeluar utama pengeluar komponen tersebut. Ikan herbivor berkeupayan
menghadam karbohidrat dengan lebih efisien diikuti omnivor. Manakala, ikan karnivor
6

kurang efisien dalam menghadam karbohidrat. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa


bentuk sumber karbohidrat yang tidak terhadam (indigestible) dan biasa disebut serat
(sila lihat nota berkenaan serat).

Secara ringkasnya fungsi-fungsi utama karbohidrat bagi ikan dan udang adalah seperti
berikut:
o Punca tenaga
o Penambah(filler) dalam makanan
o Agen pelekatan(binder) dalam makanan

Contoh sumber karbohidrat adalah seperti ubi, beras, jagung dan sebagainya.

5. Vitamin

Vitamin adalah bahan sebatian organic yang diperlukan dalam kuantiti yang
sedikit bagi organisma hidup bagi fungsi fisiologi dan biokimia dimana ia bertindak
sebagai koenzim, bahan asas aktif dan penderma hidrogen. Namun ia tidak terlibat
sebagai punca tenaga atau bahan binaan. Pada amnya, vitamin dapat diklasifikasikan
kepada dua kumpulan iaitu larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K dan larut air seperti
vitamin B dan C. Biasanya dipasaran, vitamin dijual dalam bentuk pra-campuran(pre-
mix) dimana ia dicampurkan dengan bahan pembanyak(source of bulk) bagi
membolehkan ia dapat bercampur dengan sebati dalam rumusan makanan.

Secara ringkasnya fungsi-fungsi utama vitamin bagi ikan dan udang adalah seperti
berikut:
o Kesihatan
o Tumbesaran
o Fungsi otot
o Pembentukan fizikal yang baik

Sekiranya terdapat kekurangan(deficiency) sesuatu komponen vitamin dalam makanan,


ia boleh menyebabkan masalah tumbesaran dan fisiologi pada ikan. Rajah 1.0
menunjukkan secara fungsi dan kesan kekurangan sesuatu vitamin dalam makanan
ikan.

Vitamin Fungsi Kesan kekurangan

Vitamin B1 Ko-enzim, bahan karboksil untuk lipid dan Tiada selera, terdapat bengkak, pembesaran
(Tiamin) karbohidrat terjejas, ekor tidak kembang

Vitamin B2 Ko-enzim kepada poses oksidasi dan reduksi. Mata berdarah, mata kabur, tiada selera makan,
(Riboflavin) Enzim kepada organ yang tidak mempunyai anemia.
sistem pembuluh yang lengkap
Vitamin B6 Ko-enzim kepada ‘nyahkarboksil’ asid amino. Ikan Penyakit sistem saraf, kurang darah, tiada selera
(Piridoksina) karnivor perlu vitamin ini. makan

Asid pantotenik Ko-enzim A dalam proses ungkaibina dan lepasan Filamen insang bengkak hujung, tiada selera
punca tenaga makan, pendarahan kulit, pembesaran kurang
baik
Inositol Komponen utama fosfogliserin dalam tisu haiwan Tumbesaran terencat, perut mengembang, kulit
berkudis
Biotin Penting dalam t.balas karboksil dan nyahkarboksil Tiada selera, pendarahan usus dan berkudis,
sebagai ko-enzim pembesaran terganggu
Vitamin C Terlibat dalam pembinaan dan pembekuan. Skoliosis, mempunyai kesan darah dikulit, usus,
(Asid askorbik) Membantu pemindahan elektron otot.
7

Choine Penting untuk pembinaan dan penjagaan struktur Tumbesaran terencat, FCR rendah, limpa
sel. Elak limpa berlemak berlemak, hati membesar
Vitamin K Penting dalam pembekuan darah Kurang darah, darah lambat beku
(Menadione)

Rajah 1.0: Fungsi dan kesan kekurangan vitamin dalam makanan

6. Garam galian atau mineral

Garam galian atau mineral merupakan suatu sebatian bukan organik(inorganic).


Ia penting dalam proses biokimia dan fisiologi bagi organisma hidup. Selain penyerapan
galian dari makanan melaui usus, ia juga dapat diserap melalui insang melalui media air.
Pada amnya, ia dapat dikelaskan kepada dua kumpulan iaitu unsur utama seperti
kalsium, fosforus, magnesium, natrium, kalium dan sulfur dan unsur surih seperti iodin,
besi, kuprum, kobalt dan sebagainya. Ia juga boleh didapati dalam bentuk pra-
campuran.

Secara ringkasnya fungsi-fungsi utama mineral bagi ikan dan udang adalah seperti
berikut:
o Kesihatan
o Tumbesaran
o Biokimia badan
o Pembentukan fizikal yang baik

7. Serat

Serat dirujuk sebagai komponen yang tidak terhadam(indigestible) dari sumber


tumbuhan seperti selulosa, hemiselulosa, lignin dan sebagainya. Ia juga merupakan
salah satu komponen karbohidrat, namun sukar dihadam oleh ikan dan udang kerana ia
memerlukan bantuan organisma penghadam dalam sistem penghadaman bagi
menukarkannya dari bentuk komplek kepada gula ringkas. Namun secara ringkas, serat
merupakan komponen yang tidak penting bagi makanan ikan dan udang. Kebanyakan
ikan hanya bertoleransi kurang dari 8 peratus serat dalam makanan, sekiranya terlalu
banyak ia dapat menjejaskan tumbesaran ikan.

8. Bahan tambahan

Selain komponen yang telah dibincangkan diatas, terdapat juga bahan lain yang
wujud secara tidak langsung atau ditambah bagi tujuan keperluan semasa ternakan di
dalam makanan ikan. Contohnya seperti berikut:
o Antibiotik
o Hormon
o Pewarna
o Agen pelekat(binder)
o Penarik(feeding stimulant)
8

Penyediaan makanan rumusan

Faktor penentuan bagi formulasi makanan ikan

Sebelum memulakan formulasi untuk sesuatu makanan bagi sesuatu spesis ikan atau
udang, seseorang perlu terlebih dahulu mengetahui maklumat berkenaan perkara-
perkara berikut:
 Keperluan pemakanan ikan (dari segi tabiat, suhu)
 Umur
 Saiz
 Ekonomik
 Keadaan semasa (segi kesihatan, jangka masa makan dll.

Penggunaan bahan mentah

Selain faktor seperti di atas, maklumat paras atau nilai nutrisi sesuatu bahan mentah
juga perlu diketahui dan ia amat penting bagi tujuan menformulasi makanan ikan atau
udang dengan lebih tepat. Maklumat berkenaan nilai nutrisi sesuatu bahan mentah
dapat diketahui melalui:

 Bahan bacaan/rujukan
 Analisa makmal (analisa proksimat)
 Rujukan dari pakar atau penggilang bahan

Selain itu, maklumat asal(origin) sesuatu bahan mentah juga penting bagi mengetahui
keterdapatan(availability) sumber secara berterusan dan juga bagi tujuan ekonomi.
Sebagai contoh, asal(origin) sumber bahan mentah:

 Luar negara – seperti tepung soya, jagung dll.


 Tempatan – seperti ikan baja, dedak beras, sisa proses (hampas kelapa dll.)

Kaedah merumus makanan

 segiempat Pearson
 cuba jaya
 program linear

Penerangan kaedah segiempat Pearson dan cuba jaya seperti dibincangkan semasa
kursus.
9

Pengurusan Pemberian Makanan Ikan

Penentuan saiz makanan

o Perkara penting pemberian makanan ikan


o Saiz pellet berdasarkan saiz bukaan mulut ikan
o Saiz bertambah mengikut umur dan saiz ikan

Syor garis panduan saiz makanan bagi ikan Tilapia adalah seperti berikut:

Saiz ikan (g) 0-3 3 - 10 10 - 25 25 - 40 40 - 100 100++


Saiz diameter 0.1 – 0.2 0.2 – 0.5 0.5 – 1.0 1.0 1.0 - 2.0 2.0 – 3.0
makanan (mm)

Penentuan waktu dan tempat memberi makan

o Sentiasa beri makan pada waktu dan tempat yang sama


o Ikan dapat dilatih untuk makan pada waktu dan tempat yang sama setiap hari
o Waktu terbaik antara 9 pagi hingga 4 petang
o Kebaikan: • Mengelakkan pembaziran
• Aktiviti penghadaman dan metabolisma terbaik (kandungan
oksigen tinggi)
• Memudahkan kerja penyempelan atau penuaian kelak

Nisbah Penukaran Pemakanan (FCR)

o Mengukur keberkesanan sesuatu jenis makanan


o Nilai kecekapan penukaran makanan kepada isi
o Lebih rendah nilai, lebih baik
o FCR = Jumlah berat makanan
Peningkatan berat badan

Kadar pemberian makanan

Secara amnya, kadar pemberian makanan kepada ikan Tilapia adalah seperti berikut:

Berat ikan (g) Kadar (%) Berat ikan (g) Kadar (%)
1 11.0 30 3.6
2 9.0 60 3.0
5 6.5 100 2.5
10 5.2 175 2.5
15 4.6 300 2.1
20 4.2 400+ 1.5
10

Kekerapan memberi makan

o Disyorkan pemberian 4 kali sehari


o Selang masa 2 jam sekali
o Kebaikan:
• Mengelakkan terlebih makan satu-satu masa
• Proses penghadaman yang lebih baik
• Tidak wujud dominasi memakan

Cara pemberian makanan

o Pastikan ikan habis makan dalam masa 20 minit (dalam kolam) untuk elak
penurunan kualiti air
o Pemberian makanan secara bertebar pada tempat yang sama untuk elak
dominasi
o Lebihan makanan dapat ditentukan dengan meletak talam(tray)
o Beberapa kaedah pemberian makanan seperti:
• Tangan – kolam kecil, tangki, sangkar
• Alat ‘blower’ – kolam besar
• ‘Demand feeder’

Tidak diberi makan pada hari tuaian

o Hentikan pemberian makanan 24 hingga 48 jam sebelum tuaian


o Mengosongkan perut dan usus ikan
o Kebaikan:
• Mengurangkan najis ikan semasa proses pemindahan (untuk
ikan hidup)

Pengurusan penyimpanan makanan

Kaedah penyimpanan/penstoran makanan ikan yang tidak betul akan mengakibatkan


kerosakan dan perubahan zat makanan semasa penyimpanan.

Faktor utama mempengaruhi kualiti dan berat makanan

o Kehilangan secara fizikal - kecurian, kebakaran, haiwan


o Persekitaran/cuaca – kelembapan (<10%) dan kepanasan yang tinggi (< a.a)
o Kerosakan oleh serangga – kehilangan berat, kerosakan sekunder oleh fungi,
Bakteria
o Kerosakan oleh fungi – kelembapan >14% pertumbuhan mycotoxin
o Kerosakan aktiviti enzim dan oksidasi – kehilangan zat akibat UV, fungi dll.

Pengurusan simpanan bahan makanan

o Simpan dalam stor yang kering , tidak panas dan pengudaraan yang baik

o Beg makanan hendaklah dialas atas pelet kayu bagi membolehkan


pengudaraan
o Jangan simpan/guna pelet lebih dari 3 bulan selepas dihasilkan
o Jauhkan sinaran langsung matahari, akibatkan kehilangan nutrisi
11

o Buang makanan yang telah rosak dengan membaja kolam


o Jangan menindih beg makanan melebihi 5 bag
o Bahan makanan yang didapati berkulat perlu diasing atau musnah dengan
segera
o Sentiasa bersihkan kawasan stor bagi mengelakkan kehadiran haiwan
perosak
o Susun bahan makanan yang lama dihadapan mengikut susunan jangkamasa
stok dan labelkan tarikh penerimaannya.

Rujukan tambahan
Devendra, C. (1979) Malaysian Feedingstuffs. MARDI, Serdang, Selangor.

Hertrampf, J.W. 7 Piedad-Pascual, F. (2000) Handbook on Ingredients for Aquaculture


Feeds. Kluwer Academic Publishers, London.

National Research Council (1993) Nutrient requirement of fish. National Academy Press,
Washington, DC, USA.

New, M.B. (1987) Feed And Feeding of Fish And Shrimp. FAO of United Nations, Rome.

Anda mungkin juga menyukai