Anda di halaman 1dari 9

PERKEMBANGAN DAKWAH TERHADAP GOLONGAN BERMASALAH

PENGLIHATAN: SOROTAN DARI PERSPEKTIF


SEJARAH PENDIDIKAN AL-QURAN

Oleh:
Hajarul Bahti bt. Zakaria
Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Keningau
Mohd Huzairi b. Awang@Husain
Bani Hidayat b. Mohd Shafie
Nor Hayati Fatmi bt. Talib

Abstrak: Pendidikan al-Quran tidak dapat dinafikan kepentingan dan peranannya dalam pembangunan ummah.
Justeru, Pendidikan al-Quran perlu diberi perhatian dan tumpuan sewajarnya dalam perkembangan pendidikan anak-
anak bagi memastikan ia mampu memberi impak yang terbaik dalam proses pembinaan ummah. Kertas kerja ini cuba
melihat keperluan gerakan dakwah yang perlu dilaksanakan terhadap golongan bermasalah penglihatan di negara ini
dari perspektif Pendidikan al-Quran. Kekurangan upaya dan kemampuan dari sudut penglihatan membataskan
pergerakan dan aktiviti fizikal mereka, namun keperluan untuk menguasai dan memahami al-Quran tidak dinafikan
kepentingannya terhadap mereka. Mereka juga perlu diberi layanan dan perhatian yang sewajarnya dalam pendidikan
al-Quran bagi mengelakkan berlakunya ketidak adilan dalam proses menimba ilmu. Kajian ini cuba menyoroti
sejarah perkembangan Pendidikan al-Quran dalam sistem pendidikan kebangsaan di negara kita khusus terhadap
golongan bermasalah penglihatan dan beberapa cadangan diutarakan dalam usaha mencapai objektif dan halatuju
Falsafah Pendidikan Islam khususnya Tilawah al-Quran dalam kalangan golongan berkeperluan khas bermasalah
penglihatan.

PENDAHULUAN

Pendidikan al-Quran tidak dapat dinafikan kepentingan dan peranannya dalam pembangunan ummah. Justeru,
Pendidikan al-Quran perlu diberi perhatian dan tumpuan sewajarnya dalam perkembangan pendidikan anak-anak bagi
memastikan ia mampu memberi impak yang terbaik dalam proses pembinaan ummah. Walau bagaimanapun dalam
kita memberikan tumpuan terhadap perkara tersebut, terdapat segolongan insan yang kurang bernasib baik dan
mempunyai sedikit kekurangan keupayaan berbanding insan lain yang agak terpinggir dan kurang diberi perhatian.
Wujudnya golongan kurang upaya dari sudut penglihatan yang membataskan segala aktiviti dan gerak kerja mereka
disebabkan kekurangan deria penglihatan untuk melihat sebagaimana insan lain. Desebabkan kekurangan upaya yang
berlaku dan mereka ini memerlukan kepada pendekatan yang berbeza berbanding insan lain, maka dakwah terhadap
mereka juga agak terkebelakang dan mungkin tidak begitu diberikan perhatian oleh masyarakat. Kajian ini cuba
meneliti sejarah perkembangan pendidikan al-Quran dalam usaha untuk memartabatkan dakwah terhadap golongan
bermasalah penglihatan di Malaysia, khususnya bidang pendidikan al-Quran dalam sistem pendidikan kebangsaan .

GOLONGAN BERMASALAH PENGLIHATAN

Pelajar istimewa atau pelajar berkeperluan khas merupakan satu istilah yang umum bagi semua kumpulan pelajar
kurang upaya. Pelajar istimewa merupakan pelajar yang memerlukan pendidikan khas dan perkhidmatan yang
berkaitan dengannya (Kauffman, J.M., Kameenui, E.J., Birman, B., & Danielson, L. 1990). Pendidikan khas
diperlukan oleh kumpulan sasar ini jika mereka menyedari bahawa mereka adalah individu yang berpotensi

1
sepenuhnya. Ertinya, mereka boleh belajar dan berpotensi untuk memajukan diri sendiri. Pelajar istimewa
memerlukan pendidikan khas kerana keperluan pembelajaran mereka berbeza daripada pelajar biasa. Perbezaan
kaedah pembelajaran mereka bergantung kepada masalah yang dihadapi seperti terencat akal, masalah pembelajaran,
masalah pendengaran dan penglihatan (Wong Huey Siew, 2006).

P. Williams dalam Encyclopedia of Special Education (1987) pula mendefinisikan pendidikan khas sebagai
satu bentuk pendidikan yang disediakan, khususnya bagi kanak-kanak istimewa. Contohnya kanak-kanak yang
mempunyai sebab-sebab tertentu yang lazimnya terdiri daripada mereka yang mempunyai kecacatan fizikal,
penglihatan, masalah pembelajaran, masalah emosi serta tingkah laku yang bercelaru. Akibatnya mereka tidak
berupaya mengikuti kurikulum di sekolah biasa. Jadi, pendidikan khas disediakan dan mestilah bersesuaian dengan
keperluan mereka.

Mengikut Encyclopedia of Special Education (1987) masalah penglihatan atau istilah yang digunakan cacat
penglihatan merupakan satu istilah yang merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai daya penglihatan. Dalam
konteks pendidikan khas, mereka yang bermasalah penglihatan akan belajar melalui kaedah tektual, auditori dan
pengalaman estetik tanpa memerlukan daya penglihatan. Dalam konteks pendidikan khas, pelajar istimewa
memerlukan bahan-bahan bacaan atau rujukan, teknik pengajaran, peralatan dan perkhidmatan khas. Pelajar
bermasalah penglihatan umpamanya memerlukan bahan bacaan yang tulisannya telah diperbesarkan atau tulisan
Braille (Wong Huey Siew, 2006).

KEPENTINGAN PENDIDIKAN AL-QURAN

Pelajar bermasalah penglihatan juga adalah insan biasa yang dijadikan oleh Allah s.w.t. untuk beribadah
kepadaNya. Dengan sebab itu, walaupun mereka mempunyai kekurangan dari sudut pancaindera penglihatan, mereka
juga berkeperluan dan mempunyai kewajipan yang sama untuk mempelajari dan mengagungkan al-Quran
sebagaimana umat Islam yang lain. Umat Islam merupakan umat istimewa yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t.
dengan kitab suci al-Quran yang lengkap dengan segala petunjuk meliputi seluruh aspek kehidupan yang universal
untuk digunakan sepanjang masa dan zaman. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan guru al-Quran yang terawal dalam
sejarah tamadun manusia kerana telah menjadikan al-Quran sebagai dasar pendidikan Islam di samping al-Sunnah
(Ramayulis 2005). Kedudukan al-Quran sebagai sumber asas dalam pendidikan Islam memang tidak dapat dinafikan
lagi dan banyak dijelaskan di dalam al-Quran, antaranya surah al-Baqarah (2:2) dan surah al-Nahl (16:64). Al-Nadawi
(1974) menyatakan bahawa pendidikan dan pengajaran umat Islam haruslah bersumberkan kepada akidah Islamiyah
dan sekiranya pendidikan akidah itu tidak berdasarkan dan bersumberkan kepada al-Quran dan al-Hadith, maka
pendidikan itu bukanlah pendidikan Islam, tetapi pendidikan asing.

Al-Quran diturunkan untuk dibaca dan diamalkan oleh umat manusia. Al-Quran merupakan petunjuk
daripada Allah dan sebagai perlembagaan kepada mukminin dan menjamin keselamatan hidup manusia (Jamaah Min
al Ikhtisasin 1978). Al-Quran adalah sebagai mukjizat yang tidak dapat dinafikan keistimewaannya.

Asas utama dalam Islam, ialah menguasai bacaan al-Quran. Penurunan ayat al-Quran adalah untuk dibaca.
Membaca al-Quran dengan betul dari segi tajwid dan makhrajnya supaya tidak terpesong pengertiannya menjadi
tuntutan agama ke atas orang Islam kerana membaca al-Quran dapat membentuk akidah dan akhlak individu (Mohd
Ali Bakar, 1991).Tujuannya untuk beribadah, akan diberi pahala oleh Allah kepada pembacanya jika dibaca dengan
sebutan yang betul dan mengikut kaedah bacaan dan mengikut tajwid (Abdul Halim El-Muhammady, 1991), bukan
sekadar untuk dihayati sahaja. Ibadah dalam solat juga perlu kepada pembacaan yang betul dan tepat, tidak boleh
diterjemah. Membaca al-Quran penting untuk menentukan ibadah yang dilakukan sah atau tidak (Abdul Halim El-
Muhammady, 1991). Dengan sebab itu, maka menjadi kewajipan setiap Muslim berusaha bersungguh-sungguh agar

2
dapat membaca al-Quran dengan baik bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan sesempurna mungkin.
Perkara ini tidak terkecuali kepada golongan bermasalah penglihatan, dan juga menjadi tanggungjawab mereka untuk
berusaha menguasainya sebagaimana insan sempurna yang lain.

Menurut Abdul Hafiz et al.2005 pendidikan al-Quran merangkumi pendidikan bacaan qiraat, kaedah-kaedah
hafazan, penterjemahan, pengajian tafsir, pengajian hukum dan sebagainya. Oleh itu, bacaan al-Quran adalah
merupakan sebahagian daripada pendidikan Islam dan menjadi tuntutan kepada umat Islam demi memelihara al-
Quran dan menonjolkan kemukjizatannya.

Al-Sabuni (1996) menjelaskan bahawa di antara objektif mempelajari al-Quran ialah mahir menyebut huruf-
huruf al-Quran mengikut makhraj dan sifatnya, mahir membaca ayat al-Quran mengikut hukum tajwidnya,
menghafaz al-Quran dengan baik, memahami maksud dan pengajarannya, mengamalkan dan menghayati isi
kandungannya dan mengajarkannya kepada orang lain (Al-Sabuni Muhammad Ali 1996). Mohd Yusuf (2004)
menyatakan objektif di dalam pendidikan al-Quran ialah pelajar dapat membaca al-Quran dengan baik, mengetahui
qiraat-qiraat al-Quran, memahami maknanya dan mengamalkan isi kandungan ajaran al-Quran secara syumul dan
bertamadun. Seterusnya membentuk perubahan tingkahlaku menjadi manusia yang sempurna, maju dalam pemikiran
dan tindakan serta taat kepada perintah Allah.

Bagi memastikan al-Quran dapat dibaca, difahami dan dihayati dengan baik khususnya dalam golongan
pelajar berkeperluan khas masalah penglihatan maka perlunya kepada suatu kurikulum khusus dalam sistem
pendidikan kebangsaan yang memberi penekanan dan tumpuan yang sebaiknya terhadap pendidikan al-Quran.

SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Negara kita adalah sebuah negara yang mengamalkan dasar pendidikan untuk semua warganegaranya. Pada ketika ini,
pelajar bermasalah penglihatan berpeluang menerima pendidikan bermula dari peringkat sekolah rendah, sekolah
menengah dan sehingga ke institusi pengajian tinggi. Berdasarkan maklumat daripada Bahagian Pendidikan Khas,
Kementerian Pelajaran Malaysia, pelajar bermasalah penglihatan mempunyai peluang untuk bersekolah di Sekolah
Pendidikan Khas dan Program Integrasi walaupun agak terhad.

Kini pendidikan bagi komuniti bermasalah penglihatan di negara kita telah memasuki tahun ke lapan puluh
empat. Berdasarkan penulisan berkaitan dengan pendidikan bagi golongan bermasalah penglihatan, didapati bahawa
usaha menyediakan kemudahan pendidikan bagi mereka telah dimulakan pada penghujung zaman penjajahan Inggeris
(Chua Tee Tee, 1976, Ivan Douglas Filmer, 1982, Norani Mohd Salleh, 1988, Fatimah Hanum Mohd Daud, 1992,
Wong, 2005).

SEJARAH PERKEMBANGAN PENDIDIKAN AL-QURAN DI MALAYSIA

Perkembangan pendidikan al-Quran di Malaysia telah bermula sejak kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi (Mohd
Yusuf Ahmad 2000). Ia merupakan pelopor kepada semua sistem pendidikan yang pernah wujud di Malaysia
(Abdullah 1995, Ahmad 1997, Sufean 1996). Pendidikan Islam bermula sebelum abad kedua puluh dipercayai
berkembang bersama-sama penyebaran agama Islam di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu dan di Kepulauan
Melayu pada abad ke-14 masehi. Perluasan empayar kesultanan Melayu Melaka, Riau dan Brunei pada abad ke-15
masehi turut membantu mengembangkan aktiviti-aktiviti pendidikan Islam (Sufean, 1996) sehingga ke negeri-negeri
di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu pada abad ke-16 masehi dan ke negeri-negeri Utara Tanah
Melayu pada abad ke-19 masehi (Abdullah 1995). Pendidikan Islam di rumah-rumah tuan guru serta di masjid-masjid

3
(Abdullah 1995, Sabri 1983, Sufean 1996) biasanya diajar sesudah solat subuh, zohor dan maghrib. Kurikulumnya
tertumpu kepada pengajian al-Quran (Sabri 1983) dan perkara-perkara asas dalam akidah, syariah, dan pembelajaran
akhlak yang boleh mendatangkan pengajaran serta menambah ilmu pengetahuan (Ahmad 1997). Murid-murid juga
diajar jawi sebagai panduan untuk membaca al-Quran. Melalui penghafalan serta kemahiran mengenal huruf,
seseorang murid akan dapat membaca al-Quran untuk membolehkan mereka mendirikan solat (Mohd Yusuf Ahmad
2000).

Sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu, pengajaran al-Quran memang telah wujud dan diajar di
rumah-rumah guru secara formal, di samping sekolah-sekolah pondok (Sufean 1996) yang ditubuhkan oleh ulama-
ulama terkenal. Di sini mereka bukan sahaja belajar al-Quran, tetapi juga pengetahuan agama Islam dan akhlak
(Salleh Lebar 1992). Penubuhannya berikutan kesedaran dan minat masyarakat Islam terhadap pendidikan Islam
semakin bertambah. Kurikulum sekolah pondok dibahagikan kepada dua peringkat. Pertama, peringkat rendah
membabitkan matapelajaran seperti membaca, menulis, al-Quran serta kemahiran jawi. Peringkat kedua membabitkan
matapelajaran seperti ilmu Tauhid, ilmu Tafsir, Hadis, Fiqah, Bahasa Arab, Tasawuf dan Falsafah Islam (Abdullah
1995, Hassan 2002, Ibrahim 1996, Ismail 1993)

Pendidikan formal pengajian al-Quran juga telah berlaku semasa penjajahan Inggeris apabila A.M. Skinner,
pemangku Majistret di Seberang Prai telah memperkenalkan kelas al-Quran secara formal di sekolah rendah pada
tahun 1871. Pengajaran di sekolah pada sesi pagi murid-murid Melayu belajar bahasa Melayu, manakala di sebelah
petang belajar al-Quran. Rancangan ini dilaksanakan memandangkan sambutan yang sangat dingin di kalangan orang
Melayu terhadap penubuhan Sekolah Melayu (Salleh Lebar 1992). Hal ini berlaku kesan daripada penubuhan
sekolah-sekolah pendakwah Kristian yang berorientasikan sekular, penubuhan sekolah-sekolah berbentuk vernakular
(pendidikan berasaskan bangsa) dan penubuhan sekolah-sekolah Inggeris yang semakin menyamarakkan
perkembangan pendidikan Islam di Malaysia (Abdullah 1995) menyebabkan orang Melayu tidak berminat terhadap
penubuhan Sekolah Melayu.

Tumpuan pengajaran pada masa itu hanya kepada membaca sahaja, manakala makna dan kefahamannya tidak
diajar. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, pelajaran agama dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah
berdasarkan laporan Rahman Talib 1960. Walau bagaimanapun, kelas-kelas al-Quran di rumah-rumah tuan guru
masih berjalan, tetapi hanya sekadar membaca dan menghafaz beberapa ayat untuk tujuan tertentu sahaja (Sahril
1995). Walau bagaimanapun, pengajian khusus al-Quran terhadap golongan bermasalah penglihatan tidak banyak
dibincangkan pada waktu itu.

Pendidikan Islam melalui anjakan paradigma apabila akta pelajaran 1961 diwartakan. Akta pelajaran 1961
telah memasukkan mata pelajaran agama Islam di dalam jadual waktu dengan peruntukan masa sebanyak 120 minit
seminggu dan selanjutnya mewajibkan semua pelajar agama Islam mengambil mata pelajaran agama Islam (LJKMDP
1988). Akta 1961 ini kemudiannya digantikan dengan akta Pendidikan 1996 yang bertujuan menyediakan sistem
pendidikan yang relevan, mantap serta memperluaskan skop pendidikan negara. Akta Pendidikan 1996 juga telah
menggariskan peraturan-peraturan mengenai kurikulum kebangsaan yang menjadikan Pendidikan Islam sebagai mata
pelajaran teras di peringkat sekolah rendah dan menengah. Peruntukan waktu di kedua-dua peringkat juga ditambah
60 minit, iaitu dari 120 minit seminggu kepada 180 minit seminggu bagi peringkat rendah dan 140 minit seminggu
bagi peringkat menengah rendah (termasuk 1 waktu amali) (Adnan 2003, LJKMDPK 1988).

Pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan, dan al-Quran diberi penumpuan
yang lebih. Ayat-ayat al-Quran yang perlu dibaca dan dihafaz telah ditambah ke dalam sukatan mata pelajaran. Semua
ayat yang dibaca dan dihafaz diberikan makna dan pengajaran (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1982). Kurikulum
Baru Sekolah Menengah (KBSM) adalah kelangsungan daripada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Dalam
pelaksanaan matapelajaran Pendidikan Islam peringkat KBSM, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggariskan

4
bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam dibahagikan kepada dua bidang utama, iaitu bidang Tilawah al-Quran dan
bidang Ulum Syariah. Al-Quran adalah satu komponen besar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. Al-Quran
bukan sahaja diajar bacaan, tetapi juga kefahaman makna al-Quran dititik beratkan dan diajar supaya pelajar
menghayatinya. Di samping itu ayat-ayat hafazan ditambah sebagai persediaan bagi pelajar untuk melakukan ibadat
dengan lebih sempurna (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1988). Kurikulum ini masih berjalan sehingga ke hari ini
di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara termasuklah terhadap pelajar-pelajar berkeperluan khas
masalah penglihatan tidak terkecuali daripada mengikuti kurikulum ini.

Peruntukan waktu Pendidikan Islam ialah sebanyak enam waktu (3+1+2) untuk peringkat menengah rendah
dan empat waktu (3+1) untuk peringkat menengah atas. Peruntukan waktu amali solat perlu diisi dengan solat
berjemaah dan tazkirah yang berkaitan dengan kehendak sukatan pelajaran. Manakala peruntukan 2 waktu tambahan
perlu digunakan untuk aktiviti-aktiviti memperkukuhkan penyampaian objektif kurikulum Pendidikan Islam.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2002) menyatakan Tilawah al-Quran KBSM mengandungi ayat-ayat pilihan
daripada al-Quran. Ayat-ayat al-Quran dipilih berdasarkan tema tertentu yang berkaitan dengan kehidupan pelajar
atau yang perlu untuk kefahaman, amalan dan pembentukan akhlak. Bahagian tilawah al-Quran mengandungi 3 aspek
iaitu: ayat-ayat untuk bacaan, ayat-ayat untuk kefahaman dan ayat-ayat untuk hafazan. Selain itu, perkara yang
penting ialah Tilawah al-Quran tidak bermaksud mengajar ilmu tajwid secara khusus, tumpuan pengajaran ialah
kepada Tilawah al-Quran dengan bacaan yang betul berdasarkan hukum tajwid (KPM 2002). Kekurangan penumpuan
kepada pengajaran ilmu tajwid secara khusus ini menimbulkan kesan untuk mencapai objektif pengajaran Tilawah al-
Quran yang menumpukan kepada bacaan yang betul berdasarkan hukum tajwid tersebut. Bagaimana pelajar dapat
membaca dengan betul sesuatu hukum tajwid sekiranya penumpuan pengajaran tidak diberi secara khusus untuk
mengenal hukum-hukum tajwid. Walau bagaimanapun, hal inilah yang berlaku dalam sistem pendidikan kebangsaan
bagi pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam komponen Tilawah al-Quran ini. Guru-guru Pendidikan Islam tidak
dapat memberikan penumpuan khusus untuk mengajar Tilawah al-Quran memandangkan masa yang diperuntukkan
untuk mengajar Pendidikan Islam di sekolah adalah 6 waktu bagi menengah rendah dan 4 waktu bagi menengah atas.
Dengan sebab waktu pengajaran yang singkat itu, guru-guru lebih menumpukan untuk menghabiskan sukatan
pelajaran dan komponen yang terlibat dengan peperiksaan dan mengabaikan komponen Tilawah al-Quran. Tambahan
pula sekiranya pengajaran tersebut adalah terhadap pelajar-pelajar bermasalah penglihatan. Dengan kekurangan
pancaindera yang dihadapi, mereka memerlukan penumpuan lebih khusus untuk mempelajari al-Quran bagi
menguasainya. Tanpa guru yang mencukupi dan berkemahiran khususnya dalam menggunakan al-Quran Braille
sudah tentu mereka tidak dapat menguasai matapelajaran tersebut (Norhayaty 2010).

Amalan dan aktiviti pengajaran Tilawah al-Quran yang disarankan kepada guru Pendidikan Islam oleh KPM
dalam pengajaran bagi Tilawah al-Quran KBSM hendaklah mempunyai aspek-aspek berikut iaitu: membaca ayat al-
Quran dengan fasih (tilawah), bacaan contoh dari guru, membaca secara individu, membaca al-Quran secara
berkumpulan, memahami maksud al-Quran (tafsir), memahami terjemahan maksudnya, perbincangan dalam
kumpulan, sumbang saran, menghafaz al-Quran (hafaz), latih tubi menghafaz, dan menghafaz secara kumpulan.
Perbincangan, menyalin ayat al-Quran dan juga amalan serta adab berkaitan al-Quran (KPM 2003).

Bidang Tilawah al-Quran secara lebih khusus menumpukan kepada perkara-perkara berikut:

1. Membaca ayat-ayat al-Quran mengikut hukum-hukum tajwid yang betul dan fasih
2. Menghafaz ayat-ayat al-Quran yang terpilih mengikut hukum-hukum tajwid yang betul dan fasih
3. Kementerian Pelajaran Malaysia (2002) telah menekankan pelajaran al-Quran dari aspek-aspek berikut iaitu
kemahiran lisan dan aspek kelancaran bacaan, penguasaan kemahiran fasahah, penguasaan kemahiran tilawah
bertajwid, kemahiran bacaan seperti tadwir dan tartil, kefahaman teks, hafazan teks, amalan atau aplikasi,
penghayatan dan amalan serta adab-adab berkaitan al-Quran.

5
Pembelajaran Tilawah al-Quran di sekolah menengah sekarang merupakan sebahagian daripada kandungan
Pendidikan Islam yang berasaskan kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula
dilaksanakan pada tahun 1988. Melalui Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), kurikulum baru Pendidikan Islam
mula menggantikan kurikulum lama Pendidikan Islam yang telah digunakan sejak 1982 di sekolah menengah.
Semakan kurikulum Pendidikan Islam KBSM oleh JAPIM pada 2002 membawa kepada pelaksanaan kurikulum baru
mulai 2003 pada peringkat Tingkatan satu. Manakala bagi Pendidikan Khas, pelaksanaan kurikulum baru bermula
pada tahun 2005 (Jabatan Pendidikan Khas KPM, 2005). Sistem pendidikan negara sejak dahulu hingga kini
menekankan kepada pembelajaran al-Quran untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah
Pendidikan Islam.

Kenyataan Heinze (1986) menyebut bahawa persediaan untuk mengajar bacaan bagi murid yang menghadapi
masalah penglihatan adalah menerusi pengetahuan terhadap keberkesanan pendekatan dan pemilihan alatan yang
digunakan untuk kanak-kanak biasa. Walau bagaimanapun, guru-guru khas perlu menggabungkan pelbagai kaedah
pengajaran untuk memenuhi keperluan pembelajaran yang unik kanak-kanak cacat penglihatan. Pelbagai kaedah
pengajaran yang digunakan untuk pelajar-pelajar biasa telah digunakan untuk mengajar kemahiran bacaan bagi
pelajar bermasalah penglihatan.

Falsafah dan objektif pendidikan al-Quran dalam Pendidikan Khas

Objektif Asuhan Tilawah al-Quran Pendidikan Khas KBSM adalah sama seperti objektif Asuhan Tilawah al-Quran
untuk pelajar-pelajar arus perdana KBSM iaitu:

1. Melahirkan pelajar yang sentiasa membaca dan menghafal al-Quran dengan baik dan fasih
2. Melahirkan pelajar yang sentiasa membaca dan menghafal al-Quran di sekolah dan juga di luar sekolah
3. Melahirkan pelajar yang terdidik dengan didikan al-Quran
4. Melahirkan pelajar yang sentiasa menghayati al-Quran dalam kehidupan individu dan jamaah

Berdasarkan kurikulum Tilawah al-Quran yang diutarakan di atas, jelas bahawa objektif utama kurikulum
Tilawah al-Quran KBSM sama ada untuk pelajar-pelajar normal atau pelajar-pelajar bermasalah penglihatan adalah
menekankan kepada bacaan al-Quran yang lancar dan betul bertepatan dengan hukum-hukum tajwid, walaupun
pengajaran Tilawah al-Quran tidak bermaksud mengajar ilmu tajwid secara khusus, tetapi tumpuan pengajaran ialah
kepada Tilawah al-Quran dengan bacaan yang betul berdasarkan hukum tajwid.

Pelajar-pelajar berkeperluan khas masalah penglihatan juga mempelajari al-Quran sama sebagaimana pelajar
tipikal. Mereka mempunyai kelebihan dari sudut hafalan dan ingatan yang kuat walaupun kekurangan pancaindera
penglihatan. Hal ini memberikan impak yang baik kepada mereka untuk menghafaz al-Quran. Walau bagaimanapun,
jika mereka tidak menghafaz ayat-ayat al-Quran, menjadi satu masalah kepada mereka untuk membaca al-quran
sekiranya mereka tidak menguasai al-Quran Braille yang menjadi wadah penyampai maklumat terhadap golongan ini.
Dengan sebab itu, pengajaran al-Quran terhadap pelajar bermasalah penglihatan perlu dipertingkatkan sebagai salah
satu medium dakwah terhadap golongan ini.

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia pernah menjalankan Bengkel Penggubalan Kod Braille al-Quran
serta menghasilkan Kod Braille al-Quran, mengadakan bengkel pendedahan dan percubaan kepada guru-guru agama
yang terlatih khas dan guru-guru khas dalam mengajar Kod Braille al-Quran pada tahun 1989. Pada tahun 1990,
sekali lagi Kursus dan Bengkel Kod Braille al-Quran diadakan dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Islam, khususnya al-Quran terhadap pelajar-pelajar bermasalah penglihatan. Walau

6
bagaimanapun, didapati hasil dan impak terhadap penguasaan bacaan al-Quran golongan tersebut masih belum
mencapai tahap yang memuaskan lagi.

Proses dakwah terhadap golongan bermasalah penglihatan ini khususnya dalam pendidikan al-Quran juga
dilihat tidak begitu memberangsangkan. Kelas-kelas pengajian al-Quran terhadap golongan biasa banyak
dilaksanakan, tetapi kelas-kelas pengajian al-Quran untuk golongan ini sangat kurang dijalankan. Infrastrutur dan
keperluan untuk golongan ini di masjid khususnya dalam bidang pengajian al-Quran sangat kurang, malah boleh
dikatakan tidak ada. Tidak ada langsung disediakan al-Quran Braille di masjid-masjid untuk kegunaan mereka, tidak
ada kelas pengajian al-Quran khusus untuk mereka, tidak ada bahan-bahan rujukan tajwid dalam Braille yang
memudahkan mereka memahami hukum-hukum tajwid yang membantu ke arah penguasaan bacaan al-Quran,
mahupun terjemahan al-Quran dalam Braille (Norhayaty 2010, Muhd Lee 2010, Roziyatun 2010). Kesemua perkara
ini adalah keperluan yang perlu diberi perhatian dan tumpuan dalam memastikan kelangsungan dakwah terhadap
golongan bermasalah penglihatan, khususnya dalam bidang pengajian al-Quran dapat diteruskan.

Perbincangan-perbincangan yang dilakukan dalam isu dakwah, terutamanya di masjid banyak menyentuh
tentang keseimbangan silibus bagi aktiviti pendidikan di masjid, halatuju pendidikan di masjid (Ahmad Fakhrurrazi
Mohammed Zabidi, 2010), masjid sebagai pusat kefahaman terhadap kesepaduan ilmu dalam Islam, pengajian di
masjid harus mempunyai roh kesepaduan ilmu (Mahfuzah 2010), transformasi masjid dalam pendidikan dan
pembangunan ummah (Azhar et al 2010), masjid dan remaja (Noor Azlina Jahron & Mohd Isa Hamzah, 2010).
Kesemua penulisan dan penyelidikan yang dibuat memfokuskan kepada perkembangan dan fungsi masjid sebagai
pusat dakwah, walau bagaimanapun tidak ada satu pun yang membincangkan secara khusus untuk memberikan
pendedahan dakwah khususnya dalam bidang pengajian al-Quran terhadap golongan bermasalah penglihatan. Hal ini
adalah cabaran kepada golongan dan ilmuwan agama khususnya agar memberikan perhatian dan juga tumpuan
terhadap golongan bermasalah penglihatan dalam usaha dakwah dan memberikan ilmu-ilmu keagamaan terhadap
mereka.

CADANGAN

Berdasarkan perbincangan tentang perkembangan kurikulum Pendidikan al-Quran di Malaysia di atas, beberapa
cadangan diutarakan bagi meningkatkan perkembangan dakwah terhadap golongan bermasalah penglihatan,
khususnya dalam bidang pendidikan al-Quran:

1. Memperbanyakkan guru-guru yang berkemahiran untuk mengajar menggunakan al-Quran Braille terhadap
golongan bermasalah penglihatan.
2. Menyediakan lebih banyak rujukan-rujukan dalam bidang al-Quran seperti buku tajwid, terjemahan al-Quran
dan sebagainya menggunakan tulisan Braille sebagai unsur dakwah terhadap golongan ini.
3. Pihak masjid, NGO dan sebagainya yang terlibat memperbanyakkan merangka program dakwah khusus
untuk golongan ini terutamanya dalam bidang pendidikan al-Quran.
4. Pihak berwajib perlu menyediakan rangkaian dakwah yang jauh lebih mesra pelanggan untuk golongan ini
menikmati dan memperoleh maklumat khususnya dalam bidang pendidikan al-Quran. Contohnya
menyediakan al-Quran Braille di masjid-masjid dan menyediakan kelas-kelas pengajian al-Quran untuk
golongan tersebut.
5. Lebih banyak kajian perlu dilakukan dalam bidang pengajian Islam khusus untuk meningkatkan tahap
keupayaan dan kemampuan golongan ini terutamanya dalam bidang pendidikan al-Quran.

7
KESIMPULAN

Sebagi kesimpulannya, dakwah terhadap golongan bermasalah penglihatan memang perlu diberi perhatian yang lebih
oleh semua pihak terutamanya golongan ilmuwan dan agamawan. Keperluan mereka untuk menerima dakwah dalam
memperbaiki diri dan meningatkan ketaqwaan sebagai hamba Allah s.w.t. tidak ada bezanya dengan insan lain yang
sempurna pancainderanya, khususnya dalam bidang pendidikan al-Quran. Kewajiban untuk menguasai al-Quran
memang tidak dapat dinafikan menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim di muka bumi ini. Sehingga kini,
perkembangan pendidikan al-Quran terhadap golongan bermasalah penglihatan masih belum mencapai tahap yang
memberangsangkan dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk memartabatkannya dan melonjakkannya
agar menjadi tumpuan dan tidak dipinggirkan. Penumpuan untuk memperbaiki penguasaan al-Quran yang diberikan
hanya terhadap golongan biasa, tetapi penumpuan terhadap golongan bermasalah penglihatan sangat kurang diberikan
dan dibincangkan oleh semua pihak terutamanya para ilmuwan yang berkecimpung dalam bidang keagamaan.
Semoga kertas kerja ini mampu membuka mata semua pihak dalam usaha memartabatkan dakwah khususnya dalam
bidang pendidikan al-Quran dalam kalangan golongan bermasalah penglihatan di negara kita.

Rujukan

Abdul Hafiz Abdullah, Hussin Salomon, Azmi Shah Suratman & Sulaiman Shakib Mohd Noor. (2005). Sistem
Pembelajaran dan Kaedah Hafazan al-Quran yang Efektif: Satu Kajian di Kuala Lumpur dan Terengganu. Kajian
Universiti Teknologi Malaysia.

Abdul Halim El-Muhammady. (1991). Pendidikan Islam, Falsafah dan peranan pendidik. Kuala Lumpur: Dewan
Pustaka Salam.

Al Nawawi Abu Zakaria Yahya Muhyiddin Syaraf. (1997). Adab-adab bersama al-Quran (terj. Anwar Fakhri Omar).
Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Al Sabuni Muhammad Ali. (1996). Al-Tibyan fi 'Ulum al-Quran. Beirut: 'Alam al-Kutub.

ChuaTeeTee. (1970). Pendidikan Khas di Malaysia. Kuala Lumpur: Unversiti Malaya.

Fatimah Hanum Mohd Daud. (1992). The Mainstreaming at Visually Handicapped School in Kuala Lumpur. Kuala
Lumpur: Unpublished.

Hallahan, D.P & Kauffman, J.M. (1986). Exceptional Children: Intriduction to Special Education (Edisi Ke-3). New
Jersey: Prentice Hall.

Ivan Douglas Filmer. (1982). Academic and Psychosocial Aspects of Visually Handicapped Students in Three
Secondary Schools in Peninsular Malaysia. Kuala Lumpur: Unpublished.

Jamaah Min al Ikhtisasin. (1978). Kaifa mulqi darsak. Beirut: Dar Maktabah al-Hayah.

8
Kementerian Pendidikan Malaysia. (1988). Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam KBSM. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Mohd Ali Bakar. (1991). Seni Lagu al-Quran. Kuala Lumpur: Darul Fikr.

Mohd Yusuf Ahmad. (1990). Kaedah Pendidikan al-Quran.

Mohd Yusuf Ahmad. (2000). Sejarah dan Kaedah Pendidikan al-Quran. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Norani Mohd Salleh. (2000, Jun). Ke Arah Menjayakan Program Pendidikan Khas di Malaysia. Seminar Pendidikan
Khas Peringkat Kebangsaan 2000. Genting Highlands: Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia.

Salleh Lebar. (1992). Perkembangan pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wong Huey Siew. (2006). Persekitaran Pembelajaran Pelajar Cacat Penglihatan di Malaysia. Kuala Lumpur:
Institut Sosial Malaysia.

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai