Anda di halaman 1dari 4

REFLEKSI KENDIRI

Tanggal 24 Januari 2011 yang lalu, saya dan semua pelajar Program Ijazah
Sarjana Muda Perguruan PISMP semester 3 tahun 2011 telah menerima satu
tugasan bagi Subjek Pengurusan Bilik Darjah Dan Tingkah Laku (EDU3104).
Tugasan ini perlu dilaksanakan secara kumpulan mengikut kelas yang telah
ditetapkan. Semasa penerangan berkenaan tugasan ini diberikan, saya merasa agak
keliru dengan soalan tugasan pada kali ini. Hal ini mungkin kerana, soalan tugasan
ini meliputi tajuk-tajuk yang belum saya pelajari lagi ketika itu.

Namun setelah siap tugasan ini, saya telah memperoleh banyak pengetahuan
dan maklumat baru berkaitan tajuk Model Pengurusan Disiplin. Sesungguhnya tajuk
ini banyak memberi input yang bermakna serta berilmiah kepada saya yang
merupakan bakal guru kelak. Hal ini demikian kerana, dalam tajuk ini saya dapat
mempelajari bagaimana cara untuk menguruskan disiplin dalam sesebuah bilik
darjah dengan berkesan.Malah, saya juga dapat mengetahui pendapat-pendapat
serta pemikiran-pemikiran beberapa orang ahli psikologi yang telah mengkaji dan
mengaitkan situasi-situasi masalah disiplin dalam bilik darjah dengan mencipta teori
atau model mereka sendiri.

Berdasarkan model-model pengurusan disiplin yang telah dibaca, saya


dapati, kesemua model yang telah dinyatakan boleh saya gunakan untuk merangka
satu bentuk pengurusan yang sesuai dengan situasi disiplin di dalam bilik darjah
kelak. Pada pandangan saya sendiri, tidak semestinya saya menggunakan hanya
satu model sahaja untuk menyelesaikan sesuatu situasi dalam bilik darjah. Saya
rasa, sebagai seorang guru kelak, saya perlulah pandai menggabungkan langkah-
langkah dan teknik-teknik yang terdapat di dalam kesemua model yang dinyatakan
supaya masalah disiplin murid dapat diatasi dengan berkesan.

Sebagai seorang guru, saya perlu bijak mengaplikasikan model yang telah
dikaji dengan situasi yang berlaku memandangkan tidak semua situasi atau masalah
disiplin yang timbul di dalam sesebuah bilik darjah adalah sama. Gabungan langkah-
langkah dan teknik-teknik daripada model-model yang bersesuaian sebenarnya,
mungkin lebih mudah untuk menyelesaikan masalah disiplin dalam sesuatu situasi.
Malahan, pemilihan langkah dan teknik yang bersesuaian ini dapat menunjukkan ciri-
ciri kepimpinan seorang guru itu sendiri. Oleh hal yang demikian, seseorang guru itu
akan dilihat sebagai seorang yang berjaya mengatasi masalah disiplin dalam bilik
darjah berdasarkan cara serta corak kepimpinannya sendiri.

Dalam Model Modifikasi Tingkah Laku yang dikaji oleh B.F.Skinner, saya
mempelajari bahawa seseorang individu murid memerlukan pendekatan yang
berbeza untuk mengatasi sesuatu masalah disiplin dalam bilik darjah yang
dilakukannya. Hal ini mungkin kerana perbezaan individu dalam diri setiap murid
seperti mana yang telah saya pelajari semasa semester lepas. Terdapat murid yang
malasah disiplin dan tingkah lakunya boleh diatasi melalui peneguhan positif
manakala sebahagiannya melalui peneguhan negatif. Perkara ini juga bergantung
kepada situasi dan jenis masalah yang dilakukan seseorang murid tersebut.

Sekiranya seseorang guru ingin meningkatkan tingkah laku murid tersebut,


peneguhan positif bolehlah digunakan memandangkan ransangan berupa hadiah
dan pujian diberikan kepada individu murid. Hal ini sudah pasti akan menggalakkan
murid melakukan apa yang dilakukan mereka. Di sini, saya pelajari bahawa,
seseorang guru tidak semestinya mengambil tindakan dengan mendenda murid
untuk mengatasi masalah disiplin mereka. Peneguhan yang diberikan mungkin lebih
berkesan daripada denda yang dikenakan memndangkan murid mungkin akan
berasa lebih selamat dan selesa dengan tindakan tersebut. Mereka akan rasa lebih
didekati dan diberi perhatian. Hal ini sedikit sebanyak mendorong mereka untuk
berubah kepada perkara yang lebih baik.

Sebagai seorang bakal guru, saya dapat memilih sama ada ingin menjadi
seorang guru yang bagaimana melalui jenis-jenis guru yang dinyatakan dalam Model
Disiplin Asertif canter. Saya dapat menilai yang manakah sifat serta ciri-ciri guru yang
paling terbaik untuk saya amalkan bagi memastikan murid dapat dapat mengikut
peraturan dalam bilik darjah. Pada pandangan saya, jenis guru asertif adalah jenis
guru yang sangat tegas. Bagi saya, tindakan yang terlalu tegas tidak dapat
menangani masalah disiplin murid dalam sesebuah kelas, malah akan menjadikan
individu murid berasa takut dan membuat murid terasa terancam serta tidak
diperlakukan dengan adil.
Guru yang tidak asertif pula seperti seorang guru yang tidak berpendirian
tetap kerana ada masanya jenis guru ini membenarkan sesuatu tingkah laku di
dalam bilik darjah, tetapi ada kalanya mereka memarahi murid yang melakukan
tingkah laku yang sama. Tindakan guru jenis tidak asertif yang tidak konsisten ini
mungkin akan menimbulkan keraguan dalam kalangan murid. Pada pandangan
saya, guru asertif adalah jenis guru yang terbaik memandangkan jenis guru ini
mempunyai matlamat pengurusan yang jelas,yakin serta tegas dalam menetapkan
peraturan. Walaupun tegas, tetapi jenis guru asertif mengambil berat dan berlaku adil
kepada semua murid di dalam kelasnya.

Tugasan kali ini juga telah memberi satu pengajaran baru kepada saya perihal
murid yang melakukan masalah tingkah laku di dalam bilik darjah ini. Berdasarkan
Model Akibat Logikal Dreikurs, saya perolehi satu input baru iaitu sebagai seorang
guru pada masa akan datang, saya perlu mencari motif mengapa seseorang individu
murid melakukan masalah tingkah laku di dalam bilik darjah. Seseorang individu
murid melakukan masalah disiplin mungkin kerana mereka inginkan mendapatkan
perhatian, mencabar kuasa kita sebagai seorang guru, ingin membalas dendam atau
ingin mempamerkan kekurangan mereka kepada kita. Guru perlu bijak mencari motif
mereka ini.

Murid sebenarnya ingin diberikan perhatian yang lebih kerana faktor-faktor


kasih sayang seperti yang dinyatakan dalam Model Terapi Realiti oleh William
Glasser. Mereka juga kadang-kadang perlu mempunyai kuasa dan kawalan untuk
menguruskan diri dan persekitaran bilik darjah mereka. Oleh itu, sebagai seorang
guru kelak, saya perlu menyediakan satu suasana bilik darjah yang sesuai bagi
murid supaya mereka merasakan kehadiran mereka di dalam sesebuah bilik darjah.
Ini bermakna, sebagai seorang guru nanti, saya perlu mengelakkan sikap
membanding-bandingkan antara murid serta berat sebelah kerana sesetengah murid
akan merasa seperti diri mereka disisih dan disingkirkan di dalam komuniti kelas.
Kebebasan dan keseronokkan murid juga perlu bagi mengelakkan mereka berasa
bosan di dalam kelas. Ini mengajar saya supaya memilih teknik dan strategi yang
bersesuaian dan berkesan mengikut tahap murid supaya mereka dapat mengikuti
kelas yang bakal saya ajari dengan naluri ingin tahu yang tinggi tanpa ada paksaan
dalam diri mereka.
Sebagai seorang bakal guru, tugasan ini banyak membantu saya untuk
mencari jalan penyelesaian apabila berada di sekolah nanti. Hal ini demikian kerana,
di sekolah nanti, saya pasti akan berdepan dengan murid yang mempunyai masalah
disiplin. Dengan tugasan ini, saya menjadi lebih berkeyakinan untuk meneruskan
pembelajaran saya di institut ini untuk menuntut lebih banyak perkara agar saya lebih
bersedia di alam kerjaya kelak. Saya juga mempunyai lebih banyak pengetahuan
untuk saya gunakan semasa mengajar nanti. Semua ini akan saya praktikkan untuk
memastikan murid yang bakal saya ajar dapat menjadi murid yang berjaya dalam
kehidupan mereka.

Disediakan oleh:

SITI NUR ‘ATIQAH BT MOHD ZUKHI

Anda mungkin juga menyukai