Anda di halaman 1dari 8

NADIAH HUSNA BINTI ZAINI 2016142340088 PISMP PK2 JUN 2016 (PKUK 3163)

TUGASAN 1 : PENULISAN AKADEMIK

1.0 PENGENALAN

1.1 Konsep Pendidikan Khas

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menjadi rujukan dan
panduan kepada pendidikan di Malaysia. PPPM menjadikan budaya kecemerlangan
merupakan aspek yang perlu dicapai oleh kesemua sekolah di Malaysia (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2012). Oleh itu, antara kaedah untuk memastikan budaya
kecemerlangan ini berkembang adalah dengan peningkatan profesionalisme dalam kalangan
guru. Pembangunan profesionalisme guru yang berterusan adalah sangat penting untuk
meningkatkan kualiti guru dan pemimpin sekolah ke arah mewujudkan sistem pendidikan
yang terbaik. Malah, pembangunan profesionalisme yang berterusan ini dapat membantu
guru merancang dan menguruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lebih
sistematik dan berkesan.

Dalam pada itu, Pendidikan Khas juga merupakan satu cabang perkhidmatan
pendidikan yang disediakan untuk murid berkeperluan khas. Bidang ini sedang berkembang
pesat seiring dengan perkembangan sistem pendidikan negara. Guru pendidikan khas
merupakan agen perubahan yang mempunyai tanggungjawab besar dalam merealisasikan
hasrat dan aspirasi negara selaras dengan Falsafah Pendidikan Khas iaitu Pendidikan Khas
di Malaysia adalah satu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran,
berdikari, mampu merancang dan mengurus kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri
sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif.

1.2 Model dan Struktur Organisasi Pendidikan Khas

Pengurusan dan pentadbiran merujuk kepada proses perancangan, penyusunan,


pengarahan dan pengawalan ahli-ahli organisasi serta menggunakan semua-sumber
organisasi untuk mencapai matlamat organisasi (Zaidatol Akamaliah, 2005). Hal ini sangat
penting dalam sesebuah organisasi kerana pentadbiran dan pengurusan yang cekap akan
menggerakkan organisasi untuk mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan. Sekolah
sebagai organisasi pendidikan juga tidak terkecuali daripada pengurusan dan pentadbiran.
Walau bagaimanapun, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mempunyai sistem
pengurusan dan pentadbiran yang berbeza dengan kelas aliran perdana di sekolah. Hal ini
bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan pentadbiran untuk mengawal dan
NADIAH HUSNA BINTI ZAINI 2016142340088 PISMP PK2 JUN 2016 (PKUK 3163)

mentadbir PPKI dengan lebih baik dan tidak terganggu dengan kelas aliran perdana
(Zharulnizam Shah, Z.A, 2010).

Dalam struktur organisasi pendidikan khas, terdapat barisan kepimpinan yang akan
mengendalikan pentadbiran dalam organisasi sekolah. Guru Besar, Guru Penolong Kanan
Pendidikan Khas (GPKPK) dan Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
merupakan pentadbir barisan kepimpinan yang akan merancang dan menyusun strategi
untuk memberi arahan dan mengawal PPKI seperti yang dikehendaki. Ahli-ahli jawatankuasa
yang berada di bawah pentadbir berperanan untuk membantu pihak pentadbir
melaksanakan pelbagai rancangan dan program-program untuk mencapai matlamat visi dan
misi PPKI yang telah ditetapkan. Dalam usaha mencapai matlamat ini, komitmen yang tinggi
amat diperlukan daripada para pentadbir dan guru-guru pendidikan khas. Beberapa
jawatankuasa lain ditubuhkan bagi melicinkan lagi pentadbiran PPKI. Jawatankuasa-
jawatankuasa tersebut ialah jawatankuasa kurikulum pendidikan khas, jawatankuasa
program inklusif dan jawatankuasa disiplin pendidikan khas. Penubuhan jawatankuasa itu
bertujuan untuk menyelia pelaksanaan program-program yang berkaitan.

2.0 CIRI-CIRI GURU YANG SERBA BOLEH (VERSATILE)

Profesion keguruan merupakan kerjaya terpuji dan mulia di kaca mata masyarakat. Mohd
Fadzly (2011) menyatakan bahawa fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf
kerana guru bukan hanya mengajar mata pelajaran tertentu di dalam kelas, malah mereka
juga merupakan penyampai ilmu, jurutera sosial, pembangun sahsiah dan agen perubahan
kepada minda masyarakat. Jelaslah bahawa tanggungjawab ini membuktikan bahawa guru
merupakan insan yang serba boleh (versatile). Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
juga telah melakukan pelbagai usaha untuk menjadikan profesion keguruan sebagai
profesion yang unggul dan disegani ramai (Noriati et.al, 2010). Sehubungan dengan itu, para
guru dituntut agar sentiasa profesional dalam menjalankan amanah mereka sebagai seorang
pendidik. Guru yang profesional perlu mematuhi peraturan yang termaktub dalam etika
profesion keguruan. Profesion keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang
boleh diceburi oleh sesiapa sahaja kerana hanya mereka yang mempunyai minat, kualiti,
ketrampilan, kewibawaan, kelayakan, dan berjiwa pendidik sahaja yang layak menjadi guru.
Guru yang mencapai kepuasan bekerja mampu memotivasikan mereka untuk meneruskan
usaha bagi mengukuhkan kemahiran pengajaran, menjana persekitaran pembelajaran yang
lebih baik dan meningkatkan pencapaian murid.
NADIAH HUSNA BINTI ZAINI 2016142340088 PISMP PK2 JUN 2016 (PKUK 3163)

Cabaran yang perlu digalas oleh guru pendidikan khas ialah memastikan murid
berkeperluan khas mempunyai kemahiran pengurusan diri supaya mereka berasa tidak malu
dengan penampilan mereka. Oleh yang demikian, guru perlu mempunyai pengetahuan,
kemahiran, kefahaman dan kebolehan yang mencukupi untuk berhadapan dengan murid-
murid ini (Toran et al., 2016). Kualiti dan pencapaian objektif pengajaran mungkin terjejas
jika pengurusan diri murid tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Bagi menjamin
pengurusan diri dan kesihatan murid di sekolah, satu penjagaan khusus dan rapi perlu
dipupuk sebagai rutin setiap kali selesai melakukan aktiviti. Guru perlu menyatakan panduan
dan peraturan penting yang harus diikuti oleh murid tentang kebersihan diri. Murid perlu
diberitahu tentang tingkah laku yang betul untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Mereka juga perlu dilatih supaya mampu berdikari dan tidak hanya mengharapkan bantuan
orang di sekeliling. Hal ini menunjukkan bahawa guru mestilah memahami dengan lebih
mendalam tentang kesukaran yang bakal dihadapi dalam usaha menjadi guru yang serba
boleh demi mendidik murid-murid khas. Oleh itu, bidang ini memerlukan tahap kesabaran
yang tinggi oleh guru pendidikan khas melebihi daripada guru-guru lain.

Seterusnya, cabaran guru pendidikan khas adalah untuk membuat perancangan PdP
bagi memenuhi kurikulum yang sesuai dengan tahap dan kebolehan kognitif setiap murid
khas (Gee & Gonsier-Gerdin, 2018). Guru pendidikan khas perlu bijak mengesan
ketidakupayaan murid-murid dalam menyediakan pengajaran mengikut gaya pembelajaran
murid berdasarkan ciri-ciri perbezaan individu mereka yang unik dan pelbagai. Hal ini
merupakan salah satu aspek dalam kemenjadian guru yang termaktub dalam Pelan
Pembangunan Diri dan Kerjaya seorang guru. Bukan itu sahaja, guru yang profesional
mempunyai gaya tersendiri yang kreatif dan inovatif, unik, berkarisma, proaktif serta sentiasa
menggalakkan cetusan idea di samping melakukan pembaharuan dalam PdP. Kredibiliti guru
turut ditentukan dalam perancangan dan pemilihan bahan bantu mengajar yang sesuai serta
memikirkan pendekatan pengajaran yang sejajar dengan keperluan murid (Mohd Sahandri
Gani & Saifuddin Kumar, 2007). Ini membuktikan bahawa guru yang profesional dan
versatile mampu menjalankan tanggungjawab mereka bukan sahaja pada kehendak kerja
mahupun kehendak sekolah, malah tanggungjawab dalam keberhasilan murid-murid. Guru
seperti ini akan disenangi dan dipandang tinggi oleh semua pihak serta tanggungjawab
seperti ini merupakan cabaran masa kini yang perlu ditempuh oleh guru dalam
melaksanakan tugas hakiki.
NADIAH HUSNA BINTI ZAINI 2016142340088 PISMP PK2 JUN 2016 (PKUK 3163)

3.0 ISU-ISU SEMASA BERKAITAN DENGAN ETIKA DAN INTEGRITI GURU

Guru pendidikan khas diamanahkan untuk mengajar murid berkeperluan khas. Mereka perlu
memupuk nilai integriti dan etika yang kukuh untuk berhadapan dan menangani kerenah
murid-murid yang mengalami kerencatan mental, bermasalah pembelajaran, emosi dan
tingkah laku, bahasa dan komunikasi, fizikal dan kesihatan, serta bermasalah pendengaran
dan penglihatan. Jamiah et.al. (2005) menyatakan bahawa integriti mempunyai hubungan
yang positif dengan kesejahteraan individu, komuniti dan organisasi. Etika adalah aspek
yang berkaitan dengan tingkah laku seseorang yang diterima dan dipersetujui oleh
sekumpulan masyarakat. Etika menggambarkan nilai-nilai baik yang harus diamalkan dalam
kehidupan bermasyarakat. Justeru, guru perlulah memupuk nilai integriti dan etika dalam diri
masing-masing bagi meningkatkan nilai profesionalisme keguruan. Sebaliknya, kelemahan
integriti dan etika akan menyumbang kepada keruntuhan nilai moral dan boleh mencalar imej
profesion pekerjaan.

Isu yang sering terjadi dalam kalangan guru ialah guru masuk lambat ke dalam kelas
apabila PdP sepatutnya sedang berlangsung. Hal ini mengundang kepada berlakunya
pergaduhan antara murid, kecederaan akibat pergaduhan mahupun tingkah laku yang
agresif apabila ketiadaan guru di dalam kelas. Terbukti bahawa perkara ini telah melanggar
integriti dan etika seseorang guru kerana kejadian seperti ini adalah disebabkan kecuaian
dan pengabaian guru terhadap tanggungjawabnya. Guru seharusnya hadir lebih awal atau
menepati masa untuk masuk ke dalam kelas mengikut jadual yang telah ditetapkan agar
kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.

Seterusnya, guru yang berintegriti dan beretika haruslah menyimpan segala


maklumat sulit murid-muridnya agar tidak didedahkan sewenang-wenangnya kepada orang
lain kecuali yang berhak mengetahuinya sahaja. Maklumat yang dimaksudkan ialah latar
belakang murid, pekerjaan dan pendapatan ibu bapa murid dan sebagainya. Maklumat
mereka sangat sulit dan perlu dijaga sebaik mungkin bagi menghormati keluarga setiap
murid, Hal ini merupakan tanggungjawab guru bagi mematuhi kod etika keguruan dan
menjamin keutuhan nilai profesionalisme keguruan.
NADIAH HUSNA BINTI ZAINI 2016142340088 PISMP PK2 JUN 2016 (PKUK 3163)

4.0 KEPENTINGAN PERANAN GURU PENDIDIKAN KHAS DALAM PENGURUSAN PDP

Guru-guru pendidikan khas juga perlu menjalankan pengurusan kewangan pendidikan khas,
pengurusan kelas, pengurusan jadual waktu, dan pengurusan PdP. Bendahari memainkan
peranan penting dalam pengurusan kewangan. Bendahari perlu menyediakan penyata
akaun untuk merekodkan kemasukan dan pengeluaran wang dari tabung kelas pendidikan
khas, mengemas kini akaun tabung kelas pendidikan khas pada setiap hujung bulan dan
membentangkan kedudukan kewangan tabung kelas pendidikan khas dalam setiap
mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Khas dan mesyuarat Jawatankuasa Panitia
Pendidikan Khas. Pengurusan kelas pula melibatkan keceriaan dan kebersihan kelas serta
memastikan kelas dibuka dan ditutup pada waktunya sepanjang waktu persekolahan.
Pengurusan PdP pula berkaitan dengan rekod prestasi murid-murid dan mengenalpasti
murid-murid yang layak untuk mengikuti program inklusif. Pentadbiran program pendidikan
khas juga melibatkan pendaftaran masuk murid pendidikan khas yang baru, pertukaran
murid, dan pertukaran dari Kelas Aliran Perdana ke Kelas Pendidikan Khas.

Menerusi pelaksanaan program inklusif, guru pendidikan khas masih perlu memantau
dan menyokong pembelajaran murid walaupun sudah melepaskan murid berkeperluan khas
yang mampu mengikuti program inklusif ke kelas biasa (Supiah Saad, 2005). Hal ini
memberi tekanan dan bebanan kerja kepada guru. Apatah lagi kekurangan sumber tenaga
pengajar yang bertauliah dalam pendidikan khas merumitkan lagi keadaan. Justeru, para
guru terutamanya guru pendidikan khas harus mempunyai efikasi kendiri yang jitu dalam
menguruskan pelbagai cabaran dalam sesi PdP. Malah, efikasi kendiri guru yang positif
boleh mempengaruhi suasana dalam bilik darjah, memotivasikan murid serta meningkatkan
prestasi mereka (Chao et al., 2017).

Di samping itu, guru pendidikan khas perlu memastikan kelas PPKI berada dalam
keadaan yang kondusif agar proses PdP dapat berjalan dengan lancar dan memberi
keselesaan yang optimum kepada guru dan murid-murid. Kelas yang kondusif mestilah
mendapat pencahayaan yang baik, ruang yang cukup untuk murid-murid bergerak di dalam
kelas serta sistem pengudaraan yang selesa. Selain itu, penyediaan infrastruktur dan
kemudahan seperti alas lantai dan besi pemegang di tandas sangat diperlukan supaya tidak
berlaku kecederaan atau kemalangan kepada warga PPKI terutamanya murid-murid khas.
Bahan-bahan tajam dan bersaiz kecil juga perlu diletakkan di tempat yang selamat agar
murid tidak mudah untuk mencapainya tanpa pengawasan guru.
NADIAH HUSNA BINTI ZAINI 2016142340088 PISMP PK2 JUN 2016 (PKUK 3163)

5.0 RUMUSAN

Kesimpulannya, setiap organisasi Pendidikan Khas berperanan penting dalam mengurus


dan mentadbir serta memberi sokongan demi menjayakan PPKI. Pengurusan yang baik
akan membantu para guru khususnya untuk memberi tunjuk ajar yang sewajarnya kepada
murid-murid pendidikan khas di sekolah sekaligus meningkatkan nilai profesionalisme
keguruan. Sebarang kecuaian dan penangguhan tidak hanya akan menyukarkan satu pihak
untuk melaksanakan tugas mereka sebaliknya mampu melumpuhkan keseluruhan
organisasi.

Tambahan lagi, ibu bapa dan penjaga turut tidak terkecuali dalam memainkan
peranan mereka dalam organisasi pendidikan khas di sekolah. Mereka tidak hanya
menghantar anak-anak ke sekolah tanpa perlu mengambil peduli mengenai pencapaian
anak mereka. Ibu bapa dan penjaga perlu memantau dan membantu anak-anak di rumah
untuk mengulang kaji pembelajaran. Bantuan pembelajaran di rumah akan membantu anak
mereka untuk lebih maju di sekolah serta meningkatkan kemampuan mereka untuk berdikari.
NADIAH HUSNA BINTI ZAINI 2016142340088 PISMP PK2 JUN 2016 (PKUK 3163)

RUJUKAN
Chao, C. N. G., Chow, W. S. E., Forlin, C., & Ho, F. C. (2017). Improving teachers’ self-
efficacy in applying teaching and learning strategies and classroom management to
students with special education needs in Hong Kong. Teaching and Teacher Education,
66, 360–369.

Gee, K., & Gonsier-Gerdin, J. (2018). The First Year as Teachers Assigned to Elementary
and Middle-School Special Education Classrooms. Research and Practice for Persons
with Severe Disabilities, 43(2), 94–110.

Jamiah Manap, Azimi Hamzah, Ezhar Tamam, Sidek Mohd. Noah, Amini Amir Abdullah,
Norizan Yahaya, Halimah Alma Othman dan Hanina Halimatusaadiah Hamsan.
(2005). Pemantapan Nilai Integriti Individu sebagai Teras Pembangunan Staf
Berkualiti. Prosiding Seminar Kebangsaan Sumber Manusia 2005. Universiti
Teknologi Malaysia

Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)


2013-2025. Putrajaya.

Mohd. Fadzly Mohd. Izab. (2011). Peranan guru jana transformasi pendidikan. (2020, Mac
20).
Utusan Malaysia, m/s 14.

Mohd Sahandri Gani Hamzah & Saifuddin Kumar Abdullah (2007). Model prestasi kerja
dalam kalangan penjawat awam teknologi pendidikan: Satu penerokaan analitik. Putrajaya:
Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Noriati A. Rashid, Boo, P. Y., & Wong, K. W. (2010). Asas kepimpinan dan perkembangan
professional guru. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Supiah Saad. (2005). Komitmen dan Peranan Guru dalam Pelaksanaan Pendekatan
Pendidikan Inklusif di Malaysia. PhD thesis. Jabatan Pendidikan Khas Kementerian
Pelajaran Malaysia

Toran, H., Westover, J. M., Sazlina, K., Suziyani, M., & Mohd Hanafi, M. Y. (2016). The
NADIAH HUSNA BINTI ZAINI 2016142340088 PISMP PK2 JUN 2016 (PKUK 3163)

Preparation, Knowledge and Self-Reported Competency of Special Education


Teachers regarding Students with Autisme. Pertanika Journal of Science & Humanity,
24(1), 1–12.

Zaidatol Akamaliah Lope Pihie. (2005). Pentadbiran Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit
Fajar
Bakti Sdn Bhd

Zharulnizam Shah, Z.A. (2010). Kepimpinan dan pengurusan Pendidikan Khas. Cheras:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Anda mungkin juga menyukai