Anda di halaman 1dari 8

A.

NOTA
Cerpen MUNSYI
Karya Husna Nazri

SINOPSIS

Cerpen ini tentang keinginan seorang anak muda, iaitu Mel yang mahu berhijrah ke kota.
Hasratnya itu dihalang oleh bondanya. Bondanya bimbang sekiranya anaknya itu akan terpengaruh
oleh budaya-budaya negatif di bandar. Bondanya berpendapat bahawa Mel masih belum
menguasai bahasa ibunda dan jati dirinya masih goyah. Bondanya dapat menyaksikan bahawa
warga kota sudah lupa akan agama, bahasa, dan bangsa. Bonda amat sedih kerana penjajah telah
menyemaikan perasaan perkauman dalam kalangan rakyat. Sebagai akibatnya, pertumpahan
darah dan permusuhan antara kaum berlaku.
Dengan berdasarkan hal yang dinyatakan oleh bonda itu, bonda menasihati Mel supaya
memelihara agama, bahasa, bangsa, dan negara supaya terus dihormati dan disegani. Sifat yang
ditunjukkan oleh bonda ini menunjukan bahawa bonda mempunyai semangat patriotik yang kuat.
Buktinya, bonda banyak menyimpan buku lama tentang bahasa dan sejarah. Mel selalu membaca
buku tersebut. Bonda menyatakan bahawa asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga
perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu, dan kesetiaan pada pemerintah yang adil.
Apabila Mel telah mempunyai ilmu yang cukup dan mempunyai kemampuan untuk
berjuang di kota, barulah bonda mengizinkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan. Bonda
berpesan kepada Mel supaya menjaga dua perkara, iaitu agama dan bangsa. Bonda juga meminta
Mel untuk memberikan sejumlah buku kepada kawan lamanya yang bernama Munsyi. Apabila tiba
di bandar, Mel menyerahkan buku-buku tersebut pada kawan bondanya itu. Apabila mengamati
keadaan dan sikap Munsyi, Mel berpendapat bahawa Munsyi merupakan seorang yang sangat
mencintai bangsa dan budayanya. Munsyi tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan
tradisi di pinggir bandar. Di bandar, Mel melihat generasi muda bangsanya telah hilang identiti dan
jati diri.
Oleh sebab sibuk bekerja, Mel tidak bertemu dengan Munsyi. Pada suatu hari, Mel
mendapat berita bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan
mewah dan hotel. Apabila Mel mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang
merobohkan rumah-rumah di situ. Mel sedih apabila melihat buku-buku lama yang telah dibawa
oleh Mel, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan, tetapi Munsyi tidak kelihatan di manamana.

TEMA

Semangat cinta akan agama, bangsa, bahasa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan
warganegara – Bonda banyak menyimpan buku lama tentang bahasa dan sejarah. Selain itu,
bonda juga sayang akan bahasa dan agamanya. Disebabkan itu, bonda tidak membenarkan Mel
berhijrah ke kota selagi ilmunya belum penuh di dada. Mel juga dapat menyaksikan bahawa Munsyi
merupakan seorang yang mencintai bahasa dan agamanya.
PERSOALAN

1. Kegigihan anak muda mempelajari segala ilmu sebagai panduan hidup


Cth : Mel bertekad untuk memenuhi dirinya dengan segala ilmu pengetahuan dan
pengalaman di tanah desa halaman ini sebelum Mel bersedia berhijrah ke tengah
gelora kota.
2. Peranan penjajah dalam memecahbelahkan rakyat sesebuah negara
Cth : Bonda kecewa kerana generasi kini yang telah ditanam racun perkauman melalui sistem
pecah dan perintah menyebabkan setiap kaum mempunyai sifat iri hati.
3. Kepentingan ilmu agama dalam kehidupan
Cth : Bonda tidak membenarkan Mel berhijrah ke bandar kerana ilmu agama Mel belum
mencukupi.
4. Keinginan anak muda berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan baharu
Cth : Mel tidak berputus asa untuk meminta kebenaran daripada bonda untuk bermastautin di
bandar.
5. Ketaatan seorang anak terhadap ibunya
Cth : Mel menangguhkan keinginan yang meruap-ruap dalam dirinya untuk mencari pengalaman
baharu sebagai warga kota kerana tidak direstui oleh bonda.

PLOT

1. Permulaan/Eksposisi
Mel memohon izin daripada ibunya untuk bermastautin di kota. Bondanya melarang kerana
bimbang Mel akan terpengaruh oleh budaya hedonisme dan modenisme yang sedang
melanda remaja di kota.

2. Perkembangan
Untuk meningkatkan semangat patriotik Mel, Bonda pernah bercerita kepada Mel tentang
peranan penjajah yang memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Selepas merdeka, negara ini telah berlakunya huru-hara akibat sistem pecah perintah yang
diamalkan oleh pemerintahan Inggeris. Bonda menasihati Mel supaya memelihara, bahasa,
bangsa, agama, dan budaya. Untuk mendapat pelbagai maklumat, Mel membaca pelbagai
buku simpanan bonda. Setelah ilmu penuh di dada, bonda telah membenarkan Mel berhijrah
ke kota. Semasa hendak ke kota, bonda telah meminta Mel supaya memberikan buku-buku
lama kepada sahabatnya, iaitu Munsyi. Semasa di kota, Mel dapat menyaksikan anak-anak
muda telah hanyut dalam keseronokan hidup dan melanggar batas-batas susila dan agama.
Mel mendapat berita bahawa kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi akan didirikan
pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang. Hal ini bermakna tempat tinggal
penduduk termasuklah rumah Munsyi akan dirobohkan
3. Klimaks
Apabila Mel sampai di perkampungan tradisi itu, jentera berat sedang merobohkan
rumahrumah di situ. Buku-buku yang diberikan oleh bonda kepada Munsyi turut musnah. Mel
mencari Munsyri tetapi beliau tiada di situ.

4. Peleraian
Selepas kejadian itu, Mel mencari Munsyi. Setelah berhari-hari, kelibat Munsyi tidak ditemui oleh
Mel.

TEKNIK PLOT / PENCERITAAN

1. Saspens
Cth: Selepas kejadian rumah-rumah dirobohkan oleh penguat kuasa, Mel masih tidak
menemui kelibat Munsyi. Peristiwa ini menimbulkan tanda tanya tentang perkara
yang terjadi kepada Munsyi sehingga dia menghilangkan diri tanpa dapat dikesan
oleh Mel.
2. Imbas kembali
Cth: Mel teringat cerita bonda tentang kota mewah yang pernah mencalit sejarah hitam sedekad
yang lalu.

WATAK DAN PERWATAKAN

Mel
1. Seorang yang taat akan ibu bapa
Cth : Mel menangguhkan keinginan yang meruap-ruap dalam dirinya untuk mencari pengalaman
baharu sebagai warga kota kerana tidak direstui oleh bonda.
2. Seorang yang rajin membaca
Cth : Mel membaca bab demi bab dalam teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan kitab-kitab
lama walaupun bertulisan jawi.
3. Seorang yang tidak mudah putus asa
Cth : Mel menyampaikan hasratnya kepada bonda untuk membina kehidupan di kota walaupun
bonda berkali-kali membantah hasratnya itu.
4. Seorang yang amanah
Cth : Mel menyampaikan salam bonda kepada Munsyi sebelum menghulurkan beg berisi puluhan
kitab lama yang dibawanya dari kampung.

Bonda
1. Seorang yang penyayang
Cth :Bonda sangat menyayangi Mel. Dia memberikan pelbagai alasan agar Mel terus menetap di
kampung bersamanya.
2. Seorang yang beriman
Cth :Bonda selalu mengingatkan Mel supaya tidak meninggalkan perintah agama
3. Seorang yang mementingkan ilmu pengetahuan
Cth :Bonda mahu Mel melengkapkan dirinya dengan ilmu sebelum berhijrah ke kota agar Mel
tidak hilang jati diri sebagai generasi bermaruah.
4. Seorang yang berjiwa patriotisme
Cth :Bonda telah menanamkan sifat-sifat patriotisme dalam diri Mel dengan menceritakan kisah-
kisah sejarah kepada Mel.

Munsyi
1. Seorang yang menghormati tetamu.
Cth : Selepas Mel memperkenalkan diri, dia mula tersenyum kepada Mel sebelum mempersilakan
dia masuk
2. Seorang yang teguh jati diri
Cth : Munsyi berpakaian lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping serta
menggenggam keris semasa Mel ke rumahnya.

LATAR

Latar Masa
1. Minggu pertama di kota
Cth : Mel menyaksikan kerapuhan jiwa anak-anak muda sebangsanya yang menetap di kota.

2. Seminggu selepas perkhabaran mengambil alih kampung tradisi


Cth : Jentera berat bersiap sedia untuk merobohkan rumah-rumah di perkampungan tradisi
sambil penguat kuasa mengawal demonstrasi penduduk membantah penccerobohan itu.

Latar Tempat
1. Kampung tradisi
Cth : Mel berjumpa dengan Munsyi dan menyerahkan beg yang berisi puluhan kitab lama yang
dibawanya dari kampung.
2. Ibu kota
Cth : Anak-anak muda di kota tidak segan silu menjual bahasa ibunda dan merosakkan
agama yang murni. 3. Kampung halaman
Cth : Mel menetap di kampung bersama-sama bondanya sejak kecil lagi.

Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang taat kepada ibu bapa
Cth : Mel menangguhkan keinginan yang meruap-ruap dalam dirinya untuk mencari pengalaman
baharu sebagai warga kota kerana tidak direstui oleh bonda.
2. Masyarakat yang rajin membaca
Cth : Mel membaca bab demi bab dalam teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan kitab-kitab
lama bertulisan jawi walaupun agak perlahan.
3. Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan
Cth : Bonda mahu Mel melengkapkan dirinya dengan ilmu sebelum berhijrah ke kota agar Mel
tidak hilang jati diri sebagai generasi bermaruah.
1. Masyarakat yang berjiwa patriotisme
Cth : Bonda telah menanamkan sifat-sifat patriotisme dalam diri Mel dengan menceritakan kisah-
kisah sejarah kepada Mel.
5. Masyarakat yang menghormati tetamu
Cth : Selepas Mel memperkenalkan diri, Munsyi mula tersenyum kepada Mel sebelum
mempersilakan dia masuk

GAYA BAHASA

1. Kata pinjaman Inggeris


Cth : hedonism; modenisme; globalisas; ideologi. (hlm. 55)
2. Peribahasa
Cth : – besar hati. (hlm. 59)

3. Metafora
Cth : api prasangka; tembok dan benteng perkauman; pagar-pagar perkauman.
4. Personifikasi
Cth : darah dan korban menjadi saksi kepada sebuah api pergolakan. (hlm. 57)
5. Simile
Cth : Bersamping bagaikan seorang maharaja pada kesultanan Melaka. (hlm 61)

NILAI

1. Nilai ketaatan
Cth : Mel menangguhkan keinginan yang meruap-ruap dalam dirinya untuk mencari pengalaman
baharu sebagai warga kota kerana tidak direstui oleh bonda
2. Nilai kerajinan
Cth : Mel membaca bab demi bab dalam teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan kitab-kitab
lama bertulisan jawi walaupun agak perlahan.
3. Nilai patriotisme
Cth : Bonda telah menanamkan sifat-sifat patriotisme dalam diri Mel dengan menceritakan kisah-
kisah sejarah kepada Mel.
4. Nilai hormat-menghormati
Cth : Selepas Mel memperkenalkan diri, Munsyi mula tersenyum kepada Mel sebelum
mempersilakan dia masuk
5. Nilai cinta akan budaya
Cth : Munsyi berpakaian lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping serta
menggenggam keris semasa Mel ke rumahnya.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah mentaati kedua-dua ibu bapa kita agar hidup diberkati
Cth : Mel menangguhkan keinginan yang meruap-ruap dalam dirinya untuk mencari pengalaman
baharu sebagai warga kota kerana tidak direstui oleh bonda
2. Kita hendaklah rajin membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan
Cth : Mel rajin membaca bab demi bab dalam teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan kitab-
kitab lama bertulisan jawi walaupun agak perlahan
3. Kita hendaklah memiliki sifat patriotisme agar tidak mudah terpedaya dengan anasir asing
Cth : Bonda telah menanamkan sifat-sifat patriotisme dalam diri Mel dengan menceritakan
kisah-kisah sejarah kepada Mel.
4. Kita hendaklah menghormati dan melayani tetamu dengan baik
Cth : Selepas Mel memperkenalkan diri, Munsyi mula tersenyum kepada Mel sebelum
mempersilakan dia masuk
5. Kita hendaklah mencintai budaya sendiri agar tidak hilang ditelan zaman
Cth : Munsyi berpakaian lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping
sertamenggenggam keris semasa Mel ke rumahny
MUNSYI

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

Praktis 1

SETIAP kali saya meluahkan hasrat untuk bermastautin di ibu kota, bonda memberikan pelbagai alas an
agar saya terus menetap di kampung halaman tercinta ini. Kata bonda, ilmu agama saya masih terlalu cetek
dan nipis. Bimbang, saya akan hanyut dibawa arus hedonisme dan modenisme yang sedang melanda anak-
anak muda kota. Malahan, kata bonda lagi, bahasa ibunda saya juga masih lemah. Bahasa yang
membesarkan saya dengan segala adat resam dan nilai budaya warisan turun-temurun. Bahasa yang
diwarisi nenek moyang sejak zaman-berzaman.

Bonda tahu, secubit ilmu yang mengisi dada yang kerdil ini tidak akan mampu mengekang ledakan
perubahan sosial yang boleh meragut jati diri saya sebagai generasi bermaruah. Saya akui kebenaran kata-
kata bonda tentang malapetaka yang sedang menghinggapi sekian ramai anak-anak sebangsa saya.
Kebanyakannya tergadai maruah dan harga diri dek mengejar dunia yang bergelar globalisasi dalam menuju
arus perdana.

“Mel, agama dan bahasa itu cermin maruah kita yang ditinggalkan nenek moyang! Jasad yang dibaluti
agama serta lidah yang dilebati bahasa ibunda merupakan warisan kita yang masih ada, kita bukan lagi
generasi bermaruah, tetapi bangsa yang dilaknati Allah.

i. Mengapakah bonda tidak membenarkan Mel bermastautin di kota? [2 markah]

ii. Pada pendapat anda, mengapakah generasi muda sekarang terlalu mudah terpengaruh
dengan gejala yang tidak sihat? [3 markah

iii. Huraikan satu nilai yang terdapat dalam petikan di atas dan satu nilai yang lain daripada
keseluruhan cerpen. [3 markah
Praktis 2

Pesan bonda itu kekal melebat dalam hati sanubari saya. Pesan mulus yang terpahat lama di pangkal hati.
Oleh itu, saya tangguhkan berkali-kali hasrat itu. Hasrat untuk menjengah wajah kota yang pesat dengan
kemajuan dan peradaban. Saya batalkan keinginan meruap-ruap dalam diri saya untuk mencari pengalaman
baharu sebagai warga kota.
Kata bonda, kota besar itu sudah hilang segala nilai-nilai tradisinya. Kota yang sekadar dibangunkan
dengan kempen dan slogan itu sarat dengan api prasangka dan runcing prejudis para warganya yang
berbilang bangsa dan bercampur aduk pula budaya dan bahasa pertuturannya. Manusia dipisahkan oleh
benteng-benteng ketaksuban dan kepentingan diri sendiri.

Mereka dipecah-pecahkan oleh ideologi, puak dan etnik, warna kulit, bahasa percakapan serta fahaman
politik sehingga mengundang resah dan amarah. Lantas masing-masing bangun untuk berjuang
menegakkan identiti sendiri.
Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam dekad lampau.
Sejarah yang meninggalkan parut luka sentiment yang bukan sedikit. Sejarah suram yang berparut duka
angkara gelodak emosi dan kesumat yang mengalir dalam dada setiap warganya sejak sekian lama.

i. Apakah tujuan Mel berhijrah ke kota? [2 markah]

ii. Pada pendapat anda, apakah usaha yang boleh dilakukan untuk menyuburkan semangat
kekitaan dalam kalangan masyarakat bandar? [3 markah

iii. Huraikan satu perwatakan Mel yang terdapat dalam petikan di atas dan satu perwatakannya yang lain
daripada keseluruhan cerpen. [3 markah]

Anda mungkin juga menyukai