Anda di halaman 1dari 9

PENULISAN PRAKTIKAL

PENGUNAAN BAHASA MUDAH

AZHAR BIN AB WAHAB

ABSTRAK

Penulisan merupakan tindakan menyampaikan idea melalui komunikasi bertulis. Sebagai


penulis, prosedur penulisan umum dan khusus perlu terlebih dahulu diketahui. Walaupun penulis
mempunyai banyak idea, tidak semestinya idea tersebut dapat ditulis sempurna sekiranya tidak
bersandarkan kerangka yang sesuai dengan bentuk penulisan. Kecekapan penulis menggunakan
kombinasi bahasa yang mudah dapat menjadikan penulisan itu praktikal untuk dibaca. Bagai
serampang dua mata, praktikal kepada penulis dan juga praktikal kepada pembaca.

Beliau memperkukuhkan hujahnya dengan bercerita bahawa “ada dua orang pelajar yang bercita-
cita ingin menjadi penulis hebat. Seorang bertanya kepada gurunya, apa yang perlu dilakukan
untuk menjadi penulis. Gurunya menjawab, “Tulis apa sahaja yang kamu rasa perlu ditulis”.
Lalu, pelajar tersebut menulis mengikut rasa dan idea beliau. Setelah sekian lama menulis,
ditunjukkan kepada guru beliau hasil penulisannya. Gurunya berkata “Kamu tidak boleh menulis
mengikut bagaimana cara kamu bercakap”. Ternyata pelajar tersebut menulis rasa dan idea
beliau seolah-olah beliau bercakap kepada pembaca, sedangkan apa yang ditulis pelajar tersebut
ialah sebuah laporan.

Seorang lagi pelajar menulis mengikut inspirasi. Waktu malam merupakan waktu yang sangat
digemarinya untuk menulis. Beliau akan duduk di hadapan komputer dan mula menulis ayat
pertama. Beliau menunggu untuk menulis ayat kedua. Setelah lima minit, ayat kedua masih
belum ditulis, inspirasi belum menjelma. Satu jam kemudian, masih juga di hadapan komputer,
tetapi bukan menulis, sebaliknya bermain solitaire sambil menunggu inspirasi yang tidak
muncul-muncul. Akhirnya, beliau bosan dan terus tidur.

Kedua-dua senario pelajar di atas menggambarkan bahawa penulisan tidaklah semudah yang
dijangka. Apa yang dinyatakan oleh guru pelajar pertama tersebut, kedua-duanya betul. Malah
juga, apa yang dibuat oleh pelajar kedua juga ada benarnya. Walau bagaimanapun, sebagai
penulis yang praktikal, seseorang itu perlu mengetahui perbezaan penulisan mengikut siapa
pembaca sasaran. Seseorang penulis juga menulis mengikut inspirasi tetapi tidak menunggu
inspirasi berikutnya kerana bagi mereka penulisan ada struktur-strukturnya yang tersendiri.
Kalau penulis itu mengetahui struktur penulisan, beliau akan terus menulis tanpa menunggu
kehadiran inspirasi. Sebaliknya, inspirasi itu akan menjelma pada dan ketika beliau sedang
menulis.

Penulisan merujuk kepada kemahiran menyusun perkataan secara skripsi dalam menyampaikan
idea agar idea tersebut mampu difahami oleh pembaca. Jadi, penulisan sebenarnya tidak susah.
Penulis perlu dapat membezakan bentuk dan jenis penulisan; antara penulisan umum dan
penulisan khusus. Setiap penulisan ada struktur-strukturnya yang tersendiri. Penulisan umum
merujuk kepada penulisan yang tidak keterlaluan penggunaan istilahnya. Penulisan jenis ini
biasanya ditujukan kepada masyarakat pembaca umum. Penulisan khusus adalah mengikut
bidang, menggunakan istilah-istilah tertentu yang pembaca sasarannya khusus kepada golongan
pembaca itu sahaja.

OBJEKTIF KERTAS KERJA

Secara praktiknya, penulis perlu mengetahui bentuk-bentuk penulisan yang dikehendaki sesuai dengan
sasaran pembaca. Berdasarkan bentuk penulisan tersebut, penulis perlu peka dengan struktur atau format
penulisan. Setelah mengenal bentuk dan struktur penulisan, penulis perlu mewajarkan penggunaan bahasa
mengikut bentuk penulisan yang dikehendaki. Kertas kerja ini akan membincangkan rukun penulisan
yang praktikal yang boleh diguna pakai untuk jenis penulisan khusus.

BENTUK PENULISAN

Sebagaimana yang dinyatakan, penulis perlu tahu tentang pelbagai aspek penulisan, keperluan,
pengetahuan, dan kemahiran. Penulis perlu membezakan antara menulis bahan umum dan kreatif dengan
menulis bahan berfakta. Razak Dali (2004), menyatakan bentuk-bentuk penulisan adalah seperti di
bawah:

1. Penulisan Umum dan Kreatif

Sebagai penulis karya umum mahupun kreatif, hasil karyanya itu pada umumnya merangkumi
bahan-bahan berbentuk informasi (berita, maklumat dalam media sosial, blog), prosa (cerpen dan
novel) dan puisi (sajak). Penulis umum dan kreatif menulis secara bebas dan tidak terikat
dengan peraturan dan syarat seperti dari segi struktur organisasi teks itu. Bagi penulis teks berita,
penulisannya hanya terikat kepada berita yang ingin disampaikan. Penulis teks kreatif pula tidak
perlu mengemukakan bukti untuk menyokong idea-idea yang diutarakan kerana apa yang ditulis
itu datangnya atau wujudnya daripada ilham, pemikiran atau ciptaannya sendiri. Penulis teks
kreatif pada umumnya menulis sesuatu karya itu berkaitan dengan budaya, sosial, keagamaan,
sains, dan teknologi yang dipandang dari kaca matanya sendiri dan bukannya daripada hasil satu
penyelidikan yang saintifik. Isi kandungan karyanya ialah hasil rekaan dan mungkin mempunyai
hubungan dengan kehidupan yang pernah dialami oleh penulis atau anggota masyarakat.

2. Penulisan Khusus

Penulisan khusus (penulisan ekspositori) bukannya rekaan. Penulisan sebegini mesti berasaskan
fakta yang sahih dan mesti dibuktikan. Penulisannya rapi, tersusun dan tidak subjektif.
Bahasanya mengandungi ayat yang ringkas, mudah, padat, dan tepat. Penulisan khusus
memerlukan penulis membuat rujukan fakta yang telah diperakui dan diterbitkan oleh pakar-
pakar dalam bidang kajian atau penyelidikan.

Untuk tujuan penulisan kertas kerja ini, hanya bentuk-bentuk penulisan khusus sahaja yang akan
dibincangkan.

STRUKTUR PENULISAN KHUSUS

Kebiasaannya, struktur penulisan khusus terdiri daripada tiga bahagian utama; pendahuluan, pembahasan
dan penutup. Dalam setiap bahagian ini, penulis perlu mempunyai kebolehan mengolah ayat berdasarkan
keutamaan idea. John Keller (2010) menjelaskan mengenai bagaimana seorang guru boleh mencetus
motivasi untuk pelajarnya mula belajar. Saranannya mudah sekali iaitu dengan menggunakan pendekatan
ARCS, (Attention, Relevance, Confidence and Satisfaction). Pendekatan berdasarkan model ARCS ini
diguna pakai oleh ramai pembangun aplikasi pembelajaran berbantukan komputer untuk membangunkan
aplikasi masing-masing. Model ini telah berjaya merangsang motivasi pelajar untuk belajar. Model ini
dicipta berasaskan kepada tabiat dan tingkah laku manusia apabila mereka ingin mempelajari sesuatu.
Dalam konteks penulisan, model ARCS boleh digunakan.

1. Pendahuluan

Seseorang penulis boleh memulakan pendahuluan penulisan dengan menarik minat (attention)
pembaca untuk membaca. Perhatian seseorang pembaca perlu diarahkan kepada titik fokus
utama penulisan tersebut. Untuk membawa ke titik fokus tersebut, isyarat dan tanda-tanda yang
menarik perhatian pembaca perlu ditunjukkan. Di peringkat ini, penulis akan membina set
induksi bagi membangkitkan keinginan untuk mengetahui dengan lebih lanjut, biasanya dengan
mengajukan pertanyaan, menimbulkan permasalahan atau mengetengahkan isu.

2. Pembahasan

Tidak susah untuk menarik perhatian pelajar, yang susahnya ialah bagaimana hendak
mengekalkan perhatian tersebut. Jadi, di peringkat pembahasan, penulis dikehendaki menulis
berkenaan perkara-perkara yang bersangkutan (relevance) dengan keinginan pembaca. Di sinilah,
penulis akan membentangkan fakta (thesis statement) dan penemuan berkaitan dengan tajuk
penulisan. Perhatian pembaca akan berjaya dikekalkan sekiranya fakta-fakta tersebut bersangkut
langsung dengan kehendak pembaca, sebaliknya, jika fakta tersebut tidak relevan dengan
keinginan pembaca, penulisan tersebut tidak bermakna kepada pembaca.

Fakta-fakta tidak hanya ditulis tanpa diterangkan. Penerangan fakta hendaklah dilakukan bagi
memberi keyakinan (confidence) kepada pembaca. Penerangan fakta hendaklah ditulis dalam
bentuk perenggan. Satu perenggan mewakili satu fakta yang dibina menggunakan ayat-ayat bagi
menyokong pernyataan. Setiap kali ada fakta baru, mulakan perenggan baru. Semasa
menerangkan fakta, penggunaan ayat-ayat yang boleh memberikan analogi dan contoh akan
menguatkan lagi hujah. Rajah, graf dan gambaran visual juga akan mendorong pembaca untuk
mudah memahami fakta yang dijelaskan tersebut.

3. Penutup

Penutup merupakan kesimpulan kepada penulisan. Pada bahagian ini, penulis dikehendaki
memberi pernyataan yang boleh memuaskan (satisfy) hati pembaca. Gunanya ialah untuk
mewajarkan fakta dengan keinginan untuk mengetahui, sama ada pembaca berpuas hati atau tidak
dengan pernyataan fakta yang telah dibentangkan. Penulis boleh membuat imbasan semula
bahagian pengenalan, meringkaskan fakta dengan merujuk semula tajuk utama atau memberi
komen dan cadangan umum mengenai perkara utama yang dinyatakan.
Pernyataan Tajuk
Pendahuluan Tarik Perhatian A

Frasa Peralihan
R
Pernyataan Fakta
Perenggan
Pembahasan Penerangan Fakta
C

Kesimpulan Fakta
S
Kepuasan Pembaca
Penutup

Rajah 1: Struktur Penulisan Mengikut Model ARCS

STRATEGI MERANGSANG MOTIVASI MEMBACA

Model ARCS merupakan gabungan daripada beberapa penyelidikan yang dijalankan oleh Keller (1983)
dan Wlodkowski (1985) terhadap teori motivasi berkaitan dengan pembelajaran. Dari semasa ke semasa,
model ini diubah suai untuk memenuhi keperluan spesifik dalam pembelajaran termasuklah suasana
memupuk motivasi membaca. Dalam penulisan, beberapa strategi daripada keempat-empat komponen
motivasi tersebut boleh digunakan.

1. Strategi Menarik Perhatian (Attention)


Penulis boleh menarik perhatian pembaca melalui rangsangan persepsi. Ia merujuk kepada
rangsangan yang menyebabkan timbulnya naluri ingin tahu pembaca. Perkataan yang mempunyai
maksud emosi dan berkonotasi positif atau negatif daripada pernyataan tajuk biasanya digunakan.
Penggunaan ayat tanya, ayat penyata dan ayat seruan menjadikan pembaca bertindak mencari
jawapan kepada ayat-ayat tersebut.

2. Strategi Menyatakan Fakta (Relevance)


Perkara utama yang perlu ada dalam penulisan khusus ialah pembentangan fakta. Penulis perlu
menyatakan fakta yang jelas berdasarkan pemerhatian, penyelidikan atau pembacaan berkaitan
dengan tajuk yang ditulis.

3. Strategi Menerangkan Fakta (Confidence)


Setiap fakta yang ditulis mesti diterangkan perenggan demi perenggan sehingga fakta tersebut
jelas kepada pembaca. Penerangan yang jelas akan memberi keyakinan kepada pembaca
mengenai topik.

4. Strategi Membuat Kesimpulan (Satisfaction)


Setiap tajuk akhirnya perlu diberi kesimpulan sama ada dalam bentuk komen, ringkasan mahupun
cadangan. Kesimpulan yang baik dapat memberi kepuasan kepada pembaca.

PERALIHAN PERENGGAN
Dalam penulisan yang baik, arus penyaluran idea dan buah fikiran mesti mengalir terus dari pendahuluan
hingga ke penutup. Di antara perenggan dengan perenggan tidak boleh ada celahan atau gangguan selain
daripada perbincangan fakta. Biasanya frasa-frasa peralihan tertentu digunakan untuk mengalihkan fakta
yang berakhir di satu perenggan terdahulu ke fakta yang baru bermula di perenggan yang berikutnya.
Frasa-frasa ini akan menentukan wacana penulisan tidak terputus antara perenggan.

Wacana merujuk kepada maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan, ucapan,
pertuturan serta percakapan (Kamus Dewan, 2007). Dalam penulisan, wacana adalah keseluruhan
penulisan tersebut. Bagi menjadikan penulisan mudah dibaca dan difahami, penulis menggunakan bentuk-
bentuk bahasa mudah yang menggunakan memberi isyarat untuk mengukuhkan perbincangan sesuatu
fakta dalam sesebuah perenggan.

Frasa-frasa isyarat ini dinamakan sebagai penanda wacana. Ia dinamakan demikian kerana frasa-frasa ini
menjadi penanda kepada niat atau isyarat untuk mengalihkan perbincangan dari satu fakta ke fakta yang
lain. Dalam penulisan, penanda wacana boleh ditemui di perenggan pendahuluan, perenggan pembahasan
fakta atau isi kandungan dan di perenggan penutup.

1. Dalam Perenggan Pendahuluan


Oleh kerana perenggan pendahuluan ditulis untuk memberikan penerangan mengenai tajuk dan
memulakan perbincangan, maka biasanya frasa-frasa yang kerap digunakan adalah seperti
berikut:

a. Tujuan kertas kerja ini ditulis adalah untuk...


b. Masalah yang sering dibahaskan akhir-akhir ini adalah...
c. Pertama, perlu dilihat akan...
d. Ramai orang berpendapat...
e. Buat permulaan, mari kita lihat...

2. Dalam Perenggan Pembahasan


Perenggan pembahasan ditulis untuk menyata dan menerangkan fakta. Oleh kerana itu, pada
perenggan ini, frasa-frasa yang kerap digunakan adalah seperti berikut:

a. Perkara yang perlu dibincangkan adalah...


b. Kini perbincangan perlu dimulakan dengan...
c. Ini merupakan masalah kecil jika dibandingkan dengan...
d. Faktor-faktor lain yang perlu diambil kira adalah...
e. Bagaimana pun, perlu juga dinyatakan...

3. Dalam Perenggan Penutup


Semasa mengakhiri dan menutup perbincangan, frasa-frasa penutup digunakan untuk menyatakan
kesimpulan, memberi cadangan serta komen agar pembaca berpuas hati dengan apa yang dibaca.
Antara frasa-frasa yang sering digunakan adalah:
a. Apa yang dibincangkan di atas menggambarkan...
b. Maka, akhirnya dapatlah disimpulkan...
c. Sebagai kesimpulan...
d. Berdasarkan isu-isu yang dibincangkan menunjukkan...
e. Dari perbincangan di atas, cadangan yang boleh diberikan di sini adalah...

Penggunaan penanda wacana dalam penulisan akan lebih berkesan apabila penulis dapat menulis dengan
bahasa yang mudah. Secara praktiknya, bahasa yang mudah senang difahami, lantas menjadikan mesej
penulisan segera dicakna pembaca.

BAHASA MUDAH

Dalam penulisan khusus, matlamat utama adalah untuk menyata dan membincangkan hujah.
Menggunakan perbendaharaan kata, istilah dan jargon yang luas dan besar mampu menjelaskan idea yang
rumit, tetapi penggunaannya juga kadang-kadang turut merumitkan pemahaman pembaca. Penggunaan
perkataan-perkataan biasa tidak semestinya menunjukkan gaya yang tidak formal. Malah, ramai penulis
lebih suka bahasa mudah kerana ia boleh membantu menyampaikan idea sukar dengan jelas.
Apakah ciri-ciri bahasa mudah ini?

Bahasa mudah mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Antaranya:

1. Panjang Ayat
Dalam menyampaikan hujah, panjang atau pendek ayat memberi kesan kepada pemahaman
pembaca. Pada tempat-tempat yang tertentu, ayat panjang digunakan manakala pada tempat-
tempat yang lain, cuma ayat pendek ditulis. Ayat-ayat yang berkesan biasanya mengandungi
sejumlah perkataan yang mengandungi satu subjek dan satu predikat. Biasanya ayat pendek
digunakan untuk menyatakan fakta manakala ayat panjang ditulis untuk membincangkan hujah
dengan memberi perbandingan, contoh, cadangan dan pendapat penulis. Gabungan ayat panjang
dan pendek ini menjadikan penulisan lebih berkredibiliti dan tidak membosankan.

2. Seragam dan Logik


Penulisan yang seragam dan logik menunjukkan penulis memperkatakan perkara yang bukan
dibuat-buat. Keseragaman ini dapat dibentuk melalui penggunaan perkataan yang tidak dangkal
pemikiran, tidak keterlaluan, logik masa dan logik akal. Misalnya, jika penulis membincangkan
permasalahan teknologi yang sudah berlalu, kelompok perkataan yang merujuk kepada
perbincangan teknologi kala itu perlu diketahui dan tidak pula boleh menggunakan perkataan-
perkataan yang merujuk kepada teknologi kala kini. Dalam erti kata lain, kelompok perkataan
dalam bidang perbincangan fakta hendaklah dikuasai penulis. Pemggunaannya pula mestilah
sesuai dengan logik masa dan logik akal pembaca.

3. Perenggan Pendek
Sesebuah perenggan tidak boleh terlalu panjang. Kebiasaannya sesebuah perenggan hanya
mengandungi lima hingga enam ayat. Perenggan yang pendek dapat menjelaskan makna
penulisan idea yang terang, nyata dan dapat difahami dengan mudah. Penggunaan ayat-ayat tepat,
istilah-istilah yang konkrit, tidak kabur, tidak terlalu umum dan pemilihan diksi yang sesuai
menjadikan penyusunan idea dalam perenggan tersebut lebih teratur dan mudah. Ini juga akan
menjadikan perenggan tersebut bersatu, berpaut, rapi dan sempurna dalam membahaskan fakta.
4. Ragam Ayat
Ragam ayat merupakan cara bagaimana sesuatu ayat itu dipersembahkan. Ada ayat bernada aktif
dan ada ayat bernada pasif. Ragam ayat aktif ditulis dengan mendahulukan unsur subjek di
pangkal ayat manakala ragam ayat pasif ditulis dengan mendahulukan objek sebagai judul ayat.
Apapun nada ayat, penulis perlu tahu peraturan penggunaan ayat-ayat tersebut.

Nada ayat aktif menggunakan kata kerja yang berimbuhan ‘men(N)+’. Simbol (N) dalam rumus
imbuhan awalan ini menunjukkan kepelbagaian variasi imbuhan seperti ‘me+’, ‘men+’, ‘mem+’,
‘meng+’ dan ‘menge+’. Ayat bernada pasif ditandai dengan imbuhan awalan’di+’ selepas kata
kerja. Contoh ayat bernada aktif dan pasif adalah seperti di bawah:

a. Beberapa orang pelajar sedang membaca buku di perpustakaan. (nada aktif)


b. Buku-buku tersebut telah dipinjam dari perpustakaan. (nada pasif)

Kebiasaannya, penulis lebih suka menggunakan ayat-ayat bernada aktif. Walau bagaimanapun,
ayat-ayat bernada aktif sering menggunakan sudut pandang orang pertama seperti menggunakan
kata saya bagi merujuk diri si penulis. Penggunaan sudut pandang orang pertama ini perlu
dielakkan. Perhatikan contoh di bawah:

a. Saya mengkaji masalah sosial dalam kalangan remaja masa kini dan pada hemat saya
masalah ini agak membimbangkan.
b. Dapatan kajian tentang masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa kini
membimbangkan.

Dalam kedua-dua ayat di atas, ideanya adalah sama iaitu kebimbangan mengenai hasil kajian ke
atas masalah sosial dalam kalangan remaja. Ayat (a) dalam contoh di atas menggunakan sudut
pandang orang pertama dan wujud juga andaian melalui frasa pada hemat saya. Ayat (b) pula
lebih menunjukkan keobjektifan fakta. Dalam kedua-dua ayat di atas, masing menggunakan ayat
bernada aktif, namun ayat (b) lebih jelas, berobjektif dan mudah difahami.

Penggunaan ayat pasif juga ada kelebihannya tersendiri kalau penulis betul-betul memahami
hukum penulisannya. Ayat pasif yang mengandungi kata ganti nama diri pertama dan kedua perlu
mematuhi hukum aneksi persona. Ayat pasif yang menggunakan kata ganti nama diri pertama
dan kedua sepatutnya ditulis mengikut rumus berikut:

“Objek – Agentif – KK”

Kebanyakan penulis biasanya menulis ayat pasif jenis ini sebagaimana contoh di bawah:

a. Semua tugasan (objek) itu akan ditanda (KK) oleh saya (agentif) dalam sedikit masa
lagi.
b. Penyelidikan (objek) itu tidak perlu dilaksanakan (KK) oleh kamu (agentif) kerana
tidak mempunyai asas.

Aturan ayat pasif di atas adalah menyalahi hukum aneksi persona. Ayat-ayat itu sepatutnya ditulis
begini:

a. Semua tugasan (objek) itu saya (agentif) akan tanda (KK) dalam sedikit masa lagi.
b. Penyelidikan (objek) itu kamu (agentif) tidak perlu laksanakan (KK) kerana tidak
mempunyai asas.

Ayat-ayat bernada pasif jenis ini sebenarnya lebih berkesan daripada ayat aktif. Ia tidak terlalu
kompleks dan membuatkan pembaca bukan ahli mudah memahami mesej yang ingin
disampaikan penulis. Jadi, penggunaan ragam ayat sebegini boleh menentukan sama ada
penulisan itu mudah atau sebaliknya.

5. Gaya Penulisan
Terdapat beberapa gaya penulisan yang sering digunakan untuk memudahkan pemahaman
pembaca (Mohd. Azhar, 2001). Antaranya ialah:

a. Gaya Pertanyaan
Gaya penulisan pertanyaan dimulai dengan ayat tanya. Penulis memulakan penulisan dengan
mengemukakan soalan. Selepas mengajukan pertanyaan, penulis kemudiannya membuat
penjelasan. Tujuannya ialah untuk membolehkan pembaca peka lantas memberi tumpuan
kepada penjelasan penulis.

b. Gaya Makluman
Gaya penulisan ini bertujuan untuk mengungkapkan sesuatu perkara atau ilmu berdasarkan
fakta yang objektif. Gayanya agak sederhana dan ditujukan khas untuk pembaca bukan ahli.
Walaupun penulisannya menggunakan beberapa istilah khusus, pembaca akan mudah faham
kerana maklumat tersebut dihuraikan secara terperinci dan jelas.

c. Gaya Penerangan
Tujuan penulisan menggunakan gaya penerangan adalah untuk memberi pendedahan agar
pembaca dapat mencipta bentuk gambaran visual dan imej dalam kotak fikirannya. Dalam
penulisan menggunakan gaya ini, huraian sesuatu proses atau penakrifan sesuatu istilah
merupakan penerangan yang memberikan maklumat serta penjelasan kepada pembaca.

Dalam setiap gaya penulisan, bagi memudahkan pembaca mencerap idea dan perbincangan,
penulis boleh menyertakan ilustrasi dalam bentuk model, gambar, gambar rajah, graf dan
statistik. Di awal atau di pengakhiran penulisan, penulis boleh juga meletakkan kata-kata
pujangga yang berkaitan tajuk bagi membangkitkan motivasi membaca.

PENUTUP

Dunia sekarang berkembang melalui penyebaran ilmu pengetahuan. Setiap hari ada sahaja penemuan-
penemuan dan penciptaan-penciptaan baharu. Penemuan dan penciptaan ini sudah tentunya ditulis dan
didokumentasikan untuk tujuan pendidikan dan penyebaran ilmu. Cara penulisan dokumen tersebut
banyak bergantung kepada siapa penulisnya. Penulis yang berupaya mengungkapkan maklumat yang
jelas dan mudah, akan membolehkan ilmu pengetahuan yang ingin disebarkan tersebut cepat diterima
pembaca. Ini bermakna penulisan untuk apa tujuan sekali pun, bergantung kepada kecekapan penulis
menguruskan kecerdikannya untuk menyampaikan idea dan hujah.

Sesetengah orang akan menulis dan sesetengah perkara perlu ditulis. Jelasnya, apa sahaja yang ditulis
akan menyampaikan maklumat. Sama ada maklumat itu diterima atau tidak, terpulanglah kepada
pembaca. Penulis yang berjaya adalah penulis yang mampu mengubah pemikiran pembaca hasil dari
pembacaannya. Sebab itulah penulisan sering dikaitkan dengan status dan kuasa. Pepatah mengatakan,
“mata pena lebih tajam daripada mata pedang”. Melalui penulisan, seseorang mampu mengawal bukan
sahaja maklumat yang disampaikan tetapi juga para pembaca yang membaca. Menulis biarlah praktikal,
bahasa biarlah yang mudah.

Rujukan

Keller, J. M. 1983. “Motivational design of instruction”. In C. M. Reigeluth (Ed.),Instructional-Design


Theories and Models: An Overview of Their Current Status (pp. 386-434). Hillsdale, NJ : Lawrence
Erlbaum Associates.

Keller, J. M. 1987. “Strategies for stimulating the motivation to learn”. Performance and Instruction, 1-
7.

Mohd. Azhar Abd. Hamid et al. 2001. Pengenalan Kepada Penulisan Ilmiah. Skudai. Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia.

Razak Dali. 2004. “Penulisan Tesis, Kertas Cadangan, Kertas Kerja, Dan Laporan”. Kursus
Metodologi Penyelidikan Sosial Dan Analisis Statistik. Institut Tadbiran Awam Negara.

Wlodkowski, R.J. 1985. Enhancing Adult Motivation to Learn. San Francisco. Jossey-Bass Publishers.

Anda mungkin juga menyukai