Anda di halaman 1dari 2

KESAN JEREBU

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan lagi
dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara
mendadak akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan telah
menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut. Masalah jerebu yang seperti
bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada
pihak media massa dan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat
berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan berlakunya jerebu? Adakah
pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk
dada tanyalah selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah
mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan juga rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas.
Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda
sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter.
Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah
negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang
mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua
kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah,
pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jelaslah
jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang lebih lemah seperti
kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan
menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah
merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah diserang penyakit
pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka menjadi tidak baik dan ditambah pula
udara yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang
panjang, kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata dan sebagainya.
Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada kesihatan orang ramai.
Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas akibat
kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar
disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan
kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian
terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Apabila
masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber
pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan
industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas
akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan
melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan
dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita
akan terjejas akibat jerebu.
Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita.
Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa,
sebaliknya kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan menyebabkan tanaman
akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan hasil tanaman juga akan
merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida
yang berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas
karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak
akan mengambil masa yang lebih panjang untuk matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian
boleh terjejas sehingga 30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara yang
bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana
kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan
tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan
flora dan fauna negara.
Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu dalam
menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata
cendekiawan, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal
insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung tanduk.” Kebobrokan sikap anak-anak juga
mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini
memerlukan tenaga mereka untuk mengatasi masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian
Wawasan 2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan
efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta sukar untuk diselesaikan dan ketika
itu kita akan berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Anda mungkin juga menyukai